Thursday, July 18, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Boleh Membaca Yang Universal



Tradisi ilmu di luar negara saya kira sangat tebal. Namun kebanyakan manusia bukan dalam golongan itu.  Ramai manusia mencari masa untuk belajar lagi. Lebih ranai pula hanya mengguna dan membazir masa. Sekarang saya belajar bahasa Arab di Markaz Nil. Sebuah institut milik orang Turki. Guru-gurunya orang Arab Mesir. Pelajar-pelajarnya datang dari kira-kira 49 negara di seluruh dunia. Dari negara-negara yang sukar disebut namanya. Dari negara-negara yang rasanya belum pernah didengar namanya sebelum ini. Khususnya yang dulunya bekas jajahan negara Russia. Dari laut Balkan, sekeliling Caspian hinggalah ke negara Cina. Negara-negara yang dikenali sebagai berhujungan dengan bunyi ‘tan’. Orang-orangnya berbagai rupa. Ada yang rupa  orang barat. Ada rupa Cina. Atau antara keduanya. Terdapat 16 orang di kelas saya. Kelas mustawa thani. Darjah dua. 5 orang dari Malaysia. 3 orang dari Indonesia. 2 orang dari Daghistan. 2 orang dari Turki. 1 orang dari Turkministan. 3 orang dari Cina. Bercampur yang tua dan yang muda.

Kesemua pelajar boleh membaca al-Quran. Kebanyakannya lancar. Sebutannya al-Quran.  Bunyi al-Quran. Huruf al-Quran.  Kalimah al-Quran. Ayat al-Quran. Bila membaca al-Quran kit atidak kenal siapa orangnya. Kita tidka dapat membezakan dari mana datangnya. Seperti kita di Malaysia masalahnya ialah apabila dibuang tanda-tanda pada al-Quran maka berlakulah kesukaran untuk membacanya dengan betul. Lari panjang dan pendeknya. Apabila ditanya maknanya lagilah terlopong. Mungkin mengetahui satu atau dua kalimah. Yang lain memang tidak tahu. Kita tidak tahu ism atau feel. Lagilah feel mudhari’, madhi dan amr. Itu belum cerita mufrad, muthanna dan jamak. Tambah lagi dengan muzakkar dan muannath. Al-Quran pula bahasanya klasik. Bahasa Allah. Bahasa orang Quraisy ketika wahyu diturunkan. Banyak kalimah dalam al-Quran yang tiada dalam kamus. Kerana itulah ramai orang Islam berhimpun di beberapa negara Arab untuk mempelajari bahasa Arab. Ibu bapa yang berada menghantar anak-anaknya untuk belajar di sini. Yang sudah bersara belajar di sini. Yang bekerja di Kaherah juga belajar di sini. Bila melihat keliling terasa syahdunya. Inilah himpunan teman-teman yang akan bersama di akhirat nanti. Saudara seislam. Berhimpun kerana kecintaan terhadap bahasa Rasulullah. Bahasa al-Quran. Bahasa di Jannah.

Mereka yang sudah bersara dan pencennya kira-kira RM3,000 sudah memadai untuk hidup segar di Kaherah. Belanja untuk belajar:
1   Rumah bernilai                     RM800 (bandaraya besar tempat kediaman mahal)
2   Yuran                                  RM125
3   Makan dan minum               RM200
                                     Jumlah RM1,125
Jika duduk di Malaysia mana cukup RM1,125. Jika datang berdua mungkin tambah
1   Yuran                                  RM125
2   Makan dan minum               RM150
                                    Jumlah RM1,400

Duduk di negara orang. Dapat belajar bahasa Arab. Belanjanya murah. Andainya suami isteri adalah pesara lagilah jimat. Hanya sekitar RM1,400 sahaja. Rasanya jika duduk di Malaysia wang pencen habis setiap bulan. Tidak tahu di mana dugunakan wang pencen itu. Cukup bulan habis. Berulang-ulang setiap bulan dan tahun. Di Mesir umpamanya ada pengisian yang jelas. Belajar bukan untuk berkerjaya. Memenuhi naluri. Memenuhi tuntutan agama. Tuntutan yang Allah bentangkan untuk diambil. Sayangnya tidak ramai orang kita yang mengambil peluang ini. Elok sebenarnya bagi yang berusia emas melihat dunia lain selain dari yang biasa-biasa sahaja. Kita puas melancong ke serata dunia. Sampai masanya kita berlabuh untuk  memberatkan harapan diri supaya ruang-ruang kosong dalam diri kita diisi dengan sepadat-padatnya. Tidak kesemua ilmu mampu kita pelajari. Tetapi belajar secara santai apa yang menarik kepada diri kita memenuhi aspirisi diri kita sendiri. Lompang-lompang yang perlu ditutup. Kekosongan yang perlu dipenuhi. Menambah yang kurang.

Di tanah air kita sibuk dengan hal-hal yang belum tahu ada manfaatnya. Kita sibuk dengan polituik sedangkan kita tahu tidak mungkin kita boleh menjadi pemimpin. Kita bukan orangnya. Jiwa kita bukan di situ. Kelayakan kita bukan di situ. Lebih baik menyingkir dari terlibat tanpa makna. Kita sibuk dengan hal-hal kebajikan. Malangnya tidak ke mana. Tidak mendapat sokongan kerana orang kita kurang dari segi itu. Tidak seperti orang Buddha dan Kristian. Kuat dakwah mereka. Banyak wang ringgit yang mereka hulur. Ramai orang terjebak ke arah mereka. Kita sibuk dengan persatuan. Sama juga, kita hanya ahli biasa. Tidak dapat pergi jauh. Sebanya kita tidak global. Tidak uviversal. Tidak sarwajagat. Orang melihat kita jumud. Akal kita dilihat pendek. Jangkauan kita terlalu cetek. Terlalu dekat. Terlalu rendah.  Dunia kita menjadi terlalu kecil terlalu sempit. Kita berada dalam kotak yang sama seumur hidup. Kita lemas dalam kotak itu. Jika ulat sutera  membungkus diri mereka dengan benang sutera, kita menyalut diri kita dengan banyak kekurangan. Orang lain melihat kekosongan itu. Orang melihat kekurangan itu. Orang melihat kedangkalan kita. Orang melihat kecetekan kita.

Marilah kita buka selimut diri. Bentangkan selimut itu supaya menjadi selimut terbang. Seperti cerita 1001 malam. Apabila kita terbangkan diri kita, kita berada di atas. Kita berada di tempat yang parasnya tinggi. Luas pandangan kita. Luas apa yang kita lihat. Barulah nampak yang mana lebih tinggi. Yang mana lebih rendah. Yang mana lebih subur. Yang mana lebih cantik. Yang lebih-lebih itu akan dapat dilihat dari tenpat yang di atas. Kotak yang kita tinggalkan rupanya  empat segi yang sangat kecil tetapi kita agung-agungkan. Sangat nipis tetapi kita bangga-banggakan. Sangat tersorok tetapi kita perasan bahawa kotak itulah yang terbaik untuk kita. Setelah berada di tempat tinggi kita dapat membuat banyak pilihan. Dapat mengejar yang berbagai. Dapat menikmati berbagai hal yang dahulunya dikekangkan dari pendangan mata kasar dan pandangan mata hati kita. Sebab itu ramai orang lain suka melancong. Memang kosnya tinggi. Mahal. Tetapi hasilnya  membuka mata. Membuka minda. Mebuka perasaan. Mengindahkan perjalanan hidup. Bukan satu hala sahaja bahkan terpencar ke berbagai hala.


Barulah kita menginsafi bahawa diri kita banyak kurangnya. Bahawa diri kita perlu diisi dengan input-input baru. Diisi dengan keperluan-keperluan baru. Di negara kita tidak kesemuanya dapat kita perolehi.  Merantau adalah suatu keperluan kerana diperantauan itu adanya nilai-nilai sejagat yang memperkaya diri. Jejaklah mereka yang melihat sendiri. Mendengar sendiri. Memegang sendiri. Menyentuh sendiri. Merasa sendiri. Pengalaman peribadi yang terhimpun segala-galanya. Pengalaman primer yang banyak bezanya dengan pengalaman sekunder.

No comments:

Post a Comment