Beruntunglah orang-orang
yang sempurna Ramadhannya. Pahala ganjarannya hanya Allah yang maha Mengetahui.
Kemenangan Ramadhan adalah suatu menifestasi iman. Taat kepada tuntutan yang
hak. Di sebalik semua itu terdapat sesuatu yang harus kita fikirkan semula. Menjelang
Syawal ramai orang kita yang menjadi hilang pertimbangan agama. Sebelum Ramadhan
perjalanan sudah ditempah. Merancang untuk sampai di rumah keluarga
masing-masing sebelum hari raya. Tentunya rumah ibu bapa atau ibu bapa mertua. Tentunya
di kampung nun jauh di pedalaman. Kampung yang selalu sayu ditinggalkan. Akan dijenguk
semula untuk dimeriahkan bersama. Mengingat semula zaman kanak-kanak dan
remaja. Menjelajah denai dan belukar yang sekarang sudah tiada. Kampung halaman
menjadi dekat semasa hari raya walaupun pada waktu-waktu yang lain masing-msing
mendakwa terlalu sibuk dengan tugas dan berbagai aktiviti sosial yang lain. Hari
raya digagahkan juga untuk kembali ke asal. Malah dirancang pada aakhir hari
raya tahun lalu.
Kita budayakan
sesuatu yang asalnya bukan. Di negara Islam yang lain tidak ada keghairahan
yang seperti kita lakukan. Seolah-olehnya bila hari raya segala-galanya yang
istimewa disediakan. Langsir baru bukan lagi sesuatu yang asing. Kuih-muih
jangan dikata banyaknya. Perabot juga ada yang berganti. Malah jangan hairan
kereta turut berganti. Ada keutamaan yang banyak terabai dalam kehidupan orang
kita. Kadang-kadang untuk membeli sebuah buku kita sangat dan sangat berkira. Mahal.
Boleh pinjam. Boleh baca di perpustakaan. Boleh cari di internet. Macam-macam
dalihnya. Ada sahaja alasanya. Malangnya jika membuat salah penilaian terhadap
sesuatu yang pada hakikatnya bernilai. Ini yang disebut dalam marketing sebagai drop-error. Maksudnya meninggalkan sesuatu yang berguna. Sebaliknya
kita selalu go-error. Menerimapakai sesuatu
yang belum tentu banyak faedahnya. Lebih kepada kebanggaan sahaja. Rasanya setiap
keluarga membelanjakan ribuan ringgit menjelang hari raya. Kuih-muih sahaja
mencecah RM1,000 atau lebih. Juadah berbuka puasa mungkin purata RM30 sehari. Itu
untuk yang biasa-biasa. Jika ada tetamu tentulah melambung ke RM60. Berbuka sahaja
sudah mungkin RM1,500. Pakaian mungkin RM3,000. Sepasang seorang. Jika dua
pasang kita gandakan. Untuk jamuan hari raya mungkin RM2,000 lagi. Daging 10kg.
Ayam 20 ekor. Ketupat 300 biji. Lemang 30 batang. Itu belum juadah lain
mengikut tradisi. Banyaknya kita berhabis duit untuk hari raya.
Dulu samasa saya muda
ada sahabat yang meminjam dari bank untuk hari raya. Pada tahun 80an meminjam
sebanyak RM3,000 saya kira sangat banyak. Tetapi untuk keluarga besar seperti
saya mana cukup RM3,000. Itulah fenomena hari raya. Kita hiasi dengan warna dan
warni. Dengan bunga dan jambangan. Dengan kuih yang entah apa rasanya. Yang datang
bertandang tidak makanpun kuih-muih itu. Di rumah mereka banyak. Di rumah rakan
taulan lagilah banyak. Singgah di mana sahaja, pasti banyak kuih. Mana mungkin
dalam beberpa hari kita dipaksa makan semua yang dihidang. Cuba pada hari-hari
biasa kita hidangkan kuih-muih. Rasanya sekelip mata semuanya tinggal bekas
sahaja. Bawalah kuih ke pejabat. Semasa menonton bolasepak di stadium. Semasa lepak
di kedai mamak. Semasa jogging. Duduk, buka dan makan. Pelawa mereka yang hampir.
Atau lalu lalang. Ketika itu kuih yang sedikit dikongsi ramai. Sedapnya melebih-lebih.
Enaknya melebihi dari biasa. Atau bawa selalu ke masjid dan surau. Jemaah ramai
yang lapar. Sementara menunggu waktu boleh makan kuih yang ada. Banyak pahalanya.
Kita selalu
menangis menjelang hari raya. Teringat yang sudah tiada. Teringat yang jauh. Ibu
bapa tentu yang utama. Mana yang bertugas jauh teringat pasangan masing-msing. Lagilah
yang sedang mabuk cinta. Gundah gelana mengenang yang jauh. Rindunya terlalu
amat. Jika bersayap terbang melayang. Jika beroket meluncur pergi. Kenapa hanya
pada hari raya. Orang Arab hanya solat hari raya. Selepas solat mereka tidur. Syawal
disambut dengan solat. Takbir, tahmid dan tahlil dari Maghrib sebelumnya hingga
sebelum solat hari raya. Tamat. Selesai. Itulah hakikat hari raya. Tiada kuih-muih.
Tiada hidangan yang tidak muat meja. Tidak muat peti ais. Tidak muat dapur. Semua
ini cerita hari raya. Di mana kita tinggalkan cerita Ramadhan. Alangkah eloknya
jika kita kembali kepada yang hak. Ramadhan didahulukan. Ramadhan dimuliakan. Ramadhan
dimeriahkan. Ramadhan dimakmurkan. Ramadhan diberi keutamaan. Tinggalkan yang
lain kerana semuanya hiasan sahaja. Hiasan yang diperlukan ialah ibadat. Amal ibadat
yang syarie. Yang jelas tuntutannya. Memang digalakkan. Daripada berhabis untuk
hari raya bukankah baik kita menjamu orang yang berpuasa. Berebut-rebut
menyediakan juadah untuk mereka yang berbuka puasa. Banyakkan sedekah dan derma. Memberi kepada
yang berhak menerimanya. Menangislah jaka kita gagal melakukanya. Bukan menangis
kerana tiada baju baru. Atau langsir rumah tidak berganti.
Kita pelajarilah
agama supaya kita arif tetang beza antara agama atau adat. Biar kita tahu untuk
apa air mata Syawal yang seharusnya kita gugurkan. Mengenang Ramadhan yang
sudah pergi. Mengenang kemungkinannya Ramadhan yang akan datang tidak dapat
kita jelang. Kebimbangan kemungkin Ramadhan kita banyak celanya. Berapa banyak
ibadat kita yang Allah terima. Cukupkah apa yang kita lakukan untuk Allah.
RasulNya. Mentaati perintahnya. Melakukan yang terbaik seperti dituntut agama. Itu
yang perlu kita tangisi. Buanglah air mata untuk mengingati kelemahan kita. Untuk
menginsafkan diri yang terlalu lemah dan lelah. Lemah imannya. Lemah ibadatnya.
Lemah dari menahan godaan syaitan dan iblis. Banyakkan berfikir yang menjangkau
jauh. Benarkah Ramadhan tahun hadapan dapat kita jelang lagi. Kita boleh
berhari raya setiap hari. Banyak duit berayalah kita. Tetapi Ramadhan datangnya
sekali sahaja dalam setahun. Dalam Ramadhan itulah adanya malam lailtul qadar. Hanya
satu malam antara 354 hari dalam setahun. Menangislah untuk itu. Menangislah untuk
itu. Bukan untuk yang lain. Untuk yang
lain boleh menangis pada bila-bila masa. Sekarang, esok, lusa, tulat, langkat,
minggu, pekan, purnama atau tahun hadapan. Sementara kita mengejar lailtul
qadar ini, gandakan ibadat. Buat apa
sahaja yang namanya ibadat. Mencari keredhaan Allah pada bulan yang mulia ini. Selamat
beribadat.
No comments:
Post a Comment