Di negara kita tanah bukan lagi komoditi yang telalu mahal. Bukan pula terlalu langka. Masih banyak. Mereka yang memiliki tanah masih ramai. Kerana itu banyak rumah yang dibuat di atas tanah sendiri yang cukup lebar, maka banyak rumah yang hanya setingkat sahaja. Walaupun banyak juga yang dua tingkat tetapi rumah persendirian yang tiga tingkat atau lebih sangat sedikit. Di Lembah Klang rumah murah dalam bentuk rumah pangsa. Di kawasan lain di seluruh negara rumah murah hanya setingkat sahaja. Tiada isu tanah. Masih banyak walaupun di bandar besar. Pihak perancang bandar sahaja yang perlu menentukan rekabentuk sesebuah bandar pada masa terdekat dan pada masa hadapan. Tanpa perancangan yang rapi tentu tanah semakin langka. Semakin mahal. Semakin sukar membina perumahan untuk penduduk. Walaupun tanah masih luas perancangan masa hadapan seharusnya memikirkan unjuran pertambahan penduduk, kepesatan pembangunan bandar-bandar dan perkembangan ekonomi. Zaman bermewah-mewah menggunakan tanah sewajarnya difikirkan semula. Sudah sampai masanya rumah ditinggikan ke atas dan bukan dibesarkan setingkat atau dua tingkat sahaja. Hatta mereka yang memiliki tanah sekalipun harus mula memikirkan untuk membina rumah yang bertingkat-tingkat.
Tanah yang dioptimumkan penggunaannya adalah lebih produktif. Kos membina rumah semakin murah. Tanah yang sedikit dapat menampung banyak rumah. Kepadatan penduduknnya difikirkan secara berintegrasi. Kadar kemampuan memiliki rumah yang lebih selesa dapat dirancang. Dalam pada itu pemimpin seharusnya memikirkan penyediaan rumah mampu beli. Bukan rumah mampu untung kepada pemaju. Jadikan perumahan agenda membina bangsa bukan membina keuntungan peribadi. Di Kaherah yang penduduknya seramai kira-kira 30 juta orang perumahannya difikirkan meninggi ke atas. Bukan melebar dan meluas. Bandaraya Kaherah yang ada sekarang sudah cukup luas untuk 30 juta orang. Perumahan yang dibina sekurang-kurangnya empat tingkat. Banyak yang lima atau enam tingkat. Konsep ini harus mula diperundangkan di Malaysia. Masa hadapan kita bukan terlalu jauh. Anak cucu kita tidak akan mewah seperti kita. Maksudnya tanah bukan komoditi yang melimpah banyaknya. Jika tidak, kawasan pinggir bandar akan diserap menjadi kawasan bandar. Itu bukan opsen yang terbaik.
Kita harus fikirkan aspek sosiologi orang Melayu pada keseluruhannya. Berani saya katakan bahawa orang Melayu belum mampu membandarkan diri mereka pada keselurhannya. Kawasan pinggir bandar masih perlu dipertahankan. Bukan warisan bahkan juga survival bangsa dan generasi akan datang. Keghairahan ekonomi yang bersifat sementara tidak seharusnya mengabui mata. Tidak seharusnya memejamkan penglihatan. Kita harus melihat masa hadapan dengan telus, jelas dan jauh ke hadapan. Perancangan berintegrasi ekonomi-sosial-budaya-politik harus disegerakan. Berbagai jenis kertas boleh dikerangkakan dari sekarang untuk tatapan, cadngan balas dan pemahaman nasional. Bukan bersifat merawat seperti sekarang. Kerangka yang seperlunya mestilah bersifat mencegah atau ramalan jangkapanjang. Perumahan bukan masalah semasa tetapi masalah berpanjangan selagi penduduk bertambah. Selagi ekonomi berkembang. Selagi ramai orang yang menumpu hidup di bandar.
Di Mesir tumpuan penduduknya di sepanjang tebing Sungai Nil. Kaherah kira-kira 4 jam dari muara Sungai Nil. Di muaranya terletak bandaraya Iskandariah. Kaherah dikelilingi padang pasir Sahara yang sangat luas. Padang pasir terbesar di dunia. Terletak di utara Afrika. Merentas hingga ke Afrika Tengah. Kaherah di atas tanah rata. Bukit boleh dibilang. Gunung memang tidak ada. Penduduk di sini biasa dengan ribut debu. Debu di sini bukan debu tanah tetapi debu pasir. Halus tetapi memang pasir. Bagi yang rajin tiada masalah. Bagi yang kurang rajinnya rumah banyak kotornya dengan debu. Bagi yang langsung tidak peduli dengan kebersihan memang dahsyat keadaan rumah-rumah mereka. Ini bukan cerita di luar rumah. Ini cerita di dalam rumah. Di luar rumah keadaannya tidak perlu diceritakan. Semua dinding kelam, kusam, kelabu, gelap dan hitam. Debu sentiasa tebal. Orang-orang di sini hanya memikirkan situasi dalam rumah mereka. Itupun jika mereka perihatin dengan kebersihan. Jika tidak boleh bayangkan rumah-rumah yang selamanya tidak dibersihkan debunya.
Ramai orang Malaysia belajar di Mesir. Mereka hidup dalam suasana debu ini. Tidak dinafikan ramai yang pembersih. Perihatin dengan kebersihan. Namun ada juga yang langsung tidak kisah. Mereka menerima debu seadanya. Menerima kotor sekotornya. Mereka hidup begelumang dengan debu dan kotor itu. Tentulah tidak manis jika mereka semua bakal orang besar di Malaysia. Ketidakperihatinan tentang kotor dibawa pulang ke Malaysia. Menjadi budaya hidup yang dianggap lumrah. Maka persepsi orang keliling menjadi sangat negatif. Lulusan luar negara yang aspek kotornya menakutkan orang lain. Ketidakselarian antara kelayakan akademik dengan amalan keperluan hidup. Jika keadaan ini dapat diseimbangkan tentu ada persepsi segar mengenai lulusan tinggi. Mengenai pegawai-pegawai yang diberi harapan tinggi. Kerja membersihkan kekotoran tidak boleh dibuat sekali sahaja. Ia seharusnya diperingkat-peringkatkan. Diulang-ulang. Diprogram dan dijadualkan. Andainya ini dapat dilakukan kebersihan bukan masalah tetapi menjadi budaya yang sememangnya tuntutan agama.
Orang USA juga memiliki persepsi yang sama. Bahagian luar rumah mereka tidak banyak diambil peduli. Ada yang dicat. Ada yang dibiarkan begitu sahaja. Ada yang sengaja diselaputi dengan tumbuhan merayap memenuhi segala dinding dan tembok. Di sesetengah tempat mereka menjaga laman rumah mereka. Rumput dipotong. Pokok bunga ditanam. Lanskap yang dirancang rapi. Kelihatan menarik dan cantik. Pada kebanyakannya yang lebih penting kepada mereka ialah bahagian dalam. Dapur dan ruang makan yang memadai. Bilik tidur yang selengkapnya. Bilik tamu yang comel kerana mereka jarang menerima tamu walaupun saudara mara sendiri. Wajib ada bilik seabgai ruang membaca, membuat rujukan, menulis dan berbincang sesama ahli keluarga. Maksudnya perpustakaan adalah wajib. Berilmu dan menambah ilmu menjadi agenda hidup kebanyakan mereka. Menjadi masyarakat yang bermaklumat. Hiasan dalaman rumah mereka menarik. Lampu yang besar dan terang jarang dipasang kecuali rumah mereka adalah bentuk mansion. Rumah besar yang di dalamnya mungkin terdapat 25 bilik tidur. Kolam renang mungkin tiga. Banyak lagi kelengkapan lain. Di rumah jenis ini terdapat lampu chandalier besar. Rumah biasa hanya dilengkapi lampu meja atau lampu berkaki. Ada konsep berjimat elektrik..
Lain tempat lain budayanya. Kita suka suasana terang benderang. Banyak pembaziran. Banyak ruang yang tidak perlu terang tetapi diterangi oleh lampu di siling atau di dinding. Lagipun budaya kita berkenduri kendara sangat kerap. Banyak majlis-majlisan seperti akikah, potong jambul, kenduri arwah, berkhatan, merisik, bertunang, bernikah kawin dan berbagai lagi majlis yang diadakan di rumah. Sekiranya kita mengubah budaya membina rumah yang tingginya ke atas maka kesemua amalan budaya perlu diubahsuai. Kenduri kendara tidak boleh kerap. Tidak boleh besar-besaran. Sekadar beberapa orang sahaja. Lagipun parkir di luar rumah sangat terhad. Menghindar dari mengganggu penghuni yang lain. Yang penting pada masa ini ialah kita perlu memikirkan supaya sistem perumahan kita tidak menjadi sesak serperti di New York, Jakarta atau Kaherah. Masa hadapan perlu dirancang berdasarkan fakta-fakta yang ada. Merancang adalah lebih baik dari menangani kemelut masalah semasa.
No comments:
Post a Comment