Benarlah, banyak berjalan luas pemandangan. Kita keluar dari kotak lama kita untuk melihat kotak-kotak orang lain yang rupanya banyak perbezaan. Kedudukan geografi, iklim, suhu dan gaya hidup menyatu menjadi kebudayaan yang unik bagi setiap negara. Apabila ditemukan maka terbentuklah spektrum warna yang kemilau cantiknya. Menyerlahkan sesuatu yang indah, meriah, mesra dan santai. Sesuatu yang tentunya tidak pernah diduga. Tidak pernah diimpikan sejauh perjalanan penulis dan isteri mengembara mengisi masa berbaki dalam usia yang semakin sedikit. Alhamdulillah yang kami alami di luar jangkaan. Hasrat yang sedikit Allah anugerahkan dengan limpahan nikmat yang terlalu banyak. Berada di bumi anbia rupanya menjanjikan sesuatu yang sangat membahagiaan. Ada sahaja peristiwa yang menambahkan perbendaharaan kenangan. Suatu hari nanti banyak yang boleh diimbau. Yang boleh dijadikan pengajaran. Yang boleh dikongsikan. Kenangan di Bukit Tursina masih terimbau-imbau. Dakian yang membawa ribuan kenangan. Seorang Rasul berada di situ pada suatu ketika. Rasul ulul 'azmi. Kembara di Fayoum menemui menemui jejak seorang lagi Rasul ulul 'azmi iaitu Nabi Yusof. Minggu lalu dipertemuklan pula dengan budaya sesama Islam tetapi berbeza persembahan kehidupan masing-masing. Alhamdulillah. Syukur padamu ya Allah.
Kami ke Mesir untuk belajar Bahasa Arab. Hasrat besar tetapi tidaklah gah seperti untuk mempelajari bidang akademik yang lain. Peringkat sarjana atau kedoktoran. Ruang, kesempatan dan peluang yang Allah lorongkan melebihi dari apa yang kami usahakan. Kerana isteri penulis diperlukan menyediakan persembahan kebudayaan bersama pelajar Malaysia yang lain, rupanya penulis terheret sama terlibat membantu menyediakan material dan bahan-bahan lain yang diperlukan. Kalut juga pada awalnya. Makluman terlalu singkat. Hanya tiga hari sebelum hari jadinya persembahan itu. Ianya dipertandingkan pula. Penyertaan sahaja sudah dikira markahnya. Yang menang akan ditambah markahnya dalam peperiksaan. Persembahan pameran itu dikira sebahagian dari tugasan akademik. Namun begitu ruang pameran yang sempit itu diisi dengan padat. Yang dapat dilihat ialah suatu persembahan kebudayaan antarabangsa yang bergemerlapan. Kemilau dengan pancawarna. Adunan budaya yang berbagai. Citarasa yang berbagai. Gaya hidup yang berbagai. Kesemuanya keturunan Adam dan Hawa belaka. Menyebar dan membentuk budaya yang berbeza kerana berbeza tempat dan suasana. Dalam pameran ini kita seolah-olah berada di negara yang berbagai. Hati seperti diruntun untuk menjelajah lagi. Banyak bumi indah yang belum kita jelajahi.
Kebetulan yang terlibat ialah negara-negara di tengah Benua Asia dan di Timur. Cuba perhatikan betul-betul. Hampir kesemua mereka memiliki ciri wajah yang serupa. Penulis pernah ceritakan tentang tiga orang anak Nabi Nuh selepas redanya banjir besar pada zaman mereka. Sam berada di Timur Tengah dan ke Barat. Ham ke Afrika. Yapith ke Timur dari Turki hingga ke negara-negara Asia yang lain. Bermakna keturunan Yapith yang melaksanakan pameran kebudayaan di Markaz Nil tersebut. Sebab itu ciri-ciri wajah mereka hampir sama. Mungkin pembaca akan mengatakan ramai antara yang tergambar adalah orang Cina. Benar orang Cina adalah keturunan Yapith. Tidak hairan wajah mereka serupa. Memahami sejarah manusia ini memberikan keindahannya yang tersendiri. Kita lebih memahami bahawa kita benar-benar dari ibu dan bapa yang sama. Masa telah memisahlan kita dari segi politik dan ideologi. Barat pula telah mengagendakan supaya kita tidak maju. Sentiasa berpuas hati. Ditekan dari segenap penjuru. Mereka menjadi dajjal yang berkeliaran. Yang lemah iman pasti terpedaya.
Di sebalik kemeriahan dan pancaran warna di pameran antarabangsa ini penulis membuat sedikit pengamatan. Kita tidak kurang dengan keindahannya yang tersendiri. Malangnya apabila kita keluar negara kita lupa khazanah kita. Yang kita bawa hanya diri kita sahaja. Kain baju seadanya dan makanan kegemaran kita. Budaya kita kita tinggalkan di tanahair. Apabila diperlukan kita tenggelam punca. Rakyat Malaysia kaya dengan budaya dan hasil budayanya. Jika setiap orang berusaha membawa satu sampel budaya rasanya terhimpun suatu koleksi yang besar, gah dan mengkagumkan. Tidak perlu membina muzium tetapi koleksi yang berpadanan sudah mencukupi. Pelajar Malaysia di Mesir belasan ribu ramainya. Kita boleh membina koleksi yang sangat besar dan banyak. Bila-bila sahaja boleh dipamerkan.
1 Sebagai koleksi.
2 Kajian budaya.
3 Perbandingan budaya.
4 Tarikan pelancongan ke Malaysia.
5 Menambah rasa syukur di hati dapat berkongsi dengan orang lain.
Warga Malaysia yang berada di Mesir, mari kita fikirkan bersama. Tambahkan lagi koleksi yang ada.
Berbanding dengan negara-negara yang lain pelajar Malaysia (rakyat Malaysia di luar negara) tidak banyak memikirkan peranannya sebagai duta negara. Mewakili negara di arena antarabangsa. Banyak hasil seni yang tidak dibawa bersama. Dalam pencarian itu dapat juga dihimpunkan beberapa item seperti songket, batik dan sebagainya. Maka terciptalah dua setanjak yang tidak sepertinya itu. Namun begitu ramai juga yang mencuba dan menyukainya.
Dalam kedaifannya, berkibarlah juga dengan rasa syukur beberapa Jalur Gemilang sama ada yang besar atau yang kecil. Sempat mencari kompang untuk mengalu-alukan setiap kali pengadil datang pada tiap-tiap hari. Itulah acara sambutan ala Malaysia.
Yang ini gerai orang Turki. Di Kaherah (Mesir) barangan Turki sangat melimpah ruah. Rakyat Turki sangat ramai di sini.
Yang ini ruang dari negara Kazakhtan. Penuh dengan warna warni. Bermacam-macam yang berbagai dari pakaian, perkakas trumah dan makanan. Diserikan dengan cara mereka melayan tetamu.
Bertemulah dua budaya yang berbeza. Setanjak dan topi dari negara Kirghistan.
Bayangkan buai bayi ini dibawa ke Mesir oleh rakyat Turkistan.
Meja hidangan negara Kazakhtan.
Negara Kirghistan
Bidai seperti inipun ada. Dari Turki. Adunan warna mereka sangat menyerlah dan menarik. Suasana menjadi meriah.
Dapat juga mempamerkan bagaimana roti jala dibuat. Yang sedang makan ialah Pengetua Markaz Nil bahagian wanita.
Kanak-kanak lelaki dalam pakaian tradisional negaranya, Kirghizistan.