Thursday, November 7, 2013

Bingkisan dari Kaherah: Daulah Islamiyyah Yang Terpecah



Pengkaji ramai yang memahami istilah pecah dan perintah. Dasar orang Barat ini masih kekal diamalkan oleh orang-orang di bekas tanah jajahan mereka. Dari Portugis kepada Sepanyol kepada Belanda kepada British kepada Perancis kepada Itali kepada Jerman kepada Russia kepada Cina. Mungkin Jepun termasuk dalam kategori ini. Sekali pandang ianya hanya dasar politik. Ideologi yang berbeza. Cuba kita lihat ke dalam. Ke dasar sanubari nurani Islam. Apa implikasi dan impaknya kepada  Islam, dunia Islam dan orang Islam. Tanpa membuka mata hati mungkin kita tidak memahami apa-apapun yang terpapar di hadapan kita. Nampak tetapi kita tidak melihatnya. Ada tetapi maujudnya tidak memberi apa-apa erti kepada kita. Sambil belajar bahasa Arab di Mesir ini penulis cuba melihat betapa besar signifikannya dasar pecah dan perintah orang Barat ke atas Islam itu sendiri.


Sejak dari dahulukala bumi Arab adalah bumi anbia. Yang mula-mula diduduki manusia keturunan Adam. Masa yang berlalu meninggalkan sejarah yang berbagai. Antaranya kita melihat pendudukan Yunani dan kemudiannya Rom. Asia Tengah ini adalah kawasan yang strategik di atas muka bumi.

1                 Pertemuan Timur dan Barat.
2                 Laluan perdagangan rempah.
3                 Laluan perdagangan barangan dari Cina.
4                 Mana-mana kuasa yang bertapak di sini menguasai kesemua di atas.


Sewaktu empayar Yunani dan Rom berada di Jazirah Arab ini tiada usaha untuk memecahbelahkannya. Orang Arab dan tanah Arab diperintah secara tunggal. Sejak dari zaman Yunani bumi Syam sangat maju dalam banyak hal. Menjadi rebutan antara satu sama lain. Berbagai tamaddun berkembang seperti:

1                 Kerajaan Nabi Sulaiman as.
2                 Kaun ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud as.
3                 Kaum Nabi Salleh as.
4                 Kaum Nabi Syuib as.
5                 Kaum Nabi Luth as.


Apabila Islam berkembang dari Madinah ke seluruh penjuru alam, manusia di Barat menjadi kelam kabut. Penguasaan mereka ke atas Jazirah Arab terlerai. Bangsa Arab bukan lagi bangsa yang dijajah. Bersama agama Islam, orang Islam menerobos ke Barat dan ke Timur. Di bawah Piagam Madinah daulah Islamiyyah adalah satu. Tunggal. Di bawah kerajaan Ummayyah dan Abasiyyah daulah Islamiyyah juga satu. Di bawah empayar Uthmaniah daulah itu masih satu. Barangkali titik tolaknya ialah Perang Salib yang akhirnya dimenangi oleh orang Islam di bawah pimpinan Sallahuddin al-Ayyubi. Kekalahan itu menjadi tamparan berat kepada Barat. Sebelum itu mereka berasa hebat kerana dapat mengusir Islam dari Andalusia yang telah diperintah Islam selama kita-kita tujuh abad. Kekalahan mereka kepada Sallahuddin menyerlahkan adanya:

1       Dendam Barat dan Kristian.
2       Dendam Kesumat Bangsa yang dimurkai
3       Dendam bangsa yang disesatkan


Rata-rata kepimpinan di Barat mengetahui bahawa selagi orang Islam kuat maka orang Islam tidak boleh dikalahkan. Selagi orang Islam berpegang dengan al-Quran selagi itu Islam kukuh. Bukan rapuh. Kerana itu mereka menggodam Empayar Uthmaniah yang berpusat di Turki. Berbagai perancangan dan gagasan yang mereka lakukan. Satu demi satu kawasan diduduki, diperintah dan diperlakukan semaunya atas nama menundukkan Islam. Pemimpin-pemimpin kecil dibantu untuk menegakkan negara-negara kecil yang lemah. Kerana itu kebergantungan kepada Barat berkekalan. Barat dianggap sebagai pelindung kewujudan negara-negara tersebut. Hingga sekarang ada negara Islam yang kewujudannya betul-betul bergantung kepada ihsan Amerika Syarikat. Kerana itu apa yang berlaku di Palestin tidak pernah diambil pusing. Rakyat mereka memikirkannya tetapi kepimpinannya tidak. Tiada negara Islam yang benar-benar kuat dan digeruni Barat. Dasar pecah dan perintah mereka menenggelamkan suara orang Islam. Hilang segala maya.


Barat mengasing-asingkan orang Islam sehingga terjadinya negara-negara kecil yang entah dari mana mulanya. Entah siapa yang menentukan sempadannya. Siapa pula menentukan haknya. British berada di bumi Syam. Perancis di utara Afrika. Begitu juga Itali. Sekarang baru kita mengerti. Rupanya agenda besar menanti kita. Negara Islam yang banyak tetapi kecil dibezakan dari segi politik. Dari segi ideologi. Dari segi budaya.  Kita hanya diperlihatkan perebutan kuasa pada peringkat zahirnya. Yang kita lihat penjajah berebut-berebut mencari tanah jajahan. Kita disibukkan dengan hal-hal yang tidak signifikan. Sementara itu orientalis pula menyibukkan orang Islam dengan perkara furu’ walaupun mazhab-mazhab yang sudah mantap menjadi ikutan tanpa masalah. Kita disibukkan dengan hal-hal yang kecil-kecil. Yang remeh temeh. Orang Barat melaksanakan agenda besar tanpa kita sedar. Agenda mega masih menanti hingga sekarang. Mereka memerah ekonomi dari bumi Arab untuk menindas orang Islam. Untuk memiskinkan orang Islam. Untuk melemahkan orang Islam.


Baru kita sedar betapa banyaknya minyak yang diperlukan Barat. Betapa minyak menjadi alat pembakar yang menghidupkan generasai Barat. Bayangkan senerio tanpa Barat. Negara Islam menjadi sangat kaya raya. Ironisnya kekayaan dari negara Islam mengkayakan Barat. Kekayaan negara Islam disimpan di Barat. Digunakan, digandakan perolehannya untuk mengkayakan diri mereka. Bukan mengkayakan pemiliknya iaitu orang Islam. Minyaknya diangkut ke Barat. Wang pembayarannya kekal di Barat. Minyak memaju dan mengkayakan industri mereka. Harta benda yang kekal di Barat semakin mengkayakan mereka. Negara Islam kekal majunya hanya merangkak lambat.


Sekarang kita mula melihat penjajahan agama. Orang Islam tidak bebas memakai pakaian Islam umpamanya. Mereka menggubal undang-undang untuk menguatkuasakan larangan itu. Masjid tidak boleh dibina sesuka hati. Terdapat undang-undang di Switzerland yang menghadkan ketinggian menara masjid supaya tidak melebihi bangunan tinggi di sesuatu kawasan. Seolah-olah kebebasan beragama berlaku di negara Islam. Toleransi orang Islam sangat tinggi. Tetapi tidak di sebaliknya. Kita tidak melihat dari dahulu bahawa perancangan Barat banyak agendanya. Bercapah ke berbagai bidang. Penjajahan kekayaan antara yang kita sangat jelas hingga kini. Ada sahaja yang mereka rancang untuk menjadikan orang Islam menjadi lebih miskin.



Penjajahan fizikal sudah lama berlalu. Yang masih wujud ialah penjajahan minda. Minda kita masih dalam kotak yang sama. Kita tidak keluar kotak untuk melihat banyak kotak lain di sekeliling kita. Kotak-kotak itu lebih besar. Lebih universal. Lebih anjal. Lebih memberikan ruang untuk merubah dan menjadi lebih baik. Kita perlu keluar dari kotak lama yang sama sahaja bentuknya. Kita tidak lagi hanya boleh melihat bentuk dan saiz. Letak dan tempat. Kita perlu transgresi. Kita perlu mengapung. Kita perlu mencapah. Kita perlu menyebar. Kotak lama hanya tapak asas untuk kita mengerti sejarah yang bermula. Cari kotak lain yang lebih kondusif bersandarkan kepada kesedaran kita yang baru. Bina kotak yang lebih baik. Kotak yang menjadikan kita membina identiti dan entiti baru. Untuk makluman banyak negara di Asia yang sudah keluar dari kotak lama mereka. Kita bila lagi.

Wednesday, November 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Petakakah Sekolah Campur?




Sepanjang penulis bersekolah menengah penulis hanya bersama pelajar lelaki. Tiada pelajar perempuan kecuali seorang atau dua guru perempuan. Di sekolah kebangsaan sahaja penulis bersama pelajar perempuan. Di maktab perguruan kami bercampur lelaki dan perempuan. Begitu juga di universiti. Kajian terbaru di Israel umpamanya mendapati bahawa prestasi pelajar berbeza antara sekolah yang bercampur gender berbanding dengan sekolah yang bergender tunggal. Pelajar di sekolah bergender tunggal didapati lebih baik prestasi akademiknya. Jika kita lihat senario di Malasia situasi ini ada kebenarannya. Walaupun bukan kajian rasmi. Kita dapati prestasi sekolah seperti STAR, Kolej Tunku Khursiah, dan yang lain menunjukkan prestasi yang cemerlang. Ada sekolah-sekolah yang bercampur gender yang juga cemerlang prestasi pelajarnya. Namun begitu sejak akhir-akhir ini banyak musibah berlaku di sekolah-sekolah bercampur gender.


Suatu ketika dahulu semasa penjajah Inggeris berada di Malaysia  untuk orang Melayu hanya ada sekolah Melayu. Sekolah Cina untuk orang Cina dan diusahakan oleh saudagar-saudagar Cina. Sekolah Tamil pula disediakan di estet-estet oleh pemilik-pemilik ladang berbangsa British. Sekolah Inggeris diusahakan oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Mubaligh Kristian mengadakan sekolah diasingan antara lelaki dan perempuan. Mereka tahu agama mereka melarang percampuran bebas. Dari segi sosial sahaja mereka melakukan pergaulan bebas. Bukan dari segi agama mereka. High School wujud hampir di semua bandar besar. Begitu juga sekolah Clifford, Anderson dan sebagainya. Sekolah perempuan pula kebanyakannya dinamakan Convent. Penulis rasa ramai orang Melayu tidak tahu makna Convent. Sebenarnya ianya adalah tempat rahib berlatih menjadi mubaligh. Setelah kerajaan persekutuan mengambilalih pentadbirannya barulah sekolah-sekolah mubaligh mengikut arus perdana.


Orang lama seperti penulis maklum sejarah sekolah di Malaysia. Sebelum merdeka hingga sekarang sekolah-sekolah mubaligh kekal sebagai sekolah gender tunggal. Banyak juga sekolah-sekolah yang khusus untuk gender tunggal kekal hingga kini. Nama-namanya seperti Sekolah Seri Putri, Sekolah Perempuan Temenggung  Ibrahim dan banyak lagi. Sekolah-sekolah gender tunggal ini pada asalnya untuk ekspatriat dan anak-anak bangsawan Melayu. Anak orang awam yang terpilih sahaja berpeluang ke sekolah gender tunggal. Fakta sejarah yang kekal hingga kini ialah sekolah mubaligh tidak pernah terdaftar sebagai sekolah kerajaan. Begitu juga sekolah Cina dan sekolah Tamil. Ketiga-tiga sekolah ini tidak di bawah kuasa tadbir kerajaan British. Hanya sekolah kebangsaan sahaja ditadbir oleh kerajaan penjajah. Cerita tentang Laporan Barnes dan Fenn-Wu telah banyak kali penulis sentuh dalam beberapa entry sebelum ini.  


Beberapa tahun selepas merdeka kerajaan Perikatan di Semenanjung Tanah Melayu memulakan sekolah menengah kebangsaan. Bahasa pengantarnya bahasa Melayu. Untuk lelaki hanya Sekolah Menengah Alam Shah untuk lelaki. Seingat penulis hanya Sekolah Alam Shah sahaja sekolah menengah kebangsaan untuk lelaki. Tiada sekolah menengah kebangsaan khusus untuk perempuan. Yang ada ialah sekolah menengah kebangsaan yang kesemuanya bercampur gender. Rasanya tanpa kecuali. Banyak namanya. Sejarah pendidikan yang banyak kali berubah mengikut arus dan musim. Peneraju kepimpinan pendidikan banyak mempengaruhi kebanyakan perubahan tersebut. British memulakan pendidikan untuk kepentingan mereka dengan sekolah gender tunggal. Sekolah untuk penduduk yang dijajah kebanyakannya bercampur gender. Sekolah seperti ini mengikut model di Amerika Syarikat. Menentang amalan di Britain. Sejarah melihat Amerika Syarikat mencipta kelainan berbanding dengan apa yang dimiliki Britain.  


Sekolah bercampur gender pada awalnya dilihat menarik. Banyak kebaikannya. Tetapi antara sedar dengan tidak sekolah bercampur gender menjadi tidak syarie. Pergaulan yang tidak dapat disekat antara guru, petugas sekolah, guru-pelajar dan pelajar dengan pelajar. Bukan tidak berlaku masalah di sekolah gender tunggal. Namun di sekolah bercampur gender masalahnya lebih besar dan lebih kritikal. Kita bercakap tentang masalah sosial. Masalah seksual. Masalah gender. 

1                 Masalah guru lelaki dan pelajar perempuan. Rasanya banyak kes yang berbagai antara keduanya. Banyak yang baik tetapi ada juga yang negatif. Bercinta dan mendirikan rumahtangga sememangnya baik. Alhamdulillah. Cumanya kadang-kadang guru kurang menjaga  kesempurnaan bercinta. Terpamer di hadapan pelajar-pelajar. Kesannya negatif kepada pelajar.

2                 Pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

2.1            Pelajar bercinta mungkin tabie. Fitrah mereka. Tetapi orang dewasa risau. Mereka terlalu muda. Belum layak. Masa dan tenaga mereka untuk menimba ilmu. Untuk belajar. Untuk menjadi pandai. Untuk mencari landasan membina kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan mereka sendiri. Bercinta mungkin boleh menjejaskan peluang menjadi cemerlang. Terhalang kebaikan tumpuan untuk belajar dengan sempurna.

2.2            Akhir-akhir ini banyak kes bercinta yang melampaui batasan. Banyak tertangkap pasangan pelajar yang bercumbu-cumbuan di kelas atau di kawasan sekolah yang luas. Di sekolah tiada pengawasan yang 100% sempurna. Tiada seorang gurupun yang mampu menjaga kesempurnaan keselamatan pelajar-pelajarnya.

2.3            Pelajar berzina di sekolah sudah menjadi pengetahuan umum. Beritanya terlalu banyak di media cetak atau di media elektronik seperti di youtube, facebook dan sebagainya.

2.4            Jika dahulu pelajar mengandung adalah sesuatu yang langka. Terlalu jarang berlaku. Kini berita pelajar perempuan mengandung terlalu kerap. Berita mengenainya sudah bukan berita sensasi lagi. Menjadi terlalu biasa.

2.5     Beranak anak tak sah taraf. Ganjil bunyinya. Itulah istilahnya. Dilembutkan supaya tidak nampak sangat salahnya. Penulis kurang arif mengenainya. Istilah asalnya terlalu menghina barangkali. Cuma kejadian sedemikian terlalu kerap sekarang ini. Malah ada ketikanya mereka bersalin di sekolah. Janin yang tidak bersalah disumbat ke dalam mangkuk tandas. Dosa yang menggandakan dosa berikutnya.



Apakah kita hanya memandang sepi. Membaca berita tanpa erti. Seperti tiada suatu tindakanpun yang dapat dilakukan untuk memperbaiki keadaan. Penulis yakin jika lebih banyak sekolah-sekolah gender tunggal dibina ramai ibu bapa yang memilih sekolah sebegitu untuk anak-anak mereka. Selamat tinggal sekolah bercampur gender. Persatuan ibu-bapa-guru dan ibu bapa perlu membuka mata lebih luas lagi. Membuka minda lebih tajam. Membuka perasaan lebih peka. Ke mana hendak kita arahkan anak-anak kita. Sikap kita barangkali perlukan perubahan paradigma. Kembali kepada fitrah. Minyak dan api perlu diasingkan. Kembali mengerti apa yang baik dari aspek agama dan apa yang kurang baik. Kita tahu banyak masalahnya sistem yang ada sekarang. Tidak ada salahnya beralih ke suatu sistem yang lebih kondusif dari segi agama. Kembali kepada hukum. Bukan menentangnya.

Monday, November 4, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Krisis Identiti dan Entiti Islamiyah




Jika kita tanya siapa orang Islam, tentu ramai yang dapat menjawab.

Mereka bersyahadah dan maklum akan rukun iman yang enam
Menunaikan rukun Islam yang lima
Berakhlak islamiyah.


Apabila berada dalam kumpulan ramai manusia, mungkin kita tidak dapat mengenalpasti mereka yang beragama Islam. Kerana Islam bukan warna kulit. Bukan nama. Bukan keturunan. Bukan kedudukan ekonomi. Bukan taraf sosial. Bukan pangkat. Bukan kelayakan akademik. Bukan gender. Banyak yang bukan dari ya. Muslim lebih sukar dikenalpasti berbanding Muslimah. Ada usaha untuk beridentiti Muslim seperti memakai jubah, memelihara janggut. Kopiah dan serban bukan universal. Orang Arab jarang-jarang berkopiah dan bererban. Mereka sekadar berjubah. Apabila mereka berpakaian Barat maka identiti Muslim terhakis. Hilang entiti yang seharusnya membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Jangan terperanjat. Orang Yahudi ramai yang berjanggut.


Suatu ketika dahulu pakaian Islam atau Arab yang berjubah dan berserban dipakai oleh sarjana-sarjana Barat. Pensyarah-pensyarah mereka berpakaian demikian. Pakaian berjubah dan berserban dianggap pakaian intelektual. Orang awam tidak memakainya. Hanya mereka yang dalam bidang kesarjanaan sahaja berpakaian begitu. Pakaian itu dianggap rasmi. Bila bertugas mereka memakainya. Mungkin juga kerana ingin membuang imej Islam mereka menggantikannya dengan mortar dan topi bulat seperti yang berada di kepala pemegang ijazah PhD. Sekarang ini pakaian kesarjanaan itu tidak wujud lagi di Barat. Hatta di negara Islam sendiripun. Hilang dentiti Islamnya. Entiti Islam dipadam dari dunia intelektual. Di kesemua negara Islam sekalipun tidak ada yang sedar hilangnya khazanah itu.


Muslimah Arab berbeza dengan Muslimah bukan Arab. Muslimah yang tinggal di Asia Tengah memiliki banyak ciri-ciri yang sama. Di negara-negara bukan Arab ciri-cirinya berbeza pula. Garapan yang berbeza mengikut adat dan resam yang berbeza. Aurat Muslimah adalah keseluruhan tubuh badannya secara fizikal kecuali muka dan kedua tapak tangan. Suatu ketika dahulu Muslimah Arab menutup keseluruhan tubuh badan mereka dengan pakaian yang longgar. Malah mereka memakai niqab. Menutup muka dan hanya menampakkan kedua mata sahaja. Tidak ada kerumitan. Tidak ada keganjilan. Menutup aurat sepenuhnya adalah perintah Allah SWT. Tidak ada apa yang hendak dipertikaikan. Kesemuanya termaktub di dalam al-Quran. Sepintas lalu lebih mudah mengenalpasti yang mana Muslimah dan yang mana bukan. Kita boleh bercakap mengenai keselamatan peribadi. Keselamatan sosial. Malah tidak kurang juga keselamatan nasab. Pakaian Muslimah yang kelihatan tidak menarik menghindar tarikan Muslim atau lelaki bukan Muslim.


Ingat kisah Nabi Nuh as? Banjir besar yang menenggelamkan bumi mengubah lanskap manusia dan kemanusiaannya. Setelah beberapa ketika kapal Nabi Nuh as terdampar di puncak gunung Judiy, ramai pengukut Nabi Nuh as yang meninggal hingga akhirnya tinggal Sam, Ham dan Yapith sahaja. Ketiga-tiga anak Nabi Nuh as ini memiliki cirri-ciri fizikal yang berbeza. Sam merupakan susur galur keturunan Caucasian. Ham menjadi keturunan Negroid. Sementara Yapith memulakan keturunan Mongoloid. Keturunan Sam berbadan agak tegap. Kulit putih kemerah-merahan. Hidung mancung. Bibir nipis. Rambut berwarna perang, putih, kemereh-merahan cokelat dan sebagainya. Mata pula biru, hijau, perak dan cokelat. Keturunan Ham berbadan tegap. Kulit hitam. Rambut keriting. Hidung besar tetapi tidak mancung.  Bibir tebal. Keturunan Yapith pula berbentuk sederhana. Kulit putih kuning. Mata sepet. Hidung kecil. Mulut kecil. Rambut hitam. Mata hitam.

Keturunan Sam memenuhi semananjung Arab hingga ke utara India. Mereka juga ke Barat dan menenuhi Benua Eropah termasuk Russia. Sekarang di Amerika Utara kerana penghijrahan. Keturunan Ham kekal di Arfika. Dibawa ke Amerika Syarikat. Keturunan Yapith pula menyebar ke Timur. Dari Turki hingga ke Cina, Mongolia, Korea, Jepun, Asia Tenggara dan kepulauan Polynesia. Orang India Merah di Amerika Utara dikatakan keturunan Yapith. Keturunan Yapith termasuk kita orang Melayu. Melayu dan Cina dari keturunan yang sama iaitu Yapith, anak Nabi Nuh as. Alhamdulillah kembara peulis ke beberapa negara menemukan penulis kepada sumber keturunan Yapith. Orang Turki banyak ciri-ciri Mongoloid. Berbadan sederhana. Mata sepet. Rambut hitam. Kulit putih kuning. Hidung kecil. Mulut kecil. Lemah lembut seperti orang Asia yang lain. Sopan santun.


Penjajahan Barat ke atas banyak negara di dunia mengubah lagi lanskap keturunan manusia. Yang paling berubah ialah identiti dan entiti bangsa dan keturunan. Muslimah paling banyak terpenaruh dengan gerakan emansipasi wanita Barat. Mereka mencari jalan keluar. Keluar dari identiti mereka yang sediakala. Mereka ingin bebas. Ingin berkerjaya. Mungkin ada sedikit niat untuk meniru wanita Barat yang lepas bebas. Media cetak dan media elektronik banyak memainkan peranan menyebarkan pengaruh Barat. Lahirlah industri hiburan yang tidak terkawal. Peluang pekerjaan dalam bidang ekonomi. Peluang-peluang lain yang ditawarkan oleh berbagai industri. Muslimah yang dahulunya berjubah dan berniqab berubah wajah. Kerana mengikut standard, maka pakaian Muslimah itu ditanggalkan sedikit demi sedikit. Mereka gantikan dengan pakaian yang semakin lama semakin sendat. Semakin lama semakin singkat. Semakin lama semakin mendedah. Semakin lama semakin menipis.

Hilanglah rupa bangsa. Hilanglah rupa agama. Yang kita lihat ialah wanita biasa yang serupa di mana-mana. Kadang-kadang hendak memberi salam sesama lelakipun penulis menjadi teragak-agak. Sesama keturunan Yapith tetapi beragama yang berlainan. Malah orang Melayu sendiri ramai yang ciri Yapitnya sangat menonjol.  Matanya lebih sepert dari orang Cina. Kulitnya lebih putih kuning berbanding dengan orang Jepun. Pakaian adalah petunjuk agama. Wanita penganut agama Kristian Orthodok di Russia umpamanya memakai tudung mengalahkan Muslimah. Dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa. Muslimah pula enggan memakai tudung. Dikatakan tidak mengikut edaran masa. Bagaimana orang Russia? Tidak pula mereka ketinggalan. Sampai juga ke bulan. Kapal angkasa mereka sentiasa berada di angkasaraya. Maju menyaingi Amerika. Mungkin lebih lagi. Media banyak menutup berita mengenai mereka.



Orang Islam kehilangan identiti dan entiti. Budaya islamiyah pula tidak terpelihara. Dunia pula semakin di hujungnya. Pada ketika orang Islam melupakan agamanya, orang yang bukan Islam mula tertarik kepada Islam. Apa-apa yang tidak kita pelihara maka Allah berikan kepada orang lain. Setiap hari terlalu ramai orang Barat menganut Islam. Baik di Britain. Baik di Amerika Syarikat. Baik di negara-negara Eropah yang lain. Begitu juga di India. Ramai yang mencari Islam kerana kebenarannya terserlah. Mereka mencari dan mereka mendapatnya. Ramai antara kita mengejar yang lain hingga keciciran milik kita yang hak. Jangan main-main dengan identiti dan entiti Islamiyah yang ada pada diri kita sendiri.

Wednesday, October 30, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Buah Delima Yang Banyak Merkahnya




Saya menanam sepohon delima. Sayangnya isinya putih. Bijinya besar. Rasanya agak masam. Di Malaysia buah delima sudah menjadi suatu kegilaan. Banyak miuman berasaskan buah delima. Begitu juga dengan pati delima. Pekatan delima. Setiap musimnya buah delima didatangkan dari beberapa negara. Cina, Korea, India, USA, Turki, Arzebaijan dan Sepanyol. Pada perkiraan saya buah delima dari Sepanyol adalah yang terbaik. Saiznya sedang. Rasanya manis. Bijinya sangat halus. Bila dimakan sangat mengasyikkan. Setiap musim mungkin saya membeli dengan harga ratusan ringgit kerana saya jatuh cinta dengan buah delima dari Sepanyol. Setiap musim saya menanti di Parit Raja atau di Batu Pahat. Kadang-kadang saya beli di Giant Plentong atau Tesco di Shah Alam. Pernah saya membelinya di Kuala Kangsar. Setahun hanya kira-kira dua bulan sahaja didatangkan dari Sepanyol.


Sewaktu belum menjejak kaki di Kaherah ini selalu saya tanyakan pada anak lelaki saya tentang kehadiran buah delima di Kaherah. Jawapannya tidak pernah pasti. Ada atau tiada. Banyak atau sedikit. Mahal atau murah. Pada akhir bulan Ogos yang lalu buah delima sudah muncul di Kaherah. Saya cuba beli dua biji. Cinta saya tidak berbunga. Masih agak muda. Kelat dan masam. Sebelum ke Kaherah buah delima banyak saya dapati di Amman, Jordan. Masam dan kelat juga. Apabila saya kembali semula ke Kaherah setelah bercuti evakuasi selama dua bulan saya dapati buah delima membanjiri kedai buah. Berlonggok-longgok. Hilang sudah buah mangga Mesir yang sangat terkenal mahal, manis dan enaknya. Buah delima memang didapai merata-rata.


Bagi yang membaca al-Quran buah delima buah asing. Al-Rumman. Banyak kali disebut. Ianya antara buah yang banyak disebut di dalam al-Quran. Dan yang signifikannya ialah apa-apa makanan yang disebut di dalam al-Quran banyak khasiatnya. Kerana itu buah delima menjadi asas industri makanan dan minuman yang meluas sekarang ini. Saya mencuba dua biji semalam. Buah delima di Kaherah besar-besar belaka. Ukuran lilitnya ada yang melebihi 30 sentimeter. Yang saya beli sekitar 25 sentimeter. Dua biji seberat sekilo. Nak tahu berapa harganya? Sekilo hanya 5 Junaih. Atau mudahnya RM2.25. Di Malaysia saiz yang saya beli ini sekitar RM15. Aduhai buah delima. Maknanya di sini sebiji yang besar hanya RM1.10. Saya jatuh cinta kembali.


Saya tidak pasti berapa ramai pelajar Malaysia yang memakan buah delima. Kali ini saya dapati rasanya manis. Bijinya sederhana. Mudah dikunyah. Tetapi ada sesuatu yang mengesankan saya. Di Kaherah inilah saya melihat buah delima merkah. Seperti yang selalu saya baca dalam buku cerita. Zaman kanak-kanak dahulu. Seingat saya di Malaysia saya belum berjumpa buah delima dalam keadaan merkah.  Sewaktu di sekolah dahulu biasa guru menyebut bak delima merkah. Masih ingat? Itulah gambaran cantiknya bibir, mulut dan gigi seorang wanita rupawan. Kemerah-merahan apabila senyumnya terukir. Tidak terkulum. Tidak terjuih. Tidak terbuka ketawa. Cukup dengan senyum yang menguntum bersahaja. Bergetar yang memandangnya. Api panah yang menyala berterbangan. Suatu ketika dahulu buah delima menjadi buah idaman. Ditunggu musimnya. Nilainya sangat tinggi setinggi wanita cantik rupawan.


Benarklah buah delima merkah cantik zatnya? Lihatlah sendiri paparan yang saya sertakan. Mungkin pembaca boleh membuat penilaian yang wajar. Melihat buahnya memang merah menawan. Saiznya cantik. Bulatnya wajar. Beratnya juga wajar. Terdapat kegebuan. Bila dibelah isinya merah berlapis dengan sarang-sarang kelopak di dalamnya. Dipetik sebiji-sebiji dengan cermat. Cermat kerana isinya penuh hening dengan jus yang manis. Beberapa biji dilontar ke mulut. Dikunyah dengan enak perlahan-lahan. Tidak pernah puas memakannya bak memakan buah keranji. Sebiji tiada rasa. Banyak baru dirasa manis dan enaknya. Saya kira rugi bagi sesiapa yang tidak mencintainya.

Delima yang sudah masak. Kulitnya tidak lagi mampu menanggung isinya yang penuh.

Beginikah wanita cantik tersenyum? Delima merkah. Ada sebahagiah buah yang memang merekah terbuka.

Memang besar. Itupun saya pilih yang agak kecil. Banyak lagi yang besar-besar.

Apabila terbelah nampak yang merah. 

 Isinya merah. Cantik tersusun.


Manis, berair dan membahagiakan. 


Buah delima enak dimakan bersama dengan nasi beryani atau nasi minyak. Orang Malaysia rasanya di luar kemampuan untuk menabur isi delima ke atas nasi semasa kenduri kendara. Jika di Mesir rasanya biasa-biasa sahaja. Terlalu banyak dan terlalu murah. Beli di ladang mungkin jauh lebih murah. Untuk keluarga sendiri rasanya tiada masalah. Untuk menjamu beberapa orang rakan atau jiran juga masih boleh diurus. Untuk tetamu yang ramai memang minta maaflah. Hartawan mungkin tidak janggal berbuat begitu.  Selain daripada itu kulit buah delima banyak juga khasiatnya. Yang sangat berkesan ialah ubat buang-buang air. Kulitmnya yang kelat sesuai untuk memekatkan najis di dalam perut. Mereka yang berada dalam industri makanan dan minuman lebih arif tentang hal ini.

Tuesday, October 29, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Istimewanya Bahasa Arab




Apabila Rasulullah saw diangkat menjadi Rasul, senario alam berubah. Malah ketika baginda dilahirkan api sembahan agama Majusi di Iran terpadam. Api yang sentiasa menyala berzaman-zaman itu terpadam dengan kuasa Allah. Rasulullah saw adalah cahaya yang lebih menyerlah berbanding dengan cahaya sembahan agama Majusi itu. Kerasulan Nabi Muhammad saw disertakan dengan wahyu yang diturunkan dari Lauh Mahfudz ke Bait al-Izzah dan seterusnya kepada Rasulullah saw di Gua Hira’. Wahyu pertama lima ayat pertama dari Surah al-‘Alaq. Wahyu itulah yang akhirnya menjadi mushaf al-Quran yang dihimpunkan pada zaman Sayyidina Uthman ra ketika beliau menjadi khalifah yang ketiga. Sesuatu yang signifikan perlu diingat ialah Allah menurunkan wahyu menggunakan bahasa Arab. Bahasa Arab Quraisy.


Jika kita baca sejarah, proses pembentukan bahasa Arab sangat panjang. Bukan bahasa awal. Kaum Nabi Hud as dikatakan memiliki cirri-ciri Arab. Namun yang lebih dekat ialah Nabi Ismail as. Penduduk Makkahlah yang memiliki bahasa Arab. Bangsa Arab pula pelbagai puaknya. Antara puak tersebut puak Quraisy lebih menonjol. Mereka lebih maju. Banyak intelektual di kalangan mereka. Mencintai seni. Pandai berpidato. Mengarang puisi adalah kesukaan mereka. Syair seperti kata orang sekarang. Maksudnya orang Quraisy mengembangkan bahasa mereka hingga menjadi bahasa perantaraan pada zaman itu. Kebetulan jazirah Arab adalah kawasan yang sangat maju pada ketika itu. Menjadi tumpuan orang Yunani dan orang Rom. Hubungan perdagangan menemukan mereka. Selain daripada itu bahasa Quraisy memiliki ketulenannya yang tersendiri. Apabila wahyu diturunkan, kalam Allah itu tiada bandingannya. Bahasa Allah sangat puitis, tajam, tinggi dan perlukan kepakaran yang tinggi untuk mentafsir maknanya. Hingga sekarang orang masih terus-terusan mentafsirnya.


Islam adalah agama seluruh dunia. Rasulullah saw adalah Rasul untuk seluruh manusia. Maka al-Quran adalah untuk seluruh manusia. Sebab itu ada di dalamnya ungkapan Ya ayyuhannas, Wahai manusia. Ada antara sahabat sendiri yang memang orang Quraisy tidak memahami seluruhnya akan isi al-Quran. Mereka merujuk kepada Rasulullah untuk mengetahui maksud setiap butirannya. Allah mengangkat Rasulullah saw dari kalangan orang Quraisy. Bahasanya Quraisy. Al-Quran dalam bahasa Quraisy. Itulah bahasa di syurga nanti. Bahasa di akhirat. Tiada bahasa yang lain. Kuasa Allah untuk seluruh manusia mengerti bahasa tersebut di akhirat nanti.


Itu cerita alam akhirat. Yang perlu kita beratkan ialah sekarang. Semasa kita hidup di dunia. Sebelum kita sampai di akhirat. Persediaan untuk berada di alam barzah. Sebelum berpindah ke akhirat. Ulamak mengatakan bahawa mempelajari bahasa Arab mendapat dua ganjaran. Pertama kerana mempelajarainya. Keduanya kerana mengamalkannya. Setelah berada dalam situasinya, sebenarnya bahasa Arab bukanlah bahasa yang terlalu sukar. Buktinya ramai orang bukan Arab yang menguasai bahasa itu. Orientalis di Barat boleh menguasai bahasa Arab. Bukan untuk menganut Islam (walaupin ramai yang akhirnya tertarik untuk memeluk Islam). Mereka ingin mencari kesalahan, kelemahan, kekeliruan dan cacat cela semua yang berkaitan dengan Islam.  Tanpa menguasai bahasa Arab tidak mungkin mereka meneliti al-Quran. Membaca hadith. Manuskrip-manuskrip ulamak terdahulu. Sejarah juga merakamkan bahawa pakar bahasa Arab yang ulung ialah Sibawih. Seorang yang bukan Arab. Rasanya dari Asia Tengah. Seperti juga pakar hadith. Imam Buhari bukan orang Arab.


Sewaktu mula mempelajari bahasa Arab banyak kerumitan memahami perlunya gender, bilangan dan masa. Setelah berinteraksi dengan bahasa Arab rupanya banyak maklumat yang tidak terpakai dalam bahasa lain. Hatta bahasa utama di dunia seperti bahasa Inggeris. Bukan juga bahasa Melayu. Gender sangat penting kerana ada kaitannya dengan hukum pergaulan. Cuba lihat ayat berikut:

Saya dan rakan-rakan saya berkelah di tepi pantai.

Persoalan:

Dalam bahasa Melayu kita tidak pernah mempertikai siapa saya dalam ayat di atas. Begitu juga dengan rakan-rakan. Saya mungkin lelaki dan mungkin juga perempuan. Rakan-rakan mungkin lelaki atau perempuan atau kedua-duanya sekali. Boleh pembaca fikirkan natijahnya. Kita lihat hukum pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Kita tidak pernah ambil pusing saya itu lelaki atau perempuan. Rakan-rakan itu lelaki atau perempuan. Bahasa Arab ada kaitannya dengan al-Quran. Maknanya ada kaitan dengan hukum-hakam agama. Kepada orang Arab ayat yang dibina wajib jelas. Umpamanya:

Asma’ berkelah bersama rakan-rakan perempuannya.
Yahya berkelah bersama rakan-rakan lelakinya.

Dalam bahasa Arab jika ayat yang dibina berbentuk seperti di bawah ianya dianggap salah.

Asma’ berkelah bersama rakan-rakannya.
Yahya berkelah bersama rakan-rakannya.

Yang salah bukan strukturnya. Bukan sintaksnya. Bukan perkataannya. Yang salah ialah hukumnya dari segi agama. Dari segi syariat. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram bersama-sama pada suatu ketika dan pada suatu tempat yang sama. Kerana menjaga hukum itu maka ayat di atas adalah tercela. Salah.


Kita tidak boleh bayangkan hal sebegini terjadi dalam bahasa kita. Semuanya boleh. Apabila bahasa itu dianggap bahasa al-Quran maka batas-batasnya dijaga. Kerana bahasa Arab bahasa syurga maka bahasa itu menunjukkan jalan ke syurga. Segala yang terlarang juga terlarang dalam bahasa.


Dalam keadaan lain bahasa Arab sangat puitik. Bahasa Melayu klasik memiliki cirri-ciri tersebut. Tetapi kerana kita kehilangan sabar kita modenkan bahasa kita hingga menjadikannya terlalu hambar. Hilang seninya jika tidak tahu menggunakannya. Pernah berinteraksi dengan perkataan berikut:

Senantiasa
Sementelahan
Jikalau
Ceritera


Ganjil rasanya kerana kita sudah jauh dari kebiasaan itu. Sekarang mari pula kita tinjau bahasa Arab yang dipindahkan ke dalam bahasa Inggeris. Sekadar contoh.

Arab
Inggeris
Melayu

Qittun
Kitten
Kucing
(Qittun itu kucing tetapi dimaknakan anak kucing)
Al-fiil
Elephant
Gajah


Kelembutan dalam bahasa Arab lagilah sangat memukau. Rasanya tidak ada dalam bahasa lain. Dalam realiti harian bangsa Arab mungkin banyak kasarnya tetapi mereka yang terpelajar sangat indah bahasanya. Benarlah kata pepatah bahasa menunjukkan bangsa.  Bahasa sewajarnya selari dengan darjat seseorang. Ilmunya. Kedudukan sosialnya. Pangkatnya. Dan banyak lagi yang menunjukkan ketinggian akal budi seseorang. Bahasa Arab dipelajari dari yang paling dasar hingga yang paling tinggi. Kepada orang biasa maka biasa-biasalah bahasanya. Kepada mereka yang di kelas yang lebih tinggi bahasanya amat menakjubkan. Bahasa Melayu tidak dapat menyamai bahasa Arab dari segi ketinggiannya. Sangat jauh.  Kita biasa memanggil nama seperti yang tertera dalam kad pengenalan. Atau nama panggilan yang biasa. Bagi orang Arab seorang bapa dinisbahkan kepada anak sulungnya. Lebih-lebih lagi jika anak itu lelaki. Atau terus kepada nama anak lelaki. Bukan mengabaikan anak perempuan tetapi kerana susur galur nasab. Satu lagi perbincangan yang mengujakan. Saya tinggalkan dulu di sini. Kembali kepada nisbah anak. Jika anaknya bernama Hamzah maka bapanya dipanggil Abu Hamzah. Ada pula nisbah tempat atau keturunan. Contohnya al-Banjari dan al-Kelantani.  



Marilah dekat kepada bahasa Arab. Ada keindahan yang selama ini kita abaikan. Selalu sengaja dilepas pandang. Mudah-mudahan bahasa Arab mendekatkan kita kepada memahami agama dengan lebih intim lagi. Bahasa Inggeris tidak tulen seperti yang disangka. Di dalamnya banyak bahasa Perancis. Bunyi dan ejaannya diubahsuai. Umpamanya etique (etika) dan parquet (lantai kayu). Jika kita mengkaji al-Quran bahasanya dikatakan sangat autentik. Tulen bahasa Quraisy. Kerana itu mempelajari bahasa Arab tidak lari dari mengkaji al-Quran itu sendiri. Permasalahan dalam bahasa Arab akan dirujuk kepada al-Quran. Wahyu adalah yang betul. Struktur karangan manusia banyak silapnya. Ini baru sekadar perbincangan dasar. Mungkin satu hari nanti dapat saya huraikan yang lebih indah dari yang pembaca tatap. InsyaAllah.

Bingkisan Dari Kaherah: Autumn – The Stark Difference




Way back in 1986 my first encounter with fall was in the USA. In the States they call it Fall. Well, Autumn to me has a subtle meaning. Something beautiful. Fall has a direct meaning. Images of falling leaves and falling temperatures. October is as always a bit cooling. The temperature keep dropping until Winter. The sun still shines yet daylight is shortening. Day after day daylight becomes shorter and shorter. My family and I was in Pittsburgh. A beautiful city in the state of Pennsylvania. It sounded Romanian or Albanian. Eastern Europe for that matter. Pittsburgh is a hilly city. Hills and undulating slopes around and abound.  I guess Fall is the most captivating season. After schorching heat in Summer, the weather cools off. Transforming all vegetation into myrad of red, brown and yellow in colours. Everywhere you turn your eyes will be feasting on those colours. Subhanallah. It excites the eyes of the beholder. People walks endless hours. Savouring the cool air. Enjoying the colours. The scenery. There is not enough words to describe in full. Seeing is believing. At that particular time, it was an experience of a life time. Alhamdulillah, I was blessed with a second chance. It was Canada in 1990. Nevertheless my experience in the States left a huge mark in my mind. A brief encounter yet stays forever in my memory.


Then it happens. Those colours are dropping to the ground. The whistling wind sways the twigs and branches. Dropping the leaves in sequence. Now you see colours down on the ground and on trees. The ground becomes congested with fallen leaves. At the same time the trees shed their leaves until all the branches and twigs are barren. Nearing Winter all the vegetation are hibernating. Waiting for the next condusive sunshines in Spring. It was in the States I understood the meaning of Winter, Spring, Summer and Fall/Autumn. Reading or seeing images in print or electronic devices rarely gives you the exact understanding. It takes every three months for each season. Yet the true fact is Spring could be an elongated Winter. And for that matter Fall could be shortened by Winter. It depends on the latitudes the place is situated. The further north the more cooling season that you experience. Well, Fall is still a little warm. Only the breeze is enjoyable. Warm to a certain degree. Cool in the morning and late afternoon. Quite cool at night. Most days it is dry. The whole countryside is very picturesque. For a first timer like me, it created an image beyond imagination.


I am now in Cairo. Situated in the Northern Hemisphere. The four seasons are here. The past Summer was warm and dry.  Mind you, rain is something very scarce. They say only four times a year. Four times a year. The rains are synonymous with the changing of seasons. There is no rain in every season. It falls in between sesaons. I have yet to experience those rains. InsyaAllah, very soon. Winter is coming at the end of November. I stay in Nasr City. Trees are abound along the roads. But there is no colour change. The leaves stay green. A little disappointment. But then Allah determines the nature of everything. We have to accept the decree bestowed unto us. In every aspects of our lives Allah determines the best that can be for us. Thus Cairo is different from USA or Canada. A different experience altogather. Still the weather is cooling. Of course it stays dry.


Maybe life is a changing seasons. But is not repeated. There is no round cycle. It is a changing pattern. Depicting changes in age and every connecting images of a growing person from childhood to manhood. From being matured to being old. For me my Spring was something in the past. Gone also was my Summer. Although Spring and Summer still stay in my heart, biologically I am in Fall. Colours are abound around me. Yet those colours are fading. Shedding little by little. Every human is waiting for that barren branches and twigs. Maybe a shade of green here and there. The red, brown and yellow colours are very prominent. I can feel those colours falling one by one. The end is always near. Just like fallen leaves they leave a mark. Collected and crafted into something creative. Framed to be gauged by searching eyes.  It could be generation after generation as a symbol of family heritage. When you are in Fall, you wait for that eminent Winter. Snow and its whiteness will engulf everything on the ground. Cold, hard and seemingly dead. But not human. Once that Winter in your life comes it will be the end. You will never Spring into life anymore.  Flaura and fauna will still flourish after Winter and after every seasons.



There are reasons my being in Cairo. I would like to build colours of my own. Captivating to see. Exciting to watch. Remembered forever. Making vivid images that strike many souls. A little heritage for my generation. InsyaAllah. Please pray for me.

Monday, October 28, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Mengindah Bicara


Bahasa adalah alat komunikasi. Dipertuturkan. Ditulis. Dibaca. Dibuat apa sahaja tetapi objektifnya untuk berkomunikasi. Namun begitu bahasa banyak konotasinya. Tidak boleh digunakan sebarangan. Ianya mesti sesuai dengan situasinya. Sesuai dengan tahap audiennya. Objektif penyampaiannya. Topik yang dibincangkan. Menasihat lain intonasinya. Marah juga berbeza. Merayu tentu sahaja berbeza. Memotivasi apatah lagi. Kerana itu bahasa bukan sesuatu yang statik. Bukan dipelajari secara tidak sengaja. Ada agenda yang perlu dipatuhi. Ada sesuatu yang perlu diinsafi. Malangnya kadang-kadang kita tidak menghormati bahasa itu sendiri. Situasi berbagai yang tidak dimengerti.

1                 Tersalah pilih perkataan.
2                 Tersalah imbuhan di hadapan atau di belakang.
3                 Istilah yang tersasar.
4                 Susunan ayat yang tidak jelas maknanya.
5                 Bahasa yang rojak.
6                 Intonasi yang tidak kena dengan maksud.
7                 Tercari-cari bahasa yang sesuai.
8                 Tidak lancar perturutan.
9                 Banyak gangguan kebiasaan yang menghilang minat tumpuan audien. Contohnya berhenti sebentar sambil mengeluarkan bunyi “err” atau “a..a”.
10            Kelajuan yang tidak terkawal. Sebutan yang terpintal-pintal.
11            Tiada sabungan mata. Menunduk atau mendongak atau mata meliar tidak tentu hala.
12            Lenggok dan bahasa tubuh yang tidak selari.
13            Tidak mahir mengawal bahasa.
14            Tiada kawalan perasaan.
15            Pengguna bahasa yang tidak beradab. Menggunakan perkataan yang kasar dan tidak sesuai.
16            Dan banyak lagi jika ingin dibincangkan. Tidak perlu dipolimikkan.


Situasi pertama
Ungkapan seorang Ahli Parlimen dalam siaran langsung di TV: “Nanti dulu. Saya belum habis cakap.” Kasar dan tiada adabnya. Walaupun pembangkang yang dimaksudkan tetapi adab boleh menyejukkan. Kenapa tidak: “Minta maaf. Izinkan saya menyempurnakan jawapan saya terlebih dahulu.” Tentu lebih santai dan beradab.

Situasi Kedua
Ini ungkapan seorang artis: “Saya selalu bawa bini saya untuk melancong.” Ganjil bunyinya. Tiada keindahan berbahasa. Perkataan bini terlalu berada di bawah. Rasa hina pula. Bahasa pasar yang langsung tidak sesuai. Apatah lagi apabila audiennya merantau ke seluruh dunia. Mungkin lebih senuai “Saya kerap juga membawa isteri saya melihat-lihat tempat orang.” Ada kerendahan diri. Santunnya banyak.

Situasi Ketiga
Seorang guru memarahi pelajarnya, “Awak ni tak reti bahasa ke? Itupun tak faham.” Aduhai. Guru dan pelajar antara langit dengan bumi. Yang namanya pejalar sedang belajar. Banyak yang tidak diketahuinya. Kepada pelajar semua perkara adalah himpunan yang membebankan. Apatah lagi jika yang mudah belum difahami. Guru perlu memberi simpati. Mengerti empati. Cuba berada dalam situasi pelajar.  Yang mudah kepada guru sebenarnya sangat menakutkan pelajar. Kecuali pelajar tajam mindanya. Yang cair otaknya. Yang memiliki kebijaksanaan.

Situasi Keempat
Seorang bapa menegur anaknya, “Buta ke mata. Itupun tak nampak.” Tersentak hati yang mendengar. Bukan anak itu sahaja. Orang lain yang berhampiran juga tersentak. Bapa yang sewajarnya mendidik tidak sewajarnya berbuat demikian. Ikut nafsunya sahaja. Alangkah indahnya jika sibapa berkata, “Anak abah. Cuba pandang betul-betul. Perhati segenap tempat. Pasti nampak.” Orang Arab umpamanya memanggil anak lelakinya Ya bunayya. Wahai anak lelaki kesayanganku. Ya binti. Wahai anak perempuanku. Nabi Musa berkata kepada Nabi Harun, “Ya Ibnuum.” Wahai anak lelaki ibuku. Yang bermaksud adik lelakiku.

Situasai Kelima
Dialog didengar di sebuah restoran di Kota Kinabalu. “Saya jika ke Kuala Lumpur lebih suka ada agenda sendiri. Lebih bebas.” Selalunya kita menggunakan kalau bukan jika. Agenda jarang digunakan. Tetapi dalam dialog di atas perkataan agenda sangat santai. Cool kata orang Amerika.

Semakin kita dewasa sewajarnya semakin cantik bahasa kita. Itu yang sepatutnya berlaku. Kita menghimpunkan pengalaman. Bahasa yang kita guna semakin matang. Indah dan mengesankan. Menepati maksud. Berada dalam kelasnya yang tersendiri. Tinggi dan mengasyikkan. Begitulah al-Quran yang kita baca. Tanpa mengetahui bahasa Arab tinggi banyak kalimah dan ungkapan yang sukar difahami. Pada peringkat kanak-kanak kita menggunakan bahasa yang dasar. Bahasa itu berkembang menjadikan kita penuturnya yang berwibawa. Lihat susunan berikut:

Mak, nak makan.  Sangat asas bahasanya.
Menjadi, “Mak, saya hendak makan.” Mula sopan.
Menjadi, “Mak, bolehkah saya makan?” Mohon izin dahulu.
Menjadi, “Mak, bolehkah saya ambil makanan ini?” Mohon membuat pilihan yang sesuai.
Menjadi, “Mak, sesuaikah makanan ini untuk saya?” Mula selektif.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini berkhasiat?” Menimbang makanan yang sesuai dengan kesihatannya.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini halal?” Mula menimbangkan hukum.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini bersih, suci dan halal?” Sudha mempertegas hukum dan perinciannya.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini halalan toyyibah?” Cuba memenuhi tuntutan agama.


Sewaktu di peringkat pra sekolah anak-anak kita sudah boleh dibentuk menjadi pengguna bahasa yang wajar. Indah didengar. Manis didengar. Kadang-kadang mengasyikkan. Ianya bukan fantasi. Bukan ilusi. Bukan dibuat-buat. Biasakan. Banyak latihan. Ibu bapa yang memainkan peranan. Bukan guru di sekolah. Tugas guru menambah apa yang sudah diisi oleh ibu bapa. Jika anak-anak ke sekolah dengan isi yang kosong maka anak-anak kita jauh tertinggal berbanding dengn anak-anak orang lain. Biasakan dengan:

Mak, di manakah baju saya?
Ibu, boleh saya mandi sekarang?
Emak hendak masak apa sekarang?
Bolehkah saya tolong emak mengemas rumah?
Emak, saya hendak makan lauk ini sahaja.


Pada peringkat awal ganjil didengar. Terlalu berbahasa. Menggunakan bahasa surat. Bahasa rasmi. Namun apabila sudah menjadi kebiasaan, bahasa seperti itu menjadikannya indah berseni. Yang menuturkannya tidak menggunakan bahasa pasar atau yang mendengarnya terpana dengan keindahan bahasa itu sendiri. Kesemua ramuan berbahasa itu sudah tersedia ada.  Cuma perlu diolah supaya keindahannya terserlah. Malanglah bangsa yang bahasanya tidak indah. Tidak memberi makna yang menepati maksud. Sesudah 56 tahun kita merdeka kita masih lagi bergelut dengan kempen menggunakan bahasa kebangsaan. Rasa terhiris dengan keadaan. Kesilapan besar membina bangsa. Seeprti tiada langsung kecintaan terhadap negaranya. Terlalu longgar antara lidah dan hati. Pada awal tahun-tahun 60an dahulu memang benar kempen itu perlu. Setelah matang, dewasa dan tua selama 56 tahun kita masih lagi mengadakan kempen bahasa. Rasanya bangsa kita sakit tenat. Bahasa yang tidak dapat dikuasai. Apabila Barnes dan Fenn-Wu mencadangkan satu jenis sekolah sahaja dan satu bahasa pengantar sahaja iaitu bahasa Melayu, kita menolaknya. Orang kita yang sengaja melepas pandang.  Sekarang kita menerima kesan memanjang yang sukar diselarikan. Sukar diperbetulkan. Lebih malang lagi apabila pemimpin kita senidiri menghantar anak-anak mereka ke luar negara atau bersekolah di sekolah-sekolah antarabangsa. Dinyatakan dan dihebahkan tanpa segan silu kepada bangsanya sendiri. Bagaimana bahasa boleh subur menguasai budaya. Menguasai ilmu. Menguasai pertuturan antarabangsa.



Banyak persoalan bahasa yang belum selesai. Sejarah merakamkan politik negara pernah bergolak kerana akta bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah sangat jarang didengar namanya. Suatu ketika dahulu DBP sangat gah untuk memartabatkan bahasa. Apabila buku teks sekolah diswastakan,  DBP hilang sengatnya. Namanya lenyap dari bibir. Jarang dibaca dalam tulisan. Buku terbitannya menjadi sukar dibilang. Hingga kini kita kembali melancarkan kempen menggunakan bahasa kebangsaan. Banyak tahi ayam yang hilang hangatnya. Banyak pekasam yang tidak diseluk hingga ke pangkal lengan. Banyak yang hanya sekerat jalan. Layu, pudar yang hilang ditelan arus pembangunan yang tanpa pegangan kukuh.