Wednesday, October 30, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Buah Delima Yang Banyak Merkahnya




Saya menanam sepohon delima. Sayangnya isinya putih. Bijinya besar. Rasanya agak masam. Di Malaysia buah delima sudah menjadi suatu kegilaan. Banyak miuman berasaskan buah delima. Begitu juga dengan pati delima. Pekatan delima. Setiap musimnya buah delima didatangkan dari beberapa negara. Cina, Korea, India, USA, Turki, Arzebaijan dan Sepanyol. Pada perkiraan saya buah delima dari Sepanyol adalah yang terbaik. Saiznya sedang. Rasanya manis. Bijinya sangat halus. Bila dimakan sangat mengasyikkan. Setiap musim mungkin saya membeli dengan harga ratusan ringgit kerana saya jatuh cinta dengan buah delima dari Sepanyol. Setiap musim saya menanti di Parit Raja atau di Batu Pahat. Kadang-kadang saya beli di Giant Plentong atau Tesco di Shah Alam. Pernah saya membelinya di Kuala Kangsar. Setahun hanya kira-kira dua bulan sahaja didatangkan dari Sepanyol.


Sewaktu belum menjejak kaki di Kaherah ini selalu saya tanyakan pada anak lelaki saya tentang kehadiran buah delima di Kaherah. Jawapannya tidak pernah pasti. Ada atau tiada. Banyak atau sedikit. Mahal atau murah. Pada akhir bulan Ogos yang lalu buah delima sudah muncul di Kaherah. Saya cuba beli dua biji. Cinta saya tidak berbunga. Masih agak muda. Kelat dan masam. Sebelum ke Kaherah buah delima banyak saya dapati di Amman, Jordan. Masam dan kelat juga. Apabila saya kembali semula ke Kaherah setelah bercuti evakuasi selama dua bulan saya dapati buah delima membanjiri kedai buah. Berlonggok-longgok. Hilang sudah buah mangga Mesir yang sangat terkenal mahal, manis dan enaknya. Buah delima memang didapai merata-rata.


Bagi yang membaca al-Quran buah delima buah asing. Al-Rumman. Banyak kali disebut. Ianya antara buah yang banyak disebut di dalam al-Quran. Dan yang signifikannya ialah apa-apa makanan yang disebut di dalam al-Quran banyak khasiatnya. Kerana itu buah delima menjadi asas industri makanan dan minuman yang meluas sekarang ini. Saya mencuba dua biji semalam. Buah delima di Kaherah besar-besar belaka. Ukuran lilitnya ada yang melebihi 30 sentimeter. Yang saya beli sekitar 25 sentimeter. Dua biji seberat sekilo. Nak tahu berapa harganya? Sekilo hanya 5 Junaih. Atau mudahnya RM2.25. Di Malaysia saiz yang saya beli ini sekitar RM15. Aduhai buah delima. Maknanya di sini sebiji yang besar hanya RM1.10. Saya jatuh cinta kembali.


Saya tidak pasti berapa ramai pelajar Malaysia yang memakan buah delima. Kali ini saya dapati rasanya manis. Bijinya sederhana. Mudah dikunyah. Tetapi ada sesuatu yang mengesankan saya. Di Kaherah inilah saya melihat buah delima merkah. Seperti yang selalu saya baca dalam buku cerita. Zaman kanak-kanak dahulu. Seingat saya di Malaysia saya belum berjumpa buah delima dalam keadaan merkah.  Sewaktu di sekolah dahulu biasa guru menyebut bak delima merkah. Masih ingat? Itulah gambaran cantiknya bibir, mulut dan gigi seorang wanita rupawan. Kemerah-merahan apabila senyumnya terukir. Tidak terkulum. Tidak terjuih. Tidak terbuka ketawa. Cukup dengan senyum yang menguntum bersahaja. Bergetar yang memandangnya. Api panah yang menyala berterbangan. Suatu ketika dahulu buah delima menjadi buah idaman. Ditunggu musimnya. Nilainya sangat tinggi setinggi wanita cantik rupawan.


Benarklah buah delima merkah cantik zatnya? Lihatlah sendiri paparan yang saya sertakan. Mungkin pembaca boleh membuat penilaian yang wajar. Melihat buahnya memang merah menawan. Saiznya cantik. Bulatnya wajar. Beratnya juga wajar. Terdapat kegebuan. Bila dibelah isinya merah berlapis dengan sarang-sarang kelopak di dalamnya. Dipetik sebiji-sebiji dengan cermat. Cermat kerana isinya penuh hening dengan jus yang manis. Beberapa biji dilontar ke mulut. Dikunyah dengan enak perlahan-lahan. Tidak pernah puas memakannya bak memakan buah keranji. Sebiji tiada rasa. Banyak baru dirasa manis dan enaknya. Saya kira rugi bagi sesiapa yang tidak mencintainya.

Delima yang sudah masak. Kulitnya tidak lagi mampu menanggung isinya yang penuh.

Beginikah wanita cantik tersenyum? Delima merkah. Ada sebahagiah buah yang memang merekah terbuka.

Memang besar. Itupun saya pilih yang agak kecil. Banyak lagi yang besar-besar.

Apabila terbelah nampak yang merah. 

 Isinya merah. Cantik tersusun.


Manis, berair dan membahagiakan. 


Buah delima enak dimakan bersama dengan nasi beryani atau nasi minyak. Orang Malaysia rasanya di luar kemampuan untuk menabur isi delima ke atas nasi semasa kenduri kendara. Jika di Mesir rasanya biasa-biasa sahaja. Terlalu banyak dan terlalu murah. Beli di ladang mungkin jauh lebih murah. Untuk keluarga sendiri rasanya tiada masalah. Untuk menjamu beberapa orang rakan atau jiran juga masih boleh diurus. Untuk tetamu yang ramai memang minta maaflah. Hartawan mungkin tidak janggal berbuat begitu.  Selain daripada itu kulit buah delima banyak juga khasiatnya. Yang sangat berkesan ialah ubat buang-buang air. Kulitmnya yang kelat sesuai untuk memekatkan najis di dalam perut. Mereka yang berada dalam industri makanan dan minuman lebih arif tentang hal ini.

5 comments:

  1. suatu masa dahulu,saya tertanya-tanya juga,(ketika membeli jus delima di kedai 'asir)....
    tuan kedai ni mencampur pewarna ke sehingga sebegini merah dan sedap jusnya?
    akhirnya baru saya tahu,
    jus itu lebih sedap jika dikisar sekali bersama bijinya.
    kemudian ditapis.
    saya mendapat ilham ini ketika melihat seorang wanita arab mengisar berbiji-biji lemon dan air kemudian di tapisnya.
    ya,rasanya sangat istimewa....

    ReplyDelete
  2. Terima kasih memberi input yang berguna. Mungkin ramai pembaca yang boleh mencubanya selepas ini. InsyaAllah bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. tumpang tanya, area parit raja tu di mana? mak saya tercari-cari buah delima

    ReplyDelete
  4. Cik Teratai Putih. Parit Raja di Daerah Batu Pahat, Johor. Jika melalui lebuhraya PLUS utara selatan keluar di tol Ayer Hitam, Johor. Dari tol belok ke kiri melalui pekan Ayer Hitam lalu terus menuju ke Parit Raja. Pekan Parit Raja terkenal dengan perusahaan kerepek. Berbagai-bagai krepek seperti pisang, ubi, keladi, keledek, sukun, pisang salai dan berbagai lagi. Pasar mingguannya pada hari Isnin dan Khamis. Banyak pula sayuran hasil kampung. Buah delima mungkin masih boleh didapati di situ. Biasanya buah delima dari Sepanyol yang lebih enak, manis dan bijinya sangat halus. Harganya mungkin mahal sedikit. Sekarang mungkin sekitar RM4 - RM6 sebiji. Cuba cari di gerai buah-buahan yang paling besar di pasar minggu itu. Insyaallah Parit Raja memberikan banyak kemudahan. Bandar kecil yang dimasyhurkan dengan adanya Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM).

    ReplyDelete