Salam saya dari Kaherah. Orang di Malaysia tentu ramai yang ingin tahu bagaimana keadaan kami di sini. Perlajar-pelajar Malaysia. Pelancong-pelancong. Peniaga-peniaga. Pengembara yang berhimpun di kotaraya besar yang namanya Kaherah. Mungkin ada yang cemas kerana kami berada di tengah-tengah pergolakan politik dunia Arab. Sebagai jawapan cukuplah saya katakan, kami berada di luar kesibukan politik tersebut. Kami hanya menonton TV. Menyerap berita yang disajikan. Apa sebenarnya yang berlaku kami tidak tahu. Hanya cebisan-cebisan berita dari mulut ke mulut sahaja yang dapat memberi input untuk menyesuaikan keadaan. Saya datang pada hari Sabtu. Pada hari Ahad perhimpunan di Medan Tahrir sudah bermula. Pada hari Isnin perhimpunan itu menjadi mega hingga hari Rabu. Banyak lagi perhimpunan di seluruh Mesir. Yang pro Mursi dan yang menentangnya. Hingga kemuncaknya pada malam semalam apabila kuasa Mursi ditanggalkan dari tubuh badannya. Lenyaplah sudah usaha-usaha untuk menjadikan Mesir lebih Islamik dari sebelumnya. Negara yang banyak punah ranahnya pada zaman Mubarak. Semangat Abduh dna Hassan al-Bana rupanya tidak cukup kuat untuk menggegar minda dan perasaan orang Mesir. Mungkin semangat Imam Syafiee dan al-Lait juga sudah dilupakan orang.
Berita yang dipaparkan di media di tanahair tentu berbeza dengan realiti yang berlaku. Media di negara kita selalunya memetik sumber berita barat seperti Reauter, FPI, CNN, BBC dan sebagainya. Dalam pemberitaan media barat tentunya mereka tidak memihak kepada Mursi. Semua kita maklum bahawa barat tidak mungkin akur dengan apa-apa yang bersifat Islam. Manusia seperti kita selalu inginkan bukti fizikal tentang kehebatan seorang pemimpin. Ilmu pengurusan menggariskan bahawa pemimpin berbagai karekternya. Mursi jenis yang perlahan dan terlalu berhati-hati. Seperti juga orang Malaysia, orang Mesir adalah orang-orang yang kurang sabarnya. Mereka ingin melihat mercu tanda binaan Mursi. Hasil perancangan Mursi. Pada tahap yang sama Mursi masih banyak menyemak data-data lama yang tidak memberangsangkan. Kerosakan sistem yang sudah berpuluh tahun berlaku. Maka untuk membetulkannya perlu banyak berfikir. Malangnya rakyat Mesir tidak bersama Mursi. Tidak memiliki kesabaran Mursi. Apa lagi jika ada yang mengadu domba maka kelemahan Mursi dibesar-besarkan. Mursi dianggap lemah. Terlalu lambat. Sejarah Sayyidina Ali berulang. Ali dikatakan terlalu lambat menyelesaikan isu pembunuhan Sayyidina Uthman. Mereka membunuh Ali kerana ketidaksabaran itu.
Saya tinggal di Syyi Sabi’. Kira-kira 30 minit dari lapanganterbang antarabangsa Kaherah. Di sini tiada kesibukan politik. Tetapi pada malam apabila secara rasminya Mursi digulingkan banyak bunyi mercun dan pembakaran bunga api di sekitar tempat saya tinggal. Maknanya ramai sebenarnya yang menentang Mursi sama ada secara terang-terangan atau secara senyap-senyap. Bunyi hon kereta dan tempikan serta sorakan bergema juga. Pada petang ini, Khamis 4 Julai 2013 ada berita mengatakan Mursi sudah ditangkap. Anggota Ikhwan al-Muslimin juga ramai yang ditangkap. Banyak paradox dalam politik ini. Orang politik tidak semestinya melakukan apa-apa kesalahan jenayah. Tetapi jika percaturan politik tidak menepati sasaran, masa dan peluang maka natijahnya terlalu negatif. Ada kemungkinannya pemimpin yang tidak disukai dibunuh walaupun tiada apa-apa kesalahan nyata yang memungkinkan ia perlu dibunuh. Sebaliknya pemimpin yang terlalu jelas kebobrokannya tidak pula diapa-apakan.
Tidak dapat dipastikan apa akan berlaku selepas Mursi. Interim kerajaan yang dibentuk sekarang mungkin berjaya menenangkan hati rakyat yang berkecamuk. Mungkin dalam masa yang singkat. Mungkin perlukan masa yang panjang. Setakat hari ini. Hari Khamis 4 Julai 2013, Medan Tahrir masih sesak. Mursi telah dijatuhkan. Tentangan dari Medan Tahrir berjaya menggulingkan Mursi. Namun mereka masih berhimpun. Tidak pula ada tuntutan baru atau ancaman baru. Di tempat-tempat lain kehidupan kembali normal. Perniagaan berjalan seperti biasa. Pejabat dan syarikat dibuka. Medan Tahrir sahaja yang terus bergolak. Dua hari isteri saya gagal mendaftar di Markaz Nil. Kali pertama mereka ingin awal menutup pejabat. Hari kedua mereka mutup pejabat lebih awal. Sekadar dapat menjawab soalan ujian kemasukan sahaja. Hanya pada hari ketiga baru berjaya menjalani ujian lisan dan membaca. Orang perempuan tentu lebih terdedah kepada ancaman keselamatan. Kegawatan politik menggawatkan suasana sekeliling. Alhamdulillah hari ini semuanya kembali reda. Saki bakinya sahaja yang asih ada.
Saya sebenarnya cemas juga. Saya pindah dari Jordan untuk mencuba nasib di Kaherah. Teringat beberapa tahun lalu. Apabila kegawatan politik berlaku di era Mubarak, orang Malaysia diangkut pulang. Terbayang jika saya dan isteri diangkut pulang. Gagallah usaha dan upaya kami untuk mendalami bahasa Arab. Sepanjang hari semalam Rabu 3 Julai 2013 hati saya berdebar-debar mengenangkan kemungkinan itu. Hari ini terasa leganya. Dalam keadaaan tidak menentu apa sahaja kita fikirkan. Menelah yang terburuk. The worst situation. Apabila segalanya berlalu begitu sahaja terasa leganya. Mudah-mudahan Allah memberikan yang terbaik untuk kami di sini. Membantu kami mencapai cita-cita kami. Alhamdulillah juga anak saya dan isterinya setiap hari bersama kami. Tidak terasa sangat keterasingan di tempat orang. Makan bersama. Berjalan bersama. Dapat berbual-bual isu semasa. Sempat juga isteri saya menunjuk ajar menantunya. Diajar yang perlu tentang petua mengemas rumah. Mengemas dapur. Memasak. Melipat dan menyusun baju. Begitulah yang isteri saya turunkan kepada anak-anaknya seperti yang terdapat dalam buku Mudahnya Mengemas Rumah. Usaha anak-anak saya yang lain di tanahair.
Kembali kepada politik kadang-kadang pemimpin hendaklah berjiwa sangat besar. Tidak takut bertindak asalkan tindakannya disokong dengan perancangan yang meyakinkan. Ada pemimpin tidak takut berhutang asalkan ada perancangan bagaimana hendak membayarnya pada masa hadapan. Ada pemimpin berani melaksanakan projek-prokej mega yang disokong dengan fakta-fakta keperluannya kepada bangsa dan negara. Rakyat nampaknya sukakan pemimpin jenis ini. Mereka menolak pemimpin yang lembam, lambat, terlalu berhati-hati. Rupanya intipati politik di luar jangkaan biasa. Hanya mereka yang berjiwa politik, world viewnya politik sahaja berjaya menjadai ahli politik yang lama jangkamasanya. Jika tidak ada political acuteness pemimpin selalunya gagal di pertengahan jalan politiknya. Maka political zest sangat perlu. Political will juga perlu kuat. Politik bukan pentadbiran biasa. Bukan pengurusan sebuah organisasi yang mengira keuntungan di akhir tahun operasinya. Yang difikirkan ialah political gain pada apa sahaja tindakanya. Pemimpin yang gagal merebut peluang politik ini tentu diketepikan. Politik ada kasih sayang. Tetapi politik bukan berkasih sayang. Ia keperluan mentadbir sebuah negara. Di dalamnya manusia yang berbagai aspirasi politiknya tetapi disatukan dengan kebijaksanaan kepimpinannya. Tentangan adalah biaasa. Yang penting yang menentang itupun secara tidak sedar menikmati apa-apa yang dilaksanakan pemimpin. Tentangan hanya politik dan politiking. Sebab itu pemimpin politik perlu mengasah kemahiran berpolitik mereka. Populariti bukan penentu kejayaan politik yang berpanjangan. Rakyat ingin melihat bukti kejayaan kepimpinan dengan segera. Mercu tanda fizilal yang dapat dilihat dengan mata. Dipegang dengan tangan. Maujud bukan setakat perancangan sahaja.
Yang dapat saya gambarkan ialah walaupun politik di Mesir bergolak kehidupan bertjalan seperti biasa. Seolah-olahnya tiada apa-apa yang berlaku. Di luar Medan Tahrir semuanya normal. Di situ sahaja segalany abermula. Berakhirny abelum tahun. Hingga hari Jumaat 4 Julai Medan itu masih ramai penghuninya.
No comments:
Post a Comment