Saturday, February 15, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Ketiga)



40 minit lagi. Ya Allah sudah 75% pendakian. Hanya tinggal 25% sahaja lagi. Dari peringkat pertengahan tadi sudah lebih dua puluh kali kami berhenti rehat. Pada suatu ketika isteri penulis hampir menyerah kalah. Seperti sudah tiada lagi tenaga. Doa diperbanyakkan sambil menangis.  Alhamdulillah dia berupaya melangkah lagi. Ketika itu perasaannya ditanggung sendiri. Langkahnya diteruskan. Penulis tidak diberitahu untuk tidak melemahkan semangat. Apabila kudrat tenaga menipis kami berhenti. Duduk atau berdiri. Isteri penulis banyak duduk. Katanya dirinya kehabisan tenaga. Ketika itulah dipulihkan sedikit tenaganya. Ya Allah izinkan aku sampai di puncak Tursina. Itulah doanya sebanyak langkahnya.

Barangkali pembaca tidak dapat menggambarkan laluan yang kami lalui.  Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang pasti mengetahuinya. Jika di Malaysia laluan dakian mungkin banyak tanah tetapi di negara-negara Arab dan padang pasir laluannya penuh dengan pasir dan batu kecil. Ketulan dan bungkah batu besar. Setiap langkah memang perlu berhati-hati.  Jika tersalah pijak kaki tergelongsor. Kita tidak tahu pasir yang dipijak mungkin berada di atas hamparan batu. Apabila dipijak kita menggelosor ke hadapan. Begitu juga batu-batu besar dan kecil. Dilihat cantik tetapi apabila dipijak menggelongsor juga. Ramai yang terjelepok. Jika tersandung batu besar berkemungkinan tersungkur. Risiko dalam pendakian seperti itu. Sepanjang perjalanan itu lampu suluh amat perlu. Menyuluh laluan. Memilih tapak untuk dipijak. Tanpa lampu risikonya lebih besar. (Sebenarnya penulis tidak bersedia dengan lampu suluh. Di Fox Camp sebelum bertolak malam itu baru penulis beli. Ahlamdulillah banyak sungguh manfaatnya.) Walaupun malam itu bulan menyinar di langit, suluhan lampu tetap diperlukan. Dalam pada berhati-hati, penulis sendiri tergelongsor juga. Terasa tergesel kulit kaki pada batu. Alhamdulillah tidak apa-apa. Gerakkan kaki dan pusing-pusingkan. Alhamdulillah, memang tidak apa-apa. Pendakian diteruskan.

Sebelum bertolak ramai peserta yang membawa air dan makanan. Kami tekad tidak membawa makanan khuatir terasa berat menggalas beg. Pengalaman kami di tanahair bila bekerja di sekeliling rumah selalunya tanpa banyak makan dan minum. Berjam-jam asyik dengan kerja seperti menanam bunga, mengemas dan sebagainya. Bagi yang muda makan dan minum dalam perjalanan menjadi suatu keperluan. Makan semasa rehat. Agaknya untuk dimakan sewaktu di puncak Tursina nanti. Penulis dan isteri membuat keputusan untuk membawa paling minimum. Kami membawa sebotol besar air pili untuk persediaan berwudu’ ketika hendak solat Subuh nanti. Mungkin untuk beristinjak apabila diperlukan. Kami bawa juga sebotol kecil air mineral. Untuk membasahkan tekak sahaja. Air itu kami minum berdua. Sehingga sampai kembali di Fox Camp air itu masih lagi berbaki. Di pertengahan pendakian ada peserta perempuan yang memberi cokelat kepada isteri penulis. Itu sahaja yang dimakannya. Apabila sesekali terpandang beg peserta. penuh makanan di dalamnya. Termasuk juga minuman. Begitulah anak muda. Laparnya selalu menggoda selera. Di sepanjang pendakian itu banyak tong sampah disediakan. Penuh selalu.

Hanya 40 minit lagi. Kami bangun dari rehat yang panjang. Kira-kira setengah jam. Terasa agak terlalu lama. Pertama kerana mengejar waktu. Keduanya apabila lama berhenti otot kembali manja. Untuk memulakan pendakian seterusnya terasa berat hendak menggagahkan kaki memulakan langkah. Lorong berikutnya tetap curam. Kecil dan penuh dengan batu berbagai saiz. Kemudiannya laluan menurun. Dalam hati penulis penurunan ini hanya untuk melambungkan semula dakian yang lebih mencabar. Teringat dalam taranum al-Quran. Untuk melambungkan suara selalunya qari akan menurunkan dahulu suara mereka. Beberapa ketika kemudian suaranya ditinggikan setinggi yang mungkin. Salalim tulu’ dan salalim nuzul. Itulah laluan yang kami lalui. Turun ini pastinya untuk mencacakkan curam naiknya. Benar jangkaan penulis. Sebentar kemudian curamnya bertambah. Melangkah dari batu ke batu yang di hadapan. Lebih banyak memikirkan untuk memilih batu yang mana senang dipijak. Mengimbang badan. Pada peringkat ini lebih banyak duduknya. Betul-betul mencabar. Pada suatu ketika penulis meraba otot bawah lututnya. Terasa sakit dan tegangnya. Tidak dapat hendak dibayangkan banyaknya doa yang keluar dari mulut dan dalam hati. Mohon supaya Allah memberi kesihatan dan kekuatan. Pesan isteri penulis supaya tidak putus berdoa.

Sesungguhnya kami hanya berharap kepada Allah. Sewaktu rehat seterusnya penulis memegang lagi tempat yang sama. Alhamdulillah sudah hilang sakitnya. Jika difikirkan banyak-banyak kita tidak mempunyai jawapan. Tetapi kerana kita berserah kepada Allah maka Allahlah yang memungkinkan segala-galanya. Alhamdulillah. Banyak batu yang menjadi saksi bahawa kami duduk di atasnya. Teringat semasa taklimat di Fox Camp kami diingatkan supaya tidak main-main. Jangan sekali-kali bergurau. Kami hanya mendengar tanpa memikirkan apa-apa. Realitinya ialah tiada siapa yang sanggup bergurau. Masing-masing memikirkan nasib diri. Sampai atau tidak. Larat atau tidak. Selamat atau tidak. Cuma fokusnya ialah puncak Tursina. Ingin berada bersama-sama dengan semangat Nabi Musa a.s. yang telah berada di situ ribuan tahun yanhg lalu. Akhirnya sampai juga kami di checkpoint terakhir. Setelah bersusah payah melangkah bongkah batu. Berpegang pada bongkah batu yang lain. Kadang-kadang merangkak juga apabila keadaan memerlukan. Di kanan dan kiri tangga itu ada gaung. Mengerikan juga apabila dipandang. Di checkpoint  terakhir ada pelajar yang memaklumkan bahawa selepas hentian terakhir ini akan didaki kira-kira 50 anak tangga.

Kembang rasa hati. Rasanya tidak lama lagi. Tidak ada debaran. Tidak juga seperti teruja. Hanya ingin segera berada di puncak. Penulis pandang ke atas. Sayup menegak tangga-tangga yang bakal kami lalui. Yakin bahawa ianya mampu didaki. Ini pendakian peringkat terakhir. Maklum bahawa ianya akan lebih sukar. Tetapi tidak ada yang boleh memaklumkan kesukaran yang dihadapi oleh seseorang individu. Setiap orang berbeza kekuatan tenaganya. Berbeza staminanya. Setiap langkah perlukan sejumlah nafas yang terkumpul penuh di dalam peparu. Tenaga yang diperlukan untuk mengangkat sebelah kaki sahaja cukup menyeksakan. Sewaktu diangkat bisanya hingga ke otak. Kadang-kadang hanya beberapa langkah sahaja kami sudah berhenti berehat. Pada satu ketika penulis sudah seperti berputus asa. Hendak memijak anak tangga yang berikutnya sudah seperti tidak terdaya. Rasanya seperti hanya setakat itu sahaja. Sesungguhnya daya sudah habis. Jika sebelum ini isteri penulis yang berasa begitu. Kali ini penulis sendiri yang mengalami hal yang sama. Lama juga memikirkannya semula.

Pertamanya kerana sudah hampir ke kemuncaknya. Puncak Tursina sudah hampir. Keduanya, untuk turun sudah terlalu jauh. Ketiganya, tidak mungkin tersangkut di situ juga. Pada hari esoknya ketika menuruni bukit, apabila penulis memandang tempat itu, aduhai, sudah terlalu dekat dengan puncak idaman. Barangkali syaitan mengganggu dengan kuat ketika itu. Dengan hati yang sangat merendah, penulis bermunajat kepada Allah. Ya Allah  Kau telah sampaikan Nabi Musa ke puncak Tursina maka Kau izinkanlah aku tiba di puncak Tursina ini dengan izinMu. Ketika penulis melayani perasaannya isteri penulis terus melangkah ke hadapan. Setelah berdoa sebanyak-banyaknya, penulis gagahi lagi. Perlahan-lahan melangkah dari satu batu ke batu yang di atasnya. Semakin curam dan semakin curam. Ada yang menyuluh dari atas. Ada yang memaklumkan dah nampak. Nampak apa? Nampak puncaknya. Ya Allah! Sudah dekat sangat rupanya. Apabila ternampak bangunan di atas, penulis yakin itulah puncaknya. Biasanya orang membina bangunan di puncak bukit.

Hayunan terakhir itu memang perlukan semangat yang lebih kental. Puncak sudah dalam capaian. Kejayaan hanya beberapa langkah lagi. Namun kudrat perlu digandakan. Dalam sakit dijana tenaga tambahan. Tangga batu semakin payah dipijak. Melangkah semakin berat. Memang banyak kali berhenti walaupun setelah hanya beberapa langkah. Isteri penulis membuat strategi baru. Setiap tiga langkah ia berhenti. Alhamdulillah strateginya berhasil. Setiap kali berhenti datang tenaga baru. Maknanya jika benar ada 50 anak tangga, kami berhenti sebanyak kira-kira 10 kali. Kami hanya berharap kepada Allah. Berpaut harap kepadaNya. Memohon pertolonganNya. Akhirnya sebahagian puncak dijejak juga. Benar, bangunan yang dilihat di pertengahan tangga tadi sebuah bangunan yang sederhana besarnya. Dari bawah isteri penulis bertanya kepada peserta yang sudah berada di atas.

Dah sampai ke dik? Tanya isteri penulis kepada peserta di hadapan. Tidak kami kenali siapa peserta itu. Malam dan tidak nampak dengan jelas walaupan ada cahaya bulan.
Ya, dah sampailah ni makcik. Isteri penulis menoleh ke belakang.
Dah sampailah bang! Jeritnya.

Layaknya seperti dialog dalam drama TV pula. Ini benar. Bukan cubaan. Kata dialog dalam filem Pendekar Bunjang Lapuk. Ini adalah hakikat sebenar yang kami lalui. Terus hilang rasa penat.  Antara percaya dengan tidak. Semuanya kuasa Allah yang membawa tubuh badan kami yang berusia lanjut ini ke kemuncak itu. Laju langkah kami. Bangunan yang kami nampak semakin tersergam. Rupanya bangunan sebuah gereja. Kami naik lagi beberapa anak tangga. Di aras yang lebih tinggi. Benar-benar di puncaknya. Allahuakbar. Barulah kami lihat adanya sebuah surau. Lebih kecil bangunannya. Allahuakbar. Sampai juga kami di sini.  Kami mencari sebuah ruang di tepi surau yang ada. Subhanallah. Kami wuduk, solat sunat terus sujud syukur. Ada juga orang berniaga di puncak itu. Terutamanya menjual air dan selimut untuk disewa. 


Allahuakbar. Ini puncakmu Tursina. Dahulu hanya kisahmu yang aku baca. Nabi Musa yang bermunajat di sini. Di puncakmu ini Taurah diturunkan. 40 hari kekasih Allah berada di sini bersamamu. Aku hadir dengan izinMu ya Allah. Syukur alhamdulillah. Mengalir air mata. Syahdu kerana berada menjejaki Rasul kekasih Allah. Merasakan pengalaman mendaki bukit setinggi itu. Berada di puncak paling tinggi di situ. Pengalaman manis berada di puncak sebuah bukit yang syahdu. Pengalaman indah yang tersirat pahit manis mendaki sebuah bukit yang tinggi. Bukan kepalang syukur kami sebagai warga emas.  Bercerita berada di puncak sangat mudah. Mendakinya sudah dilupakan apabila puncak sudah dijejak.

 Gambaran di puncak bukit dalam musim sejuk. Suhu sangat rendah. Sangat sejuk di rasa. Seluruh tubuh ingin dilitupkan. Tiada tempat berlindung yang lebih sesuai.

Suhu terlalu rendah bagi orang Malaysia. Sejuknya teramat sangat.

Berselubung habis. Berusaha menahan sejuk dalam tiupan angin yang sangat kencang.

Sepet mata menahan derasnya angin. Jika dibuka lebar takut pula dimasuki pasir dan batu kecil yang berterbangan.

Seperti orang dalam ketakutan yang amat sangat. Lihat pasir dan batu kecil berterbangan dirakam kamera.

Aduhai, sejuknya.

Besar-besar pasirnya. Datang dari berbagai arah.

No comments:

Post a Comment