Thursday, July 18, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Berada Jauh Dengan Rindu Yang Merubah Rupa


Sesiapa yang pernah merantau dapat merasa nikmat di perantauan. Pada masa yang sama ada rasa hiba dan sayu apabila menjelang sesuatu masa yang tertentu. Antaranya yang paling menyentuh perasaan ialah hari raya idilfitri. Keduanya barangkali ketika saudara mara megadakan kenduri kendara khususnya kenduri kahwin. Terasa sayu jika tidak dapat hadir bersama. Ketika itulah dapat bertemu dengan ibu dan bapa saudara, sepupu dan sahabat handai yang kekal di kampung. Bila berjumpa ada sahaja kelainannya. Yang gempal sudah nampak tulangnya. Yang berambut hitam sudah banyak ubannya. Yang senyumnya dahulu cukup menawan, sekarang banyak giginya yang terlopong. Yang gagah menjadi lemah. Yang bertenaga semakin lambat. Suatu manifestasi masa yang semakin berlalu jauh meninggalkan kita semua. Masa tetap berlalu tanpa kita sedari. Hanya yang arif sahaja mengerti pentingnya masa. Masa merubah tempat. Merubah keadaan. Merubah fizikal. Merubah bentuk rupa. Merubah sesuatu dari lain kepada yang lain.

Apaila kita berpisah kita membawa rakaman minda akan sesuatu yang kita tinggalkan. Apabila kita kembali bertemu kita perasaan ada kelainan pada orang-orang yang dahulunya pernah bertentang mata dengan kita. Mungkin reaksinya berlainan. Mungkin interaksinya berlainan. Mungkin sekarang ini teknologi mendekatkan kita dengan orang-orang yang selalu bersama kita. Seolah-olah teknologi membantu kita mengenalpasti apa sahaja perubahan yang berlaku kepada orang-orang di sekeliling kita. Pada hakikatnya bukan teknologi yang memberitahu kita tentang sesuatu perubahan. Teknologi hanya membantu kita mengenal tanda-tanda perubahan. Yang lebih penting sebenarnya ialah apa yang kita lakukan sepanjang masa.  Apa pengisian yang kita lakukan terhadap diri kita dari masa ke semasa. Atau sepanjang masa. Andainya kita menambahbaik diri kita sepanjang masa maka perpisahan yang singkat sekalipun dapat mengesan perubahan yang berlaku pada diri kita.

Dari jauh orang melihat penampilan kita. Dahulu mungkin tidak begitu perihatin. Sekarang lebih perihatin tentang rekabentuk pakaian. Warna dan padanan warnanya. Kekemasan pemakaiannya. Jenis kain yang sesuai dengan suhu, cuaca dan iklim. Lebih sedap mata memandang. Menarik bila diperhati. Pakaian bukan sekadar membaluti tubuh badan. Ada makna dan ada mesej yang dibawa oleh pakaian yang kita pakai. Lihatlah pakaian seseorang, anda akan cuba membaca apa yang tersirat. Sebab itu isteri-isteri lebih perasan dengan perubahan suaminya. Lebih kemas nampaknya? Minyak wanginya bertambah harum. Rambut tidak pernah berserabut lagi. Baju yang terbaik. Kasut berkilat selalu. Jaga baik-baik. Sama ada dia sedang berusaha untuk naik pangkat atau dia sedang berusaha untuk menambah usaha lain. Tetapi jika selamanya suami memang berpakaian yang terbaik maka isteri tidak akan mengesyaki apa-apa kerana tiada apa-apa perubahan. Sebab itu sebarang perubahan hendaklah dalam makluman pasangan masing-masing. Memelihara keharmonian rumahrangga.

Suatu ketika kita ke rumah seorang sahabat. Aduhai rumahnya seperti kapal pecah. Berserak tidak tentu hala. Kita yang bertamu serba salah. Di mana hendak dukuk. Kusyen tidak di tempatnya. Barang mainan di serata tempat. Kain basuhan yang hendak disidai dan yang baru diangkat dari sidaian bercampur baur. TV terpekik terlolong. Radio pula membingit. Tidak cukup dengan itu mesin basuh sedang mengaum. Apabila sahabat anda menyambut anda di ambang pintu boleh anda bayangkan reaksinya. Orang jenis pertama karakternya tidak kisah. Duduklah mana-mana ruang kosong, katanya.  Rumah saya memang begini setiap masa. Selamba dia memaklumkan keadaan rumahnya. Orang kedua mungkin kelamkabut cuba berkemas kerana menghormati tetamu yang datang. Ada rasa bersalah. Nampak kekalutan pada dirinya. Mungkin juga merah padam mukanya. Mari kita buat penilaian. Orang pertama sudah terbiasa dengan keadaan yang tidak teratur. Begitu juga dia mendidik anak. Tidak pernah dididik supaya teratur. Supaya berkemas. Supaya kelihatan tersusun. Dia tidak berasa bersalah langsung. Semua dianggap biasa-biasa sahaja. Tiada hal baginya.

Orang kedua pula sedikit berbeza. Dia sukakan yang terbaik. Suka yang teratur. Suka yang tersusun. Susun yang teratur. Dia suka kemas. Kekemasan menjadi kesukaannya. Malangnya orang kedua tidak tahu caranya. Tidak tahu kaedahnya. Tidak tahu sistemnya. Dia tidak tahu dari mana hendak mula. Bagaimana kita hendak membantu orang pertama. Dia perlu disekolahkan. Maksudnya dia perlukan manhaj supaya terdidik tentang kekemasan. Perlahan-lahan. Orang kedua pula perlu diberi panduan. Diberi bimbingan. Minatnya sudah ada. Dia tercari-cari kaedah untuk melaksanakan yang terbaik untuk keluarganya. Mesej ini juga untuk sesiapa sahaja yang berminat tentang kebersihan. Kekemasan. Susunatur. Kecantikan rumahtangganya. Fikirkan situasi di hadapan tetamu di atas tadi:
1                    Kebersihan, kecantikan, susunan dan kekemasan adalah ibadat. Ada pahala dan dosa di situ.
2                    Ianya  imej diri. Orang akan melihat diri kita dari atas ke bawah. Betulkah ketidak selarian antara orangnya dengan kekalutan rumahnya
3                    Ianya maruah diri. Nama kita seolah-olah cemar kepada orang lain. Apatah lagi jika kita orang penting, orang besar, orang ternama atau orang-orang yang pada adatnya dikira dihormati orang lain seperti imam, guru, ustaz dan ustazah.

Oleh itu isu kebersihan dan kekemasan ini perlu diambilkira dengan sewajarnya. Ianya harus menjadi budaya orang-orang yang berbudaya. Cultured. Bertamadun.
1                    Didik pasangan supaya boleh berkemas, menyusunatur, mencantikkan ruang. Ada idea tentang hiasan dalaman.
2                    Didik anak supaya boleh membuang sampah dengan betul. Berkemas selepas bermain. Atau selepas mebuat sesuatu kerja. Selepas membuat kerja rumah umpamanya.
3                    Didik keluarga supaya boleh menyusun kasut di luar rumah dan kasut di dalam rumah.
4                    Didik ahli keluarga supaya dapat mengasingkan antara pakaian bersih dan pakaian kotor. Asingkan pakaian yang kendak dibasuh dan pakaian yang hendak dilipat. Asingkan bakul pakaian kotor dan bakul pakaian bersih.
5                    Urus sampah supaya tidak bersepah. Buang ikut jadual. Lupuskan ikut jadual.
6                    Asingkan secara khusus tempat anak bermain. Sepah di situ dan didik supaya berkemas selepas bermain.
7                    Ruang tamu adalah ruang pertama yang dijengah tetamu. Pastikan ruang tamu sentiasa kemas dan teratur. Saya ulang, sentiasa dan sentiasa kemas dan teratur.
8                    Bilik air adalah antara ruang yang selalu juga dijenguk oleh tetamu. Pastikan keadaannya teratur. Lantainya tidak berlumut. Dindingnya tidak berlumut. Mangkuk tandasnya tidak berklorin kuning dan cokelat.  Baldi dan besen diatur kemas.
9                    Pakaian terpakai jangan ditinggalkan di dalam bilik air terutamanya coli, seluar dalam dan yang nampak koyak dan buruk. Maruah diri dan keluarga.
10                Pastikan selepas setiap kali membuang air jirus mangkuk tandas. Hingga bersih sebersihnya. Jangan sekali-kali tertinggal sisa najis di mana-mana.
11                Didik ahli keluarga supaya mempastikan bilik tidur teratur sentiasa. Jangan tidur di atas katil pada waktu siang kecuali kembalikan kekemasannya selepas bangkit dari tidur.
12                Jangan benarkan anak-anak bermain di atas katil. Pantang sekali-kali. Kotor. Renyuk. Mungkin kaki anak-anak cemar dengan najis dan sebagainya. Jangan pula duduk di atas bantal. Pada  malamnya ibu bapa tidur di atas bantal itu.
13                Dapur sentiasa teratur. Semua perkakas di tempatnya. Periuk dan belanga selalu dikilatkan. Putih dan bersih. Perkakas seramik yang retak dan sumpik hendaklah dibuang. Banyak bakteria berhimpun di celah rekahan. Yang sumpik berkait dengan maruah juga.


Banyak lagi jika kita hendakkan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita. Kesemuanya bukan untuk dipelajari dalam sehari. Amalkan sedikit semi sedikit. Ianya pembelajaran sepanjang hayat. Buatlah yang terbaik. Saya yakin harga diri kita akan meningkat melalui pembelajaran kendiri. Maruah akan terjaga. Imej akan naik. Orang melihat diri kita. Bukan kita yang melihat diri kita sendiri. Selalu-selalulah belajar untuk melihat dari kacamata orang lain. Objeknya ialah diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment