Kerjaya saya sebagai guru bermula pada tahun 1969. Setelah tamat latihan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur saya ditempatkan di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri (waktu saya datang namanya Sekolah Menengah Seberang Takir). Itulah kali pertama saya bertugas jauh dari kampung, dari ibu saya, dari adik saya. Terengganu bukan negeri yang dekat ketika itu. Banyak hal-hal yang perlu dipelajari untuk duduk di negri orang. Perjalanannya sahaja dirasakan sangat jauh, sangat menyeksakan. Namun begitu hati muda ketika itu besar menggunung. Sementelahan pula jawatan guru masih gah dihormati orang. Martabatnya masih tinggi. Hormat orang masih menjulang.
Seperti peristiwa-peristiwa yang lain, pergi saya tidak pernah ada yang menghantar, balik saya tidak pernah ada yang menjemput. Hanya tekad saya bahawa anak-anak saya tidak akan mewarisi kepayahan itu. Saya memulakan segala-galanya. Dari diri saya sendiri. Mengimbau kembali masa lalu barangkali ada baiknya sekali sekala. Teringat air mata yang mengalir. Mengingat sebak dada yang telah dilalui. Merasakan kembali sendu dan terkedu kerana hidup susah dan payah. Teringat jejak langkah, tapak-tapak tanah becak, lembut, berlopak, licin akar dan banir pokok getah, air hujan yang jadi minuman, makanan seadanya asalkan kenyang, kaki ayam yang payah berkasut, lulut dan kaki yang lenguh kerana berjalan jauh.
Saya mulakan kehidupan dari berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian. Sekarang ini dalam usia mencecah 64 tahun bukan bererti zaman susah itu sudah berakhir. Manusia berumur juga ada kepayahannya. Bentuknya berubah. Anak-anak masih ada yang belum berumahtangga. Kena difikirkan juga. Yang sudah berumahtangga sesekali ditinjau juga. Ada yang tidak kena ditegur sekali sekala. Cucu-cucu membesar dipantau sihat dan pandainya.
Bagi saya tidak ada apa yang hendak diungkit. Keadaan saya begitu. Ayah meninggal sewaktu umur saya 5 tahun. Kudrat ibu tidak seberapa untuk menyediakan dulang emas untuk saya. Berpadalah dengan pinggan retak dan cawan sumbing. Periuk dan belanga yang tidak berupa. Sudu dan pisau yang entah berapa. Senduk dan sudip entahkan tiada. Pakaian asalkan tidak hina. (Untuk kesekian kalinya, sekarang saya tersendu lagi). Mengingat masa lalu bagi saya adalah untuk muasabah diri. Di mana sebenarnya saya sudah berada.
Perjalanan ke Kuala Terengganu tersangatlah payahnya. Kali pertama saya pergi melalui Mersing dan Endau. Jambatan belum ada di Endau, belum ada di Nenasi, belum ada di Rompin. Yang ada ialah feri yang ditarik dengan tali. Manual. Tersa lama menunggu giliran. Saya bertolak pada pukul 8.00 pagi dari Batu Pahat. Bertukar teksi di Kluang. Pukul 2.00 petang masih belum ada kenderaan ke Kuantan. Tiba di Kuantan sekitar pukul 5.30 petang. Alhamdulillah ada teksi terus ke Kuala Terengganu. Malam itu dalam letih dan bingung saya bermalam di sebuah hotel di tengah bandar. Macam nak pengsan dibuatnya. Punyalah jauh. Bertukar-tukar kenderaan pula. Kuala Terengganu oh Kuala Terengganu. Tranungkite kata Salim.
Di Kuala Terengganu semuanya bermula. Kerjaya sebagai guru dengan gaji pokok sebanyak RM330 tambah COLA RM60. Tolak KWSP sekitar RM30. Bakinya adalah RM330. Dengan wang itulah untuk makan, sewa rumah, tambang ke sekolah dan untuk dihantar kepada ibu seberapa yang ada. Rumah pertama yang saya sewa bersama rakan ialah di Kampung Surau, Jalan Pantai. Ketika itu tempatnya dekat benar dengan Padang Maziah. Beberapa minit dari rumah. Hotel Primula dan hospital sangat jauh rasanya. Sekarang semuanya ditelan bandar. Kuala Terengganu sudah membesar.
Rakan serumah ketika itu ialah Rahman, Maskun dan seorang lagi dari Kelantan. Saya benar-benar lupa namanya. Sudah 41 tahun. Jadi luput dari ingatan. Maafkan saya teman. Benar-benar lupa namamu. Maskun sebenarnya rakan sekelas saya sewaktu dalam Tingkatan 1 hingga 3. Tingkatan 4 dan 5 dia di SDAR, Tanjung Malim. Bertemu kembali di Kuala Terengganu. Rahman dan yang lain saya temui di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri. Kebetulan Rahman orang Pontian.
Kami memasak sendiri untuk makan malam dan hujung minggu. Waktu siang kami makan di sekolah. Waktu itu barang-barang agak murah lagi. Kos hidup memang rendah. Ikan, daging dan ayam masih murah. Sayur murah. Buah murah. Pendek kata puas juga makan di Terengganu. Gaji RM330 itu berbaloi juga.
Pentadbiran sekolah biasanya lambat sedikit membayar gaji. Saya rasa gaji saya dibayar penuh pada bulan yang keenam. Selama 6 bulan kami hanya mendapat pinjaman pendahuluan dari sekolah. RM150 sebulan rasanya. Atau mungkin kurang dari itu. Saya sudah lupa. Baru teringat. Rakan yang dari Kelantan bernama Yaacob. Entah di mana sekarang. Tiada khabar berita. Terputus bila masing-masing kembali ke negeri masing-masing. Hanya kenangan kebersamaan sahaja yang tinggal. Imej dan rakaman gambar tidak ada pula untuk ditayang kembali.
Kira-kira setahun saya duduk di Kampung Surau. Pada tahun berikutnya saya dan yang lain berpindah ke Ladang. Rumahnya lebih besar dan lebih selesa. Di rumah itu Yaacob tidak ikut serta tetapi tempatnya diganti oleh seorang rakan yang baru keluar dari Universiti Malaya. Namanya Aziz. Orang Batu Pahat. Seorang lagi jurubahasa mahkamah yang bernama Mohamad. Orang Negeri Sembilan. Pandai benar masak gulai ayam. Santannya cukup pekat. Berselera benar kami makan bila rajinnya datang untuk memasak gulai itu. Yalah orang bujang, jemu juga makan di kedai. Kena masak juga untuk memulihkan selera.
Setakat ini Maskun dapat dihubingi semula. Itupun melalui anak saya yang masih di England sekarang. Rahman, Aziz dan Mohamad hilang berita. Mohamad dan Aziz kedua-duanya berkahwin dengan orang Kuala Terengganu. Menetap di sana. Hingga sekarang saya gagal menjejak mereka.
Di Ladang, saya berjalan kaki ke sekolah. Adalah sekitar satu kilometer. Waktu itu tengahari tidak seterik sekarang. Masih nyaman dan segar. Tidak perlu berpayung. TV belum ada. Kuala Terengganu adalah kawasan terakhir di Semenanjung yang menerima siaran TV. Tahun 1969 sudah ada di Besut. Di Kuala Terengganu hanya pada tahun 1970 saya rasa. Atau mungkin 1971. Tidak berapa diingat.
Waktu ini saya kerap ke Pulau Kapas mengiringi pelajar. Teringat lagi airnya yang sangat jernih dan tenang. Pasirnya aduh, putih melepak. Berjam-jam saya di dalam air. Berenang tidak jadi masalah. Memang sudah pandai sejak kecil di kampung. Memang santai sungguh di Pulau Kapas. Bila ada sahaja programnya saya pasti ikut. Pulau kedua yang saya lawati ialah Pulau Redang. Dari Kuala Terengganu kira-kira enam jam perjalanan dengan bot. Mabuk saya dioleng ombak. Bukan ombak besar. Ombak biasa. Yalah orang darat ke laut. Memang mabuk. Tetapi tidaklah muntah. Sekadar pening yang amat sangat. Lepak bila sampai di Pulang Redang.
Selepas maghrib, kami hanya makan nasi dengan ikan merah masin yang dibakar. Allahu Akbar saya rasakan seperti saya sedang menikmati makanan yang paling lazat di dunia. Dalam mabuk dan pening itu saya suap nasi dengan lahap sekali. Rasa tak puas hendak menambah lagi. Apakan daya kerana ramai, maka makannya sedikit bercatu. Entahlah mungkin semua orang terasa lapar seperti saya juga.
Pengalaman menelusuri Sungai Terengganu juga amat mengasyikkan. Kami mulakan dari Kuala Terengganu. Perjalanan yang damai. Di kanan dan kiri sungai menghijau semata. Air sungai tenang kerana di luar musim tengkujuh. Di sesetengah tempat kami terpaksa turun dan beramai-ramai menolak bot hingga sampai di tempat yang airnya dalam. Kaki dan tangan puas bermain air. Pengalaman yang sangat indah dalam ingatan. Sekali lagi, tiada rakaman gambar. Gambarannya dalam minda sahaja.
Air terjun yang terbesar ialah Sekayu di Kuala Brang. Tidak besar tetapi cukuplah untuk menzahirkan rasa takjub melihat air tiada hentinya turun menghempas. Kadang-kadang hairan juga, di bukit yang tinggi, airnya tidak pernah kering. Sejuk dan nyaman. Kelilingnya hutan yang tenang. Sebenarnya bermain airnya tidak berapa puas kerana kolam takungan airnya tidak cukup besar. Cukuplah untuk menyejukkan badan. Mendamaikan fikiran. Menenangkan gejolak hati barangkali. Berdamai dengan alam yang indah ciptaan Allah.
Saya gemar juga menonton wayang. Tahun-tahun saya di Kuala Terengganu sedang galak filem-filem Indonesia. Filem pertama yang saya tonton ialah Lelaki Tak Bernama lakonan Ratno Timoer. Heroinenya saya tak ingat. Lama sangat dah. Suatu ketika sedang asyik menonton, tiba-tiba terdengar suara orang Jawa bercakap. Saya kata ini mesti askar yang ada di Kuala Terengganu. Dengar orang bercakap jawapun ketika itu rasa seronok semacam. Ada rupanya orang kampung. Saya tak sambutpun cakapnya. Hanya seronok sendiri.
Pengalaman pertama paling getir ialah berhadapan musim tengkujuh. Allahu Akbar saya tidak pernah mengalami hal seperti itu. Bayangkan selama dua minggau saya tidak melihat matahari. Jika adapun di celah-celah gerimis. Pakaian saya bukan banyak. Perlu diganti setiap hari. Kena peluh dan bau badan. Dulu bukan ada penyembur ketiak. Bukan ada pewangi berbagai jenama seperti sekarang. Pakaian yang disidai sentiasa lembab. Udara sungguh lembab. Kelembapan yang sungguh lembab. Bila malam aduhai, sejuknya ke tulang sumsum. Gila dibuatnya. Pakaian yang diseterikapun seperti tidak kering. Lembabnya berkekalan.
Yang paling sukar ialah pergi dan balik dari sekolah. Ke jeti berjalan kaki. Menyeberang pula dengan motorbot. Di seberang menunggu bas lagi. Dalam musim tengkujuh seksa benar jadinya. Payung seperti tidak berfungsi. Angin datang dari segenap penjuru. Pergi ke sekolah dalam keadaan basah kuyup. Bila saya pindah ke Sekolah menengah Chung Hwa Wei Sin, saya hanya berdepan dengan hujan. Motorbot dan bas sudah tidak lagi. Basah tetap basah juga ke sekolah.
Kebanyakan masa saya berjalan kaki ke mana-mana di bandar Kuala Terengganu. Bila membeli barang barulah saya menaiki beca atau teksi. Bukan mahal tambangnya. Sekadar 20 sen atau 30 sen sahaja. Seronok pula bila diingat. Sekarang lain pula keadaannya. Jauh tidak seberapa, kereta juga dipandu. Ketahanan diri sudah semakin menyusut. Kita selalu kecundang dengan perubahan.
Koleksi saya dari Kuala Terengganu masih ada sampai sekarang. Saya beli berdikit-dikit. Adalah dulang dan pahar, perenjis air wangi, tepak sirih dan hiasan-hiasan lain. Masih cantik. Masih anggun dalam almari hias. 41 tahun saya jaga. Setahun sekali akan saya gilap untuk kembali memancarkan kenangan di Kuala Terengganu. Sambil menggilap akan tertayang kembali kenangan-kenangan lama di sana.
Kenangan itu bertambah seri apabila saya berpindah lagi. Rumah terakhir saya adalah sebuah rumah kampung yang kecil sahaja di Jalan Panji Alam sekarang. Di situlah saya bawa isteri saya. Di situ lahir dua orang anak saya. Kedua-duanya kelahiran Terengganu.
No comments:
Post a Comment