Thursday, July 18, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Berada Jauh Dengan Rindu Yang Merubah Rupa


Sesiapa yang pernah merantau dapat merasa nikmat di perantauan. Pada masa yang sama ada rasa hiba dan sayu apabila menjelang sesuatu masa yang tertentu. Antaranya yang paling menyentuh perasaan ialah hari raya idilfitri. Keduanya barangkali ketika saudara mara megadakan kenduri kendara khususnya kenduri kahwin. Terasa sayu jika tidak dapat hadir bersama. Ketika itulah dapat bertemu dengan ibu dan bapa saudara, sepupu dan sahabat handai yang kekal di kampung. Bila berjumpa ada sahaja kelainannya. Yang gempal sudah nampak tulangnya. Yang berambut hitam sudah banyak ubannya. Yang senyumnya dahulu cukup menawan, sekarang banyak giginya yang terlopong. Yang gagah menjadi lemah. Yang bertenaga semakin lambat. Suatu manifestasi masa yang semakin berlalu jauh meninggalkan kita semua. Masa tetap berlalu tanpa kita sedari. Hanya yang arif sahaja mengerti pentingnya masa. Masa merubah tempat. Merubah keadaan. Merubah fizikal. Merubah bentuk rupa. Merubah sesuatu dari lain kepada yang lain.

Apaila kita berpisah kita membawa rakaman minda akan sesuatu yang kita tinggalkan. Apabila kita kembali bertemu kita perasaan ada kelainan pada orang-orang yang dahulunya pernah bertentang mata dengan kita. Mungkin reaksinya berlainan. Mungkin interaksinya berlainan. Mungkin sekarang ini teknologi mendekatkan kita dengan orang-orang yang selalu bersama kita. Seolah-olah teknologi membantu kita mengenalpasti apa sahaja perubahan yang berlaku kepada orang-orang di sekeliling kita. Pada hakikatnya bukan teknologi yang memberitahu kita tentang sesuatu perubahan. Teknologi hanya membantu kita mengenal tanda-tanda perubahan. Yang lebih penting sebenarnya ialah apa yang kita lakukan sepanjang masa.  Apa pengisian yang kita lakukan terhadap diri kita dari masa ke semasa. Atau sepanjang masa. Andainya kita menambahbaik diri kita sepanjang masa maka perpisahan yang singkat sekalipun dapat mengesan perubahan yang berlaku pada diri kita.

Dari jauh orang melihat penampilan kita. Dahulu mungkin tidak begitu perihatin. Sekarang lebih perihatin tentang rekabentuk pakaian. Warna dan padanan warnanya. Kekemasan pemakaiannya. Jenis kain yang sesuai dengan suhu, cuaca dan iklim. Lebih sedap mata memandang. Menarik bila diperhati. Pakaian bukan sekadar membaluti tubuh badan. Ada makna dan ada mesej yang dibawa oleh pakaian yang kita pakai. Lihatlah pakaian seseorang, anda akan cuba membaca apa yang tersirat. Sebab itu isteri-isteri lebih perasan dengan perubahan suaminya. Lebih kemas nampaknya? Minyak wanginya bertambah harum. Rambut tidak pernah berserabut lagi. Baju yang terbaik. Kasut berkilat selalu. Jaga baik-baik. Sama ada dia sedang berusaha untuk naik pangkat atau dia sedang berusaha untuk menambah usaha lain. Tetapi jika selamanya suami memang berpakaian yang terbaik maka isteri tidak akan mengesyaki apa-apa kerana tiada apa-apa perubahan. Sebab itu sebarang perubahan hendaklah dalam makluman pasangan masing-masing. Memelihara keharmonian rumahrangga.

Suatu ketika kita ke rumah seorang sahabat. Aduhai rumahnya seperti kapal pecah. Berserak tidak tentu hala. Kita yang bertamu serba salah. Di mana hendak dukuk. Kusyen tidak di tempatnya. Barang mainan di serata tempat. Kain basuhan yang hendak disidai dan yang baru diangkat dari sidaian bercampur baur. TV terpekik terlolong. Radio pula membingit. Tidak cukup dengan itu mesin basuh sedang mengaum. Apabila sahabat anda menyambut anda di ambang pintu boleh anda bayangkan reaksinya. Orang jenis pertama karakternya tidak kisah. Duduklah mana-mana ruang kosong, katanya.  Rumah saya memang begini setiap masa. Selamba dia memaklumkan keadaan rumahnya. Orang kedua mungkin kelamkabut cuba berkemas kerana menghormati tetamu yang datang. Ada rasa bersalah. Nampak kekalutan pada dirinya. Mungkin juga merah padam mukanya. Mari kita buat penilaian. Orang pertama sudah terbiasa dengan keadaan yang tidak teratur. Begitu juga dia mendidik anak. Tidak pernah dididik supaya teratur. Supaya berkemas. Supaya kelihatan tersusun. Dia tidak berasa bersalah langsung. Semua dianggap biasa-biasa sahaja. Tiada hal baginya.

Orang kedua pula sedikit berbeza. Dia sukakan yang terbaik. Suka yang teratur. Suka yang tersusun. Susun yang teratur. Dia suka kemas. Kekemasan menjadi kesukaannya. Malangnya orang kedua tidak tahu caranya. Tidak tahu kaedahnya. Tidak tahu sistemnya. Dia tidak tahu dari mana hendak mula. Bagaimana kita hendak membantu orang pertama. Dia perlu disekolahkan. Maksudnya dia perlukan manhaj supaya terdidik tentang kekemasan. Perlahan-lahan. Orang kedua pula perlu diberi panduan. Diberi bimbingan. Minatnya sudah ada. Dia tercari-cari kaedah untuk melaksanakan yang terbaik untuk keluarganya. Mesej ini juga untuk sesiapa sahaja yang berminat tentang kebersihan. Kekemasan. Susunatur. Kecantikan rumahtangganya. Fikirkan situasi di hadapan tetamu di atas tadi:
1                    Kebersihan, kecantikan, susunan dan kekemasan adalah ibadat. Ada pahala dan dosa di situ.
2                    Ianya  imej diri. Orang akan melihat diri kita dari atas ke bawah. Betulkah ketidak selarian antara orangnya dengan kekalutan rumahnya
3                    Ianya maruah diri. Nama kita seolah-olah cemar kepada orang lain. Apatah lagi jika kita orang penting, orang besar, orang ternama atau orang-orang yang pada adatnya dikira dihormati orang lain seperti imam, guru, ustaz dan ustazah.

Oleh itu isu kebersihan dan kekemasan ini perlu diambilkira dengan sewajarnya. Ianya harus menjadi budaya orang-orang yang berbudaya. Cultured. Bertamadun.
1                    Didik pasangan supaya boleh berkemas, menyusunatur, mencantikkan ruang. Ada idea tentang hiasan dalaman.
2                    Didik anak supaya boleh membuang sampah dengan betul. Berkemas selepas bermain. Atau selepas mebuat sesuatu kerja. Selepas membuat kerja rumah umpamanya.
3                    Didik keluarga supaya boleh menyusun kasut di luar rumah dan kasut di dalam rumah.
4                    Didik ahli keluarga supaya dapat mengasingkan antara pakaian bersih dan pakaian kotor. Asingkan pakaian yang kendak dibasuh dan pakaian yang hendak dilipat. Asingkan bakul pakaian kotor dan bakul pakaian bersih.
5                    Urus sampah supaya tidak bersepah. Buang ikut jadual. Lupuskan ikut jadual.
6                    Asingkan secara khusus tempat anak bermain. Sepah di situ dan didik supaya berkemas selepas bermain.
7                    Ruang tamu adalah ruang pertama yang dijengah tetamu. Pastikan ruang tamu sentiasa kemas dan teratur. Saya ulang, sentiasa dan sentiasa kemas dan teratur.
8                    Bilik air adalah antara ruang yang selalu juga dijenguk oleh tetamu. Pastikan keadaannya teratur. Lantainya tidak berlumut. Dindingnya tidak berlumut. Mangkuk tandasnya tidak berklorin kuning dan cokelat.  Baldi dan besen diatur kemas.
9                    Pakaian terpakai jangan ditinggalkan di dalam bilik air terutamanya coli, seluar dalam dan yang nampak koyak dan buruk. Maruah diri dan keluarga.
10                Pastikan selepas setiap kali membuang air jirus mangkuk tandas. Hingga bersih sebersihnya. Jangan sekali-kali tertinggal sisa najis di mana-mana.
11                Didik ahli keluarga supaya mempastikan bilik tidur teratur sentiasa. Jangan tidur di atas katil pada waktu siang kecuali kembalikan kekemasannya selepas bangkit dari tidur.
12                Jangan benarkan anak-anak bermain di atas katil. Pantang sekali-kali. Kotor. Renyuk. Mungkin kaki anak-anak cemar dengan najis dan sebagainya. Jangan pula duduk di atas bantal. Pada  malamnya ibu bapa tidur di atas bantal itu.
13                Dapur sentiasa teratur. Semua perkakas di tempatnya. Periuk dan belanga selalu dikilatkan. Putih dan bersih. Perkakas seramik yang retak dan sumpik hendaklah dibuang. Banyak bakteria berhimpun di celah rekahan. Yang sumpik berkait dengan maruah juga.


Banyak lagi jika kita hendakkan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita. Kesemuanya bukan untuk dipelajari dalam sehari. Amalkan sedikit semi sedikit. Ianya pembelajaran sepanjang hayat. Buatlah yang terbaik. Saya yakin harga diri kita akan meningkat melalui pembelajaran kendiri. Maruah akan terjaga. Imej akan naik. Orang melihat diri kita. Bukan kita yang melihat diri kita sendiri. Selalu-selalulah belajar untuk melihat dari kacamata orang lain. Objeknya ialah diri kita sendiri.

Bingkisan Dari Kaherah: Boleh Membaca Yang Universal



Tradisi ilmu di luar negara saya kira sangat tebal. Namun kebanyakan manusia bukan dalam golongan itu.  Ramai manusia mencari masa untuk belajar lagi. Lebih ranai pula hanya mengguna dan membazir masa. Sekarang saya belajar bahasa Arab di Markaz Nil. Sebuah institut milik orang Turki. Guru-gurunya orang Arab Mesir. Pelajar-pelajarnya datang dari kira-kira 49 negara di seluruh dunia. Dari negara-negara yang sukar disebut namanya. Dari negara-negara yang rasanya belum pernah didengar namanya sebelum ini. Khususnya yang dulunya bekas jajahan negara Russia. Dari laut Balkan, sekeliling Caspian hinggalah ke negara Cina. Negara-negara yang dikenali sebagai berhujungan dengan bunyi ‘tan’. Orang-orangnya berbagai rupa. Ada yang rupa  orang barat. Ada rupa Cina. Atau antara keduanya. Terdapat 16 orang di kelas saya. Kelas mustawa thani. Darjah dua. 5 orang dari Malaysia. 3 orang dari Indonesia. 2 orang dari Daghistan. 2 orang dari Turki. 1 orang dari Turkministan. 3 orang dari Cina. Bercampur yang tua dan yang muda.

Kesemua pelajar boleh membaca al-Quran. Kebanyakannya lancar. Sebutannya al-Quran.  Bunyi al-Quran. Huruf al-Quran.  Kalimah al-Quran. Ayat al-Quran. Bila membaca al-Quran kit atidak kenal siapa orangnya. Kita tidka dapat membezakan dari mana datangnya. Seperti kita di Malaysia masalahnya ialah apabila dibuang tanda-tanda pada al-Quran maka berlakulah kesukaran untuk membacanya dengan betul. Lari panjang dan pendeknya. Apabila ditanya maknanya lagilah terlopong. Mungkin mengetahui satu atau dua kalimah. Yang lain memang tidak tahu. Kita tidak tahu ism atau feel. Lagilah feel mudhari’, madhi dan amr. Itu belum cerita mufrad, muthanna dan jamak. Tambah lagi dengan muzakkar dan muannath. Al-Quran pula bahasanya klasik. Bahasa Allah. Bahasa orang Quraisy ketika wahyu diturunkan. Banyak kalimah dalam al-Quran yang tiada dalam kamus. Kerana itulah ramai orang Islam berhimpun di beberapa negara Arab untuk mempelajari bahasa Arab. Ibu bapa yang berada menghantar anak-anaknya untuk belajar di sini. Yang sudah bersara belajar di sini. Yang bekerja di Kaherah juga belajar di sini. Bila melihat keliling terasa syahdunya. Inilah himpunan teman-teman yang akan bersama di akhirat nanti. Saudara seislam. Berhimpun kerana kecintaan terhadap bahasa Rasulullah. Bahasa al-Quran. Bahasa di Jannah.

Mereka yang sudah bersara dan pencennya kira-kira RM3,000 sudah memadai untuk hidup segar di Kaherah. Belanja untuk belajar:
1   Rumah bernilai                     RM800 (bandaraya besar tempat kediaman mahal)
2   Yuran                                  RM125
3   Makan dan minum               RM200
                                     Jumlah RM1,125
Jika duduk di Malaysia mana cukup RM1,125. Jika datang berdua mungkin tambah
1   Yuran                                  RM125
2   Makan dan minum               RM150
                                    Jumlah RM1,400

Duduk di negara orang. Dapat belajar bahasa Arab. Belanjanya murah. Andainya suami isteri adalah pesara lagilah jimat. Hanya sekitar RM1,400 sahaja. Rasanya jika duduk di Malaysia wang pencen habis setiap bulan. Tidak tahu di mana dugunakan wang pencen itu. Cukup bulan habis. Berulang-ulang setiap bulan dan tahun. Di Mesir umpamanya ada pengisian yang jelas. Belajar bukan untuk berkerjaya. Memenuhi naluri. Memenuhi tuntutan agama. Tuntutan yang Allah bentangkan untuk diambil. Sayangnya tidak ramai orang kita yang mengambil peluang ini. Elok sebenarnya bagi yang berusia emas melihat dunia lain selain dari yang biasa-biasa sahaja. Kita puas melancong ke serata dunia. Sampai masanya kita berlabuh untuk  memberatkan harapan diri supaya ruang-ruang kosong dalam diri kita diisi dengan sepadat-padatnya. Tidak kesemua ilmu mampu kita pelajari. Tetapi belajar secara santai apa yang menarik kepada diri kita memenuhi aspirisi diri kita sendiri. Lompang-lompang yang perlu ditutup. Kekosongan yang perlu dipenuhi. Menambah yang kurang.

Di tanah air kita sibuk dengan hal-hal yang belum tahu ada manfaatnya. Kita sibuk dengan polituik sedangkan kita tahu tidak mungkin kita boleh menjadi pemimpin. Kita bukan orangnya. Jiwa kita bukan di situ. Kelayakan kita bukan di situ. Lebih baik menyingkir dari terlibat tanpa makna. Kita sibuk dengan hal-hal kebajikan. Malangnya tidak ke mana. Tidak mendapat sokongan kerana orang kita kurang dari segi itu. Tidak seperti orang Buddha dan Kristian. Kuat dakwah mereka. Banyak wang ringgit yang mereka hulur. Ramai orang terjebak ke arah mereka. Kita sibuk dengan persatuan. Sama juga, kita hanya ahli biasa. Tidak dapat pergi jauh. Sebanya kita tidak global. Tidak uviversal. Tidak sarwajagat. Orang melihat kita jumud. Akal kita dilihat pendek. Jangkauan kita terlalu cetek. Terlalu dekat. Terlalu rendah.  Dunia kita menjadi terlalu kecil terlalu sempit. Kita berada dalam kotak yang sama seumur hidup. Kita lemas dalam kotak itu. Jika ulat sutera  membungkus diri mereka dengan benang sutera, kita menyalut diri kita dengan banyak kekurangan. Orang lain melihat kekosongan itu. Orang melihat kekurangan itu. Orang melihat kedangkalan kita. Orang melihat kecetekan kita.

Marilah kita buka selimut diri. Bentangkan selimut itu supaya menjadi selimut terbang. Seperti cerita 1001 malam. Apabila kita terbangkan diri kita, kita berada di atas. Kita berada di tempat yang parasnya tinggi. Luas pandangan kita. Luas apa yang kita lihat. Barulah nampak yang mana lebih tinggi. Yang mana lebih rendah. Yang mana lebih subur. Yang mana lebih cantik. Yang lebih-lebih itu akan dapat dilihat dari tenpat yang di atas. Kotak yang kita tinggalkan rupanya  empat segi yang sangat kecil tetapi kita agung-agungkan. Sangat nipis tetapi kita bangga-banggakan. Sangat tersorok tetapi kita perasan bahawa kotak itulah yang terbaik untuk kita. Setelah berada di tempat tinggi kita dapat membuat banyak pilihan. Dapat mengejar yang berbagai. Dapat menikmati berbagai hal yang dahulunya dikekangkan dari pendangan mata kasar dan pandangan mata hati kita. Sebab itu ramai orang lain suka melancong. Memang kosnya tinggi. Mahal. Tetapi hasilnya  membuka mata. Membuka minda. Mebuka perasaan. Mengindahkan perjalanan hidup. Bukan satu hala sahaja bahkan terpencar ke berbagai hala.


Barulah kita menginsafi bahawa diri kita banyak kurangnya. Bahawa diri kita perlu diisi dengan input-input baru. Diisi dengan keperluan-keperluan baru. Di negara kita tidak kesemuanya dapat kita perolehi.  Merantau adalah suatu keperluan kerana diperantauan itu adanya nilai-nilai sejagat yang memperkaya diri. Jejaklah mereka yang melihat sendiri. Mendengar sendiri. Memegang sendiri. Menyentuh sendiri. Merasa sendiri. Pengalaman peribadi yang terhimpun segala-galanya. Pengalaman primer yang banyak bezanya dengan pengalaman sekunder.

Tuesday, July 16, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Katering, Katerer Yang Banyak Ceritera


Menjelang hari raya pastinya sudah ramai yang berkira-kira untuk mengadakan rumah terbuka. Sempena hari raya ramai juga yang mengadakan kenduri kahwin anak-anak mereka. Dalam kebiasaan sekarang sudah ramai yang tidak memasak sendiri untuk menjamu tetamu. Kemudahan sudah banyak. Katerer boleh dibariskan mengikut kategori. Kenduri kendara mengikut perancangan yang dihajati. Menu hendak yang terbaik. Hidangan hendak yang terenak jika tidak yang terlazat. Tawar menawar dengan katerer melalui sebut harga, perundingan dan tolak ansur yang berpadanan. Lama juga masanya yang diperlukan untuk mencapai persetujuan. Mungkin berbulan-bulan. Risik merisik juga dijalankan untuk mengenalpasti katerer yang terbaik. Yang sepadan dengan bayaran yang dituntut. Para tetamu diberi yang terbaik ikut ukuran tuan rumah. Dalam hal ini kita tidak tahu sebenarnya ukuran seseorang katerer yang terbaik. Adakah yang kita rancang enak dapat disajikan dengan sempurna enaknya.  Tepat masa dihidangkan. Cukup banyaknya seperti ditempah. Sempurna urusan layanannya. Tetamu dalam keadaan sentiasa terlayan.

Itulah yang selalu menghantui mereka yang menempah makanan dari katerer. Cuba fikirkan hal-hal berikut:

1        Darjah kefahaman antara tuan rumah dan katerer
2        Kemahiran masakan yang boleh diharap
3        Katerer yang peka dengan kehendak tuan rumah yang sebenar-benarnya
4        Cukupkah kuantiti yang disediakan mengikut perjanjian
5        Adakah katerer jenis orang yang syarie. Maksudnya tahu halal dan haram. Boleh dan tidak boleh.
6        Adakah katerer orang yang bertanggungjawab akan kelemahan-kelemahan yang ada pada urusan kateringnya
7        Banyak lagi yang perlu dipertimbangkan sebelum, semasa  dan selepas menggunakan seseorang katerer.

Tempahan makanan : katerer, penempah

Tuan rumah ada perancangannya sendiri. Ada dua jenis keterer. Yang pertama akur dengan kehendak tuan rumah. Yang kedua mempertahankan pengalamannya sendiri. Katerer pertama barangkali lebih baik. Boleh diajak berbincang tentang penyajian yang terbaik. Jika katerer ada pengalaman, tuan rumah juga ada pengalaman. Pengalaman menyajikan hidangan di rumah tertentu (walaupun orang besar) belum tentu memuaskan hati orang lain yang tidak besar dan tidak ternama. Maksudanya katerer tidak boleh pindahkan pengalamannya kepada orang lain. Maka ada baiknya katerer berusaha memenuhi permintaan tuan rumah walaupun banyak kelainannya daripada biasa. Mungkin lebih usaha dan susahnya. Boleh kenakan bayaran yang berpadanan. Katerer jenis kedua lebih sesuai kepada tuan rumah yang tidak berkira. Dia hanya menempah makanan ikut menu yang disediakan katerer. Apapun yang penting tuan rumah berpuas hati. Katerer juga berpuas hati. Namun pada perkiraan saya, itu belum cukup. Seorang katerer wajar berusaha menyedia dan menyajikan yang terbaik kerana setiap sajian adalah promosi bagi dirinya. Iklan untuk bisnesnya. Marketing. Dia harus berfikir jauh ke hadapan. Harus menjangkau untuk menarik lebih ramai pelanggan dari orang biasa hingga orang yang luar biasa. Itulah matlamat katering yang besar dan tinggi.

Banyak atau sedikit

Selalu terjadi dilema kepada tuan rumah. Berapa banyak tempahan yang dikira cukup. Tetamu yang diundang 2,000 orang. Adakah datang semua? Atau tidak datang semua tetapi ramai pula tetamu yang tidak dibajetkan. Trend yang ada sekarang juga mencemaskan. Tetamu kadang-kadang membawa teman dan rakan taulan. Tuan rumah tidak dapat menghalang. Tetapi harus dimaklumi bahawa tetamu yang tidak diundang tidak ada bajet makan. Makanan yang banyak adalah untuk tetamu yang tersenarai sebagai tetamu undangan. Bagaimana yang membawa anak-anak? Jika di rumah saudara mara terdekat biasanya ada bajet untuk anak buah, anak waris. Begitu juga untuk anak-anak rakan terdekat. Tetapi itupun tidak sampai berlebih-lebih. Andainya ada tetamu yang membawa sehingga 4 atau 5 orang anak tentulah parah tuan rumah. Anak yang setahun dua usianya masih boleh dipertimbangkan. Jika anak-anak itu sudah bersekolah menengah mereka sudah menyamai tetamu dewasa. Ini yang dikatakan orang lari bajet. Kepada orang Melayu ini masalah besar. Sediakan banyak mengakibatkan pembaziran. Sediakan sedikit lari bajet. Boleh sama-sama kita fikirkan untuk menyelamatkan keadaan. Biar timbul budaya yang sihat antara kita. Tuan rumah dicadangkan membuat bajet yang lebih longgar untuk menghadapi suasana yang luar biasa. Tetamu pula bertimbangrasa. Jika diundang sekeluarga atau seisi rumah tidak mengapa membawa sahaja siapa yag ad di rumah. Jika suami isteri, fikir dua kali. Kasihan tuan rumah. Menelan air liur yang tidak ada.

Cukup atau tidak

Satu lagi dilema ialah adakah katerer menyediakan secukupnya. Jika tetamu seramai 2,000 orang dihidangkan dengan sebesen besar acar rasanya tidak cukup. Katerer sewajarnya menyediakan 2,200 ketul daging (lembu atau kambing). 2,200 ketul ayam. 2,200 senduk acar. 2,200 senduk dal. 2,200 senduk sayur. 2,200 sukatan ulam-ulaman. 5,000 gelas minuman. 2,200 sukatan kuih-muih. Dan begitulah seterusnya. Kenapa begitu. Ini cerita halal dan haram. Tuan rumah menempah sebanyak 2,000 kepala. Tuan rumah membayar untuk 2,000 kepala. Jika katerer mengurangkan dari jumlah itu maka ada unsur haram di situ. Kenapa? Sebabnya katerer menuntut bayaran untuk 2,000 kepala. Saya cadangkan ada ustaz dan ustazah yang berceramah tentang hal ini. Halal dan haram yang mesti diketahui oleh seseorang katerer. Rezekinya mestilah halal untuk memberi makan keluarganya. Untuk membesarkan anak-anaknya. Ada situasi katerter mengambil sedikit makanan untuk keluarga, teman-teman dan pekerjanya. Jika katerer membeli lebih daripada bajet, tidak mengapa. Jika tidak ada unsur haram di situ. Jangan kira kebiasaan yang salah dan berdosa. Tanpa izin orang yang menempah makanan. Sediakan lebih sebagai ikram dari katerer.
Situasi kedua pula apabila berada di tempat jamuan. Katerer mengarahkan semua kendaratnya membuat bungkusan makanan untuk dibawa balik ke rumah masing-masing. Lagi tidak boleh. Makanan itu tuan rumah yang punya. Bukan katerer yang punya. Banyak lebihnya? Itu soal lain. Jika diarahkan oleh tuan rumah, alhamdulillah. Selalu fikirkan rezeki yahg halal. Yang diizinkan. Yang diredhakan. Jangan pandai-pandai membuat tindakan. Jangan terkejut ada katerer yang mengangkut pulang sebahagian dari makanan yang disediakan. Mungkin untuk diagih-agihkan kepada saudara mara atau jiran tetangga. Aduhai! Haram tu bang. Orang punya. Bukan abang yang punya. Sudah dibayar atau akan dibayar sepenuhnya. Jika dikurangkan bayarannya, tidak mengapa. Sepatutnya apabila sampai di  tempat jamuan serahkan segala-galanya kepada tuan rumah. Jangan biarkan pekerja sendiri menyalahgunakan kesempatan yang ada. Yang cemar ialah nama katerer. Cerita buruk itu akan tersebar. Minta maaflah. Pelanggan akan datang yang sepatutnya bertambah akan berkurangan. Ingat juga balasan Allah. Tidak dijangka-jangka nanti datangnya.

Keterer alang kepalang

Katerer hendaklah benar-benar cuba supaya profesional. Perkakas makan dan minum disediakan secukupnya tanpa perlu dibasuh di tempat jamuan diadakan. Basuh membasuh dilakukan di rumah katerer. Ini untuk mengelakkan becak. Berair. Kotor. Dan berbagai-bagai lagi masalah sampingan yang tidak wajar dilakukan. Maksudnya jika tetamu adalah 2,000 orang maka sediakan sekurang-kurang 2,500 pinggan, 2,500 gelas. Begitu sudu dan garfu. Atau perkakas lain yang diperlukan. Jadilah katerer yang wajar bukan yang serba kekurangan. Bina rangkaian supaya pada waktu-waktu tertentu boleh berkongsi perkakas dengan keterer lain. Ada rangkaian. Ada kerjasama. Ada bantu membantu. Kata orang, tidak makan sendiri. Ada masa minta bantuan katerer lain. Ada masa bantu katerer lain. Itu yang saya perhatikan pada peniaga Cina. Selalu ada rangkaian yang membantu bila diperlukan. Ada rezeki yang diagih-agihkan. Tidak kekeringan pada kebanyakan masa. Ada masa banyak. Ada masa sedikit. Dari masa ke semasa bina kekuatan. Bina supaya menjadi lebih besar.  

Memenuhi hasrat besar

Apabila persetujuan telah dicapai antara tuan rumah dan katerer, tuan rumah cuba pastikan hal-hal berikut:

1                    Ziarah ke tempat makanan disediakan untuk menilai kuantiti yang disediakan katerer. Untuk mempastikan kualiti makanan yang disediakan.
2                    Buat catatan mana-mana makanan yang dikira tidak cukup. Tuntut seperti dipersetujui. Jika tidak buat potongan bayaran.
3                    Perhatikan jika katerer mengambil apa-apa makanan. Potong bayaran.
4                    Apabila sampai di tempat jamuan pastikan kuantiti yang dimasak sama dengan kuantiti yang dihantar.
5                    Jangan benarkan pekerja katerer membuat apa-apa bungkusan atau menyorokkan makanan.
6                    Pastikan layanan adalah yang terbaik. Semua pekerja memang bekerja. Bukan banyak bersembang dan hanya memandang kekecohan yang berlaku.
7                    Sediakan seorang pemantau di kalangan adik beradik atau anak-anak.
8                    Semasa membuat bayaran, buat potongan bayaran yang sesuai dengan kekurangan yang sama-sama mengetahuinya. Maklumkan semua kekurangan yang berlaku.


InsyaAllah selepas in semua yang dikatererkan adalah yang halal. Halal kepda tuan rumah dan halal juga kepada katerer.

Monday, July 15, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Untuk Apa Airmata Syawal



Beruntunglah orang-orang yang sempurna Ramadhannya. Pahala ganjarannya hanya Allah yang maha Mengetahui. Kemenangan Ramadhan adalah suatu menifestasi iman. Taat kepada tuntutan yang hak. Di sebalik semua itu terdapat sesuatu yang harus kita fikirkan semula. Menjelang Syawal ramai orang kita yang menjadi hilang pertimbangan agama. Sebelum Ramadhan perjalanan sudah ditempah. Merancang untuk sampai di rumah keluarga masing-masing sebelum hari raya. Tentunya rumah ibu bapa atau ibu bapa mertua. Tentunya di kampung nun jauh di pedalaman. Kampung yang selalu sayu ditinggalkan. Akan dijenguk semula untuk dimeriahkan bersama. Mengingat semula zaman kanak-kanak dan remaja. Menjelajah denai dan belukar yang sekarang sudah tiada. Kampung halaman menjadi dekat semasa hari raya walaupun pada waktu-waktu yang lain masing-msing mendakwa terlalu sibuk dengan tugas dan berbagai aktiviti sosial yang lain. Hari raya digagahkan juga untuk kembali ke asal. Malah dirancang pada aakhir hari raya tahun lalu.

Kita budayakan sesuatu yang asalnya bukan. Di negara Islam yang lain tidak ada keghairahan yang seperti kita lakukan. Seolah-olehnya bila hari raya segala-galanya yang istimewa disediakan. Langsir baru bukan lagi sesuatu yang asing. Kuih-muih jangan dikata banyaknya. Perabot juga ada yang berganti. Malah jangan hairan kereta turut berganti. Ada keutamaan yang banyak terabai dalam kehidupan orang kita. Kadang-kadang untuk membeli sebuah buku kita sangat dan sangat berkira. Mahal. Boleh pinjam. Boleh baca di perpustakaan. Boleh cari di internet. Macam-macam dalihnya. Ada sahaja alasanya. Malangnya jika membuat salah penilaian terhadap sesuatu yang pada hakikatnya bernilai. Ini yang disebut dalam marketing sebagai drop-error. Maksudnya meninggalkan sesuatu yang berguna. Sebaliknya kita selalu go-error. Menerimapakai sesuatu yang belum tentu banyak faedahnya. Lebih kepada kebanggaan sahaja. Rasanya setiap keluarga membelanjakan ribuan ringgit menjelang hari raya. Kuih-muih sahaja mencecah RM1,000 atau lebih. Juadah berbuka puasa mungkin purata RM30 sehari. Itu untuk yang biasa-biasa. Jika ada tetamu tentulah melambung ke RM60. Berbuka sahaja sudah mungkin RM1,500. Pakaian mungkin RM3,000. Sepasang seorang. Jika dua pasang kita gandakan. Untuk jamuan hari raya mungkin RM2,000 lagi. Daging 10kg. Ayam 20 ekor. Ketupat 300 biji. Lemang 30 batang. Itu belum juadah lain mengikut tradisi. Banyaknya kita berhabis duit untuk hari raya.

Dulu samasa saya muda ada sahabat yang meminjam dari bank untuk hari raya. Pada tahun 80an meminjam sebanyak RM3,000 saya kira sangat banyak. Tetapi untuk keluarga besar seperti saya mana cukup RM3,000. Itulah fenomena hari raya. Kita hiasi dengan warna dan warni. Dengan bunga dan jambangan. Dengan kuih yang entah apa rasanya. Yang datang bertandang tidak makanpun kuih-muih itu. Di rumah mereka banyak. Di rumah rakan taulan lagilah banyak. Singgah di mana sahaja, pasti banyak kuih. Mana mungkin dalam beberpa hari kita dipaksa makan semua yang dihidang. Cuba pada hari-hari biasa kita hidangkan kuih-muih. Rasanya sekelip mata semuanya tinggal bekas sahaja. Bawalah kuih ke pejabat. Semasa menonton bolasepak di stadium. Semasa lepak di kedai mamak. Semasa jogging. Duduk, buka dan makan. Pelawa mereka yang hampir. Atau lalu lalang. Ketika itu kuih yang sedikit dikongsi ramai. Sedapnya melebih-lebih. Enaknya melebihi dari biasa. Atau bawa selalu ke masjid dan surau. Jemaah ramai yang lapar. Sementara menunggu waktu boleh makan kuih yang ada. Banyak pahalanya.

Kita selalu menangis menjelang hari raya. Teringat yang sudah tiada. Teringat yang jauh. Ibu bapa tentu yang utama. Mana yang bertugas jauh teringat pasangan masing-msing. Lagilah yang sedang mabuk cinta. Gundah gelana mengenang yang jauh. Rindunya terlalu amat. Jika bersayap terbang melayang. Jika beroket meluncur pergi. Kenapa hanya pada hari raya. Orang Arab hanya solat hari raya. Selepas solat mereka tidur. Syawal disambut dengan solat. Takbir, tahmid dan tahlil dari Maghrib sebelumnya hingga sebelum solat hari raya. Tamat. Selesai. Itulah hakikat hari raya. Tiada kuih-muih. Tiada hidangan yang tidak muat meja. Tidak muat peti ais. Tidak muat dapur. Semua ini cerita hari raya. Di mana kita tinggalkan cerita Ramadhan. Alangkah eloknya jika kita kembali kepada yang hak. Ramadhan didahulukan. Ramadhan dimuliakan. Ramadhan dimeriahkan. Ramadhan dimakmurkan. Ramadhan diberi keutamaan. Tinggalkan yang lain kerana semuanya hiasan sahaja. Hiasan yang diperlukan ialah ibadat. Amal ibadat yang syarie. Yang jelas tuntutannya. Memang digalakkan. Daripada berhabis untuk hari raya bukankah baik kita menjamu orang yang berpuasa. Berebut-rebut menyediakan juadah untuk mereka yang berbuka puasa.  Banyakkan sedekah dan derma. Memberi kepada yang berhak menerimanya. Menangislah jaka kita gagal melakukanya. Bukan menangis kerana tiada baju baru. Atau langsir rumah tidak berganti.


Kita pelajarilah agama supaya kita arif tetang beza antara agama atau adat. Biar kita tahu untuk apa air mata Syawal yang seharusnya kita gugurkan. Mengenang Ramadhan yang sudah pergi. Mengenang kemungkinannya Ramadhan yang akan datang tidak dapat kita jelang. Kebimbangan kemungkin Ramadhan kita banyak celanya. Berapa banyak ibadat kita yang Allah terima. Cukupkah apa yang kita lakukan untuk Allah. RasulNya. Mentaati perintahnya. Melakukan yang terbaik seperti dituntut agama. Itu yang perlu kita tangisi. Buanglah air mata untuk mengingati kelemahan kita. Untuk menginsafkan diri yang terlalu lemah dan lelah. Lemah imannya. Lemah ibadatnya. Lemah dari menahan godaan syaitan dan iblis. Banyakkan berfikir yang menjangkau jauh. Benarkah Ramadhan tahun hadapan dapat kita jelang lagi. Kita boleh berhari raya setiap hari. Banyak duit berayalah kita. Tetapi Ramadhan datangnya sekali sahaja dalam setahun. Dalam Ramadhan itulah adanya malam lailtul qadar. Hanya satu malam antara 354 hari dalam setahun. Menangislah untuk itu. Menangislah untuk itu.  Bukan untuk yang lain. Untuk yang lain boleh menangis pada bila-bila masa. Sekarang, esok, lusa, tulat, langkat, minggu, pekan, purnama atau tahun hadapan. Sementara kita mengejar lailtul qadar ini, gandakan ibadat.  Buat apa sahaja yang namanya ibadat. Mencari keredhaan Allah pada bulan yang mulia ini. Selamat beribadat.

Sunday, July 14, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Umu Quais Ibu Negara Yunani Kuno




Jalanraya di Jordan banyak yang besar dan lebar. Banyak yang empat atau tiga lorong. 


Banyak gerai minuman. Terutamanya kopi. Tiada R n R seperti di Malaysia. tetapi tiada satupun tol di sini.


Sebuah gerai buah dan sayur. Dua gandingan barangan di negara Arab. Di kejauhan adalah sebahagian bandar Irbid.


Di pintu masuk Umu Quis

Maklumat tentang kesan sejarah dan arkeologi


Arah ke tempat parkir




Sebahagian dari peserta rombongan

Kegemilangan zaman yang ditinggalkan. Hanya runtuhan dan ketulan batu. 

Panas kot

Tanah dan batu

Tinggal tiang-tiang berukir yang tegak tanpa megahnya lagi

Suatu masa dahulu di sini terpancarnya kegemilangan suatu bangsa

Pintu msuk ke mudarraj

Catatan sejarah

Sebuah mudarraj

Laluan usang

Sejarah yang ditinggalkan

Ditinggal kerana tiada gunanya lagi

Senibina yang tidak lagi dimanfaatkan

Dahulu mudarraj ini riuh rendah dengan aliran darah gladiator yang tewas 


Laluan sejarah

Sebuah negara kota yang hebat, gah dan besar













Bertukar-tukar gambar


Musim bunga yang banyak warninya


Di kejauhan adalah Bukit Julan (Golan. Sempadan antara Jordan, Syria dan Israel.


Yang tegak dan yang runtuh. Sama-sama ditinggal sejarah.

Bersama teman

Gembira

Kenangan

Untuk tatapan akan datang

Bunga yang diseri kumbang


Di sini ada sejarahnya

Bunga yang cantik ramai penyerinya

Berkeliling menikmati madunya

Siapa yang menang

Belukar yang menutup sebahagian sejarah 

Hanya bunga-bunya yang mekar dek panas

Berulang setiap tahun

Setia dengan musim dan suhu

Bagaimana jika ini adalah zaman yang hilang itu

Gempa bumi meranapkan sebahagian dari strukturnya

Yang namanya sejarah tetap sejarah. Ketulan atau serpihan batu juga sebahagan sejarah itu. Tidak dibuang. Dibiarkan sebagai sejarah.

Apa yang berlaku ketika itu

Kemeriahan sebuah kenangan lama. Kesibukan yang ditelan sejarahnya sendiri.

Padang jarak padang tekukur

Kembali kepada asalnya. Dari tanah kembali ke tanah.

Cebisan gambaran silam

Kalaulah boleh kembali ke zaman itu

Bunga merah ini yang  berani berwarna garang

Mencari zaman

Luas dan memanjang

Tiang-tiang yang patah

Untuk kenangan semasa dan akan datang

Ukiran yang hanya boleh ditatap

Masih menjadi kegilaan di sesetengah tempat

Lambang  sebuah empayar besar

Semak dan sunyi

Kumbang besar menyeri bunga kecil

Hanya tinggalan

Tumbang dan timpa menimpa

Kawasan hiburan

Tempat berlibur

Tinggal tapaknya sahaja

Ukiran yang cantik

Rekahan tiang besar yang sudah lama tumbang

Kawasannya memang besar dan luas

Lapang

Mengujakan

Menggamit kenangan

Kegemilangan

Terbentang

Bertapak pada dasarnya sendiri

Berbaris memberi berita sayu

Setia pada tempatnya

Masih ada sudi ziarah

Mengenang sejarah besar mereka

Pengajaran

Tiada yang kekal di dunia ini

Tanda ada tempat pemujaan




Lapang rasa hati

Mudir Markaz Eywan

Menungguu sejarah berulang kembali

Yang perlu ditinggalkan


Tunggulah selagi masa mengizinkan

Tegak sehingga rebah

Memisahkan yang lama dan yang baru

Tinggallah kenangan lama

Entah bila datang lagi



Di luar Umu Quais

Bandar di sekeliling Umu Quais

Kawasan pakir. Mendung tetapi selalu tidak hujan.

Musim bunga

Bandar irbid

Sibuk juga

Iklan

Kedai-kedai

Iklan

Kebetulan baru lepasa hujan lebat.



Terletak di Irbid. Di utara Jordan. Kira-kira sejam setengah perjalanan dari Amman. Ianya tinggalan empayar Yunani Kuno. Di kawasan yang pernah menjadi ibu negara Yunani suatu ketika dahulu. Sejarah Yunani purba lebih dirujuk kepada negara kota seperti Athens. Sejarah menunjukkan bahawa pengaruh dan empayar Yunani pernah bertapak di bumi Syam. Bumi anbia. Berada di tapak Umu Quis kelihatan suatu lagi bukti kehinaan yang Allah timpakan ke atas bangsa yang lupakan Allah. Allah hapuskan kegemilangannya hingga sekarang menjadi lebih hina apabila negara Greece adalah antara negara yang muflis di Eropah. Walaupun suatu ketika dahulu Yunani melebarkan sayap kegemilangannya ke seluruh bumi Syam, kegemilangan itu tidak kekal apabila mereka lupakan Yang Khaliq. Yang Maha Pencipta. Yang tinggal hanya sejarah silamnya. Ditonton orang sekarang dan orang akan datang. Dijadikan iktibar dan diambil ingatan bahaya yang kekal hanya Allah. Manusia hanya untuk sesuatu zaman. Keturunannya kekal jika berada di landasan yang betul. Jika orang yang terdahulu menyediakan landasan yang betul.

Berada di Umu Quis kita hanya melihat sejarah. Melihat runtuhan-runtuhan yang tidak lagi memberi apa-apa makna dalam dunia kita kini. Hanya sejarah dan pengajarannya sahaja. Yang jelas kelihatan hanya rekahan-rekahan dan ketulan-ketulan batu yang bergelimpangan. Ranapan sesuatu yang pernah dibanggakan dan diagungkan. Sesiapa yang pernah membaca cerita, mitos dan sejarah Yunani tentu ingat tentang Hercules dan cerita tuhan-tuhan mereka yang sebenarnya manusia biasa. Dianggap tuhan kerana mungkin mempunyai kuasa sihir atau apa sahaja kekuatan yang melebihi kuasa manusia biasa. Diadun menjadi cerita yang mengasyikkan. Namun di situ tiada lagi bangunan bolehguna yang mengekalkan kegemilangan sebuah empayar. Sekarang Greece yang mewarisi negara purba Yunani adalah sebuah negara lemah. Negara yang miskin. Manusia selalu lupa diri semasa berada di puncak kegemilangan. Tidak memandang jauh ke hadapan. Tidak beringat untuk mencorakkan sesuatu yang betul berguna untuk keturunannya pada masa akan datang. Mereka selalu rakus untuk dirinya dan orang-orang yang dekat dengan mereka. Dari bangsa yang dihormati, dikagumi dan digeruni Yunani menjadi bangsa yang hina dina. Hanya menangis pada sejarah.

Manusia selalu lupa kepada Allah yang menciptanya dari tiada kepada ada. Soccrettes, Plato dan Aristotle adalah antara tiga orang tokoh falsafah Yunani yang masih dipelajari buah fikirannya. Setengah idea mereka masih dipraktikkan hingga kini. Kurikulum akademik sekolah di seluruh dunia masih menerapkan falsafah mereka terutama Aristotle. Yang paling jelas ialah aspek inquisitif. Ahli-ahli falsafah kebanyakannya menemui Yang Maha Agung. Namun orang Yunani ketika itu mencipta tuhan-tuhan mereka sendiri. Kepada mereka tuhan-tuhan tersebut memenuhi keperluan rohani mereka. Zaman itu dipenuhi dengan kezaliman diri. Berperang antara negara kota. Menindas bangsa yang ditawan. Tawanan pula dilayan sebagai haiwan. Dilagakan untuk dicari juara yang paling banyak membunuh sesama sendiri. Banyak gelanggang yang dinamakan mudarraj menjadi tempat menghina tawanan. Tidak cukup dilagakan dengan manusia sesama tawanan, mereka mungkin dilagakan dengan singa-singa yang kelaparan. Hidup atau mati hanya di hujung pedang atau di hujung taring singa.

Sejarah juga banyak merakamkan bahawa yang memerintah dan mengira diri mereka menang hidup dalam kemewahan. Selalu pula manusia hilang kebaikannya sebagai manusia apabila mewah. Hiburan, maksiat dan hedonism menjadi gaya hidup. Mereka menjauh dari yang hak dan hakiki.  Jordan sebenarnya bukan dalam lingkaran gunung berapi. Tetapi cacatan sejarah menunjukkan bahawa letusan gunung berapi pernah berlaku. Gempa bumi pernah berlaku. Bukan kecil. Bahkan besar dan memusnahkan. Umu Quis musnah. Jarasy musnah. Laut Mati musnah. Kemurkaan Allah sudah berulang-ulang ditimpakan kepada bangsa manusia yang ingkar. Menghairankan juga apabila ada manusia yang lupa hakikat itu. Semua itu dikatakan sebagai fenomena alam. Mengikut sahaja pemikiran barat. Mereka lupa siapa pemilik alam ini. Pemilik dunia ini. Pemilik diri mereka sendiri. Janganlah mencari jawapan yang terlalu sukar. Jawapan yang sendiripun tidak memahaminya. Tidak terjadi sesuatu tanpa izin Allah. Kita semua dalam tanganNya. Kesemuanya hak Allah secara mutlak. Tiada apa yang perlu didalihkan.

Umu Quis sangat gah pada zamannya. Yunani purba antara kerajaan prasejarah yang diagungkan pada zamannya. Banyakj tulisan, banyak kajian dan banyak aritifak sebagai bukti kewujudannya. Melihat keluasan tapak Umu Quis itu sendiri dapat diukur kehebatan negara kota itu. Terletak di pertengahan perjalanan antara timur dan barat. Di situ pertemuan segala pedagang. Menemukan mereka yang berminat berdagang. Barangan dari timur dan dari barat ditukar-tukar mengikut selera pengguna di negara masing-masing. Perniagan bertukar barang meluas. Terdapat bukti  artifak yang ditemui menandakan wang emas dan perak digunakan secara berleluas. Sekarang ini dikatakan ramai petani yang menemui artifak khazanah lama tinggalan Yunani atau Roman. Tentulah emas yang selalunya memberikan keuntungan. Artifak lain yang bukan emas tidak memberi apa-apa kebaikan kecuali untuk muzium. Untuk kajian sahaja.  Tinggalan Umu Quis menunjukkan adanya kawasan untuk perniagaan dan perdagangan. Binaan-binaan seperti ruang kedai disediakan  untuk mereka yang berminat.

Menyorot kembali sejarah lama tidak ada salahnya. Kita pelajari kesilapan orang dahulu. Kita ambil kebaikan yang mereka tingalkan. Senibina yang hebat hendaklah diinsafi bahawa ianya datang dari Allah. Manusia hanya pelaku-pelaku yang Allah anugerahkan sedikit kelebihan untuk memakmurkan manusia lain pada zamannya. Kita hendaklah yakin terhadap ilmu Allah. Manusia hanya diberi terlalu sedikit dari ilmu milik Allah itu. Terlalu sedikit. Sedikit yang sangat sedikit. Kita boleh terima pandangan dan pendidikan barat. Boleh terima teori barat. Tetapi kita hendaklah menerimanya secara Islam. Yang islamik. Pandangan manusia itu disandarkan kepada yang hak dan benar. Sandarkan kepada nas al-Quran dan hadith. Dalam dunia ini banyak pilihan yang dibenarkan berbanding yang dilarang. Semua yang dihalalkan tiada mudaratnya. Sebaliknya semua yang dilarang tiada manfaatnya. Bukan dari segi pertimbangan manusia tetapi dari segi pertimbangan agama. Dari segi pertimbangan Allah. Selalulah tepuk dada kita untuk menilai iman kita sendiri. Orang lain tidak tahu.