Sunday, July 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Manifestasi Kebersihan dan Imej Diri


Siapa yang tidak suka kebersihan. Kanak-kanak yang belum mumayyiz sahaja barangkali yang tidak tahu membezakan antara bersih dan kotor. Ibu bapa wajib mengajar dan mendidik kebersihan kepada anak-anak. Guru apatah lagi. Zalim jika tidak mengajar dan mendidik anak-anak didiknya menjaga kebersihan. Mengurus kebersihan. Mentadbir kebersihan. Merancang kebersihan. Menyenggara kebersihan. Menjaga alam sekitar. Arif tentang pencemaran. Uztaz dan ustzah lagilah perlu arif tentang kebersihan. Besar dan kuat kaitannya dengan agama. Toharah (kebersihan) merupakan bab awal dalam pendidikan agama. Asas ibadat. Kesucian beribadat. Beramal dalam kebersihan. Malah kebersihan antara syarat sah sesetengah ibadat seperti solat. Kebersihan banyak  maksudnya. Selain persekitaran, kebersihan juga merujuk kepada kebersihan tubuh badan secara fizikal, kerbersihan berpakaian dan kebersihan mental. Malangnya aspek kebersihan selalu menjadi isu panas dalam mendidik  ahli masyarakat. Kebersihan adalah isu global. Perbincangannya mengenainya tanpa mengira agama, budaya, iklim, masa, tempat atau apa sahaja. Ia adalah sarwajagat. Isu manusia dan kemanusiaan. Kepada kita isu agama lebih penting lagi sebab agama kita mengajar kita mengenai kaedah terbaik mejaga kebersihan.
Kebersihan bermula dari rumah. Rasanya tiada ibu bapa yang tidak melalui didikan awal untuk menjaga kebersihan dari kedua ibu bapa mereka. Ditambah pula dengan pengalaman di luar rumah, menonton TV, membaca akhbar dan majallah. Menjaga kebersihan bukan isu berat. Ianya ringan. Ada sampah kutip dan buang. Ada debu vakum. Jangan sapu. Debu itu terbang dan hinggap pada barang-barang lain terutamanya makanan dan minuman.  Mop lantai sekerap yang mungkin. Kesemuanya sebenarnya mudah. Buang sikap malas. Sikap mengambil mudah. Sikat tidak peduli. Lebih berat jika dikatakan sikap tidak bertanggungjawab. Jika kesemua itu dilakukan yang kelihatan ialah lantai yang bersih. Tanpa sepah dan debu. Suasana yang kemas dan rasa selamat dan menyihatkan terutama jika ada anak-anak kecil yang merangkak ke sana dan ke mari. Menjilat apa sahaja yang mungkin. Memegang semua barang yang boleh dicapai tangan kerana sifat mereka ingin melakukan apa sahaja. Jika keadaan rumah bersih dan suci pula ibu bapa sebenarnya menyelamatkan anak mereka dari penyakit. Mengurangkan bil perubatan. Mengurangkan rasa cemas.
Itu isu rumah secara umum. Rasanya kita pernah dengar perlunya mencari pasangan hidup yang sekufu. Ibu dan bapa hendaklah sekufu dalam hal kebersihan. Dalam hal menjaga alam sekitar. Dalam hal menjaga kedamaian rumah kediaman mereka.  Apabila ibu dan bapa pembersih orangnya maka anak-anak akan mengikut jejak sifat mereka. Apatah lagi jika mereka dididik dengan tegas tentang perlunya kebersihan.  Kebersihan sepatutnya tiada kompromi. Ibu bapa pada peringkat awalnya hendaklah memaksa anak-anak melakukan yang terbaik untuk menjaga kebersihan. Latih dan jadikan amalan kepada mereka. Hinggalah mereka merasakan itu adalah darah daing mereka. Mereka berasa bersalah jika tidak menjaga kebersihan. Beginilah, kebersihan sebenarnya gambaran diri seseorang. Gambaran imej diri. Gambaran pendidikan seseorang. Gambaran harga diri. Gambaran maruah. Gambaran aib diri. Gambaran nama baik. Mereka yang pembersih berada di hujung tahap kualiti yang tinggi. Sebaliknya mereka yang tidak pedulikan kebersihan berada di paras negatif yang menghinakan.
Mari kita sorot siapa sebenarnya yang bertanggungjawab penuh tentang kebersihan.
Bil
Tempat
Tanggungjawab
1
Rumah
Ibu dan Bapa
2
Pejabat
Ketua Eksekutif
3
Sekolah
Pengetua/G. Besar
4
Masjid
Pengerusi AJK
5
Kampung
Ketua Kampung
6
Taman
Pengerusi Taman
7
Hospital
Pengarah
8
Bandaraya
Datuk Bandar
9
Bandar
S/U Majlis
10
Mukim
Penghulu
11
Daerah
Pegawai Daerah
12
Negari
MB/ K Menteri
13
Negara
PM


Setiap yang namanya ketua pada mana-mana peringkat bertanggungjawab tentang kebersihan persekitarannya. Di bahu orang-orang yang dinamakan ketua letaknya segala usaha menjaga dan mengekalkan kebersihan. Kadang-kadang kita temui orang-orang yang terlalu bergantung kepada orang lain untuk menjaga kebersihan. Apabila hidup bersama atau berkelompok baru diketahui siapa yang pembersih dan suka kebersihan dan siapa pula yang pengotor. Yang tidak perihatin dengan kebersihan. Kadang-kadang ibu dan bapa banyak juga salahnya. Anak-anak tidak dididik dan tidak digesa dengan tegas untuk mengamalkan kebersihan. Malah ada anak-anak yang dengan selamba menyatakan yang ibunya tidak benarkan ia menyapu sampah. Tidak benarkan memasak. Tidak benarkan membuat apa-apa selain belajar. Maksudnya semua urusan kebersihan diserahkan kepada rakan serumah. Rakan seasrama. Rakan yang lain yang ada di sekeliling mereka. Bayangkan apabila mereka berumahtangga . Merana pasangan masing-masing kerana urusan kebersihan hanya seorang sahaja yang melakukannya. Sebelah pihak sahaja. Membuang sampah yang sangat mudah dan ringanpun tidak dapat dilakukan. Malah tidak terfikir untuk melakukanya. Buklankah hal seperti ini namanya daif berfikir. Lemah akal budinya.
Pernah seorang menteri bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan kebersihan terutamanya bilik air. Dalam siri lawatannya, tempat pertama yang dilawati ialah bilik air. Ketika itu CEO paling khuatir jika bilik airnya berada dalam senarai di bawah. Tahu pula CEO ketika itu tentang maruah dirinya. Sekarang menteri itu sudah tiada.  Ramai CEO kembali tidak peduli dengan kebersihan. Orang yang bertanggungjawab jika tidak mengambil tanggungjawab maka aibnya ke mukanya sendiri. Nama baik bidang kuasanya tercemar. Sebab itu semakin tinggi jawatan seseorang semakin dekat isu kebersihan dengan jawatan mereka. Semakin tinggi kelayakan akademik seseorang semakin dekat isu kebersihan dengan kelayakan mereka. Semakin dekat seseorang dengan hal-hal agama semakin cemar maruahnya jika tidak menjaga kebersihan. Ayuhlah sama-sama kita ambil inisiatif untuk membuat pembetulan sebelum masalah kebersihan ini semakin meruncing. Ada usaha dari pihak kerajaan tetapi tidak istiqamah. Tidak berterusan. Tiada pula penguatkuasaan undang-undang yang wajib dipatuhi. Dikenakan denda yang berat  jika melanggari peraturan yang ada. Sebab itu masih ramai rakyat kita yang membuang sampah tanpa rasa bersalah.
Undang-undang anti buang sampah belum berjalan membina tabiaat sukakan kebersihan. Pendidikan di sekolah masih juga belum berjaya. Kempen kebersihan hanya majlis-majlisan. Apa lagi jika tidak kembali ke rumah. Mulakan dari rumah. Pastikan anak-anak yang keluar dari rumah sudah terdidik tentang pentingnya menjaga kebersihan. Sebanarnya saya rindukan kebersihan seperti di USA, Canada dan Jepun. Saya masih lemas tentang Malaysia, Jordan dan Mesir.  Negara lain, lain pula statusnya. Aduhai.

No comments:

Post a Comment