Berada di kayangan hanya sebentar
sahaja. Sekadar dua jam yang tidak lama. Pagi itu puncak Tursina ditinggalkan
juga. Dalam sejuk dan angin yang datangnya bergelombang dituruni Bukit Tursina.
Kira-kira tiga jam yang tiada hentinya. Alhamdulillah dalam letih mendaki
rupanya masih berbaki tenaga untuk menuruni bukit. Ingin segera kembali ke Fox
Camp. Banyak ucapan tahniah dari kiri dan kanan. Terima kasih banyak-banyak. Sampai
di situ kira-kira pukul 8.30 pagi. Sarapan pagi itu seperti tidak tertelan.
Minum sahaja. Terlalu keletihan yang amat sangat. Hilang selera makan.
Selalunya selepas bekerja keras lapar menjadi-jadi. Tetapi kali ini mungkin
terlalu keletihan sehingga selera juga turut hilang bersama peluh yang mengalir
di badan. Hujung jari kaki masih terasa sakit untuk beberapa hari. Mungkin
semasa mendaki dan menuruni bukit hujung jari menekan kasut. Lupa pula hendak
memotong kuku sebelum melakukan pendakian. Itu juga faktor penyumbang.
Tengahari 14 Februari
2014 hingga ke petang berehat di Dahab. Sebuah bandar pelancongan tepi pantai
di tepi Teluk Aqaba yang dikongsi oleh empat negara iaitu Mesir, Israel, Jordan
dan Arab Saudi. Di Dahap banyak aktiviti pelancongan seperti menyelam,
snorkeling, belayar dan sebagainya. Ada juga lawatan yang boleh diatur ke
Jordan terutamanya ke Petra yang terletak di Selatan Jordan. Walaupun sudah dua
kali menziarahi kota purba Petra penulis masih rindu lagi akan kecantikannya.
Warna warninya. Keidnahannya terlalu menawan. Al-Siq yang menjalur dan
warna-warni. Aduhai! Di Dahap penulis dan yang lain santai sehingga hari pagi
Ahad. Hari-hari yang berlalu diisi dengan santai selepas keletihan mendaki.
Makan dan minum. Bersiar-siar di pekan Dahap.
Dahap adalah sebuah
pusat pelancongan yang meriah pada waktu-waktu kegemilangannya. Namun apa yang
penulis dapati hanyalah kesepian. Banyak kedai-kedai yang telah lama ditutup.
Apabila kita berkunjung ke kedai-kedai yang ada mereka seolah-olah merayu kita
membeli barang-barang yang mereka jual. Apabila kita tawar-menawar masih ada
layanan yang diterima. Tidak ada kesombongan atau kesibukan sehingga menolak
sebarang tawar-menawar. Penulis bersiar-siar bersama isteri. Santai
sesantainya. Tidak ramai pelancong asing yang selalunya berduyun-duyun dari
Eropah. Rata-rata pekedai fasih berbahasa Inggeris, Perancis dan bahasa-bahasa
yang lain. Mesir hampir dengan Greece, Italy, Germany dan Sepanyol. Banyak
interaksi antara mereka. Pastinya rakyat Mesir yang berniaga diperlukan
menguasai beberapa bahasa asing.
Seronok juga
melihat-lihat deretan kedai makan di tepian pantai. Kesuraman sahaja yang memanjang
pantai. Banyak antara kedai-kedai makan itu yang ditutup. Banyak yang kesunyian
dari pelanggan. Kedai-kedainya dihias cantik bak istana Arab. Pelanggan sahaja
yang tiada. Mana-mana yang masih beroperasi tentunya dengan tight budget.
Dengan survival
yang tinggi. Mungkin modal pusingan masih boleh dipusing-pusingkan lagi. Dana
masih mencukupi. Jika mengikut fitrahnya mereka tidak mampu bertahan. Penulis
dan beberapa orang rakan mencuba juga makanan di situ. Teringat sewaktu di
Canada dahulu. Restoran antarabangsa kebanyakannya mirip antara satu sama lain
dari segi makanan. Ikan, sotong dan udang panggang di Dahap sama rasanya dengan
yang penulis makan di Toronto, Canada. Itulah rasanya. Terasa masin dan mungkin
masam. Ia sesuai untuk makan sekali cuba sahaja. Lidah Melayu seperti lidah
penulis lebih biasa dengan masakan Melayu Malaysia. Banyak rencah dan
ramuannya. Kepelbagaian rasanya terlalu banyak. Kita sahaja yang jenuh membuat
pilihan. Mungkin tidak semua chef boleh memasaknya.
Ada sesuatu yang sangat
menarik di Dahap. Bandarnya bersih sesuai dengan statusnya sebagai bandar
pelancongan. Disesuaikan dengan selera Eropah. Selera pelancong antarabangsa.
Penduduknya yang kebanyakannya berniaga didatangkan khas. Mereka lebih
terpelajar. Lebih profesional. Lebih mengetahui keperluan kebersihan yang
selalunya dinafikan di kebanyakan tempat di Kaherah. Penulis melihat banyak
juga usaha untuk mencantikkan Kaherah. Namun begitu kebiasaan dan budaya
terlalu perlahan perubahannya. Muhammad Abduh telah lebih seratus tahun
bercakap mengenai kebersihan. Harapannya masih belum dapat direalisasikan. Di
Dahap umpamanya, sampah sarap bukan kesemuanya diuruskan oleh majlis
perbandarannya. Peniaga-peniaga sendiri mengambil inisiatip secara berkelompok
untuk mengurus sampah yang mereka buat. Ada yang memungut dan menghantarnya ke
tempat pengumpulan sampah. Dilihat lebih terurus. Tidak hanya mengharap sahaja.
Penulis mendapati
terdapat dua pengajaran besar dari Dahap. Pertamanya, proses masak-memasak
tidak boleh dilakukan di atas air. Semua dapur berada di atas darat. Jauh
sedikit dari pantai. Tidak ada langsung sisa makanan dan minuman yang dibuang
ke laut. Dalam bahasa undang-undangnya, dilarang. Seperti diharamkan. Dilarang
langsung tanpa sebarang pengecualian. Tanpa kompromi. Hatta semua air kumbahan
melalui proses pembersihan terlebih dahulu. Hanya yang benar-benar bersih
sahaja dilepaskan ke laut. Kebanyakan tempat makan berada di gigi air. Jauh
dari tempat memasak. Mungkin kira-kira 50 meter. Menyeberang jalanraya yang
memisahkan antara tempat memasak dan tempat makan. Keduanya, tidak ada sisa
makanan dari tempat makan yang dibuang ke laut. Kesemuanya dibawa ke bahagian
pembersihan untuk pemprosesan. Atau pembuangan.
Apa yang penulis lihat ialah sehingga di
gigi air, kejernihan airnya memang terpelihara. Tidak ada pencemaran air. Banyak
berjalan terluas pemandangan. Semasa berjalan inilah kita terjumpa dengan
hal-hal yang di luar jangka. The unexpected. Kebersihan di negara kita yang
tercinta belum mencapai tahap terbaik. Bila penulis berada di Dahap rupanya
kita masih lebih jauh dari yang dijangkakan. Rakyat Malaysia terlalu ramai yang
tidak peka dengan signifikannya pencemaran air dalam kehidupan kita pada
keseluruhannya. Kita perlu ingat apa yang kita lakukan pasti kembali kepada
kita. Apabila kita melakukan pencemaran, maka pencemaran itu seolah-olahnya
kita menganiaya diri kita sendiri. Kita sendiri yang menerima akibat perbuatan
kita itu. Apabila air kotor, kita yang susah. Bermacam-macam akibatnya.
Malangnya pencemaran di negara kita
menjadi-jadi tanpa had. Tidak ada penguasa yang berwibawa. Tidak ada individu
yang dapat digalaskan tanggungjawab. Kita membina kemakmuran negara tetapi kita
mencemarkan keperluan asas kita sendiri. Di kampung air dicemar dengan baja dan
racun rumpai atau racun serangga. Di pekan kecil longkang dan parit dicemar
dengan minyak dan kotoran dan air kumbahan oleh ke semua peniaga. Di bandar
besar, sisa kilang dilepaskan ke longkang, parit dan sungai. Di tepi pantai
pusat-pusat peranginan melepaskan kesemua bahan buangannya ke laut. Dari kampung
ke pekan ke bandar hingga ke laut kita terkepung dengan pencemaran. Jika sesuatu
tidak dilakukan dengan segera maka kita semua yang akan menerima konsekuennya. Bukan
orang lain.
Di negara maju seperti Great Britain air
kumbahan dan kotoran diproses sehabis bersih sebelum dilepaskan ke Sungai
Thames. Sungai yang pada suatu ketika dahulu tidak memungkinkan sebarang
kehidupan kini sangat bersih. Kehidupan air yang dahulu kembali memeriahkan sungai
itu. Maknanya pencemaran air boleh dielakkan. Memanglah kosnya tinggi. Tetapi demi
warisan akan datang maka usaha mengelak pencemaran sepatutnya menjadi
keutamaan. Agenda nasional yang tidak boleh diabaikan. Yang perlu disegerakkan
untuk dilaksanakan oleh semua rakyat. Mereka semua membantu semampunya mengikut
peranan masing-masing. Pendidikan di sekolah sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan
kepimpinan yang boleh membawa minda dan tindakan rakyat ke arah itu. Kita laksanakan
sebelum kesemuanya menjadi terlambat.
No comments:
Post a Comment