Thursday, April 15, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat: Sambungan

Pada tahun 1955 umur saya 9 tahun. Tetapi agak bebas bergerak ke sana ke mari. Kenderaan tiada. Hanya berjalan kaki. Memanglah. Seperti selalu berkaki ayam. Susahnya mendapatkan kasut sudah saya ceritakan. Tapak kaki terasa tebal. Kaca dan duri patah bila dipijak.

Sebelum pilihanraya, orang-orang kampung seperti baru bangun dari tidur dan bangunnya kesiangan pula. Ributnya tidak menentu. Semangatnya membara dan menjulang. Riuhnya cerita tidak lagi bertempat dan tidak lagi menentu masa. Antara sokong dengan bantah. Yang satu kata kita akan merdeka. Yang sebelah sana mengatakan tidak mungkin. Jarum sebatangpun orang Melayu belum pandai membuatnya. Macam mana hendak merdeka dalam keadaan begitu.

Pejuang-pejuang ketika itu bangga dengan baju dan seluar sedondon putih. Yang wanita berbaju putih, berkain merah dan bertudung merah. Kempen di merata-rata tempat. Dalam umur 9 tahu saya turut sama menyibuk. Satu budaya baru bagi orang kampung. Ada kempen pilihanraya. Tetapi istilah-istilah yang diguna tidak secanggih sekarang. Laungan merdeka di mana-mana. Gamat satu negara.

Kempen di kampung cukup sederhana. Yang datang Jabatan Penerangan. Jalanraya belum ada. Maka kesemuanya diangkut dengan motorbot. Penjana kuasa, layar tayang, projektor dan sebagainya. Hanya perlukan pentas kecil. Jabatan Penerangan memainkan rakaman-rakaman yang bermacam-macam sebagai kempen untuk menunjukkan aktiviti positif pemerintah. Lazimnya ada tayangan filem-filem lama. Yang paling kerap ialah cerita koboi atau cerita komidi. Bila cerita sampai ke kemuncaknya, tayangan dihentikan. Sesi kempen bermula. Jadi anti-climax betul.

Orang parti mulalah berucap. Calon pun berucap. Kira-kira sejam kempen tamat. Tayangan disambung semula. Oleh kerana suspennya ditangguhkan, orang ramai setia menunggu tamat cerita. Orang yang kempen entah di mana, yang menonton wayang leka malam semakin tua. Seingat saya ada tiga tempat saya terlibat mengikuti kempen. Pertama di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Kedua di Sekolah Kebangsaan Seri Maimun. Ketiga di Sekolah Kebangsaan Parit Jawa. Ruang kempen yang ada, hanya padang sekolah. Kesemua pemimpin menjelajah ke semua pelosok tempat. Yang Melayu ke kampung-kampung. Yang Cina ke bandar-bandar. Yang India ke estet-estet. Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Di tiga sekolah yang saya sebut tadi, saya melihat dari dekat Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama berkempen. Rasanya itulah kali pertama saya mendengar orang Kedah bercakap. Bapa mertua saya, hingga sekarang masih bangga mengunung kerana Tungku menyeberang sungai dengan perahunya. Keterlibatannya dalam UMNO cukup kuat ketika mudanya dahulu.

30 Ogos 1957, berbas-bas orang kampung berhimpun di Bandar Hilir, Melaka. Saya yang masih kecil hanya merasakan bahangnya, tidak melihat debarannya. Tidak menyaksikan syahdunya. Hanya ceritanya yang dikutip dari mulut ke mulut betapa saat perisytiharan kemerdekaan itu dilaungkan dilaungkan dilaungkan sebanyak 11 kali. Laungan yang disambut ramainya orang yang gembira dan bangga merdeka bergema di Bandar Hilir itu. Tanah pesaka yang mula dijajah pada tahun 1511 itu akhirnya bebas juga dari cengkaman penjajah selama 446 tahun. Hampir setengah alaf lamanya.

31 Ogos 1957 umur saya 10 tahun. Tetapi usia saya ketika itu mengerti ertinya merdeka. Kita akan bergerak menurut rasa gerak kita untuk memacu negara ke mercu kejayaan. Barangkali apa yang kita lihat sekarang ini adalah impian-impian samar yang saya dengar pada tahun 1955 dulu. Yang kempennya saya ikuti, melalui jalan-jalan gelap yang menyukarkan. Luapan semangat juang untuk berdiri sendiri. Membina jatidiri sendiri. Untuk jatuh dan bangun sendiri. Itulah terapan hasrat dan semangat orang-orang lama yang tidak pernah berbaur untuk mencipta nama atau untuk menghimpun harta benda. Dua orang Yang Berhormat di kampung saya, hidup biasa seperti biasa. Rumah kayunya masih kekal hingga sekarang. Tidak berganti dan tidak berperabot Itali. Tiada juga langsir dari Perancis. Tiada juga Mercedes dari Jerman. Anak cucunya hanya mewarisi namanya dan bekas jasanya.

Itulah semangat juang yang diterjemahkan. Yang direalisasikan. Waktu saya sekolah dahulu setiap menjelang detik 12.00 tengah malam 31 Ogos, saya pasti berdiri berhampiran dengan radio saya. Detik bunyi jam dari menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, dan bergemanya lagu Negaraku pasti menggetarkan seluruh tubuh kurus dan kering saya. Semangat lagu itu meresap hingga ke tulang sum-sum saya. Seluruh jiwa dan raga saya terbang bersama semangat yang sudah lama dibakar. Saya tertegak berdiri sambil mulut menyanyi lagu Negaraku yang seperti memukau mulut untuk menjerit sama. Jeritan batin jiwa yang telah terlalu lama dijajah. Yang telah terlalu lama dipijak dan diijnak. Yang sudah terlalu lama diperah hartanya. Yang telah lama mengkayakan tuan-tuan penjajah. Yang telah terlalu lama menidakkan hak-hak diri dan peribadi.

Berlalulah zaman-zaman penjajahan itu. Seorang demi seorang penjajah itu pulang meninggalkan tanah pusaka ini kepada yang berhak. Lalu perencanaan dilaksanakan untuk merubah lanskap dan senario negara dari mundur kepada membangun dan seterusnya menjadi maju menjelang 2020. Saya hanya seorang guru, seorang pendiddik. Saya bukan pejuang sebenarnya yang gelanggangnya besar dan global. Gelanggang saya sempit dan kecil. Perjuangan saya untuk mengangkat anak bangsa dari kemelaratan ke tahap ampuh membina keselesaan. Membina harga diri yang lebih baik, lebih perkasa kedudukannya.

Sudah hampir 54 tahun senario itu terpahat di sanubari saya. Masih segar dalam ingatan. Susahnya zaman-zaman sebelum merdeka. Tetapi susahnya hanyalah fizikal kerana makan minum tidak pernah menjadi masalah. Setelah 54 tahun merdeka kita masih menemui insan-insan yang lebih payah hidupnya dari saya yang serba payah dahulu. Rupanya sejarah manusia bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga tidak pernah surut padam dari kesusahan dan kepayahan. Sekarang ini kepayahan kita ialah material. Hidup dalam dunia komersil. Tidak ada yang percuma. Hatta udara harus dibayar kerana terlalu pencemarannya.

Generasi saya sudah mula surut pupus. Hanya saki baki pesaka warisan yang tinggal. Generasi baru pelapisnya yang pasti mengganti. Ambillah iktibar dari kejayaan dan kegagalan masa lalu untuk diterjemahkan semula, diolah semula, dirawat semula, dirancang semula. Kemerdekaan itu hak tetapi bukan keistimewaan. Mendaptkannya tidak sesukar mana (bagi kes Malaysia) tetapi menjaga dan memperkembangkannya perlukan penelitian yang jauh melampaui zaman yang nun jauh di hadapan. Bila sampainya? Andalah yang merencanakannya. Saya lepaskan baton kepada anda semua.

7 comments:

  1. salam.
    maaf jika saya menitipkan sedikit komen.
    dirangkap akhir saudara menyatakan "Kemerdekaan itu hak tetapi bukan keistimewaan. Mendaptkannya tidak sesukar mana (bagi kes Malaysia) tetapi menjaga dan memperkembangkannya perlukan penelitian yang jauh melampaui zaman yang nun jauh di hadapan".
    apakah yang dimaksudkan mendapatkannya tidak sesukar mana? mendapatkan merdeka itu tidak susah seperti yang selalu dimomok-momokkan bahawa negara kita merdeka tanpa pertumpahan darah? itukah maksudnya? barangkali silap, lupakah kita kepada pejuang-pejuang di awal tempoh penjajahan dahulu? dato' bahaman, tok janggut, hj abdul rahman limbong dan sahabat-sahabat mereka memerah tenaga hingga terkorban. lupakah kita dengan mereka? pernah kita melihat kubur mereka? pemimpin besar negara kita yang bermain wayang politik konon patriotik pun belum tentu tahu di mana lokasinya. sedih sekali jika dikatakan negara kita merdeka dengan mudah. perjuang pejuang-pejuang kemerdekaan seperti pak sako, dr. burhanuddin al-helmy, ahmad boestamam dan sahabat-sahabat mereka juga menempuh pelbagai rintangan. keluar masuk lokap dan penjara serta seksaan dari pihak penjajah tidak pernah melunturkan semangat mereka untuk merdeka. inikah yang dikatakan mudah? kita merdeka tanpa tumpah darah? jika bumi malaya ini bisa berkata, pasti ia mengakui dan mengiktiraf darah pejuang yang telah membasahinya sewaktu masa dahulu.
    sekian, wassalam.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih memberi perhatian. Saya tidak melupakan mereka yang saudara sebutkan. Ada maksud tersirat yang tidak dapat saya nyatakan. Pada kepala blog saya ada saya nyatakan yang saya hanya menukilkan pengalaman saya sendiri. Jika dipolimikkan banyak yang lebih berdarah dari darah yang sudah sekian lama tumpah dari zaman kesultanan Melaka, Johor, Riau dan pejuang-pejuang lain selepasnya. Namun bila kita menelusuri sejarah, kita perjuangan awal dahulu secara terpencil-pencil. Ramai yang berjuang tetapi ramai yang menentang. Yang menjadi tali barut British terlalu ramai. Hanya selepas Malayan Union digagalkan, setelah tertubuhnya PEKEMBAR barulah gerakan kemerdekaan itu disegerakkan. Synchronised. Bila Tungku mengetuai PEKEMBAR barulah cerah gerakan kemerdekaan. Ada kesepaduan. Landasannya lurus. Memang benar sebelum Tunku tampil memimpin, ramai yang gugur. Barangkali saudara maklum akan hal itu. Zaman Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul Rahman Limbung, Mat Salleh Tungku belum ada, belum memimpin. Tunku mengambiul jalan lain. Komunis juga ingin memerdekakan Tanah Melayu untuk mereka perintah pula. Cuba saudara buat jigsaw puzzle. Asingkan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku. Cari di mana kesepaduannya sebelum Tunku memeimpin gerakan kemerdekaan. Semasa PEKEMBAR laungan orang Melayu ialah "Hidup Melayu". Selepas tahun 1948 barulah laungan itu ditukar menjadi "Merdeka". Itulah penjana arus kemerdekaan sebenarnya. Tahun 1948 baru ditemui ramuan dan resepi untuk memperjuangkan kemerdekaan secara menyeluruh. Sejarah juga menyaksikan bahawa Sultan Ibrahim Johor tidak begitu menyokong gerakan tersebut. Dalam sejarah Johor, Johorlah satu-satunya negeri yang dikatakan tidak pernah dijajah. Sebab itu sultan Johor pada awalnya enggan menyertai gerakan kemerdekaan. Sabah dan Sarawak tidak juga bergerak ke arah itu. Akhirnya Tunku juga yang menggerakkan Sabah dan Sarawak keluar dari penjajahan British. Begitu juga Singapura. Akhirnya Sabah, Sarawak dan Singapura. Kita kena atur semula perjalana sejarah. Bila susunannya teratur baru kita bicarakan dengan kewarasan. Sekali lagi terima kasih kerana memberi perhatian.

    ReplyDelete
  3. terima kerana memberi perhatian terhadap komen saya.
    namun saya tetap nampak sumbangan yang begitu besar tunku terhadap kemerdekaan. seperti banyak kerugiannya. negara kita seperti tidak merdeka dengan sepenuhnya. seperti tiada jiwa. tiada roh dalam kemerdekaan itu. langsung tiada penghayatan terutama bagi kaum muda masa kini. apa yang jelas sejarah telah banyak yang dipesongkan oleh tangan-tangan kotor. sejarah tentang perjuangan pejuang-pejuang yang dilabel berhaluan kiri seolah-olah dipadam. langsung tiada pengiktirafan. pak sako hanya sekadar diiktiraf sebagai sasterawan @ penulis. mungkin saya tidak menafikan sumbangan UMNO dalam memerdekakan negara kita ini dulu. tetapi sesuatu kenyataan itu tidak seharusnya disorokkan. Apa yang nyata seperti UMNO dan pemimpinnya sahaja yang berjasa dalam memerdekakan tanah air ini. bagi saya perjuangan puak haluan kiri lebih relavan untuk mencapai kemerdekaan. mereka mewakili rakyat. cuba saudara baca mengenai catatan puak yang dilabel berhaluan kiri ini http://matamin02.blogspot.com/2010/04/sejarah-dan-mesin-taip-umno.html kemudian saudara cuba menghadamnya. bandingkan 2 versi sejarah yang wujud. di pihak manakah yang benar? sekian.

    ReplyDelete
  4. Saya memancing saudara. Tekaan saya benar. Yang saya sebut bahawa ada yang tersirat sebenarnya itulah yang sama dengan pandangan saudara. Saya lemas dengan momokan kemerdekaan yang dijaja tetapi bukan diperjuangkan sebenarnya. Pejuang-pejuang yang sebenarnya dilupakan sejarah. Disingkirkan dari senarai yang hanya sesuai dengan rasa sendiri. Saya faham dan saudara faham. Barangkali blog saya ini bukan forumnya.

    ReplyDelete
  5. pancingan saudara mengena. gembira dapat berdiskusi dengan saudara. saya sebagai anak muda yang masih banyak perlu dipelajari lagi. maaf jika saya terlebih dalam tulisan saya. tulisan saya banyak disadur dengan emosi jiwa anak muda yang berontakan. silalah menjengah blog saya jika saudara berkesempatan. kandungannya hanya sekadar tulisan seorang amatur. sekian.

    ReplyDelete
  6. perbincangan yang bagus dan taktik yang mengena.. saya sependapat dengan saudara semua mengenai yang tersirat.. tp saya harus banyak belajar lagi kerana saya lagi muda dan baru dalam blog.. sila beri tunjuk ajar kepada saya..
    kalau boleh dan tidak menganggu saudara berdua.

    ReplyDelete
  7. Kita sama-sama belajar sebenarnya. Berkongsi pengalaman lebih santai. InsyaAllah.

    ReplyDelete