Wednesday, April 14, 2010

Kelas 2009 - Nostalgia Yang Memanjang

Semester ini adalah penamat kepada kelas ini. Rasanya mereka kesemuanya telah memenuhi segala syarat. Hanya pengesahan senat sahaja yang diperlukan. InsyaAllah pada bulan Oktober nanti kesemuannya akan diistiharkan sebagai graduan-graduan baru dari UTHM.


















19 orang kesemuannya. 17 perempuan, maaf, wanita dan 2 orang lelaki. Menjadi kebiasaan di FPTek, pelajar-pelajarnya ramai wanita. Elok juga rasanya kerana sifat keibuan yang ada pada mereka sangat sesuai menjadi guru. Ada sentuhan kasih sayang, sentuhan lemah lembut, sentuhan menghayun buaian yang jika dilanjutkan ada sentuhan yang akan menggoncang dunia. Lelaki hanya 2 orang sahaja. Entahlah di mana-manapun lelaki menjadi nadir, langka, sukar dicari.

Nur'ain, Nur'alimah, Nuraina, Nurfadzilah, Nurul Husna, Nurul Nadiah, Nurul Sima'a, Paul, Rohaina, Rohana, Salfinatul Nazwa, Siti Khadijah, Siti Rubiyah, Siti Sharina, Siti Syahadah, Siti Zuraiya, Zaliah, Zulafzanizahrin dan Zuraida. Terakam dalam gambar terakhir kelas hanya 15 orang sahaja. 4 daripadanya tidak ditemui hingga sekarang. Hanya 19 orang tetapi tidak kesemuanya boleh diingat. Seperti selalu saya katakan dalam kelas, kita mengingat yang nakal, yang keletah, yang rimbun, yang tinggi, yang cantik dan yang karekternya berbeza dengan yang lain.

Menjadi guru/pendidik bukan kerja yang selalu memberi kepuasan. Tanggungjawab saya hanya mendidik, memberikan panduan, nasihat dan motivasi. Jika diterima dan diamalkan, adalah bahagian amal jariah yang melegakan di alam barzah nanti. Jika tidak diterima, tidak mengapalah. Apapun mereka telah melalui suatu sesi di bawah naungan saya. Mereka telah lulus. Sebahagian besarnya mendapat A.

Seorang guru akan kekal menunggu pelajar lain yang bertandang silih berganti. Guru itu kekal di stesennya hingga tamat perkhidmatannya. Bila kesemuanya berakhir yang tinggal hanyalah kenangan dan imej-imej yang semakin lama semakin pudar. Hanya di sudut hati akan tersimpan satu kenangan lama bersama kemanjaan, keakraban, ragaman dan bersama pula masalah-masalah yang dikongsi bersama. Membangunkan mereka, memberikan bekalan hidup dan bekalan profesional, menyediakan mental dan psikologikal, memberi input-input sarwajagat hanyalah suatu rutin kepada seorang guru seperti saya.

Menjadi pendidik di IPT banyak juga cabarannya. Pelajar sudah membentuk fikiran sendiri. Mereka memiliki intelek, kemahiran berfikir, kreatif dan bersedia meneroka tantangan-tantangan apa sahaja yang menghalang hasrat menjadi pelajar dan graduan terbilang. Tugas pendidik hanya sebagai fasilitator. Membimbing sekadarnya supaya tidak ada yang tersalah langkah supaya hasrat utama untuk berjaya tidak pernah terabai.

Karenah pelajar inilah yang memberi cabaran kepada guru. Apa lagi yang perlu diberi kepada mereka. Apa lagi yang perlu diserahkan sebagai kesinambungan warisan seorang guru. Apa lagi yang dapat melestarikan martabat seorang guru. Harga dirinya, jati dirinya, entitinya, wawasannya, jauh perjalanannya, destinasinya, stesen-stesen hidup yang menjadi perhentian-perhentian sementara seorang guru. Namanya mungkin dijulang. Mungkin juga di jurang. Ikutlah ke mana arah yang dibawa arus dirinya. Ke lurah. Ke bukit. Ke angkasa. Atau ke mana sahaja yang menjadi pilihan hati.

Tetapi sebagai guru banyak pantang larang yang harus dihindarkan. Dunia guru adalah dunia yang berstatus tinggi. Dunia manusia elitis. Dunia manusia yang dianggap putih bersih bak kain putih. Dunia impian untuk menggapai realiti. Dunia penuh rona yang kadang-kadang melebihi seorang selebriti. Dunia yang cantik dan indah di mata anak didik. Dunia penuh glamour di mata masyarakat. Dunia yang kadang-kadang, maaf, penuh ilusi.

Dunia guru ini istimewa. Namun tidak ada janji bahawa guru akan menjadi insan-insan yang istimewa. Sesiapa yang rezekinya melimpah ruah, jalan mudah baginya naik pangkat, menerima penganugerahan dan kenaikan gaji tidak terbatas. Jangan cemburu kepada mereka. Rezeki tiap-tiap seorang tidak sama. Allah menganugerahkan keadilan yang sangat-sangat bersesuaian dengan individu itu.

Kerja sebagai guru, melebihi profesional yang lain. Malang pengikrirafannya tidak seberapa. Dunianya hanya di sekitar tempat kerjanya, rakan sejawatnya dan anak-anak didiknya. Kembali ke dalam masyarakat mungkin perlukan pengorbanan yang melebihi had. Guru bekerja selama"24" jam dalam sehari. Jaganya, tidurnya, makannya, jalannya, duduknya, minumnya, rehatnya adalah kerja. Dalam mindanya hanya bagaimana untuk memandaikan anak didiknya. Untuk mematang dan mendewasakan mereka. Menjayakan mereka. Akhirnya adalah untuk melepaskan mereka mengembara dalam lautan hidup untuk menyambung tugas guru yang tidak pernah selesai.

Ingatlah sewaktu kau melangkah untuk mendapatkan seteguk ilmu dahulu, gurulah yang kau harapkan untuk memberinya. Walaupun teknologi dan kertas bertulis boleh membantu namun hakikatnya guru juga diharap untuk ajar tunjuk, membina keyakinan, meneroka minda, mengembangkan personaliti, menjadi popular, mengejar glamour. Lalu jadilah graduan ternama. Graduan yang menjadi role model kepada adik-adik yang masih mengejar impian. Impian menara gading.

Semua graduan/pelajar/murid meninggalkan alma mater mereka dengan membawa sebahagian daripada diri guru-guru mereka. Sampai bilapun guru itu akan bersamanya. Dalam sedar dan dalam jaga. Sesingkat manapun guru itu bersamanya, impak dan aura guru itu pasti ada bersamanya. Guru yang baik ada impaknya dan guru yang tidak baik juga ada impaknya.

Hari ini Rabu 14 April 2010, kampus menjadi lengang dan sunyi. Keributan selalu dan keributan semalam entah ke mana. Terlalu reda, terlalu damai. Jika pelajar sedih dan hiba meninggalkan kampus, saya merasakan sedihnya kerana saya pernah menjadi pelajar. Kampus adalah tempat kita bertarung, menyabung intelek, berperang dengan keutamaan-keutamaan, menyisih halangan demi halangan, membariskan niat dan hasrat murni, berlabuh di ruang-ruang damai. Jatuh bangun kita di kampus. Tawa dan tangis kita di kampus. Jaya kita bermula di sini. Takut kita yang selalu menghambat jika tidak cemerlang. Bimbang dengan terjahan-terjahan gangguan fikiran yang melemaskan. Kerisauan mendambakan harapan-harapan menggunung. Kekacauan minda yang bersalut teori, andaian, hipotesis dan sisntesis.

Itu belum lagi rakan taulan yang tidak sejalan. Hal-hal peribadi yang terlalu disimpan. Isu-isu diri yang tidak perlu dikongsi. Kekurangan wang ringgit yang selalu menggigitkan jari. Masa-masa berharga yang terlepas sis-sia. Usaha-usaha yang tidak menampakkan kepuasan. Di kampus ini kita bercaturan, merencanakan masa hadapan yang samar. Menggapai tangan yang entahkan sampai. Menduga lautan yang entahkan dalam.

Harapan demi harapan. Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan pula tempat dilabuhkan segala harapan. Tempat dilunaskan segala janji kepada ibu bapa. Tempat yang menjanjikan keselesaan hidup masa hadapan. Tempat yang sihat dan sakitnya di sini. Tempat berteman dan tempat sepermainan. Tempat bersua rasa dan berpandang mata. Tempat yang menjanjikan segala.

Kesemuanya akan hanya tinggal kenangan. Entah, saya pula yang merasakan itu. Mungkin kerana saya masih terus belajar. Saya masih merasakan ulangan rasa yang datang dan datang lagi. Selalu dilambung ombak harapan yang meninggi.

Kelas 2009, kau istimewa di hati saya. Kenangan yang dibawa, bawalah. Kenangan yang tinggal, benarkan saya menyimpannya. Kita ada bahagian kenangan yang menjadi hak masing-masing. Harapan saya ukhwah kita berpanjangan. Bawalah pergi hati saya bersama kalian. Sisanya tetap di sini. Kembalilah jika ada jalan pulang. Saya tetap menanti di sini. Hiruk pikukmu sentiasa dirindui. Sampai kita ketemu lagi. Jaga dirimu semua baik-baik. Jaga nama baik. Doa saya mengiringimu semua. Doa seorang ayah untuk anak-anaknya. Kalian hilang di mata tetapi masih terpahat kuat di hati. Mudah-mudahan abadi.

No comments:

Post a Comment