Wednesday, April 14, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Tiga

Menjadi guru sementara adalah satu alternatif selepas tamat persekolahan menengah saya. Tahun 1966 saya jejakkan kaki saya di Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, Parit Karjan, Mukim 18, Seri Medan, Batu Pahat, Johor. Biasalah ketika itu lulus sekolah Inggeris bermakna kenalah mengajar Bahasa Inggeris. Subjek lain yang popular kepada guru sementara seperti saya ialah Matematik.


Sekolah itu kira-kira 15 km dari kampung saya. Malangnya saya kena menunggang basikal dan menyeberang sungai menggunakan perahu. Jika setiap pagi bertolak dari rumah, memang sukar untuk sampai di sekolah pada waktu yang ditetapkan. Itu tidak termasuk dengan hujan, banjir dan lain-lain gangguan di jalan. Kebetulan ibu susuan saya (ada ceritanya pada pos yang lain) dan kakak sesusuan saya tinggal berhampiran dengan sekolah tersebut. Maka untuk kemudahan saya menumpang di rumahnya. Tidak ada masalah kerana ibu susuan itupun isteri kepada abang ayah saya. Ibu saudara saya sendiri. Dia pula tiada anak lelaki. Sayangnya pada saya memang luarbiasa.


Waktu itu saya sudah bertunang. Memang tengah jiwang-jiwang. Merindu tidak tentu arah. Cerita dulu-dulu. Tunang saya masih bersekolah. Tingjkatan 4. Cantiknya masih kekal hingga sekarang. Masa gadisnya buatkan saya gila semacam. Anak-anak angkat saya dah ramai yang melihatnya sendiri. Tanyalah mereka. Seperti saya sebut dulu, isteri saya pandai memasak. Siapa yang makan masakannya pasti terkenang-kenang. Entah bila dapat makan lagi masakannya.


Menjadi guru sementara di kampung banyak kenangannya. Guru sementarapun ramai peminatnya. Budak-budak darjah enam ramai yang berminat. Anak dara kampung lagilah. Bila saya mandi (di parit hadapan rumah) ramai yang lalu lalang. Ada pula yang bermasam muka sesama sendiri. Saya mana tahu. Tidak ada yang berani menyatakan perasaan. Saya introvert. Jeling berani, bertentang mata, kur semangat, memang terbang semangat. Selepas saya tinggalkan sekolah itu, barulah saya dapat cerita-cerita mengenai saya di kampung itu dahulu. Alhamdulillah saya boleh bertahan menggalas cinta saya. Kekal hingga sekarang.


Mengajar tanpa pengalaman profesional banyak masalahnya. Saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya lakukan di dalam kelas semasa proses P & P. Apa yang saya ingat, saya rujuk imej visual dalam minda tentang gaya guru saya dahulu mengajar. Itulah panduan saya mengajar. Kursus tidak ada. Bimbingan tidak ada. Guru sementara memang serba serbi sementara. Mana ada psikologi, mana ada falsafah, mana ada pedagogi. Semuanya direntas berani semacam. Ajar tetap ajar. Bagaimana? Pandai-pandailah mengurus kelas dan masa.


Kanak-kanak kampung tidak banyak karenahnya. Darjah kepatuhan mereka hampir 100%. Oleh itu tidak ada masalah mengajar. Cuma itulah, jika guru sandaran terlatih tentulah dapat memberi khidmat yang terbaik untuk mereka. Aktiviti ko-kurikulum tidak banyak. Masa banyak untuk membuat kerja lain. Mendengar radio paling kerap.


Bila ada ujian, guru kena menaip kertas soalan masing-masing. Komputer belum disebut namanya pada masa itu. Rasanya sudah ada sebab ilmuan Islam telah mencipta prototypenya. Bagi kami ketika itu, tahun 1966, soalan ditaip menggunakan mesin taip. Mesin taip itu pula besar dan berat. Selalunya berjenama Remington. Kami menggunakan stensil. Taip ke atas stensil. Bila silap ada alat pemadamnya. Undurkan dan taip semula di atas kesilapan tadi. Bila siap kami gelek untuk mencetaknya menggunakan mesin cetak berputar. Sekolah di kampung tiada elektrik. Maka mesin itu saya gelek dengan memutarkan pemegangnya. Macam-macam hal. Selalunya selepas mencetak soalan akan comot tangan terkena dakwatnya. Hingga tahun-tahun 80an di Politeknik Ungku Omar, Ipoh saya masih menggunakan teknik yang sama.


Suatu hari sewaktu saya menaip soalan di rumah, menggunakan mesin taip sekolah, datang suami sepupu saya. Umurnya sekitar 60 tahun. Melihat saya menaip geleng kepalanya seperti hendak tercabut. Kagumnya bukan kepalang. Mulutnya berdecit-decit tidak berhenti-henti. Tidak terkata kagumnya. Agaknya jika ia masih hidup sekarang ini, tentu pitam atau pengsan melihat mudahnya kita menggunakan laptop yang diusung ke sana ke mari. Tak ada hal kepada kanak-kanak. Semuanya sangat mudah dan memudahkan.


Masa dulu-dulu kesusahan dan kepayahan di mana-mana. Api dan air semuanya kurnia Allah. Minum dan makan air hujan. Waktu malam pelita minyak tanah. Memasak menggunaka kayu api. Gas belum ada. Petronas belum wujud. Hiburan hanya radio menggunakan bateri, dry cell. Di kampung hiburan lain adalah ghazal, orkestra kampung, kemudiannya datang kugiran (kumpulan gitar rancak). Jika pada tahun 50an hiburan radio banyak berpusat ke Radio Singapura pada tahun 60an arahnya mula ke Radio Malaya (sekarang Radio Malaysia - RTM).
Radio Singapura menghidangkan bangsawan di radio, lagu-lagu permintaan dan drama radio. Tahun 60an hiburan radio lebih kepada muzik baru yang bermula dengan twist lalu bertukar kepada ago-go. Rock-and-roll masih popular, termasuk jazz, romba, samba, joget, cha-cha, waltz, pop rock dan banyak lagi sebelum bertukar kepada genre muzik yang berat seperti sekarang.


Hiburan untuk anak-anak muda tentulah lagu-lagu pop. Bergemalah lagu-lagu M Osman, Datuk Jeffry Din, Datuk Ahmad Jais, Datuk A Rahman Hasan, S Mariam, Dayangku Faizah, A Ramlee, L Ramlee, J Sham, Kartina Dahari, Rafeah Buang, M Ishak, Zaleha Hamid, Sanisah Huri, A Rahman Onn. Ramai lagi yang jika disenaraikan memang panjang. Antara lagu popular yang hingga sekarang masih lunak didengar ditelinga, Oh Fatimah, Salam Muhibbah, Kenangan Mengusik Jiwa, Seruling Bambu, Kenanganku, Kucupan Azimat, Di Ambang Sore. Aduhai, masa yang berlalu membawa bersamanya lemah gemalai, lenggang lenggok lagu-lagu pop tahun 60an. Klasik Nasional sentiasa menyegarkan dengan lagu-lagu tersebut.


Zaman 60an, hiburan lain yang sangat popular ialah fun fair di kampung-kampung. Bukan apa sangat. Yang ada hanya sebuah pentas. Penyanyi jemputan, dari Singapura biasanya akan diundang menyanyi beberapa lagu. Diselang pula dengan drama sebabak dua. Atau jenaka beberapa ketika. Ada pula orang kampung yang menyanyi. Di lingkaran luar ramai pula orang berjualan. Masa dulu-dulu itu yang dijual ialah lepat pulut, pecal, kuih muih kampung, pisang goreng. Ada kuih koci, belebat, naga sari, epok-epok, keria, lontong dan soto.


Meriahnya kampung bila sesekali berhibur begitu. Berduyun-duyun juga mereka dari kampung-kampung berhampiran. Penuh sesak jalanraya. Semak samun menjadi terang. Tanah becak menjadi kering.


Kembali cerita guru sementara. Psikologi patut di ajar di sekolah menengah. Semua anak muda tahu psikologi. Sekurang-kurangnya boleh psiko diri sendiri. Bila bekerja tahu, ke tengah dan ke tepi. Bukan main sesuka hati. Membentuk gaya kepimpinan yang entah dari mana. Berguru tidak juga. Selain dari berbakat, kepimpinan hendaklah dipelajari, dipupuk dan sentiasa dikemaskini. Keperluan semasa tidak sama dengan keperluan masa hadapan.
Walau bagaimanapun, pengalaman menjadi guru sementara itulah sebenarnya suntikan semangat bahawa saya boleh menjadi guru secara realiti. Jawatan guru sementara itu mengajar saya berinteraksi, mengurus diri dengan lebih berketrampilan, berkomunikasi, berkemahiran sosial, mengurus kewangan, membantu rakan sebaya, mengurus masa dan membina kerjaya.
Dari kampung ke kampung, kembara saya berlabuh dalam latihan pergururan Pusat Latihan Daerah (Regional Training Centre -RTC). Saya memang introvert. Tetapi menjadi guru sementara itu melatih saya berhadapan dengan audien, membina kemahiran bertutur, mengawal suara, memainkan intonasi, melawak dan membina kemahiran bersosial.


Dalam merentas masa yang panjang, menjadi guru sudah sebati. Sudah mendarah daging. It comes naturally. I maybe a born teacher. Cuma saya tidak sedar potensi itu. Jika saya telah memilih menjadi kerani, menjadi polis, menjadi tentera tentu saya tidak lagi di sini. Menjadi guru memberi saya ruang untuk mendapatkan ijazah, sarjana. Tidak berkesempatan untuk PhD. Masa sudah suntuk. Masih tersemat niat sebenarnya. Usia bukan penghalangnya.


Waktu saya buat sarjana dulu, ramai rakan-rakan yang kutuk habis. Buat apa, kata mereka. Bukan boleh naik pangkat. Bukan boleh tuntut gaji lebih tinggi. Memang benar kata rang tua, penuhkan ilmu di dada, kelak hidupmu tidak akan susah. Semua yang mengutuk saya dulu akhirnya buat sarjana juga. Tentulah mereka cemburu. Saya ke USA sekeluarga. Anak saya lima orang. Tambang percuma. Ada elaun rumah. Ada elaun keluarga. Waktu itu saya mendapat USD 925. Gaji di Malaysia sepenuhnya tidak berusik di bank. Inilah waktu kumpul duit. Tiap-tiap bulan masuk akaun. Tak diusikpun. Anak-anak makan di sekolah. Percuma lagi. Rasa seronok hidup sekeluarga di perantauan. Nantikan episod di USA.


Dari guru sementara itu saya menimba pengalaman untuk mengawal kelas, untuk membujuk dan bertegas. Untuk menghukum dan memberi ganjaran. Untuk memanja dan untuk menjarak diri. Untuk mengkaunsel dan untuk memberi bimbingan. Guru seperti bapa, tetapi tidak boleh terlalu mesra. Kena ada batasnya. Bermain layang-layang. Bermain tali. Ada masanya dihulur dan ada masanya ditarik.


Indahnya menjadi guru. Alam pendidikan yang jika pandai menjaga diri, tentunya bersih dari amalan tidak sempurna. Kerja dengan ikhlas, dedikasi, komitment. InsyaAllah Allah akan membalas dengan ganjaran yang tidak terhingga. Saya di Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas hanya sekitar enam bulan. Seronok sebenarnya keluar dari sekolah menengah, keluar dari rumah. Berdikari sebentar sebelum menerobos dunia realiti yang sebenarnya. Dunia yang penuh cabaran, penuh dugaan, penuh halangan dan penuh kekangan.


Pengalaman bekerja sebentar memperkayakan pengalaman untuk mentadbir dan mengurus. Pastinya berguna pada masa hadapannya. Bersama anak-anak kampung yang tidak ada bezanya dengan zaman kanak-kanak saya, mengimbau keinsafan bahawa sesuatu perlu dilakukan. Mungkin hasrat itu kesampaian setelah 41 tahun menjadi guru. Tiada statistik untuk dijadikan bukti. Mata kasar melihat anak didik ada di mana-mana. Masih ada yang ingat. Masih ada yang menyapa. Masih ada yang merisik berita. Peratusnya kecil. Yang lain melangkah meninggalkan saya. Tiada berita. Doa saya, mereka berjaya dalam kehidupan mereka. Guru seperti saya hanya mendoakan kebaikan sahaja.


Sejak menjadi guru sementara pada tahun 1966, saya telah berada di beberapa institusi pendidikan yang berbagai tahapnya. Saya tidak pasti jika ada orang muda menegur saya. Di mana pertemuan itu berlaku. Yang karekternya istimewa masih ingat. Yang biasa-biasa yang sukar diingat. Yang mana dari Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, yang mana dari SMK Munsyi Ibrahim, Labis; yang mana dari SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu; yang mana dari SM Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu; yang mana dari SMK Tun Dr Ismail, Parit Raja; yang mana dari SM Sains Kluang; yang mana dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh; yang mana dari Yayasan Perak, Ipoh; yang mana dari USM, Ipoh; yang mana dari SMT Johor Bahru dan yang mana pula dari PLSP/ITTHO/KUiTTHO/UTHM. Jika tidak mengenalkan diri, payah hendak diingat.


Itulah kepuasan seorang guru. Anak didiknya ada di mana-mana. Mereka sedang melaksanakan amanah yang saya sambungkan kepada mereka. Mudah-mudahan akhlak mereka terpuji. Agama mereka kuat. laksanakanlah tugas kerana Allah semata-mata.

No comments:

Post a Comment