Wednesday, November 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Petakakah Sekolah Campur?




Sepanjang penulis bersekolah menengah penulis hanya bersama pelajar lelaki. Tiada pelajar perempuan kecuali seorang atau dua guru perempuan. Di sekolah kebangsaan sahaja penulis bersama pelajar perempuan. Di maktab perguruan kami bercampur lelaki dan perempuan. Begitu juga di universiti. Kajian terbaru di Israel umpamanya mendapati bahawa prestasi pelajar berbeza antara sekolah yang bercampur gender berbanding dengan sekolah yang bergender tunggal. Pelajar di sekolah bergender tunggal didapati lebih baik prestasi akademiknya. Jika kita lihat senario di Malasia situasi ini ada kebenarannya. Walaupun bukan kajian rasmi. Kita dapati prestasi sekolah seperti STAR, Kolej Tunku Khursiah, dan yang lain menunjukkan prestasi yang cemerlang. Ada sekolah-sekolah yang bercampur gender yang juga cemerlang prestasi pelajarnya. Namun begitu sejak akhir-akhir ini banyak musibah berlaku di sekolah-sekolah bercampur gender.


Suatu ketika dahulu semasa penjajah Inggeris berada di Malaysia  untuk orang Melayu hanya ada sekolah Melayu. Sekolah Cina untuk orang Cina dan diusahakan oleh saudagar-saudagar Cina. Sekolah Tamil pula disediakan di estet-estet oleh pemilik-pemilik ladang berbangsa British. Sekolah Inggeris diusahakan oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Mubaligh Kristian mengadakan sekolah diasingan antara lelaki dan perempuan. Mereka tahu agama mereka melarang percampuran bebas. Dari segi sosial sahaja mereka melakukan pergaulan bebas. Bukan dari segi agama mereka. High School wujud hampir di semua bandar besar. Begitu juga sekolah Clifford, Anderson dan sebagainya. Sekolah perempuan pula kebanyakannya dinamakan Convent. Penulis rasa ramai orang Melayu tidak tahu makna Convent. Sebenarnya ianya adalah tempat rahib berlatih menjadi mubaligh. Setelah kerajaan persekutuan mengambilalih pentadbirannya barulah sekolah-sekolah mubaligh mengikut arus perdana.


Orang lama seperti penulis maklum sejarah sekolah di Malaysia. Sebelum merdeka hingga sekarang sekolah-sekolah mubaligh kekal sebagai sekolah gender tunggal. Banyak juga sekolah-sekolah yang khusus untuk gender tunggal kekal hingga kini. Nama-namanya seperti Sekolah Seri Putri, Sekolah Perempuan Temenggung  Ibrahim dan banyak lagi. Sekolah-sekolah gender tunggal ini pada asalnya untuk ekspatriat dan anak-anak bangsawan Melayu. Anak orang awam yang terpilih sahaja berpeluang ke sekolah gender tunggal. Fakta sejarah yang kekal hingga kini ialah sekolah mubaligh tidak pernah terdaftar sebagai sekolah kerajaan. Begitu juga sekolah Cina dan sekolah Tamil. Ketiga-tiga sekolah ini tidak di bawah kuasa tadbir kerajaan British. Hanya sekolah kebangsaan sahaja ditadbir oleh kerajaan penjajah. Cerita tentang Laporan Barnes dan Fenn-Wu telah banyak kali penulis sentuh dalam beberapa entry sebelum ini.  


Beberapa tahun selepas merdeka kerajaan Perikatan di Semenanjung Tanah Melayu memulakan sekolah menengah kebangsaan. Bahasa pengantarnya bahasa Melayu. Untuk lelaki hanya Sekolah Menengah Alam Shah untuk lelaki. Seingat penulis hanya Sekolah Alam Shah sahaja sekolah menengah kebangsaan untuk lelaki. Tiada sekolah menengah kebangsaan khusus untuk perempuan. Yang ada ialah sekolah menengah kebangsaan yang kesemuanya bercampur gender. Rasanya tanpa kecuali. Banyak namanya. Sejarah pendidikan yang banyak kali berubah mengikut arus dan musim. Peneraju kepimpinan pendidikan banyak mempengaruhi kebanyakan perubahan tersebut. British memulakan pendidikan untuk kepentingan mereka dengan sekolah gender tunggal. Sekolah untuk penduduk yang dijajah kebanyakannya bercampur gender. Sekolah seperti ini mengikut model di Amerika Syarikat. Menentang amalan di Britain. Sejarah melihat Amerika Syarikat mencipta kelainan berbanding dengan apa yang dimiliki Britain.  


Sekolah bercampur gender pada awalnya dilihat menarik. Banyak kebaikannya. Tetapi antara sedar dengan tidak sekolah bercampur gender menjadi tidak syarie. Pergaulan yang tidak dapat disekat antara guru, petugas sekolah, guru-pelajar dan pelajar dengan pelajar. Bukan tidak berlaku masalah di sekolah gender tunggal. Namun di sekolah bercampur gender masalahnya lebih besar dan lebih kritikal. Kita bercakap tentang masalah sosial. Masalah seksual. Masalah gender. 

1                 Masalah guru lelaki dan pelajar perempuan. Rasanya banyak kes yang berbagai antara keduanya. Banyak yang baik tetapi ada juga yang negatif. Bercinta dan mendirikan rumahtangga sememangnya baik. Alhamdulillah. Cumanya kadang-kadang guru kurang menjaga  kesempurnaan bercinta. Terpamer di hadapan pelajar-pelajar. Kesannya negatif kepada pelajar.

2                 Pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

2.1            Pelajar bercinta mungkin tabie. Fitrah mereka. Tetapi orang dewasa risau. Mereka terlalu muda. Belum layak. Masa dan tenaga mereka untuk menimba ilmu. Untuk belajar. Untuk menjadi pandai. Untuk mencari landasan membina kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan mereka sendiri. Bercinta mungkin boleh menjejaskan peluang menjadi cemerlang. Terhalang kebaikan tumpuan untuk belajar dengan sempurna.

2.2            Akhir-akhir ini banyak kes bercinta yang melampaui batasan. Banyak tertangkap pasangan pelajar yang bercumbu-cumbuan di kelas atau di kawasan sekolah yang luas. Di sekolah tiada pengawasan yang 100% sempurna. Tiada seorang gurupun yang mampu menjaga kesempurnaan keselamatan pelajar-pelajarnya.

2.3            Pelajar berzina di sekolah sudah menjadi pengetahuan umum. Beritanya terlalu banyak di media cetak atau di media elektronik seperti di youtube, facebook dan sebagainya.

2.4            Jika dahulu pelajar mengandung adalah sesuatu yang langka. Terlalu jarang berlaku. Kini berita pelajar perempuan mengandung terlalu kerap. Berita mengenainya sudah bukan berita sensasi lagi. Menjadi terlalu biasa.

2.5     Beranak anak tak sah taraf. Ganjil bunyinya. Itulah istilahnya. Dilembutkan supaya tidak nampak sangat salahnya. Penulis kurang arif mengenainya. Istilah asalnya terlalu menghina barangkali. Cuma kejadian sedemikian terlalu kerap sekarang ini. Malah ada ketikanya mereka bersalin di sekolah. Janin yang tidak bersalah disumbat ke dalam mangkuk tandas. Dosa yang menggandakan dosa berikutnya.



Apakah kita hanya memandang sepi. Membaca berita tanpa erti. Seperti tiada suatu tindakanpun yang dapat dilakukan untuk memperbaiki keadaan. Penulis yakin jika lebih banyak sekolah-sekolah gender tunggal dibina ramai ibu bapa yang memilih sekolah sebegitu untuk anak-anak mereka. Selamat tinggal sekolah bercampur gender. Persatuan ibu-bapa-guru dan ibu bapa perlu membuka mata lebih luas lagi. Membuka minda lebih tajam. Membuka perasaan lebih peka. Ke mana hendak kita arahkan anak-anak kita. Sikap kita barangkali perlukan perubahan paradigma. Kembali kepada fitrah. Minyak dan api perlu diasingkan. Kembali mengerti apa yang baik dari aspek agama dan apa yang kurang baik. Kita tahu banyak masalahnya sistem yang ada sekarang. Tidak ada salahnya beralih ke suatu sistem yang lebih kondusif dari segi agama. Kembali kepada hukum. Bukan menentangnya.

No comments:

Post a Comment