Sunday, July 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Suasana Yang Panas


Hari ini Rabu 3 Julai 2013. Sudah tiga hari perhimpunan-perhimpunan yang pro dan kontra kepada Presiden Dr. Mohammad Mursi berhimpunan untuk menyatakan pendapat mereka masing-masing. Suasana panas ini dirsakan di seluruh bandar-bandar besar di seluruh Mesir. Di setiap bandar tersebut dua perhimpunan berlaku. Yang pro dan kontra. Setakat ini tiada pertembungan antara mereka. Setelah ancaman selama 48 jam berlaku tidak pasti apa lagi yang akan berlaku. Sebagai orang baru saya sekadar memerhati. Cuba memahami apa yang berlaku. Cebisan-cebisan maklumat yang saya perolehi menyatakan bahawa mereka yang tidak sukakan Mursi adalah mereka yang sama menentang Mubarak. Pada logik akal mereka yang memenangi pilihanraya presiden. Ketentuan Allah memenangkan Mursi dan Ikhwan al-Muslimin. Maka suasana tenang yang diharapkan bergolak semula. Benarlah kata ahli falsafah.  Kuasa mencandui pemikiran manusia. Berbeza pada zamana sahabat dahulu. Masing-masing menolak apabila dicalonkan untuk menjadi khalifah atau jawatan-jawatan lain. Malah yang memohon untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu juga ditolak permohonannya. Pemimpin dianggap lelaki terbaik di kalangan mereka yang ada. Maka kepada pemimpin tanggungjawab di bahu mereka sangat menakutkan. Takut tidak tertanggung untuk menjawabnya nanti di akhirat.
Andainya kita menjelajah ke negara-negara Islam yang lain banyak yang perlu diperhati. Benarlah sabda Rasulullah, pada akhir zaman nanti umat Islam adalah seperti buih. Banyak, mengelembung, berisi udara, mudah pecah walaupun ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa. Tentulah  maksudnya banyak tetapi terlalu lemah. Terlalu, terlalu lemah. Di negara-negara Islam ramai umatnya yang digodam hatinya supaya panas. Jika yang tidak disukai itu kerana hak, tidaklah menjadi begitu banyak halnya. Seperti di Turki umpamanya, mereka berdemonstrasi kerana meminta diberi kebebasan untuk meminum arak. Tentulah ini bukan hak. Bukan tuntutan yang hak. Bukan mencari kebenaran yang diredhai Allah. Kita perlu menilai semula kedudukan diri kita sebagai umat Islam. Apa sebenarnya yang kita inginkan. Umat dahulu mencari kenikmatan akhirat. Yang abadan abada. Lamanya infiniti. Tiada pengakhiran. Nikmat dan nikmat yang memanjang selama-lamanya.
Manusia banyak menuntut hak mereka. Menuntut berbagai keistimewaan. Menuntut yang kadang-kadang melebihi keperluan. Melebihi keupayaaan untuk menerimanya. Melebihi kelayakan. Melebihi dari apa yang sewajarnya. Apabila diberi tidak pula tahu apa yang seeloknya dilakukan untuk membahagiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Setiap umat bertanggungjawab teradap persekitarannya. Bukan dirinya sahaja. Bukan saudara maranya sahaja. Bukan sahabat-sahabatnya sahaja. Dalam apa-apa perjuangan sekalipun diri sendiri bukan penentu. Bukan yang utama. Diri hanya alat untuk menyuluh yang lain. Menyokong yang rebah. Menegak yang condong. Membangun yang rebah. Terlalu banyak masalah umat. Di Kasymir umatnya sangat tertekan kerana masih gagal berkerajaan sendiri. Di Syria umatnya masih berjuang mencari yang terbaik. Di Mesir pula umatnya masih mencari yang terbaik untuk diri mereka semua.
Mungkin kita perlu fikirkan semula diri kita. Apabila kita menjadi Islam seluruh kehidupan kita untuk Islam. Perjuangan kita untuk lslam. Hidup dan mati kita untuk Islam. Seluruh jiwa raga kita untuk Islam. Tiada pengecualian. Tanpa kecuali. Cuma yang kita hadapi sekarang ini kelihatan bukan hakikat itu. Perjuangan bukan lagi menegakkan yang hak. Banyak golongan yang apabila diteliti sebenarnya bukan yang memperjuangkan Islam. Orang Islam yang perjuangannya bukan ke arah yang benar-benar Islam. Maka ada yang melibatkan mereka yang bebas berfikir. Tidak mengikat diri mereka dengan perjuangan Islam yang sebenarnya. Sukar menamakan mereka. Ada liberal. Ada sekular. Bermacam-macam perjuangan yang sukar ditentukan matlamatnya. Walau bagaimanapun setiap perjuangan ada pemimpinnya. Pemimpin itu yang sebenarnya merencanakan matlamat perjuangan kelompoknya. Ada unsur-unsur dirinya dalam perjuangan itu. Mungkin tersurat dan mungkin juga tersirat. Ketajaman mentafsir sahaja yang dapat mengenalpasti bentuk matlamat tersebut.
Rakyat banyak sebenarnya hanya juak-juak yang digerakkan. Sekiranya mereka tidak arif dengan perjuangan sebenarnya maka mereka menjadi buih-buih yang terlalu mudah ditiup angin. Bergerak mengikut arus. Mengikut angin. Yang ditakuti mereka digerakkan mengikut tiupan nafsu manusia. Yang digerakkan tidak tahu ke arah mana sebenarnya pergerakan itu. Sampai di mana akhirnya. Apa natijah yang boleh memberi keuntungan berganda. Kelebihan yang menjanjikan kebahagiaan. Kesenangan kehidupan yang selalu tidak  menentu. Pada akhir zaman ini kesemuanya tidak ada jaminan ketentuan yang pasti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kita secara individu seharusnya membina perjuangan ke arah Islam. Kita orang Islam. Maka perjuangan kita tentulah Islam. Kita diperintah supaya patuh kepada Allah. Meninggalkan apa-apa yang bukan hak.    
Mengimbas keadaan di Mesir saya menjadi cemas kerana Mursi sebenarnya menjadi harapan ramai orang Arab di negara Arab yang lain. Malangnya dia tidak diberi harapan oleh orang Mesir sendiri. Ada beberapa aspek yang menjadi harapan orang Arab pada umumnya. Di utara iaitu di Turki, Erdogan sudah semakin kukuh kedudukannya. Ekonomi Turki melonjak. Dari sebuah negara yang banyak hutangnya Turki bebas dari hutang. Nilai wangnya meningkat. Malah Turki mampu membantu negara lain yang memerlukan bantuan. Israel menjadi takut dengan kekuatan Turki. Mesir diharap menyaingi Turki. Kuat di sebelah barat. Menyepit Israel di tengah-tengah. Maksudnya Turki menekan dari utara sementara Mesir menghimpit dari barat. Terusan Suez dirancang untuk dibangunkan. Memberi kekuatan laluan perdagangan dari barat dan timjur. Membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Mesir. Kesemua itu tidak memberi erti jika perjuangan kepimpinan tidak diselarikan dengan perjuangan rakyat kebanyakan yang tanpa arah.   
Malam ini Rabu 3 Julai 2013, kira-kir ajam 9.00 malam tentera mengambillalih pemerintahan negara Mesir. Tentera akan menerajui pemerintahan sementara. Pilihanraya presiden akan diawalkan dari biasa. Mudah-mudahan ada kebaikan dari semua peristiwa ini.

No comments:

Post a Comment