Monday, October 21, 2013

Pasar Tani: Mencari Nilai Taninya




Saya pernah ke pasar tani di Pittsburgh, Pensylvania, USA. Setelah kerap ke pasar tani di Ipoh, saya dapati banyak perbezaannya. Malah sekarang setelah lebih 20 tahun bermukim di Batu Pahat, Johor konsep pasar tani jauh tersasar dari namanya. Kali terakhir saya ke pasar tani saya mengalami kekecewaan yang terlalu amat. Ia menyentuh konsepnya, ragaman barangan yang dijual dan kualiti yang tidak terurus. Mungkin pengurusannya terabai sesuatu yang dasar. Kadang-kadang perkara kecil menjadi besar ertinya. Perlu mengenal nilainya yang hakiki. Jika tidak diteropong dengan mata hati tentulah tumpul hati kerana tidak dapat melihat keindahannya. Kerana itu ramai orang mengabaikan yang kecil. Yang dilihat tidak signifikan pada mata kasar. Tetapi itulah yang menentukan sesuatu yang besar.


Begitulah pasar tani. Dua istilah biasa. Pasar dan tani. Rasanya ramai yang mengetahui maksud pasar. Kepada orang biasa tentulah tempat ramai orang berniaga. Macam-macam yang diniagakan. Dari segi istilah ekonomi, pasar adalah keadaan yang menemukan antara pemasar dan pengguna. Bagaimana dengan tani. Keluarlah istilah-istilah petani, hasil tani, pertanian dan perniagaan tani. Kita fokus kepada tani dan petani. Apabila kita bicarakan tentang pasar tani gambaran umum yang kita faham ialah pasar yang menghimpunkan petani-petani. Pelanggannya pula mencari hasil tani yang tulen. Datang dari tanah-tanah yang tidak luas. Datangnya tanaman kontan. Bukan yang dikomersilkan secara aggreget. Bukan besar-besaran. Bukan berskala besar. Petani yang bertani, hasil taninya apabila berlebihan dijual di pasar tani.

Di US saya melihat sesuatu yang lebih tulen. Petani menjual kobis, bunga kobis, kerot dan buah-buahan di sekeliling rumah seperti epal dan oren. Atau mungkin pear. Pada suatu ketika seorang sahabat membeli cili api. Bukan yang selonggok-selonggok atau yang perlu ditimbang dengan kiraan kilogram. Yang dijual –pokok-pokok cili api. Buahnya belum dipetik. Pokoknya dicabut dan dijual sekali dengan buahnya. Pembeli membeli sepokok atau beberapa pokok cili. Petik sendiri buahnya untuk dibawa balik. Maksudnya petani itu tulen. Hasil dari petani yang tulen. Suatu ketika seorang sahabat yang lain membeli sebarrel epal. Kira-kira 15 kilogram. Segar dan baru dipetik dari pokonya.

Namanya pasar tani. Petani membawa hasil tani mereka sendiri untuk dikongsi dengan orang lain. Terus dari ladang. Tanpa orang tengah. Tanpa jadual yang melewatkan. Jika kita kaji sedikit lebih mendalam sebenarnya pasar tani di US lebih kepada ekspresi diri. Mencipta keunikannya yang tersendiri. Lebih kepada hobi. Bacalah tetang falsafah barat. Pasti ditemui tentang pentingnya nilai seni (aesthetic value). Seni bukan sahaja mengenai lukisan atau kraf. Bukan juga nyanyian dan muzik. Bukan tentang binaan sahaja. Seni dalam mengekspresi diri. Tunjuk kearifan bertani. Mencuba berbagai kaedah. Membina sistem yang wajar dengan saiz ladang yang kecil. Mencipta kepelbagaian hasil tani secara kecil-kecilan. Pengguna sukakan kelainan yang dihasilkan. Ada pelanggannya yang tersendiri. Mereka datang berduyun-duyun mencari kelainan hasil tani. Bukan yang komersil. Yang komersil banyak di pasaraya. Atau di pasar sayu yang sebenar. Atau di kedai-kedai runcit. Cuba kita lihat siatuasinya di Malaysia. Banyak barang yang dijual sebenarnya bukan hasil tani yang datang terus dari ladang. Bukan dari petani kecil di ceruk kampung. Bukan diangkut dari ladang.

Rasanya banyak kebaikannya pasar tani. Lain tempat lain ragaman barangan yang dijual. Umpamanya, di Ipoh biasa dijual lemang dan rending tuk. Di Batu Pahat umpamanya, biasa dijual lontong dan lodeh. Sayur kampung rasanya banyak persamaan. Di sana tedapat pucuk paku pakis yang berwarna merah. Ada pula pucuk paku perak. Tidak lupa pula pucuk ubi, pucuk manis, jantung pisang, petai dan jering, pegaga dan ulam raja, kesum dan selom, petola dan peria, ubi dan keledek, pisang dan nanas. Ada sesuatu yang hilang. Kuantiti mungkin mudah diatasi. Tanam banyak-banyak, insyaAllah banyaklah hasilnya. Yang sukar ialah kualitinya. Di sinilah letak kesukatan menilai pasar tani. Suatu ketika saya hendak membeli pisang. Pisang yang menjadi kesukaan saya ialah pisang lilin dan pisang nipah. Pisang kapok kata orang jawa. Pilihan pertama pisang lilin. Pilihan kedua pisang nipah. Cari pisang lilin tidak. Jawapan peniaga semuanya negatif. Kerana itu saya mencari pisang nipah. Berlegar-legar lagi. Yang saya temui yang berisi putih. Bukan yang berisi merah. Yang putih kurang manis. Yang merah lebih manis. Itu baru warnanya.


Itu belum saiznya. Ketrampilan pisang itu sendiri. Belum lagi kesegarannya. Senarionya mungkin melemaskan perasaan. Saiznya tidak memikat. Kecil,  nipis dan tidak berpa berisi. Apatah lagi jika ianya pisang pada sikat di hujung. Yang pangkal sudah dibeli orang. Banyak pula yang masak kerana diperam dengan karbait. Tidak semula jadi atau masak di pokok. Ada pula yang agak muda. Masak juga dengan karbait. Paling merumitkan ialah apabila pisang itu kusam, kotor, lebam dan tidka dilihat menyelerakan. Baru cerita pisang. Bagaimana dengan ubi kayu, keledek, keladi dan buah-buahan lain. Maaflah. Orang kita tidka mahir dalam konsep kualiti. Sepatutnya masalah gred sudah lama dikuasai. Ia ada kaitan dengan saiz dan warna. Setiap barang berada pada pakej yang unik. I aada kaitan dengan harga, tarikan dan promosi. Lain warna lain harganya. Lain saiz lain harganya.



Kelangsungan pasar tani harus ada inovasinya yang tersendiri. Pengurusan pasar tani, FAMA, tidak harus berpuashati dengan status quo yang ada. Pasar tani belum sepenuhnya nasional. Maka perlu ada usaha penambahbaikan. Sudah sampai masanya pasar tani berkonsep global. Sarwajagat. Banyak makanan kita yang memiliki nilai eksport. Penyelidikan, eksperimen dan usaha yang besar perlu dilakukan untuk menaikkan prestasi pasar tani. Jangan terlalu lokal hingga pasar tani menjadi jumud dan tepu. Senerio yang sama sepanjang zaman. Menjemukan. Jika isu kualiti dapat diatasi, pasar tani bukan untuk orang kampung. Ia menjadi pasar yang lebih global. Orang kampung bukan berpesta di pasarnya sendiri tetapi menjadikan pasarnya merentas benua.  

1 comment: