Monday, January 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Letaknya Datuk dan Nenek di Hati Kita



Tradisi kita bersusur galur kepada Tradisi Islam. Tradisi Islam pula susur galurnya tradisi Arab. Walaupun banyak tradisi Arab yang tidak digunakapai dalam Islam namun banyak yang kita serap menjadi budaya Islam. Yang berbentuk syarie. Kita tinggalkan mana-mana yang tidak sesuai dengan Islam. Ada sesuatu yang barangkali perlu kita kongsi bersama. Kita semua mengaku Islam. Kita dilahirkan Muslim. Jiwa raga kita Islam. Mari kita lihat ke dalam. Sebenarnya tidak banyak yang kita tahu tentang agama kita. Tentang Islam dan keperluannya. Kita semua maklum sistem pendidikan agama di negara kita lebih menumpukan kepada soal ibadah. Invdividu atau jamaah. Puasa. Zakat. Mengerjakan haji. Banyak aspek agama yang kita tinggalkan dan tidak diambiltahu. Lama-lama kita membina tradisi yang lari dari syariah.

Allah memerintahkan kita supaya bertanggungjawab kepada kedua ibu bapa kita. kedua ibu bapa kita sendiri. Yang darinya kita dilahirkan. Yang mengandungkan. Yang membesarkan. Yang memanusiakan kita. Lalu kita berkerjaya. Berumahtangga. Memiliki keluarga sendiri. Datangkah keinsafan bahawa beranak pinak sebenarnya pengalaman yang perlukan kesabaran. Mengikat perut. Menyekat tekak. Berjimat seadanya demi masa hadapan anak-anak. Maka seorang anak selalu mendongak meminta dari ibu dan bapanya. Sampai ketikanya mereka menjauh kerana mereka melayani anak-anak mereka yang mendongak seperti diri mereka semasa kecil dahulu. Dalam kitarannya anak-anak mendongak semasa kecil dan remaja. Mereka memandang jauh apabila dewasa. Mereka menunduk menunggu apabila tua.

Siapa yang ditunggu jika bukan anak dan cucunya. Semasa meningkat tua yang selalu dirindu ialah cucu-cucu. Apabila cucu-cucu itu mendewasa apa yang tinggal kepada datuk dan nenek. Kerana itulah anak-anak diperintahkan supaya menjaga kedua ibu dan bapanya sehingga mereka sampai usia. Sehingga ke akhir hayat mereka. Disediakan tempat tinggal yang selesa. Makan dan minum yang terjaga. Kesihatannya yang selalu diurus. Maknanya seorang anak menghadapi dua peranan besar. Memanusiakan anak-anak dan pada masa yang sama mengurus ketuaan kedua ibu dan bapa. Apabila anak-anak sudah berkeluarga sedangkan kedua ibu dan bapa masih ada, maka pilihan yang diredhai Allah ialah menjaga kedua ibu dan bapa. Bukan lagi anak dan cucu.  Jika dari bawah, cicit menjaga cucu. Cucu menjaga ibu bapa. Ibu bapa menjaga datuk dan nenek. Datuk dan nenek menjaga moyang. Kitaran ini perlu dijaga supaya kekal dengan tanggungjawab. Semua lapisan generasi memainkan peranan mereka masing-masing. Tidak bermakna kita meninggalkan terus hingga terputus tanggungjawab kita terhadap anak dan cucu hingga ke cicit. Pelihara keutamaan sahaja.

Rasanya terlalu sangat sedikit orang yang mampu menjaga cicitnya. Cucupun barangkali sudah di luar kemampuan. Tenaga sudah berkurangan. Tumpuan sudah banyak yang hilang. Minat juga sudah merudum.  Kesihatan mungkin kurang mengizinkan. Lagipun masa tua adalah masa senggang yang ditunggu sejak dari muda. Ingat kembali ketika ibu selalu tidak kering kainnya. Tidak kering keringatnya. Tidak serapi pakaiannya. Tidak tentu duduknya. Tidak tentu jalannya. Tidak tentu bila berhentinya. Makan dan minumnya juga tidak menentu kerana anak-anak yang selalu minta diurus. Menunggu dilayan segera.

1                 Ada yang perlu dimandikan.
2                 Ada yang perlu diistinjakkan.
3                 Ada yang menangis takut ditinggalkan.
4                 Ada yang meminta didukung.
5                 Ada yang meminta ditidurkan.
6                 Ada yang perlu dipakaikan baju.
7                 Ada yang perlu disusukan.
8                 Ada yang perlu disuapkan makanan.
9                 Ada yang perlu diajar membaca al-Quran.
10            Pinggan perlu dicuci.
11            Pakaian perlu dibasuh.
12            Rumah perlu dikemas.
13            Lantai perlu disapu dan dimop.
14            Pakaian sekolah perlu diseterika.
15            Pakaian perlu dilipat dan disusun dalam almari.
16            Anak yang sakit perlu dirawat. Dibawa ke kelinik.
17            Tidur anak dihalau nyamuknya.
18            Pelajaran anak-anak dipantau.
19            Pada masa yang sama ibu itu juga sedang mengandung.

Kedua ibu dan bapa berada dalam kedudukan yang tinggi selepas Allah dan RasulNya. Tarafnya ketiga selepas Allah dan Rasulallah. Ibu dan bapa perlu wajib dimuliakan walau apapun keadaannya. Baik masa sihatnya. Baik masa uzurnya. Baik masa senangnya.  Baik masa susahnya. Baik masa gagahnya. Baik masa lemahnya. Proses tua tiada hentinya.

1                 Penglihatan semakin pudar.
2                 Pendengaran semakin sayup menjauh.
3                 Makannya antara gigi dan gusi.
4                 Lanhkahnya menapak perlahan semula.
5                 Sendi yang lemah dan gagal digagahi.
6                 Kulit dan tulang bertaut kering. Berkedut dan berkerut.

Tiada yang lebih baik selain dari berada di samping mereka. Menghadirkan diri di hadapan mereka. Berada untuk dipandang. Untuk didengar suaranya. Untuk dirasa sentuhan tangannya. Mengimbau semula kenangan masa lalu yang telah berlalu terlalu lama. Masa anak-anak keriuhan bersama. Yang ketika itu tiada yang lebih indah untuk diingat.

1                 Makan yang selalu lambat kenyangnya.
2                 Ada masanya makanan dicatu bahagi.
3                 Tidur yang bukan di tilam empuk.
4                 Siangnya panas tanpa pendingin hawa.
5                 Malamnya sejuk tanpa selimut tebal dan pendiang api.
6                 Wang ada dibajet dan diruncit-runcitkan belanja.

Di mana ibu dan bapa di hati kita. Di mana datuk dan nenek di hati kita. Jika terurai kitaran yang sudah Allah meteraikan maka putuslah kasih sayang yang dipadukan.

1                 Hari tua menjadi penantian yang panjang. Meninjau anak dan cucu jika datang.
2                 Makan kurang selera kerana keriuhan yang dahulu hilang sudahnya.
3                 Ibu dan bapa menjadi kain buruk yang hanya layak menjadi pengelap debu.
4                 Tanpa keduanya di hadapan mata tentu banyak yang tidak dapat kita laksanakan selayaknya.

Banyak yang perlu kita lakukan untuk kedua ibu dan bapa kita. Selagi hayat mereka masih ada. Anak-anak lelaki wajib berdiri gagah bersama mereka. Anak perempuan isteri orang. Menantu orang. Ada susur galur generasinya yang tersediri. Walau bagaimanapun berbuat bakti dengan izin suami tentu banyak menyumbang kepada kebahagiaan kedua ibu bapa.

1                 Anak lelaki wajib ke hadapan. Proaktif terhadap keperluan kedua ibu dan bapa.
2                 Anak-anak perempuan wajib mendapat izin suami masing-masing.
3                 Jika ibu dan bapa tinggal berasingan janganlah mengharap-harap orang lain menjengah mereka. Setiap anak menjadualkan diri untuk bersama mereka.
4                 Sediakan keperluan makan dan minum mereka secukupnya.
5                 Jika ibu bapa tinggal dengan seorang anak maka anak-anak yang lain jangan pula lepas tangan. Perlu menyumbang meringankan tanggungan anak yang menanggung ibu dan bapa.
6                 Apabila mengadakan kenduri kendara atau apa-apa majlis jangan lupakan ibu bapa atau datuk nenek yang sudah tua. Tanamkan rasa rindu kepada mereka.
7                 Jangan tunggu semasa sakit baru dijengah. Penulis takut ibu dan bapa merajuk atau kecil hatinya. Ada kemungkinan matinya ada anak yang tidak dapat melihat jasadnya. Orang akan menjawab: Jika hidupnya tidak dijengah. Jika sakitnya tidak dijengah. Mengapa matinya perlu dilamakan jasadnya.
8                 Bawa mereka berjalan-jalan. Hiburkan hati mereka selalu.
9                 Jamu mereka dengan apa sahaja makanan sementara mereka masih ada selera. Setiap kali menyuap makanan, ingat ibu dan bapa yang dahulu menyuapkan kita makanan ke mulut kita.
10            Ibu dan bapa mungkin tidak mampu bertandang ke rumah anak-anak. Anak-anaklah yang perlu mengambil mereka. Bawa ke rumah. Layan sebaiknya. Jamu sekenyangnya.


Masa akan terus berlalu. Sampai masanya kita yang muda akan menjadi tua. Berada dalam kedudukan datuk dan nenek kita dahulu. Ramai ibu dan bapa juga kurang berkeupayaan dari segi ekonomi. Cuculah yang seharusnya menghantar ibu dan bapa ke rumah datuk dan nenek. Mungkin juga cicit yang berbuat begitu. Kita didik anak-anak supaya mengingati yang tua. Mudah-mudahan tua kita diingati generasi kita. Kelangsungan kitaran keluarga ini biarlah berterusan sampai bila-bila. Andainya boleh hapuslah rumah orang tua-tua. Tempat mereka sewajarnya bersama anak atau cucu. Ingatlah kita datang dari ibu dan bapa. Ibu bapa kita dari datuk dan nenek. Datuk dan nenek dari moyang kita. Sukar mencari keturunan buluh betung. Atau lahir dari busut. Setiap kita lahir dari ibu dan bapa. Mudah-mudahan sah tarafnya. Atau dewasanya disahkan tarafnya melalui proses agama yang betul.