Monday, November 4, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Krisis Identiti dan Entiti Islamiyah




Jika kita tanya siapa orang Islam, tentu ramai yang dapat menjawab.

Mereka bersyahadah dan maklum akan rukun iman yang enam
Menunaikan rukun Islam yang lima
Berakhlak islamiyah.


Apabila berada dalam kumpulan ramai manusia, mungkin kita tidak dapat mengenalpasti mereka yang beragama Islam. Kerana Islam bukan warna kulit. Bukan nama. Bukan keturunan. Bukan kedudukan ekonomi. Bukan taraf sosial. Bukan pangkat. Bukan kelayakan akademik. Bukan gender. Banyak yang bukan dari ya. Muslim lebih sukar dikenalpasti berbanding Muslimah. Ada usaha untuk beridentiti Muslim seperti memakai jubah, memelihara janggut. Kopiah dan serban bukan universal. Orang Arab jarang-jarang berkopiah dan bererban. Mereka sekadar berjubah. Apabila mereka berpakaian Barat maka identiti Muslim terhakis. Hilang entiti yang seharusnya membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Jangan terperanjat. Orang Yahudi ramai yang berjanggut.


Suatu ketika dahulu pakaian Islam atau Arab yang berjubah dan berserban dipakai oleh sarjana-sarjana Barat. Pensyarah-pensyarah mereka berpakaian demikian. Pakaian berjubah dan berserban dianggap pakaian intelektual. Orang awam tidak memakainya. Hanya mereka yang dalam bidang kesarjanaan sahaja berpakaian begitu. Pakaian itu dianggap rasmi. Bila bertugas mereka memakainya. Mungkin juga kerana ingin membuang imej Islam mereka menggantikannya dengan mortar dan topi bulat seperti yang berada di kepala pemegang ijazah PhD. Sekarang ini pakaian kesarjanaan itu tidak wujud lagi di Barat. Hatta di negara Islam sendiripun. Hilang dentiti Islamnya. Entiti Islam dipadam dari dunia intelektual. Di kesemua negara Islam sekalipun tidak ada yang sedar hilangnya khazanah itu.


Muslimah Arab berbeza dengan Muslimah bukan Arab. Muslimah yang tinggal di Asia Tengah memiliki banyak ciri-ciri yang sama. Di negara-negara bukan Arab ciri-cirinya berbeza pula. Garapan yang berbeza mengikut adat dan resam yang berbeza. Aurat Muslimah adalah keseluruhan tubuh badannya secara fizikal kecuali muka dan kedua tapak tangan. Suatu ketika dahulu Muslimah Arab menutup keseluruhan tubuh badan mereka dengan pakaian yang longgar. Malah mereka memakai niqab. Menutup muka dan hanya menampakkan kedua mata sahaja. Tidak ada kerumitan. Tidak ada keganjilan. Menutup aurat sepenuhnya adalah perintah Allah SWT. Tidak ada apa yang hendak dipertikaikan. Kesemuanya termaktub di dalam al-Quran. Sepintas lalu lebih mudah mengenalpasti yang mana Muslimah dan yang mana bukan. Kita boleh bercakap mengenai keselamatan peribadi. Keselamatan sosial. Malah tidak kurang juga keselamatan nasab. Pakaian Muslimah yang kelihatan tidak menarik menghindar tarikan Muslim atau lelaki bukan Muslim.


Ingat kisah Nabi Nuh as? Banjir besar yang menenggelamkan bumi mengubah lanskap manusia dan kemanusiaannya. Setelah beberapa ketika kapal Nabi Nuh as terdampar di puncak gunung Judiy, ramai pengukut Nabi Nuh as yang meninggal hingga akhirnya tinggal Sam, Ham dan Yapith sahaja. Ketiga-tiga anak Nabi Nuh as ini memiliki cirri-ciri fizikal yang berbeza. Sam merupakan susur galur keturunan Caucasian. Ham menjadi keturunan Negroid. Sementara Yapith memulakan keturunan Mongoloid. Keturunan Sam berbadan agak tegap. Kulit putih kemerah-merahan. Hidung mancung. Bibir nipis. Rambut berwarna perang, putih, kemereh-merahan cokelat dan sebagainya. Mata pula biru, hijau, perak dan cokelat. Keturunan Ham berbadan tegap. Kulit hitam. Rambut keriting. Hidung besar tetapi tidak mancung.  Bibir tebal. Keturunan Yapith pula berbentuk sederhana. Kulit putih kuning. Mata sepet. Hidung kecil. Mulut kecil. Rambut hitam. Mata hitam.

Keturunan Sam memenuhi semananjung Arab hingga ke utara India. Mereka juga ke Barat dan menenuhi Benua Eropah termasuk Russia. Sekarang di Amerika Utara kerana penghijrahan. Keturunan Ham kekal di Arfika. Dibawa ke Amerika Syarikat. Keturunan Yapith pula menyebar ke Timur. Dari Turki hingga ke Cina, Mongolia, Korea, Jepun, Asia Tenggara dan kepulauan Polynesia. Orang India Merah di Amerika Utara dikatakan keturunan Yapith. Keturunan Yapith termasuk kita orang Melayu. Melayu dan Cina dari keturunan yang sama iaitu Yapith, anak Nabi Nuh as. Alhamdulillah kembara peulis ke beberapa negara menemukan penulis kepada sumber keturunan Yapith. Orang Turki banyak ciri-ciri Mongoloid. Berbadan sederhana. Mata sepet. Rambut hitam. Kulit putih kuning. Hidung kecil. Mulut kecil. Lemah lembut seperti orang Asia yang lain. Sopan santun.


Penjajahan Barat ke atas banyak negara di dunia mengubah lagi lanskap keturunan manusia. Yang paling berubah ialah identiti dan entiti bangsa dan keturunan. Muslimah paling banyak terpenaruh dengan gerakan emansipasi wanita Barat. Mereka mencari jalan keluar. Keluar dari identiti mereka yang sediakala. Mereka ingin bebas. Ingin berkerjaya. Mungkin ada sedikit niat untuk meniru wanita Barat yang lepas bebas. Media cetak dan media elektronik banyak memainkan peranan menyebarkan pengaruh Barat. Lahirlah industri hiburan yang tidak terkawal. Peluang pekerjaan dalam bidang ekonomi. Peluang-peluang lain yang ditawarkan oleh berbagai industri. Muslimah yang dahulunya berjubah dan berniqab berubah wajah. Kerana mengikut standard, maka pakaian Muslimah itu ditanggalkan sedikit demi sedikit. Mereka gantikan dengan pakaian yang semakin lama semakin sendat. Semakin lama semakin singkat. Semakin lama semakin mendedah. Semakin lama semakin menipis.

Hilanglah rupa bangsa. Hilanglah rupa agama. Yang kita lihat ialah wanita biasa yang serupa di mana-mana. Kadang-kadang hendak memberi salam sesama lelakipun penulis menjadi teragak-agak. Sesama keturunan Yapith tetapi beragama yang berlainan. Malah orang Melayu sendiri ramai yang ciri Yapitnya sangat menonjol.  Matanya lebih sepert dari orang Cina. Kulitnya lebih putih kuning berbanding dengan orang Jepun. Pakaian adalah petunjuk agama. Wanita penganut agama Kristian Orthodok di Russia umpamanya memakai tudung mengalahkan Muslimah. Dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa. Muslimah pula enggan memakai tudung. Dikatakan tidak mengikut edaran masa. Bagaimana orang Russia? Tidak pula mereka ketinggalan. Sampai juga ke bulan. Kapal angkasa mereka sentiasa berada di angkasaraya. Maju menyaingi Amerika. Mungkin lebih lagi. Media banyak menutup berita mengenai mereka.



Orang Islam kehilangan identiti dan entiti. Budaya islamiyah pula tidak terpelihara. Dunia pula semakin di hujungnya. Pada ketika orang Islam melupakan agamanya, orang yang bukan Islam mula tertarik kepada Islam. Apa-apa yang tidak kita pelihara maka Allah berikan kepada orang lain. Setiap hari terlalu ramai orang Barat menganut Islam. Baik di Britain. Baik di Amerika Syarikat. Baik di negara-negara Eropah yang lain. Begitu juga di India. Ramai yang mencari Islam kerana kebenarannya terserlah. Mereka mencari dan mereka mendapatnya. Ramai antara kita mengejar yang lain hingga keciciran milik kita yang hak. Jangan main-main dengan identiti dan entiti Islamiyah yang ada pada diri kita sendiri.

Wednesday, October 30, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Buah Delima Yang Banyak Merkahnya




Saya menanam sepohon delima. Sayangnya isinya putih. Bijinya besar. Rasanya agak masam. Di Malaysia buah delima sudah menjadi suatu kegilaan. Banyak miuman berasaskan buah delima. Begitu juga dengan pati delima. Pekatan delima. Setiap musimnya buah delima didatangkan dari beberapa negara. Cina, Korea, India, USA, Turki, Arzebaijan dan Sepanyol. Pada perkiraan saya buah delima dari Sepanyol adalah yang terbaik. Saiznya sedang. Rasanya manis. Bijinya sangat halus. Bila dimakan sangat mengasyikkan. Setiap musim mungkin saya membeli dengan harga ratusan ringgit kerana saya jatuh cinta dengan buah delima dari Sepanyol. Setiap musim saya menanti di Parit Raja atau di Batu Pahat. Kadang-kadang saya beli di Giant Plentong atau Tesco di Shah Alam. Pernah saya membelinya di Kuala Kangsar. Setahun hanya kira-kira dua bulan sahaja didatangkan dari Sepanyol.


Sewaktu belum menjejak kaki di Kaherah ini selalu saya tanyakan pada anak lelaki saya tentang kehadiran buah delima di Kaherah. Jawapannya tidak pernah pasti. Ada atau tiada. Banyak atau sedikit. Mahal atau murah. Pada akhir bulan Ogos yang lalu buah delima sudah muncul di Kaherah. Saya cuba beli dua biji. Cinta saya tidak berbunga. Masih agak muda. Kelat dan masam. Sebelum ke Kaherah buah delima banyak saya dapati di Amman, Jordan. Masam dan kelat juga. Apabila saya kembali semula ke Kaherah setelah bercuti evakuasi selama dua bulan saya dapati buah delima membanjiri kedai buah. Berlonggok-longgok. Hilang sudah buah mangga Mesir yang sangat terkenal mahal, manis dan enaknya. Buah delima memang didapai merata-rata.


Bagi yang membaca al-Quran buah delima buah asing. Al-Rumman. Banyak kali disebut. Ianya antara buah yang banyak disebut di dalam al-Quran. Dan yang signifikannya ialah apa-apa makanan yang disebut di dalam al-Quran banyak khasiatnya. Kerana itu buah delima menjadi asas industri makanan dan minuman yang meluas sekarang ini. Saya mencuba dua biji semalam. Buah delima di Kaherah besar-besar belaka. Ukuran lilitnya ada yang melebihi 30 sentimeter. Yang saya beli sekitar 25 sentimeter. Dua biji seberat sekilo. Nak tahu berapa harganya? Sekilo hanya 5 Junaih. Atau mudahnya RM2.25. Di Malaysia saiz yang saya beli ini sekitar RM15. Aduhai buah delima. Maknanya di sini sebiji yang besar hanya RM1.10. Saya jatuh cinta kembali.


Saya tidak pasti berapa ramai pelajar Malaysia yang memakan buah delima. Kali ini saya dapati rasanya manis. Bijinya sederhana. Mudah dikunyah. Tetapi ada sesuatu yang mengesankan saya. Di Kaherah inilah saya melihat buah delima merkah. Seperti yang selalu saya baca dalam buku cerita. Zaman kanak-kanak dahulu. Seingat saya di Malaysia saya belum berjumpa buah delima dalam keadaan merkah.  Sewaktu di sekolah dahulu biasa guru menyebut bak delima merkah. Masih ingat? Itulah gambaran cantiknya bibir, mulut dan gigi seorang wanita rupawan. Kemerah-merahan apabila senyumnya terukir. Tidak terkulum. Tidak terjuih. Tidak terbuka ketawa. Cukup dengan senyum yang menguntum bersahaja. Bergetar yang memandangnya. Api panah yang menyala berterbangan. Suatu ketika dahulu buah delima menjadi buah idaman. Ditunggu musimnya. Nilainya sangat tinggi setinggi wanita cantik rupawan.


Benarklah buah delima merkah cantik zatnya? Lihatlah sendiri paparan yang saya sertakan. Mungkin pembaca boleh membuat penilaian yang wajar. Melihat buahnya memang merah menawan. Saiznya cantik. Bulatnya wajar. Beratnya juga wajar. Terdapat kegebuan. Bila dibelah isinya merah berlapis dengan sarang-sarang kelopak di dalamnya. Dipetik sebiji-sebiji dengan cermat. Cermat kerana isinya penuh hening dengan jus yang manis. Beberapa biji dilontar ke mulut. Dikunyah dengan enak perlahan-lahan. Tidak pernah puas memakannya bak memakan buah keranji. Sebiji tiada rasa. Banyak baru dirasa manis dan enaknya. Saya kira rugi bagi sesiapa yang tidak mencintainya.

Delima yang sudah masak. Kulitnya tidak lagi mampu menanggung isinya yang penuh.

Beginikah wanita cantik tersenyum? Delima merkah. Ada sebahagiah buah yang memang merekah terbuka.

Memang besar. Itupun saya pilih yang agak kecil. Banyak lagi yang besar-besar.

Apabila terbelah nampak yang merah. 

 Isinya merah. Cantik tersusun.


Manis, berair dan membahagiakan. 


Buah delima enak dimakan bersama dengan nasi beryani atau nasi minyak. Orang Malaysia rasanya di luar kemampuan untuk menabur isi delima ke atas nasi semasa kenduri kendara. Jika di Mesir rasanya biasa-biasa sahaja. Terlalu banyak dan terlalu murah. Beli di ladang mungkin jauh lebih murah. Untuk keluarga sendiri rasanya tiada masalah. Untuk menjamu beberapa orang rakan atau jiran juga masih boleh diurus. Untuk tetamu yang ramai memang minta maaflah. Hartawan mungkin tidak janggal berbuat begitu.  Selain daripada itu kulit buah delima banyak juga khasiatnya. Yang sangat berkesan ialah ubat buang-buang air. Kulitmnya yang kelat sesuai untuk memekatkan najis di dalam perut. Mereka yang berada dalam industri makanan dan minuman lebih arif tentang hal ini.

Tuesday, October 29, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Istimewanya Bahasa Arab




Apabila Rasulullah saw diangkat menjadi Rasul, senario alam berubah. Malah ketika baginda dilahirkan api sembahan agama Majusi di Iran terpadam. Api yang sentiasa menyala berzaman-zaman itu terpadam dengan kuasa Allah. Rasulullah saw adalah cahaya yang lebih menyerlah berbanding dengan cahaya sembahan agama Majusi itu. Kerasulan Nabi Muhammad saw disertakan dengan wahyu yang diturunkan dari Lauh Mahfudz ke Bait al-Izzah dan seterusnya kepada Rasulullah saw di Gua Hira’. Wahyu pertama lima ayat pertama dari Surah al-‘Alaq. Wahyu itulah yang akhirnya menjadi mushaf al-Quran yang dihimpunkan pada zaman Sayyidina Uthman ra ketika beliau menjadi khalifah yang ketiga. Sesuatu yang signifikan perlu diingat ialah Allah menurunkan wahyu menggunakan bahasa Arab. Bahasa Arab Quraisy.


Jika kita baca sejarah, proses pembentukan bahasa Arab sangat panjang. Bukan bahasa awal. Kaum Nabi Hud as dikatakan memiliki cirri-ciri Arab. Namun yang lebih dekat ialah Nabi Ismail as. Penduduk Makkahlah yang memiliki bahasa Arab. Bangsa Arab pula pelbagai puaknya. Antara puak tersebut puak Quraisy lebih menonjol. Mereka lebih maju. Banyak intelektual di kalangan mereka. Mencintai seni. Pandai berpidato. Mengarang puisi adalah kesukaan mereka. Syair seperti kata orang sekarang. Maksudnya orang Quraisy mengembangkan bahasa mereka hingga menjadi bahasa perantaraan pada zaman itu. Kebetulan jazirah Arab adalah kawasan yang sangat maju pada ketika itu. Menjadi tumpuan orang Yunani dan orang Rom. Hubungan perdagangan menemukan mereka. Selain daripada itu bahasa Quraisy memiliki ketulenannya yang tersendiri. Apabila wahyu diturunkan, kalam Allah itu tiada bandingannya. Bahasa Allah sangat puitis, tajam, tinggi dan perlukan kepakaran yang tinggi untuk mentafsir maknanya. Hingga sekarang orang masih terus-terusan mentafsirnya.


Islam adalah agama seluruh dunia. Rasulullah saw adalah Rasul untuk seluruh manusia. Maka al-Quran adalah untuk seluruh manusia. Sebab itu ada di dalamnya ungkapan Ya ayyuhannas, Wahai manusia. Ada antara sahabat sendiri yang memang orang Quraisy tidak memahami seluruhnya akan isi al-Quran. Mereka merujuk kepada Rasulullah untuk mengetahui maksud setiap butirannya. Allah mengangkat Rasulullah saw dari kalangan orang Quraisy. Bahasanya Quraisy. Al-Quran dalam bahasa Quraisy. Itulah bahasa di syurga nanti. Bahasa di akhirat. Tiada bahasa yang lain. Kuasa Allah untuk seluruh manusia mengerti bahasa tersebut di akhirat nanti.


Itu cerita alam akhirat. Yang perlu kita beratkan ialah sekarang. Semasa kita hidup di dunia. Sebelum kita sampai di akhirat. Persediaan untuk berada di alam barzah. Sebelum berpindah ke akhirat. Ulamak mengatakan bahawa mempelajari bahasa Arab mendapat dua ganjaran. Pertama kerana mempelajarainya. Keduanya kerana mengamalkannya. Setelah berada dalam situasinya, sebenarnya bahasa Arab bukanlah bahasa yang terlalu sukar. Buktinya ramai orang bukan Arab yang menguasai bahasa itu. Orientalis di Barat boleh menguasai bahasa Arab. Bukan untuk menganut Islam (walaupin ramai yang akhirnya tertarik untuk memeluk Islam). Mereka ingin mencari kesalahan, kelemahan, kekeliruan dan cacat cela semua yang berkaitan dengan Islam.  Tanpa menguasai bahasa Arab tidak mungkin mereka meneliti al-Quran. Membaca hadith. Manuskrip-manuskrip ulamak terdahulu. Sejarah juga merakamkan bahawa pakar bahasa Arab yang ulung ialah Sibawih. Seorang yang bukan Arab. Rasanya dari Asia Tengah. Seperti juga pakar hadith. Imam Buhari bukan orang Arab.


Sewaktu mula mempelajari bahasa Arab banyak kerumitan memahami perlunya gender, bilangan dan masa. Setelah berinteraksi dengan bahasa Arab rupanya banyak maklumat yang tidak terpakai dalam bahasa lain. Hatta bahasa utama di dunia seperti bahasa Inggeris. Bukan juga bahasa Melayu. Gender sangat penting kerana ada kaitannya dengan hukum pergaulan. Cuba lihat ayat berikut:

Saya dan rakan-rakan saya berkelah di tepi pantai.

Persoalan:

Dalam bahasa Melayu kita tidak pernah mempertikai siapa saya dalam ayat di atas. Begitu juga dengan rakan-rakan. Saya mungkin lelaki dan mungkin juga perempuan. Rakan-rakan mungkin lelaki atau perempuan atau kedua-duanya sekali. Boleh pembaca fikirkan natijahnya. Kita lihat hukum pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Kita tidak pernah ambil pusing saya itu lelaki atau perempuan. Rakan-rakan itu lelaki atau perempuan. Bahasa Arab ada kaitannya dengan al-Quran. Maknanya ada kaitan dengan hukum-hakam agama. Kepada orang Arab ayat yang dibina wajib jelas. Umpamanya:

Asma’ berkelah bersama rakan-rakan perempuannya.
Yahya berkelah bersama rakan-rakan lelakinya.

Dalam bahasa Arab jika ayat yang dibina berbentuk seperti di bawah ianya dianggap salah.

Asma’ berkelah bersama rakan-rakannya.
Yahya berkelah bersama rakan-rakannya.

Yang salah bukan strukturnya. Bukan sintaksnya. Bukan perkataannya. Yang salah ialah hukumnya dari segi agama. Dari segi syariat. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram bersama-sama pada suatu ketika dan pada suatu tempat yang sama. Kerana menjaga hukum itu maka ayat di atas adalah tercela. Salah.


Kita tidak boleh bayangkan hal sebegini terjadi dalam bahasa kita. Semuanya boleh. Apabila bahasa itu dianggap bahasa al-Quran maka batas-batasnya dijaga. Kerana bahasa Arab bahasa syurga maka bahasa itu menunjukkan jalan ke syurga. Segala yang terlarang juga terlarang dalam bahasa.


Dalam keadaan lain bahasa Arab sangat puitik. Bahasa Melayu klasik memiliki cirri-ciri tersebut. Tetapi kerana kita kehilangan sabar kita modenkan bahasa kita hingga menjadikannya terlalu hambar. Hilang seninya jika tidak tahu menggunakannya. Pernah berinteraksi dengan perkataan berikut:

Senantiasa
Sementelahan
Jikalau
Ceritera


Ganjil rasanya kerana kita sudah jauh dari kebiasaan itu. Sekarang mari pula kita tinjau bahasa Arab yang dipindahkan ke dalam bahasa Inggeris. Sekadar contoh.

Arab
Inggeris
Melayu

Qittun
Kitten
Kucing
(Qittun itu kucing tetapi dimaknakan anak kucing)
Al-fiil
Elephant
Gajah


Kelembutan dalam bahasa Arab lagilah sangat memukau. Rasanya tidak ada dalam bahasa lain. Dalam realiti harian bangsa Arab mungkin banyak kasarnya tetapi mereka yang terpelajar sangat indah bahasanya. Benarlah kata pepatah bahasa menunjukkan bangsa.  Bahasa sewajarnya selari dengan darjat seseorang. Ilmunya. Kedudukan sosialnya. Pangkatnya. Dan banyak lagi yang menunjukkan ketinggian akal budi seseorang. Bahasa Arab dipelajari dari yang paling dasar hingga yang paling tinggi. Kepada orang biasa maka biasa-biasalah bahasanya. Kepada mereka yang di kelas yang lebih tinggi bahasanya amat menakjubkan. Bahasa Melayu tidak dapat menyamai bahasa Arab dari segi ketinggiannya. Sangat jauh.  Kita biasa memanggil nama seperti yang tertera dalam kad pengenalan. Atau nama panggilan yang biasa. Bagi orang Arab seorang bapa dinisbahkan kepada anak sulungnya. Lebih-lebih lagi jika anak itu lelaki. Atau terus kepada nama anak lelaki. Bukan mengabaikan anak perempuan tetapi kerana susur galur nasab. Satu lagi perbincangan yang mengujakan. Saya tinggalkan dulu di sini. Kembali kepada nisbah anak. Jika anaknya bernama Hamzah maka bapanya dipanggil Abu Hamzah. Ada pula nisbah tempat atau keturunan. Contohnya al-Banjari dan al-Kelantani.  



Marilah dekat kepada bahasa Arab. Ada keindahan yang selama ini kita abaikan. Selalu sengaja dilepas pandang. Mudah-mudahan bahasa Arab mendekatkan kita kepada memahami agama dengan lebih intim lagi. Bahasa Inggeris tidak tulen seperti yang disangka. Di dalamnya banyak bahasa Perancis. Bunyi dan ejaannya diubahsuai. Umpamanya etique (etika) dan parquet (lantai kayu). Jika kita mengkaji al-Quran bahasanya dikatakan sangat autentik. Tulen bahasa Quraisy. Kerana itu mempelajari bahasa Arab tidak lari dari mengkaji al-Quran itu sendiri. Permasalahan dalam bahasa Arab akan dirujuk kepada al-Quran. Wahyu adalah yang betul. Struktur karangan manusia banyak silapnya. Ini baru sekadar perbincangan dasar. Mungkin satu hari nanti dapat saya huraikan yang lebih indah dari yang pembaca tatap. InsyaAllah.

Bingkisan Dari Kaherah: Autumn – The Stark Difference




Way back in 1986 my first encounter with fall was in the USA. In the States they call it Fall. Well, Autumn to me has a subtle meaning. Something beautiful. Fall has a direct meaning. Images of falling leaves and falling temperatures. October is as always a bit cooling. The temperature keep dropping until Winter. The sun still shines yet daylight is shortening. Day after day daylight becomes shorter and shorter. My family and I was in Pittsburgh. A beautiful city in the state of Pennsylvania. It sounded Romanian or Albanian. Eastern Europe for that matter. Pittsburgh is a hilly city. Hills and undulating slopes around and abound.  I guess Fall is the most captivating season. After schorching heat in Summer, the weather cools off. Transforming all vegetation into myrad of red, brown and yellow in colours. Everywhere you turn your eyes will be feasting on those colours. Subhanallah. It excites the eyes of the beholder. People walks endless hours. Savouring the cool air. Enjoying the colours. The scenery. There is not enough words to describe in full. Seeing is believing. At that particular time, it was an experience of a life time. Alhamdulillah, I was blessed with a second chance. It was Canada in 1990. Nevertheless my experience in the States left a huge mark in my mind. A brief encounter yet stays forever in my memory.


Then it happens. Those colours are dropping to the ground. The whistling wind sways the twigs and branches. Dropping the leaves in sequence. Now you see colours down on the ground and on trees. The ground becomes congested with fallen leaves. At the same time the trees shed their leaves until all the branches and twigs are barren. Nearing Winter all the vegetation are hibernating. Waiting for the next condusive sunshines in Spring. It was in the States I understood the meaning of Winter, Spring, Summer and Fall/Autumn. Reading or seeing images in print or electronic devices rarely gives you the exact understanding. It takes every three months for each season. Yet the true fact is Spring could be an elongated Winter. And for that matter Fall could be shortened by Winter. It depends on the latitudes the place is situated. The further north the more cooling season that you experience. Well, Fall is still a little warm. Only the breeze is enjoyable. Warm to a certain degree. Cool in the morning and late afternoon. Quite cool at night. Most days it is dry. The whole countryside is very picturesque. For a first timer like me, it created an image beyond imagination.


I am now in Cairo. Situated in the Northern Hemisphere. The four seasons are here. The past Summer was warm and dry.  Mind you, rain is something very scarce. They say only four times a year. Four times a year. The rains are synonymous with the changing of seasons. There is no rain in every season. It falls in between sesaons. I have yet to experience those rains. InsyaAllah, very soon. Winter is coming at the end of November. I stay in Nasr City. Trees are abound along the roads. But there is no colour change. The leaves stay green. A little disappointment. But then Allah determines the nature of everything. We have to accept the decree bestowed unto us. In every aspects of our lives Allah determines the best that can be for us. Thus Cairo is different from USA or Canada. A different experience altogather. Still the weather is cooling. Of course it stays dry.


Maybe life is a changing seasons. But is not repeated. There is no round cycle. It is a changing pattern. Depicting changes in age and every connecting images of a growing person from childhood to manhood. From being matured to being old. For me my Spring was something in the past. Gone also was my Summer. Although Spring and Summer still stay in my heart, biologically I am in Fall. Colours are abound around me. Yet those colours are fading. Shedding little by little. Every human is waiting for that barren branches and twigs. Maybe a shade of green here and there. The red, brown and yellow colours are very prominent. I can feel those colours falling one by one. The end is always near. Just like fallen leaves they leave a mark. Collected and crafted into something creative. Framed to be gauged by searching eyes.  It could be generation after generation as a symbol of family heritage. When you are in Fall, you wait for that eminent Winter. Snow and its whiteness will engulf everything on the ground. Cold, hard and seemingly dead. But not human. Once that Winter in your life comes it will be the end. You will never Spring into life anymore.  Flaura and fauna will still flourish after Winter and after every seasons.



There are reasons my being in Cairo. I would like to build colours of my own. Captivating to see. Exciting to watch. Remembered forever. Making vivid images that strike many souls. A little heritage for my generation. InsyaAllah. Please pray for me.

Monday, October 28, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Mengindah Bicara


Bahasa adalah alat komunikasi. Dipertuturkan. Ditulis. Dibaca. Dibuat apa sahaja tetapi objektifnya untuk berkomunikasi. Namun begitu bahasa banyak konotasinya. Tidak boleh digunakan sebarangan. Ianya mesti sesuai dengan situasinya. Sesuai dengan tahap audiennya. Objektif penyampaiannya. Topik yang dibincangkan. Menasihat lain intonasinya. Marah juga berbeza. Merayu tentu sahaja berbeza. Memotivasi apatah lagi. Kerana itu bahasa bukan sesuatu yang statik. Bukan dipelajari secara tidak sengaja. Ada agenda yang perlu dipatuhi. Ada sesuatu yang perlu diinsafi. Malangnya kadang-kadang kita tidak menghormati bahasa itu sendiri. Situasi berbagai yang tidak dimengerti.

1                 Tersalah pilih perkataan.
2                 Tersalah imbuhan di hadapan atau di belakang.
3                 Istilah yang tersasar.
4                 Susunan ayat yang tidak jelas maknanya.
5                 Bahasa yang rojak.
6                 Intonasi yang tidak kena dengan maksud.
7                 Tercari-cari bahasa yang sesuai.
8                 Tidak lancar perturutan.
9                 Banyak gangguan kebiasaan yang menghilang minat tumpuan audien. Contohnya berhenti sebentar sambil mengeluarkan bunyi “err” atau “a..a”.
10            Kelajuan yang tidak terkawal. Sebutan yang terpintal-pintal.
11            Tiada sabungan mata. Menunduk atau mendongak atau mata meliar tidak tentu hala.
12            Lenggok dan bahasa tubuh yang tidak selari.
13            Tidak mahir mengawal bahasa.
14            Tiada kawalan perasaan.
15            Pengguna bahasa yang tidak beradab. Menggunakan perkataan yang kasar dan tidak sesuai.
16            Dan banyak lagi jika ingin dibincangkan. Tidak perlu dipolimikkan.


Situasi pertama
Ungkapan seorang Ahli Parlimen dalam siaran langsung di TV: “Nanti dulu. Saya belum habis cakap.” Kasar dan tiada adabnya. Walaupun pembangkang yang dimaksudkan tetapi adab boleh menyejukkan. Kenapa tidak: “Minta maaf. Izinkan saya menyempurnakan jawapan saya terlebih dahulu.” Tentu lebih santai dan beradab.

Situasi Kedua
Ini ungkapan seorang artis: “Saya selalu bawa bini saya untuk melancong.” Ganjil bunyinya. Tiada keindahan berbahasa. Perkataan bini terlalu berada di bawah. Rasa hina pula. Bahasa pasar yang langsung tidak sesuai. Apatah lagi apabila audiennya merantau ke seluruh dunia. Mungkin lebih senuai “Saya kerap juga membawa isteri saya melihat-lihat tempat orang.” Ada kerendahan diri. Santunnya banyak.

Situasi Ketiga
Seorang guru memarahi pelajarnya, “Awak ni tak reti bahasa ke? Itupun tak faham.” Aduhai. Guru dan pelajar antara langit dengan bumi. Yang namanya pejalar sedang belajar. Banyak yang tidak diketahuinya. Kepada pelajar semua perkara adalah himpunan yang membebankan. Apatah lagi jika yang mudah belum difahami. Guru perlu memberi simpati. Mengerti empati. Cuba berada dalam situasi pelajar.  Yang mudah kepada guru sebenarnya sangat menakutkan pelajar. Kecuali pelajar tajam mindanya. Yang cair otaknya. Yang memiliki kebijaksanaan.

Situasi Keempat
Seorang bapa menegur anaknya, “Buta ke mata. Itupun tak nampak.” Tersentak hati yang mendengar. Bukan anak itu sahaja. Orang lain yang berhampiran juga tersentak. Bapa yang sewajarnya mendidik tidak sewajarnya berbuat demikian. Ikut nafsunya sahaja. Alangkah indahnya jika sibapa berkata, “Anak abah. Cuba pandang betul-betul. Perhati segenap tempat. Pasti nampak.” Orang Arab umpamanya memanggil anak lelakinya Ya bunayya. Wahai anak lelaki kesayanganku. Ya binti. Wahai anak perempuanku. Nabi Musa berkata kepada Nabi Harun, “Ya Ibnuum.” Wahai anak lelaki ibuku. Yang bermaksud adik lelakiku.

Situasai Kelima
Dialog didengar di sebuah restoran di Kota Kinabalu. “Saya jika ke Kuala Lumpur lebih suka ada agenda sendiri. Lebih bebas.” Selalunya kita menggunakan kalau bukan jika. Agenda jarang digunakan. Tetapi dalam dialog di atas perkataan agenda sangat santai. Cool kata orang Amerika.

Semakin kita dewasa sewajarnya semakin cantik bahasa kita. Itu yang sepatutnya berlaku. Kita menghimpunkan pengalaman. Bahasa yang kita guna semakin matang. Indah dan mengesankan. Menepati maksud. Berada dalam kelasnya yang tersendiri. Tinggi dan mengasyikkan. Begitulah al-Quran yang kita baca. Tanpa mengetahui bahasa Arab tinggi banyak kalimah dan ungkapan yang sukar difahami. Pada peringkat kanak-kanak kita menggunakan bahasa yang dasar. Bahasa itu berkembang menjadikan kita penuturnya yang berwibawa. Lihat susunan berikut:

Mak, nak makan.  Sangat asas bahasanya.
Menjadi, “Mak, saya hendak makan.” Mula sopan.
Menjadi, “Mak, bolehkah saya makan?” Mohon izin dahulu.
Menjadi, “Mak, bolehkah saya ambil makanan ini?” Mohon membuat pilihan yang sesuai.
Menjadi, “Mak, sesuaikah makanan ini untuk saya?” Mula selektif.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini berkhasiat?” Menimbang makanan yang sesuai dengan kesihatannya.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini halal?” Mula menimbangkan hukum.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini bersih, suci dan halal?” Sudha mempertegas hukum dan perinciannya.
Menjadi, “Mak, adakah makanan ini halalan toyyibah?” Cuba memenuhi tuntutan agama.


Sewaktu di peringkat pra sekolah anak-anak kita sudah boleh dibentuk menjadi pengguna bahasa yang wajar. Indah didengar. Manis didengar. Kadang-kadang mengasyikkan. Ianya bukan fantasi. Bukan ilusi. Bukan dibuat-buat. Biasakan. Banyak latihan. Ibu bapa yang memainkan peranan. Bukan guru di sekolah. Tugas guru menambah apa yang sudah diisi oleh ibu bapa. Jika anak-anak ke sekolah dengan isi yang kosong maka anak-anak kita jauh tertinggal berbanding dengn anak-anak orang lain. Biasakan dengan:

Mak, di manakah baju saya?
Ibu, boleh saya mandi sekarang?
Emak hendak masak apa sekarang?
Bolehkah saya tolong emak mengemas rumah?
Emak, saya hendak makan lauk ini sahaja.


Pada peringkat awal ganjil didengar. Terlalu berbahasa. Menggunakan bahasa surat. Bahasa rasmi. Namun apabila sudah menjadi kebiasaan, bahasa seperti itu menjadikannya indah berseni. Yang menuturkannya tidak menggunakan bahasa pasar atau yang mendengarnya terpana dengan keindahan bahasa itu sendiri. Kesemua ramuan berbahasa itu sudah tersedia ada.  Cuma perlu diolah supaya keindahannya terserlah. Malanglah bangsa yang bahasanya tidak indah. Tidak memberi makna yang menepati maksud. Sesudah 56 tahun kita merdeka kita masih lagi bergelut dengan kempen menggunakan bahasa kebangsaan. Rasa terhiris dengan keadaan. Kesilapan besar membina bangsa. Seeprti tiada langsung kecintaan terhadap negaranya. Terlalu longgar antara lidah dan hati. Pada awal tahun-tahun 60an dahulu memang benar kempen itu perlu. Setelah matang, dewasa dan tua selama 56 tahun kita masih lagi mengadakan kempen bahasa. Rasanya bangsa kita sakit tenat. Bahasa yang tidak dapat dikuasai. Apabila Barnes dan Fenn-Wu mencadangkan satu jenis sekolah sahaja dan satu bahasa pengantar sahaja iaitu bahasa Melayu, kita menolaknya. Orang kita yang sengaja melepas pandang.  Sekarang kita menerima kesan memanjang yang sukar diselarikan. Sukar diperbetulkan. Lebih malang lagi apabila pemimpin kita senidiri menghantar anak-anak mereka ke luar negara atau bersekolah di sekolah-sekolah antarabangsa. Dinyatakan dan dihebahkan tanpa segan silu kepada bangsanya sendiri. Bagaimana bahasa boleh subur menguasai budaya. Menguasai ilmu. Menguasai pertuturan antarabangsa.



Banyak persoalan bahasa yang belum selesai. Sejarah merakamkan politik negara pernah bergolak kerana akta bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah sangat jarang didengar namanya. Suatu ketika dahulu DBP sangat gah untuk memartabatkan bahasa. Apabila buku teks sekolah diswastakan,  DBP hilang sengatnya. Namanya lenyap dari bibir. Jarang dibaca dalam tulisan. Buku terbitannya menjadi sukar dibilang. Hingga kini kita kembali melancarkan kempen menggunakan bahasa kebangsaan. Banyak tahi ayam yang hilang hangatnya. Banyak pekasam yang tidak diseluk hingga ke pangkal lengan. Banyak yang hanya sekerat jalan. Layu, pudar yang hilang ditelan arus pembangunan yang tanpa pegangan kukuh. 

Sunday, October 27, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengejar Pelangi Senja



Pelangi hanya menjadi fakta pada waktu hujan. Hakikatnya bila hujan panas. Hujan yang turun ketika bahagian lain langit memancarkan cahayanya. Hujan dan cahaya mentari memancarkan warna yang bertujuh tingkat. Kecuali warna putih. Yang lain memang indah berseni. Ciptaan Allah. Wujud dan bukan ilusi. Boleh dilihat.  Boleh dirakam. Boleh diingat dan diabadikan dalam ingatan. Cumanya pelangi bukan maujud secara fizikal. Ada rupa tetapi dipegang tiada. Ada warna tetapi disentuh tiada. Manusia tidak boleh mengharap hanya pada pelangi. Datangnya tidak menentu. Bergantung pula pada hujan dan pada masa yang sama perlu ada cahaya matahari. Namun pelangi menjadi keindahan yang mencacah harapan. Memberi bahagia dan membesarkan hati. Warnanya memukau rindu.  Bayangnya menggamit yang jauh di hati. Pelangi senja pula tidak lama. Cahaya mentari yang ada semakin pudar di balik ufuk. Namun pelangi itu tetap berwarna. Tetap kelihatan jalinan warnanya. Tetap seiring barisnya. Tetapi dengan lengkuk yang melingkar suasana. Pancaran dan memancarkan. Cahayanya tetap kemilau.

Apabila kita menjadi semakin tua tidak banyak yang dapat dilakukan secara fizikal. Kudrat tenaga memang sangat berkurangan. Susut dan terhakis. Walau bagaimanapun kapasiti minda sangat kuat. Boleh melonjak berganda-ganda. Syaratnya mendengar dengan bijaksana, banyak mengingat, menghafal, membaca dan menulis. Kesemuanya menjadi amalan yang melengkapkan proses atau kitaran hidup seorang insan berguna. Tidak ada manusia yang mampu membuat matahari. Tidak mampu juga membuat hujan. Tetapi manusia boleh membuat pelangi. Hadap ke mentari. Semburkan air melalui mulut. Atau gunakan alat sembur yang halus airnya. Pasti kelihtan pelangi kecil. Pelangi juga. Setia dengan susunan warna yang sama. Tidak mampu membuat pelangi yang besar dan bercahaya. Pelangi kecil yang tidak signifikan masih boleh dilakukan. Diingat tetap seni ada cantiknya. Bahawa dalam hati kita banyak lagi bunga wanginya. Banyak warnanya. Yang kecil itu menghibur dan membahagiakan. Rangkaiannya memanjang indah sepanjang jalan hidup yang terus panjang.


Ilmu yang sedikit bukan suatu kerugian. Setiap yang bertambah tentulah banyak nilai tambahnya. Sedikit bukan ukuran setara. Sedikit kepada seseorang mungkin terlalu banyak dan besar kepada seorang yang lain. Mungkin juga tidak memberi apa-apa erti kepada orang lain. Kepada rakyat sekilo beras bernilai sekitar RM2.50. Jika gaji mereka RM600 sebulan. Maka beras itu nisbahnya 2.5:600. Ianya dianggap besar. Kepada orang besar, harga RM2.50 hanyalah 2.5:18,000. Kepada orang kaya 2.5:2,500,000. Tetapi orang kecil yang tidak kaya tetap kaya pada dirinya. Memiliki ilmu yang mungkin tidak dimiliki oleh orang besar atau orang kaya. Hidupnya tenang. Ada aman dan kebahagiaan. Tidak banyak kegusaran. Bebas gerakannya. Aktif dengan ada sahaja yang dapat dilakukan. Kekadang yang kecil itu menjadi besar signifikannya. Melingkari seperti pelangi besar yang menaungi. Di bawah pelangi itu banyak yang dapat dilakukan. Banyak kesempurnaan yang dapat dilaksanakan. Memang pelanginya tidak dapat digarap rasa. Tidak dapat disentuh sasanya. Di bawah keindahan pelangi itulah segalanya banyak membina. Memperkaya nikmat yang berganda-ganda. Bahagia di bawah warna.


Pastinya tidak semua orang mendapat yang sama belaka. Perbezaan banyak yang ketara dan mungkin tersembunyi. Merantau jauh banyak yang dilihat. Jauh perjalanan banyak pandangan. Pandangan itulah yang memperkaya. Kelainan yang kadang-kadang tidak diduga. Yang pentingnya iktibar dan pengajaran yang diterima. Mengesahkan kebesaran Allah. Di kampung kita di bawah kepompong. Lama di bawah tempurung. Budaya mengikat. Adat memerap. Resam kita setempat. Berada di tempat orang membiasakan kita untuk melihat kelainan. Memahaminya. Belajar untuk menjadi lebih baik dari dahulunya. Perubahan diri yang selalu datang bersilih ganti. Menimbunkan lapisan-lapisan pengalaman diri. Tidak pula perlu gah berbicara berjela-jela. Elok seperti padi yang penuh berisi. Tunduk malu melindung isi yang banyak gunanya. Tidak kisah dipatuk pipit kerana pipit itu juga membahagiakan. Menjadi pipit juga bahagia. Padi yang tunduk bergemal-gemal buahnya. Isi. Hasil. Gunanya. Membahagiakan petani dan manusia yang makanan rujinya beras dari padi. Darinya pelbagai ragaman makanan. Kuih-muih yang berwarna warni. Ubat-ubatan dan kosmetik. Bahan kecantikan yang entah berapa banyak dihasilkan. Hanya dari padi yang menunduk malu. Melestarikan generasi manusia berzaman-zaman.


Apabila kita tua orang mengharap kita bahagia dalam tua. Orang hanya banyak bertanya sihatnya. Berapa senarai cucu. Anak-anak kerja apa. Persaraan dalam kerjaya selalunya menjadi penamat dalam banyak hal. Berehat setelah berpuluh tahun menabur bakti. Benarkah begitu? Persaraan sebenarnya ruang waktu yang santai. Tidak terikat dengan jadual dan adat. Tetapi sebagai orang yang pernah bekerja kita masih memegang etika.  Masih berprotokol. Masih beradab sopan. Menjadi pesara sebenarnya banyak tuntutannya. Kita tidak boleh mematikan diri dari aktiviti hanya kerana sudah bersara. Di luar sana banyak yang boleh diceburi. Sayang jika persaraan membunuh segala-galanya. Pilihan dan alternatif terlalu banyak. Yang masih bernafsu besar boleh berniaga. Yang ingin berkhidmat ramai yang berpersatuan. Ramai juga yang membuat kerja amal. Yang penting diri pesara bukan kayu mati. Bukan sudah tamat usia guna. Dalam diri seorang pesara masih banyak khazanah minda dan pengalamannya yang perlu dikongsi. Yang perlu disampaikan kepada orang lain. Yang masih boleh digurui. Yang masih boleh menjadikan orang lain lebih membuka minda. Membantu yang memerlukan.



Jalan fikir tentu berbeza. Orang lama mungkin tidak bijak teknologi. Tetapi ada kelainan yang jarang ditemui. Ramai pesara hilang dari ingatan rakan dan taulan. Hilang dari senarai teman-teman. Alangkah baiknya pesara semakin menyerlah diri. Ada dalam dirinya yang tidak pernah dilihat orang lain. Ketika persaraan itulah potensi yang terpendam dapat dilahirkan. Saya sendiri hanya mampu bercerita secara santai. Membebaskan fikiran dari berfikir. Mengekspresi diri. Melihat keliling banyak yang boleh dicerita. Dulu sewaktu bertugas, saya suka bercerita. Menggarap apa sahaja tajuk yang terlintas. Tetapi yang mendengar hanya tidak seberapa. Mungkin dalam kelas yang hanya beberapa puluh orang. Terhad dan terbatas. Menterjemahkan isi hati dalam tulisan lebih senang rupanya. Kita boleh mengedit mana-mana yang tidak sesuai. Mana-mana yang perlu diperbaiki bahasanya. Kelunakannya. Intonasinya. Bercakap selalu terlajak kerana selalunya sepontan. Hanya latihan berpuluh tahun memberi keperhatinan untuk memilih perkataan, bahasa dan mengarang ayat yang dimaksudkan lenggoknya. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Hidup ini terlalu indah untuk dilepas pandang.

Monday, October 21, 2013

Pasar Tani: Mencari Nilai Taninya




Saya pernah ke pasar tani di Pittsburgh, Pensylvania, USA. Setelah kerap ke pasar tani di Ipoh, saya dapati banyak perbezaannya. Malah sekarang setelah lebih 20 tahun bermukim di Batu Pahat, Johor konsep pasar tani jauh tersasar dari namanya. Kali terakhir saya ke pasar tani saya mengalami kekecewaan yang terlalu amat. Ia menyentuh konsepnya, ragaman barangan yang dijual dan kualiti yang tidak terurus. Mungkin pengurusannya terabai sesuatu yang dasar. Kadang-kadang perkara kecil menjadi besar ertinya. Perlu mengenal nilainya yang hakiki. Jika tidak diteropong dengan mata hati tentulah tumpul hati kerana tidak dapat melihat keindahannya. Kerana itu ramai orang mengabaikan yang kecil. Yang dilihat tidak signifikan pada mata kasar. Tetapi itulah yang menentukan sesuatu yang besar.


Begitulah pasar tani. Dua istilah biasa. Pasar dan tani. Rasanya ramai yang mengetahui maksud pasar. Kepada orang biasa tentulah tempat ramai orang berniaga. Macam-macam yang diniagakan. Dari segi istilah ekonomi, pasar adalah keadaan yang menemukan antara pemasar dan pengguna. Bagaimana dengan tani. Keluarlah istilah-istilah petani, hasil tani, pertanian dan perniagaan tani. Kita fokus kepada tani dan petani. Apabila kita bicarakan tentang pasar tani gambaran umum yang kita faham ialah pasar yang menghimpunkan petani-petani. Pelanggannya pula mencari hasil tani yang tulen. Datang dari tanah-tanah yang tidak luas. Datangnya tanaman kontan. Bukan yang dikomersilkan secara aggreget. Bukan besar-besaran. Bukan berskala besar. Petani yang bertani, hasil taninya apabila berlebihan dijual di pasar tani.

Di US saya melihat sesuatu yang lebih tulen. Petani menjual kobis, bunga kobis, kerot dan buah-buahan di sekeliling rumah seperti epal dan oren. Atau mungkin pear. Pada suatu ketika seorang sahabat membeli cili api. Bukan yang selonggok-selonggok atau yang perlu ditimbang dengan kiraan kilogram. Yang dijual –pokok-pokok cili api. Buahnya belum dipetik. Pokoknya dicabut dan dijual sekali dengan buahnya. Pembeli membeli sepokok atau beberapa pokok cili. Petik sendiri buahnya untuk dibawa balik. Maksudnya petani itu tulen. Hasil dari petani yang tulen. Suatu ketika seorang sahabat yang lain membeli sebarrel epal. Kira-kira 15 kilogram. Segar dan baru dipetik dari pokonya.

Namanya pasar tani. Petani membawa hasil tani mereka sendiri untuk dikongsi dengan orang lain. Terus dari ladang. Tanpa orang tengah. Tanpa jadual yang melewatkan. Jika kita kaji sedikit lebih mendalam sebenarnya pasar tani di US lebih kepada ekspresi diri. Mencipta keunikannya yang tersendiri. Lebih kepada hobi. Bacalah tetang falsafah barat. Pasti ditemui tentang pentingnya nilai seni (aesthetic value). Seni bukan sahaja mengenai lukisan atau kraf. Bukan juga nyanyian dan muzik. Bukan tentang binaan sahaja. Seni dalam mengekspresi diri. Tunjuk kearifan bertani. Mencuba berbagai kaedah. Membina sistem yang wajar dengan saiz ladang yang kecil. Mencipta kepelbagaian hasil tani secara kecil-kecilan. Pengguna sukakan kelainan yang dihasilkan. Ada pelanggannya yang tersendiri. Mereka datang berduyun-duyun mencari kelainan hasil tani. Bukan yang komersil. Yang komersil banyak di pasaraya. Atau di pasar sayu yang sebenar. Atau di kedai-kedai runcit. Cuba kita lihat siatuasinya di Malaysia. Banyak barang yang dijual sebenarnya bukan hasil tani yang datang terus dari ladang. Bukan dari petani kecil di ceruk kampung. Bukan diangkut dari ladang.

Rasanya banyak kebaikannya pasar tani. Lain tempat lain ragaman barangan yang dijual. Umpamanya, di Ipoh biasa dijual lemang dan rending tuk. Di Batu Pahat umpamanya, biasa dijual lontong dan lodeh. Sayur kampung rasanya banyak persamaan. Di sana tedapat pucuk paku pakis yang berwarna merah. Ada pula pucuk paku perak. Tidak lupa pula pucuk ubi, pucuk manis, jantung pisang, petai dan jering, pegaga dan ulam raja, kesum dan selom, petola dan peria, ubi dan keledek, pisang dan nanas. Ada sesuatu yang hilang. Kuantiti mungkin mudah diatasi. Tanam banyak-banyak, insyaAllah banyaklah hasilnya. Yang sukar ialah kualitinya. Di sinilah letak kesukatan menilai pasar tani. Suatu ketika saya hendak membeli pisang. Pisang yang menjadi kesukaan saya ialah pisang lilin dan pisang nipah. Pisang kapok kata orang jawa. Pilihan pertama pisang lilin. Pilihan kedua pisang nipah. Cari pisang lilin tidak. Jawapan peniaga semuanya negatif. Kerana itu saya mencari pisang nipah. Berlegar-legar lagi. Yang saya temui yang berisi putih. Bukan yang berisi merah. Yang putih kurang manis. Yang merah lebih manis. Itu baru warnanya.


Itu belum saiznya. Ketrampilan pisang itu sendiri. Belum lagi kesegarannya. Senarionya mungkin melemaskan perasaan. Saiznya tidak memikat. Kecil,  nipis dan tidak berpa berisi. Apatah lagi jika ianya pisang pada sikat di hujung. Yang pangkal sudah dibeli orang. Banyak pula yang masak kerana diperam dengan karbait. Tidak semula jadi atau masak di pokok. Ada pula yang agak muda. Masak juga dengan karbait. Paling merumitkan ialah apabila pisang itu kusam, kotor, lebam dan tidka dilihat menyelerakan. Baru cerita pisang. Bagaimana dengan ubi kayu, keledek, keladi dan buah-buahan lain. Maaflah. Orang kita tidka mahir dalam konsep kualiti. Sepatutnya masalah gred sudah lama dikuasai. Ia ada kaitan dengan saiz dan warna. Setiap barang berada pada pakej yang unik. I aada kaitan dengan harga, tarikan dan promosi. Lain warna lain harganya. Lain saiz lain harganya.



Kelangsungan pasar tani harus ada inovasinya yang tersendiri. Pengurusan pasar tani, FAMA, tidak harus berpuashati dengan status quo yang ada. Pasar tani belum sepenuhnya nasional. Maka perlu ada usaha penambahbaikan. Sudah sampai masanya pasar tani berkonsep global. Sarwajagat. Banyak makanan kita yang memiliki nilai eksport. Penyelidikan, eksperimen dan usaha yang besar perlu dilakukan untuk menaikkan prestasi pasar tani. Jangan terlalu lokal hingga pasar tani menjadi jumud dan tepu. Senerio yang sama sepanjang zaman. Menjemukan. Jika isu kualiti dapat diatasi, pasar tani bukan untuk orang kampung. Ia menjadi pasar yang lebih global. Orang kampung bukan berpesta di pasarnya sendiri tetapi menjadikan pasarnya merentas benua.