Menjelang hari raya
pastinya sudah ramai yang berkira-kira untuk mengadakan rumah terbuka. Sempena
hari raya ramai juga yang mengadakan kenduri kahwin anak-anak mereka. Dalam
kebiasaan sekarang sudah ramai yang tidak memasak sendiri untuk menjamu tetamu.
Kemudahan sudah banyak. Katerer boleh dibariskan mengikut kategori. Kenduri
kendara mengikut perancangan yang dihajati. Menu hendak yang terbaik. Hidangan
hendak yang terenak jika tidak yang terlazat. Tawar menawar dengan katerer
melalui sebut harga, perundingan dan tolak ansur yang berpadanan. Lama juga
masanya yang diperlukan untuk mencapai persetujuan. Mungkin berbulan-bulan.
Risik merisik juga dijalankan untuk mengenalpasti katerer yang terbaik. Yang
sepadan dengan bayaran yang dituntut. Para tetamu diberi yang terbaik ikut
ukuran tuan rumah. Dalam hal ini kita tidak tahu sebenarnya ukuran seseorang katerer
yang terbaik. Adakah yang kita rancang enak dapat disajikan dengan sempurna
enaknya. Tepat masa dihidangkan. Cukup
banyaknya seperti ditempah. Sempurna urusan layanannya. Tetamu dalam keadaan
sentiasa terlayan.
Itulah yang selalu
menghantui mereka yang menempah makanan dari katerer. Cuba fikirkan hal-hal
berikut:
1
Darjah
kefahaman antara tuan rumah dan katerer
2
Kemahiran
masakan yang boleh diharap
3
Katerer
yang peka dengan kehendak tuan rumah yang sebenar-benarnya
4
Cukupkah
kuantiti yang disediakan mengikut perjanjian
5
Adakah
katerer jenis orang yang syarie. Maksudnya tahu halal dan haram. Boleh dan
tidak boleh.
6
Adakah
katerer orang yang bertanggungjawab akan kelemahan-kelemahan yang ada pada
urusan kateringnya
7
Banyak
lagi yang perlu dipertimbangkan sebelum, semasa
dan selepas menggunakan seseorang katerer.
Tempahan makanan :
katerer, penempah
Tuan rumah ada
perancangannya sendiri. Ada dua jenis keterer. Yang pertama akur dengan
kehendak tuan rumah. Yang kedua mempertahankan pengalamannya sendiri. Katerer
pertama barangkali lebih baik. Boleh diajak berbincang tentang penyajian yang
terbaik. Jika katerer ada pengalaman, tuan rumah juga ada pengalaman. Pengalaman
menyajikan hidangan di rumah tertentu (walaupun orang besar) belum tentu
memuaskan hati orang lain yang tidak besar dan tidak ternama. Maksudanya
katerer tidak boleh pindahkan pengalamannya kepada orang lain. Maka ada baiknya
katerer berusaha memenuhi permintaan tuan rumah walaupun banyak kelainannya
daripada biasa. Mungkin lebih usaha dan susahnya. Boleh kenakan bayaran yang
berpadanan. Katerer jenis kedua lebih sesuai kepada tuan rumah yang tidak
berkira. Dia hanya menempah makanan ikut menu yang disediakan katerer. Apapun
yang penting tuan rumah berpuas hati. Katerer juga berpuas hati. Namun pada
perkiraan saya, itu belum cukup. Seorang katerer wajar berusaha menyedia dan
menyajikan yang terbaik kerana setiap sajian adalah promosi bagi dirinya. Iklan
untuk bisnesnya. Marketing. Dia harus
berfikir jauh ke hadapan. Harus menjangkau untuk menarik lebih ramai pelanggan
dari orang biasa hingga orang yang luar biasa. Itulah matlamat katering yang
besar dan tinggi.
Banyak atau sedikit
Selalu terjadi
dilema kepada tuan rumah. Berapa banyak tempahan yang dikira cukup. Tetamu yang
diundang 2,000 orang. Adakah datang semua? Atau tidak datang semua tetapi ramai
pula tetamu yang tidak dibajetkan. Trend yang ada sekarang juga mencemaskan.
Tetamu kadang-kadang membawa teman dan rakan taulan. Tuan rumah tidak dapat
menghalang. Tetapi harus dimaklumi bahawa tetamu yang tidak diundang tidak ada
bajet makan. Makanan yang banyak adalah untuk tetamu yang tersenarai sebagai
tetamu undangan. Bagaimana yang membawa anak-anak? Jika di rumah saudara mara
terdekat biasanya ada bajet untuk anak buah, anak waris. Begitu juga untuk
anak-anak rakan terdekat. Tetapi itupun tidak sampai berlebih-lebih. Andainya
ada tetamu yang membawa sehingga 4 atau 5 orang anak tentulah parah tuan rumah.
Anak yang setahun dua usianya masih boleh dipertimbangkan. Jika anak-anak itu
sudah bersekolah menengah mereka sudah menyamai tetamu dewasa. Ini yang
dikatakan orang lari bajet. Kepada orang Melayu ini masalah besar. Sediakan
banyak mengakibatkan pembaziran. Sediakan sedikit lari bajet. Boleh sama-sama
kita fikirkan untuk menyelamatkan keadaan. Biar timbul budaya yang sihat antara
kita. Tuan rumah dicadangkan membuat bajet yang lebih longgar untuk menghadapi
suasana yang luar biasa. Tetamu pula bertimbangrasa. Jika diundang sekeluarga
atau seisi rumah tidak mengapa membawa sahaja siapa yag ad di rumah. Jika suami
isteri, fikir dua kali. Kasihan tuan rumah. Menelan air liur yang tidak ada.
Cukup atau tidak
Satu lagi dilema
ialah adakah katerer menyediakan secukupnya. Jika tetamu seramai 2,000 orang
dihidangkan dengan sebesen besar acar rasanya tidak cukup. Katerer sewajarnya
menyediakan 2,200 ketul daging (lembu atau kambing). 2,200 ketul ayam. 2,200
senduk acar. 2,200 senduk dal. 2,200 senduk sayur. 2,200 sukatan ulam-ulaman.
5,000 gelas minuman. 2,200 sukatan kuih-muih. Dan begitulah seterusnya. Kenapa
begitu. Ini cerita halal dan haram. Tuan rumah menempah sebanyak 2,000 kepala.
Tuan rumah membayar untuk 2,000 kepala. Jika katerer mengurangkan dari jumlah
itu maka ada unsur haram di situ. Kenapa? Sebabnya katerer menuntut bayaran
untuk 2,000 kepala. Saya cadangkan ada ustaz dan ustazah yang berceramah
tentang hal ini. Halal dan haram yang mesti diketahui oleh seseorang katerer.
Rezekinya mestilah halal untuk memberi makan keluarganya. Untuk membesarkan
anak-anaknya. Ada situasi katerter mengambil sedikit makanan untuk keluarga,
teman-teman dan pekerjanya. Jika katerer membeli lebih daripada bajet, tidak
mengapa. Jika tidak ada unsur haram di situ. Jangan kira kebiasaan yang salah
dan berdosa. Tanpa izin orang yang menempah makanan. Sediakan lebih sebagai
ikram dari katerer.
Situasi kedua pula
apabila berada di tempat jamuan. Katerer mengarahkan semua kendaratnya membuat
bungkusan makanan untuk dibawa balik ke rumah masing-masing. Lagi tidak boleh.
Makanan itu tuan rumah yang punya. Bukan katerer yang punya. Banyak lebihnya?
Itu soal lain. Jika diarahkan oleh tuan rumah, alhamdulillah. Selalu fikirkan
rezeki yahg halal. Yang diizinkan. Yang diredhakan. Jangan pandai-pandai
membuat tindakan. Jangan terkejut ada katerer yang mengangkut pulang sebahagian
dari makanan yang disediakan. Mungkin untuk diagih-agihkan kepada saudara mara
atau jiran tetangga. Aduhai! Haram tu bang. Orang punya. Bukan abang yang
punya. Sudah dibayar atau akan dibayar sepenuhnya. Jika dikurangkan bayarannya,
tidak mengapa. Sepatutnya apabila sampai di
tempat jamuan serahkan segala-galanya kepada tuan rumah. Jangan biarkan
pekerja sendiri menyalahgunakan kesempatan yang ada. Yang cemar ialah nama
katerer. Cerita buruk itu akan tersebar. Minta maaflah. Pelanggan akan datang
yang sepatutnya bertambah akan berkurangan. Ingat juga balasan Allah. Tidak
dijangka-jangka nanti datangnya.
Keterer alang
kepalang
Katerer hendaklah
benar-benar cuba supaya profesional. Perkakas makan dan minum disediakan
secukupnya tanpa perlu dibasuh di tempat jamuan diadakan. Basuh membasuh
dilakukan di rumah katerer. Ini untuk mengelakkan becak. Berair. Kotor. Dan
berbagai-bagai lagi masalah sampingan yang tidak wajar dilakukan. Maksudnya
jika tetamu adalah 2,000 orang maka sediakan sekurang-kurang 2,500 pinggan,
2,500 gelas. Begitu sudu dan garfu. Atau perkakas lain yang diperlukan. Jadilah
katerer yang wajar bukan yang serba kekurangan. Bina rangkaian supaya pada waktu-waktu
tertentu boleh berkongsi perkakas dengan keterer lain. Ada rangkaian. Ada
kerjasama. Ada bantu membantu. Kata orang, tidak makan sendiri. Ada masa minta
bantuan katerer lain. Ada masa bantu katerer lain. Itu yang saya perhatikan
pada peniaga Cina. Selalu ada rangkaian yang membantu bila diperlukan. Ada
rezeki yang diagih-agihkan. Tidak kekeringan pada kebanyakan masa. Ada masa
banyak. Ada masa sedikit. Dari masa ke semasa bina kekuatan. Bina supaya
menjadi lebih besar.
Memenuhi hasrat
besar
Apabila persetujuan
telah dicapai antara tuan rumah dan katerer, tuan rumah cuba pastikan hal-hal
berikut:
1
Ziarah
ke tempat makanan disediakan untuk menilai kuantiti yang disediakan katerer.
Untuk mempastikan kualiti makanan yang disediakan.
2
Buat
catatan mana-mana makanan yang dikira tidak cukup. Tuntut seperti dipersetujui.
Jika tidak buat potongan bayaran.
3
Perhatikan
jika katerer mengambil apa-apa makanan. Potong bayaran.
4
Apabila
sampai di tempat jamuan pastikan kuantiti yang dimasak sama dengan kuantiti
yang dihantar.
5
Jangan
benarkan pekerja katerer membuat apa-apa bungkusan atau menyorokkan makanan.
6
Pastikan
layanan adalah yang terbaik. Semua pekerja memang bekerja. Bukan banyak
bersembang dan hanya memandang kekecohan yang berlaku.
7
Sediakan
seorang pemantau di kalangan adik beradik atau anak-anak.
8
Semasa
membuat bayaran, buat potongan bayaran yang sesuai dengan kekurangan yang
sama-sama mengetahuinya. Maklumkan semua kekurangan yang berlaku.
InsyaAllah selepas
in semua yang dikatererkan adalah yang halal. Halal kepda tuan rumah dan halal
juga kepada katerer.
No comments:
Post a Comment