Friday, April 30, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Ketiga
Sewaktu di institusi yang mendidik guru, pelatih diberikan banyak panduan untuk menjadi guru yang berjaya. Semasa mengajar kawalan kelas sangat penting. Tanpa kawalan kelas guru tidak selesa mengajar. Pelajar menjadi liar. Pengajaran dan pembelajaran tidak lancar. Guru tidak boleh menyampaikan pengajarannya. Guru akan mengalami stress, ketegangan emosi yang mungkin fatal hingga menjadikannya sasau. Tanpa rawatan dan pencegahan guru hilang minat mengajar. Pelajar pula akan hilang minat belajar.
Dalam keadaan seperti itu guru boleh menjadi bengis. Memukul pelajar tanpa batasan. Mungkin tega untuk mencederakan pelajar. Implikasi lain mungkin ia akan mohon bertukar sekolah. Pelajar pula hilang hormat terhadap guru. Minat mereka untuk belajar menjadi layu. Guru seolah-olah tidak wujud kepada mereka. Sukar untuk berkomunikasi antara guru dan pelajar. Masing-masing membina tembok yang menyukarkan perdamaian dan mencari titik pertemuan. Mereka berlainan arah. Semakin mereka menjauh kerana arah yang dituju bukan destinasi yang sama.
First impression adalah penting ketika kali pertama seseorang guru memasuki kelas. Sekiranya pelajar jatuh cinta pada pandang pertama, segalanya akan mejadi mudah. Jika pada pandang pertama itu pelajar rasa tertekan hingga timbul rasa benci atau meluat maka sukarlah bagi guru itu untuk menawan semula hati pelajar. Ada guru yang play safe. Mereka bersahaja pada peringkat awal. Mereka membuat beberapa ujian untuk mengesan tabiat pelajarnya. Perlahan-lahan mereka mendekati pelajar. Menenangkan perasaan pelajar. Mendamaikan kesukaran dan kepayahan pelajar. Mendekati mereka untuk menawan seluruh jiwa raga mereka. Menghulurkan bantuan intelek dan emosi. Membina rapport - silatulrahim.
Setiap guru memiliki gaya (style) yang berbeza. Jika boleh bina keperibadian unggul. Mungkin gabungan ciplakan berbagai orang yang kita kenal. Terangkum dalam hal ini ialah jenis pakaian, fesyennya, cara mengenakan pakaian, kombinasi warna, saiznya, termasuk juga seluar, tali leher, jam tangan, tali pinggang, kasut, setokin, kacamata, pen yang digunakan, cara mengenakan tandanama, cara berjalan, duduk, berdiri, berlari, bercakap, suara, mimik muka, lirik mata, pautan bibir, cara menoleh, cara memandang, cara menjawab, cara berhujjah, cara menerima sesuatu pendapat, cara menolak sesuatu pandangan, mengelokkan suara, membina power pada suara, intonasi yang betul, vokal yang terkawal, terdapat kejelasan, kecindan tetapi bukan menjadi badut, lembut tetapi tegas, mudah didekati tetapi banyak berahsia, senang untuk berbicara tetapi menjaga jarak keakrabannya.
Bagi guru wanita, tentulah barang kemas ala kadar. Solekan dan wangian yang menyegarkan. Kacamata dan beg tangan yang sepadan. Lenggang lenggok yang lembut menawan. Kasih sayangmya bak ibu yang sentiasa dilihat merawat dan melabuh kasih. Pelajar adalah anak-anak yang membelai jantungnya. Menyentuh kasihnya. Menyapa kehalusan keibuannya.
Seorang guru sentiasa diperhatikan oleh pelajarnya dari kepala hingga ke tapak kakinya. Maka perawakan seseorang guru hendaklah sentiasa sedap dipandang mata. Pelajar berminat kepadanya. Kehadirannya ditunggu. Kedatangannya disambut suka. Didikannya disambut patuh. Ajarannya diterima rasa. Hilangnya dirindui. Hilangnya dicari-cari. Perginya didoakan sebentar. Harapan mereka guru it segera datang. Sakitnya pula hanya sekejap. Baik dan cerianya kekal.
Pelajar tidak suka guru yang ada angin. Mood selalu bertukar. Ikut angin. Sekejap ke Timur sekejap ke Barat. Pelajar perlukan suasana tenang. Oleh itu guru mestilah mempunyai EQ (Emotional Quotient) - kecerdasan minda yang tinggi. Ia selalu tenang menghadapi apa sahaja keadaan. Sikap cool akan menjadikan pelajar tenang dan damai. Barulah semangat mereka terangsang untuk maju dan cemerlang. Guru boleh marah tatapi marahnya bertempat dan berhemah. Marahnya sangat terkawal. Emosinya dapat dikawal untuk mengawal keadaan. Emosi pelajar adalah sangat rapuh. Mudah retak dan hancur. Perlu dijaga. Guru, itulah tugasmu.
Guru seharusnya menjadi orang yang boleh diharap. Kepada pelajar, guru adalah segala-galanya. Dia bapa dan dia ibu. Pelajar mahukan gurunya berlainan daripada ibu bapanya. Biasalah ibu bapa kepoh dengan anak. Anak ke mana, ibu bapa pula entah ke mana. Maaflah, kadang-kadang ibu bapa sesat barat. Tak tahu apa nak buat. Hasrat besar untuk memandaikan anak. Teknik, strategi dan arahnya tidak dicari. Tidak ada usaha untuk memperkasakan keibubapaan sendiri. Bantuan tidak juga dicari. Ubat penawarpun entah di mana tempatnya.
Maka guru adalah sanjungan pelajar. Guru menjadi penyelamat pelajar. His saviour. Pada gurulah harapan terakhir pelajar. His last hope. Jika guru gagal mengawal fizikal, hati, perasaan dan psikologi pelajar, besar kemungkinan pelajar tidak akan ke mana. Orang-orang dewasa di sekeliling mereka sepatutnya menjadi benteng yang menghalangnya dari jatuh ke lambah dan jurang kegagalan.
Guru menjadi contoh teladan. Sari teladan. Ikutan istimewa. Pelajar berharap sangat gurunya membawa dirinya ke tengah dan ke tepi. Ke gunung dan ke lurah. Penunjuk jalan yang membawanya merentas lautan dan daratan. Negara dan benua. Pembawa kepada kejayaan dan suka gembira. Penglipur segala duka nestapa. Guru adalah penyuluh hidup di dunia dan penyuluh jalan ke syurga.
Pada gurulah segala sandaran cita-cita. Hasrat tangan yang hendak memeluk gunung. Memanjangkan kail yang hendak menduga lautan. Pengukur baju di badan pelajar. Pembentuk peribadi dan sahsiahnya. Pembimbing sopan dan santunnya. Pembatas tamak haloba dan kerakusannya. Pembentuk naluri simpati dan empatinya. Pencetus inovatif dan kreatif pelajar. Penjana nilai-nilai indah dan murni budi baik dirinya. Rasa lembut sentuhan nuraninya.
Besar dan sangat besar harapan kepada guru. Padamu guru ada renungan tajam yang hendak ditancapkan semangat. Disuntik dorongan maju ke hadapan untuk menepis segala rintangan. Menguak luang dan peluang memanjat jaya. Menjenguk rasa bangga kerana jaya. Cemerlang menggapai pelangi indah di hujung usaha. Menikmati kehausan memenuhi dada untuk berilmu.
Lalu guru hendaklah menjadi lilin dan obor menerangi masa hadapan pelajarnya. Merintis jalan-jalan lurus yang menunjuk cahaya. Pencipta masa hadapan pelajar yang jelas realitinya. Membuang halangan dan rintangan. Menyala semangat yang pastinya sentiasa berbahang. Membulat teguh dan memperkasa kilauan cahaya kegemilangan.
Padamu guru, kau bukan sebarangan orang. Kaulah pembina bangsa. Kaulah penghapus kejahilan. Kaulah penunjuk jalan. Jalanmu jalan jaya. Jalan gembira ria. Jalan lurus dan bahagia. Pelajarmu tahu ikhlasmu. Mereka tahu tulusmu. Mereka maklum susah payahmu. Mereka tahu usahamu. Mereka akur keterbatasanmu. Mereka tahu hasratmu untuk memandaikan mereka. Mereka sedar bimbinganmu.
Mereka bangga akan kehadiranmu. Mereka kagum usahamu. Mereka ingat pesanmu. Mereka akur perintahmu. Mereka menjauhi kebencianmu. Mereka taat tunjuk ajarmu. Padamu mereka melihat kejayaan. Sampai tua kau akan diingat. Tidak dilupa semangat suntikanmu. Tidak lupa dalam ingatan. Jauh di mata tetapi tetap dekat di hati. Kaulah yang mampu mengubah mereka.
Sukar mencari manusia yang diingat hidup dan matinya. Diingat jenis kereta, nombor dan warnanya. Rumah tempat tinggalnya. Pasangan hidup dan anak cucunya. Mereka cukup kenal kelibatmu. Malah bayangmu bersama mereka hingga ke akhir hayat. Dalam diri mereka ada rohmu, ada semangatmu. Akhirnya mereka tahu di mana jasadmu disemadi nanti. Kebaikan ajaranmu penerang alam barzahmu. Nama baikmu disebut di bibir mereka. Panjanglah usia kebaikanmu. ka akan tetap dikenang. Seorang guru yang boleh digurui. Seorang guru yang menggurui.
Thursday, April 29, 2010
Selingan Santai
Hobi saya agak banyak juga. Saya masih mengumpul dan menyimpan setem. Sewaktu di USA dulu banyaklah saya himpunkan setem dari seluruh dunia. Sesekali saya belek-belek. Banyaklah maklumat melaluinya yang tidak terdapat melalui pembacaan media yang lain. Setem sebenarnya rakaman sesuatu peristiwa sejarah yang besar bagi sesebuah negara dan bangsa. Cubalah jika berminat. Pos Malaysia selalu mengeluarkan setem-setem baru melalui biro filatelinya. Setem simpanan saya barangkali quite a fortune sebagai pesaka nanti.
Minat kedua saya ialah membaca. Bahan yang saya baca pelbagai dari yang ilmiah hinggalah novel. Agak lama juga tidak membaca novel Melayu. Saya suka novel yang berat mesej dan isinya. Ia membantu minda kita bergerak untuk berfikir. Bahan-bahan picisan hanya memberi kepuasan sementara. Selepas beberapa ketika ia hilang begitu sahaja. Bahan yang kita baca tidak layak pula disimpan di perpustakaan keluarga. Apatah lagi jika anak-anak semakin membesar. Saya banyak beralih membaca novel Inggeris hingga sekarang.
Sejak dari sekolah menengah rendah lagi, minat membaca saya agak tinggi. Dulu tiap minggu saya baca buku cerita. Ketika itu Nancy Drew dan The Hardy Boys menjadi kegemaran saya. Di sekolah menengah atas pula novel Melayu yang mengesankan ialah Salina dan Desa Pingitan. Dalam bahasa Inggeris pula saya masih ingat Pride and Prejudice, Jane Eyre dan banyak lagi. Sekarang ini saya tidak pernah gagal membaca setiap novel John Grisham. Tidak ketinggalan juga fiksyen daripada Sidney Sheldon, Dean Koontz dan Dan Brown. Selain refreshing, novel membantu kita menerawang alam yang luas selain dari memperbaiki bahasa kita.
Waktu kecil kegemaran saya memancing. Sekarang ini tidak saya lanjutkan. Saya sudah tidak lagi tahu memancing. Sudah terlalu lama. Ikan sungai atau ikan air tawar sudah sukar melalui tekak saya kecuali dikeringkan atau ikan asin atau jeruk. Saya masih tidak lupa kali terakhir saya mencuba ikan air tawar sewaktu di Ipoh dahulu. Seorang kawan yang kaki pancing memberi saya empat ekor ikan sebarau yang gebu yang saiznya hampir sebesar tapak tangan. Saya terima dua ekor sahaja kerana saya tahu isteri sayapun sudah tidak pandai memakan ikan air tawar.
Hari Sabtu itu saya memasak. Tidak ingat pula gulai sayur apa hari itu. Yang saya ingat gulai lemak. Cukup pekatnya. Saya masak pula sambal rebus saya. Ikan tadi saya goreng. Untuk menghilangkan bau hanyirnya saya lumur dengan kunyit basah. Waktu digoreng baunnya cukup menyelerakan. Bila kesemuanya siap sayapun senduk nasi. Sayur dan sambal memang kecur mulut dibuatnya. Sayapun mulalah makan. Berhati-hati juga menelan ikan. Takut-takut mulut dan tekak tidak boleh menerimanya. Suap pertama alhamdulillah, mudah nampaknya. Diikuti dengan suap kedua, ketiga hinggalah licin pinggan saya.
Saya bangkit dari duduk dan ingin membasuh tangan di sinki sambil untuk membasuh pinggan. Bila saya buka sahaja pili air, ketika itu tanpa sebarang tanda dan amaran, segala isi perut saya terkeluar tanpa boleh ditahan-tahan. Melambak-lambak muntah saya di sinki itu. Meleleh air mata saya menahan sebu perut. Kepala naik pening dan berpusing. Mata naik berpinar. Bila kesemuanya selesai, lepak saya dibuatnya. Barulah saya sedar bahawa untuk makan ada tiga fasa yang perlu disempurnakan kehendaknya. Pertama mulut yang menerima. Keduanya tekak yang menyalurkan ke dalam. Ketiga ialah perut yang menerima. Jika ketiga-tiganya menerima tidak akan ada masalah. Jika tidak pasti keluar juga sudahnya.
Dulu gila juga dengan bola. Semasa di Kuala Terenganu, kadang-kadang ke stadium juga menonton Piala Malaysia. Kerap juga berjaga malam menonton Piala Dunia, Piala Eropah dan sebagainya. Saya meminati sukan walaupun bukan ahli sukan. Sekarang ini masih menonton juga di TV tetapi bukan gila macam dulu. Berhibur sahaja. Ambil tahu. Berkongsi maklumat. Jadi pula modal semasa mengajar.
Menonton wayang di pawagam pernah juga menjadi kegilaan. Entahlah. Bila sudah beranak pinak hilang kesemuanya. Cineplex seperti yang ada sekarang belum pernah saya jejak lagi. Kadang-kadang teringin juga. Tetapi bukan untuk berhibur. Saya ingin menikmati teknologinya. banyak mendengar cerita tentang kehebatan cineplex ini. Belum dapat dialami sendiri.
Banyak lagi hobi saya tetapi mungkin yang paling mengesankan sekarang ini ialah berblog. Terasa ringan mengalirkan pengalaman peribadi. Dalam masa 30 minit hingga sejam boleh dapat satu nukilan. Masa sahaja yang tidak mengizinkan. Masih sibuk dengan hidup bekerja, belajar dan beraktiviti. Bila ada luang waktu saya gunakan untuk memenuhi blog saya. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Pertama, generasi sekarang mungkin dapat membayangkan sesuatu yang asing tetapi lumrah pada tahun-tahun 50an dn 60an. Yalah, pokok pinangpun susah dilihat. Inikan pula cerita tentang lantai batang pinang. Mengkawan batang pinang. Dinding rumah kulit kayu. Ada pula pelepah sagu. Atau atap sagu. Semuanya sudah berlalu.
Sesekali saya selangi dengan pendapat dan hakikat. Banyak lagi pengalaman lama yang ingin dinukilkan. Tentulah perlukan masa. Bersabarlah bersama saya. InsayaAllah saya akan bawa saudara ke alam saya. Ke dunia saya. Sesunggunnya kita berbeza. Namun ada persamaan-persamaan yang serupa. Mudah-mudahan ada titik pertemuannya. Yang baik kita kongsikan bersama. Yang tidak baik kita kesampingkan bersama-sama.
Sunday, April 25, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Kedua
Menjadi guru bukanlah semudah A, B dan C. Atau mengira 1, 2 dan 3. Latihan di Universiti atau Institut Perguruan (dulu maktab) tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang guru itu benar-benar bersedia. Intelek, mental, fizikal, profesional dan kemahiran insaniah perlu digabungkan untuk memulakan kerjaya sebagai guru profesional. Langkah-langkah awal seorang guru tetap goyah. Sekolah bukan universiti dan bukan Institut Perguruan. Dunia realiti sekolah adalah jauh berbeza. Tuntutan ilmiah dan profesioanlismanya sangat tinggi.
Sekolah bukan lagi agen sosial yang mengeluarkan lulusan UPSR dengan 5A atau sekolah menengah yang PMRnya 8 atau 9 A. Bukan juga yang SPMnya berbelas-belas. Cabaran akademik hanyalah sebahagian daripada tugas urus guru di sekolah. Banyak lagi outcome yang dituntut dari sekolah dan dari guru. Kekangan-kekangan yang dihadapi guru dan masalah remaja yang bertali arus memerlukan komitmen yang tinggi daripada guru-guru. Sekarang ini pula ibu bapa bukan menyerah anak untuk dididik oleh guru di sekolah. Mereka mahukan guru-guru menjadi dayang-dayang kepada anak-anak mereka (babysit). Menjadi inang pengasuh kepada anak mereka.
Pelajar-pelajar di sekolah bukan lagi murid yang patuh kepada ajaran guru. Mereka sudah menjadi anak-anak raja dan sultan di sekolah. Beraja di mata bersultan di hati. Guru sudah hilang kekebalannya, sebagai pendidik yang dihormati kalaupun tidak digeruni. Rasa hebat seorang guru sudah lama musnah apabila status masyarakat terangkat kerana adanya kepesatan proses ilmu dan maklumat serta kemahiran-kemahiran lain yang jauh menenggelamkan guru. Profesion lain semakin mendapat tempat sedangkan profesion guru tetap statik. Dinamika dalam industri pendidikan khususnya di sekolah seolah-olah tidak wujud. Tegak berdirinya guru di sekolah seperti sebelum tahun-tahun 70an dahulu sudah tiada kukuhnya. Martabat guru sudah lama mengelongsor turun dan merudum.
Saya merasakan pendidikan harus dioverhaul. Falsafah Pendidikan yang sedia ada harus diberi nafas baru yang menyuntik hayat baru kepada dunia kependidikan. Harus dilihat semuala setiap aspek yang menghimpunkan kompleksiti sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah. Guru harus dilihat sebagai manusia yang lebih berwibwa dari kebanyakan ibu bapa. Lebih tinggi kelayakannya berbanding kebanyakan ibu bapa. Lebih alim dari kebanyakan ibu bapa. Lebih lumayan pendapatannya dari kebanyakan ibu bapa. Menjalani gaya hidup yang lebih baik dari kebanyakan ibu bapa. Pendek kata guru harus dilihat sebagai manusia istimewa di mata ibu bapa dan pelajar-pelajarnya.
Dalam kebanyakan hal sikap, persepsi dan tindakan ibu bapa mempengaruhi anak-anak mereka di sekolah. Jika mereka menghormati ilmu, saya ulang menghormati ilmu dan menghormati guru, tidak mungkin anak-anak mereka ingkar dan tidak taat kepada ibu bapa mereka dan guru-guru mereka. Apabila ibu bapa memandang rendah dan remeh seorang guru, anak-anak mereka akan menggandakan pandangan rendah dan remeh itu terhadap guru-guru mereka. Sangat ironis apabila ibu bapa tidak berkeupayaan mendidik anak mereka secara akhlak dan akademik. Sebaliknya 'memerintah' guru untuk mengambil alih tugas mereka itu. Dalam masa yang sama ibu bapa gagal menghormati atau bersyukur dengan apa yang Allah telah bukakan hati guru untuk mengajar dan mendidik anak-anak mereka.
Aspek penting dalam pendidikan di sekolah selalunya menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar. Malangnya bagi saya ialah isu sahsiah ditenggelamkan oleh isu disiplin. Kita sibuk dengan masalah disiplin sehingga pembinaan sahsiah dikesampingkan. Konotasi disiplin dilihat sebagai negatif sedangkan sahsiah dilihat sebagai positif. Sebenarnya akhlak bermula dari rumah. Sekolah bukan kilang untuk membina atau mengeluarkan pelajar yang berakhlak dan bersahsiah mulia. Asasnya mesti dari rumah. Jika dari rumah atau sewaktu di rumah akhlak itu tidak terbina, maka guru yang hanya memainkan peranan kecil dalam pembinaan akhlak dan sahsiah ini akan semakin kecil peranannya.
Islam menganjurkan bahawa disiplin harus ditanam dan diserap anak-anak sewaktu usia mereka antara 7 hingga 14 tahun. Jika dalam tempoh ini mereka tidak dapat didisiplinkan atau sahsiah mereka tidak terbina, maka ibu bapa dan guru akan berhadapan dengan masalah yang rumit untuk berhadapan dengan remaja yang ketandusan dan kosong jiwanya. Sewaktu saya di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru pada tahun 1994 dahulu saya berhadapan dengan masalah ibu bapa yang gagal mendisiplinkan ibu bapa. Sebagai Penolog Kanan Hal Ehwal Murid tugas saya adalah mengenai murid. Setiap kali ada masalah mengenai seseorang pelajar pasti ada hubungannya dengan ibu bapa yang bermasalah. Itulah yang saya dapati setiap kali saya mengundang ibu bapa untuk membincangkan masalah anak mereka di sekolah. Oleh itu saya berpendapat setiap permasalahan pelajar hendaklah diselesaikan bersama ibu bapa. Adakan perundingan, kaunseling dan bimbingan bersama ibu bapa dan anak mereka sekaligus. Masa sudah tidak mengizinkan lagi bahawa hanya guru sahaja yang harus bersusah payah mendisiplinkan atau berusaha membina sahsiah pelajar sedangkan penguatkuasaannya di rumah tidak berlaku.
Kita harus maklum bahawa anak-anak di sekolah hanya beberapa jam sahaja. Seseorang guru hanya dapat berinteraksi dengan palajar-pelajarnya sekitar beberapa minit seorang. Bimbingan secara individu sukar dijalankan dengan kerja dan tuntutan kerja guru yang semakin rencam dan bukan semakin tinggi profesionalismanya. banyak tuga rutin sahaja. Dari saat menjejakkan kaki di sekolah hinggalah tidurnya pada waktu malam seroang guru terikat dengan sekolah. Jaganya, tidurnya, makannya, minumnya, santainya, waktu liburnya dan kesemuanya menuntut jiwa dan raga guru di sekolah dan kepada anak-anak didiknya. Guru seolah-olah bukan manusia biasa. Mereka adalah superhuman yang diperlukan seluruh usianya untuk mendidik tanpa mengira waktu dan keadaan.
Di sekolah guru adalah segala-galanya. Mereka mengajar, mendisiplin, membujuk, memarah, merayu, menyayangi, mendidik, merapati, menunjuk ajar, berkomunikasi, berinteraksi, berkawan, melawak, menghibur, tumpang bergembira atas kejayaan pelajar, turut bersediah atas kegagalan pelajar, simpati dan empati terhadap semua yang dinamakan pelajar. Paginya, petangnya bersama pelajar. Ada yang malamnya terus bersama pelajar. Di rumah menyemak kerja pelajar, membetulkan kesilapan kerja pelajar, merancang hari esok yang penuh cabaran. Rumahtangga harus diurus. Anak dan pasangan perlu dibelai. Saudara mara perlu ditandang dan bertandang. Jiran tetangga perlu disembang dan bersembang. Namun hatinya, jiwanya, raganya, perasaannya, semangatnya lekat dan kekal di sekolah. Lekat kepada anak-anak muridnya. Dekat dengan mereka. Semuanya di hati seorang guru.
Hati saya jadi pedih bila guru dikatakan bersalah dalam banyak hal kerana ketidaksempurnaan sesorang pelajar di sekolah. Guru juga ada anak. Pilu rasa di hati. Sedih berbaur dengan rawan. Gundah gelana memikirkan tindakan wajar untuk memperbaiki keadaan. Tangan guru banyak terikat. Dasar, peraturan dan panduan perlu dipatuhi. Guru tidak melampaui batas-batas yang disediakan kepada mereka. Seksa menjadi guru. Ada masanya tekanan perasaan sangat memberat. Jika boss di sekolah jenis insan yang perihatin alhamdulillah. Tetapi jika mereka juga seperti ibu bapa maka guru akan tersepit dengan keadaan yang meruntuhka semangat dan keutuhan dirinya sebagai seorang guru.
Guru tidak boleh menjadi enau yang melepaskan pucuk masing-masing. Mereka harus maju segerak untuk memartabatkan kembali diri mereka masing-masing. Kesatuan Guru harus mengambil inisiatif yang jauh menjangkau masa hadapan yang tidak menentu. Forum, seminar, penyelidikan harus digerakkan supaya ditemuai formula yang boleh menggerakkan guru ke arah itu. Saranan saya barangkali agak ambitious. Pengetua dan Guru Besar hendaklah memiliki PhD atau paling kurang Sarjana Pendidikan. Setanding dengan ibu bapa yang memiliki kelayakan itu. Lalu mereka akan dilihat sangat layak duduk di kerusi mereka. Ibu bapa tidak boleh sebarangan bertindak melebihi kelayakan Pengetua atau Guru Besar. Guru-guru juga harus bergerak ke arah itu. Mereka bukan sahaja memiliki asas akademik dengan Sarjana Muda bahkan paling kurang Sarjana.
Tugas guru harus mengajar dan mendidik sahaja. Soalan periksa harus ditaip oleh orang lain. Dijilid oleh orang lain, disimpan oleh orang lain, markah periksa harus diurus oleh orang lain. Benarkan guru menumpukan sepenuhnya kepada masalah Pengajaran dan Pembelajaran sahaja.
Apa-apa yang berkait denga disiplin disenyapkan. Gantikan dengan pembinaan sahsiah dan akhlak. Guru disiplin yang dahulunya dilihat sebagai orang yang digeruni harus bertukar watak sebagai orang yang dihormati dan disegani, dipatuhi dan diterima sebagai guru yang perlu dicontohi. Agak kontradik apabila kita mahukan guru disiplin yang keras dan mungkin kasar diperlukan untuk mendidik pelajar sepaya bersopan santun, beradab dan mematuhi peraturan dengan paksaan.
Prasarana di sekolah harus bukan seperti sekarang. Yang namanya sekolah tidak lagi boleh stereotype. Bangunan sekolah harus lari dari adat kebiasaan. Bangunannya dan prasarana di dalam kawasannya harus melambangkan suatu komuniti akademik dan sosial yang lebih santai, lapang dan luas. Ia harus melambangkan keluasan minda yang mampu menggapai alam semesta. Pendidikan harus melampaui kawasan sekolah. Ia harus membenarkan pelajar menerobos keluar dari diri mereka, sekolah mereka lalu menerjah alam luas nan terbentang ini. Sekolah yang fizikalnya serupa di mana-mana amat membosankan. Harus dibenarkan dari segi senibinanya, rekabentuknya, lanskapnya. Keutamaan di sekolah harus kepada himpunan ilmu, maklumat dan kemahiran. Perpustakaan, makmal dan bengkel mestilah diberi keutamaan. Amat malang jika pagar sekolah melebihi peruntukan sesebuah perpustakaan. Lanskap melebihi keperluan perpustakaan. Perpustakaan dan pusat sumber mestilah sentiasa kemasa kini (up to date). Tiada kompromi jika kita hendak melihat anak-anak kita menggapai bintang di langit. Jika tidak anak-anak akita hanya berpijak di bumi nyata tetapi gagal menggapai walau awan sekalipun. Mereka gagal mendaki gunung. Mereka gagal menjejak bukit. Mereka gagal merenangi lautan.
Ayuh cikgu. Rancanglah masa depanmu dan masa depan anak-anak bangsamu. Dunia sudah semakin jauh meninggalkan kita. Jangan hanya berdiri terpaku, terpana dengan laluan teknologi dan globalisasi yang jauh didepan kita. Mesti ada gandaan quantum leap untuk menyaingi orang lain dalam profesion yang dianggap jauh lebih baik dari kita yang bernama guru. Mahu ke hadapan atau terus surut ke belakang ditelan asakan orang lain yang peranannya langsung tidak boleh menggantikan pernan kita sebagai guru. Kita harus kembali menyinar, mengembalikan kegemilangan keguruan yang hilang. Guru tetap masih ada masa depan.
Tuesday, April 20, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam
Seperti peristiwa-peristiwa yang lain, pergi saya tidak pernah ada yang menghantar, balik saya tidak pernah ada yang menjemput. Hanya tekad saya bahawa anak-anak saya tidak akan mewarisi kepayahan itu. Saya memulakan segala-galanya. Dari diri saya sendiri. Mengimbau kembali masa lalu barangkali ada baiknya sekali sekala. Teringat air mata yang mengalir. Mengingat sebak dada yang telah dilalui. Merasakan kembali sendu dan terkedu kerana hidup susah dan payah. Teringat jejak langkah, tapak-tapak tanah becak, lembut, berlopak, licin akar dan banir pokok getah, air hujan yang jadi minuman, makanan seadanya asalkan kenyang, kaki ayam yang payah berkasut, lulut dan kaki yang lenguh kerana berjalan jauh.
Saya mulakan kehidupan dari berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian. Sekarang ini dalam usia mencecah 64 tahun bukan bererti zaman susah itu sudah berakhir. Manusia berumur juga ada kepayahannya. Bentuknya berubah. Anak-anak masih ada yang belum berumahtangga. Kena difikirkan juga. Yang sudah berumahtangga sesekali ditinjau juga. Ada yang tidak kena ditegur sekali sekala. Cucu-cucu membesar dipantau sihat dan pandainya.
Bagi saya tidak ada apa yang hendak diungkit. Keadaan saya begitu. Ayah meninggal sewaktu umur saya 5 tahun. Kudrat ibu tidak seberapa untuk menyediakan dulang emas untuk saya. Berpadalah dengan pinggan retak dan cawan sumbing. Periuk dan belanga yang tidak berupa. Sudu dan pisau yang entah berapa. Senduk dan sudip entahkan tiada. Pakaian asalkan tidak hina. (Untuk kesekian kalinya, sekarang saya tersendu lagi). Mengingat masa lalu bagi saya adalah untuk muasabah diri. Di mana sebenarnya saya sudah berada.
Perjalanan ke Kuala Terengganu tersangatlah payahnya. Kali pertama saya pergi melalui Mersing dan Endau. Jambatan belum ada di Endau, belum ada di Nenasi, belum ada di Rompin. Yang ada ialah feri yang ditarik dengan tali. Manual. Tersa lama menunggu giliran. Saya bertolak pada pukul 8.00 pagi dari Batu Pahat. Bertukar teksi di Kluang. Pukul 2.00 petang masih belum ada kenderaan ke Kuantan. Tiba di Kuantan sekitar pukul 5.30 petang. Alhamdulillah ada teksi terus ke Kuala Terengganu. Malam itu dalam letih dan bingung saya bermalam di sebuah hotel di tengah bandar. Macam nak pengsan dibuatnya. Punyalah jauh. Bertukar-tukar kenderaan pula. Kuala Terengganu oh Kuala Terengganu. Tranungkite kata Salim.
Di Kuala Terengganu semuanya bermula. Kerjaya sebagai guru dengan gaji pokok sebanyak RM330 tambah COLA RM60. Tolak KWSP sekitar RM30. Bakinya adalah RM330. Dengan wang itulah untuk makan, sewa rumah, tambang ke sekolah dan untuk dihantar kepada ibu seberapa yang ada. Rumah pertama yang saya sewa bersama rakan ialah di Kampung Surau, Jalan Pantai. Ketika itu tempatnya dekat benar dengan Padang Maziah. Beberapa minit dari rumah. Hotel Primula dan hospital sangat jauh rasanya. Sekarang semuanya ditelan bandar. Kuala Terengganu sudah membesar.
Rakan serumah ketika itu ialah Rahman, Maskun dan seorang lagi dari Kelantan. Saya benar-benar lupa namanya. Sudah 41 tahun. Jadi luput dari ingatan. Maafkan saya teman. Benar-benar lupa namamu. Maskun sebenarnya rakan sekelas saya sewaktu dalam Tingkatan 1 hingga 3. Tingkatan 4 dan 5 dia di SDAR, Tanjung Malim. Bertemu kembali di Kuala Terengganu. Rahman dan yang lain saya temui di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri. Kebetulan Rahman orang Pontian.
Kami memasak sendiri untuk makan malam dan hujung minggu. Waktu siang kami makan di sekolah. Waktu itu barang-barang agak murah lagi. Kos hidup memang rendah. Ikan, daging dan ayam masih murah. Sayur murah. Buah murah. Pendek kata puas juga makan di Terengganu. Gaji RM330 itu berbaloi juga.
Pentadbiran sekolah biasanya lambat sedikit membayar gaji. Saya rasa gaji saya dibayar penuh pada bulan yang keenam. Selama 6 bulan kami hanya mendapat pinjaman pendahuluan dari sekolah. RM150 sebulan rasanya. Atau mungkin kurang dari itu. Saya sudah lupa. Baru teringat. Rakan yang dari Kelantan bernama Yaacob. Entah di mana sekarang. Tiada khabar berita. Terputus bila masing-masing kembali ke negeri masing-masing. Hanya kenangan kebersamaan sahaja yang tinggal. Imej dan rakaman gambar tidak ada pula untuk ditayang kembali.
Kira-kira setahun saya duduk di Kampung Surau. Pada tahun berikutnya saya dan yang lain berpindah ke Ladang. Rumahnya lebih besar dan lebih selesa. Di rumah itu Yaacob tidak ikut serta tetapi tempatnya diganti oleh seorang rakan yang baru keluar dari Universiti Malaya. Namanya Aziz. Orang Batu Pahat. Seorang lagi jurubahasa mahkamah yang bernama Mohamad. Orang Negeri Sembilan. Pandai benar masak gulai ayam. Santannya cukup pekat. Berselera benar kami makan bila rajinnya datang untuk memasak gulai itu. Yalah orang bujang, jemu juga makan di kedai. Kena masak juga untuk memulihkan selera.
Setakat ini Maskun dapat dihubingi semula. Itupun melalui anak saya yang masih di England sekarang. Rahman, Aziz dan Mohamad hilang berita. Mohamad dan Aziz kedua-duanya berkahwin dengan orang Kuala Terengganu. Menetap di sana. Hingga sekarang saya gagal menjejak mereka.
Di Ladang, saya berjalan kaki ke sekolah. Adalah sekitar satu kilometer. Waktu itu tengahari tidak seterik sekarang. Masih nyaman dan segar. Tidak perlu berpayung. TV belum ada. Kuala Terengganu adalah kawasan terakhir di Semenanjung yang menerima siaran TV. Tahun 1969 sudah ada di Besut. Di Kuala Terengganu hanya pada tahun 1970 saya rasa. Atau mungkin 1971. Tidak berapa diingat.
Waktu ini saya kerap ke Pulau Kapas mengiringi pelajar. Teringat lagi airnya yang sangat jernih dan tenang. Pasirnya aduh, putih melepak. Berjam-jam saya di dalam air. Berenang tidak jadi masalah. Memang sudah pandai sejak kecil di kampung. Memang santai sungguh di Pulau Kapas. Bila ada sahaja programnya saya pasti ikut. Pulau kedua yang saya lawati ialah Pulau Redang. Dari Kuala Terengganu kira-kira enam jam perjalanan dengan bot. Mabuk saya dioleng ombak. Bukan ombak besar. Ombak biasa. Yalah orang darat ke laut. Memang mabuk. Tetapi tidaklah muntah. Sekadar pening yang amat sangat. Lepak bila sampai di Pulang Redang.
Selepas maghrib, kami hanya makan nasi dengan ikan merah masin yang dibakar. Allahu Akbar saya rasakan seperti saya sedang menikmati makanan yang paling lazat di dunia. Dalam mabuk dan pening itu saya suap nasi dengan lahap sekali. Rasa tak puas hendak menambah lagi. Apakan daya kerana ramai, maka makannya sedikit bercatu. Entahlah mungkin semua orang terasa lapar seperti saya juga.
Pengalaman menelusuri Sungai Terengganu juga amat mengasyikkan. Kami mulakan dari Kuala Terengganu. Perjalanan yang damai. Di kanan dan kiri sungai menghijau semata. Air sungai tenang kerana di luar musim tengkujuh. Di sesetengah tempat kami terpaksa turun dan beramai-ramai menolak bot hingga sampai di tempat yang airnya dalam. Kaki dan tangan puas bermain air. Pengalaman yang sangat indah dalam ingatan. Sekali lagi, tiada rakaman gambar. Gambarannya dalam minda sahaja.
Air terjun yang terbesar ialah Sekayu di Kuala Brang. Tidak besar tetapi cukuplah untuk menzahirkan rasa takjub melihat air tiada hentinya turun menghempas. Kadang-kadang hairan juga, di bukit yang tinggi, airnya tidak pernah kering. Sejuk dan nyaman. Kelilingnya hutan yang tenang. Sebenarnya bermain airnya tidak berapa puas kerana kolam takungan airnya tidak cukup besar. Cukuplah untuk menyejukkan badan. Mendamaikan fikiran. Menenangkan gejolak hati barangkali. Berdamai dengan alam yang indah ciptaan Allah.
Saya gemar juga menonton wayang. Tahun-tahun saya di Kuala Terengganu sedang galak filem-filem Indonesia. Filem pertama yang saya tonton ialah Lelaki Tak Bernama lakonan Ratno Timoer. Heroinenya saya tak ingat. Lama sangat dah. Suatu ketika sedang asyik menonton, tiba-tiba terdengar suara orang Jawa bercakap. Saya kata ini mesti askar yang ada di Kuala Terengganu. Dengar orang bercakap jawapun ketika itu rasa seronok semacam. Ada rupanya orang kampung. Saya tak sambutpun cakapnya. Hanya seronok sendiri.
Pengalaman pertama paling getir ialah berhadapan musim tengkujuh. Allahu Akbar saya tidak pernah mengalami hal seperti itu. Bayangkan selama dua minggau saya tidak melihat matahari. Jika adapun di celah-celah gerimis. Pakaian saya bukan banyak. Perlu diganti setiap hari. Kena peluh dan bau badan. Dulu bukan ada penyembur ketiak. Bukan ada pewangi berbagai jenama seperti sekarang. Pakaian yang disidai sentiasa lembab. Udara sungguh lembab. Kelembapan yang sungguh lembab. Bila malam aduhai, sejuknya ke tulang sumsum. Gila dibuatnya. Pakaian yang diseterikapun seperti tidak kering. Lembabnya berkekalan.
Yang paling sukar ialah pergi dan balik dari sekolah. Ke jeti berjalan kaki. Menyeberang pula dengan motorbot. Di seberang menunggu bas lagi. Dalam musim tengkujuh seksa benar jadinya. Payung seperti tidak berfungsi. Angin datang dari segenap penjuru. Pergi ke sekolah dalam keadaan basah kuyup. Bila saya pindah ke Sekolah menengah Chung Hwa Wei Sin, saya hanya berdepan dengan hujan. Motorbot dan bas sudah tidak lagi. Basah tetap basah juga ke sekolah.
Kebanyakan masa saya berjalan kaki ke mana-mana di bandar Kuala Terengganu. Bila membeli barang barulah saya menaiki beca atau teksi. Bukan mahal tambangnya. Sekadar 20 sen atau 30 sen sahaja. Seronok pula bila diingat. Sekarang lain pula keadaannya. Jauh tidak seberapa, kereta juga dipandu. Ketahanan diri sudah semakin menyusut. Kita selalu kecundang dengan perubahan.
Koleksi saya dari Kuala Terengganu masih ada sampai sekarang. Saya beli berdikit-dikit. Adalah dulang dan pahar, perenjis air wangi, tepak sirih dan hiasan-hiasan lain. Masih cantik. Masih anggun dalam almari hias. 41 tahun saya jaga. Setahun sekali akan saya gilap untuk kembali memancarkan kenangan di Kuala Terengganu. Sambil menggilap akan tertayang kembali kenangan-kenangan lama di sana.
Kenangan itu bertambah seri apabila saya berpindah lagi. Rumah terakhir saya adalah sebuah rumah kampung yang kecil sahaja di Jalan Panji Alam sekarang. Di situlah saya bawa isteri saya. Di situ lahir dua orang anak saya. Kedua-duanya kelahiran Terengganu.
Sunday, April 18, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Lima: Bab Ketiga
Dewan Tunku Canselor masih gagah. Sudah saya ulang sejarahnya sewaktu konvo Diploma Eksekutif Usuluddin pada tahun 2009, tahun lalu. Perpustakaan tempat berebut buku Red Spot masih agam sepanjang masa. Fakulti Ekonomi tempat kuliah dan tutorial masih bulat dan damai membahagiakan pelajar-pelajarnya. Restoran Amjal masih di situ sejak Universiti Malaya dibuka. Masih selalu saya kunjungi walaupun semasa saya menjadi mahasitua dulu saya tidak pernah menjejakkan kaki ke situ. Nantilah saya nukilkan kenangan di Universiti Malaya sewaktu saya menjadi pelajarnya. Jika ingin megetahui cerita-cerita mengenai kehidupan mahasiswanya pada tahun-tahun 60an dan 70an, selongkarlah akhbar dan majalah. Banyak cerpin ditulis mengenainya. Novelpun banyak juga yang berlatar belakangkan Universiti Malaya dan persekitarannya.
Wakti di Institut Bahasa itulah saya kerap masuk ke kampus Universiti Malaya. Santai di sana dan santai di sini. Bergambar, berangan menjadi mahasiswanya. Dalam hati, suatu hari nanti akan ku jejak kampus ini. Akan ku terjah ruang ilmu yang ada. Akan ku usung buku-buku di perpustakaanmu. Akan ku langkahi pentas Dewan Tunku Canselor ini. Akan ku telusuri seluruh pelosok kampusmu.
Bila keluar dari Institut Bahasa pada akhir tahun 1968, ramai rakan-rakan saya yang tidak menunggu masa untuk mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Tahun 1970 sudah ramai yang merealisasikan impian menjejak kaki di Universiti ternama itu. Saya di Kuala Terengganu. Tahun 1970 kali pertama mencuba STPM. Biasalah guru. Ambil Kertas Am (wajib), Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi. Tahun itu Bahasa Melayu mendapat C. Yang lain subsidiary sahaja. Mohon juga tetapi gagal. Tahun 1971 tangguhkan usaha. Mendirikan rumahtangga hingga menangguhkan impian. Tahun 1972,1973 dan akhirnya tahun 1974. Bermakna empat kali saya mencuba STPM. Tahun 1973 saya mendapat principal A Bahasa Melayu. Tetapi saya tidak memohon ke universiti kerana saya lebih cenderung kepada Ekonomi.
Saya sudah pindah di Sekolah Menengah Sains Kluang apabila keputusan STPM tahun 1974 diumumkan. Masuk suratkhabar Straits Times ketika itu. Seperti juga keputusan OSC dan MCE saya dahulu. Keputusan saya Bahasa Melayu, principla E dan Ekonomi juga principal E. Yang lain subsidiary. Dengan penuh harap saya isi borang masuk ke universiti. Keyakinan tidak begitu tinggi. Apakah dua ekor gajah ni akan membawa saya ke menara gading? Empat pilihan teratas saya mohon ke USM, kelima UM, keenam dan ketujuh UPM dan akhir sekali yang kelapan ke UM. Rezeki saya. Pilihan kelima dipertimbangkan. Lalu masuklah saya ke UM untuk mengikuti kursus Sarjana Muda Ekonomi. Pada tahun kedua dan ketiga saya mengkhusus dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Kelulusan inilah nanti yang membawa saya ke Politeknik Ungku Omar.
Semasa mengambil STPM, saya hanya belajar sendiri. Langsung tidak ada tuisyen. Berbincang dengan kawanpun tidak. Waktu di Kuala Terengganu dulu, saya tidak tahu siapa antara rakan saya yang mengambil STPM. Rasanya seperti tidak ada. Maka terkial-kialah saya meneroka buku-buku dan bahan-bahan rujukan. Teknik menjawab soalan tidak tahu langsung. Tidak tahu di mana hendak dirujuk. Dunia STPM kelabu hatta kepada pelajar sekolah sepenuh masa sekalipun. Antara banyak peperiksaan yang saya rasa paling sukar di Malaysia ialah STPM. Hingga sekarang rasanya. Untuk lulus periksa dan cemerlang perlukan intelek yang tinggi. Teorinya mesti dijawab menggunakan Benjamin Bloom's Taxanomy. Analisisnya yang diperlukan. Berfikir peringkat tinggi. Tidak boleh menjawab tanpa aplikasi teori.
Untuk lulus STPM nikmatnya berganda. Lulusannya benar-benar teruji dalam semua segi khususnya inteleknya. Kertas Am pula mencakup apa sahaja topik dalam dunia ini. Dari agama kepada politik, sosial, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Bagi mereka yang mendapat principal A memang diakui hebat.
Saya teringat, sewaktu menjadi guru pelatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Ibrahim, Labis dahulu, seorang guru lelaki Cina meramalkan bahawa saya akan mencapai kejayaan yang lebih tinggi dengan melihat telapak tangan saya. Saya tidak percaya tetapi memotivasikan juga. Sementelahan pula padan tahun 1967 itu ada guru di sekolah itu yang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England. Bertambah terbakar semangat saya.
Mengimbau kembali kenangan lama itu, banyak sebenarnya titik-titik masa yang mencorakkan hidup saya. Lonjkan dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Hingga sekarang saya masih merasakan my quest for academic excellence masih membara dalam jiwa saya. Setelah kembali dengan Master of Education, saya kesuntukan masa untuk melanjutkan ke peringkat PhD. Umur sudah melebihi kelayakan untuk memohon biasiswa. Kontrak peringkat sarjana belum habis berbayar.
Dalam usia menjejak 64 ini, masih ada sisa bara dan bahangnya untuk menggapai PhD itu. Entah bila, waktunya sahaja belum tiba. Indahnya jika ajal datang dalam naungan ilmu. Anak-anakku, ilmu itu pelita. Semakin banyak pelita semakin terang. Pelita itu bukan menerangi ruang masa yang statik. Terangnya akan merentas zaman dan masa depan yang tidak diketahui terang dan gelapnya. Tetapi dengan pelita ilmu, kau akan jejaki peluang dan ruang yang lebih cerah. Abah masih belum mahu sampai ke garisan penamat. Cita-cita masih ada. Abah mahu anak-anak abah melengkapkan kesinambungan warisan ilmu yang sudah lama abah mulakan jejaknya.
Ibumu juga besar cita-citanya yang dulunya terkandas. Apabila anak-anak sudah tinggi imlunya, dia ingin duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama anak dan menantunya. Tradisi ini ada dalam sejarah keluarga yang abah bina ini. Rebutlah semua peluang yang ada. Sementara masa masih ada, sementara ruang masih ada, sementara kudrat masih ada. Jangan hanya berada di zon selesa. Selesa hari ini belum tentu selesa pada hari-hari muka. Dunia yang volatile ini tidak menjanjikan apa-apa jaminan pada masa hadapan. Namun ilmu dan pendidikan selalunya ada sifat lestari, kekal merentas zaman. Berhenti di sebuah stesen bukan bererti sudah sampai di destinasi terakhir.
Jika kita pandang ke hadapan masih banyak lagi stesen lain yang harus menjadi perhentian yang lebih baik. Lebih indah. Lebih menuju ke puncak-puncak harapan, kebahagian dan kesejahteraan. Dakilah ke atas kerana di bawah sana banyak hal-hal yang biasa-biasa sahaja. Di atas sana banyak pula hal-hal yang luar biasa. Jadilah orang yang luar biasa kerana dengannya kau akan jadi contoh teladan, jadi ikutan, jadi rujukan dan jadi tumpuan. Jadi orang biasa akan hanya hilang dalam arus biasa yang menghanyut dan mungkin melemaskan. Jadilah orang yang mengendalikan arus itu. Jangan jadi orang yang dibawa arus.
Cita-cita harus bukan untuk menjadi orang awam. Nanti kau akan hilang jatidiri. Hilang identiti. Hilang wawasan untuk membawa diri ke mercu abadi. Jadilah orang yang menyumbang dan bukan menjadi orang yang menadah sumbangan. InsyaAllah ilmu di dada akan besar sumbangannya kerana seperti abah katakan, ianya akan menjadi pelita yang menyinari diri dan hidup orang lain yang ada di sekeliling kita. Ia akan sentiasa berguna, membanyak dan lebih menerangi. Sambutlah baton abah ini untuk berlari lebih jauh dan menjauh. Mudah-mudahan barakah dunia dan akhirat. InsyaAllah. Amin.
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Lima: Bab Kedua
Psikologi menarik bagi saya kerana dengannya saya memahami diri saya sendiri. Saya berjaya menterjemahkan keperluannya kepada pelajar-pelajar saya. Semasa di Kuala Terengganu, kadang-kadang saya membuat kejutan kepada pelajar. Saya katakan kepada seorang pelajar perempuan bahawa dia ada adik lelaki. Mana cikgu tau? Tanyanya. Pada saya mudah. Seorang kakak selalu perihatin terhadap keperluan adiknya. Si adik pula selalu meminta bantuan kakaknya. Maka si kakak membentuk sifat selalu suka membantu. Jika anak bongsu lagilah sangat mudah. Yang kuat merajuk, yang selalu meminta perhatian, besar kemungkinannya anak bongsu. Tetapi apabila saya berada di Politeknik dan sekarang di UTHM, kemahiran itu banyak yang hilang. Benarlah psikologi kepada guru banyak gunanya di sekolah rendah dan menengah.
Di IPT psikologi berubah. Ia lebih banyak untuk mengkondisi minda, membina akhlak, membangunkan kesarjanaan. Pujuk, marah, motivasi, ganjaran dan hukuman sudah tidak begitu wajar diberi perhatian berat. Kesemuanya diberi secara tersirat. Motivasi dilakukan dengan merenung ke dalam, monolog dan prolog, mengimbau kendiri, membina jatidiri, penampilan, pembentangan akademik, latihan pengucapan umum, etiket sosial, asas protokol, etiket di meja makan, kemahiran insaniah dan melalui projek akademik. Maka psikologi bukan lagi menganak-anakkan orang dewasa. Proses psikologi ialah untuk mematangkan mereka yang berada di IPT. Intelek mereka harus dibangunkan untuk meggapai setinggi mungkin proses analisis, hipotesis dan sintesis.
Waktu saya belajar falsafah dahulu, samar betul minda saya. Semasa mengikuti kursus Master of Education, di University of Pittsburgh dulu pun tetap samar juga. Lagipun profesor saya menggunakan bahasa Inggeris Amerika yang kedengaran bombastic. Bila mengajar Falsafah Pendidikan, maklumlah saya bahawa bahasa dan istilahnya memang begitu sebab falsafah adalah untuk orang dewasa. Lebih berumur lebih baik sebenarnya. Sosiologi dan Antropologi pula banyak membincangkan teori Charles Darwin mengenai manusia berasal dari monyet. Ape dan keluarganya Homo Sapien. Pensyarahpun menghuraikan dengan panjang lebar mengenai Java Man, Peking Man dan entah berapa banyak "man" dihuraikan untuk menjustifikasikan bahawa teori manusia dari monyet itu kononnya benar.
Sebelum tahun 2003, apabila saya mengajar matapelajaran Falsafah Pendidikan, saya rasa huraian saya hambar. Ikut sahaja seperti yang terdapat dalam modul atau seperti yang tertulis dalam buku. Tahun 2003 itu menjadi titik tolak perubahan apabila saya mengikuti kursus Sijil Pengajia Al-Quran di Universiti Malaya. Kemudiannya saya sambung pula dengan kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin. Saya melihat dunia yang berbeza. Sebuah pintu ajaib terbuka untuk mengubah satu paradigma yang telah menghantui saya selama 35 tahun. Apa yang saya pegang bahawa manusia berasal dari monyet, yang dulunya mengganggu fikiran saya untuk menganalisisnya, yang dulu saya tidak tahu bagaimana untuk menyampaikannya, sekarang menjadi jelas kepada saya.
Saya tetap bercakap mengenai Idealism, Realism, Pragmatism, Materialism, Perenialism, Eksistensialism dan ism-ism yang lain. Tetapi saya kembalikan perbincangan falsafah melalui pendekatan yang selari dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Bayangkan tuan, ism-ism mengikut pandangan dan Falsafah Barat membahayakan, kalau boleh saya sebut, akidah. Apabila Aristotle memulakan gerakan menjurus kepada Falsafah Realism, soalan yang timbul di Barat ialah tidak adanya kaedah saintifik untuk menjejak Allah. Akhirnya ism-ism itu membawa kepada fahaman Atheism. Bila sampai di sini, habislah segala perbincangan mengenai agama dan kewujudan Allah. Mereka menjadi Free Thinkers. Ini amat menakutkan saya jika saya tersalah memberi huraian mengenai Falsafah Pendidikan yang saya sampaikan kepada pelajar-pelajar saya.
Harun Yahya banyak membantu saya. Buku-bukunya penuh dengan rujukan Al-Quran yang menafikan teori Charles Darwin. Setelah kira-kira 150 tahun sejak teorinya dikemukan, belum ada bukti nyata teori Charles darwin itu benar. Ambillah buku Harun Yahya, The Creation of The Universe (Penciptaan Alam). Cukup banyak bukti Al-Quran yang secara saintifiknya dibuktikan benar. Telescope Hubble menjadi titik tolak kepada orang Barat memahami universe yang terlalu besar untuk dijangkau fikiran manusia. Toeri Evolusi Charles Darwin runtuh satu demi satu.
Semua gagasan teorinya dibuktikan tidak benar dari masa ke masa. Teori evolusinya tidak pernah dibuktikan secara saintifik. Teori Java Man dan Peking Man tidak pernah konklusif. Banyak buktinya menujukkan ianya hanya hoax (penipuan) semata-mata. Dalam Al-Quran, Taurah dan Injil ada menyebut mengenai manusia Yahudi yang menjadi monyet kerana ingkar larangan Allah supaya tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Orang Yahudi menjustifakasikan kemurkaan Allah kepada orang lain. Lalu semua orang lain dikatakan berasal dari monyet. Lebih malang lagi dikatakan bahawa sebenarnya Charles Darwin mengalami gangguan mental semasa menulis teori evolusinya.
Saya membuat rumusan bahawa pengetahuan mengenai agama Islam sangat sangat sangat penting kepada semua guru yang beragama Islam. Apapun teori yang ingin kita bincangkan di dalam kuliah, syarahan atau kelas mestilah bersandarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Al-Quran dan Al-Sunnah adalah sumber ilmu yang tiada bandingannya. Bukti-bukti yang Allah wahyukan melalui ayat-ayatNya terlalu mudah untuk menolak teori Falsafah Barat kerana asasnya adalah rasional akal semata-semata. Al-Quran pula adalah bermukjizat dan trancendental. Jauh melampaui intelek manusia.
Teologi atau akidah Islamiyyah memandu Muslim supaya sedar akan kewujudan penciptaan dirinya. Mesti memahami bahawa sesuatu berlaku adalah dengan kehendak Allah. Bagi Allah sangat mudah. Hanya dengan kun fayakun, maka jadilah kehendak Allah itu. Dalam memahami akidah ini, saya menjadi sangat takut. Kita selalu amat mudah menyebut natural disaster. Diterjemahkan pula sebagai bencana alam. Bunyinya mudah dan ringan. Tetapi tersirat suatu implikasi yang besar dan sarat. Alam tidak ada kuasa mendatangkan apa-apa bencana. Hanya Allah sahaja yang mengizinkan berlakunya sesuatu sama ada nikmat atau musibah. Tidak ada yang secara kebetulan seperti teori Charles Darwin. Hanya Yang Maha Kuasa sahaja memiliki hak mutlak itu.
Setiap Muslim mestilah kembali kepada agamanya. Semua pendidik mesti mengislamkan ilmunya kerana Allah. Kita takut terjebak dengan pemikiran yang kacau kerana jika tidak, kita akan menjadi pendidik yang mengikut sahaja tanpa membuat penilaian tentang kewajaran sesuatu ilmu yang disampaikan. Sebagai pendidik kita harus maklum bahawa sesuatu ajaran yang "sesat" atau menyalahi agama besar implikasi negatifnya di dunia dan di akhirat. Kita kena tanggunag dunia akhirat.
Friday, April 16, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Lima: Kuala Terengganu Bab Pertama
Saya ulangi lagi bahawa saya seorang introvert. Entahlah. Secara kebetulan guru-guru saya yang banyak mempengaruhi kehidupan saya ialah guru-guru Bahasa Melayu/Kebangsaan saya. Cikgu Suratman Jais mengajar saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Guru dahulu. Seluar dan baju lengan panjangnya berwarna putih. Keras berkanji. Dia memandu kereta putih Fiat 600. Pintunya buka dari hadapan. Hebat pada pandangan saya yang berumur 14 tahun pada tahun 1961. Tingkah lakunya sederhana. Dia tidak pernah marah. Marahnya memuncak apabila telinganya memerah dan dia mendiamkan diri menahan emosi. Rakan sekelas akan faham keadaan itu dan masing-masing berusaha mengembalikan keadaan supaya tenang.
Iktibar ini selalu saya katakan kepada semua pelajar saya bahawa semua orang berhak untuk marah. Tetapi untuk melahirkan marah itu bukan dengan emosi. Cukup dengan mendiamkan diri. Telan apa yang tidak selesa kerana itu sebenarnya pengajaran untuk kita. Percayalah, menahan dan mengawal emosi itu lebih baik dari menjerit seperti orang histeria. Pelajar akan lebih tenang, lebih hormat kepada kita. Kita sebagai guru sebenarnya perihatin dengan kehendak pelajar yang perlu pula diserasikan dengan karekter mereka. Marah dan beremosi bukan sesuatu yang disukai pelajar. Ianya bukan alternatif terbaik untuk mengharmonikan perhubungan. Orang yang introvert seperti saya, lagilah takut dengan sesiapa sahaja yang beremosi. Emosi orang lain itu terasa terlalu menghimpit perasaan saya. Terasa payah bernafas dan berfikir. Saya lebih suka orang yang rasional. Sayangnya tidak berlebih. Marahnya tersembunyi.
Guru lain yang besar impaknya kepada saya ialah Cikgu Saat bin Bongkek dan Cikgu Rahim. saya tidak memberi jawapan kenapa mereka ini istimewa kepada saya. Bahasa Malaysia saya pada tahun 1965 hanya 7. Saya ambil semula pada 1972. Itupun dapat 3. Cikgu Saat mengajar saya Bahasa Malaysai Tingkatan 4 dan 5. Cikgu Saat agak istimewa. Berwibawa orangnya hingga ke tua. Cikgu Rahim pula mengajar Kesusasteraan Melayu di Tingkatan 5. Buka Teks kami ialah Panglima Awang karangan Harun Aminurashid. Minat kepada sastera cukup kuat. Novel Salina karangan A Samad Said dan noverl Desa Pingitan karangan (lupa sesduah 45 tahun). Kedua-duanya cukup tebal. Saya mampu menghabiskannya dalam masa cukup singkat. Perangai saya pula bila ada buku cerita sanggup bersengkang mata kerana tarikan untuk mengetahui penamatnya.
Saya, secara peribadi lebih suka berdikari. Independent. Saya ada kaedah tersendiri dalam semua hal. Semasa hendak menghadiri temuduga menjadi guru, saya ke Johor Bahru seorang diri dengan menaiki teksi. Sebenarnya itulah pengalaman saya yang pertama ke Johor Bahru. Saya tidur di Hotel di tengah bandar. Lupa namanya tetapi seingat saya bayarannya sekitar RM30. Seperlima dari elaun saya sebagai guru sementara. Itupun kali pertama tidur di hotel. Esok paginya saya kenakan baju kemeja berlengan panjang dan memakai tali leher. Masuklah saya ke bilik temuduga. Saya berterus terang dalam semua hal. Apabila disoal adakah saya solat Subuh pagi itu. Saya jawab dengan jujur bahawa saya tidak solat. Pada zaman itu keterikatan kepada kehendak agama tidak begitu kuat. Dipendekkan cerita saya berjaya dipilih untuk mengikuti latihan perguruan Pusat Latihan Daerah (RTC -Regional Training Centre). RTC lebih popular. Saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Ibrahim, Labis, Segamat, Johor.
Pergi mendaftar ke sekolah itupun saya seorang diri. Saya tidak boleh mengharap sesiapa. Tiada abang. Hanya adik perempuan. Ibu saya tidak berdaya untuk mengiring saya. Daifnya masih bersarang dalam kehidupan. Bermulalah kerjaya sebagai guru. Skop rakan taulannya semakin ramai. Walaupun hanya setahun di sekolah itu, pengalamannya cukup besar. Berinteraksi dan bersosial dengan rakan guru yang berbagai kaum cukup memberi pengalaman. Rindu saya tetap pada tunang saya di kampung. Sudah lebih setahun pertunangan saya dengannya.
Di Labis saya duduk dengan rakan-rakan bujang. Makan dan minumnya ala kadar. Elaun bulanan hanya RM150.00. Itulah wangnya untuk makan, untuk sewa rumah, untuk ke Segamat setiap minggu menghadiri kuliah, untuk balik kampung dan untuk menjengah tunang. Semjuanya perlu dijimatkan. Cukup rasanya walaupun agak rumit menjadualkan bajet.
Indah juga pengalaman menjadi guru pelatih. Dapat melawat tempat lain. Cuti penggal pertama ke Kuala Terengganu. Ada saya ceritakan pengalaman kelakar rakan saya dari Segamat. Yang lain pengalaman biasa. Pada cuti penggal kedua saya dan rakan pelatih yang lain dihimpun di Institut Bahasa, Lembah pantai, Kuala Lumpur. Baru minggu lalu saya perasaan namanya Institut Bahasa Melayu. Di situ jiwa saya berperang. Manakan tidak, ramai yang bercouple, berdua-duaan. Tunang saya di kampung. Jauh di selatan. Telefon belum ada di kampung. Nak sms apa. Mana ada telefon bimbit. Ideanya mungkin belum ada. Yang ada hanya ku kirim salam di angin lalu. Atau ku bisikkan rindu di angin lalu. Itu sahaja yang mampu. Hendak juga menulis surat tetapi duit setem parah juga. Pendam sahajalah perasaan.
Tahun 1968 saya dan yang lain dihimpun di Institut Bahasa. Oleh kerana kampus induk adalah untuk pelatih perdana, maka saya dan rakan-rakan yang lain dihantar untuk menghuni bangunan bekas Maktab Perguruan Teknik yang telah berpindah ke Cheras. Setahun saya tinggal di bangunan itu yang terletak di Jalan Damansara. 15 minit perjalanan dari bangunan Parlimen dan Tasik Perdana. 20 minit ke Muzium Negara. Solat Jumaat kami di Masjid Negara. Pada sebelah petang bisalah bagi saya dan rakan-rakan yang lain berjalan kaki ke Tasik Perdana. Hiburkan hati. Kebetulan pula hari minggu ada pertunjukan pentas di situ. Itulah hiburan kami. Ada sekali kami ke Stadium Negara. Saya tidk ingat untuk apa. Yang saya ingat ialah hiburan muzik. Di Institut pernah juga diadakan konsert untuk rakaman radio, RTM. Jamal Kerdil yang menjadi pengacaranya. Jamal memang kerdil tetapi suaranya masyaAllah. Bergema dewan. Besar dan garau. Memukau.
Saya jarang ke bandaraya. Terus terang, saya tidak mampu. Pergi balik dari kampung dengan warrant ticket. Naik keretapi. Percuma. Jika ada acara keluar kampus dengan bas, saya pasti ikut. Percuma. Jalan-jalan cari angin. Makan angin. Hiburkan hati yang sunyi.
Makan minum di maktab tidaklah semuanya enak. Maklumlah makan nasi kawah. Malangnya pilihan lain tidak ada. Telanlah mana yang patut. Tetepi ada juga rakan yang tidak pernah kenyang makan. Jika demam tiga pinggan. Jika sihat lima pinggan. Orangnya tidak sebesar mana. Makannya, kur semangat. Biasanya kami makan ada dua lauk. Sama ada ikan dan daging atau ikan dan ayam. Pinggan pertama rakan saya memakan ikan dahulu. Bila habis ikan dia akan pusing keliling jika ada sesiapa yang tidak makan lauk yang diperuntukkan. Dia memungut kesemua lauk tersebut. Maka makanlah dia lima pinggan terus menerus. Lazimnya dia akan mengambil masa lebih setengah jam berbanding dengan rakan yang paling lambat. Pendek kata bermacam-macamlah perangai masing-masing. Individu yang berlainan dan memiliki perbezaan hakiki untuk diri mereka sendiri.
Praktikum saya di Sekolah Kebangsaan Parit Pinang Seribu. Selepas tamat latihan, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu (dulunya SMK Seberang takir). Saya pergi seorang diri ke Kuala Terengganu. Juga bermalam di hotel. Esoknya baru mendaftar di sekolah dan mencari rakan untuk mencari rumah sewa. Rumah pertama kami di Jalan Pantai. Sebuah perkampungan nelayan.
Hanya dua bulan di sekolah itu. Pada bulan Mac 1969 saya dipindahkan ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, di Bukit Kecil, Kuala Terenmgganu. Perpindahan itu mungkin baik bagi saya. Sewaktu di SMK Ibrahim Fikri, perjalanan ke sekolah menggunakan dua jenis pengangkutan. Pertama menggunakan sampan dari jeti berhampiran Pasar Payang ke jeti di Seberang Takir. Dari jeti Seberang Takir ke sekolah menaiki bas. Bila musim hujan memang haru dibuatnya. Kerap berbaju basah ke sekolah. Payung tidak begitu berfungsi. Angin terlalu kuat.
Ada kenangan manis di sekolah itu. Antara pengetuanya ialah Datuk Abdul Rashid Ngah. Seorang lagi guru yang menjadi Yang Berhormat ialah Cikgu Wahid. Orang kuat bola sepak Negeri Terengganu. Murid-murid adalah yang melucukan. Kerana masalah semantik, nama-nama pelajar menjadi masalah yang merumit dan memalukan kadang-kadang. Saya hanya menulis apa yang disebut murid. Nama mereka, nama bapa mereka dan nama kampung mereka. Bayangkan Kuntum dieja Kutung dalam sijil kelahiran. Mohd Nor jadi Manor. Kubang Badak jadi Kuban Badok. Kuntum yang paling saya kasihan. Mula-mula bila dipanggil namanya dia menyahut. Kemudiannya dia mendiamkan diri bila dipanggil namanya. Panjang lebar dia menerangkan bahawa namanya ialah Kuntum bukan Kutung.
Akan bersambung. Ikuti Bab kedua.
Thursday, April 15, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat: Sambungan
Sebelum pilihanraya, orang-orang kampung seperti baru bangun dari tidur dan bangunnya kesiangan pula. Ributnya tidak menentu. Semangatnya membara dan menjulang. Riuhnya cerita tidak lagi bertempat dan tidak lagi menentu masa. Antara sokong dengan bantah. Yang satu kata kita akan merdeka. Yang sebelah sana mengatakan tidak mungkin. Jarum sebatangpun orang Melayu belum pandai membuatnya. Macam mana hendak merdeka dalam keadaan begitu.
Pejuang-pejuang ketika itu bangga dengan baju dan seluar sedondon putih. Yang wanita berbaju putih, berkain merah dan bertudung merah. Kempen di merata-rata tempat. Dalam umur 9 tahu saya turut sama menyibuk. Satu budaya baru bagi orang kampung. Ada kempen pilihanraya. Tetapi istilah-istilah yang diguna tidak secanggih sekarang. Laungan merdeka di mana-mana. Gamat satu negara.
Kempen di kampung cukup sederhana. Yang datang Jabatan Penerangan. Jalanraya belum ada. Maka kesemuanya diangkut dengan motorbot. Penjana kuasa, layar tayang, projektor dan sebagainya. Hanya perlukan pentas kecil. Jabatan Penerangan memainkan rakaman-rakaman yang bermacam-macam sebagai kempen untuk menunjukkan aktiviti positif pemerintah. Lazimnya ada tayangan filem-filem lama. Yang paling kerap ialah cerita koboi atau cerita komidi. Bila cerita sampai ke kemuncaknya, tayangan dihentikan. Sesi kempen bermula. Jadi anti-climax betul.
Orang parti mulalah berucap. Calon pun berucap. Kira-kira sejam kempen tamat. Tayangan disambung semula. Oleh kerana suspennya ditangguhkan, orang ramai setia menunggu tamat cerita. Orang yang kempen entah di mana, yang menonton wayang leka malam semakin tua. Seingat saya ada tiga tempat saya terlibat mengikuti kempen. Pertama di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Kedua di Sekolah Kebangsaan Seri Maimun. Ketiga di Sekolah Kebangsaan Parit Jawa. Ruang kempen yang ada, hanya padang sekolah. Kesemua pemimpin menjelajah ke semua pelosok tempat. Yang Melayu ke kampung-kampung. Yang Cina ke bandar-bandar. Yang India ke estet-estet. Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Di tiga sekolah yang saya sebut tadi, saya melihat dari dekat Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama berkempen. Rasanya itulah kali pertama saya mendengar orang Kedah bercakap. Bapa mertua saya, hingga sekarang masih bangga mengunung kerana Tungku menyeberang sungai dengan perahunya. Keterlibatannya dalam UMNO cukup kuat ketika mudanya dahulu.
30 Ogos 1957, berbas-bas orang kampung berhimpun di Bandar Hilir, Melaka. Saya yang masih kecil hanya merasakan bahangnya, tidak melihat debarannya. Tidak menyaksikan syahdunya. Hanya ceritanya yang dikutip dari mulut ke mulut betapa saat perisytiharan kemerdekaan itu dilaungkan dilaungkan dilaungkan sebanyak 11 kali. Laungan yang disambut ramainya orang yang gembira dan bangga merdeka bergema di Bandar Hilir itu. Tanah pesaka yang mula dijajah pada tahun 1511 itu akhirnya bebas juga dari cengkaman penjajah selama 446 tahun. Hampir setengah alaf lamanya.
31 Ogos 1957 umur saya 10 tahun. Tetapi usia saya ketika itu mengerti ertinya merdeka. Kita akan bergerak menurut rasa gerak kita untuk memacu negara ke mercu kejayaan. Barangkali apa yang kita lihat sekarang ini adalah impian-impian samar yang saya dengar pada tahun 1955 dulu. Yang kempennya saya ikuti, melalui jalan-jalan gelap yang menyukarkan. Luapan semangat juang untuk berdiri sendiri. Membina jatidiri sendiri. Untuk jatuh dan bangun sendiri. Itulah terapan hasrat dan semangat orang-orang lama yang tidak pernah berbaur untuk mencipta nama atau untuk menghimpun harta benda. Dua orang Yang Berhormat di kampung saya, hidup biasa seperti biasa. Rumah kayunya masih kekal hingga sekarang. Tidak berganti dan tidak berperabot Itali. Tiada juga langsir dari Perancis. Tiada juga Mercedes dari Jerman. Anak cucunya hanya mewarisi namanya dan bekas jasanya.
Itulah semangat juang yang diterjemahkan. Yang direalisasikan. Waktu saya sekolah dahulu setiap menjelang detik 12.00 tengah malam 31 Ogos, saya pasti berdiri berhampiran dengan radio saya. Detik bunyi jam dari menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, dan bergemanya lagu Negaraku pasti menggetarkan seluruh tubuh kurus dan kering saya. Semangat lagu itu meresap hingga ke tulang sum-sum saya. Seluruh jiwa dan raga saya terbang bersama semangat yang sudah lama dibakar. Saya tertegak berdiri sambil mulut menyanyi lagu Negaraku yang seperti memukau mulut untuk menjerit sama. Jeritan batin jiwa yang telah terlalu lama dijajah. Yang telah terlalu lama dipijak dan diijnak. Yang sudah terlalu lama diperah hartanya. Yang telah lama mengkayakan tuan-tuan penjajah. Yang telah terlalu lama menidakkan hak-hak diri dan peribadi.
Berlalulah zaman-zaman penjajahan itu. Seorang demi seorang penjajah itu pulang meninggalkan tanah pusaka ini kepada yang berhak. Lalu perencanaan dilaksanakan untuk merubah lanskap dan senario negara dari mundur kepada membangun dan seterusnya menjadi maju menjelang 2020. Saya hanya seorang guru, seorang pendiddik. Saya bukan pejuang sebenarnya yang gelanggangnya besar dan global. Gelanggang saya sempit dan kecil. Perjuangan saya untuk mengangkat anak bangsa dari kemelaratan ke tahap ampuh membina keselesaan. Membina harga diri yang lebih baik, lebih perkasa kedudukannya.
Sudah hampir 54 tahun senario itu terpahat di sanubari saya. Masih segar dalam ingatan. Susahnya zaman-zaman sebelum merdeka. Tetapi susahnya hanyalah fizikal kerana makan minum tidak pernah menjadi masalah. Setelah 54 tahun merdeka kita masih menemui insan-insan yang lebih payah hidupnya dari saya yang serba payah dahulu. Rupanya sejarah manusia bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga tidak pernah surut padam dari kesusahan dan kepayahan. Sekarang ini kepayahan kita ialah material. Hidup dalam dunia komersil. Tidak ada yang percuma. Hatta udara harus dibayar kerana terlalu pencemarannya.
Generasi saya sudah mula surut pupus. Hanya saki baki pesaka warisan yang tinggal. Generasi baru pelapisnya yang pasti mengganti. Ambillah iktibar dari kejayaan dan kegagalan masa lalu untuk diterjemahkan semula, diolah semula, dirawat semula, dirancang semula. Kemerdekaan itu hak tetapi bukan keistimewaan. Mendaptkannya tidak sesukar mana (bagi kes Malaysia) tetapi menjaga dan memperkembangkannya perlukan penelitian yang jauh melampaui zaman yang nun jauh di hadapan. Bila sampainya? Andalah yang merencanakannya. Saya lepaskan baton kepada anda semua.
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat
Entah kenapa ya? Inggeris telah lama kita halau dari tanah air tercinta ini. Namun semangatnya tetap kuat menjajah kita. Menjajah minda kita. Menjajah budaya kita. Menjajah seluruh kehidupan kita. Orang kitapun cukup kuat berkiblatkan London walaupun relevannya sudah tiada. Pada tahun 1986 saya transit di London dalam perjalanan pulang dari USA. Di Oxford Street saya window shopping. Nak membeli tidak terlarat wang dan beratnya. Barang yang dari USA sudah hampir satu kapal. Di sebuah kedai barangan kaca, saya jadi terpegun. Jelas dalam tulisan Jawi. Ya di Oxford Street London. London bang. Orang putih yang sudah berdekad-dekad kita halau dari tanah tercinta ini, masih menggamit orang Malaysia dengan tulisan Jawi.
Tentunya orang Melayu yang mereka maksudkan. Saya tunjukkan tulisan itu kepada isteri dan anak-anak saya. Orang Malayu yang mana ya membaca Jawi. Tentu sekali orang Melayu yang berpendidkan Melayu. Mereka mungkin kaya atau anak-anaknya berada di London. Yang mereka tahu ialah membaca Jawi. Begitulah darjah kepekaan orang putih. Pelanggannya diutamakan. Diraikan. Kembang hidung dan dada orang Melayu. Negaranya merdeka. Bahasa dan tulisan Jawinya diberikan kepada orang Inggeris.
Tulisan itu berbunyi: "Tolong jangan sentuh." Tahun 1986 tulisan Jawi sudah lama dipinggirkan di Malaysia. Orang Malaysia sudah lama membuang warisannya. Heritagenya. Tetapi orang putih masih lagi menjaga warisan kita. Ingatkah kita sewaktu Sir Stamford Raffles mula berkomunikasi dengan Sultan Husin Shah di Singapura? Raffles menulis dalam tulisan Jawi kepada Sultan Husin. Hingga tahun 1986 orang putih masih ada yang menggunakannya. Ke mana sebenarnya kita membawa jatidiri kita. Warisan sendiri yang zaman berzaman menjadi khazanah berharga, kita buang, kita abai, kita pinggir, kita campak begitu sahaja. Kadang-kadang kita megejar bayang, ilusi yang realitinya mungkin tidak ada.
Pada minggu lalu TV menyiarkan seorang Cina yang sudah berumur di Perlis yang hanya selesa membaca dalam Jawi. Dia hanya membaca akhbar Jawi. Utusan Zaman. Suatu ketika dahulu RTM menyiarkan rancangan menulis dan membaca Jawi. Nak tahu? Pengendali rancangan itu adalah seorang guru Cina. Selain dari Pak Matlob yang tidak pernah jemu dengan perjuangan Jawinya, tidak kedengaran lagi pejuang-pejuang sepertinya. Sisipan Utusan Zaman terpaksa ditaja untuk diterbitkan sekali setiap minggu. Itupun entah siapa yang membacanya. Bagaimana nanti kita ingin kembali menelusuri sejarah bangsa kita. Manuskripnya bertulisan Jawi bertabur di London, Leiden dan banyak lagi bandar-bandar besar di Eropah. Marilah kita renungkan bersama.
Mengapakah kita menjadi tidak sayang, tidak cinta dengan milikan kita sendiri, warisan kita sendiri, lambang sejarah kita sendiri? Bangsa lain yang maju tidak pernah mengabaikan bahasa dan tulisan mereka. Mereka tidak pernah tercicir berbanding dengan rujukan kita iaitu Inggeris. Di Barat kita senaraikan: Perancis, Sepanyol, Jerman, Itali, Greece, Rusia, Belanda, Belgium, Denmark dan negara-negara Scandinavia. Di Asia tidak kalah dengan Jepun, Korea dan Cina. Siapa yang kita hendak jadikan rujukan sebenarnya? Bila sebenarnya kita harus tegak berdiri membina jatidiri kita sendiri. Semangatnya telah diberi oleh Barnes dalam laporannya. Semangatnya telah diberi oleh Fenn-Wu yang menyokong Barnes. Kita undur ke belakang. Kita terlalu akomodasi. Lalu peluang yang di depan mata terabai. Akibatnya hingga sekarang kita belum berhenti bercerita tentang perpaduan kaum. Alangkah jika kita menurut jejak Indonesia. Tentu bahasa dapat menyatukan kita semua.
Di Negara Cina ada rancangan Radio Melayu Beijing. Mereka fasih berbahasa Melayu. Kita telah pula mengadakan pidato Bahasa Melayu yang pesertanya orang bukan Melayu dari seluruh dunia. Ini bermakna Bahasa Melayu telah jauh merantau, telah lama bermastautin, telah lama bermukim, telah lama bertahta di hati dan nurani bangsa-bangsa lain di dunia ini. Kita pula meminggirkannya. Musibah jika tidak disedari, jika tidak diinsafi, jika tidak dibendung, jika tidak diatasi.
Tahun 1979 saya berlegar di Pudu Raya dalam perjalanan untuk ke Ipoh kerana saya bertugas di Politeknik Ungku Omar. Saya disapa oleh seorang pemuda Cina. Cikgu, cikgu kenal saya? Dalam loghat Indonesia pekat. Pelik saya. Macam mana seorang pemuda Cina Indonesia bertanya begitu kepada saya. Oleh kerana lama saya terdiam, dia menyambung. Cikgu dulu mengajar saya Bahasa Indonesia di Terengganu. Saya dari Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin. Barulah ingatan itu menerpa kembali. Memang saya dulunya guru Bahasa Malaysia. Opsyen saya semasa latihan perguruan dulu ialah Bahasa Malaysia dan Geografi.
Silabus tingkatan empat dan lima mengandungi topik Bahasa Indonesia. Kebetulan saya berjeturunan Jawa. Bahasa Indonesia bukan asing bagi saya. Lancar saya mengajarnya. Sewaktu saya kecil, keluarga berbahasa Melayu Indonesia di rumah. Bukan telinga tetapi kuping. Bukan hidung tetapi cungur. Bukan leher loghat Melayu Riau tetapi leher loghat Indonesia/Jawa. Lalu saya bertanya, kok bisa omong Indosenia? Saya tiga tahun di Jakarta cikgu. Nulungi paman saya niaga kedei foto. Hanya tiga tahun, seorang Cina dari Malaysia berada di Jakarta, kembali ke Malaysia sudah tidak ada loghat Terengganunya. Sayangnya keadaan seperti itu tidak berlaku di Malaysia. Sukar sangatkah untuk berbahasa Melayu sedangkan di sekeliling ini adalah tanah Melayu, budaya Melayu, makanan Melayu, persekitaran Melayu. Ke mana jari harus ditudingkan. Malas juga untuk menyatakan. Terlalu lama dipendam perasaan. Kita sudah hilang jatidiri.
Sekarang kita masih lagi berada di banyak persimpangan. Bahasa kita atau bahasa orang. Dengan Bahasa Melayu, kita telah merentas ke Cina. Kita bawa pulang Puteri Hang Li Po. Kita terima singgahnya Laksamana Cheng Ho. Ramainya pedagang Islam dari Gujerat dan Yaman. Datangnya penjajah dari Barat. Orang Arab, Cina, India, Siam, Portugis, Belanda dan Jepun tidak mengambil Bahasa Melayu dan diganti dengan bahasa mereka. Kita menolak, kita tepis, kita tangkis, kita buang, kita tolak ke tepi. Malang sungguh dalam silat yang rancak, dalam langkah yang kejap, dalam pukulan dan tangkas mengelak, badi Inggeris tidak dapat dipatahkan. Kita longlai dengan Inggeris. Kita lunak dengan Inggeris. Tidak satu bangsapun di Barat yang sukakan British. Lain pula dengan orang Melayu khususnya.
Suatu ketika di Niagara Falls, Canada saya cuba berbual dengan seorang ibu (kelihatan biasa seperti orang putih yang lain). Hi, where're you from? Jawapannya menyentap dada saya. I no speak English! Bukankah ia bercakap Inggeris? Tetapi kepadanya semangat anti Inggeris terlalu tinggi. Di Canada orang Perancis yang menguasai Quebec bertahan dengan Bahasa Perancis mereka. Sebab itu di Canada semua label barangan adalah dwi bahasa. Inggeris dan Perancis.
Bersambung nanti, cerita-cerita menjelang merdeka. InsyaAllah.
Wednesday, April 14, 2010
Rokok Oh Rokok, Yang Haram dan Mengharamkan
Rokok bukanlah asing bagi saya. Datuk saya dahulu merokok. Rokok gulung daun nipah. Sayapun pandai menyiat daun nipah dahulu. Kebetulan ada serumpun nipah di tepi rumah saya. Hairan juga. Nipah selalunya di tepi sungai dan berhampiran dengan laut atau terkena air masin. Yang di tepi rumah saya cukup subur. Daun yang tua dibuat atap. Yang muda disiat untuk dikeringkan dan dijadikan pembalut tembakau. Buahnya pula boleh dimakan. Mayangnya boleh disadap untuk mendapatkan gula nipah. Serba guna juga pokok nipah ni.
Bapa-bapa saudara saya merokok. Sepupu-sepupu saya merokok. Jiran-jiran saya merokok. Orang kampung saya merokok. Rokok adalah mainan. Biasa. Tidak ada yang luar biasa. Saya dulu adalah perokok. Saya mula merokok dengan mencuba-cuba apabila sepupu saya selalu datang ke rumah. Cubaan itu sebenarnya yang menjadi ketagihan. Saya mula merokok sewaktu di tingkatan dua pada tahun 1962. Umur 16 tahun.
Di kampung semua lelaki merokok. Jika tidak merokok seperti ganjil. Bila ada majlis kenduri kahwin, saya selalu rewang. Sesiapa yang rewang sekurang-kurangnya mendapat dua hadiah. Tuala putih Good Morning untuk mengelap peluh dan sekotak rokok. Sekecil manapun lelaki itu, sekotak rokok pasti haknya. Rokok tidak ada keistimewaannya. Perkara biasa, lumrah. Sesuatu yang perlu dihisap asapnya. Tidak kenyangpun. Minda dan psikologi sahaja mengatakan ia menenangkan fikiran, mendamaikan. Mungkin nicotinenya dan unsur dadah yang lain meresap ke dalam minda hingga menjadikan ketagihan. Lahirlah istilah-istilah damai, tenang dan warna warni ilusi dan bayangan. Mencari damai sendiri yang entah di mana buktinya.
Secara saintifiknya, secara statistiknya, rokok adalah pemusnah diri, pemusnah keturunan. pelayar yang bernama Sir Walter Raleigh merupakan orang British yang bertanggungjawab, yang memulakan tradisi memusnah diri ini. Dalam pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin Red Indian di USA dia biasa dihidangkan rokok yang dihisap bergilir-gilir dengan tetamu. Ketagihannya dibawa ke England. Bermulalah episod komersilnya dan hingga sekarang rokok itu ada hubungannya dengan London. Tembakaunya mungkin dari Kentucky atau Virginia di USA.
Dari dahulu lagi rokok sentiasa kontroversi. Bukti-bukti perubatan dan saintifik menunjukkan bahawa rokok menyebabkan berbagai penyakit. Semua laluan dari mulut, hidung, tekak, paru-paru, hati, jantung, usus, otak dan banyak lagi terkena bahana asap rokok. Terlalu banyak cerita mengenai barah dan komplikasi penyakit bagi orang-orang yang merokok.
Secara fizikal, seorang perokok adalah kotor. Tangannya kotor antara air liur dan bakteria yang melekat di jarinya. Tubuhnya, pakaiannya, nafasnya semuanya adalah lambang rokok. Udara di sekelilingnya adalah cemaran, racunan asap rokok yang tidak pernah kasihan kepada sesiapa. Malang sekali bagi anak isteri yang ketua keluarganya merokok. Dia meracun dan membunuh sel-sel baik dalam diri mereka. Maka tercemarlah ahli keluarganya dengan main-main dan kebiasaan rokoknya. Implikasinya besar dan bagi ahli keluarga yang alahannya tinggi atau yang darjah imunnya rendah maka penyakitlah padahnya.
Saya berhenti merokok pada tahun 1982. Sebelum itu seorang rakan berhenti merokok. Dia ialah Datuk Dr Abdul Isa bin Ismail yang sekarang menjadi speaker DUN Negeri Kedah. Beliau pernah bersama saya di Politeknik Ungku Omar sebelum bertugas di POLIMAS dan kemudiannya di UUM. Selepas saya seorang lagi berhenti merokok iaitu Dr Yusof Ibrahim yang juga bersama saya di Politeknik Ungku Omar dan kemudiannya juga bertugas di UUM.
Sebelum berhenti merokok saya mencuba semua jenama rokok dari yang ada filter hingga yang tiada filter. Pall Mall, Lucky Strike, Navy Cut adalah antara jenama-jenama rokok yang tidak berfilter. Bila dihisap, asapnya terus ke otak. Waktu di Universiti Malaya dahulu saya memang galak menghisap rokok. Menambah ilham konon. Walhal ianya hanya kebiasaan kurang bijaksana. Tidak mengambil pusing risiko dan implikasainya. Wang yang tidak seberapa, dibazirkan begitu sahaja.
Isteri saya barangkali banyak membantu. Selalu disorokkannya kotak rokok saya. Bila tidak ada saya tidak bertanya. Saya tidak juga mencari. Sama ada saya beli yang lain atau tidak merokok. Lama kelamaan kebiasaan itu semakin kurang kerap. Akhirnya pada tahun 1982 itu saya berhenti merokok. Selepas berhenti merokok, saya mencuba juga sekali-sekala untuk kembali menikmatinya. Sesuatu berlaku yang mengubah senario buat selama-lamanya. Mulut saya terasa payau, kepala menjadi pening dan rasa tidak selesa setiap kali mencuba. Inilah penyudahnya, kata saya. Maka berhentilah saya dari menghisap rokok. Suatu amalan biasa dari tahun 1962 hingga tahun 1982. Pengalaman biasa dan luar biasa selama 20 tahun. Entah bagaimana berkaratnya peparu saya. Diasap selama 20 tahun. Bukan panjang tetapi suatu jangka masa yang sangat panjang.
Bayangkan asap tokok itu di kereta, rumah, kedai, pejabat atau setengah orang di masjid dan surau. Perokok memang orang yang tidak peka. Mereka menjadi orang-orang yang tidak langsung sensitif, tidak peduli, tidak ambil pusing akan ketidakselesaan orang lain. Kemabukan orang lain. Kebencian orang lain. Kerisauan orang lain. Malah ketakutan orang lain. Di USA kajian menunjukkan bahawa ibu yang merokok boleh melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cacat anggota bahkan juga cacat otak. Fikirkan kesannya kepada second hand smoker. Isteri dan anak yang menghisap rokok walaupun mereka pada hakikatnya tidak merokok. Asap rokok sentiasa mereka hisap tanpa menghisap rokok.
Cuba fikirkan setiap kali hendak membeli rokok. Urungkan. Balik ke rumah simpan untuk tabungan pendidikan anak-anak dan masa depan mereka. Jika sehari mencecah RM10, maka RM3,600 setahun. Untuk 10 tahun apabila anak itu melangkah ke IPT sudah ada tabungan sebanyak RM36,000. Tidak perlu biasiswa, tidak perlu PTPTN, tidak perlu Baitul Mal, tidak perlu wang zakat. Zakatilah dirimu dan diri keluargamu.
Di Malaysia, ada undang-undang yang mencegah dan mengharamkan rokok di premis tertentu. Tetapi masalahnya undang-undang tinggal undang-undang. Penguatkuasaanya tiada. Practicalitynya tidak ada. Di negara maju seperti USA dan Canada, perokok adalah orang-orang yang menjadi makhluk terpinggir. Di pejabat umpamanya, perokok diasingkan dari yang bukan perokok. Di Kedai makan mereka diasingkan. Tempat awam memang dilarang merokok sama sekali. Bila pendidikan sudah tinggi, kesedaran publik sudah tinggi, sivik mereka sudah tinggi, mereka yang merokok menghormati hak orang yang tidak merokok. Mereka meraikan orang-orang yang bencikan rokok.
Perokok biasanya ditempatkan dalam bilik yang sama. Mereka bebas merokok yang pada hakikatnya mereka berbunuhan antara satu sama lain. Mereka merosakkan antara satu sama lain. Mereka menghapuskan antara satu sama lain. Mereka mencemarkan antara satu sama lain. Bilik mereka tidak boleh dihampiri. Memang killing atau exterminating chamber. Bila penghuninya keluar, bau rokoklah seluruh jalur perjalannnya. Lemas orang lain dibuatnya.
Akhir-akhir ini banyak usaha untuk menghalang implikasi negatif terhadap kesihatan perokok. Risoko kepada second hand smoker belum ada siapa yang ingin membela. Yang paling mengejutkan ialah penemuan bahawa untuk menyaring mudarat asap rokok, bahan dari darah merah babi digunakan pada filter rokok. Ya bahan dari BABI. Kajian ini di Denmark. Dijalankan oleh orang bukan Islam. Tiada kepentingan kepada mereka. Tetapi bagi perokok yang beragama Islam, sila berhenti sebentar. Rokok sudah di sepakati bahawa paling ringan hukumnya ialah makruh. Jumhur ulamak mengatakan rokok adalah haram. Bagaimana pula haram itu jika ditambah dengan satu lagi haram. Bahan dari babi yang haram? Takkan dua kali haram masih tidak memberi kesannya?
Bagaimana perokok yang mengerjakan solat tanpa menggosok gigi dan membasuh mulut? Babi yang haram ini, tidakkah perlu disertu? Aduh, gawat jadinya. Haram rokok setakat berdosa. Haram bahan dari babi perlu disertu. Disamak? Disucikan? Perlu mandi lumpur atau genyeh mulut dengan tanah. Fikirkanlah panjang-panjang. Dunia semakin tua. Qiamat semakin hampir. Hindarkanlah yang negatif yang tidak diredhai agama.
Atuk, pak cik, abang, adik dan anak-anak yang menjadi perokok, fikirkan dan buatlah pertimbangan yang waras. Hendak terus dengan amalan dan ketagihan atau menghindar untuk menyelamatkan diri dari menyedut benda haram setiap waktu. Haram yang di mulut dan di badan itu perlu ke dipalitkan kepada isteri tersayang? Kepada anak tersayang? Allahu Akbar. Cukup-cukuplah hingga setakat ini. Apa lagi yang boleh dijadikan alasan untuk menghalang diri dari terus merokok? Tepuk dada tanya kewarasan minda. Tanya kewajaran hukumnya. Cubalah. InsyaAllah boleh berhenti. Saya telah lama berjaya. Sudah 28 tahun saya tinggalkan rokok. Saya bukan bercakap dari segi teori. Saya ada pengalaman itu. Pengalaman mengajar saya. Hidup lebih bahagia. Anak isteri akan lebih selamat. Generasi akan datang bebas dari pengaruhnya. Kata Adibah Nur, "Anda boleh mengubahnya!"
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Tiga
Sekolah itu kira-kira 15 km dari kampung saya. Malangnya saya kena menunggang basikal dan menyeberang sungai menggunakan perahu. Jika setiap pagi bertolak dari rumah, memang sukar untuk sampai di sekolah pada waktu yang ditetapkan. Itu tidak termasuk dengan hujan, banjir dan lain-lain gangguan di jalan. Kebetulan ibu susuan saya (ada ceritanya pada pos yang lain) dan kakak sesusuan saya tinggal berhampiran dengan sekolah tersebut. Maka untuk kemudahan saya menumpang di rumahnya. Tidak ada masalah kerana ibu susuan itupun isteri kepada abang ayah saya. Ibu saudara saya sendiri. Dia pula tiada anak lelaki. Sayangnya pada saya memang luarbiasa.
Waktu itu saya sudah bertunang. Memang tengah jiwang-jiwang. Merindu tidak tentu arah. Cerita dulu-dulu. Tunang saya masih bersekolah. Tingjkatan 4. Cantiknya masih kekal hingga sekarang. Masa gadisnya buatkan saya gila semacam. Anak-anak angkat saya dah ramai yang melihatnya sendiri. Tanyalah mereka. Seperti saya sebut dulu, isteri saya pandai memasak. Siapa yang makan masakannya pasti terkenang-kenang. Entah bila dapat makan lagi masakannya.
Menjadi guru sementara di kampung banyak kenangannya. Guru sementarapun ramai peminatnya. Budak-budak darjah enam ramai yang berminat. Anak dara kampung lagilah. Bila saya mandi (di parit hadapan rumah) ramai yang lalu lalang. Ada pula yang bermasam muka sesama sendiri. Saya mana tahu. Tidak ada yang berani menyatakan perasaan. Saya introvert. Jeling berani, bertentang mata, kur semangat, memang terbang semangat. Selepas saya tinggalkan sekolah itu, barulah saya dapat cerita-cerita mengenai saya di kampung itu dahulu. Alhamdulillah saya boleh bertahan menggalas cinta saya. Kekal hingga sekarang.
Mengajar tanpa pengalaman profesional banyak masalahnya. Saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya lakukan di dalam kelas semasa proses P & P. Apa yang saya ingat, saya rujuk imej visual dalam minda tentang gaya guru saya dahulu mengajar. Itulah panduan saya mengajar. Kursus tidak ada. Bimbingan tidak ada. Guru sementara memang serba serbi sementara. Mana ada psikologi, mana ada falsafah, mana ada pedagogi. Semuanya direntas berani semacam. Ajar tetap ajar. Bagaimana? Pandai-pandailah mengurus kelas dan masa.
Kanak-kanak kampung tidak banyak karenahnya. Darjah kepatuhan mereka hampir 100%. Oleh itu tidak ada masalah mengajar. Cuma itulah, jika guru sandaran terlatih tentulah dapat memberi khidmat yang terbaik untuk mereka. Aktiviti ko-kurikulum tidak banyak. Masa banyak untuk membuat kerja lain. Mendengar radio paling kerap.
Bila ada ujian, guru kena menaip kertas soalan masing-masing. Komputer belum disebut namanya pada masa itu. Rasanya sudah ada sebab ilmuan Islam telah mencipta prototypenya. Bagi kami ketika itu, tahun 1966, soalan ditaip menggunakan mesin taip. Mesin taip itu pula besar dan berat. Selalunya berjenama Remington. Kami menggunakan stensil. Taip ke atas stensil. Bila silap ada alat pemadamnya. Undurkan dan taip semula di atas kesilapan tadi. Bila siap kami gelek untuk mencetaknya menggunakan mesin cetak berputar. Sekolah di kampung tiada elektrik. Maka mesin itu saya gelek dengan memutarkan pemegangnya. Macam-macam hal. Selalunya selepas mencetak soalan akan comot tangan terkena dakwatnya. Hingga tahun-tahun 80an di Politeknik Ungku Omar, Ipoh saya masih menggunakan teknik yang sama.
Suatu hari sewaktu saya menaip soalan di rumah, menggunakan mesin taip sekolah, datang suami sepupu saya. Umurnya sekitar 60 tahun. Melihat saya menaip geleng kepalanya seperti hendak tercabut. Kagumnya bukan kepalang. Mulutnya berdecit-decit tidak berhenti-henti. Tidak terkata kagumnya. Agaknya jika ia masih hidup sekarang ini, tentu pitam atau pengsan melihat mudahnya kita menggunakan laptop yang diusung ke sana ke mari. Tak ada hal kepada kanak-kanak. Semuanya sangat mudah dan memudahkan.
Masa dulu-dulu kesusahan dan kepayahan di mana-mana. Api dan air semuanya kurnia Allah. Minum dan makan air hujan. Waktu malam pelita minyak tanah. Memasak menggunaka kayu api. Gas belum ada. Petronas belum wujud. Hiburan hanya radio menggunakan bateri, dry cell. Di kampung hiburan lain adalah ghazal, orkestra kampung, kemudiannya datang kugiran (kumpulan gitar rancak). Jika pada tahun 50an hiburan radio banyak berpusat ke Radio Singapura pada tahun 60an arahnya mula ke Radio Malaya (sekarang Radio Malaysia - RTM).
Radio Singapura menghidangkan bangsawan di radio, lagu-lagu permintaan dan drama radio. Tahun 60an hiburan radio lebih kepada muzik baru yang bermula dengan twist lalu bertukar kepada ago-go. Rock-and-roll masih popular, termasuk jazz, romba, samba, joget, cha-cha, waltz, pop rock dan banyak lagi sebelum bertukar kepada genre muzik yang berat seperti sekarang.
Hiburan untuk anak-anak muda tentulah lagu-lagu pop. Bergemalah lagu-lagu M Osman, Datuk Jeffry Din, Datuk Ahmad Jais, Datuk A Rahman Hasan, S Mariam, Dayangku Faizah, A Ramlee, L Ramlee, J Sham, Kartina Dahari, Rafeah Buang, M Ishak, Zaleha Hamid, Sanisah Huri, A Rahman Onn. Ramai lagi yang jika disenaraikan memang panjang. Antara lagu popular yang hingga sekarang masih lunak didengar ditelinga, Oh Fatimah, Salam Muhibbah, Kenangan Mengusik Jiwa, Seruling Bambu, Kenanganku, Kucupan Azimat, Di Ambang Sore. Aduhai, masa yang berlalu membawa bersamanya lemah gemalai, lenggang lenggok lagu-lagu pop tahun 60an. Klasik Nasional sentiasa menyegarkan dengan lagu-lagu tersebut.
Zaman 60an, hiburan lain yang sangat popular ialah fun fair di kampung-kampung. Bukan apa sangat. Yang ada hanya sebuah pentas. Penyanyi jemputan, dari Singapura biasanya akan diundang menyanyi beberapa lagu. Diselang pula dengan drama sebabak dua. Atau jenaka beberapa ketika. Ada pula orang kampung yang menyanyi. Di lingkaran luar ramai pula orang berjualan. Masa dulu-dulu itu yang dijual ialah lepat pulut, pecal, kuih muih kampung, pisang goreng. Ada kuih koci, belebat, naga sari, epok-epok, keria, lontong dan soto.
Meriahnya kampung bila sesekali berhibur begitu. Berduyun-duyun juga mereka dari kampung-kampung berhampiran. Penuh sesak jalanraya. Semak samun menjadi terang. Tanah becak menjadi kering.
Kembali cerita guru sementara. Psikologi patut di ajar di sekolah menengah. Semua anak muda tahu psikologi. Sekurang-kurangnya boleh psiko diri sendiri. Bila bekerja tahu, ke tengah dan ke tepi. Bukan main sesuka hati. Membentuk gaya kepimpinan yang entah dari mana. Berguru tidak juga. Selain dari berbakat, kepimpinan hendaklah dipelajari, dipupuk dan sentiasa dikemaskini. Keperluan semasa tidak sama dengan keperluan masa hadapan.
Walau bagaimanapun, pengalaman menjadi guru sementara itulah sebenarnya suntikan semangat bahawa saya boleh menjadi guru secara realiti. Jawatan guru sementara itu mengajar saya berinteraksi, mengurus diri dengan lebih berketrampilan, berkomunikasi, berkemahiran sosial, mengurus kewangan, membantu rakan sebaya, mengurus masa dan membina kerjaya.
Dari kampung ke kampung, kembara saya berlabuh dalam latihan pergururan Pusat Latihan Daerah (Regional Training Centre -RTC). Saya memang introvert. Tetapi menjadi guru sementara itu melatih saya berhadapan dengan audien, membina kemahiran bertutur, mengawal suara, memainkan intonasi, melawak dan membina kemahiran bersosial.
Dalam merentas masa yang panjang, menjadi guru sudah sebati. Sudah mendarah daging. It comes naturally. I maybe a born teacher. Cuma saya tidak sedar potensi itu. Jika saya telah memilih menjadi kerani, menjadi polis, menjadi tentera tentu saya tidak lagi di sini. Menjadi guru memberi saya ruang untuk mendapatkan ijazah, sarjana. Tidak berkesempatan untuk PhD. Masa sudah suntuk. Masih tersemat niat sebenarnya. Usia bukan penghalangnya.
Waktu saya buat sarjana dulu, ramai rakan-rakan yang kutuk habis. Buat apa, kata mereka. Bukan boleh naik pangkat. Bukan boleh tuntut gaji lebih tinggi. Memang benar kata rang tua, penuhkan ilmu di dada, kelak hidupmu tidak akan susah. Semua yang mengutuk saya dulu akhirnya buat sarjana juga. Tentulah mereka cemburu. Saya ke USA sekeluarga. Anak saya lima orang. Tambang percuma. Ada elaun rumah. Ada elaun keluarga. Waktu itu saya mendapat USD 925. Gaji di Malaysia sepenuhnya tidak berusik di bank. Inilah waktu kumpul duit. Tiap-tiap bulan masuk akaun. Tak diusikpun. Anak-anak makan di sekolah. Percuma lagi. Rasa seronok hidup sekeluarga di perantauan. Nantikan episod di USA.
Dari guru sementara itu saya menimba pengalaman untuk mengawal kelas, untuk membujuk dan bertegas. Untuk menghukum dan memberi ganjaran. Untuk memanja dan untuk menjarak diri. Untuk mengkaunsel dan untuk memberi bimbingan. Guru seperti bapa, tetapi tidak boleh terlalu mesra. Kena ada batasnya. Bermain layang-layang. Bermain tali. Ada masanya dihulur dan ada masanya ditarik.
Indahnya menjadi guru. Alam pendidikan yang jika pandai menjaga diri, tentunya bersih dari amalan tidak sempurna. Kerja dengan ikhlas, dedikasi, komitment. InsyaAllah Allah akan membalas dengan ganjaran yang tidak terhingga. Saya di Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas hanya sekitar enam bulan. Seronok sebenarnya keluar dari sekolah menengah, keluar dari rumah. Berdikari sebentar sebelum menerobos dunia realiti yang sebenarnya. Dunia yang penuh cabaran, penuh dugaan, penuh halangan dan penuh kekangan.
Pengalaman bekerja sebentar memperkayakan pengalaman untuk mentadbir dan mengurus. Pastinya berguna pada masa hadapannya. Bersama anak-anak kampung yang tidak ada bezanya dengan zaman kanak-kanak saya, mengimbau keinsafan bahawa sesuatu perlu dilakukan. Mungkin hasrat itu kesampaian setelah 41 tahun menjadi guru. Tiada statistik untuk dijadikan bukti. Mata kasar melihat anak didik ada di mana-mana. Masih ada yang ingat. Masih ada yang menyapa. Masih ada yang merisik berita. Peratusnya kecil. Yang lain melangkah meninggalkan saya. Tiada berita. Doa saya, mereka berjaya dalam kehidupan mereka. Guru seperti saya hanya mendoakan kebaikan sahaja.
Sejak menjadi guru sementara pada tahun 1966, saya telah berada di beberapa institusi pendidikan yang berbagai tahapnya. Saya tidak pasti jika ada orang muda menegur saya. Di mana pertemuan itu berlaku. Yang karekternya istimewa masih ingat. Yang biasa-biasa yang sukar diingat. Yang mana dari Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, yang mana dari SMK Munsyi Ibrahim, Labis; yang mana dari SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu; yang mana dari SM Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu; yang mana dari SMK Tun Dr Ismail, Parit Raja; yang mana dari SM Sains Kluang; yang mana dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh; yang mana dari Yayasan Perak, Ipoh; yang mana dari USM, Ipoh; yang mana dari SMT Johor Bahru dan yang mana pula dari PLSP/ITTHO/KUiTTHO/UTHM. Jika tidak mengenalkan diri, payah hendak diingat.
Itulah kepuasan seorang guru. Anak didiknya ada di mana-mana. Mereka sedang melaksanakan amanah yang saya sambungkan kepada mereka. Mudah-mudahan akhlak mereka terpuji. Agama mereka kuat. laksanakanlah tugas kerana Allah semata-mata.
Kelas 2009 - Nostalgia Yang Memanjang
19 orang kesemuannya. 17 perempuan, maaf, wanita dan 2 orang lelaki. Menjadi kebiasaan di FPTek, pelajar-pelajarnya ramai wanita. Elok juga rasanya kerana sifat keibuan yang ada pada mereka sangat sesuai menjadi guru. Ada sentuhan kasih sayang, sentuhan lemah lembut, sentuhan menghayun buaian yang jika dilanjutkan ada sentuhan yang akan menggoncang dunia. Lelaki hanya 2 orang sahaja. Entahlah di mana-manapun lelaki menjadi nadir, langka, sukar dicari.
Nur'ain, Nur'alimah, Nuraina, Nurfadzilah, Nurul Husna, Nurul Nadiah, Nurul Sima'a, Paul, Rohaina, Rohana, Salfinatul Nazwa, Siti Khadijah, Siti Rubiyah, Siti Sharina, Siti Syahadah, Siti Zuraiya, Zaliah, Zulafzanizahrin dan Zuraida. Terakam dalam gambar terakhir kelas hanya 15 orang sahaja. 4 daripadanya tidak ditemui hingga sekarang. Hanya 19 orang tetapi tidak kesemuanya boleh diingat. Seperti selalu saya katakan dalam kelas, kita mengingat yang nakal, yang keletah, yang rimbun, yang tinggi, yang cantik dan yang karekternya berbeza dengan yang lain.
Menjadi guru/pendidik bukan kerja yang selalu memberi kepuasan. Tanggungjawab saya hanya mendidik, memberikan panduan, nasihat dan motivasi. Jika diterima dan diamalkan, adalah bahagian amal jariah yang melegakan di alam barzah nanti. Jika tidak diterima, tidak mengapalah. Apapun mereka telah melalui suatu sesi di bawah naungan saya. Mereka telah lulus. Sebahagian besarnya mendapat A.
Seorang guru akan kekal menunggu pelajar lain yang bertandang silih berganti. Guru itu kekal di stesennya hingga tamat perkhidmatannya. Bila kesemuanya berakhir yang tinggal hanyalah kenangan dan imej-imej yang semakin lama semakin pudar. Hanya di sudut hati akan tersimpan satu kenangan lama bersama kemanjaan, keakraban, ragaman dan bersama pula masalah-masalah yang dikongsi bersama. Membangunkan mereka, memberikan bekalan hidup dan bekalan profesional, menyediakan mental dan psikologikal, memberi input-input sarwajagat hanyalah suatu rutin kepada seorang guru seperti saya.
Menjadi pendidik di IPT banyak juga cabarannya. Pelajar sudah membentuk fikiran sendiri. Mereka memiliki intelek, kemahiran berfikir, kreatif dan bersedia meneroka tantangan-tantangan apa sahaja yang menghalang hasrat menjadi pelajar dan graduan terbilang. Tugas pendidik hanya sebagai fasilitator. Membimbing sekadarnya supaya tidak ada yang tersalah langkah supaya hasrat utama untuk berjaya tidak pernah terabai.
Karenah pelajar inilah yang memberi cabaran kepada guru. Apa lagi yang perlu diberi kepada mereka. Apa lagi yang perlu diserahkan sebagai kesinambungan warisan seorang guru. Apa lagi yang dapat melestarikan martabat seorang guru. Harga dirinya, jati dirinya, entitinya, wawasannya, jauh perjalanannya, destinasinya, stesen-stesen hidup yang menjadi perhentian-perhentian sementara seorang guru. Namanya mungkin dijulang. Mungkin juga di jurang. Ikutlah ke mana arah yang dibawa arus dirinya. Ke lurah. Ke bukit. Ke angkasa. Atau ke mana sahaja yang menjadi pilihan hati.
Tetapi sebagai guru banyak pantang larang yang harus dihindarkan. Dunia guru adalah dunia yang berstatus tinggi. Dunia manusia elitis. Dunia manusia yang dianggap putih bersih bak kain putih. Dunia impian untuk menggapai realiti. Dunia penuh rona yang kadang-kadang melebihi seorang selebriti. Dunia yang cantik dan indah di mata anak didik. Dunia penuh glamour di mata masyarakat. Dunia yang kadang-kadang, maaf, penuh ilusi.
Dunia guru ini istimewa. Namun tidak ada janji bahawa guru akan menjadi insan-insan yang istimewa. Sesiapa yang rezekinya melimpah ruah, jalan mudah baginya naik pangkat, menerima penganugerahan dan kenaikan gaji tidak terbatas. Jangan cemburu kepada mereka. Rezeki tiap-tiap seorang tidak sama. Allah menganugerahkan keadilan yang sangat-sangat bersesuaian dengan individu itu.
Kerja sebagai guru, melebihi profesional yang lain. Malang pengikrirafannya tidak seberapa. Dunianya hanya di sekitar tempat kerjanya, rakan sejawatnya dan anak-anak didiknya. Kembali ke dalam masyarakat mungkin perlukan pengorbanan yang melebihi had. Guru bekerja selama"24" jam dalam sehari. Jaganya, tidurnya, makannya, jalannya, duduknya, minumnya, rehatnya adalah kerja. Dalam mindanya hanya bagaimana untuk memandaikan anak didiknya. Untuk mematang dan mendewasakan mereka. Menjayakan mereka. Akhirnya adalah untuk melepaskan mereka mengembara dalam lautan hidup untuk menyambung tugas guru yang tidak pernah selesai.
Ingatlah sewaktu kau melangkah untuk mendapatkan seteguk ilmu dahulu, gurulah yang kau harapkan untuk memberinya. Walaupun teknologi dan kertas bertulis boleh membantu namun hakikatnya guru juga diharap untuk ajar tunjuk, membina keyakinan, meneroka minda, mengembangkan personaliti, menjadi popular, mengejar glamour. Lalu jadilah graduan ternama. Graduan yang menjadi role model kepada adik-adik yang masih mengejar impian. Impian menara gading.
Semua graduan/pelajar/murid meninggalkan alma mater mereka dengan membawa sebahagian daripada diri guru-guru mereka. Sampai bilapun guru itu akan bersamanya. Dalam sedar dan dalam jaga. Sesingkat manapun guru itu bersamanya, impak dan aura guru itu pasti ada bersamanya. Guru yang baik ada impaknya dan guru yang tidak baik juga ada impaknya.
Hari ini Rabu 14 April 2010, kampus menjadi lengang dan sunyi. Keributan selalu dan keributan semalam entah ke mana. Terlalu reda, terlalu damai. Jika pelajar sedih dan hiba meninggalkan kampus, saya merasakan sedihnya kerana saya pernah menjadi pelajar. Kampus adalah tempat kita bertarung, menyabung intelek, berperang dengan keutamaan-keutamaan, menyisih halangan demi halangan, membariskan niat dan hasrat murni, berlabuh di ruang-ruang damai. Jatuh bangun kita di kampus. Tawa dan tangis kita di kampus. Jaya kita bermula di sini. Takut kita yang selalu menghambat jika tidak cemerlang. Bimbang dengan terjahan-terjahan gangguan fikiran yang melemaskan. Kerisauan mendambakan harapan-harapan menggunung. Kekacauan minda yang bersalut teori, andaian, hipotesis dan sisntesis.
Itu belum lagi rakan taulan yang tidak sejalan. Hal-hal peribadi yang terlalu disimpan. Isu-isu diri yang tidak perlu dikongsi. Kekurangan wang ringgit yang selalu menggigitkan jari. Masa-masa berharga yang terlepas sis-sia. Usaha-usaha yang tidak menampakkan kepuasan. Di kampus ini kita bercaturan, merencanakan masa hadapan yang samar. Menggapai tangan yang entahkan sampai. Menduga lautan yang entahkan dalam.
Harapan demi harapan. Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat dilabuhkan segala harapan. Tempat dilunaskan segala janji kepada ibu bapa. Tempat yang menjanjikan keselesaan hidup masa hadapan. Tempat yang sihat dan sakitnya di sini. Tempat berteman dan tempat sepermainan. Tempat bersua rasa dan berpandang mata. Tempat yang menjanjikan segala.
Kesemuanya akan hanya tinggal kenangan. Entah, saya pula yang merasakan itu. Mungkin kerana saya masih terus belajar. Saya masih merasakan ulangan rasa yang datang dan datang lagi. Selalu dilambung ombak harapan yang meninggi.
Kelas 2009, kau istimewa di hati saya. Kenangan yang dibawa, bawalah. Kenangan yang tinggal, benarkan saya menyimpannya. Kita ada bahagian kenangan yang menjadi hak masing-masing. Harapan saya ukhwah kita berpanjangan. Bawalah pergi hati saya bersama kalian. Sisanya tetap di sini. Kembalilah jika ada jalan pulang. Saya tetap menanti di sini. Hiruk pikukmu sentiasa dirindui. Sampai kita ketemu lagi. Jaga dirimu semua baik-baik. Jaga nama baik. Doa saya mengiringimu semua. Doa seorang ayah untuk anak-anaknya. Kalian hilang di mata tetapi masih terpahat kuat di hati. Mudah-mudahan abadi.