Sunday, February 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Pertama)



Tuan haji nak naik sama ke?
InsyaAllah.
Isteri tuan haji ikut sama?
InsyaAllah.

Pertanyaan yang sama diajukan kepada isteri penulis. Jika penulis ditanya oleh peserta lelaki, isteri penulis pula ditanya oleh peserta perempuan dan lelaki. Mungkin peserta lelaki lagi tinggi skeptikal mereka. Tuan Haji Maulan dan Tuan Syed Ahmad juga turut menanyakan soalan yang sama. Kesemua soalan itu kami anggap pertanyaan biasa. Tanpa apa-apa maksud. Kami tidak merasa apa-apa seperti diskriminasi umpamanya. Mungkin mereka khuatirkan kemampuan kami.

Makcik nak ikut sama ke?
InsyaAllah.

Rasanya pertanyaan itu banyak kali. Dari orang yang berbeza. Mungkin untuk kepastian. Atau agak skeptikal. Penulis sendiri tidak merasa apa-apa tentang itu. Jika mereka pergi, kami ikut pergi. Mereka daki. Kami daki. Kebetulan kamilah yang berumur berbanding peserta yang lain. Paling muda 16 tahun. Berapa usia kami pula. Aduhai, perlu nyatakan juga ke? Jangan terkejut penulis berusia 67 tahun setengah. Isteri penulis 63 tahun setengah. Ketika sebelum pendakian tentu ramai yang tidak yakin dengan kesungguhan kami. Betul ke orang tua ni? Petang sebelum pendakian kami berada di persimpangan jalan menuju ke Bukit Tursina. Di situ tempat permakaman Nabi Harun a.s. Di situ juga tempat Samiriy membuat patung lembu seperti tercatat dalam surah al-Baqarah. Al-Baqarah itulah cerita mengenai lembu emas ciptaan Samiriy. Pengikut Nabi Musa a.s. yang membawa sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. menjadi kufur.

Peristiwa-peristiwa di sekitar tempat itu yang membawa Nabi Musa ke puncak Bukit Tursina. Perintah Allah untuknya. Yang juga dikenali Bukit Sinai. Ada pula yang memanggilnya Bukit Musa. Bukit yang tertinggi di Sinai ini dihuni Nabi Musa a.s. selama 40 hari dan 40 malam. Bermunajat sesunggunhnya di hadapan Allah S.W.T.  Nabi Musa a.s. pula adalah satu-satunya nabi yang boleh berdialog terus-menerus dangan Allah tanpa sebarang perantaraan selain dari Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Musa a.s. berdialog di bumi. Rasulallajh s.a.w. pula berdialog dengan di langit dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Lazimnya malaikat Jibril menjadi perantaraan antara Allah dan nabi dan/atau rasul yang lain. Kepada manusia biasa 40 hari dan 40 malam itu bukan sesuatu yang indah. Nanti penulis senaraikan sebabnya. Kepada Nabi Musa a.s. tentulah keindahannya tidak dapat digambarkan oleh manusia biasa seperti kita. Nabi Musa a.s. berada di puncak bukit bersama dengan Robbnya. Ya, bersama dengan Robbnya. Apakah ada lagi yang lebih baik dari itu. Lebih indah dari itu. Lebih syhadu dari itu. Lebih mengenal erti diri dari itu. Berada dekat dengan Allah tentulah sesuatu yang teragung kisah mana-mana cinta. Cinta abadi kepada Yang Khaliq. Apatah lagi cinta seorang Rasul kepada Robbnya. Allahuakbar.

Hari itu, Khamis malam Jumaat bermula pada pukul 11.00 malam 13 Februari 2014. Puncak Bukit Tursina setinggi 2,248 meter itu dijejak pada pukul 3.50 pagi Jumaat 14 Februari 2014. Bukan dua hari. Cuma sekitar empat jam 50 minit. itu dari Fox Camp. Dari pintu masuk sekitar 3 jam 50 minit. dalam jangka waktu biasa. Taklimat dan cerita yang penulis terima mengatakan pendakian secara normal memakan masa empat jam. Terfikir juga berjalan kaki selama empat jam. Laratkah? Pengalaman sewaktu muda-muda dahulu banyaklah juga berjalan. Tetapi itu dahulu sewaktu berumur 20an. Kaki masih lagi seperti spring. Sekarang hampir 68 tahun. Tidak banyak terbayang bahawa perjalanan itu sebenarnya suatu pendakian. Berjalan dan mendaki dua aktiviti fizikal yang berbeza. Berjalan sahaja sudah dianggap fizikal. Yang ini mendaki. Tuntutan fizikalnya berganda-ganda. Penulis pula tidak bimbang tentang isteri. Dia memang cergas dan kuat. Semangatnya selalu mengatasi semangat penulis sendiri. Liat dan kental. Bila berjalan dia selalu laju di hadapan. Bila ia mengatakan akan turut serta, penulis tidak khuatir tentang azam dan kekuatan fizikalnya. Petang sebelum bertolak kami penuhi dengan solat hajat dan doa penguat semangat. Doa memohon pertolongan Allah. Hanya dengan izin Allah sahaja yang memungkinkan kami menjejak puncak Tursina.

Kerungsingan penulis hanya satu sahaja. Mampu atau tidak menyaingi tenaga peserta yang muda-muda belaka. Kami pasang strategi. Seberapa boleh berada di kelompok yang di bahagian tengah. Ada masanya bertemu kelompk awal yang berhenti berehat. Tetapi alhamdulillah tidak pula tercicir hingga bersama kelopmpok yang terakhir. Takut juga jika tercicir. Maklumat terakhir yang penulis terima bahawa kelompok yang terakhir tiba di puncak pada kira-kira pukl 6.00 pagi. Mereka sengaja berbuat begitu kerana tahu angin di pucak bukit memang ganas kuatnya. Mungkin elok juga strategi begitu. Terelak dari pasir dan batu yang beterbangan. Rupanya perjalanan malam banyak hikmahnya. Kami tidak diperlihatkan ancaman pendakian seperti gaung yang curam. Lorong yang mencacak tinggi. Batu dan pasir yang menyukarkan jejakan kaki. Tidak juga melihat kerut dahi peserta menahan nafas. Menahan lenguh. Menahan kejang kaki.

Semasa taklimat ada pertanyaan jika ada sesiapa yang mengidap penyakit tertentu hendaklah memberitahu secara berterus terang supaya bantuan diberi apabila diperlukan. Dalam hati kecil penulis dan isteri berkata, alhamdulillah kami tidak mengidap apa-apa kerumitan fizikal. Sama ada luaran atau dalaman. InsyaAllah pendakian ini akan menjadi suatu sejarah diri dan keluarga. Untuk memberi semangat kepada anak dan cucu serta warisan keluarga pada masa akan datang. Bahawa datuk dan nenek mereka memiliki kesyahduan mereka tersendiri. Sejarah itu yang selalu kami dambakan kepada mereka. Jika dahulu kami rentasi benua, kami rentasi bahasa, kali ini kami daki sebuah bukit bersejarah. Sejarah agung Nabi Musa a.s. Sejarah turunnya Kitab Taurah untuk Bani Israel.

Bahagian pertama laluan pendakian agak landai. Namun selepas sejam perjalanan pendakian semakin curam. Kami sudah mula banyak berhenti. Melepaskan lelah. Mengambil nafas baru. Memantapkan kekuatan hati. Meneguhkan semangat. Meluruskan otot yang kekejangan. Dan pastinya doa yang tidak putus-putus. Ada beberapa hal yang menguatkan semangat kami berdua.

1                 Untuk melihat kebesaran Allah yang menjadikan segala-galanya.
2                 Merasai pengalaman Nabi Musa mendaki Bukit Tursina.
3                 Mengalami sendiri hebatnya cubaan Allah kepada sesiapa yang berada di puncak bukit ciptaanNya. Cubaan kepada Nabi Musa selama 40 hari 40 malam tentulah 40 berkali ganda dari yang bakal kami lalui.
4                 Mengambil iktibar kebaikan sesuatu kesukaran.
5                 Merasa keindahan suatu kejayaan.
6                 Mencipta sejarah untuk diri sendiri.

Melepasi separuh perjalanan sudah cukup mengazabkan fizikal. Setiap langkah bererti mengangkat kaki. Untuk mengangkat kaki semakin banyak deraan fizikal yang perlu ditanggung. Tetapi yang menanggung bukan kaki itu. Bukan lutut yang bersamanya. Bukan tapak kaki yang menjejaknya. Yang menanggungnya ialah hati. Minda dan perasaan. Setiap kali memandang ke atas kami bertanya dalam hati, di mana sudahnya. Di mana puncaknya. Di mana akhirnya. Pada suatu ketika kami mula gayat. Terasa pening sedikit. Mungkin pengaruh altitud. Semakin tinggi semakin sukar bernafas. Kami sedut udara dalam-dalam. Penuhkan dada dengan nafas sebanyak-banyaknya. Pam dengan semangat baru yang melebihi kekuatannya. Berdoalah kami sepuas-puasnya. Rupanya isteri penulis banyak tangisnya pada ketika-ketika tertentu. Apabila hati diterjah kerana Allah memberi peluang sedemikian ini. Walaupun terasa terlalu azab melangkahkan kakinya namun menangis juga kerana Allah mengizinkan pendakian ini. Bersyukur dengan nikmat yang sedikit itu. Menangis mensyukuri kebesaran Allah. Penulis cuba menghalangnya daripada banyak bercakap kerana banyak juga tenaga diperlukan untuk bercakap. Banyak bercakap menjadikan lebih banyak tercungapnya.  Selalunya isteri penulis berjalan di hadapan. Penulis membantunya dengan semangat dari belakang. Sesekali dia menoleh ke belakang. Melihat apabila saya agak jauh di belakang. Boleh bang? Tanyanya dengan nada sayu. InsyaAllah, jawab penulis. Begitulah dari masa ke semasa. Sayu di malam yang penuh syahdu itu. Sepasang warga emas yang sedang memenuhi usianya. Bersama mendaki ketika senja menjelang. Suatu manifestasi diri untuk mencari kekuatan yang lebih bermakna dalam kehidupan yang fana ini. 

Gambar-gambar di bawah selepas pukul 12.00 tengah malam. Tarikhnya sudah bermula 14 Februari 2014. Dari Fox Camp sudah sejam perjalanan. Dari sinilah ukuran masa diambil untuk sampai di puncak Bukit Tursina. 

Berhimpun sebelum mendengar taklimat untuk memulakan pendakian. Petang tadi ramai yang bertanya sama ada kami turut ikut mendaki.  

Berada semasa taklimat ini untuk memenuhi jawapan kepada semua pertanyaan sebelumnya. Sedang bermenung memikirkan cabaran yang bakal dilalui. Ya Allah, beri kami kekuatan.

Tiba di permulaan pendakian. 

Di laluan yang memerlukan setiap peserta melalui pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Mesir. Sebelum mendaki nampak ceria. Belum tahu lagi pendakian sukar yang akan ditempuhi. 

Di kanan sekali Lokman, peserta termuda berusia 16 tahun. Bagi anak-anak muda seperti ini tenaga mereka belum terpakai lagi. Masih segar bugar. Mendaki bukan sesuatu yang sukar. 

Apa agaknya cerita mereka sebelum mendaki.

Masing-masing ada agenda yang perlu diselesaikan sendiri.

Masih di tempat yang sama. Agaknya merenung tuju perjalanan.

Antara peserta yang bergambar beramai-ramai. 

Saturday, February 15, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Ketiga)



40 minit lagi. Ya Allah sudah 75% pendakian. Hanya tinggal 25% sahaja lagi. Dari peringkat pertengahan tadi sudah lebih dua puluh kali kami berhenti rehat. Pada suatu ketika isteri penulis hampir menyerah kalah. Seperti sudah tiada lagi tenaga. Doa diperbanyakkan sambil menangis.  Alhamdulillah dia berupaya melangkah lagi. Ketika itu perasaannya ditanggung sendiri. Langkahnya diteruskan. Penulis tidak diberitahu untuk tidak melemahkan semangat. Apabila kudrat tenaga menipis kami berhenti. Duduk atau berdiri. Isteri penulis banyak duduk. Katanya dirinya kehabisan tenaga. Ketika itulah dipulihkan sedikit tenaganya. Ya Allah izinkan aku sampai di puncak Tursina. Itulah doanya sebanyak langkahnya.

Barangkali pembaca tidak dapat menggambarkan laluan yang kami lalui.  Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang pasti mengetahuinya. Jika di Malaysia laluan dakian mungkin banyak tanah tetapi di negara-negara Arab dan padang pasir laluannya penuh dengan pasir dan batu kecil. Ketulan dan bungkah batu besar. Setiap langkah memang perlu berhati-hati.  Jika tersalah pijak kaki tergelongsor. Kita tidak tahu pasir yang dipijak mungkin berada di atas hamparan batu. Apabila dipijak kita menggelosor ke hadapan. Begitu juga batu-batu besar dan kecil. Dilihat cantik tetapi apabila dipijak menggelongsor juga. Ramai yang terjelepok. Jika tersandung batu besar berkemungkinan tersungkur. Risiko dalam pendakian seperti itu. Sepanjang perjalanan itu lampu suluh amat perlu. Menyuluh laluan. Memilih tapak untuk dipijak. Tanpa lampu risikonya lebih besar. (Sebenarnya penulis tidak bersedia dengan lampu suluh. Di Fox Camp sebelum bertolak malam itu baru penulis beli. Ahlamdulillah banyak sungguh manfaatnya.) Walaupun malam itu bulan menyinar di langit, suluhan lampu tetap diperlukan. Dalam pada berhati-hati, penulis sendiri tergelongsor juga. Terasa tergesel kulit kaki pada batu. Alhamdulillah tidak apa-apa. Gerakkan kaki dan pusing-pusingkan. Alhamdulillah, memang tidak apa-apa. Pendakian diteruskan.

Sebelum bertolak ramai peserta yang membawa air dan makanan. Kami tekad tidak membawa makanan khuatir terasa berat menggalas beg. Pengalaman kami di tanahair bila bekerja di sekeliling rumah selalunya tanpa banyak makan dan minum. Berjam-jam asyik dengan kerja seperti menanam bunga, mengemas dan sebagainya. Bagi yang muda makan dan minum dalam perjalanan menjadi suatu keperluan. Makan semasa rehat. Agaknya untuk dimakan sewaktu di puncak Tursina nanti. Penulis dan isteri membuat keputusan untuk membawa paling minimum. Kami membawa sebotol besar air pili untuk persediaan berwudu’ ketika hendak solat Subuh nanti. Mungkin untuk beristinjak apabila diperlukan. Kami bawa juga sebotol kecil air mineral. Untuk membasahkan tekak sahaja. Air itu kami minum berdua. Sehingga sampai kembali di Fox Camp air itu masih lagi berbaki. Di pertengahan pendakian ada peserta perempuan yang memberi cokelat kepada isteri penulis. Itu sahaja yang dimakannya. Apabila sesekali terpandang beg peserta. penuh makanan di dalamnya. Termasuk juga minuman. Begitulah anak muda. Laparnya selalu menggoda selera. Di sepanjang pendakian itu banyak tong sampah disediakan. Penuh selalu.

Hanya 40 minit lagi. Kami bangun dari rehat yang panjang. Kira-kira setengah jam. Terasa agak terlalu lama. Pertama kerana mengejar waktu. Keduanya apabila lama berhenti otot kembali manja. Untuk memulakan pendakian seterusnya terasa berat hendak menggagahkan kaki memulakan langkah. Lorong berikutnya tetap curam. Kecil dan penuh dengan batu berbagai saiz. Kemudiannya laluan menurun. Dalam hati penulis penurunan ini hanya untuk melambungkan semula dakian yang lebih mencabar. Teringat dalam taranum al-Quran. Untuk melambungkan suara selalunya qari akan menurunkan dahulu suara mereka. Beberapa ketika kemudian suaranya ditinggikan setinggi yang mungkin. Salalim tulu’ dan salalim nuzul. Itulah laluan yang kami lalui. Turun ini pastinya untuk mencacakkan curam naiknya. Benar jangkaan penulis. Sebentar kemudian curamnya bertambah. Melangkah dari batu ke batu yang di hadapan. Lebih banyak memikirkan untuk memilih batu yang mana senang dipijak. Mengimbang badan. Pada peringkat ini lebih banyak duduknya. Betul-betul mencabar. Pada suatu ketika penulis meraba otot bawah lututnya. Terasa sakit dan tegangnya. Tidak dapat hendak dibayangkan banyaknya doa yang keluar dari mulut dan dalam hati. Mohon supaya Allah memberi kesihatan dan kekuatan. Pesan isteri penulis supaya tidak putus berdoa.

Sesungguhnya kami hanya berharap kepada Allah. Sewaktu rehat seterusnya penulis memegang lagi tempat yang sama. Alhamdulillah sudah hilang sakitnya. Jika difikirkan banyak-banyak kita tidak mempunyai jawapan. Tetapi kerana kita berserah kepada Allah maka Allahlah yang memungkinkan segala-galanya. Alhamdulillah. Banyak batu yang menjadi saksi bahawa kami duduk di atasnya. Teringat semasa taklimat di Fox Camp kami diingatkan supaya tidak main-main. Jangan sekali-kali bergurau. Kami hanya mendengar tanpa memikirkan apa-apa. Realitinya ialah tiada siapa yang sanggup bergurau. Masing-masing memikirkan nasib diri. Sampai atau tidak. Larat atau tidak. Selamat atau tidak. Cuma fokusnya ialah puncak Tursina. Ingin berada bersama-sama dengan semangat Nabi Musa a.s. yang telah berada di situ ribuan tahun yanhg lalu. Akhirnya sampai juga kami di checkpoint terakhir. Setelah bersusah payah melangkah bongkah batu. Berpegang pada bongkah batu yang lain. Kadang-kadang merangkak juga apabila keadaan memerlukan. Di kanan dan kiri tangga itu ada gaung. Mengerikan juga apabila dipandang. Di checkpoint  terakhir ada pelajar yang memaklumkan bahawa selepas hentian terakhir ini akan didaki kira-kira 50 anak tangga.

Kembang rasa hati. Rasanya tidak lama lagi. Tidak ada debaran. Tidak juga seperti teruja. Hanya ingin segera berada di puncak. Penulis pandang ke atas. Sayup menegak tangga-tangga yang bakal kami lalui. Yakin bahawa ianya mampu didaki. Ini pendakian peringkat terakhir. Maklum bahawa ianya akan lebih sukar. Tetapi tidak ada yang boleh memaklumkan kesukaran yang dihadapi oleh seseorang individu. Setiap orang berbeza kekuatan tenaganya. Berbeza staminanya. Setiap langkah perlukan sejumlah nafas yang terkumpul penuh di dalam peparu. Tenaga yang diperlukan untuk mengangkat sebelah kaki sahaja cukup menyeksakan. Sewaktu diangkat bisanya hingga ke otak. Kadang-kadang hanya beberapa langkah sahaja kami sudah berhenti berehat. Pada satu ketika penulis sudah seperti berputus asa. Hendak memijak anak tangga yang berikutnya sudah seperti tidak terdaya. Rasanya seperti hanya setakat itu sahaja. Sesungguhnya daya sudah habis. Jika sebelum ini isteri penulis yang berasa begitu. Kali ini penulis sendiri yang mengalami hal yang sama. Lama juga memikirkannya semula.

Pertamanya kerana sudah hampir ke kemuncaknya. Puncak Tursina sudah hampir. Keduanya, untuk turun sudah terlalu jauh. Ketiganya, tidak mungkin tersangkut di situ juga. Pada hari esoknya ketika menuruni bukit, apabila penulis memandang tempat itu, aduhai, sudah terlalu dekat dengan puncak idaman. Barangkali syaitan mengganggu dengan kuat ketika itu. Dengan hati yang sangat merendah, penulis bermunajat kepada Allah. Ya Allah  Kau telah sampaikan Nabi Musa ke puncak Tursina maka Kau izinkanlah aku tiba di puncak Tursina ini dengan izinMu. Ketika penulis melayani perasaannya isteri penulis terus melangkah ke hadapan. Setelah berdoa sebanyak-banyaknya, penulis gagahi lagi. Perlahan-lahan melangkah dari satu batu ke batu yang di atasnya. Semakin curam dan semakin curam. Ada yang menyuluh dari atas. Ada yang memaklumkan dah nampak. Nampak apa? Nampak puncaknya. Ya Allah! Sudah dekat sangat rupanya. Apabila ternampak bangunan di atas, penulis yakin itulah puncaknya. Biasanya orang membina bangunan di puncak bukit.

Hayunan terakhir itu memang perlukan semangat yang lebih kental. Puncak sudah dalam capaian. Kejayaan hanya beberapa langkah lagi. Namun kudrat perlu digandakan. Dalam sakit dijana tenaga tambahan. Tangga batu semakin payah dipijak. Melangkah semakin berat. Memang banyak kali berhenti walaupun setelah hanya beberapa langkah. Isteri penulis membuat strategi baru. Setiap tiga langkah ia berhenti. Alhamdulillah strateginya berhasil. Setiap kali berhenti datang tenaga baru. Maknanya jika benar ada 50 anak tangga, kami berhenti sebanyak kira-kira 10 kali. Kami hanya berharap kepada Allah. Berpaut harap kepadaNya. Memohon pertolonganNya. Akhirnya sebahagian puncak dijejak juga. Benar, bangunan yang dilihat di pertengahan tangga tadi sebuah bangunan yang sederhana besarnya. Dari bawah isteri penulis bertanya kepada peserta yang sudah berada di atas.

Dah sampai ke dik? Tanya isteri penulis kepada peserta di hadapan. Tidak kami kenali siapa peserta itu. Malam dan tidak nampak dengan jelas walaupan ada cahaya bulan.
Ya, dah sampailah ni makcik. Isteri penulis menoleh ke belakang.
Dah sampailah bang! Jeritnya.

Layaknya seperti dialog dalam drama TV pula. Ini benar. Bukan cubaan. Kata dialog dalam filem Pendekar Bunjang Lapuk. Ini adalah hakikat sebenar yang kami lalui. Terus hilang rasa penat.  Antara percaya dengan tidak. Semuanya kuasa Allah yang membawa tubuh badan kami yang berusia lanjut ini ke kemuncak itu. Laju langkah kami. Bangunan yang kami nampak semakin tersergam. Rupanya bangunan sebuah gereja. Kami naik lagi beberapa anak tangga. Di aras yang lebih tinggi. Benar-benar di puncaknya. Allahuakbar. Barulah kami lihat adanya sebuah surau. Lebih kecil bangunannya. Allahuakbar. Sampai juga kami di sini.  Kami mencari sebuah ruang di tepi surau yang ada. Subhanallah. Kami wuduk, solat sunat terus sujud syukur. Ada juga orang berniaga di puncak itu. Terutamanya menjual air dan selimut untuk disewa. 


Allahuakbar. Ini puncakmu Tursina. Dahulu hanya kisahmu yang aku baca. Nabi Musa yang bermunajat di sini. Di puncakmu ini Taurah diturunkan. 40 hari kekasih Allah berada di sini bersamamu. Aku hadir dengan izinMu ya Allah. Syukur alhamdulillah. Mengalir air mata. Syahdu kerana berada menjejaki Rasul kekasih Allah. Merasakan pengalaman mendaki bukit setinggi itu. Berada di puncak paling tinggi di situ. Pengalaman manis berada di puncak sebuah bukit yang syahdu. Pengalaman indah yang tersirat pahit manis mendaki sebuah bukit yang tinggi. Bukan kepalang syukur kami sebagai warga emas.  Bercerita berada di puncak sangat mudah. Mendakinya sudah dilupakan apabila puncak sudah dijejak.

 Gambaran di puncak bukit dalam musim sejuk. Suhu sangat rendah. Sangat sejuk di rasa. Seluruh tubuh ingin dilitupkan. Tiada tempat berlindung yang lebih sesuai.

Suhu terlalu rendah bagi orang Malaysia. Sejuknya teramat sangat.

Berselubung habis. Berusaha menahan sejuk dalam tiupan angin yang sangat kencang.

Sepet mata menahan derasnya angin. Jika dibuka lebar takut pula dimasuki pasir dan batu kecil yang berterbangan.

Seperti orang dalam ketakutan yang amat sangat. Lihat pasir dan batu kecil berterbangan dirakam kamera.

Aduhai, sejuknya.

Besar-besar pasirnya. Datang dari berbagai arah.

Bingkisan Dari Kaherah: Demi Puncakmu Tursina (Bahagian Kedua)



Sesuatu pendakian memang sukar secara relatif. Ada yang mengatakan sekadar sukar. Kepada yang lain sukarnya lebih sedikit. Bagi kami yang usianya melebihi 60 tahun tidak pernah terbayangkan kesukaran itu. Selalu hanya melihat orang lain mendaki gunung. Cerita orang lain mendaki dari gunung ke gunung. Cuma kami ingin kongsikan kepada pembaca sesuatu yang mungkin baik untuk dipraktikkan.

1                 Jangan terlalu memikir apa yang di hadapan. Kita akan jadi terlalu overconfident atau mungkin menjadi terlalu takut.
2                 Jangan fikirkan tinggi itu bagaimana. Kita mengetahuinya sebagai ukuran. Itu sahaja.
3                 Jangan fikirkan sukar. Take it step by step. Ketika kita melakukannya itu sahaja yang kita fikirkan. Bukan kesukaran yang bakal ditempuh. Ianya hanya akan menakutkan. Boleh menghalang percubaan seterusnya.
4                 Tidak ada azab sebenarnya kerana semua orang mengalaminya dalam berbagai bentuk. Setiap satunya perlu dilalui mengikut fitrah dan perancangan Allah. Kita hanya hamba yang perlu banyak bersabar. Melakukannya adalah tanggungjawab kita.
5                 Menyaksikan kekuasaan dan keagunganNya adalah galakan Allah. Dengannya kita menginsafi betapa kuddusnya Allah. Betapa kerdilnya diri kita sebagai manusia. Makhluk ciptaanNya.

Pendakian tanpa praktis tentulah di luar jangkaan minda biasa. Mereka yang hobinya mendaki gunung memahami hal ini. Pendakian memudaratkan tanpa latihan fizikal yang mencukupi. Apa yang kami suami isteri lakukan benar-benar dengan keyakinan bahawa Allah bersama kami. Anugerah Allah berada di mana-mana. Yang penting usaha dan tawakkal. Hak Allah menganugerahkan apa sahaja yang sesuai mengikut kehendakNya. Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami berdua. Sebagai manusia kita tidak pula lupa bahawa di sekeliling kita ramai manusia lain yang membantu. Dengan semangat. Ramai yang memberikan semangat InsyaAllah. Ada yang mencadangkan boleh naik unta kerana unta memang disediakan sebagai sewaan bagi yang kudratnya tidak memadai. Dengan doa dari anak-anak kami sendiri yang berada jauh di tanahair. Dari anak-anak Johor yang bersama kami. Dengan pertanyaan semangat. Sepanjang pendakian itu kami sering ditanya. Disapa.

Boleh tuan haji?  InsyaAllah.
Boleh pakcik? InsyaAllah.
Boleh ustaz? InsyaAllah.
Apa khabar tuan haji? Alhamdulillah.
Tahan lagi makcik? InsyaAllah.
Boleh makcik? InsyaAllah.
Pakcik dan makcik tahan ya? Alhamdulillah.

 Banyak kali kami berhenti. Kadang-kadang dalam 10 meter kami berhenti. Alhamdulillah setiap kali kami berhenti ada yang turut berhenti. Terima kasih anak-anak. Anak-anak Johor yang baik-baik belaka. Kadang-kadang ada ketikanya hanya kami berdua melakukan pendakian. Yang lain sudah di hadapan. Ramai yang sudah di hadapan. Cuma kami mengetahui ramai lagi yang berada di belakang. Pada ketika yang lain kami berkumpul semula. Bertemu kumpulan yang di hadapan. Menanti kumpulan yang di belakang. Mengetahui hal seperti itu sendiri sudah mengangkat semangat kami. Kami masih belum beralah dengan semangat. Belum alah dengan usia. Belum alah dengan matlamat. Di mana ada peserta yang berhenti, kami juga turut berhenti rehat. Peluang berinteraksi. Peluang bersama dengan keberadaan mereka. Mengambil semangat muda dari mereka.

1                 Usia adalah pengalaman.
2                 Usia adalah maju yang ke hadapan.
3                 Usia adalah semangat yang tertanam.
4                 Ada masanya usia menifestasikan potensi diri yang tidak pernah digilap.
5                 Usia rupanya bukan penghalang menempuh kesukaran dan meraih kejayaan.

Checkpoint kedua terakhir merupakan hentian yang meriah. Kebanyakan peserta berada di situ. Agak lama juga berehat. Ramai juga yang menyatakan rasa letih yang teramat sangat. Mengantuk mula menyerang. Jika membaringkan badan pasti tidur hingga esok pagi. Kata mereka kira- kira 40 minit lagi akan sampai di puncak. Isteri penulis menceritakan betapa banyak doanya ketika itu. 40 minit lagi. Semoga kami dan anak-anak yang bersama kami semua selamat samai di puncak. Berkobar-kobar sungguh semangat kami. Sejak dari bawah kami pandang keliling. Puncak-puncak bukit di sekeliling masih jauh tinggi di atas. Pada masa yang lain puncak-puncak itu sudah separas pendakian kami. Apabila paras kami sudah melepasi puncak-puncak bukit yang di sekeliling, kami insaf bahawa kami sudah mendaki agak tinggi. Sudah sampai ke point of no return. Ketika di situ belum terbayang lagi tangga-tangga curam yang akan didaki di peringkat terakhir. Yang dikatakan paling mencabar. Setiap kali kami merasakan kesukaran kami terkenangkan kesukaran lain yang selalu diulang-ulang sebagai keinsafan beragama. Memandang sekeliling terlihat gaung yang curam. Mula lebih berhati-hati melangkah ke atas. 40 minit yang terakhir inilah cabarannya terlalu tinggi. Bunyinya memang 40 tetapi ukuran kesukarannya seperti infiniti bagi kami yang sudah berusia.

1                 Nabi Musa a.s. mendakinya tanpa sebarang kemudahan. Pertolongan Allah yang penting. Serahkan kepadaNya segala urusan. Itu belum sukarnya Nabi Musa membawa kaumnya menyeberangi Laut Merah.
2                 Rasulallah s.a.w. berhijrah ke Madinah dalam panas terik gurun pasir yang suhunya hampir mencacah 50°C.
3                 Bagaimana Nabi Yunos a.s. berada dalam ikan besar yang menelannya.
4                 Bagaimana Nabi Nuh a.s. berhadapan dengan banjir besar. Dengan ombak yang setinggi gunung. Yang menghapuskan seluruh kaumnya.
5                 Tidak juga lupa sukarnya Asma’ bintu Abi Bakar mendaki ke Gua Thur menghantar makanan kepada Rasulallah dan ayahandanya Abu Bakar. Sedangkan ketika itu umurnya baru kira-kira 13 tahun.

Peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam itu menusuk jiwa kami. Apalah kesukaran yang kami hadapi berbanding kesukaran para anbia. Khususnya anbia dalam golongan Ulul ‘Azmi. Memang kami merasai kesukaran yang amat sangat. Apabila berhenti kami pegang kaki kami. Alhamdulillah masih yang sama. Lutut kami Allah izinkan masih di tampatnya. Kami sentuh peha. Alhamdulillah masih normal ototnya. Kami amat-amat bersyukur Allah memberikan kami kekuatan yang luar biasa. Mungkin di luar pemikiran biasa. Perjalanan langkah demi langkah itu rupanya membawa kami ke puncak juga. Bersama dengan anak-anak muda yang bersama dambaannya. Ingin sampai di puncak yang dicita. KeranaMu Allah.


Checkpoint yang terakhir kami berhenti lagi. Ramai yang berhenti di situ. Mengumpul kekuatan terakhir. Kami pandang anak-anak tangga yang teratur ke atas. Anak-anak tangga itu bukan seperti tangga rumah yang licin dan teratur jaraknya. Apabila mula bergerak, anak-anak muda tentulah deras langkahnya. Kami mengira tenaga yang masih ada. Yang perlu ditambah untuk pecutan terakhir. Ketika itu masih tidak kelihatan lagi puncak Bukit Tursina. Yang pastinya anak-anak tangga yang kami lihat kecerunannya semakin tajam. Ya Allah, izinkan kami ke puncaknya. Izinkan kami merasai nikmat yang kau limpahkan kepada kekasihMu Nabi Musa a.s. 


Berehat di checkpoint kedua terakhir. Penat sudah tidak boleh dikira lagi. 

Di belakang isteri penulis adalah laluan untuk ke puncak. 

Peserta lelaki yang gagah-gagahpun perlu berehat juga. Tidak semua yang gagahnya tanpa batas. 

Thursday, February 13, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Ilmu Di Mana Letaknya



Penulis biasa bertanyakan kepada pelajar-pelajarnya dahulu. Mengapakah mereka belajar hingga ke IPT. Melanjutkan hingga ke peringkat Sarjana. Kemudian mungkin ke peringkat PhD. Ramai yang mengatakan bahawa mereka ingin menyahut seruan negara. Ingin berkhidmat kepada negara. Ingin menabur bakti. Walau apapun jawapannya kesemuanya adalah betul. Namun jawapan-jawapan itu hanya gambaran yang ada pada kulitnya sahaja. Bukan hakiki. Ada jawapan yang tersembunyi yang tidak semua orang dapat menyatakannya dengan pasti. Jawapan-jawapan kepada soalan itu dapat dilihat secara mikro dan kemudiannya secara makro. Diri kira sendiri adalah individu penting. Sifat orang Melayu pula merendah diri. Dirinya diabaikan hingga dalam banyak hal menjadi terabai. Orang lain pula mengabaikan. Sebab itu dalam banyak hal orang Melayu selalu tertinggal. Tercicir di belakang. Ditinggalkan oleh semua orang.

Secara mikronya pendidikan membantu seseorang individu untuk meningkatkan dirinya dari tidak tahu kepada mengetahui. Ia ingin meletakkan dirinya pada aras tertentu dalam strata sosial. Semakin tinggi pendidikan atau ilmu seseorang maka ia berkemungkinan akan berada di tempat yang tinggi. Kelayakan akademik menjadi penentu jawatan yang disandang. Gaji atau pendapatan yang diterima. Kemampuan kuasa belinya. Taraf hidup yang dinikmati. Semakin htinggi semakin bagus. Begitu juga sebaliknya. Apa ertinya semua ini.

1                 Rumahnya lebih besar dan lebih selesa.
2                 Makanannya lebih berkualiti.
3                 Kesihatannya semakin terjaga.
4                 Keluarganya semakin berada dalam kedudukan lebih baik.
5                 Pendidikan anak-anaknya semakin terjamin.
6                 Persekitaran hidupnya lebih kondusif.
7                 Maka kepintaran anak-anaknya terbangun.
8                 Pendapatannya berlebihan sehingga boleh disimpan.
9                 Kenderaan yang dipandunya lebih besar dan lebih berjenama.
10            Aktiviti pelancongannya semakin jauh hingga ke luar negara.
11            Mampu makan di restoran yang lebih mewah.
12            Yang lebih penting perutnya seolah-olah terjamin kenyang selalu.
13            Barangkali tidurnya lebih nyenyak.

Kita bercakap mengenai ekonomi diri. Ekonomi keluarga. Pendidikan membawa seseorang menambahkan keupayaan ekonominya. Ia dilihat lebih berkemampuan. Dalam Islam jika sesuai penulis senaraikan, kita bertolak dari iman, Islam, amal dan akhlak. Dalam dunia nyata mereka bertolak dari mengisi perut terlebih dahulu. Mereka yang kenyang secara fizikal mampu pergi jauh.  Berbanding dengan Islam. Iman yang memandu seseorang hingga ke akhirat. Matlamat mereka bukan dunia. Tetapi akhirat yang infiniti. Kekal abadi. Namun begitu dunia dan akhirat adalah gandingan yang sinonim. Sangat bersesuaian. Iman menentukan yang mana lebih utama. Akhirat lebih utama dari dunia. Tetapi untuk ke akhirat kita melalui dunia terlebih dahulu. Kita bukan di tempat yang salah. Allah letakkan kita di dunia supaya kita mengetahui jalan ke akhirat. Maka ilmu adalah penyuluh jalan yang kita cari itu.

Orang Barat membuktikan bahawa ilmu yang tinggi menemukan mereka kepada jawapan-jawapan yang abstrak. Dari fizik mereka menemui sesuatu yang sangat besar tetapi sempurna. Dari ilmu falaq mereka menemui alam yang sangat luas. Dari matematik mereka mengira hal-hal yang sukar difahami akal. Kesimpulannya mereka akur bahawa alam in terlalu besar. Tentu ada yang mentadbirnya. Mereka menemui Allah menerusi ilmu mereka. Ramai Orientalis yang pada awalnya menentang Islam akhirnya menemui Allah melalui ilmu mereka. Mereka bersyahadah mengakui keesaan Allah. Pada suatu peringkat ilmu kita layakkan untuk menjadi alat mendapatkan pendapatan tinggi. Untuk makan dan mengenyangkan perut. Apabila ilmu itu melebar dan meninggi maka yang ditemui ialah Yang Khaliq. Pencarian mereka akhirnya menemui iman. Mereka menjadi Islam. Menjadi ilmuan Islam yang dikagumi. Kecuali mereka menipu diri mereka sendiri. Menidakkan apa yang mereka temui. Cuba lari daripadanya.

Apabila pendidikan kita rendah maka status kita hanya menjadi pelaksana. Bekerja mengikut kata ketua. Dalam pejabat menjadi pembantu pejabat. Peon kata orang tua-tua dahulu. Menjadi yang menurut perintah. Suara kita tidak didengar orang. Cadangan kita dikira tidak layak didengar. Kelayakan untuk bercakap terbatas kerana keterbatasan ilmu. Apabila kelayakan akademik meningkat atau apabila memiliki pengalaman tertentu untuk jangkamasa tertentu ada antara kita diangkat menjadi penyelia. Pada zaman British dahulu penyelia selalu dipanggil mandor. Pangakatnya diperolehi kerana pengalaman lebih lama dan dipercayai oleh majikan, kebetulan orang putih. Kelayakan akademik IPT melayakkan seseorang menjadi eksekutif. Pengurus yang banyak kerja urusnya. Tinggi kedudukannya. Besar gajinya. Elaunnya juga besar. Di peringkat yang lebih tinggi mereka menjadi pemimpin. Di dalam oraganisasi dipanggil Pengerusi dan CEO. Dalam politik hingga PM. Di sekolah Pengetua. Begitulah kedudukannya yang berbagai-bagai.

Kesemuanya dicapai melalui ilmu. Kelayakan akademik dan pengalaman. Perlu juga sifat-sifat dan kriteria diri yang berlainan. Kriterianya berubah dari sebuah organisasi ke sebuah organisasi yang kain. Namun titik pertemuannya ialah ketua yang membawa kejayaan. Mendatangkan keuntungan. Memanjangkan usia organisasi. Membahagiakan ahli-ahli organisasi. Maknanya ketua sifatnya ke hadapan. Semakin meninggikan keadaan. Membanyakkan. Meluaskan. Melebarkan. Menguasai. Kesemuanya bersandarkan kepada ilmu. Lebih banyak lebih baik. Ilmu yang namanya ilmu menjadi alat mencapai berbagai matlamat. Mungkin sekadar sandang pakai. Kemewahan hidup. Tetapi jangan lupa bahawa ilmu boleh membawa seseorang itu ke mercu yang sangat tinggi. Jika lurus jalannya ilmunya membawanya ke jalan Allah tanpa banyak masalah. Ketika orang lain sibuk dengan perut dan mengenyangkannya dia menyibukkan akalnya. Mindanya. Ilmunya diperluaskan ke lapangan yang lebih luas.

Minda kita terlalu luas. Jika tidak dipergunakan yang kita lihat ialah kegelapan. Orang Barat mengatakan bahawa sebelum kurun yang ke-14 mereka hidup dalam kegelapan. Bukan tidak ada matahari. Bukan tidak ada lampu. Yang mereka maksudkan ialah mereka tidak memiliki banyak ilmu. Sewaktu dunia Islam sudah terang melebihi 1,000 tahun barulah orang Barat menemui cahaya ilmu. Malangnya ilmu kepada orang Islam tidak diterangkan suluhannya. Cahaya ilmu diambil oleh orang Barat. Kita pula semakin suram. Allah anugerahkan kita dengan akal. Kita hendaklah belajar membuka minda kita sedikit demi sedikit. Apabila sudah terbuka, kita buka luas seluas-luasnya. Ketika itu barulah kita melihat manisnya ilmu. Lunaknya berada dalam suasana ilmu. Lapangnya fikiran kerana walaupun sudah banyak diisi masih banyak lagi ruang lain yang minta diisi.


Ilmu tidak berat sehingga boleh ditimbang. Tidak besar sehingga sukar melihat tepinya. Tidak tinggi sehingga perlu didaki. Tidak jauh sehingga perlu digagahi pergi. Ianya berat kerana kita boleh memikirkan yang besar-besar. Ianya besar kerana kita mampu berada dalam suasana yang lebih asing berbanding dengan orang lain. Kita dapat melonjakkan pemikiran kita hingga ke tahap yang dilihat sebagai tidak rasional lagi. Kreativi juga berdasarkan ilmu. Bukan datang sebagai ilham semata-mata. Kerana itu bukalah minda untuk belajar. Dari tidak tahu biar  tahu. Dari sedikit menjadi banyak. Dari yang biasa ke yang luarbiasa. Dari yang rendah ke yang tinggi. Apabila sudah dibuka minda pastinya akal budi kita bertambah baik. InsyaAllah.

Wednesday, February 12, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Antara Kotor Sampah Yang Menghidupkan



Sampah buatan manusia menjulang banyaknya. Di bandar besar banyak sampahnya. Semakin besar sesebuah bandar semakin banyaklah sampahnya. Kadang-kadang di pekan kecil kelihatan sampahnya berterbangan. Di bandar besar penghuninya lebih perihatin. Mereka lebih terpelajar. Lebih berpengalaman. Bekerjaya. Profesiaonal. Berpangkat tinggi. Sampah diurus dengan baik kerana sampah boleh mengakibatkan berbagai malapetaka. Selain membiakkan penyakit, sampah boleh membantutkan usaha pelancongan. Ramai rakyat yang akan sakit. Banyak daya produktiviti yang tersangkut. Negara keseluruhannya terjejas. Turut sakit. Menjadikan bertambahnya sampah yang busuk, kotor dan membiakkan penyakit bukan agenda yang baik. Tidak ada orang yang beragenda begitu. Namun realitinya itulah yang menjadi amalan. Buang sampah merata-rata. Tiada disiplin mengenai sampah. Tidak perihatin tentang bahayanya sampah. Tidak pernah memikirkan bahawa sampah menjadi punca pencemaran udara. Gas beracun yang berterbangan di udara. Kita sedut dalam-dalam. Bukan oksigen tetapi racun yang percuma. Ramai yang sakit kerananya.

Bolehkah sampah disimpan sebagai sampah? Di USA itulah yang menjadi amalan. Pungutan sampah hanya pada hari-hari tententu. Sebelum sampai jadual itu, sampah hendaklah disimpan di rumah. Tidak busukkah? Cuba fikirkan. Persepsi kita begitulah. Sampah tentu busuk. Amalan kita membawa kesemua barang ke dalam rumah. Kita tidak fikirkan bahawa selepas beberapa ketika ianya akan mendatangkan bau busuk atau tidak. Jangkaan kita memang benar. Segala jenis buah-buahan kita akan busuk. Sayur-sayuran akan busuk. Makanan yang terlebih dan hendak dibuang memang busuk. Itu belum lagi kotoran kerana debu yang hapak. Lembapan yang berbagai baunya. Jadinya yang busuk itu bukan benda yang berada dalam rumah. Kebanyakannya bau busuk itu kesilapan amalan kita. budaya kita yang mungkin salah. Mengapa agaknya? Di mana kesilapannya? Cuba maklumkan?

1                 Kita beli makanan laut bersama isi perut dan kepalanya. Kita tidak memakannya. Malah isi perut ikan tentulah tidak boleh dimakan. Kita siang di rumah. Apa kita buat dengan isi ikan, kulit udang, cengkerang kupang, kerang dan sebagainya?
2                 Kita siang ayam dan daging dengan membuang bahagian yang tidak kita kehendaki seperti lemaknya. Kita simpan beberapa jam. Busuknya terhidu jua. 
3                 Kita beli buah yang hakikatnya busuk. Durian, kuini, bacang, pisang dan buah-buah lain yang menyerupainya dari segi bau. Isinya kita makan. Kulitnya akan busuk tidak lama kemudian.
4                 Kita beli sayur. Enak dimakan tetapi lebihan dan sisanya akan membusuk.
5                 Kita cepat berpeluh kerana udara di negara kita lembap. Kelembapannya tinggi. Pakaian yang berlonggok dan lambat dibasuh mengeluarkan bau yang menyumbat hidung kita sendiri. Orang lain yang bertandang tentulah menahan nafas lama-lama. Datang sekejap sudah hendak balik. Hendak mencari udara bersih di luar rumah kita.
6                 Di premis makanan umpamanya sampah tidak diurus dengan kadar segera. Tiada urgency. Sepatutnya sampah dipungut setiap sejam atau dua jam.

Bagaimana mencipta budaya baru dengan sampah? Mari sama-sama kita fikirkan. Kita gunakan pemikiran inovatif dan kreatif. Ingin maju dan dinamik.

1                 Siang ikan di pasar. Keluarkan isi perutnya. Buang kepalanya. Bawa balik isinya. Jika boleh tanpa tulang dan durinya. Selepas dimasak dan dimakan tiada sisa yang boleh mengakibatkan bau busuk. Busuknya kita tinggalkan di pasar dan tidak dipindah atau diagihkan ke tempat lain.
2                 Begitu juga ayam dan daging. Siang dan potong di pasar. Ikut saiz yang kita kehendaki. Bawa balik yang sedia untuk dimasak. Tidak berbaki lagi dan tidak memungkinkan bau busuk.
3                 Makan buah di luar rumah. Di gerai menjualnya. Di dusun. Atau bawa balik isinya sahaja. Kulitnya telah dibuang terlebih dahulu. Kenapa bawa kulit buah ke rumah sedangkan kita mengetahui bahawa kulit itu bakal mencemarkan rumah kita.
4                 Beli sayur yang tidak memungkinkan menjadi busuk. Jangan banyak. Cukup untuk sekal masak. Untuk sekali makan. Tidak ada sisa yang boleh busuk.
5                 Basuh pakaian sekerap mungkin. Mungkin sehelai di bilik air dibasuh dengan tangan. Paling lama 10 minit. Rendam sekejap. Sental. Perah dan sidai. Bukan kotor sangat. Peluh sahaja. Cuma pastikan sental kuat sedikit di bahagian pergelangan tangan dan di bahagian leher. Kotornya lebih sedikit di situ.
6                 Premis makanan hendaklah diurus sampahnya berlainan dari tempat kediaman. Di premis makanan sampah dipungut lebih kerap. Jangan biarkan sampah berlonggok. Mengeram untuk disepahkan anjing dan kucing atau mungkin angin kuat. Begitu juga tikus, langau dan lalat.

Kita harus mengambikira juga manfaat dalam sampah. Dalam sampah ada sampah yang baik. Yang boleh dikitar semula untuk memelihara alam sekitar. Penulis perhatikan dalam dunia ini ramai mereka yang melangsungkan kehidupannya kerana  berurusan dengan sampah. Baik di Malaysia atau di negara lain. Mereka menyelongkar bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Usaha untuk menyambung hayat diri dan hayat keluarga. Namun begitu di serata dunia, lain masyarakat lain cara mereka mengurus sampah. Ada yang sangat professional dan ada pula yang melepas batuk di tangga sahaja. Walaupun kita lebih baik dari kebanyakan negara tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki. Prasarananya. Sistemnya. Sikapnya. Proses dan prosedurnya. Tidak lupa ialah pendidikan yang berkaitan dengan sampah.

Di Kaherah umpamanya ramai antara warganya yang betul-betul hidup kerana berurusan dengan sampah. Mereka menggunakan berbagai kenderaan atau dengan berjalan kaki. Yang berkemampuan dan skop operasinya luas menggunakan lori besar. Mengambi kontrak mengambil sampah dari pemilik bangunan yang tinggi sama ada pejabat atau rumah kediaman. Ramai yang menggunakan lori kecil. Bergerak dari jalan ke jalan yang lain. Dari bangunan ke bangunan. Ada yang menggunakan motor tiga roda. Khusus pula mencari barang rosak seperti kerusi, meja, baldi dan sebagainya. Jerit pekik mereka bersahut-sahutan antara jalan dengan jalan yang lain. Ramai juga yang menggunakan keldai. Sama ada dalam bentuk kenderaan yang ditarik atau keldai itu sahaja dibebankan dengan karung sampah yang besar di kanan dan kirinya. Pengendalinya berjalan kaki. Dalam pada itu ada yang mencari sampah berguna dengan mengendung karung sampah di bahu  mereka. Tempat sampah tidak sunyi dari kunjungan mereka. Selepas seorang, seorang yang lain akan datang. Kebetulan di tempat yang ramai penduduknya seperti Kaherah ada sahaja orang membuang sampah. Kerana itu ada sahaja orang yang memanfaatkan sampah itu.


Pekedai-pekedai di Kaherah tidak seperti di Malaysia. Kotak dan sampah mereka jual untuk menambahkan pendapatan sampingan. Di Kaherah, pemilik kedai membuang kotak dan sampah dengan teratur. Mereka letakkan di hadapan kedai mereka.  Tidak lama. Hanya beberapa minit sahaja akan ada yang mengambilnya. Siapa cepat dia dapat. Rezeki masing-masing. Satu cara juga untuk membantu golongan yang kurang berada. Biarkan mereka bekerja dan tidak meminta-minta. Bantu dengan berhemah. Bahawa mencari pendapatan sebenarnya susah kepada semua orang. Orang kaya juga berusaha keras. Orang berniaga berkerja lebih keras. Maka mereka yang memerlukan pendapatan berusahalah juga mengikut kadarnya. Akhirnya yang kita lihat ialah adanya bantu membantu antara mereka. Yang lebih membuang sampah. Yang kurang memungut sampah dan memanfaatkannya. Kehidupan diteruskan. Kerja ada mengikut tarafnya. Pendapatan cukup untuk menghidupkan suatu generasi. 

Tuesday, February 11, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Warisan Keluarga



Apa sebenarnya yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita? Kadang-kadang kita terlupa tentang apa yang perlu kita lakukan sebelum kita tinggalkan mereka untuk selama-lamanya.

1                 Anak-anak yang soleh.
2                 Ilmu yang bermanfaat.
3                 Amal jariah.

Anak cucu kita adalah warisan kita. Setakat mana harapan kita akan tercapai. Ini bukan harapan dunia. Ini adalah harapan akhirat. Ramai antara kita sudah cukup dengan harapan dunia. Harapan akhirat yang masih samar-samar lagi. Dalam negara yang pernah dijajah British dahulu banyak harapan Islam yang tercicir. Tidak ramai anak-anak kita hafal al-Quran. Tidak ramai yang menghafal al-hadith. Tidak ramai yang pakar dalam bidang agama. Pada masa yang sama kita tidak pakar dalam bidang-bidang lain sama ada fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Apabila kita lihat sekeliling, kita dapati orang kita tidak pula ramai yang menguasai dunia profesional. Tidak ramai juga yang menguasai ilmu agama. Orang kita berada di persimpangan antara dekat dengan jauh. Antara tahu dengan tidak berapa tahu. Antara terkehadapan atau berada di pertengahan jalan. Larinya tidak laju. Jalannya tidak deras. Tindakannya lambat. Lengah mengambil peluang. Selalu beranggapan bahawa sesuatunya itu tersedia di hadapan mata. Psikologi British yang sangat licin, licik, lembut dan menawan. Kita mengambil kesemuanya hingga kita tidak tahu bahawa sikap kita terbentuk untuk menjadi Yang Manurut Perintah. Yes sir. Yours truely. Kita menjadi jumud dan kaku.

Meninggalkan anak soleh dan solehah tentulah dengan pendidikan agama. Tahu agama. Boleh memimpin dalam beribadat.

1                 Boleh menjadi imam solat.
2                 Merawat ibu dan bapanya apabila mereka sampai umur tua.
3                 Memandikan jenazah ibu dan bapanya.
4                 Mengkapankan jenazah mereka.
5                 Menjadi imam solat jenazah mereka.
6                 Mendoakan mereka setiap terluang masa.

Doa anak yang soleh mudah diterima Allah. Banyak iktibar dari zaman dahulu yang boleh dijadikan iktibar. Uwais al-Qurni adalah seorang darinya. Seorang lagi ialah seorang pemuda di zaman nabi Musa a.s. juga contoh yang terbaik.  Anak-anak yang soleh ini membantu kedua ibu dan bapanya dari tidak selamat kepada selamat. Malah ada yang dari neraka akan dipindahkan ke syurga. Memanusiakan seorang anak yang soleh tidak seperti membuat kuih. Bukan kek. Bancuh ikut sukatan. Bakar. Cukup masa masak untuk dimakan. Acuan anak soleh berbeza dengan acuan membuat kuih.

1                 Rugi tidak memikirkan acuan anak soleh.
2                 Rugi tidak mendapat anak yang soleh.
3                 Betapa ruginya tidak meninggalkan anak-anak yang soleh setelah meninggal dunia.
4                 Rugi tidak mendampingi orang yang soleh.

Kita katakan bahawa untuk menjaga kedua ibu dan bapa yang sudah tua adalah tanggungjawab anak. Rasanya tidak ada kurikulum khusus untuk melahirkan anak soleh. Ibu dan bapa tidak melakukannya. Sistem pendidikan tidak menyediakannya. Kita hanya berkata tentang anak soleh. Banyak yang belum difikirkan atau tidak terfikirkannya.

1                 Acuannya tidak ada.
2                 Kurikulumnya tidak ada.
3                 Kerangkanya tidak ada.
4                 Prosesnya tidak ada.
5                 Prosedurnya tidak ada.
6                 Strateginya tidak ada.
7                 Dasarnya tidak ada.
8                 Skemanya tidak ada.
9                 Standardnya tidak ada.
10            ISOnya tida ada.
(Mereka yang pakar dalam bidang agama sahaja yang lebih mengetahui. Kita selalu lupa untuk merujuk kepada mereka.)

Semua kita hanya beranggapan bahawa kita perlu melahirkan anak-anak yang soleh. Kita toleh kanan dan toleh kita, tiada siapa yang boleh membantu. Semua orang berharap antara satu sama lain. Penulis merasakan bahawa selama ini kita hanya bercakap tentang topiknya sahaja. Kita jarang membentangkan peracangan strategik atau perancangan taktikalnya. Mungkin ramai yang tahu bahawa sistem pendidikan kebangsaan bukan acuannya untuk melahirkan anak-anak yang soleh. Terlalu banyak kes membuang orang tua. Membunuh orang tua sendiri. Menipu orang tuannya sendiri. Bergaduh dan mencederakan bukan lagi perkara yang dianggap luarbiasa. Berlaku di mana-mana. Mungkin juga pembaca perasan bahawa kebanyakan kejadian sebegitu berlaku di luarbandar. Di kalangan mereka yang berada dalam aras sosial yang rendah.

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak seperti mudah selesainya. Kesemuanya nampak mudah. Beri makan. Kenyang dan menjadi besar. Sediakan pakaian. Sekira-kiranya menutup aurat. Hantar ke sekolah. Pandai atau tidak sistem yang menentukan. Kita pusing ikut manapun kita dapati tiada kurukulum untuk melahirkan anak yang soleh. Wariasan yang hendak kita tinggalkan seperti tiada dalam perancangan. Seharusnya kita bukan sahaja memikirkannya tetapi mengusahakannya sehingga kita melahirklan kesemua anak-anak kita yang memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat soleh itu. Dari kecil lagi sudah dipamerkan wajah solehnya. Akhlaknya. Keperihatinanya. Aktif, reaktif dan yang paling penting proaktif terhadap orang tua masing-masing. Proses itu berterusan sehingga anak soleh itu benar-benar terjelma dalam setiap keluarga.

1                 Cintakan Allah. Beriman kepadaNya dan tanpa syirik. Sempurnakan semua perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.
2                 Cintakan Rasul sebagai utusan Allah. Berselawat sebanyak mungkin. Laksanakan ajarannya. Amalkan sunnahnya.
3                 Cintakan kedua ibu dan bapa tanpa sebarang halangan. Semasa tuanya mereka bergantung harap kepada anak-anak. Tanggungjawab anak-anak untuk memberikan yang terbaik untuk mereka. Mereka telah menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka setara dengan kemampuan mereka. Tidak pernah ada jemunya sama ada sakit atau sihat. Penat atau santai. Malam atau siang. Kesemuaya telah dilakukan untuk anak-anak. Doakan mereka sama ada masih hidup atau telah tiada. Tanya apa mahunya. Tanya apa sakitnya. Tanya apa masalahnya. Bicara dengan baik. Tidak mengeluh. Banyak bersabar. Hormati mereka sebaik-baiknya.
4                 Cintakan al-Quran. Baca, kaji dan huraikan maksudnya. Ambil pengajarannya. Amalkan perintah Allah. Jauhkan larangannya. Baca setiap hari. Seberapa boleh menghafalnya. Agendakan supaya anak-anak hafal al-Quran. Besar manfaatnya kepada keluarga dan kepada jiran tetangga serta masyarakat tempat tinggalnya.
5                 Cintakan sahabat-sahabat Nabi. Mereka dicintai Rasulallah. Penyambung warisan Rasulallah. Dari mereka kelangsungan agama. Mereka pula antara umat yang dijamin masuk syurga.
6                 Cinta kepada keluarga Rasulallah. Mereka adalah ahlul bait. Mencintai ahlul bait seperti mencintai Rasulallah. Kehadiran ahlul bait seperti kehadiran Rasulallah.
7                 Mencintai guru, orang tua, jiran tetangga dan manusia keseluruhannya. Cinta sesama makhluk. Begitu juga dengan haiwan dan alam sekitar.
8                 Cinta solat lima waktu. Tiang agama yang tidak boleh diabaikan. Dari berdiri boleh duduk. Dari duduk boleh baring. Dari baring boleh hanya mengedip mata. Namun meninggalkannya tidak boleh. Tidak boleh. Noktah.
9                 Cintakan masjid. Cintakan rumah Allah. Beribadat di dalamnya. Memakmurkannya. Mengimarahkannya. Munajat di dalamnya. Berdoa di dalamnya.
10            Cintakan keluarga. Dari nenek dan datuk hinggalah ke anak cucu. Utamakan keluarga. Dahulukan keluarga. Doakan kesejahteraan mereka. Beri yang terbaik untuk mereka. Kasihi mereka supaya mereka mengasihi kembali.
11            Cintakan fakir miskin. Anak-anak yang memiliki hati yang lembut. Pengasih dan penyayang. Simpati dan emati. Selalu berbudi luhur.
12            Rajin belajar untuk memperbaiki diri. Mencari nilai tambah yang diredhai agama.


Ibu dan bapa, itulah agenda kita untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Jika berat, ringankan. Jika susah, senangkan. Jika rumit, usaikan. Tanam benih kasih dahulu untuk menuai hasilnya yang indah dan berseri. Cantiknya dari dunia hingga ke akhirat. Tugas ibu dan bapa untuk membentuk anak-anak yang soleh dan solehah. Banyak belajar. Banyak bertanya. Mintalah nasehat. Belajar dari kejayaan orang lain. Bergurulah sebanyak mungkin. InsyaAllah banyak manfaatnya kepada keluarga tersayang.