Wednesday, April 14, 2010

Rokok Oh Rokok, Yang Haram dan Mengharamkan

Setiap kali terhidu asap rokok, saya menjadi lemas, pening dan mabuk. Di mana sahaja ada kelibat rokok saya cuba menghindar. Jika di kedai makan ada yang merokok maka saya akan mencari meja yang jauh, yang bukan arah angin yang membawa rokok. Saya menjadi fobia. Mungkin trauma kadang-kadang.

Rokok bukanlah asing bagi saya. Datuk saya dahulu merokok. Rokok gulung daun nipah. Sayapun pandai menyiat daun nipah dahulu. Kebetulan ada serumpun nipah di tepi rumah saya. Hairan juga. Nipah selalunya di tepi sungai dan berhampiran dengan laut atau terkena air masin. Yang di tepi rumah saya cukup subur. Daun yang tua dibuat atap. Yang muda disiat untuk dikeringkan dan dijadikan pembalut tembakau. Buahnya pula boleh dimakan. Mayangnya boleh disadap untuk mendapatkan gula nipah. Serba guna juga pokok nipah ni.

Bapa-bapa saudara saya merokok. Sepupu-sepupu saya merokok. Jiran-jiran saya merokok. Orang kampung saya merokok. Rokok adalah mainan. Biasa. Tidak ada yang luar biasa. Saya dulu adalah perokok. Saya mula merokok dengan mencuba-cuba apabila sepupu saya selalu datang ke rumah. Cubaan itu sebenarnya yang menjadi ketagihan. Saya mula merokok sewaktu di tingkatan dua pada tahun 1962. Umur 16 tahun.

Di kampung semua lelaki merokok. Jika tidak merokok seperti ganjil. Bila ada majlis kenduri kahwin, saya selalu rewang. Sesiapa yang rewang sekurang-kurangnya mendapat dua hadiah. Tuala putih Good Morning untuk mengelap peluh dan sekotak rokok. Sekecil manapun lelaki itu, sekotak rokok pasti haknya. Rokok tidak ada keistimewaannya. Perkara biasa, lumrah. Sesuatu yang perlu dihisap asapnya. Tidak kenyangpun. Minda dan psikologi sahaja mengatakan ia menenangkan fikiran, mendamaikan. Mungkin nicotinenya dan unsur dadah yang lain meresap ke dalam minda hingga menjadikan ketagihan. Lahirlah istilah-istilah damai, tenang dan warna warni ilusi dan bayangan. Mencari damai sendiri yang entah di mana buktinya.

Secara saintifiknya, secara statistiknya, rokok adalah pemusnah diri, pemusnah keturunan. pelayar yang bernama Sir Walter Raleigh merupakan orang British yang bertanggungjawab, yang memulakan tradisi memusnah diri ini. Dalam pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin Red Indian di USA dia biasa dihidangkan rokok yang dihisap bergilir-gilir dengan tetamu. Ketagihannya dibawa ke England. Bermulalah episod komersilnya dan hingga sekarang rokok itu ada hubungannya dengan London. Tembakaunya mungkin dari Kentucky atau Virginia di USA.

Dari dahulu lagi rokok sentiasa kontroversi. Bukti-bukti perubatan dan saintifik menunjukkan bahawa rokok menyebabkan berbagai penyakit. Semua laluan dari mulut, hidung, tekak, paru-paru, hati, jantung, usus, otak dan banyak lagi terkena bahana asap rokok. Terlalu banyak cerita mengenai barah dan komplikasi penyakit bagi orang-orang yang merokok.

Secara fizikal, seorang perokok adalah kotor. Tangannya kotor antara air liur dan bakteria yang melekat di jarinya. Tubuhnya, pakaiannya, nafasnya semuanya adalah lambang rokok. Udara di sekelilingnya adalah cemaran, racunan asap rokok yang tidak pernah kasihan kepada sesiapa. Malang sekali bagi anak isteri yang ketua keluarganya merokok. Dia meracun dan membunuh sel-sel baik dalam diri mereka. Maka tercemarlah ahli keluarganya dengan main-main dan kebiasaan rokoknya. Implikasinya besar dan bagi ahli keluarga yang alahannya tinggi atau yang darjah imunnya rendah maka penyakitlah padahnya.

Saya berhenti merokok pada tahun 1982. Sebelum itu seorang rakan berhenti merokok. Dia ialah Datuk Dr Abdul Isa bin Ismail yang sekarang menjadi speaker DUN Negeri Kedah. Beliau pernah bersama saya di Politeknik Ungku Omar sebelum bertugas di POLIMAS dan kemudiannya di UUM. Selepas saya seorang lagi berhenti merokok iaitu Dr Yusof Ibrahim yang juga bersama saya di Politeknik Ungku Omar dan kemudiannya juga bertugas di UUM.

Sebelum berhenti merokok saya mencuba semua jenama rokok dari yang ada filter hingga yang tiada filter. Pall Mall, Lucky Strike, Navy Cut adalah antara jenama-jenama rokok yang tidak berfilter. Bila dihisap, asapnya terus ke otak. Waktu di Universiti Malaya dahulu saya memang galak menghisap rokok. Menambah ilham konon. Walhal ianya hanya kebiasaan kurang bijaksana. Tidak mengambil pusing risiko dan implikasainya. Wang yang tidak seberapa, dibazirkan begitu sahaja.

Isteri saya barangkali banyak membantu. Selalu disorokkannya kotak rokok saya. Bila tidak ada saya tidak bertanya. Saya tidak juga mencari. Sama ada saya beli yang lain atau tidak merokok. Lama kelamaan kebiasaan itu semakin kurang kerap. Akhirnya pada tahun 1982 itu saya berhenti merokok. Selepas berhenti merokok, saya mencuba juga sekali-sekala untuk kembali menikmatinya. Sesuatu berlaku yang mengubah senario buat selama-lamanya. Mulut saya terasa payau, kepala menjadi pening dan rasa tidak selesa setiap kali mencuba. Inilah penyudahnya, kata saya. Maka berhentilah saya dari menghisap rokok. Suatu amalan biasa dari tahun 1962 hingga tahun 1982. Pengalaman biasa dan luar biasa selama 20 tahun. Entah bagaimana berkaratnya peparu saya. Diasap selama 20 tahun. Bukan panjang tetapi suatu jangka masa yang sangat panjang.

Bayangkan asap tokok itu di kereta, rumah, kedai, pejabat atau setengah orang di masjid dan surau. Perokok memang orang yang tidak peka. Mereka menjadi orang-orang yang tidak langsung sensitif, tidak peduli, tidak ambil pusing akan ketidakselesaan orang lain. Kemabukan orang lain. Kebencian orang lain. Kerisauan orang lain. Malah ketakutan orang lain. Di USA kajian menunjukkan bahawa ibu yang merokok boleh melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cacat anggota bahkan juga cacat otak. Fikirkan kesannya kepada second hand smoker. Isteri dan anak yang menghisap rokok walaupun mereka pada hakikatnya tidak merokok. Asap rokok sentiasa mereka hisap tanpa menghisap rokok.

Cuba fikirkan setiap kali hendak membeli rokok. Urungkan. Balik ke rumah simpan untuk tabungan pendidikan anak-anak dan masa depan mereka. Jika sehari mencecah RM10, maka RM3,600 setahun. Untuk 10 tahun apabila anak itu melangkah ke IPT sudah ada tabungan sebanyak RM36,000. Tidak perlu biasiswa, tidak perlu PTPTN, tidak perlu Baitul Mal, tidak perlu wang zakat. Zakatilah dirimu dan diri keluargamu.

Di Malaysia, ada undang-undang yang mencegah dan mengharamkan rokok di premis tertentu. Tetapi masalahnya undang-undang tinggal undang-undang. Penguatkuasaanya tiada. Practicalitynya tidak ada. Di negara maju seperti USA dan Canada, perokok adalah orang-orang yang menjadi makhluk terpinggir. Di pejabat umpamanya, perokok diasingkan dari yang bukan perokok. Di Kedai makan mereka diasingkan. Tempat awam memang dilarang merokok sama sekali. Bila pendidikan sudah tinggi, kesedaran publik sudah tinggi, sivik mereka sudah tinggi, mereka yang merokok menghormati hak orang yang tidak merokok. Mereka meraikan orang-orang yang bencikan rokok.

Perokok biasanya ditempatkan dalam bilik yang sama. Mereka bebas merokok yang pada hakikatnya mereka berbunuhan antara satu sama lain. Mereka merosakkan antara satu sama lain. Mereka menghapuskan antara satu sama lain. Mereka mencemarkan antara satu sama lain. Bilik mereka tidak boleh dihampiri. Memang killing atau exterminating chamber. Bila penghuninya keluar, bau rokoklah seluruh jalur perjalannnya. Lemas orang lain dibuatnya.

Akhir-akhir ini banyak usaha untuk menghalang implikasi negatif terhadap kesihatan perokok. Risoko kepada second hand smoker belum ada siapa yang ingin membela. Yang paling mengejutkan ialah penemuan bahawa untuk menyaring mudarat asap rokok, bahan dari darah merah babi digunakan pada filter rokok. Ya bahan dari BABI. Kajian ini di Denmark. Dijalankan oleh orang bukan Islam. Tiada kepentingan kepada mereka. Tetapi bagi perokok yang beragama Islam, sila berhenti sebentar. Rokok sudah di sepakati bahawa paling ringan hukumnya ialah makruh. Jumhur ulamak mengatakan rokok adalah haram. Bagaimana pula haram itu jika ditambah dengan satu lagi haram. Bahan dari babi yang haram? Takkan dua kali haram masih tidak memberi kesannya?

Bagaimana perokok yang mengerjakan solat tanpa menggosok gigi dan membasuh mulut? Babi yang haram ini, tidakkah perlu disertu? Aduh, gawat jadinya. Haram rokok setakat berdosa. Haram bahan dari babi perlu disertu. Disamak? Disucikan? Perlu mandi lumpur atau genyeh mulut dengan tanah. Fikirkanlah panjang-panjang. Dunia semakin tua. Qiamat semakin hampir. Hindarkanlah yang negatif yang tidak diredhai agama.

Atuk, pak cik, abang, adik dan anak-anak yang menjadi perokok, fikirkan dan buatlah pertimbangan yang waras. Hendak terus dengan amalan dan ketagihan atau menghindar untuk menyelamatkan diri dari menyedut benda haram setiap waktu. Haram yang di mulut dan di badan itu perlu ke dipalitkan kepada isteri tersayang? Kepada anak tersayang? Allahu Akbar. Cukup-cukuplah hingga setakat ini. Apa lagi yang boleh dijadikan alasan untuk menghalang diri dari terus merokok? Tepuk dada tanya kewarasan minda. Tanya kewajaran hukumnya. Cubalah. InsyaAllah boleh berhenti. Saya telah lama berjaya. Sudah 28 tahun saya tinggalkan rokok. Saya bukan bercakap dari segi teori. Saya ada pengalaman itu. Pengalaman mengajar saya. Hidup lebih bahagia. Anak isteri akan lebih selamat. Generasi akan datang bebas dari pengaruhnya. Kata Adibah Nur, "Anda boleh mengubahnya!"

2 comments:

  1. assalamualaikum..
    menarik dan sangat tertarik untuk dibaca dan difikirkan..
    saya salah seorang perokok tegar sehingga ke hari ini...
    sehingga sekarang saya sudah hampir sepuluh kali untuk cuba berhenti tetapi masih belum tercapai.
    penah saya cuba produk2 yang ditawarkan di pasaran tetapi masih belum berjaya,saya juga cuba untuk menggantikan rokok dengan gula-gula dan juga gula getah..
    alhamdulillah sekarang saya berjaya kurangkan kepada sekotak 20 batang untuk 3 hari.
    sehingga sekarang masih lagi tercari kekuatan sepenuhnya untuk berhenti..
    jadi bagaimana untuk saya dapatkan kekuatan tersebut untuk terus berhanti..

    ReplyDelete
  2. Ia banyak mainan minda. Kalau dapat, berdebatlah dengan hati sendiri. Cari alasan terbaik untuk berhenti. Yang hendak didalih ialah diri sendiri. Kekuatan itu dari dalam. Tepuk dada kuatkan semangat. Usaha dan tetapkan hati.

    ReplyDelete