Friday, February 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembali Ke Aras Laut



Berada di kayangan hanya sebentar sahaja. Sekadar dua jam yang tidak lama. Pagi itu puncak Tursina ditinggalkan juga. Dalam sejuk dan angin yang datangnya bergelombang dituruni Bukit Tursina. Kira-kira tiga jam yang tiada hentinya. Alhamdulillah dalam letih mendaki rupanya masih berbaki tenaga untuk menuruni bukit. Ingin segera kembali ke Fox Camp. Banyak ucapan tahniah dari kiri dan kanan. Terima kasih banyak-banyak. Sampai di situ kira-kira pukul 8.30 pagi. Sarapan pagi itu seperti tidak tertelan. Minum sahaja. Terlalu keletihan yang amat sangat. Hilang selera makan. Selalunya selepas bekerja keras lapar menjadi-jadi. Tetapi kali ini mungkin terlalu keletihan sehingga selera juga turut hilang bersama peluh yang mengalir di badan. Hujung jari kaki masih terasa sakit untuk beberapa hari. Mungkin semasa mendaki dan menuruni bukit hujung jari menekan kasut. Lupa pula hendak memotong kuku sebelum melakukan pendakian. Itu juga faktor penyumbang.

Tengahari 14 Februari 2014 hingga ke petang berehat di Dahab. Sebuah bandar pelancongan tepi pantai di tepi Teluk Aqaba yang dikongsi oleh empat negara iaitu Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi. Di Dahap banyak aktiviti pelancongan seperti menyelam, snorkeling, belayar dan sebagainya. Ada juga lawatan yang boleh diatur ke Jordan terutamanya ke Petra yang terletak di Selatan Jordan. Walaupun sudah dua kali menziarahi kota purba Petra penulis masih rindu lagi akan kecantikannya. Warna warninya. Keidnahannya terlalu menawan. Al-Siq yang menjalur dan warna-warni. Aduhai! Di Dahap penulis dan yang lain santai sehingga hari pagi Ahad. Hari-hari yang berlalu diisi dengan santai selepas keletihan mendaki. Makan dan minum. Bersiar-siar di pekan Dahap.

Dahap adalah sebuah pusat pelancongan yang meriah pada waktu-waktu kegemilangannya. Namun apa yang penulis dapati hanyalah kesepian. Banyak kedai-kedai yang telah lama ditutup. Apabila kita berkunjung ke kedai-kedai yang ada mereka seolah-olah merayu kita membeli barang-barang yang mereka jual. Apabila kita tawar-menawar masih ada layanan yang diterima. Tidak ada kesombongan atau kesibukan sehingga menolak sebarang tawar-menawar. Penulis bersiar-siar bersama isteri. Santai sesantainya. Tidak ramai pelancong asing yang selalunya berduyun-duyun dari Eropah. Rata-rata pekedai fasih berbahasa Inggeris, Perancis dan bahasa-bahasa yang lain. Mesir hampir dengan Greece, Italy, Germany dan Sepanyol. Banyak interaksi antara mereka. Pastinya rakyat Mesir yang berniaga diperlukan menguasai beberapa bahasa asing.

Seronok juga melihat-lihat deretan kedai makan di tepian pantai. Kesuraman sahaja yang memanjang pantai. Banyak antara kedai-kedai makan itu yang ditutup. Banyak yang kesunyian dari pelanggan. Kedai-kedainya dihias cantik bak istana Arab. Pelanggan sahaja yang tiada. Mana-mana yang masih beroperasi tentunya dengan tight budget. Dengan survival yang tinggi. Mungkin modal pusingan masih boleh dipusing-pusingkan lagi. Dana masih mencukupi. Jika mengikut fitrahnya mereka tidak mampu bertahan. Penulis dan beberapa orang rakan mencuba juga makanan di situ. Teringat sewaktu di Canada dahulu. Restoran antarabangsa kebanyakannya mirip antara satu sama lain dari segi makanan. Ikan, sotong dan udang panggang di Dahap sama rasanya dengan yang penulis makan di Toronto, Canada. Itulah rasanya. Terasa masin dan mungkin masam. Ia sesuai untuk makan sekali cuba sahaja. Lidah Melayu seperti lidah penulis lebih biasa dengan masakan Melayu Malaysia. Banyak rencah dan ramuannya. Kepelbagaian rasanya terlalu banyak. Kita sahaja yang jenuh membuat pilihan. Mungkin tidak semua chef boleh memasaknya.

Ada sesuatu yang sangat menarik di Dahap. Bandarnya bersih sesuai dengan statusnya sebagai bandar pelancongan. Disesuaikan dengan selera Eropah. Selera pelancong antarabangsa. Penduduknya yang kebanyakannya berniaga didatangkan khas. Mereka lebih terpelajar. Lebih profesional. Lebih mengetahui keperluan kebersihan yang selalunya dinafikan di kebanyakan tempat di Kaherah. Penulis melihat banyak juga usaha untuk mencantikkan Kaherah. Namun begitu kebiasaan dan budaya terlalu perlahan perubahannya. Muhammad Abduh telah lebih seratus tahun bercakap mengenai kebersihan. Harapannya masih belum dapat direalisasikan. Di Dahap umpamanya, sampah sarap bukan kesemuanya diuruskan oleh majlis perbandarannya. Peniaga-peniaga sendiri mengambil inisiatip secara berkelompok untuk mengurus sampah yang mereka buat. Ada yang memungut dan menghantarnya ke tempat pengumpulan sampah. Dilihat lebih terurus. Tidak hanya mengharap sahaja.

Penulis mendapati terdapat dua pengajaran besar dari Dahap. Pertamanya, proses masak-memasak tidak boleh dilakukan di atas air. Semua dapur berada di atas darat. Jauh sedikit dari pantai. Tidak ada langsung sisa makanan dan minuman yang dibuang ke laut. Dalam bahasa undang-undangnya, dilarang. Seperti diharamkan. Dilarang langsung tanpa sebarang pengecualian. Tanpa kompromi. Hatta semua air kumbahan melalui proses pembersihan terlebih dahulu. Hanya yang benar-benar bersih sahaja dilepaskan ke laut. Kebanyakan tempat makan berada di gigi air. Jauh dari tempat memasak. Mungkin kira-kira 50 meter. Menyeberang jalanraya yang memisahkan antara tempat memasak dan tempat makan. Keduanya, tidak ada sisa makanan dari tempat makan yang dibuang ke laut. Kesemuanya dibawa ke bahagian pembersihan untuk pemprosesan. Atau pembuangan.

Apa yang penulis lihat ialah sehingga di gigi air, kejernihan airnya memang terpelihara. Tidak ada pencemaran air. Banyak berjalan terluas pemandangan. Semasa berjalan inilah kita terjumpa dengan hal-hal yang di luar jangka. The unexpected. Kebersihan di negara kita yang tercinta belum mencapai tahap terbaik. Bila penulis berada di Dahap rupanya kita masih lebih jauh dari yang dijangkakan. Rakyat Malaysia terlalu ramai yang tidak peka dengan signifikannya pencemaran air dalam kehidupan kita pada keseluruhannya. Kita perlu ingat apa yang kita lakukan pasti kembali kepada kita. Apabila kita melakukan pencemaran, maka pencemaran itu seolah-olahnya kita menganiaya diri kita sendiri. Kita sendiri yang menerima akibat perbuatan kita itu. Apabila air kotor, kita yang susah. Bermacam-macam akibatnya.

Malangnya pencemaran di negara kita menjadi-jadi tanpa had. Tidak ada penguasa yang berwibawa. Tidak ada individu yang dapat digalaskan tanggungjawab. Kita membina kemakmuran negara tetapi kita mencemarkan keperluan asas kita sendiri. Di kampung air dicemar dengan baja dan racun rumpai atau racun serangga. Di pekan kecil longkang dan parit dicemar dengan minyak dan kotoran dan air kumbahan oleh ke semua peniaga. Di bandar besar, sisa kilang dilepaskan ke longkang, parit dan sungai. Di tepi pantai pusat-pusat peranginan melepaskan kesemua bahan buangannya ke laut. Dari kampung ke pekan ke bandar hingga ke laut kita terkepung dengan pencemaran. Jika sesuatu tidak dilakukan dengan segera maka kita semua yang akan menerima konsekuennya. Bukan orang lain.


Di negara maju seperti Great Britain air kumbahan dan kotoran diproses sehabis bersih sebelum dilepaskan ke Sungai Thames. Sungai yang pada suatu ketika dahulu tidak memungkinkan sebarang kehidupan kini sangat bersih. Kehidupan air yang dahulu kembali memeriahkan sungai itu. Maknanya pencemaran air boleh dielakkan. Memanglah kosnya tinggi. Tetapi demi warisan akan datang maka usaha mengelak pencemaran sepatutnya menjadi keutamaan. Agenda nasional yang tidak boleh diabaikan. Yang perlu disegerakkan untuk dilaksanakan oleh semua rakyat. Mereka semua membantu semampunya mengikut peranan masing-masing. Pendidikan di sekolah sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan kepimpinan yang boleh membawa minda dan tindakan rakyat ke arah itu. Kita laksanakan sebelum kesemuanya menjadi terlambat.

Tuesday, February 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Epilog Tursina



Dalam banyak hal kita selalu membuat perbandingan relatif antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Apabila kita mencipta sejarah ianya relatif signifikan kepada yang melakukannya. Pada sudut yang lain ianya tidak penting. Ada yang lebih pending dalam sejarah itu sendiri. Masanya penting. Tempatnya penting. Ceritera panjangnya penting. Perasaan yang terhimpun adalah penting. Semangat yang kuat juga penting. Stamina rasanya sangat penting. Rakan-rakan peserta juga penting kerana banyak bantuan dari mereka. Apatah lagi psikologi yang unggul. Iman yang tinggi bahawa Allah memudahkan segala-galanya. Doa dan harapan yang dimakbulkan. Pertolongan Allah yang tidak terhingga. Pertolongan sesama manusia yang banyak bilangnya.

Kita sebenarnya tidak pernah mengetahui diri kita secara dekat. Sejujurnya kita selalunya hanya membuat andaian. Membuat premis yang belum tentu betul. Apatah lagi hipotesis yang belum tentu boleh diuji. Variabelnya belum tentu dapat kita senaraikan antara yang signifikan dengan yang tidak. Mungkin kita perlu banyak menjalani ujian diri. Ujian potensi. Setelah melalui siri ujian-ujian yang tertentu barulah kita mengetahui di mana status kita yang sebenarnya. Ada testimoni yang dapat dibaca. Ada dalil yang dapat dipersembahkan. Pun begitu kesemuanya bukan untuk ujub. Bukan juga untuk riak. Bukan juga untuk besar diri. Kita hanya ingin tahu diri kita lebih dekat. Lebih mengerti tentang apa yang boleh kita lakukan. Apa yang tidak mampu kita lakukan. Mungkin perkongsian pengalaman membuka hati dan minda orang lain untuk menjadi lebih positif. Sesuatu yang dilihat tidak bermungkinan hanya tergantung tidak diketahui kesudahannya tanpa ada percubaan.

Benarlah kata mereka yang mengetahui, jangan menyerah sebelum mencuba. Tidak mungkin ada kejayaan tanpa percubaan. Kejayaan pastinya selalu berhadapan terlebih dahulu dengan kesukaran. Melalui berbagai halangan mental dan fizikal. Pemikiran yang positif dan negatif yang silih berganti. Menyerah kalah sebelum mencuba terasa aib diri. Menyerah setelah mencuba barangkali lemah mentalnya. Menyerah setelah hampir berjaya sukar difahami. Berjaya setelah mencuba adalah suatu anugerah. Diam setelah berjaya tidak dapat dikongsi ceritanya. Terlalu banyak bercerita siapa pula yang mahu membaca dan mendengarnya. Perspektif kita berbeza. Mudah-mudahan perkongsian ikhlas sahaja yang memungkinkan kita melihat sesuatu dengan lebih berlapang dada. Bukankah Allah sentiasa bersama kita?

Mendaki puncak bukan kesemuanya cerita derita hati. Bukan pula penyeksaan fizikal. Ada yang manis untuk dikenang. Menjejak puncak adalah manis. Lebih manis dari sewaktu dipuji semasa muda. Semasa kulit belum berkedut. Manis kerana beroleh jaya. Puncak tinggi yang selalunya melebihi ketinggian puncak-puncak yang lain di sekelilignya. Cuma jangan lupa bahawa di tempat lain ada yang lebih tinggi. Sesungguhnya langit itu tinggi.  Sukar memilih perkataan dan ayat untuk menggambarkan manis di puncak Tursina. Kepada orang putih satu perkataan sahaja. Miracle. Penulis tidak berfikir begitu. Ianya bukan suatu keajaiban. Sesungguhnya ia anugerah Allah. Mendapat limpah kurnaiaNya. Manisnya ditambah kerana faktor usia yang jarang diberi kelebihan apabila sudah melepasi jangkaan biasa. Fizikal pula tidak pernah teruji seberat itu.

Melalui berbagai kepahitan adalah asam garam menuju kejayaan. Jarang berlaku yang pipih datang melayang. Yang bulat datang bergolek. Kita yang selalu terlayang. Kita juga yang selalu tergolek. Kejayaan berada di hadapan atau di atas atau kedua-duanya. Di hadapan dan di atas. Untuk ke hadapan banyak susah payahnya. Apatah lagi batu, krikil dan pasir yang belum tentu selamat untuk dipijak. Yang belum tentu memberikan kelebihan. Malah kadang-ladang membahayakan. Menambah risiko. Benar juga kata Konficius, perjalanan yang jauh itu dimulakan dengan langkah yang pertama. Jika tidak dimulakan pastinya yang dekat sekalipun tidak kesampaian. Dengan awal bismillah kita mulakan. Dengan alhamdulillah kita persembahkan apabila tiba di puncak. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Bahawa untuk mendaki ke atas terlalu banyak kesukarannya. Namun apabila langkah dikejapkan ke langkah yang berikutnya ia mendekati sarasan. Jauh hanya ukuran. Tinggi hanya relatif.

Dalam terang kita melihat. Mata kasar kita nampak mudah yang di hadapan. Nampak kepayahan yang bakal ditempuh. Boleh mengira risiko yang berkemungkinan. Dalam terang kita lebih pasti dengan ketidakpastian yang ada di hadapan kita. Kita boleh membuat perancangan yang serapi mungkin. Boleh mengatur strategi yang mantap. Melaksanakan proses yang langkahnya dilakukan mengikut turutan yang lebih padu. Tetepi dalam gelap kita membuat pertimbangan yang lebih wajar. Kita tidak boleh bergerak dalam gelap tanpa mengetahui gelap di hadapan kita. Perlu banyak persediaan. Kita mengetahui bahaya yang mungkin dihadapi. Tetapi kita tidak melihatnya. Hanya perasaan kita yang mengerti. Menghidu bahaya yang datang. Naluri kita yang terlatih pasti lebih tajam lagi jangkaannya.

Apabila kita menonton filem atau video kita kadang-kadang tidak faham. Mengapa ada selingan lelucon. Ada jenaka. Ada watak kelakar. Ada situasi yang melucukan. Ada yang lucu dari kata-kata atau tingkahlaku yang berbagai. Didengar lucu. Dilihat lucu. Yang lebih hebat ialah ianya selalu diingat dan tetap melucukan. Dalam kepayahan mendaki Bukit Tursina tidak kurang juga peristiwa lucu sebegitu. Maaflah. Lucunya mungkin terlampau. Ianya tidak lucu sewaktu berlaku. Apabila dikongsi cerita, datang lucunya. Entah mengapa penulis kerap membuang angin semasa mendaki. Sedang mengangkat kaki terasa angin mendesas keluar. Mungkin pergerakan fizikal melonggarkan rongga-rongga dalaman untuk memudahkan angin mencari laluan keluar. Sedang memijak batu angin yang lain pula keluar. Begitulah berulang-ulang. Rupanya orang lain ada yang mengalami hal yang sama. Terdengar dalam pendakian seorang peserta lelaki memberi kenyataan lucu bahawa rakannya banyak membuang angin. Angin adalah milik individu. Orang lain mengetahuinya apabila terhidu sesuatu yang dikenalpasti sebagai angin. Atau apabila terdengar bunyi yang dikenalpasti sebagai angin. Angin tetap angin. Bagi orang Melayu ianya tetap lucu. Kita tahu angin dan penangannya.


Cerita Tursina ini pastinya panjang untuk dirakam dengan kata-kata. Lama untuk berada dalam lipatan. Mereka yang bersama mengetahui ceritanya. Mereka yang membaca mengetahui sejarahnya. Mudah-mudahan banyak manfaatnya untuk kita sama-sama membina masa hadapan yang puncaknya lebih tinggi. Yang manisnya melebihi madu. Yang indahnya membunga harapan mewangi selalu. InsyaAllah.

Monday, February 17, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Terakhir)



Kami berada di puncak Tursina hanya selama lebih sedikit dua jam. Dari 3.50 pagi hingga 6.15 pagi. Dua jam yang penuh dengan berbagai cabaran dan dugaan. Sejuk dan angin yang kencang dan menerjah-nerjah. Penat sudah tidak boleh diceritakan lagi. Sudah habis tenaga apabila sampai sahaja di puncak. Tiada tempat berlindung. Angin yang memukul muka sangat kuat. Seperti menampar-nampar muka. Bersamanya berterbangan pasir dengan kuatnya menghentam kami.  Dari mana pasir itu? Kami tidak tahu. Mungkin dari bukit yang berhampiran. Surau yang ada hanya dibuka sebelum solat Subuh. Untuk melahirkan rasa kesyukuran yang amat sangat kami lakukan juga solat sunat. Berdoa kepada Allah dan sampaikan apa yang tersimpan di hati. Sebelum itu untuk wuduk ringkas sangat menyakitkan kulit. Air yang kami sapu di muka, tangan dan kaki benar-benar seperti ais. Sejuk sesejuknya. Jari jemari penulis seperti kaku dalam sarung tangan. Jejari kaki pula seperti tidak terasa. Kami solat sambil duduk. Atas batu. Ruang pula sangat sempit. Cukup untuk duduk. Tidak mungkin untuk sujud sepenuhnya. Keadaan tidak mengizinkan. Solat Subuh juga kami lakukan seperti itu. Puncak itu tempat Nabi Musa a.s. bermunajat. Mesir adalah bumi anbia. Sinai pula sebahagian dari bumi Syam. Berbanyak doa sangat perlu. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan Allah seperti makbulnya doa Nabi Musa a.s.

Setelah melakukan pendakian tentu peserta kehabisan cebisan tenaga fizikal. Mereka mencari tempat berehat. Badan pula letih yang teramat sangat. Hanya tidur sahaja yang  menjadi ubatnya. Puncak adalah tempat yang tinggi secara relatif. Tidak semua orang boleh berada di puncak. Tidak semua yang berada di puncak kekal lama di puncak itu. Dalam dunia realiti ramai antara mereka yang pernah berada di puncak gayat dengan puncak itu. Keadaan dirinya berubah dari baik menjadi lebih baik. Atau dari baik menjadi hilang kebaikannya. Datang perasaan yang bukan-bukan sehinggakan tindakannya tidak dimengerti oleh orang lain. Apatah lagi apabila yang dipentingkan hanya dirinya sendiri. Orang di sekeliling tidak diberi perhatian. Tidak dirujuk. Tidak dimanfaatkan.

Ada  peserta yang tidak berkesempatan meraikan keberadaan mereka di puncak itu. Keadaan pula memang mendesak. Sejuk, angin kencang dan keletihan menguasai suasana. Kerana itu ada peserta terus menyewa selimut. Terlalu sejuk. Mereka berlindung di sebalik selimut. Terelak dari terjahan angin kencang yang menujah puncak bukit Tursina itu. Pada pengamatan penulis, mereka kesemuanya tertidur dengan segera. Jika Nabi Musa a.s. bermunajat di puncak ini maka kita ambil iktibar dari pengalaman baginda itu. Bersyukur seikhlasnya kerana dianugerahkan tenaga yang bukan kepalang untuk berada di puncak yang syahdu itu. Rupanya berada di puncak merupakan suatu tanggungan berat yang tidak tergalas oleh perasaan. Ketika sejuk dan angin kencang menampar-nampar yang difikirkan hanya tempat melindungi diri dari sejuk dan terjahan angin.

Penulis dan isteri tidak dapat melelapkan mata. Di puncak itu kami merasakan kesejukan yang teramat sangat. Tidak memungkinkan kami  selesa melelapkan mata. Peristiwa pendakian itu sendiri terlalu besar untuk diingat. Tidak terancang sebelumnya bahawa pendakian itu dapat kami lakukan. Sesudah berada di puncak tidak ada lagi gambaran indah kecuali bersyukur kepada Yang Maha Agung. Berzikir sebanyaknya. Memohon perlindungan dari sejuk yang terlalu mencengkam. Ada peserta yang  kehilangan betah bertahan. Ada yang merayu supaya kami turun segera. Mungkin agenda kami berbeza. Untuk berada di puncak suatu kehadadiran luar biasa. Memanfaatkan keberadaan itu sesuatu yang perlu diperindahkan. Bukan semudah melangkahkan kaki. Menjejak yang tinggi tentunya sesuatu yang jarang terlaksana. Sesudah dijejak terpana sebentar dengan anugerah Ilahi. Syukur padaMu ya Allah.

Angin bukan sebarang angin. Dari mendaki hingga di puncak kencangnya menggugat tubuh. Terlayang jika tidak tahu menguasai diri. Betul juga. Apabila angin sedang mendesah dan kita pula berjalan, tubuh kita hilang imbangan. Isteri penulis berasa terlayang sebentar. Makcik, kalau ada angin kencang, jangan jalan. Nasihat spontan seorang peserta lelaki kepada isteri penulis. Betapa kencangnya angin ketika itu. Di bawah pula gaung yang curam. Sangat mengerikan. Sewaktu turun begitu juga. Angin kencang tiada hentinya. Sepanjang di puncak diselimuti angin. Sepanjang menuruni bukit juga dibayangi angin kencang.

Rakaman gambar dan rakaman perasaan berbaur dengan kerisauan yang memuncak-muncak. Tahankah kami untuk menunggu hingga pukul 6.00 pagi? Hingga selapas waktu solat Subuh. Selepas nanti matahari pagi memunculkan wajah indahnya di sebalik ufuk timur waktu pagi yang sangat dingin dan sedikit kabus yang menyelubungi puncak pagi gunung dan bukit di kejauhan. Bergetar perasaan dek sejuk itu. Sejuk sesejuknya. Suhu di Fox Camp dirakamkan sekitar 3°C. Rasanya suhu di puncak Tursina sudah di bawah paras beku. Salji sahaja yang tidak turun. Namun kesan salji tetap ada di sekeliling bukit di sekitarnya. Jari tangan dan kaki kaku kesejukan. Sarung kepala bukan lagi menutup kepala. Ditarik ke bawah untuk menutup hidung, telinga dan mulut.

Menjejak kaki di puncak hanya rakaman suatu titik masa. Suatu detik waktu. Suatu noktah sebahagian dari suatu peristiwa. Di puncak itu sendiri penuh dengan cabaran yang bukan calang-calang banyaknya. Sejuk kadang-kadang bukan kebiasaan kita. Angin kencang juga bukan kebiasaan kita. Apabila keduanya bergabung maka kita yang dipuncak tergapai-gapai harapan mencari lindung yang tiada. Ketabahan sahaja yang perlu diredam. Doa sebanyak mungkin yang diucapkan bibir dan hati. Betapa pasir yang menerjah datang menambah derita seketika itu. Bahawa puncak bukan tempat main-main. Ianya tempat istimewa yang penuh dengan gambaran keistimewaannya. Tempat yang syahdunya menebar alam. Bahawa di situ Nabi Musa a.s. munajatnya diterima Allah. Di situ dialog Taurah yang indah antara Nabi Musa a.s. dan Robbnya. Kita hanya merakamkan secebis dari peristiwa besar itu. Jika Nabi Musa a.s. berada di puncak itu selama 40 hari maka pengalaman dua jam tentulah tidak seberapa. Terlalu sedikit untuk disebut. Terlalu kecil untuk dirakam. Terlalu sangat tidak signifikannya. Namun begitu merasakan yang sedikit itu memberi kesempatan untuk kita menginsafi bahawa ada orang lain yang lebih derita dari kita. Lebih azab dari kita. Begitulah perlunya banyak bersyukur. Banyak memperhambakan diri. KeranaMu Allah. Aku pohonkan keampunanMu. Ku pohonkan keampunan kerana kekuranganku. Bantulah aku untuk terus lurus di jalanMu.

Demi Puncakmu Tursina

I – Nukilan Penulis

Syahdu menggapai fajar
Sebuah dialog Taurah
Musa yang sendiri dan Robbnya
Puncakmu saksi abadi berzaman
Saat jejak kakiku
Senarai panjang jejak langkah
Batu, kerikil dan pasir
Dalam terjahan sejuk angin
Tanpa makbulnya doa
Tekad dan kudrat hilang upayanya
Sebuah hati meredam rindu
Robbku dan Robbmu Musa
Rindu di puncak
Syahdu sebuah cinta


II- Nukilan Isteri Penulis

Demi puncakmu Tursina
Allah mengizinkan aku di sini
Demi puncakmu Tursina
Cintaku  kepadamu mekar mengabadi
Demi puncakmu Tursina
Menaut tambat qalbu yang terasing
Demi puncakmu Tursina
Tenaga dipadu
Menggelora semangat
Rapi langkah diatur
Ku harungi batu batan
Kecil besar
Menapak rela sakit 
Aduh!
Menyerah? Oh! Tidak
Tekad berjuang 
Cita idaman pasti diburu 
KeranaMu ya Allah
Ku himpunkan kesabaran
Bersama doa tanpa noktah
Suatu pengorbanan
Kejayaan menanti
Jejak kaki di puncak tinggi


Tamat sudah sebuah kisah. Jaya sebuah puncak. Merakamkan suatu detik masa yang berlalu dengan cepat. Laluan panjang yang digarap hanya sejarah yang berlalu. Dalam sejarah itu ada pelaku. Kita hanya hamba. Pelaku tanpa nama.

Sunday, February 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Pertama)



Tuan haji nak naik sama ke?
InsyaAllah.
Isteri tuan haji ikut sama?
InsyaAllah.

Pertanyaan yang sama diajukan kepada isteri penulis. Jika penulis ditanya oleh peserta lelaki, isteri penulis pula ditanya oleh peserta perempuan dan lelaki. Mungkin peserta lelaki lagi tinggi skeptikal mereka. Tuan Haji Maulan dan Tuan Syed Ahmad juga turut menanyakan soalan yang sama. Kesemua soalan itu kami anggap pertanyaan biasa. Tanpa apa-apa maksud. Kami tidak merasa apa-apa seperti diskriminasi umpamanya. Mungkin mereka khuatirkan kemampuan kami.

Makcik nak ikut sama ke?
InsyaAllah.

Rasanya pertanyaan itu banyak kali. Dari orang yang berbeza. Mungkin untuk kepastian. Atau agak skeptikal. Penulis sendiri tidak merasa apa-apa tentang itu. Jika mereka pergi, kami ikut pergi. Mereka daki. Kami daki. Kebetulan kamilah yang berumur berbanding peserta yang lain. Paling muda 16 tahun. Berapa usia kami pula. Aduhai, perlu nyatakan juga ke? Jangan terkejut penulis berusia 67 tahun setengah. Isteri penulis 63 tahun setengah. Ketika sebelum pendakian tentu ramai yang tidak yakin dengan kesungguhan kami. Betul ke orang tua ni? Petang sebelum pendakian kami berada di persimpangan jalan menuju ke Bukit Tursina. Di situ tempat permakaman Nabi Harun a.s. Di situ juga tempat Samiriy membuat patung lembu seperti tercatat dalam surah al-Baqarah. Al-Baqarah itulah cerita mengenai lembu emas ciptaan Samiriy. Pengikut Nabi Musa a.s. yang membawa sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. menjadi kufur.

Peristiwa-peristiwa di sekitar tempat itu yang membawa Nabi Musa ke puncak Bukit Tursina. Perintah Allah untuknya. Yang juga dikenali Bukit Sinai. Ada pula yang memanggilnya Bukit Musa. Bukit yang tertinggi di Sinai ini dihuni Nabi Musa a.s. selama 40 hari dan 40 malam. Bermunajat sesunggunhnya di hadapan Allah S.W.T.  Nabi Musa a.s. pula adalah satu-satunya nabi yang boleh berdialog terus-menerus dangan Allah tanpa sebarang perantaraan selain dari Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Musa a.s. berdialog di bumi. Rasulallajh s.a.w. pula berdialog dengan di langit dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Lazimnya malaikat Jibril menjadi perantaraan antara Allah dan nabi dan/atau rasul yang lain. Kepada manusia biasa 40 hari dan 40 malam itu bukan sesuatu yang indah. Nanti penulis senaraikan sebabnya. Kepada Nabi Musa a.s. tentulah keindahannya tidak dapat digambarkan oleh manusia biasa seperti kita. Nabi Musa a.s. berada di puncak bukit bersama dengan Robbnya. Ya, bersama dengan Robbnya. Apakah ada lagi yang lebih baik dari itu. Lebih indah dari itu. Lebih syhadu dari itu. Lebih mengenal erti diri dari itu. Berada dekat dengan Allah tentulah sesuatu yang teragung kisah mana-mana cinta. Cinta abadi kepada Yang Khaliq. Apatah lagi cinta seorang Rasul kepada Robbnya. Allahuakbar.

Hari itu, Khamis malam Jumaat bermula pada pukul 11.00 malam 13 Februari 2014. Puncak Bukit Tursina setinggi 2,248 meter itu dijejak pada pukul 3.50 pagi Jumaat 14 Februari 2014. Bukan dua hari. Cuma sekitar empat jam 50 minit. itu dari Fox Camp. Dari pintu masuk sekitar 3 jam 50 minit. dalam jangka waktu biasa. Taklimat dan cerita yang penulis terima mengatakan pendakian secara normal memakan masa empat jam. Terfikir juga berjalan kaki selama empat jam. Laratkah? Pengalaman sewaktu muda-muda dahulu banyaklah juga berjalan. Tetapi itu dahulu sewaktu berumur 20an. Kaki masih lagi seperti spring. Sekarang hampir 68 tahun. Tidak banyak terbayang bahawa perjalanan itu sebenarnya suatu pendakian. Berjalan dan mendaki dua aktiviti fizikal yang berbeza. Berjalan sahaja sudah dianggap fizikal. Yang ini mendaki. Tuntutan fizikalnya berganda-ganda. Penulis pula tidak bimbang tentang isteri. Dia memang cergas dan kuat. Semangatnya selalu mengatasi semangat penulis sendiri. Liat dan kental. Bila berjalan dia selalu laju di hadapan. Bila ia mengatakan akan turut serta, penulis tidak khuatir tentang azam dan kekuatan fizikalnya. Petang sebelum bertolak kami penuhi dengan solat hajat dan doa penguat semangat. Doa memohon pertolongan Allah. Hanya dengan izin Allah sahaja yang memungkinkan kami menjejak puncak Tursina.

Kerungsingan penulis hanya satu sahaja. Mampu atau tidak menyaingi tenaga peserta yang muda-muda belaka. Kami pasang strategi. Seberapa boleh berada di kelompok yang di bahagian tengah. Ada masanya bertemu kelompk awal yang berhenti berehat. Tetapi alhamdulillah tidak pula tercicir hingga bersama kelopmpok yang terakhir. Takut juga jika tercicir. Maklumat terakhir yang penulis terima bahawa kelompok yang terakhir tiba di puncak pada kira-kira pukl 6.00 pagi. Mereka sengaja berbuat begitu kerana tahu angin di pucak bukit memang ganas kuatnya. Mungkin elok juga strategi begitu. Terelak dari pasir dan batu yang beterbangan. Rupanya perjalanan malam banyak hikmahnya. Kami tidak diperlihatkan ancaman pendakian seperti gaung yang curam. Lorong yang mencacak tinggi. Batu dan pasir yang menyukarkan jejakan kaki. Tidak juga melihat kerut dahi peserta menahan nafas. Menahan lenguh. Menahan kejang kaki.

Semasa taklimat ada pertanyaan jika ada sesiapa yang mengidap penyakit tertentu hendaklah memberitahu secara berterus terang supaya bantuan diberi apabila diperlukan. Dalam hati kecil penulis dan isteri berkata, alhamdulillah kami tidak mengidap apa-apa kerumitan fizikal. Sama ada luaran atau dalaman. InsyaAllah pendakian ini akan menjadi suatu sejarah diri dan keluarga. Untuk memberi semangat kepada anak dan cucu serta warisan keluarga pada masa akan datang. Bahawa datuk dan nenek mereka memiliki kesyahduan mereka tersendiri. Sejarah itu yang selalu kami dambakan kepada mereka. Jika dahulu kami rentasi benua, kami rentasi bahasa, kali ini kami daki sebuah bukit bersejarah. Sejarah agung Nabi Musa a.s. Sejarah turunnya Kitab Taurah untuk Bani Israel.

Bahagian pertama laluan pendakian agak landai. Namun selepas sejam perjalanan pendakian semakin curam. Kami sudah mula banyak berhenti. Melepaskan lelah. Mengambil nafas baru. Memantapkan kekuatan hati. Meneguhkan semangat. Meluruskan otot yang kekejangan. Dan pastinya doa yang tidak putus-putus. Ada beberapa hal yang menguatkan semangat kami berdua.

1                 Untuk melihat kebesaran Allah yang menjadikan segala-galanya.
2                 Merasai pengalaman Nabi Musa mendaki Bukit Tursina.
3                 Mengalami sendiri hebatnya cubaan Allah kepada sesiapa yang berada di puncak bukit ciptaanNya. Cubaan kepada Nabi Musa selama 40 hari 40 malam tentulah 40 berkali ganda dari yang bakal kami lalui.
4                 Mengambil iktibar kebaikan sesuatu kesukaran.
5                 Merasa keindahan suatu kejayaan.
6                 Mencipta sejarah untuk diri sendiri.

Melepasi separuh perjalanan sudah cukup mengazabkan fizikal. Setiap langkah bererti mengangkat kaki. Untuk mengangkat kaki semakin banyak deraan fizikal yang perlu ditanggung. Tetapi yang menanggung bukan kaki itu. Bukan lutut yang bersamanya. Bukan tapak kaki yang menjejaknya. Yang menanggungnya ialah hati. Minda dan perasaan. Setiap kali memandang ke atas kami bertanya dalam hati, di mana sudahnya. Di mana puncaknya. Di mana akhirnya. Pada suatu ketika kami mula gayat. Terasa pening sedikit. Mungkin pengaruh altitud. Semakin tinggi semakin sukar bernafas. Kami sedut udara dalam-dalam. Penuhkan dada dengan nafas sebanyak-banyaknya. Pam dengan semangat baru yang melebihi kekuatannya. Berdoalah kami sepuas-puasnya. Rupanya isteri penulis banyak tangisnya pada ketika-ketika tertentu. Apabila hati diterjah kerana Allah memberi peluang sedemikian ini. Walaupun terasa terlalu azab melangkahkan kakinya namun menangis juga kerana Allah mengizinkan pendakian ini. Bersyukur dengan nikmat yang sedikit itu. Menangis mensyukuri kebesaran Allah. Penulis cuba menghalangnya daripada banyak bercakap kerana banyak juga tenaga diperlukan untuk bercakap. Banyak bercakap menjadikan lebih banyak tercungapnya.  Selalunya isteri penulis berjalan di hadapan. Penulis membantunya dengan semangat dari belakang. Sesekali dia menoleh ke belakang. Melihat apabila saya agak jauh di belakang. Boleh bang? Tanyanya dengan nada sayu. InsyaAllah, jawab penulis. Begitulah dari masa ke semasa. Sayu di malam yang penuh syahdu itu. Sepasang warga emas yang sedang memenuhi usianya. Bersama mendaki ketika senja menjelang. Suatu manifestasi diri untuk mencari kekuatan yang lebih bermakna dalam kehidupan yang fana ini. 

Gambar-gambar di bawah selepas pukul 12.00 tengah malam. Tarikhnya sudah bermula 14 Februari 2014. Dari Fox Camp sudah sejam perjalanan. Dari sinilah ukuran masa diambil untuk sampai di puncak Bukit Tursina. 

Berhimpun sebelum mendengar taklimat untuk memulakan pendakian. Petang tadi ramai yang bertanya sama ada kami turut ikut mendaki.  

Berada semasa taklimat ini untuk memenuhi jawapan kepada semua pertanyaan sebelumnya. Sedang bermenung memikirkan cabaran yang bakal dilalui. Ya Allah, beri kami kekuatan.

Tiba di permulaan pendakian. 

Di laluan yang memerlukan setiap peserta melalui pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Mesir. Sebelum mendaki nampak ceria. Belum tahu lagi pendakian sukar yang akan ditempuhi. 

Di kanan sekali Lokman, peserta termuda berusia 16 tahun. Bagi anak-anak muda seperti ini tenaga mereka belum terpakai lagi. Masih segar bugar. Mendaki bukan sesuatu yang sukar. 

Apa agaknya cerita mereka sebelum mendaki.

Masing-masing ada agenda yang perlu diselesaikan sendiri.

Masih di tempat yang sama. Agaknya merenung tuju perjalanan.

Antara peserta yang bergambar beramai-ramai. 

Saturday, February 15, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Ketiga)



40 minit lagi. Ya Allah sudah 75% pendakian. Hanya tinggal 25% sahaja lagi. Dari peringkat pertengahan tadi sudah lebih dua puluh kali kami berhenti rehat. Pada suatu ketika isteri penulis hampir menyerah kalah. Seperti sudah tiada lagi tenaga. Doa diperbanyakkan sambil menangis.  Alhamdulillah dia berupaya melangkah lagi. Ketika itu perasaannya ditanggung sendiri. Langkahnya diteruskan. Penulis tidak diberitahu untuk tidak melemahkan semangat. Apabila kudrat tenaga menipis kami berhenti. Duduk atau berdiri. Isteri penulis banyak duduk. Katanya dirinya kehabisan tenaga. Ketika itulah dipulihkan sedikit tenaganya. Ya Allah izinkan aku sampai di puncak Tursina. Itulah doanya sebanyak langkahnya.

Barangkali pembaca tidak dapat menggambarkan laluan yang kami lalui.  Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang pasti mengetahuinya. Jika di Malaysia laluan dakian mungkin banyak tanah tetapi di negara-negara Arab dan padang pasir laluannya penuh dengan pasir dan batu kecil. Ketulan dan bungkah batu besar. Setiap langkah memang perlu berhati-hati.  Jika tersalah pijak kaki tergelongsor. Kita tidak tahu pasir yang dipijak mungkin berada di atas hamparan batu. Apabila dipijak kita menggelosor ke hadapan. Begitu juga batu-batu besar dan kecil. Dilihat cantik tetapi apabila dipijak menggelongsor juga. Ramai yang terjelepok. Jika tersandung batu besar berkemungkinan tersungkur. Risiko dalam pendakian seperti itu. Sepanjang perjalanan itu lampu suluh amat perlu. Menyuluh laluan. Memilih tapak untuk dipijak. Tanpa lampu risikonya lebih besar. (Sebenarnya penulis tidak bersedia dengan lampu suluh. Di Fox Camp sebelum bertolak malam itu baru penulis beli. Ahlamdulillah banyak sungguh manfaatnya.) Walaupun malam itu bulan menyinar di langit, suluhan lampu tetap diperlukan. Dalam pada berhati-hati, penulis sendiri tergelongsor juga. Terasa tergesel kulit kaki pada batu. Alhamdulillah tidak apa-apa. Gerakkan kaki dan pusing-pusingkan. Alhamdulillah, memang tidak apa-apa. Pendakian diteruskan.

Sebelum bertolak ramai peserta yang membawa air dan makanan. Kami tekad tidak membawa makanan khuatir terasa berat menggalas beg. Pengalaman kami di tanahair bila bekerja di sekeliling rumah selalunya tanpa banyak makan dan minum. Berjam-jam asyik dengan kerja seperti menanam bunga, mengemas dan sebagainya. Bagi yang muda makan dan minum dalam perjalanan menjadi suatu keperluan. Makan semasa rehat. Agaknya untuk dimakan sewaktu di puncak Tursina nanti. Penulis dan isteri membuat keputusan untuk membawa paling minimum. Kami membawa sebotol besar air pili untuk persediaan berwudu’ ketika hendak solat Subuh nanti. Mungkin untuk beristinjak apabila diperlukan. Kami bawa juga sebotol kecil air mineral. Untuk membasahkan tekak sahaja. Air itu kami minum berdua. Sehingga sampai kembali di Fox Camp air itu masih lagi berbaki. Di pertengahan pendakian ada peserta perempuan yang memberi cokelat kepada isteri penulis. Itu sahaja yang dimakannya. Apabila sesekali terpandang beg peserta. penuh makanan di dalamnya. Termasuk juga minuman. Begitulah anak muda. Laparnya selalu menggoda selera. Di sepanjang pendakian itu banyak tong sampah disediakan. Penuh selalu.

Hanya 40 minit lagi. Kami bangun dari rehat yang panjang. Kira-kira setengah jam. Terasa agak terlalu lama. Pertama kerana mengejar waktu. Keduanya apabila lama berhenti otot kembali manja. Untuk memulakan pendakian seterusnya terasa berat hendak menggagahkan kaki memulakan langkah. Lorong berikutnya tetap curam. Kecil dan penuh dengan batu berbagai saiz. Kemudiannya laluan menurun. Dalam hati penulis penurunan ini hanya untuk melambungkan semula dakian yang lebih mencabar. Teringat dalam taranum al-Quran. Untuk melambungkan suara selalunya qari akan menurunkan dahulu suara mereka. Beberapa ketika kemudian suaranya ditinggikan setinggi yang mungkin. Salalim tulu’ dan salalim nuzul. Itulah laluan yang kami lalui. Turun ini pastinya untuk mencacakkan curam naiknya. Benar jangkaan penulis. Sebentar kemudian curamnya bertambah. Melangkah dari batu ke batu yang di hadapan. Lebih banyak memikirkan untuk memilih batu yang mana senang dipijak. Mengimbang badan. Pada peringkat ini lebih banyak duduknya. Betul-betul mencabar. Pada suatu ketika penulis meraba otot bawah lututnya. Terasa sakit dan tegangnya. Tidak dapat hendak dibayangkan banyaknya doa yang keluar dari mulut dan dalam hati. Mohon supaya Allah memberi kesihatan dan kekuatan. Pesan isteri penulis supaya tidak putus berdoa.

Sesungguhnya kami hanya berharap kepada Allah. Sewaktu rehat seterusnya penulis memegang lagi tempat yang sama. Alhamdulillah sudah hilang sakitnya. Jika difikirkan banyak-banyak kita tidak mempunyai jawapan. Tetapi kerana kita berserah kepada Allah maka Allahlah yang memungkinkan segala-galanya. Alhamdulillah. Banyak batu yang menjadi saksi bahawa kami duduk di atasnya. Teringat semasa taklimat di Fox Camp kami diingatkan supaya tidak main-main. Jangan sekali-kali bergurau. Kami hanya mendengar tanpa memikirkan apa-apa. Realitinya ialah tiada siapa yang sanggup bergurau. Masing-masing memikirkan nasib diri. Sampai atau tidak. Larat atau tidak. Selamat atau tidak. Cuma fokusnya ialah puncak Tursina. Ingin berada bersama-sama dengan semangat Nabi Musa a.s. yang telah berada di situ ribuan tahun yanhg lalu. Akhirnya sampai juga kami di checkpoint terakhir. Setelah bersusah payah melangkah bongkah batu. Berpegang pada bongkah batu yang lain. Kadang-kadang merangkak juga apabila keadaan memerlukan. Di kanan dan kiri tangga itu ada gaung. Mengerikan juga apabila dipandang. Di checkpoint  terakhir ada pelajar yang memaklumkan bahawa selepas hentian terakhir ini akan didaki kira-kira 50 anak tangga.

Kembang rasa hati. Rasanya tidak lama lagi. Tidak ada debaran. Tidak juga seperti teruja. Hanya ingin segera berada di puncak. Penulis pandang ke atas. Sayup menegak tangga-tangga yang bakal kami lalui. Yakin bahawa ianya mampu didaki. Ini pendakian peringkat terakhir. Maklum bahawa ianya akan lebih sukar. Tetapi tidak ada yang boleh memaklumkan kesukaran yang dihadapi oleh seseorang individu. Setiap orang berbeza kekuatan tenaganya. Berbeza staminanya. Setiap langkah perlukan sejumlah nafas yang terkumpul penuh di dalam peparu. Tenaga yang diperlukan untuk mengangkat sebelah kaki sahaja cukup menyeksakan. Sewaktu diangkat bisanya hingga ke otak. Kadang-kadang hanya beberapa langkah sahaja kami sudah berhenti berehat. Pada satu ketika penulis sudah seperti berputus asa. Hendak memijak anak tangga yang berikutnya sudah seperti tidak terdaya. Rasanya seperti hanya setakat itu sahaja. Sesungguhnya daya sudah habis. Jika sebelum ini isteri penulis yang berasa begitu. Kali ini penulis sendiri yang mengalami hal yang sama. Lama juga memikirkannya semula.

Pertamanya kerana sudah hampir ke kemuncaknya. Puncak Tursina sudah hampir. Keduanya, untuk turun sudah terlalu jauh. Ketiganya, tidak mungkin tersangkut di situ juga. Pada hari esoknya ketika menuruni bukit, apabila penulis memandang tempat itu, aduhai, sudah terlalu dekat dengan puncak idaman. Barangkali syaitan mengganggu dengan kuat ketika itu. Dengan hati yang sangat merendah, penulis bermunajat kepada Allah. Ya Allah  Kau telah sampaikan Nabi Musa ke puncak Tursina maka Kau izinkanlah aku tiba di puncak Tursina ini dengan izinMu. Ketika penulis melayani perasaannya isteri penulis terus melangkah ke hadapan. Setelah berdoa sebanyak-banyaknya, penulis gagahi lagi. Perlahan-lahan melangkah dari satu batu ke batu yang di atasnya. Semakin curam dan semakin curam. Ada yang menyuluh dari atas. Ada yang memaklumkan dah nampak. Nampak apa? Nampak puncaknya. Ya Allah! Sudah dekat sangat rupanya. Apabila ternampak bangunan di atas, penulis yakin itulah puncaknya. Biasanya orang membina bangunan di puncak bukit.

Hayunan terakhir itu memang perlukan semangat yang lebih kental. Puncak sudah dalam capaian. Kejayaan hanya beberapa langkah lagi. Namun kudrat perlu digandakan. Dalam sakit dijana tenaga tambahan. Tangga batu semakin payah dipijak. Melangkah semakin berat. Memang banyak kali berhenti walaupun setelah hanya beberapa langkah. Isteri penulis membuat strategi baru. Setiap tiga langkah ia berhenti. Alhamdulillah strateginya berhasil. Setiap kali berhenti datang tenaga baru. Maknanya jika benar ada 50 anak tangga, kami berhenti sebanyak kira-kira 10 kali. Kami hanya berharap kepada Allah. Berpaut harap kepadaNya. Memohon pertolonganNya. Akhirnya sebahagian puncak dijejak juga. Benar, bangunan yang dilihat di pertengahan tangga tadi sebuah bangunan yang sederhana besarnya. Dari bawah isteri penulis bertanya kepada peserta yang sudah berada di atas.

Dah sampai ke dik? Tanya isteri penulis kepada peserta di hadapan. Tidak kami kenali siapa peserta itu. Malam dan tidak nampak dengan jelas walaupan ada cahaya bulan.
Ya, dah sampailah ni makcik. Isteri penulis menoleh ke belakang.
Dah sampailah bang! Jeritnya.

Layaknya seperti dialog dalam drama TV pula. Ini benar. Bukan cubaan. Kata dialog dalam filem Pendekar Bunjang Lapuk. Ini adalah hakikat sebenar yang kami lalui. Terus hilang rasa penat.  Antara percaya dengan tidak. Semuanya kuasa Allah yang membawa tubuh badan kami yang berusia lanjut ini ke kemuncak itu. Laju langkah kami. Bangunan yang kami nampak semakin tersergam. Rupanya bangunan sebuah gereja. Kami naik lagi beberapa anak tangga. Di aras yang lebih tinggi. Benar-benar di puncaknya. Allahuakbar. Barulah kami lihat adanya sebuah surau. Lebih kecil bangunannya. Allahuakbar. Sampai juga kami di sini.  Kami mencari sebuah ruang di tepi surau yang ada. Subhanallah. Kami wuduk, solat sunat terus sujud syukur. Ada juga orang berniaga di puncak itu. Terutamanya menjual air dan selimut untuk disewa. 


Allahuakbar. Ini puncakmu Tursina. Dahulu hanya kisahmu yang aku baca. Nabi Musa yang bermunajat di sini. Di puncakmu ini Taurah diturunkan. 40 hari kekasih Allah berada di sini bersamamu. Aku hadir dengan izinMu ya Allah. Syukur alhamdulillah. Mengalir air mata. Syahdu kerana berada menjejaki Rasul kekasih Allah. Merasakan pengalaman mendaki bukit setinggi itu. Berada di puncak paling tinggi di situ. Pengalaman manis berada di puncak sebuah bukit yang syahdu. Pengalaman indah yang tersirat pahit manis mendaki sebuah bukit yang tinggi. Bukan kepalang syukur kami sebagai warga emas.  Bercerita berada di puncak sangat mudah. Mendakinya sudah dilupakan apabila puncak sudah dijejak.

 Gambaran di puncak bukit dalam musim sejuk. Suhu sangat rendah. Sangat sejuk di rasa. Seluruh tubuh ingin dilitupkan. Tiada tempat berlindung yang lebih sesuai.

Suhu terlalu rendah bagi orang Malaysia. Sejuknya teramat sangat.

Berselubung habis. Berusaha menahan sejuk dalam tiupan angin yang sangat kencang.

Sepet mata menahan derasnya angin. Jika dibuka lebar takut pula dimasuki pasir dan batu kecil yang berterbangan.

Seperti orang dalam ketakutan yang amat sangat. Lihat pasir dan batu kecil berterbangan dirakam kamera.

Aduhai, sejuknya.

Besar-besar pasirnya. Datang dari berbagai arah.

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Kedua)



Sesuatu pendakian memang sukar secara relatif. Ada yang mengatakan sekadar sukar. Kepada yang lain sukarnya lebih sedikit. Bagi kami yang usianya melebihi 60 tahun tidak pernah terbayangkan kesukaran itu. Selalu hanya melihat orang lain mendaki gunung. Cerita orang lain mendaki dari gunung ke gunung. Cuma kami ingin kongsikan kepada pembaca sesuatu yang mungkin baik untuk dipraktikkan.

1                 Jangan terlalu memikir apa yang di hadapan. Kita akan jadi terlalu overconfident atau mungkin menjadi terlalu takut.
2                 Jangan fikirkan tinggi itu bagaimana. Kita mengetahuinya sebagai ukuran. Itu sahaja.
3                 Jangan fikirkan sukar. Take it step by step. Ketika kita melakukannya itu sahaja yang kita fikirkan. Bukan kesukaran yang bakal ditempuh. Ianya hanya akan menakutkan. Boleh menghalang percubaan seterusnya.
4                 Tidak ada azab sebenarnya kerana semua orang mengalaminya dalam berbagai bentuk. Setiap satunya perlu dilalui mengikut fitrah dan perancangan Allah. Kita hanya hamba yang perlu banyak bersabar. Melakukannya adalah tanggungjawab kita.
5                 Menyaksikan kekuasaan dan keagunganNya adalah galakan Allah. Dengannya kita menginsafi betapa kuddusnya Allah. Betapa kerdilnya diri kita sebagai manusia. Makhluk ciptaanNya.

Pendakian tanpa praktis tentulah di luar jangkaan minda biasa. Mereka yang hobinya mendaki gunung memahami hal ini. Pendakian memudaratkan tanpa latihan fizikal yang mencukupi. Apa yang kami suami isteri lakukan benar-benar dengan keyakinan bahawa Allah bersama kami. Anugerah Allah berada di mana-mana. Yang penting usaha dan tawakkal. Hak Allah menganugerahkan apa sahaja yang sesuai mengikut kehendakNya. Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami berdua. Sebagai manusia kita tidak pula lupa bahawa di sekeliling kita ramai manusia lain yang membantu. Dengan semangat. Ramai yang memberikan semangat InsyaAllah. Ada yang mencadangkan boleh naik unta kerana unta memang disediakan sebagai sewaan bagi yang kudratnya tidak memadai. Dengan doa dari anak-anak kami sendiri yang berada jauh di tanahair. Dari anak-anak Johor yang bersama kami. Dengan pertanyaan semangat. Sepanjang pendakian itu kami sering ditanya. Disapa.

Boleh tuan haji?  InsyaAllah.
Boleh pakcik? InsyaAllah.
Boleh ustaz? InsyaAllah.
Apa khabar tuan haji? Alhamdulillah.
Tahan lagi makcik? InsyaAllah.
Boleh makcik? InsyaAllah.
Pakcik dan makcik tahan ya? Alhamdulillah.

 Banyak kali kami berhenti. Kadang-kadang dalam 10 meter kami berhenti. Alhamdulillah setiap kali kami berhenti ada yang turut berhenti. Terima kasih anak-anak. Anak-anak Johor yang baik-baik belaka. Kadang-kadang ada ketikanya hanya kami berdua melakukan pendakian. Yang lain sudah di hadapan. Ramai yang sudah di hadapan. Cuma kami mengetahui ramai lagi yang berada di belakang. Pada ketika yang lain kami berkumpul semula. Bertemu kumpulan yang di hadapan. Menanti kumpulan yang di belakang. Mengetahui hal seperti itu sendiri sudah mengangkat semangat kami. Kami masih belum beralah dengan semangat. Belum alah dengan usia. Belum alah dengan matlamat. Di mana ada peserta yang berhenti, kami juga turut berhenti rehat. Peluang berinteraksi. Peluang bersama dengan keberadaan mereka. Mengambil semangat muda dari mereka.

1                 Usia adalah pengalaman.
2                 Usia adalah maju yang ke hadapan.
3                 Usia adalah semangat yang tertanam.
4                 Ada masanya usia menifestasikan potensi diri yang tidak pernah digilap.
5                 Usia rupanya bukan penghalang menempuh kesukaran dan meraih kejayaan.

Checkpoint kedua terakhir merupakan hentian yang meriah. Kebanyakan peserta berada di situ. Agak lama juga berehat. Ramai juga yang menyatakan rasa letih yang teramat sangat. Mengantuk mula menyerang. Jika membaringkan badan pasti tidur hingga esok pagi. Kata mereka kira- kira 40 minit lagi akan sampai di puncak. Isteri penulis menceritakan betapa banyak doanya ketika itu. 40 minit lagi. Semoga kami dan anak-anak yang bersama kami semua selamat samai di puncak. Berkobar-kobar sungguh semangat kami. Sejak dari bawah kami pandang keliling. Puncak-puncak bukit di sekeliling masih jauh tinggi di atas. Pada masa yang lain puncak-puncak itu sudah separas pendakian kami. Apabila paras kami sudah melepasi puncak-puncak bukit yang di sekeliling, kami insaf bahawa kami sudah mendaki agak tinggi. Sudah sampai ke point of no return. Ketika di situ belum terbayang lagi tangga-tangga curam yang akan didaki di peringkat terakhir. Yang dikatakan paling mencabar. Setiap kali kami merasakan kesukaran kami terkenangkan kesukaran lain yang selalu diulang-ulang sebagai keinsafan beragama. Memandang sekeliling terlihat gaung yang curam. Mula lebih berhati-hati melangkah ke atas. 40 minit yang terakhir inilah cabarannya terlalu tinggi. Bunyinya memang 40 tetapi ukuran kesukarannya seperti infiniti bagi kami yang sudah berusia.

1                 Nabi Musa a.s. mendakinya tanpa sebarang kemudahan. Pertolongan Allah yang penting. Serahkan kepadaNya segala urusan. Itu belum sukarnya Nabi Musa membawa kaumnya menyeberangi Laut Merah.
2                 Rasulallah s.a.w. berhijrah ke Madinah dalam panas terik gurun pasir yang suhunya hampir mencacah 50°C.
3                 Bagaimana Nabi Yunos a.s. berada dalam ikan besar yang menelannya.
4                 Bagaimana Nabi Nuh a.s. berhadapan dengan banjir besar. Dengan ombak yang setinggi gunung. Yang menghapuskan seluruh kaumnya.
5                 Tidak juga lupa sukarnya Asma’ bintu Abi Bakar mendaki ke Gua Thur menghantar makanan kepada Rasulallah dan ayahandanya Abu Bakar. Sedangkan ketika itu umurnya baru kira-kira 13 tahun.

Peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam itu menusuk jiwa kami. Apalah kesukaran yang kami hadapi berbanding kesukaran para anbia. Khususnya anbia dalam golongan Ulul ‘Azmi. Memang kami merasai kesukaran yang amat sangat. Apabila berhenti kami pegang kaki kami. Alhamdulillah masih yang sama. Lutut kami Allah izinkan masih di tampatnya. Kami sentuh peha. Alhamdulillah masih normal ototnya. Kami amat-amat bersyukur Allah memberikan kami kekuatan yang luar biasa. Mungkin di luar pemikiran biasa. Perjalanan langkah demi langkah itu rupanya membawa kami ke puncak juga. Bersama dengan anak-anak muda yang bersama dambaannya. Ingin sampai di puncak yang dicita. KeranaMu Allah.


Checkpoint yang terakhir kami berhenti lagi. Ramai yang berhenti di situ. Mengumpul kekuatan terakhir. Kami pandang anak-anak tangga yang teratur ke atas. Anak-anak tangga itu bukan seperti tangga rumah yang licin dan teratur jaraknya. Apabila mula bergerak, anak-anak muda tentulah deras langkahnya. Kami mengira tenaga yang masih ada. Yang perlu ditambah untuk pecutan terakhir. Ketika itu masih tidak kelihatan lagi puncak Bukit Tursina. Yang pastinya anak-anak tangga yang kami lihat kecerunannya semakin tajam. Ya Allah, izinkan kami ke puncaknya. Izinkan kami merasai nikmat yang kau limpahkan kepada kekasihMu Nabi Musa a.s. 


Berehat di checkpoint kedua terakhir. Penat sudah tidak boleh dikira lagi. 

Di belakang isteri penulis adalah laluan untuk ke puncak. 

Peserta lelaki yang gagah-gagahpun perlu berehat juga. Tidak semua yang gagahnya tanpa batas.