Sunday, July 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Hakikat Luas Yang Sempit


Di negara kita tanah bukan lagi komoditi yang telalu mahal. Bukan pula terlalu langka. Masih banyak. Mereka yang memiliki tanah masih ramai. Kerana itu banyak rumah yang dibuat di atas tanah sendiri yang cukup lebar, maka banyak rumah yang hanya setingkat sahaja. Walaupun banyak juga yang dua tingkat tetapi rumah persendirian yang tiga tingkat atau lebih sangat sedikit. Di Lembah Klang rumah murah dalam bentuk rumah pangsa. Di kawasan lain di seluruh negara rumah murah hanya setingkat sahaja. Tiada isu tanah. Masih banyak walaupun di bandar besar. Pihak perancang bandar sahaja yang perlu menentukan rekabentuk sesebuah bandar pada masa terdekat dan pada masa hadapan. Tanpa perancangan yang rapi tentu tanah semakin langka. Semakin mahal. Semakin sukar membina perumahan untuk penduduk. Walaupun tanah masih luas perancangan masa hadapan seharusnya memikirkan unjuran pertambahan penduduk, kepesatan pembangunan bandar-bandar dan perkembangan ekonomi. Zaman bermewah-mewah menggunakan tanah sewajarnya difikirkan semula. Sudah sampai masanya rumah ditinggikan ke atas dan bukan dibesarkan setingkat atau dua tingkat sahaja. Hatta mereka yang memiliki tanah sekalipun harus mula memikirkan untuk membina rumah yang bertingkat-tingkat.
Tanah yang dioptimumkan penggunaannya adalah lebih produktif. Kos membina rumah semakin murah. Tanah yang sedikit dapat menampung banyak rumah. Kepadatan penduduknnya difikirkan secara berintegrasi. Kadar kemampuan memiliki rumah yang lebih selesa dapat dirancang. Dalam pada itu pemimpin seharusnya memikirkan penyediaan rumah mampu beli. Bukan rumah mampu untung kepada pemaju. Jadikan perumahan agenda membina bangsa bukan membina keuntungan peribadi. Di Kaherah yang penduduknya seramai kira-kira 30 juta orang perumahannya difikirkan meninggi ke atas. Bukan melebar dan meluas. Bandaraya Kaherah yang ada sekarang sudah cukup luas untuk 30 juta orang. Perumahan yang dibina sekurang-kurangnya empat tingkat. Banyak yang lima atau enam tingkat. Konsep ini harus mula diperundangkan di Malaysia. Masa hadapan kita bukan terlalu jauh. Anak cucu kita tidak akan mewah seperti kita. Maksudnya tanah bukan komoditi yang melimpah banyaknya. Jika tidak, kawasan pinggir bandar akan diserap menjadi kawasan bandar. Itu bukan opsen yang terbaik.
 Kita harus fikirkan aspek sosiologi orang Melayu pada keseluruhannya. Berani saya katakan bahawa orang Melayu belum mampu membandarkan diri mereka pada keselurhannya. Kawasan pinggir bandar masih perlu dipertahankan. Bukan warisan bahkan juga survival bangsa dan generasi akan datang. Keghairahan ekonomi yang bersifat sementara tidak seharusnya mengabui mata. Tidak seharusnya memejamkan penglihatan. Kita harus melihat masa hadapan dengan telus, jelas dan jauh ke hadapan. Perancangan berintegrasi ekonomi-sosial-budaya-politik harus disegerakan. Berbagai jenis kertas boleh dikerangkakan dari sekarang untuk tatapan, cadngan balas dan pemahaman nasional. Bukan bersifat merawat seperti sekarang. Kerangka yang seperlunya mestilah bersifat mencegah atau ramalan jangkapanjang. Perumahan bukan masalah semasa tetapi masalah berpanjangan selagi penduduk bertambah. Selagi ekonomi berkembang. Selagi ramai orang yang menumpu hidup di bandar.
Di Mesir tumpuan penduduknya di sepanjang tebing Sungai Nil. Kaherah kira-kira 4 jam dari muara Sungai Nil. Di muaranya terletak bandaraya Iskandariah. Kaherah dikelilingi padang pasir Sahara yang sangat luas. Padang pasir terbesar di dunia. Terletak di utara Afrika. Merentas hingga ke Afrika Tengah. Kaherah di atas tanah rata. Bukit boleh dibilang. Gunung memang tidak ada. Penduduk di sini biasa dengan ribut debu. Debu di sini bukan debu tanah tetapi debu pasir. Halus tetapi memang pasir. Bagi yang rajin tiada masalah. Bagi yang kurang rajinnya rumah banyak kotornya dengan debu. Bagi yang langsung tidak peduli dengan kebersihan memang dahsyat keadaan rumah-rumah mereka. Ini bukan cerita di luar rumah. Ini cerita di dalam rumah. Di luar rumah keadaannya tidak perlu diceritakan. Semua dinding kelam, kusam, kelabu, gelap dan hitam. Debu sentiasa tebal. Orang-orang di sini hanya memikirkan situasi dalam rumah mereka. Itupun jika mereka perihatin dengan kebersihan. Jika tidak boleh bayangkan rumah-rumah yang selamanya tidak dibersihkan debunya.
Ramai orang Malaysia belajar di Mesir. Mereka hidup dalam suasana debu ini. Tidak dinafikan ramai yang pembersih. Perihatin dengan kebersihan. Namun ada juga yang langsung tidak kisah. Mereka menerima debu seadanya. Menerima kotor sekotornya. Mereka hidup begelumang dengan debu dan kotor itu. Tentulah tidak manis jika mereka semua bakal orang besar di Malaysia. Ketidakperihatinan tentang kotor dibawa pulang ke Malaysia. Menjadi budaya hidup yang dianggap lumrah. Maka persepsi orang keliling menjadi sangat negatif. Lulusan luar negara yang aspek kotornya menakutkan orang lain. Ketidakselarian antara kelayakan akademik dengan amalan keperluan hidup. Jika keadaan ini dapat diseimbangkan tentu ada persepsi segar mengenai lulusan tinggi. Mengenai pegawai-pegawai yang diberi harapan tinggi. Kerja membersihkan kekotoran tidak boleh dibuat sekali sahaja. Ia seharusnya diperingkat-peringkatkan. Diulang-ulang. Diprogram dan dijadualkan. Andainya ini dapat dilakukan kebersihan bukan masalah tetapi menjadi budaya yang sememangnya tuntutan agama.
Orang USA juga memiliki persepsi yang sama. Bahagian luar rumah mereka tidak banyak diambil peduli. Ada yang dicat. Ada yang dibiarkan begitu sahaja. Ada yang sengaja diselaputi dengan tumbuhan merayap memenuhi segala dinding dan tembok. Di sesetengah tempat mereka menjaga laman rumah mereka. Rumput dipotong. Pokok bunga ditanam. Lanskap yang dirancang rapi. Kelihatan menarik dan cantik. Pada kebanyakannya yang lebih penting kepada mereka ialah bahagian dalam. Dapur dan ruang makan yang memadai. Bilik tidur yang selengkapnya. Bilik tamu yang comel kerana mereka jarang menerima tamu walaupun saudara mara sendiri. Wajib ada bilik seabgai ruang membaca, membuat rujukan, menulis dan berbincang sesama ahli keluarga. Maksudnya perpustakaan adalah wajib. Berilmu dan menambah ilmu menjadi agenda hidup kebanyakan mereka. Menjadi masyarakat yang bermaklumat. Hiasan dalaman rumah mereka menarik. Lampu yang besar dan terang jarang dipasang kecuali rumah mereka adalah bentuk mansion. Rumah besar yang di dalamnya mungkin terdapat 25 bilik tidur. Kolam renang mungkin tiga. Banyak lagi kelengkapan lain. Di rumah jenis ini terdapat lampu chandalier besar. Rumah biasa hanya dilengkapi lampu meja atau lampu berkaki. Ada konsep berjimat elektrik..
Lain tempat lain budayanya. Kita suka suasana terang benderang. Banyak pembaziran. Banyak ruang yang tidak perlu terang tetapi diterangi oleh lampu di siling atau di dinding. Lagipun budaya kita berkenduri kendara sangat kerap. Banyak majlis-majlisan seperti akikah, potong jambul, kenduri arwah, berkhatan, merisik, bertunang, bernikah kawin dan berbagai lagi majlis yang diadakan di rumah. Sekiranya kita mengubah budaya membina rumah yang tingginya ke atas maka kesemua amalan budaya perlu diubahsuai. Kenduri kendara tidak boleh kerap. Tidak boleh besar-besaran. Sekadar beberapa orang sahaja. Lagipun parkir di luar rumah sangat terhad. Menghindar dari mengganggu penghuni yang lain. Yang penting pada masa ini ialah kita perlu memikirkan supaya sistem perumahan kita tidak menjadi sesak serperti di New York, Jakarta atau  Kaherah. Masa hadapan perlu dirancang berdasarkan fakta-fakta yang ada. Merancang adalah lebih baik dari menangani kemelut masalah semasa.

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Manifestasi Kebersihan dan Imej Diri


Siapa yang tidak suka kebersihan. Kanak-kanak yang belum mumayyiz sahaja barangkali yang tidak tahu membezakan antara bersih dan kotor. Ibu bapa wajib mengajar dan mendidik kebersihan kepada anak-anak. Guru apatah lagi. Zalim jika tidak mengajar dan mendidik anak-anak didiknya menjaga kebersihan. Mengurus kebersihan. Mentadbir kebersihan. Merancang kebersihan. Menyenggara kebersihan. Menjaga alam sekitar. Arif tentang pencemaran. Uztaz dan ustzah lagilah perlu arif tentang kebersihan. Besar dan kuat kaitannya dengan agama. Toharah (kebersihan) merupakan bab awal dalam pendidikan agama. Asas ibadat. Kesucian beribadat. Beramal dalam kebersihan. Malah kebersihan antara syarat sah sesetengah ibadat seperti solat. Kebersihan banyak  maksudnya. Selain persekitaran, kebersihan juga merujuk kepada kebersihan tubuh badan secara fizikal, kerbersihan berpakaian dan kebersihan mental. Malangnya aspek kebersihan selalu menjadi isu panas dalam mendidik  ahli masyarakat. Kebersihan adalah isu global. Perbincangannya mengenainya tanpa mengira agama, budaya, iklim, masa, tempat atau apa sahaja. Ia adalah sarwajagat. Isu manusia dan kemanusiaan. Kepada kita isu agama lebih penting lagi sebab agama kita mengajar kita mengenai kaedah terbaik mejaga kebersihan.
Kebersihan bermula dari rumah. Rasanya tiada ibu bapa yang tidak melalui didikan awal untuk menjaga kebersihan dari kedua ibu bapa mereka. Ditambah pula dengan pengalaman di luar rumah, menonton TV, membaca akhbar dan majallah. Menjaga kebersihan bukan isu berat. Ianya ringan. Ada sampah kutip dan buang. Ada debu vakum. Jangan sapu. Debu itu terbang dan hinggap pada barang-barang lain terutamanya makanan dan minuman.  Mop lantai sekerap yang mungkin. Kesemuanya sebenarnya mudah. Buang sikap malas. Sikap mengambil mudah. Sikat tidak peduli. Lebih berat jika dikatakan sikap tidak bertanggungjawab. Jika kesemua itu dilakukan yang kelihatan ialah lantai yang bersih. Tanpa sepah dan debu. Suasana yang kemas dan rasa selamat dan menyihatkan terutama jika ada anak-anak kecil yang merangkak ke sana dan ke mari. Menjilat apa sahaja yang mungkin. Memegang semua barang yang boleh dicapai tangan kerana sifat mereka ingin melakukan apa sahaja. Jika keadaan rumah bersih dan suci pula ibu bapa sebenarnya menyelamatkan anak mereka dari penyakit. Mengurangkan bil perubatan. Mengurangkan rasa cemas.
Itu isu rumah secara umum. Rasanya kita pernah dengar perlunya mencari pasangan hidup yang sekufu. Ibu dan bapa hendaklah sekufu dalam hal kebersihan. Dalam hal menjaga alam sekitar. Dalam hal menjaga kedamaian rumah kediaman mereka.  Apabila ibu dan bapa pembersih orangnya maka anak-anak akan mengikut jejak sifat mereka. Apatah lagi jika mereka dididik dengan tegas tentang perlunya kebersihan.  Kebersihan sepatutnya tiada kompromi. Ibu bapa pada peringkat awalnya hendaklah memaksa anak-anak melakukan yang terbaik untuk menjaga kebersihan. Latih dan jadikan amalan kepada mereka. Hinggalah mereka merasakan itu adalah darah daing mereka. Mereka berasa bersalah jika tidak menjaga kebersihan. Beginilah, kebersihan sebenarnya gambaran diri seseorang. Gambaran imej diri. Gambaran pendidikan seseorang. Gambaran harga diri. Gambaran maruah. Gambaran aib diri. Gambaran nama baik. Mereka yang pembersih berada di hujung tahap kualiti yang tinggi. Sebaliknya mereka yang tidak pedulikan kebersihan berada di paras negatif yang menghinakan.
Mari kita sorot siapa sebenarnya yang bertanggungjawab penuh tentang kebersihan.
Bil
Tempat
Tanggungjawab
1
Rumah
Ibu dan Bapa
2
Pejabat
Ketua Eksekutif
3
Sekolah
Pengetua/G. Besar
4
Masjid
Pengerusi AJK
5
Kampung
Ketua Kampung
6
Taman
Pengerusi Taman
7
Hospital
Pengarah
8
Bandaraya
Datuk Bandar
9
Bandar
S/U Majlis
10
Mukim
Penghulu
11
Daerah
Pegawai Daerah
12
Negari
MB/ K Menteri
13
Negara
PM


Setiap yang namanya ketua pada mana-mana peringkat bertanggungjawab tentang kebersihan persekitarannya. Di bahu orang-orang yang dinamakan ketua letaknya segala usaha menjaga dan mengekalkan kebersihan. Kadang-kadang kita temui orang-orang yang terlalu bergantung kepada orang lain untuk menjaga kebersihan. Apabila hidup bersama atau berkelompok baru diketahui siapa yang pembersih dan suka kebersihan dan siapa pula yang pengotor. Yang tidak perihatin dengan kebersihan. Kadang-kadang ibu dan bapa banyak juga salahnya. Anak-anak tidak dididik dan tidak digesa dengan tegas untuk mengamalkan kebersihan. Malah ada anak-anak yang dengan selamba menyatakan yang ibunya tidak benarkan ia menyapu sampah. Tidak benarkan memasak. Tidak benarkan membuat apa-apa selain belajar. Maksudnya semua urusan kebersihan diserahkan kepada rakan serumah. Rakan seasrama. Rakan yang lain yang ada di sekeliling mereka. Bayangkan apabila mereka berumahtangga . Merana pasangan masing-masing kerana urusan kebersihan hanya seorang sahaja yang melakukannya. Sebelah pihak sahaja. Membuang sampah yang sangat mudah dan ringanpun tidak dapat dilakukan. Malah tidak terfikir untuk melakukanya. Buklankah hal seperti ini namanya daif berfikir. Lemah akal budinya.
Pernah seorang menteri bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan kebersihan terutamanya bilik air. Dalam siri lawatannya, tempat pertama yang dilawati ialah bilik air. Ketika itu CEO paling khuatir jika bilik airnya berada dalam senarai di bawah. Tahu pula CEO ketika itu tentang maruah dirinya. Sekarang menteri itu sudah tiada.  Ramai CEO kembali tidak peduli dengan kebersihan. Orang yang bertanggungjawab jika tidak mengambil tanggungjawab maka aibnya ke mukanya sendiri. Nama baik bidang kuasanya tercemar. Sebab itu semakin tinggi jawatan seseorang semakin dekat isu kebersihan dengan jawatan mereka. Semakin tinggi kelayakan akademik seseorang semakin dekat isu kebersihan dengan kelayakan mereka. Semakin dekat seseorang dengan hal-hal agama semakin cemar maruahnya jika tidak menjaga kebersihan. Ayuhlah sama-sama kita ambil inisiatif untuk membuat pembetulan sebelum masalah kebersihan ini semakin meruncing. Ada usaha dari pihak kerajaan tetapi tidak istiqamah. Tidak berterusan. Tiada pula penguatkuasaan undang-undang yang wajib dipatuhi. Dikenakan denda yang berat  jika melanggari peraturan yang ada. Sebab itu masih ramai rakyat kita yang membuang sampah tanpa rasa bersalah.
Undang-undang anti buang sampah belum berjalan membina tabiaat sukakan kebersihan. Pendidikan di sekolah masih juga belum berjaya. Kempen kebersihan hanya majlis-majlisan. Apa lagi jika tidak kembali ke rumah. Mulakan dari rumah. Pastikan anak-anak yang keluar dari rumah sudah terdidik tentang pentingnya menjaga kebersihan. Sebanarnya saya rindukan kebersihan seperti di USA, Canada dan Jepun. Saya masih lemas tentang Malaysia, Jordan dan Mesir.  Negara lain, lain pula statusnya. Aduhai.

Bingkisan Dari Kaherah: Indah Khabar Dari Rupa


Salam saya dari Kaherah. Orang di Malaysia tentu ramai yang ingin tahu bagaimana keadaan kami di sini. Perlajar-pelajar Malaysia. Pelancong-pelancong. Peniaga-peniaga. Pengembara yang berhimpun di kotaraya besar yang namanya Kaherah. Mungkin ada yang cemas kerana kami berada di tengah-tengah pergolakan politik dunia Arab. Sebagai jawapan cukuplah saya katakan, kami berada di luar kesibukan politik tersebut. Kami hanya menonton TV. Menyerap berita yang disajikan. Apa sebenarnya yang berlaku kami tidak tahu. Hanya cebisan-cebisan berita dari mulut ke mulut sahaja yang dapat memberi input untuk menyesuaikan keadaan. Saya datang pada hari Sabtu. Pada hari Ahad perhimpunan di Medan Tahrir sudah bermula. Pada hari Isnin perhimpunan itu menjadi mega hingga hari Rabu. Banyak lagi perhimpunan di seluruh Mesir. Yang pro Mursi dan yang menentangnya. Hingga kemuncaknya pada malam semalam apabila kuasa Mursi ditanggalkan dari tubuh badannya. Lenyaplah sudah usaha-usaha untuk menjadikan Mesir lebih Islamik dari sebelumnya. Negara yang banyak punah ranahnya pada zaman Mubarak. Semangat Abduh dna Hassan al-Bana rupanya tidak cukup kuat untuk menggegar minda dan perasaan orang Mesir. Mungkin semangat Imam Syafiee dan al-Lait juga sudah dilupakan orang.
Berita yang dipaparkan di media di tanahair tentu berbeza dengan realiti yang berlaku. Media di negara kita selalunya memetik sumber berita barat seperti Reauter, FPI, CNN, BBC dan sebagainya. Dalam pemberitaan media barat tentunya mereka tidak memihak kepada Mursi. Semua kita maklum bahawa barat tidak mungkin akur dengan apa-apa yang bersifat Islam.  Manusia seperti kita selalu inginkan bukti fizikal tentang kehebatan seorang pemimpin. Ilmu pengurusan menggariskan bahawa pemimpin berbagai karekternya. Mursi jenis yang perlahan dan terlalu berhati-hati. Seperti juga orang Malaysia, orang Mesir adalah orang-orang yang kurang sabarnya. Mereka ingin melihat mercu tanda binaan Mursi. Hasil perancangan Mursi. Pada tahap yang sama Mursi masih banyak menyemak data-data lama yang tidak memberangsangkan. Kerosakan sistem yang sudah berpuluh tahun berlaku. Maka untuk membetulkannya perlu banyak berfikir.  Malangnya rakyat Mesir tidak bersama Mursi. Tidak memiliki kesabaran Mursi. Apa lagi jika ada yang mengadu domba maka kelemahan Mursi dibesar-besarkan. Mursi dianggap lemah. Terlalu lambat. Sejarah Sayyidina Ali berulang. Ali dikatakan terlalu lambat menyelesaikan isu pembunuhan Sayyidina Uthman. Mereka membunuh Ali kerana ketidaksabaran itu.
Saya tinggal di Syyi Sabi’. Kira-kira 30 minit dari lapanganterbang antarabangsa Kaherah. Di sini tiada kesibukan politik. Tetapi pada malam apabila secara rasminya Mursi digulingkan banyak bunyi mercun dan pembakaran bunga api di sekitar tempat saya tinggal. Maknanya ramai sebenarnya yang menentang Mursi sama ada secara terang-terangan atau secara senyap-senyap. Bunyi hon kereta dan tempikan serta sorakan bergema juga. Pada petang ini, Khamis 4 Julai 2013 ada berita mengatakan Mursi sudah ditangkap. Anggota Ikhwan al-Muslimin juga ramai yang ditangkap. Banyak paradox dalam politik ini. Orang politik tidak semestinya melakukan apa-apa kesalahan jenayah. Tetapi jika percaturan politik tidak menepati sasaran, masa dan peluang maka natijahnya terlalu negatif. Ada kemungkinannya pemimpin yang tidak disukai dibunuh walaupun tiada apa-apa kesalahan nyata yang memungkinkan ia perlu dibunuh. Sebaliknya pemimpin yang terlalu jelas kebobrokannya tidak pula diapa-apakan.
Tidak dapat dipastikan apa akan berlaku selepas Mursi. Interim kerajaan yang dibentuk sekarang mungkin berjaya menenangkan hati rakyat yang berkecamuk. Mungkin dalam masa yang singkat. Mungkin perlukan masa yang panjang. Setakat hari ini. Hari Khamis 4 Julai 2013, Medan Tahrir masih sesak. Mursi telah dijatuhkan. Tentangan dari Medan Tahrir berjaya menggulingkan Mursi. Namun mereka masih berhimpun. Tidak pula ada tuntutan baru atau ancaman baru. Di tempat-tempat lain kehidupan kembali normal. Perniagaan berjalan seperti biasa. Pejabat dan syarikat dibuka. Medan Tahrir sahaja yang terus bergolak.  Dua hari isteri saya gagal mendaftar di Markaz Nil. Kali pertama mereka ingin awal menutup pejabat. Hari kedua mereka mutup pejabat lebih awal. Sekadar dapat menjawab soalan ujian kemasukan sahaja. Hanya pada hari ketiga baru berjaya menjalani ujian lisan dan membaca. Orang perempuan tentu lebih terdedah kepada ancaman keselamatan. Kegawatan politik menggawatkan suasana sekeliling. Alhamdulillah hari ini semuanya kembali reda. Saki bakinya sahaja yang asih ada.
Saya sebenarnya cemas juga. Saya pindah dari Jordan untuk mencuba nasib di Kaherah. Teringat beberapa tahun lalu. Apabila kegawatan politik berlaku di era Mubarak, orang Malaysia diangkut pulang. Terbayang jika saya dan isteri diangkut pulang. Gagallah usaha dan upaya kami untuk mendalami bahasa Arab. Sepanjang hari semalam Rabu 3 Julai 2013 hati saya berdebar-debar mengenangkan kemungkinan itu. Hari ini terasa leganya. Dalam keadaaan tidak menentu apa sahaja kita fikirkan. Menelah yang terburuk. The worst situation. Apabila segalanya berlalu begitu sahaja terasa leganya. Mudah-mudahan Allah memberikan yang terbaik untuk kami di sini. Membantu kami mencapai cita-cita kami. Alhamdulillah juga anak saya dan isterinya setiap hari bersama kami. Tidak terasa sangat keterasingan di tempat orang. Makan bersama. Berjalan bersama. Dapat berbual-bual isu semasa. Sempat juga isteri saya menunjuk ajar menantunya. Diajar yang perlu tentang petua mengemas rumah. Mengemas dapur. Memasak. Melipat dan menyusun baju. Begitulah yang isteri saya turunkan kepada anak-anaknya seperti yang terdapat dalam buku Mudahnya Mengemas Rumah. Usaha anak-anak saya yang lain di tanahair. 
Kembali kepada politik kadang-kadang pemimpin hendaklah berjiwa sangat besar. Tidak takut bertindak asalkan tindakannya disokong dengan perancangan yang meyakinkan. Ada pemimpin tidak takut berhutang asalkan ada perancangan bagaimana hendak membayarnya pada masa hadapan. Ada pemimpin berani melaksanakan projek-prokej mega yang disokong dengan fakta-fakta keperluannya kepada bangsa dan negara. Rakyat nampaknya sukakan pemimpin jenis ini. Mereka menolak pemimpin yang lembam, lambat, terlalu berhati-hati. Rupanya intipati politik di luar jangkaan biasa. Hanya mereka yang berjiwa politik, world viewnya politik sahaja berjaya menjadai ahli politik yang lama jangkamasanya. Jika tidak ada political acuteness pemimpin selalunya gagal di pertengahan jalan politiknya. Maka political zest sangat perlu. Political will juga perlu kuat. Politik bukan pentadbiran biasa. Bukan pengurusan sebuah organisasi yang mengira keuntungan di akhir tahun operasinya. Yang difikirkan ialah political gain pada apa sahaja tindakanya. Pemimpin yang gagal merebut peluang politik ini tentu diketepikan. Politik ada kasih sayang. Tetapi politik bukan berkasih sayang. Ia keperluan mentadbir sebuah negara. Di dalamnya manusia yang berbagai aspirasi politiknya tetapi disatukan dengan kebijaksanaan kepimpinannya. Tentangan adalah biaasa. Yang penting yang menentang itupun secara tidak sedar menikmati apa-apa yang dilaksanakan pemimpin. Tentangan hanya politik dan politiking. Sebab itu pemimpin politik perlu mengasah kemahiran berpolitik mereka. Populariti bukan penentu kejayaan politik yang berpanjangan. Rakyat ingin melihat bukti kejayaan kepimpinan dengan segera. Mercu tanda fizilal yang dapat dilihat dengan mata. Dipegang dengan tangan. Maujud bukan setakat perancangan sahaja.
Yang dapat saya gambarkan ialah walaupun politik di Mesir bergolak kehidupan bertjalan seperti biasa. Seolah-olahnya  tiada apa-apa yang berlaku. Di luar Medan Tahrir semuanya normal. Di situ sahaja segalany abermula. Berakhirny abelum tahun. Hingga hari Jumaat 4 Julai Medan itu masih ramai penghuninya.

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Suasana Yang Panas


Hari ini Rabu 3 Julai 2013. Sudah tiga hari perhimpunan-perhimpunan yang pro dan kontra kepada Presiden Dr. Mohammad Mursi berhimpunan untuk menyatakan pendapat mereka masing-masing. Suasana panas ini dirsakan di seluruh bandar-bandar besar di seluruh Mesir. Di setiap bandar tersebut dua perhimpunan berlaku. Yang pro dan kontra. Setakat ini tiada pertembungan antara mereka. Setelah ancaman selama 48 jam berlaku tidak pasti apa lagi yang akan berlaku. Sebagai orang baru saya sekadar memerhati. Cuba memahami apa yang berlaku. Cebisan-cebisan maklumat yang saya perolehi menyatakan bahawa mereka yang tidak sukakan Mursi adalah mereka yang sama menentang Mubarak. Pada logik akal mereka yang memenangi pilihanraya presiden. Ketentuan Allah memenangkan Mursi dan Ikhwan al-Muslimin. Maka suasana tenang yang diharapkan bergolak semula. Benarlah kata ahli falsafah.  Kuasa mencandui pemikiran manusia. Berbeza pada zamana sahabat dahulu. Masing-masing menolak apabila dicalonkan untuk menjadi khalifah atau jawatan-jawatan lain. Malah yang memohon untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu juga ditolak permohonannya. Pemimpin dianggap lelaki terbaik di kalangan mereka yang ada. Maka kepada pemimpin tanggungjawab di bahu mereka sangat menakutkan. Takut tidak tertanggung untuk menjawabnya nanti di akhirat.
Andainya kita menjelajah ke negara-negara Islam yang lain banyak yang perlu diperhati. Benarlah sabda Rasulullah, pada akhir zaman nanti umat Islam adalah seperti buih. Banyak, mengelembung, berisi udara, mudah pecah walaupun ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa. Tentulah  maksudnya banyak tetapi terlalu lemah. Terlalu, terlalu lemah. Di negara-negara Islam ramai umatnya yang digodam hatinya supaya panas. Jika yang tidak disukai itu kerana hak, tidaklah menjadi begitu banyak halnya. Seperti di Turki umpamanya, mereka berdemonstrasi kerana meminta diberi kebebasan untuk meminum arak. Tentulah ini bukan hak. Bukan tuntutan yang hak. Bukan mencari kebenaran yang diredhai Allah. Kita perlu menilai semula kedudukan diri kita sebagai umat Islam. Apa sebenarnya yang kita inginkan. Umat dahulu mencari kenikmatan akhirat. Yang abadan abada. Lamanya infiniti. Tiada pengakhiran. Nikmat dan nikmat yang memanjang selama-lamanya.
Manusia banyak menuntut hak mereka. Menuntut berbagai keistimewaan. Menuntut yang kadang-kadang melebihi keperluan. Melebihi keupayaaan untuk menerimanya. Melebihi kelayakan. Melebihi dari apa yang sewajarnya. Apabila diberi tidak pula tahu apa yang seeloknya dilakukan untuk membahagiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Setiap umat bertanggungjawab teradap persekitarannya. Bukan dirinya sahaja. Bukan saudara maranya sahaja. Bukan sahabat-sahabatnya sahaja. Dalam apa-apa perjuangan sekalipun diri sendiri bukan penentu. Bukan yang utama. Diri hanya alat untuk menyuluh yang lain. Menyokong yang rebah. Menegak yang condong. Membangun yang rebah. Terlalu banyak masalah umat. Di Kasymir umatnya sangat tertekan kerana masih gagal berkerajaan sendiri. Di Syria umatnya masih berjuang mencari yang terbaik. Di Mesir pula umatnya masih mencari yang terbaik untuk diri mereka semua.
Mungkin kita perlu fikirkan semula diri kita. Apabila kita menjadi Islam seluruh kehidupan kita untuk Islam. Perjuangan kita untuk lslam. Hidup dan mati kita untuk Islam. Seluruh jiwa raga kita untuk Islam. Tiada pengecualian. Tanpa kecuali. Cuma yang kita hadapi sekarang ini kelihatan bukan hakikat itu. Perjuangan bukan lagi menegakkan yang hak. Banyak golongan yang apabila diteliti sebenarnya bukan yang memperjuangkan Islam. Orang Islam yang perjuangannya bukan ke arah yang benar-benar Islam. Maka ada yang melibatkan mereka yang bebas berfikir. Tidak mengikat diri mereka dengan perjuangan Islam yang sebenarnya. Sukar menamakan mereka. Ada liberal. Ada sekular. Bermacam-macam perjuangan yang sukar ditentukan matlamatnya. Walau bagaimanapun setiap perjuangan ada pemimpinnya. Pemimpin itu yang sebenarnya merencanakan matlamat perjuangan kelompoknya. Ada unsur-unsur dirinya dalam perjuangan itu. Mungkin tersurat dan mungkin juga tersirat. Ketajaman mentafsir sahaja yang dapat mengenalpasti bentuk matlamat tersebut.
Rakyat banyak sebenarnya hanya juak-juak yang digerakkan. Sekiranya mereka tidak arif dengan perjuangan sebenarnya maka mereka menjadi buih-buih yang terlalu mudah ditiup angin. Bergerak mengikut arus. Mengikut angin. Yang ditakuti mereka digerakkan mengikut tiupan nafsu manusia. Yang digerakkan tidak tahu ke arah mana sebenarnya pergerakan itu. Sampai di mana akhirnya. Apa natijah yang boleh memberi keuntungan berganda. Kelebihan yang menjanjikan kebahagiaan. Kesenangan kehidupan yang selalu tidak  menentu. Pada akhir zaman ini kesemuanya tidak ada jaminan ketentuan yang pasti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kita secara individu seharusnya membina perjuangan ke arah Islam. Kita orang Islam. Maka perjuangan kita tentulah Islam. Kita diperintah supaya patuh kepada Allah. Meninggalkan apa-apa yang bukan hak.    
Mengimbas keadaan di Mesir saya menjadi cemas kerana Mursi sebenarnya menjadi harapan ramai orang Arab di negara Arab yang lain. Malangnya dia tidak diberi harapan oleh orang Mesir sendiri. Ada beberapa aspek yang menjadi harapan orang Arab pada umumnya. Di utara iaitu di Turki, Erdogan sudah semakin kukuh kedudukannya. Ekonomi Turki melonjak. Dari sebuah negara yang banyak hutangnya Turki bebas dari hutang. Nilai wangnya meningkat. Malah Turki mampu membantu negara lain yang memerlukan bantuan. Israel menjadi takut dengan kekuatan Turki. Mesir diharap menyaingi Turki. Kuat di sebelah barat. Menyepit Israel di tengah-tengah. Maksudnya Turki menekan dari utara sementara Mesir menghimpit dari barat. Terusan Suez dirancang untuk dibangunkan. Memberi kekuatan laluan perdagangan dari barat dan timjur. Membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Mesir. Kesemua itu tidak memberi erti jika perjuangan kepimpinan tidak diselarikan dengan perjuangan rakyat kebanyakan yang tanpa arah.   
Malam ini Rabu 3 Julai 2013, kira-kir ajam 9.00 malam tentera mengambillalih pemerintahan negara Mesir. Tentera akan menerajui pemerintahan sementara. Pilihanraya presiden akan diawalkan dari biasa. Mudah-mudahan ada kebaikan dari semua peristiwa ini.

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Kelangsungan Impian Hati


Dua hari berada di Kaherah sudah terasa lama. Hari lebih panjang dari malam. Maghrib pukul 7.00 malam tetapi Subuh pukul 3.00 pagi. Malam hanya lapan jam sedangkan siangnya 16 jam. Begitulah bila kita berpindah dari satu tempat ke satu tempat kita mengalami hal-hal yang berbeza. Waktu boleh juga berbeza kerana negara-negara di utara sedang berada pada permulaan musim panas. Negara-negara di selatan pula sedang mengalami musim sejuk. Sudah biasa mendengar azan di Amman yang serentak dan oleh seorang muazzin sahaja. Di Kaherah setiap masjid muazzinnya berlainan. Sepertilah di Malaysia. Azan bertingkah suara, kuatnya, lagunya dan kelunakan muazzinnya. Dari Malaysia saya ke Amman. Dari azan yang berpencar mendengar azan yang satu. Pindah ke Kaherah seperti kembali ke Malaysia. Azannya kembali berpencar. Tidak ada salahnya. Yang penting waktu solat dijaga. Solat ditunaikan. Menjadi Muslim yang taat. Cuma bila didengar yang satu ia lebih syahdunya.
Kerana tujuan datang ke Kaherah adalah untuk meneruskan pembelajaran bahasa Arab maka pada petang semalam, Isnin 1 Julai 2013 saya cuba mendaftar di Markaz Nil. Institut yang mengendalikan hanya bahasa Arab. Dimiliki dan dikendalikan oleh orang Turki. Guru-gurunya orang Arab Mesir. Pembelajarannya dari peringkat permulaan, peringkat awal hingga ke peringkat ke-10. Lazimnya meliputi selama antara 12 hingga 15 bulan.  Institut tersebut telah diasaskan sejak tahun 1998. Maknanya sudah 15 tahun. Khusus untuk mengajar mereka yang bukan berbahasa Arab. Atau mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa kedua, ketiga, keempat dan sebagainya. Setiap pemohon dikehendaki menjalani ujian yang mengandungi soalan-soalan dari peringkat permulaan, peringkat awal hingga peringkat ke-10. Jawapan dari pemohon menentukan paras selayaknya untuk memulakan pengajian di institut itu. Yang tidak tahu langsung tentu diletakkan di peringkat permulaan. Belajar menulis setiap huruf. Mengeja dan membunyikannya. Yang lain mengikut prestasi mereka. Alhamdulillah saya layak di mustawa ithnain. Peringkat kedua. Takut juga diletakkan di peringkat lebih tinggi. Takut tidak boleh mengikuti dengan baik.
Hajat saya dan isteri untuk duduk di kelas yang sama. Mustahil. Tidak mungkin. Pelajar lelaki di tempat lain dan pelajar perempuan di tempat lain. Bukan bangunan lain tetapi memang berjauhan di jalan lain. Institut berpegang kepada hukum dan peraturan. Dasar yang dipatuhi. Tidak ada percampuran dengan bukan mahram. Yang boleh ialah kelas khas. Malangnya kosnya terlalulah tinggi. Dua orang menanggung seorang guru. Kerana itu kami mengambil keputusan untuk mengikuti kelas-kelas yang biasa, bercampur dengan berbagai pelajar dari berbagai negara lain. Ahlamdulillah dikira mampu.  Bernilai RM125 sebulan seorang. Maksudnya setiap mustawa sebulan lamanya. Kami perlu merancangkan waktu yang sesuai. Mungkin sebaiknya pada waktu pagi kelas untuk isteri dan saya mengambil kelas sebelah petang. Pagi menghantar isteri hingga pulangnya. Sebelah petang saya berjalan kaki sahaja ke kelas kerana bangunan untuk pelajar lelaki kira-kira lima minit berjalan kaki. Alhamdulillah. Setelah membuat lawata  ke markaz untuk pelajar perempuan, jauhnya tidaklah seberapa. Rasanya walaupun kami sudah berusia emas, masih boleh berjalan kaki. Waktu baliknya boleh singgah di mana-mana kedai untuk membeli apa-apa keperluan rumah.
Sekilas pandang terdapat sistem yang sudah dimantapkan di Markaz Nil. Ada modul dan teks yang direncanakan setiap mustawa. Bangunan dan pejabatnya nampak kemas. Layanannya juga menggalakkan. Mudah-mudahan saya damai di sini. Menyerap semua input yang perlu. Untuk menjadikan saya berkemampuan menguasai bahasa Arab untuk masa hadapan saya. Masa di akhirat nanti tentunya. Antara kemusykilan kita ialah tidak memahami apabila membaca al-Quran. Apabila membaca hadith. Apabila membaca buku-buku karangan ulamak terdahulu. Tidak memahami bahasa Arab tinggi untuk mendalami ilmu agama yang tinggi-tinggi. Malah istilah-istilah dalam usuluddin atau fiqh dan sebagainya banyak yang kita hafal tanpa difahami kata kunci dari mana kalimah itu terjadi. Sekiranya kita mempelajari bahasa Arab banyak istilah agama yang mudah difahami. Apabila disebut sahaja sesuatu istilah kita dapat mengetahui maknanya secara literal dan secara istilah. Ini memudahkan kita memahami tuntutan agama seperti yang diperlukan. Untuk mengamalkannhya juga kita tidak terasa kekok.
Suhu di Kaherah sendang meningkat naik. Terasa panasnya pada waktu tengahari. Tetapi masih di bawah paras tertinggi. Masih boleh diharungi tanpa apa-apa kesukaran. Pada waktu malam dan pagi masih nyaman. Agak rendah suhunya. Hari ini Selasa 2 Jun 2013 baru cuba keluar membeli sayur dan buah. Memang benar di sini agak murah harganya berbanding dengan tempat lain seperti di Jordan atau di Malaysia. Sekilo anggur hanya RM2.25. Masak. Manis dan tidak berbiji. Di Amman Jordan sekilo kira-kira RM7.80. Di Jordan masih lebih murah dari di Malaysia tetapi di Kaherah hanya sepertiga dari di Jordan. InsyaAllah boleh berjimat di sini. Mengikut pelajar di sini ada masanya anggur hanya berharga kira-kira RM1.75 sekilogram pada waktu puncaknya. Saya membeli buah dan beberapa jenis sayur. Jumlahnya hanya sekitar RM11.50. Jika di Malaysia sekurang-kurangnya RM25. Kadang-kadang saya terfikir juga. Mengapa rakyat Malaysia tidak mahu menerima tawaran untuk menurunkan harga barang-barang. Supaya kehidupan kita lebih mewah. Lebih selesa. Pendapatan kita meningkatkan ekonomi keluarga dan negara. Buah anggur di Kaherah hanya RM2.25. Anggur yang sama di Malaysia sudah RM15 atau lebih. Boleh pembaca kira perbezaannya. Memanglah ada kos pengangkutan dan insuran. Ada faktor keuntungan. Jika dibeli di ladang dan pengeksport tentu harganya lebih murah. Ada masanya harga anggur sudah RM25. Sikap kita juga yang mengakibatkan harga barang-barang melambung naik.
Rumah di Kaherah agak mahal. Tetapi rasanya masih lebih murah berbanding dengan rumah di Kuala Lumpur. Saya teringat rumah sahabat saya di Bandar Sunway, rumah pangsa tiga bilik kecil, sebuah ruang tamu yang sempit dan dapur disewakan dengan harga RM760. Itu 10 tahun dahulu. Rumah yang saya sewa sekarang RM850 + 50 (air, gas, pungutan sampah dan elektrik luar) + elektrik kira-kira RM15 sebulan. Air sekitar RM10 sebulan. Gas memasak menggunakan paip seperti air RM5. Pungutan sampah RM5. Rasanya kita di Malaysia sampai matipun tidak mungkin menikmati kehidupan seperti saya kecapi sekarang. Bil air saya di Batu Pahat sekitar RM45. Gas kita sudah hampir RM30 setong sekarang. Elektrik saya kadang-kadang melambung hingga RM300. Purata cukai pintu kira-kira RM50. Itu sahaja sudah RM425. Di Kaherah semua itu hanya RM40 sahaja. Sahaja. Di Malaysia hampir 11 kali ganda. Ya! 11 kali ganda. Boleh pembaca kira matematiknya. Andainya penjimatan di Kaherah ini berlaku di Malaysia berapa banyak dapat kita jimatkan sebulan. Aduhai sebuah negara yang sedang hendak maju. Kita tanggung kosnya.

Saturday, July 6, 2013

Bingkisan dari Kaherah: Berhijrah ke Bumi Nabi Musa dan Nabi Harun



Setelah enam bulan di Jordan teringin pula berhijrah ke negara lain yang banyak keserupaannya. Sewaktu menikahkan anak pada akhir bulan Mac 2013 yang lalu banyak info yang menjadi input untuk berfikir semula. Pada asalnya saya dan isteri ingin berada di Jordan selama kira-kira dua tahun.  Jika tidak mumtaz dalam bahasa Arab, boleh membaca dan bercakap sudah cukup bagus untuk diri sendiri. Untuk menambahnilai kekurangan diri yang belum ada. Pengalaman pertama di Kaherah membuka suatu lembaran untuk muasabah diri. Menilai semula kedudukan. Membandingkan antara lebih dan kurangnya. Antara baik dan lemahnya. Antara dua ekonomi yang berbeza. Antara dua suasana persekitaran yang berbeza. Tergerak hati untuk berhijrah. Dalam banyak pertimbangan selalunya kita memikirkan tentang kos. Keduanya tentang nilai tambah yang akan diperolehi. Seterusnya impaknya dalam jangka panjang. Insan seperti kita selalu berusaha mencari yang terbaik untuk dirinya. Apabila ada hal-hal yang kurang selesa kita cari puncanya. Kita atasi segera. Buat keputusan yang bersesuaian. Yang penting natijahnnya membahagiakan. Berhijrah mencari kebaikan tambahan. Di manapun ada lebih dan ada kurangnya.

Jordan adalah sebuah negara yang agak damai. Pemerintahan beraja yang sedia ada dapat mengawal keadaan.  Namun begitu kursus yang saya ikuti agak tinggi kosnya. Pakej kedua USD500 sebulan. Atau RM1,500 seorang. Dua orang bermakna RM3,000. Pakej itu meliputi sewa rumah, pengangkutan, yuran pengajian, insuran, internet dan kad sim telefon serta tiga lawatan ke tempat bersejarah. Tempat tinggal di kawasan bandar. Tetapi jauhnya dari universiti kira-kira 45 minit. Banyak masa terbuang dalam perjalanan. Semua kos itu tidak termasuk makan dan minum dan lain-lain keperluan diri. Tambang pergi dan balik dari Malaysia juga di luar pakej tersebut. Semua kos bernisbahkan satu kepala. Bolehlah hidup tetapi terasa juga peritnya berhemah dalam berbelanja. Alhamdulillah ada bantuan dari anak-anak. Memberi keringanan dan berfikir dalam merencana kehidupan di rantau orang. Wang pencen sahaja sekadar antara cukup dengan tidak. Walau bagaimanapun enam bulan berjaya dilalui dalam debaran-debaran jangkaan.

Sekarang kami di Kaherah, Mesir. Bumi anbia yang lahir di sini nabi Musa. Seorang nabi ulul azmi. Antara nabi yang banyak cubaannya. Pengikutnya orang Israel yang banyak kerenahnya. Banyak mintanya. Banyak tuntutannya. Banyak tidak syukurnya. Banyak kufurnya. Di bumi ini nabi Musa menentang Firaun. Banyak mukjizat kepada nabi Musa. Tongkatnya yang menjadi ular besar menelan semua ular ahli sihir Firaun. Kerananya ahli-ahli sihir tersebut sujud mengakui wujudnya Allah seperti yang selalu didakwahkan nabi Musa. Mukjizat besar yang lain ialah laut yang terbelah 12 untuk dilalui oleh 12 kabilah Israel. Masing-msing dengan lorong masing-masing. Filem The Ten Commandments lakonan Charleston Heston cuba menggambarkan dinding air yang terbentuk sewaktu laut terbelah. Tahun-tahun 60an dahulu. Sewaktu lawatan saya ke Universal Studios pada tahun 1990 dahulu bas yang saya naiki melalui lorong buatan yang membelah laut. Untuk set filem mereka membina dinding kaca. Terasa juga bas itu antara air dengan air. Antara dinding dan dinding yang lain. Realiti ketika nabi Musa membawa kaumnya keluar dari Mesir tentulah lebih gawat. Lebih cemas. Tentulah iman mereka ketika itu kuat. Mengimani bahawa air itu sebenarnya memang terpisah. Memang Allah menjanjikan keselamatan dan keamanan kepada bani Israel itu.

Di bumi anbia ini Allah tenggelamkan Firaun di tengah lautan. Ketika bani Israel sudah selamat di seberang laut. Ketika debar mereka sudah reda. Tenggelamlah Firaun dengan kekufurannya. Ribuan tahun kemudian kuburnya ditemui di piramid. Memanglah Firaun terlalu zalim kepada dirinya dan kepada rakyatnya. Terutamanya kepada bani Israel. Allah rakamkan kisahnya untuk ditonton oleh manusia kemudian. Bukti bahawa al-Quran jauh mendahului catatan sejarah manusia. Menginsafkan supaya mengakui bahawa kita semua diciptakan Allah. Tiada kuasa menciptakan walau apa sekalipun kecuali dengan izin Allah. Mumminya tidak menggambarkan manusia yang gagah perkasa. Hanya kerangka yang lemah walaupun diawet. Tiada lagi kuasa menghidup atau mematikan. Dirinya sendiri tenggelam hingga Allah mematikannya tanpa dia sendiri ada apa-apa kuasa untuk menahan kuasa Allah. Sekarang ini mummi itu hanya suatu tontonan di muzium. Rakaman Allah di dalam al-Quran ribuan tahun dahulu semuanya membenarkan kenyataan. Secara mutlak orang sekarang mendapat input yang bukan kepalang.

Di bumi ini juga lahirnya nabi Harun. Adik nabi Musa. Dua beradik ini sama-sama berbantu-bantu untuk menentang Firaun. Sama-masa menyelamatkan bani Israel dari ancaman Firaun. Sama-sama menyeberang laut untuk menyelamatkan dari ancaman bahaya Firaun. Sewaktu nabi Musa menerima wahyu di Bukit Tursina, nabi Harun yang membantu mengawal karenah orang Israel. Di Petra, Jordan terdapat sebuah makam yang dikatakan makam nabi Harun. Tinggi di puncak sebuah gunung di Petra tinggalan orang Anbat. Makam nabi Musa pula berada di tempat lain. Kita tidak juga lupa akan kisah nabi Yusof yang menyelamatkan Mesir dari bahaya kemarau selama tujuh tahun. Dari Syam nabi Yusof diselamatkan ke Mesir dari ancaman saudara-saudaranya sendiri. Di bumi ini baginda menjadi menteri yang dipercayai. Tujuh tahun yang mewah dirancang supaya menyimpanan bekalan makanan untuk tujuh tahun yang menyukarkan kerana kemarau panjang.  Air yang tiada alirnya tidak memungkinkan tanam-tanaman dapat hidup yang memberikan hasilnya. Maka persediaan yang rapi dirancang supaya negara Mesir terhindar dari bencana kebuluran.

Kita tidak juga lupa kepada Qarun. Orang terkaya pada zamannya. Dia memohon untuk menjadi kaya tanpa menyedari bahawa kekayaan yang tidak diurus secara syarie menjadikannya terlalu terikat dengan keduniaan hingga melupakan Allah dan hari akhirat. Kaya tiada halangan dalam Islam. Syaratnya semua tuntutan Allah hendaklah disempurnakan. Zakat, derma, dan segala jenis infaq hendaklah ditunaikan. Barulah harta kekayaan memberi erti kepada memiliknya dan kepada mereka yang berhak menerimanya.  Dalam Islam tiada kaya untuk diri sendiri. Kekayaan adalah milik Allah. Maka segala tuntutannya hendaklah ditunaikan. Pemilikan itu bukan mutlak. Semuanya milik Allah. Jika tidak Allah mengambilnya semula. Tiada halangan kerana kesemuanya milik Allah. Kisah Qarun  dicatatkan sebagai sangat kaya. Kunci gedungnya sahaja memerlukan beberpa ekor unta. Allah azabkannya. Ditenggelamkan kesemuanya kecuali sedikit sahaja yang tertinggal. Untuk tontonan orang kemudian. Bahawa sesiapa sahaja munusia yang ingkar kepada perintah Allah dibalas dengan azab yang pedih. Ada yang dari dunia hingga akhirat.


Mesir bumi bertuah. Kisahnya panjang dan berpanjangan. Nantilah perlahan-lahan akan saya bingkiskan dari Kaherah. Untuk satu kesempatan seperti ini hanya cebisan kisah yang dapat dititipkan. Jika ada kesempatan akan saya buka lembaran yang lebih besar. Nanti sama-sama kita kongsi untuk melihat diri kita sendiri sebenarnya. Kita datang dari orang terdahulu. Sebagai orang terkemudian kita mewarisi mereka yang terdahulu. Akal dan ilmu membantu kita keluar dari kekufuran orang terdahulu. Semoga kita mendapat jalan yang diredhai Allah. Sesungguhnya bumi Mesir yang penuh sejarahnya ini akan menjadi rumah saya sekarang.  InsyaAllah akan saya garap sejarahnya. Akan saya garap keindahannya. Akan saya garap denyut nadi kehidupannya. Walaupun sekarang gamat di Mesir masih belum reda, saya bukan berada di kawasan panas. InsyaAllah Allah menghindarkan saya dan isteri dari mara bahaya.

Friday, June 28, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Berpindah Banyak Randahnya


Hanya tinggal beberapa jam lagi. Hari ini Jumaat 28 Jun 2013. InsyaAllah pagi esok saya akan berada di negara anbia. InsyaAllah bumi Mesir akan saya jejak pada pukul 6.30 pagi waktu Kaherah esok Sabtu 29 Jun 2013. Kembara berterusan selagi hayat masih ada. Banyak agenda hidup yang perlu dilestarikan untuk menambah nilai apa-apa yang bermanfaat. Kadang-kadang terpegun sendiri. Sejak berumah tangga Kaherah adalah perpindahan saya yang ke-20. Saya sendiri sejak berhenti sekolah hingga ke Mesir ini sudah 29 kali berpindah tempat tinggal. Alhamdulillah perpindahan yang berkali-kali  bukan kerana kesukaran hidup. Bukan juga kerana susah mencari nafkah. Bukan lari dari apa-apa masalah. Perpindahan kerana keperluan tugas. Kerana perkhidmatan yang panjang baktinya. Berpindah kerana kehidupan yang bertambah nilainya. Yang bertambah baiknya. Bagi yang baru belajar berpindah jangan rasa risau. Pindahlah kerana banyak pengalaman indah yang mengiringi setiap perpindahan. Walaupun pada lumrahnya ada juga pengalaman yang kurang manisnya, namun setiap perpindahan ada kenangannya yang tersendiri.
Di Malaysia saya pernah tinggal di beberapa negeri iaitu Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak. Bila banyak berpindah berlaku tambahan nilai hidup. Bertambah pengalaman sosial. Pengalaman budaya. Pengalaman nilai-nilai sosial. Pengalaman berjiran tetangga. Pengalaman kerjaya. Pengalaman membawa diri di kalangan orang-orang baru yang ada di sekeliling. Sebenarnya bahagia atau tidak apabila berpindah bergantung kepada diri kita sendiri. Di mana sekalipun kita hidup kita tetap bersama orang lain.  Yang namanya orang lain tentulah memiliki ciri-ciri dan trait yang berlainan. Ada yang sama dengan yang kita miliki. Banyak pula berlainan dari yang biasa. Maka kita belajar untuk menyesuaikan diri. Belajar untuk lulus bersama mereka. Tidak ganjil. Tidak kekok. Tidak gelabah dalam suasana baru. Suasana lain. Suasana yang menuntut kita mengubah banyak perkara tentang cara hidup. Apabila kita berasa selesa dengan sesuatu keadaan kita rasa kita tidak berupaya untuk mengubah diri supaya sesuai dengan sesuatu yang baru. Apabila kita berpindah kita terpaksa belajar untuk menyesuaikan diri. Jika tidak banyak berpindah banyaklah kita belajar untuk menyesuaikan diri. Apabila banyak berpindah maka kita berulang-ulang kali mempelajari sesuatu yang sentiasa baru.
Berpindah dalam negara hanya menyesuaikan diri dalam beberapa aspek hidup. Paling mencabar tentulah jiran tetangga. Jika jiran tetangga kita dalam kelas yang sama maka mudah kita menyesuaikan diri. Umpamanya guru berjiran dengan guru. Tetapi jika jiran tetangga berlainan taraf hidup kita perlu lebih berhemah dalam berjiran. Sebab itu dalam mencari jodoh umpamanya kita digalakkan mencari pasangan yang sama kufu. Mungkin sama tahap pendidikan. Sama tahap profesion. Sama jalan pemikiran. Manusia semuanya sama tetapi cara kita berfikir tidak sama. Kita mementingkan kebersihan umpamanya. Jiran kita mungkin tidak. Kita suka suasana damai. Jiran kita mungkin suka suasana gamat. Sebab itu sebelum memilih rumah lihat dulu bakal jiran yang akan bersama kita. Apabila hendak membeli atau membina rumah lagilah perlu banyak pertimbangan atau penyelidikan tentang jiran tetangga. Kita perlukan mereka sebagai saudara dekat. Sama-sama senang sama-sama susah. Bantu membantu. Tidak boleh yang jenis pentingkan diri sendiri. Kita susah jadinya. Kata sepakat tidak dapat dibuat. Susahnya tidak mahu ditolong. Susah kita tiada yang membantu. Hidup kita bukan selalunya senang belaka. Ada masanya datang susah yang Allah cubakan ke atas kita. Kadang-kadang jiranlah yang menjadi penawar. Saudara mara mungkin jauh di negeri lain.
Semasa bertugas dahulu saya pernah tinggal di USA selama 18 bulan. Duduk bersama isteri dan anak-anak ada pengalamnanya yang tersendiri. Saya kira banyak manisnya. Banyak indahnya.  Pengalaman berharga untuk anak-anak. Negara kedua selepas USA ialah Canada. Tiga bulan kursus pendek yang juga memberi banyak cerita indah. Di dua negara tersebut saya dapat mengecap winter yang sejuk, spring yang mewangi, summer yang cerah meghijau dan fall yang kuning memerah. Yang menyaksikan dedaun berguguran. Dalam iklim yang empat musimnya di negara yang siang itu banyak yang perlu dipelajari. Makan perlu disesuaikan. Pakaian berubah jenis dan tebalnya setiap musim. Begitu juga gaya hidup seharian yang banyak berubah. Kenangan itu banyak indahnya. Manisnya berpanjangan. Kenangan yang sukar diluput walaupun lama berpuluh tahun. Ada masanya diimbau semula. Imej-imej berlarian di mata dan perasaan. Terbayang salji putih yang timpa menimpa. Bebunga yang berbagai corak dan warnanya. Buah-buahan yang berbagai jenis dan rasanya. Puputan angin segar di musim luruh yang aduhai mencuit rasa.
Saya ke negara Jordan setelah bersara lebih 10 tahun. Masih galak untuk memperbaiki diri walaupun usia sebenarnya untuk direhatkan bagi orang lain. Mudah-mudahan menjadi motivasi kepada yang muda-muda. Khususnya anak cucu sendiri. Kepada pelajar-pelajar saya dahulu saya katakan bahawa ilmu tidak ada batas usia. Tiada batas sempadan negara. Tiada batas gender. Tiada batas profesion. Kepada orang biasa mereka selalu bertanya, belajar lagi nak buat apa. Soalan lumrah yang susah dijawab. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Konsep ini banyak silapnya. Semasa muda ilmu untuk memulakan kerjaya. Untuk memilih kerjaya yang terbaik. Setelah berkerjaya ilmu menjadi sumber untuk memperkayakan diri. Untuk memperluas skop agenda hidup. Untuk memperdalam luasnya ilmu. Untuk memperkasa diri. Untuk menyediakan diri menjadi pemimpin organisasi. Apabila sudah bersara ilmu tambahan tetap diperlukan. Banyak yang tidak kita ketahui. Banyak yang ingin kita dalami supaya kita mendapat sesuatu yang segar setiap masa. Yang lama kita pupuk dan sirami supaya tumbuh tunas-tunas ilmu dalam hidup kita. Yang baru menjadi baja dan penyegar dalam mengharungi sisa-sisa hidup yang masih berbaki. Firman Allah dalam al-Quran yang mafhumnya, sesungguhnya tidak sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.
Di Jordan pengalaman hidup saya istimewa juga. Suasana Arab. Iklimnya empat musim. Saya datang semasa winter yang mencengkam dan kini saya tinggalkan dalam suasana berganti dari spring ke summer. Teringin juga menikmati  suasana Ramadhan di Amman, Jordan. Nampaknya Ramadhan tahun ini saya di Kaherah, Mesir. InsyaAllah tunggulah nanti siri Bingkisan Dari Kaherah Mesir. Moga-moga saya ada kekuatan untuk terus menulis. Berkongsi pandangan mata. Detik perasaan. Pendengaran telinga. bauan dari hidung. Santapan-santapan rohani yang selalu merencahkan kehidupan menjadi lebih berwarna. Mengharumkan aroma. Barangkali yang paling saya rasa kehilangannya nanti ialah pepohon tin dan zaitun. Cukup banyak di Jordan. Antara dua jenis buah yang sangat banyak Allah wahyukan melalui al-Quran. Seminggu saya di Kaherah pada bulan Mac yang lalu saya terlalu rindukan pohon zaitun. Sekarang kesemua pepohon itu sedang berbuah. Buah tin sudah saya rasa yang segar. Buah zaitun masih memutik. Tidak dapat merasa yang tua. Cukup nanti sekadar makan yang sudah dijeruk. Buahnya lebat bergayutan. Hijau tirus. Tidak boleh dimakan mentah. Kelat dan pahit. Minyaknya terlalu banyak khasiatnya.
Jika dalam negara, saya berpindah dari sebuah negeri ke sebuah negeri sekarang saya berpindah dari sebuah negara ke sebuah negara. Seperti main-main. Tidak, serius sebenarnya. Pindah ke Mesir untuk menyambung visi yang belum tamat. Masih mengejar sinar dan warna yang bergemerlapan. Saya tidak mengejar pelangi. Pelangi melengkapkan santapan rohani. Menyegarkan perasaan yang cintakan kecantikan. Namun pelangi tiada zatnya. Tiada fizikalnya. Tidak dapat menjadi dalil bukti dimiliki. Kaherah hanya sejam setengah dari Amman. Perjalanan yang cukup sekadar memanaskan kerusi untuk sementara. Terasa terlalu dekat. Pengalaman yang baru. Amat baru. Berpindah negara mudah juga rupanya. Ke negara Arab yang lain budayanya. Sebuah negara Islam yang unggulnya masih banyak. Mudah-mudahan Allah permudahkan saya sewaktu di sana. Menganugerahkan saya apa yang saya hajati. Malaysia, izinkan saya berkelana dahulu. Saya akan kembali untuk terus berbakti kepadamu. InsyaAllah. Amin.