Dua hari berada di Kaherah sudah terasa lama. Hari lebih panjang dari malam. Maghrib pukul 7.00 malam tetapi Subuh pukul 3.00 pagi. Malam hanya lapan jam sedangkan siangnya 16 jam. Begitulah bila kita berpindah dari satu tempat ke satu tempat kita mengalami hal-hal yang berbeza. Waktu boleh juga berbeza kerana negara-negara di utara sedang berada pada permulaan musim panas. Negara-negara di selatan pula sedang mengalami musim sejuk. Sudah biasa mendengar azan di Amman yang serentak dan oleh seorang muazzin sahaja. Di Kaherah setiap masjid muazzinnya berlainan. Sepertilah di Malaysia. Azan bertingkah suara, kuatnya, lagunya dan kelunakan muazzinnya. Dari Malaysia saya ke Amman. Dari azan yang berpencar mendengar azan yang satu. Pindah ke Kaherah seperti kembali ke Malaysia. Azannya kembali berpencar. Tidak ada salahnya. Yang penting waktu solat dijaga. Solat ditunaikan. Menjadi Muslim yang taat. Cuma bila didengar yang satu ia lebih syahdunya.
Kerana tujuan datang ke Kaherah adalah untuk meneruskan pembelajaran bahasa Arab maka pada petang semalam, Isnin 1 Julai 2013 saya cuba mendaftar di Markaz Nil. Institut yang mengendalikan hanya bahasa Arab. Dimiliki dan dikendalikan oleh orang Turki. Guru-gurunya orang Arab Mesir. Pembelajarannya dari peringkat permulaan, peringkat awal hingga ke peringkat ke-10. Lazimnya meliputi selama antara 12 hingga 15 bulan. Institut tersebut telah diasaskan sejak tahun 1998. Maknanya sudah 15 tahun. Khusus untuk mengajar mereka yang bukan berbahasa Arab. Atau mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa kedua, ketiga, keempat dan sebagainya. Setiap pemohon dikehendaki menjalani ujian yang mengandungi soalan-soalan dari peringkat permulaan, peringkat awal hingga peringkat ke-10. Jawapan dari pemohon menentukan paras selayaknya untuk memulakan pengajian di institut itu. Yang tidak tahu langsung tentu diletakkan di peringkat permulaan. Belajar menulis setiap huruf. Mengeja dan membunyikannya. Yang lain mengikut prestasi mereka. Alhamdulillah saya layak di mustawa ithnain. Peringkat kedua. Takut juga diletakkan di peringkat lebih tinggi. Takut tidak boleh mengikuti dengan baik.
Hajat saya dan isteri untuk duduk di kelas yang sama. Mustahil. Tidak mungkin. Pelajar lelaki di tempat lain dan pelajar perempuan di tempat lain. Bukan bangunan lain tetapi memang berjauhan di jalan lain. Institut berpegang kepada hukum dan peraturan. Dasar yang dipatuhi. Tidak ada percampuran dengan bukan mahram. Yang boleh ialah kelas khas. Malangnya kosnya terlalulah tinggi. Dua orang menanggung seorang guru. Kerana itu kami mengambil keputusan untuk mengikuti kelas-kelas yang biasa, bercampur dengan berbagai pelajar dari berbagai negara lain. Ahlamdulillah dikira mampu. Bernilai RM125 sebulan seorang. Maksudnya setiap mustawa sebulan lamanya. Kami perlu merancangkan waktu yang sesuai. Mungkin sebaiknya pada waktu pagi kelas untuk isteri dan saya mengambil kelas sebelah petang. Pagi menghantar isteri hingga pulangnya. Sebelah petang saya berjalan kaki sahaja ke kelas kerana bangunan untuk pelajar lelaki kira-kira lima minit berjalan kaki. Alhamdulillah. Setelah membuat lawata ke markaz untuk pelajar perempuan, jauhnya tidaklah seberapa. Rasanya walaupun kami sudah berusia emas, masih boleh berjalan kaki. Waktu baliknya boleh singgah di mana-mana kedai untuk membeli apa-apa keperluan rumah.
Sekilas pandang terdapat sistem yang sudah dimantapkan di Markaz Nil. Ada modul dan teks yang direncanakan setiap mustawa. Bangunan dan pejabatnya nampak kemas. Layanannya juga menggalakkan. Mudah-mudahan saya damai di sini. Menyerap semua input yang perlu. Untuk menjadikan saya berkemampuan menguasai bahasa Arab untuk masa hadapan saya. Masa di akhirat nanti tentunya. Antara kemusykilan kita ialah tidak memahami apabila membaca al-Quran. Apabila membaca hadith. Apabila membaca buku-buku karangan ulamak terdahulu. Tidak memahami bahasa Arab tinggi untuk mendalami ilmu agama yang tinggi-tinggi. Malah istilah-istilah dalam usuluddin atau fiqh dan sebagainya banyak yang kita hafal tanpa difahami kata kunci dari mana kalimah itu terjadi. Sekiranya kita mempelajari bahasa Arab banyak istilah agama yang mudah difahami. Apabila disebut sahaja sesuatu istilah kita dapat mengetahui maknanya secara literal dan secara istilah. Ini memudahkan kita memahami tuntutan agama seperti yang diperlukan. Untuk mengamalkannhya juga kita tidak terasa kekok.
Suhu di Kaherah sendang meningkat naik. Terasa panasnya pada waktu tengahari. Tetapi masih di bawah paras tertinggi. Masih boleh diharungi tanpa apa-apa kesukaran. Pada waktu malam dan pagi masih nyaman. Agak rendah suhunya. Hari ini Selasa 2 Jun 2013 baru cuba keluar membeli sayur dan buah. Memang benar di sini agak murah harganya berbanding dengan tempat lain seperti di Jordan atau di Malaysia. Sekilo anggur hanya RM2.25. Masak. Manis dan tidak berbiji. Di Amman Jordan sekilo kira-kira RM7.80. Di Jordan masih lebih murah dari di Malaysia tetapi di Kaherah hanya sepertiga dari di Jordan. InsyaAllah boleh berjimat di sini. Mengikut pelajar di sini ada masanya anggur hanya berharga kira-kira RM1.75 sekilogram pada waktu puncaknya. Saya membeli buah dan beberapa jenis sayur. Jumlahnya hanya sekitar RM11.50. Jika di Malaysia sekurang-kurangnya RM25. Kadang-kadang saya terfikir juga. Mengapa rakyat Malaysia tidak mahu menerima tawaran untuk menurunkan harga barang-barang. Supaya kehidupan kita lebih mewah. Lebih selesa. Pendapatan kita meningkatkan ekonomi keluarga dan negara. Buah anggur di Kaherah hanya RM2.25. Anggur yang sama di Malaysia sudah RM15 atau lebih. Boleh pembaca kira perbezaannya. Memanglah ada kos pengangkutan dan insuran. Ada faktor keuntungan. Jika dibeli di ladang dan pengeksport tentu harganya lebih murah. Ada masanya harga anggur sudah RM25. Sikap kita juga yang mengakibatkan harga barang-barang melambung naik.
Rumah di Kaherah agak mahal. Tetapi rasanya masih lebih murah berbanding dengan rumah di Kuala Lumpur. Saya teringat rumah sahabat saya di Bandar Sunway, rumah pangsa tiga bilik kecil, sebuah ruang tamu yang sempit dan dapur disewakan dengan harga RM760. Itu 10 tahun dahulu. Rumah yang saya sewa sekarang RM850 + 50 (air, gas, pungutan sampah dan elektrik luar) + elektrik kira-kira RM15 sebulan. Air sekitar RM10 sebulan. Gas memasak menggunakan paip seperti air RM5. Pungutan sampah RM5. Rasanya kita di Malaysia sampai matipun tidak mungkin menikmati kehidupan seperti saya kecapi sekarang. Bil air saya di Batu Pahat sekitar RM45. Gas kita sudah hampir RM30 setong sekarang. Elektrik saya kadang-kadang melambung hingga RM300. Purata cukai pintu kira-kira RM50. Itu sahaja sudah RM425. Di Kaherah semua itu hanya RM40 sahaja. Sahaja. Di Malaysia hampir 11 kali ganda. Ya! 11 kali ganda. Boleh pembaca kira matematiknya. Andainya penjimatan di Kaherah ini berlaku di Malaysia berapa banyak dapat kita jimatkan sebulan. Aduhai sebuah negara yang sedang hendak maju. Kita tanggung kosnya.
No comments:
Post a Comment