Wednesday, September 14, 2011

Antara Dua Dunia


Kita biasa melihat kanak-kanak kecil. Bayi barangkali. Kita juga biasa melihat orang tua. Kanak-kanak yang kita lihat adalah lambang masa lampau kita.  Kita pernah melalui zaman-zaman itu. Anak yang tidak mengerti apa-apa. Mereka hanya tahu ketawa apabila kehendaknya dipenuhi. Menangis bila kehendaknya gagal dipenuhi. Anak yang hanya tahu menganga. Mulutnya minta disuap makanan dan air minuman. Tahunya bermain dan bermain. Leka dengan barang mainan. Lupa ibu bapa. Lupa abang dan kakak. Lupa makan dan tidur. Hidupnya hanya untuk bermain dan bermain. Jenuh dijerit. Bertalu-talu dipanggil. Berbuih ibu membujuk. Namun anak yang masih kanak-kanak kecil tetap dengan ftrah kanak-kanak. Membesar dengan belajar bermain. Jika mata  dan naluri kita peka, semasa bermain itulah kanak-kanak mempamerkan bakat pada dirinya. Mungkin bakat kepimpinan. Menggerakkan kanak-kanak yang lain untuk melakukan aktiviti yang wajar bagi kanak-kanan. Dia selalu di hadapan. Lagak pemimin di barisan hadapan. Saiz dirinya bukan penentu yang mutlak. Lagaknya memukau kanak-kanak yang lain.

Semasa kanak-kanak itulah zaman yang paling senang. Minta apa sahaja. Tidak faham erti tiada. Ketidakmampuan bukan ada dalam pemikkiran naïf kamus mereka. Tidak faham erti mampu. Ramai ibu bapa yang sendu kerana gagal memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Bertangguh dan berdalih kerana tidak mampu. Namun begitu anak-anak sepertinya menjadi sumber inspirasi kepada ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyediakan yang sepatutya untuk anak-anak mereka. Bergolok bergadai perkara biasa. Pinjam entah dari siapa. Entah berapa banyak. Entah untuk apa. Membesarkan anak-anak bukan perkara mudah. Rumah tangga yang dibina melahirkan anak-anak yang perlu diperlihara. Yang dibesarkan menurut kemampuan diri seadanya. Ada masa lebih. Ada masa kurang. Namun ramai ibu bapa yang serba kekurangan dalam memberi yang terbaik untuk anak-anak. Sangat berada dalam keterbatasan yang nyata.

Fitrah kanak-kanak melihat apa yang ada pada orang lain. Irinya menjadi-jadi. Mereka akan meminta seperti itu. Mendesak ibu bapa menyediakan apa yang dimahu. Anak remaja selalu mengalami konflik ini. Kenapa diri mereka berada dalam keluarga yang tidak berkemampuan. Kehendak mereka tidak pernah dibatas. Tidak tahu di mana batasnya. Mengapa ada keterbatasan itu. Mahunya semua ada. Disebut di mulut, tersedia di hadapan mata. Alangkah manisnya jika anak-anak mengerti apa itu kekurangan. Apa itu ketidakmampuan. Ketidakcukupan. Kemiskinan. Kefakiran. Mereka diberi keinsafan bahawa hidup ini tidak semuanya tersedia di atas dulang emas. Bahawa semuanya tidak mesti ada. Berkecukupan dengan apa yang ada. Redha dengan ketenuan Yang Maha Esa. Mereka tahu ibu bapa mereka telah berusaha. Mungkin kudrat yang ada. Yang selalu terbatas dengan kelayakan akademik yang berpada. Dengan kemahiran yang tidak seberapa. Setakat itu pendapatan yang yang tidak mengujakan.

Memang beruntung anak-anak yang semua ada. Sebut sahaja semuanya tersedia. Hingga mereka tidak tahu istilah tiada. Semuanya dianggap mudah. Taken for granted. Lupa bahawa yang di atas akan turun ke bawah. Yang di bawah akan naik ke atas. Masa senang dan masa susah silih berganti. Jika kereka terlalu merasa semuanya ada, maka mereka tidak boleh menerima apa yang tiada. Tidak boleh hidup tanpa kekurangan. Sedikit yang tiada menyulitkan mereka. Pertimbanganpun menjadi porak pranda.  Akal budi menjadi tiada. Apatah lagi jika mereka tidak pernah diajar susah. Diajar berpada dengan apa yang ada. Diajar  berkongsi dengan orang lain di sekeliling mereka. Diajar untuk tidak hanya berhibur tanpa had tanda. Akhirnya mereka membesar menjadi anak-anak yang memanjakan diri mereka. Tidak kenal yang hak. Tidak kenal batas. Tidak kenal siapa diri mereka yang sebenarnya. Malang sungguh bagi ibu bapa yang terus-terusan memelihara anak-anak yang sudah dewasa. Yang sudah berumahtangapun. Anak-anak mereka membesar tanpa kematangan fikiran. Mendewasa tanpa akal. Masih ditanggung tanpa  batas. Manja yang diberi di ruang masa yang terlampau di luar jangka.

Anak-anak yang sepatutnya menghibur setalah dewasa. Hidupnya berdikari tanpa berlebih-le bihan itulah yang diidamkan ibu bapa. Cukuplah membantu apa yang mampu. Keluarganya terlindung dari azab hidup. Cukup makan. Cukup sandang pakai. Cukup terlindung dalam rumah yang sederhana. Membina kasih sayang yang berpanjangan. Memutuskan hidup bujangnya dengan menjadi suami yang bijaksana. Bapa yang selalu mendahulukan anak-anak. Beruntunglah isteri yang mendapat suami mithali. Anak-anak mendapat bapa mithali. Bukan payah. Bukan sukar. Bukan di luar kemampuan. Jaga agama. Jaga Islam. Jaga iman. Solat mematuhi jadual. Di mana selakilpun ditunaikan tanpa  banyak berdalih. Puasa ditunaikan kerana itu adalah perintah Allah. Sedekah bila ada. Zakat bila sampai haulnya dan hisabnya. Haji bagi yang berkemampuan. Solat dulu yang diutamakan. Dalam susah atau senang solat itu wajib. Dalam sakit atau sihat solat itu wajib. Dalam suka atau duka solat itu wajib. Dalam sibuk atau senggang solat itu wajib. Jika solat dapat dijaga maka Allah akan memberi yang selayaknya. Kita ingat kepada Allah, maka Allah akan lebih lagi mengingat kita.

Ingatlah kita semua akan menjadi tua. Itulah masa hadapan kita. Masa yang langsung tidak mengujakan. Menghina orang tua takut kita menjadi pula sepertinya. Tidak menghormati orang tua takut pula kita menjadi sepertinya. Sebab itu menjadi anak-anak kita mesti menjadi yang terbaik. Mahu belajar dari tidak tahu. Mahu pandai memiliki kemahiran. Mahu bekerja untuk mebina kerjaya berjaya. Setinggi yang mungkin. Sebesar yang mungkin. Sehebat yang mungkin. Itulah bekal masa hadapan kita. Bekal masa tua kita. Bekal masa susah kita. Bekal masa daif kita. Bekal masa-masa terakhir kita. Tidak dinafikan agama memerlukan anak-anak menjaga kebajikan ibu bapa mereka yang sudah tua. Yang sudah tidak mampu apa-apa. Tetapi anak-anak sekarang besar tanggungannya. Semuanya perlukan biaya yang tinggi-tinggi belaka. Kemampuan anak-anak yang tidak seberapa. Alhamdulillah bagi anak-anak yang kerjayanya melebihi dari berpada. Dapat dikongsi dengan ahli keluarga yang lain. Ibu bapa tentu tidak dilupa.

Tidak ada yang terbaik dari bersedia sendiri. Menyediakan apa yang perlu untuk hari tua. Menjadi tua tidak semestinya hanya mengharap sahaja. Mengemis dari semua yang ada di sekeliling kita. Bersedia dari muda amat sangat perlunya. Mengumpul harta sepadanya. Ada tanah sebidang dua. Ada rumah cukup sederhana untuk dihuni bersama semua yang ada. Bersedia bahawa apabila tua tidak semua akan menghulur tangan memberi segala. Menjadi tua bukan semudah yang disangka. Terlalu ramai ibu bapa yang terlantar di rumah orang tua-tua. Anak-anak bukan tidak mampu. Adik beradik bukan tidak mampu. Saudara mara bukan tidak mampu. Zaman sudah berubah. Orang Islam sudah mabuk dengan dunia. Mereka terpanar dengan kilauan-kilauan yang menutup rasa belas. Rasa ihsan. Rasa sayang. Rasa cinta. Rasa tanggungjawab. Hidup banyak nafsu-nafsi. Melupakan yang perlu. Terlalai dengan kealpaan yang melampau. Hati menjadi beku. Kaku. Terkunci mati. Tidak mungkin terbuka lagi. Tertutup rapat dan kejap. Manusia yang bernama anak-anak menjadi kejam dan zalim. Tidak lagi menjadi harapan. Tidak lagi dapat menjadi tempat bergantungan. Malah dirinya sendiri terkulai dan terlantar dengan kemabukan diri.

Semoga kita semua menjadi orang-orang tua yang berada serba berpada. Cukup makan dan pakai. Anak cucu yang datang bertandang dalam keadaan selesa. Dapat sama-sama menikmati apa yang ada. Yang penting tua bukan untuk menyusahkan. Bukan untuk menyulitkan. Bukan untuk menyukarkan.  Bukan untuk melebarkan jurang kemiskinan. Meluaskan kepapaan. Bukan menebarkan kefakiran. Segala perancangan hidup hendaklah dipetakan sedari muda. Dirangka untuk masa hadapan yang pasti tiba. Masa tua yang memang akan sampai masanya. Ingatlah masa mudamu sudah berlalu. Sudah lama ditelan sejarah. Masa tuamu akan sampai walaupun dihalang sekuat mana. Ia pasti tiba. Dapat dijangka. Kita semua dapat mengira dari satu, dua dan  tiga. Kirtaran hidup ini tiada hentinya. Dalam perjalanan menuju alam baqa itu kita melalui hidup fana yang berbagai ronanya.  Mudah-mudahan kita dapat mewarnakannya untuk anak cucu yang ditinggalkan. InsyaAllah.

Monday, September 12, 2011

Wanita dan Dirinya

Di mana hati wanita? Suatu ketika ia menjadi anak. Dilahirkan dari rahim seorang ibu yang juga wanita. Ia membesar menjadi wanita sunti. Anak dara yang bukan lagi pingitan. Tidak seperti Mariam yang dipingit sepanjang masa. Menjadi pilihan Allah untuk melahirkan rasul Ulul ‘Azmi yang diberi nama Isa A.S. Atau menjadi Fatimah Az-Zaharah. Puteri kesayangan Rasulullah. Dijamin wanita pertama masuk ke syurga. Mendahului ibundanya Siti Khadijah, wanita yang sangat dicintai Rasulullah. Yang selalu dirindui wlaupun setelah wafatnya. Wanita solehah yang mengorbankan segala-galanya untuk suami tercinta. Untuk Islam yang didokongnya. Untuk Allah yang menjadi tempatnya kembali. Mana lagi wanita solehah yang bernama ‘Aisyah, Masyitah dan Rabi’atul Adawiyah. Kesemuanya adalah wanita pilihan Allah yang menyinari diri wanita. Menaungi keindahan wanita. Melunakkan hati lelaki yang selalu dianggap keras.

Sampai ketikanya  wanita yang dicipta indah itu menerima nikah seorang lelaki jodohnya. Masa dulu-dulu, jodoh wanita dipadankan oleh ibu bapanya. Ditelek dan ditenung lelaki yang memiliki cirri-ciri pelindung. ‘Alim agama dan amalan. Ada bekal ekonomi berupa pendapatan bagi daya meneruskan hidup.  Ciri-ciri lelaki harapan. Menjamin kesejahteraan berumahtangga. Zaman berubah. Membawa bersamanya kelainan dan perbezaan mengikut tempat, situasi dan masa. Cinta berputuk di mana-mana. Ada yang di akal budi. Nilainya tinggi menjulang untuk membina mawaddah. Kasih sayang pasangan manusia yang mencari redha Allah, malaikat dan manusia. Tetapi banyak pula cinta yang dikutip di tepi jalan. Nilainya rendah dan menghinakan.  Nikah bukan untuk Allah. Nafsu menguasai diri. Akal hilang pertimbangan. Iblis dan suku sakatnya berkeliling pinggang.

Bila ijab telah terlafaz, bila qabul telah disambut, sahlah sepasang lelaki dan wanita yang mengikat tali perkahwinan. Jodohnya telah sampai. Ramailah yang lega. Ketika itu menjeritlah syaitan. Begitu juga sekutunya yang bernama iblis. Mereka gagal mencondongkan nafsu  pasangan itu. Nikah mereka meghalalkan yang haram. Yang dulunya selalu dibisikkan syaitan. Yang selalu digoda syaitan. Syaitan yang menghias mata supaya cenderung yang haram. Melihat yang bukan mahram. Nikah itu penamat godaan syaitan. Semuanya menjadi halal kepada keduanya. Hilang segala kerisauan ibu bapa. Jiran tetangga. Saat begini semuanya terlerai apa sahaja yang terbuku di hati. Kelegaan dan kegembiraan memanjang. Senang. Riang.

Siapakah lelaki pilihan yang berada di kanannya? Kenapa tidak di kirinya? Kenapa tidak di hadapannya? Kenapa tidak di belakangnya? Kenapa di sisi kanannya? Apakah dia perlu tahu? Apakah dia perlu akur dengan kedudukan itu? Islam menentukan lelaki itu di kanannya. Sebagai pelindungnya. Ketuanya. Pemimpinnya. Wanita adalah kekasih lelaki. Yang memberikan ketenangan dan kegembiraan. Yang menyenangkan perasaan. Yang menjadikan kestabilan psikologi. Lelaki yang mengerti bahawa wanita yang di kirinya itu adalah bak tulang rusuk yang agak bengkok. Sifatnya keras. Perlu dilurut dan diurut. Dikasari terluka. Dikerasi mungkin retak dan patah. Dibiarkan kekal pula bengkoknya.  Itulah wanita yang perlukan belaian supaya kerasanya melembutkan. Ia perlu dirawan agar dirinya dan seluruh jiwa raganya boleh ditawan. Telinganya ingin selalu mendengar hamburan kata-kata manis bak pengemis. Hembusan nafas yang sentiasa menghangatkan. Matanya perlu direnung sayup untuk mendamaikan. Hatinya perlu dilapah rindu supaya lunak dan lemah menjadi wanita solehah. Wanita yang bernama isteri tentu sahaja hanyut dibuai sayang dari lelaki suami yang menyantuni kasih sayang isteri. Yang meraikan rasa cinta sepanjang bersama. Warna warni alam berumahtangga.

Bila dirinya dimiliki lelaki pilihan maka terpisahlah ia dari ibu kesayangannya. Yang mengandungkanya. Yang menumpangkan rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Yang lahirnya merenggut separuh nyawa. Yang jika mati, syahid seorang ibu yang melahirkan seorang pewaris agama. Pewaris Islam. Seorang muslimah harapan. Dipeluk ibu. Dicium pipi kanan dan kiri. Kehangatan yang dulunya sebati. Mengalir air mata yang berbaur antara suka dan hiba. Hiba kerana dakapan ibu itu akan jarang dirasa lagi. Sudah ada pengganti yang bernama suami. Tinggi benar harapan agar kehangatan suami sehangat dakapan ibu. Diharapkan dakapan yang diberi tanpa syarat. Yang hangatnya mencairkan rasa cinta dan rindu. Yang membina bibit-bibit kebahagiaan berzaman-zaman. Abadi. Abadan abada. Selamat tinggal ibu. Aku ingin menjadi sepertimu. Membahagiakan suamiku seperti ibu membahagiakan bapaku. Suamimu. Tunjuk ajarmu akan ku laksana. Tetapi pengawasanmu masih ku perlu. Akan ku rujuk mengikut keperluan waktu. Aku tetap anakmu. Walau apapun jadinya aku selepas ini.

Dapatkah nanti lelaki yang bernama suami mengerti inginnya?  Memberikan yang terbaik kepadanya? Walaupun sudah maklum kelemahan isteri, ditakuti suami masih keras melayan isteri. Sibuk dengan kerjayanya tanpa membahagi masa. Banyak di luar dari kembali ke rumah. Rakan dan teman yang perlu dilayan hingga tiada kesempatan menjadi pelindung. Teknologi menguasai diri tanpa memberi keadilan kepada isteri yang setia menanti. Telefon, e-mail atau sms bukan mengganti diri. Tiada ada rasa sentuhan kasih sayang. Konflik diri sebegini meracuni fikiran wanita. Hatinya yang libang libu menjadi kelabu. Cahaya menjadi gelap pekat tanpa ada panduan menyuluh jalan di hadapan. Bergolaklah  hidup dengan ledakan kesangsian. Hidup menjadi layang-layang putus tali. Jatuhlah bila angin berhenti. Tidak. Tidak semua wanita begitu. Banyak kesempatan menjadi wanita besi dan waja. Yang keras tindakan dan azam. Tangan yang lembut itu menggenggam erat perjuangan. Jari jemari yang halus menggoncang dunia. Membuai ayunan anak-anaknya  merentasai zaman hadapan yang penuh dengan harapan.

Malang bagi wanita yang hilang diri. Dibuang tanpa disedari. Kecewa yang amat sangat.  Jika dulu bapanya yang diharap, sekarang suami yang menjadi fokus seluruh hidupnya.  Nanti akan berbaris anak-anak menadah simpati kasih sayangnya. Ketika itu tiada lagi erti jemu. Tiada bosan. Hiduplah seorang wanita yang memperhambakan diri untuk keluarganya. Makan minum yang perlu disedia. Dalam kuantiti, kualiti dan jadual yang tetap. Suami yang diurus fizikal, personaliti dan kemanusiaannya. Segala-galanya berputar dan berkisar yang semakin membesar bundar. Dari mula saat aku terima nikahnya hinggalah anak-anak nantinya dewasa. Bercucu dan bercicit. Wanita cantik yang dulunya gebu menjadi gilaan lelaki luntur wajahnya menjadi berkedut seribu. Dalam kedut-kedut itulah terhimpun pengalaman lalu yang banyak indah dan suka-dukanya.

Meniti hari-hari tua tentu banyak likunya. Kesihatan yang entah kenapa. Tulang temulang yang semakin tidak mengizinkan kekuatannya. Nafas yang semakin pendek kerana tenaga dan stamina yang jauh telah terhakis. Ingatan yang semakin hilang kesegarannya. Mata yang semakin dekat jarak nampaknya. Telinga yang sudah padam nada suaranya. Deria lain yang fungsinya semakin kabur. Jadilah wanita itu seorang tua. Apapun namanya ia tetap tua. Warga emas adalah warga tua. Sudah tersepuh banyak kali. Sudah lali dengan siapa yang peduli nilainya. Dalam khazanah diri mungkin tidak ramai yang tahu isi hatinya. Mungkin hasratnya sudah lama tertunai tetapi hatinya masih belum damai. Ada yang terpendam tidak kesampaian. Seluruh hidupnya telah diabadikan untuk suami. Untuk anak-anak. Segala-galanya telah direnggut darinya mungkin juga dengan paksarela. Atau memang itu fitrah yang hak diterimanya.

Setelah segala-galanya lupus waktu masih ada lagikah yang ingat. Apakah suami masih terimbau zaman memadu kasih dahulu?  Zaman siang dan malam adalah sama. Zaman alam ini hanya milik berdua.  Benarkah suaminya masih mengingat semula detik-detik manis itu? Masih berbekaskah empati suami kerana dulu ia lemas mengandungkan anaknya. Ia kehilanganan saiz. Ia kehilingan rupa. Ia kehilangan dirinya yang dahulu. Kepayahannya yang tidak pernah menentu. Diri dan duduk sama payahnya. Tidur dan baring sama payahnya. Duduk dan bergerak sama payahnya. Pinggang yang sudah lama hilangnya. Kaki dan paha entah bila bengkaknya. Selera selalu patah kerana metabolism diri yang dirasa bukan-bukan. Sayangku! Aku bukan diriku lagi. Kasihilah aku seadanya. Aku hanya sebahagian dari dirinya yang paling hampir. Akan ku lahirkan zuriatmu yang nanti mewarnai dunia. Dunia kita. Dunia di luar sana. Mereka menjadi amanah kita untuk agama. Untuk Allah. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak pilihan yang tebal imannya. Yang utuh akidahnya. Yang kecintaannya kepada Allah mengatasi segala-galanya.

Wanita fitrahnya setia. Lumrahnya pengasih. Sayangnya kepada suami dan anak-anak jangan ditanya. Ia mahu sahaja ke hadapan mempertahankan mereka. Wanita dan ibu menuntut kekuatan dalaman yang menangkis cabaran. Godaan. Ganggu gugat yang selalu boleh melemaskan.  Semuanya didambakan bahawa syurganya pada suaminya. Beruntunglah wanita yang merangkaikan wanita-wanita solehah untuk lelaki-lelaki  soleh. Di syurga nanti akan penuh dengan kebahagiaan yang benih bibitnya telah disemai di dunia. Telah disemai oleh wanita-wanita yang mendapat lindungan Allah. Yang diberkati Allah. Yang diredhai Allah. Hanya kepadaNya kita memberi sembah. Hanya kepadaNya kita memohon pertolongan. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk ke jalan yang lurus. InsyaAllah.

Friday, September 2, 2011

Hati Seorang Lelaki


Siapa seorang lelaki? Yang pastinya ia seorang anak kepada sepasang suami dan isteri. Bayi yang lahir itu membesar menjadi kanak-kanak. Zamannya diwarnai alam sekelilingnya. Ada yang kondusif dan ada yang tidak. Ada yang penuh warnanya dan ada yang tidak. Ada yang memancar bahagia dan ada yang tidak. Masing-masing dengan alam yang melingkungi diri masing-masing. Kanak-kanak itu membesar dengan membawa segala yang dibekalkan semasa kanak-kanaknya. Menjadi remaja yang penuh dengan cabaran pancaroba. Rona-rona menggoda yang banyak. Bertuah bagi mereka yang pertahanan dirinya kuat. Selamat bagi mereka yang lingkungan hidupnya jauh dari keterbukaan godaan maksiat. Waktu inilah keranuman untuk belajar. Menimba ilmu seluas lautan yang tidak bertepi. Malangnya tidak ramai yang sampai ke tepian. Ramai yang lemas. Tenggelam. Hilang dan hanyut dalam arus hidup yang berbagai.

Bagi yang selamat bekerja pula membina kehidupan. Berkerja. Berkerjaya. Meniti dari tahap ke tahap. Membina kedewasaan. Membina kematangan. Membina kebijaksanaan. Beruntunglah anak-anak yang terang cahaya hidupnya. Berada dalam naungan ibu bapa yang membahagiakan. Yang bimbingannya selalu menyuluh ke hadapan. Anak itu pula jalannya soleh. Lurus bak sirat al-mustaqim. Usia yang meningkat lazimnya sinonim dengan kematangan. Kedewasaan. Kebijaksanaan. Namun tidak semuanya begitu. Ada juga anak-anak yang tidak menjadi. Yang jalannya bengkok tidak mencari lurus. Diberi cahaya yang dipadamkan. Kekal meraba-raba dalam gelap. Pandangannya tertutup sentiasa. Padanya dalam gelap itu dia nampak cahaya kemilau yang kaca semata-mata. Intan yang bergemerlapan tidak pernah dinilai tinggi. Malah kadang-kadang intan itu dibuang-buang tiada gunanya.

Fitrah manusia mahunya berumahtangga. Mencari mawaddah. Keindahan berkeluarga. Membiakkan zuriat penyambung warisan keluarga.  Maka jadilah lelaki itu bernama suami. Dari anak menjadi suami bukan ada kursus professionalism. Lelaki hanya melihat dan mendengar. Memahami tetapi tanpa banyak mengerti. Lalu apabila dia menjadi suami dia hanya ingat apa yang bapanya telah berperanan. Apa yang dilihat pada jirannya. Pada keluarganya. Pada masyarakat keseluruhannya. Malangnya menjadi suami dan bapa bukan nalurinya selalu benar. Kesempatan untuk belajar menjadi suami dan bapa yang baik dan hak  jarang diambilkira. Jarang belajar dari yang arif. Yang sudah berbelas orang anak yang dijayakan hidupnya. Model-model kejayaan jarang yang dirujuk.  Ramai pula bapa yang tidak pernah mahu memahami hakikat bahawa  anak-anak mereka semakin membesar. Akal budinya perlu dibentuk. Inteleknya perlu dipupuk.

Suami peranannya besar. Bapa peranannya besar. Dua peranan ini cukup mencabar lelaki. Namun lazimnya lelaki cukup tenang menghadapi keadaan. Walaupun ramai lelaki yang selalu hilang sabar, masih ramai yang boleh diharap lagi. Yang masih menjadi suami dan bapa sejati. Bahunya sentiasa berat menanggung tanggungjawab besar amanah Allah ini. Benarkah lelaki tiada perasaan. Rasanya lelaki juga seperti manusia lain. Ada kekuatan dan kelemahannya. Mungkin egonya kuat bertahan dalam banyak hal. Wajahnya tiada riak dalam hal yang remeh temeh. Hal-hal yang tidak menggugat keselamatan keluarga atau negara. Dia lebih condong memikirkan hal yang berat. Yang serius. Yang besar impaknya. Yang konsekuennya perlu dielakkan.  Fikirnya banyak. Lambat memulakan tindakan. Bukan melengah-lengahkannya tetapi memilih alternatif terbaik.

 Benarkah lelaki buta perasaan? Tiada naluri sendu? Begitulah yang dilihat secara fizikal. Luaran yang selalu disalah tafsir. Yang selalu dipandang dengan penuh kesangsian. Kecurigaan yang sengaja dipanjang-panjangkan. Lelaki selalu disalah erti. Tanyalah suami. Hatinya selalu remuk bila dirinaya tidak dapat membahagiakan isteri yang dicintai. Jiwanya luluh bila orang kesayangannya tidak berada dalam kesejahteraan. Mampunya setakat itu. Rezekinya semampu itu. Kudratnya tercatu beku. Benteng airmatanya selalu pecah kerana sebak di dalam yang menggoncang dada sempit yang sesak menahan gelora keterbatasan diri. Gunung yang hendak didakap. Apakan daya tangan tak pernah sampai walaupun dipanjangkan kedua-duanya. Suami juga ada perasaan untuk memberi yang terbaik untuk orang-orang yang dicintainya.  Pernyataannya sahaja selalu tidak lahir dengan nyata. Isteri sahaja yang perlu bijak mentafsir apa yang dilihat dan didengar. Tidak mungkin suaminya tidak memberi riak kasih. Ombak sayang. Gelombang rindu. Angin sapaan dalaman yang halus dan penuh isyarat bermakna.

Kasih ibu katanya membawa ke syurga. Kasih bapa pula berkorban nyawa. Seluruh hidupnya hanya untuk keluarganya. Membina kebahagiaan sejagat yang lamanya malar sepanjang usia zaman. Tawa dan senyum yang meriangkan isteri dan anak-anak. Memanusiakan mereka untuk menjadi warga dunia yang berguna. Berwawasan untuk umatnya. Melihat jauh ke hadapan untuk memberikan yang terbaik untuk kemanusiaan sejagat. Tugasnya berat untuk membina warisan keluarga. Yang diinginkan ialah kebahagiaan untuk anak-anak dan cucu cicitnya. Sewaktu dia menerima nikah seorang isteri dahulu telah tergalas tanggungjawab itu.  Bahawa di bahunya itulah nilai-nilai kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan keluarganya. Ia menerima dengan penuh tanggungjawab dari bapa mertuanya. Wali isterinya yang memindahkan tanggungjawab isteri itu kepadanya.

Seorang bapa menyerahkan anak-anak perempuannya kepada lelaki yang diharapkan penuh tanggungjawabnya. Mengambil alih tugasnya untuk terus merencanakan membahagiakan puteri-puteri kesayanganya itu. Sewaktu ia menyerahkan anak-anaknya kepada seorang suami maka terputuslah haknya seketika. Ada orang lain yang mengambil alih. Doanya penuh debar. Harapannya menggunung tinggi. Semoga Allah membahagiakan anaknya di samping suami masing-masing. Ia hanya mampu melihat luarannya. Fizikalnya seperti yang dipamerkan. Jarang ia dapat menangkap yang tersirat. Namun naluri halus seorang bapa juga ada di mana-mana. Menangkap tanda-tanda kilauan yang tidak mengena. Pancaran-pancaran yang tidak menyuluh. Terang yang selalu terlindung. Jalan yang selalu nampak banyak likunya.

Lelaki juga selalu kecundang dengan perasaannya. Tangisnya tidak menyendu. Airmatanya tidak selalu membasahi. Sendunya tidak berbunyi. Namun di kala menyendiri matanya penuh sarat menggenang air. Memberat bersama sebak di dada. Membengkak dan membuku di dalam. Yang terakam mungkin keluhan dan hembusan nafas berat. Yang sarat dengan beratnya perasaaan. Lelaki itu gagah dan agam diri luarannya. Hatinya lembut juga. Perasaanya mudah tersentuh sayu mendayu bila ada yang menyentuh perasaannya. Jiwanya mudah rapuh. Cuma lelaki banyak bertahan untuk mengimbangi keadaan. Dia adalah simbul lelaki. Gagah. Kuat. Teguh. Sabar. Panjang akalnya. Maka pada kebanyakan masa  dia berlakon. Dia menyamar. Dia melakonkan watak lelaki. Watak suami. Watak bapa.

Pada kebanyakan masa seorang suami terlalu sunyi hidupmya kerana tuntutan bahwa ia perlu bersendirian. Semuanya dituntut beres. Seorang bapa lebih banyak sunyinya kerana anak-anak mengharap kebapaannya. Itulah lelaki yang selalu disalah erti. Dunianya sunyi. Dunianya sepi. Dunianya kosong. Isteri dan anak-anak yang mengerti yang dapat memenuhi  ruang-ruang kosong dalaman dirinya. Berat tanggungan hatinya bila ada di sekelilingnya yang tidak beres. Tidak membahagiakan. Tidak mencapai tahap kualiti kesejahteraan. Apakan daya, dia lelaki. Banyak keterbatasan yang selalu tidak diketahui setakat mana. Bukanlah malang menjadi lelaki. Tetapi jika pengertian ini diberi, penilaian diwajarkan, peluang dan ruang diberikan barangkali lelaki boleh menjadi lelaki yang memang lelaki.

Wednesday, August 31, 2011

Harapan Dan Kebimbangan

Hidup ini penuh dengan ketidaktentuan. Hak  yang mutlak  hanya milik Allah. Ketentuan itu sesungguhnya hanya dariNya sahaja. Manusia merancang, Allah merancang, perancangan Allah jua yang lebih baik. Selamanya lebih baik. Lebih baik itu hak Allah. Tuhan semesta alam. Yang Maha Pencipta. Yang memiliki segala sesuatu. Yang di bumi. Yang di langit. Dan yang di antara keduanya. Sesunggunya jin dan manusia diciptakan Allah semata-mata untuk beibadat kepadaNya.  Untuk mengabdikan diri kepadaNya. Untuk mencari redhaNya. Kesemuanya dilakukan keranaNya. UntukNya. Tanpa Allah mencipta kita, kita tiada. Allah mencipta kita ada misi dan visi yang mesti kita laksanakan. Yang wajib kita lakukan. Jika tidak kita hanyalah menjadi makhluk yang lebih hina dari sampah. Yang hanya layak untuk menerima azab Allah. Kita dikurniakan akal tetapi kita menzalimi diri kita sendiri dengan tidak menggunakan akal. Segala-galanya akan ditarik balik. Mungkin secara sedar. Mungkin melalui proses yang panjang. Mungkin secara mendadak. Segera. Semerta. Mungkin juga tanpa kita sedari.

Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk  kita. Keberuntungan yang besar ertinya. Yang menggunung pahala dan ganjarannya.  Jasad kita milik Allah. Minda kita milik Allah. Perasaan kita milik Allah. Hati kita milik Allah. Sesiapa yang cintakan Allah maka Allah pasti lebih mencintainya. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pasti Allah datang kepadanya  dengan cepat. Dengan pantas. Lebih mendekat dari yang kita sangka. Setalah beriman kepada Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari qiamat, qada’ dan qadar maka kita serahkan diri kita kepada Allah. Segala landasan Allah yang kita lalui. Kita gunakan landasan syariah untuk nanti kembali kepadaNya. Dan jalan itu semakin hampir setiap saat. Hampir ke penghujungnya. Dalam hal ini kita lupa hakikat. Dunia ini hanya pinjaman. Hanya untuk singgah sementara. Di hadapan sana ada perjalanan yang panjang. Ada destinasi terakhir yang akan dituju. Moga-moga nikmat itu datang di sisi Allah.

Qada’dan qadar yang Allah berikan kepada kita tentulah dengan perkiraan Allah Yang Maha Bijaksana. Sesungguhnya Allah tidak membebankan manusia dengan hal-hal yang tidak selayaknya kepada manusia pilihannya. Semuanya adalah ujian yang berat tetapi dapat ditanggung dengan faculti yang ada pada manusia itu. Mengetahui hakikat ini akan meringankan perasaan berat dan sebal. Gundah gelana. Bimbang dan ragu. Keresahan. Kerisauan. Cengkaman rasa hati yang memeritkan. Yang berbuku dan sukar diurai. Harapan selalu berbunga dalam hati kita. Menunggu keindahan-keindahan yang diimpikan. Yang dicita-citakan. Yang diidam-idamkan. Yang azamkan. Yang selalu didoakan. Diharap-harap rahmat Allah. InayahNya. Kasih sayangNya.

Harapan kita selalu pada yang baik. Yang luhur. Yang memberi kegembiraan. Yang mendamaikan hati. Menenangkan perasaan. Menstabilkan psikologi. Mengembangkan akal fikiran. Dalam kamus diri, kita selalu menyisihkan hal-hal musibah yang kadang-kadang datang. Yang selalu memberikan kebimbangan yang merawan-rawan datangnya. Harapan kita tinggi. Mengharap kebaikan warna-warni kehidupan yang bergaya. Gemerlapan dengan cahaya kebaikan. Pancawarna bersinar yang memberi kepuasan. Membina harapan tinggi yang menggunung dan menjulang awan. Semuanya diharap yang baik-baik belaka. Yang positif. Yang akhirnya memberikan cahaya kebahagiaan yang mampan. Yang memberikan keindahan kehidupan. Harapan untuk lebih cerah ke akhirat. Ke raudatul jannah.

Namun sebagai manusia kita sentiasa diuji. Ujian yang jika mampu dihadapi pasti memberi kesempatan kebahagiaan yang selalu elusif dari kita. Ujian yang diharaf dapat memartabatkan diri. Memberi kemuliaan diri. Mengangkat darjat kemanusiaan. Darjat muslim atau muslimah. Darjat khalifah yang sudah dipertanggungjawabkan kepada kita. Datang juga kekesalan yang menghiris qalbu. Kesebalan yang mendalam lautan dasar hati. Lalu membentuk kesugulan yang menikam-nikam di dalam.  Allahuakbar. Genangan mata yang mahu dihambur membasah pipi. Sesaknya di dada dengan sarang duka yang menerawang luas tanpa tepi dan haluan. Terkapai-kapai mencari tepian yang jauh dilantun ombak kehidupan yang menjauh. Hanya ada dua pilihan besar. Kita selamat kerana usaha dan diselamatkan. Atau lemas dihukum kejahilan dan kedegilan. Kesemuanya kerana gagal mengawal diri dan perasaan. Gagal menempatkan diri di persada nikmat yang selalu ada di hadapan mata. Kita tertipu dengan kilauan kaca tanpa warna. Tanpa makna. Tanpa apa-apa. Hanya kilauan yang mempesona tetapi tiada erti.

Itulah gunanya akal. Dipanjang-panjangkan. Dicanai dan diperah manfaat berfikir. Didisiplinkan supaya panjangnya bukan sejengkal. Bukan sedalam lautan. Bukan setinggi gunung. Akal yang bermanfaat tetap mensejahterakan diri dan perasaan. Minda dan  akal budi perlu diguna untuk kembali ke pangkal jalan bila sesat. Bila terlanjur. Bila terperosok ke lembah yang jauh menghina. Kembali mengkoreksi diri kerana terbabas dari landasan benar. Kerana gagal memilih yang hak dan yang terbaik. Memilih bukan dengan akal tetapi dengan nafsu. Membuat keputusan dengan jalan yang bukan syariah. Apapun pilihan yang ada di hadapan kita, nilailah dengan akal budi. Dengan minda terbuka. Banyak membaca. Banyak bertanya. Banyak memikir. Akhirnya rujuk syariah. Patuhlah kepada ketentuan syariah kerana itu sahaja pilihan yang diredhai Allah. Pilihan lain hanya ditakuti menuju kesesatan sahaja. Iblis dan syaitan ingin benar kita terjerumjus ke lembah kehinaan. Untuk nanti ditertawakan dan diperlekeh kerana kebodohan diri sendiri mengikuti saranan keduanya.

Untuk menggunakan akal budi harus banyak muasabah diri. Memohon kepada Allah jalan pemikiran yang hak. Yang menuju kebaikan. Tetapi doa mestilah diiringi dengan usaha berterusan. Perancangan yang sentiasa disemak dan dipantau. Penilaian dari tahap ke tahap untuk kebaikan. Mencari redha Allah. Barakah yang dipinta selalu. Usaha yang dirancang perlu pula disertai dengan berbagai bentuk disiplin. Peraturan yang wajar. Undang-undang. Dasar dan strategi yang mencari kebenaran. Jalan pilihan memang banyak. Yang hak hanya satu. Jalan yang berlandaskan syariat Allah. Tiada yang lain. Allah memberi ruang. Pilihlah yang lain tetapi Allah berjanji bahawa pilihan selain pilinNya adalah terbatal. Kita akan kembali kepadaNya. Dan janji Allah itu benar.  Kita kembali kepadaNya untuk menerim balasan yang setimpal. Jika pilihan yang hak pahala dan syurga ganjarannya. Pilihan yang lain adalah azab konsekuennya.

 Kita selalu mengharapkan yang terbaik. Yang terindah. Yang bergemerlapan. Yang cahayanya dinikmati oleh orang lain. Dikonsi oleh keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan teman-teman. Kebahagiaan yang dilihat dan dirasa. Yang dilimpahkan keluar. Yang disebarkan melalui angin dan iklim masa dan tempat. Biar warnanya mewarnai. Biar baunya menyegarkan. Biar segarnya membahagiakan. Biar damainya mendamaikan.  Biar amannya mengimbau-imbau perasaan. Nun jauh di sudut hati siapalah yang tidak mengharapkan kebahagiaan dan kedamaian. Doa selalu dipanjatkan agar Allah menganugerahkan keindahan kehidupan. Keindahan berkeluarga. Keindahan berkerjaya. Keindahan bermasyarakat. Keindaan hakikat hidup yang sebenarnya.  Ya Allah hanya padamu segalanya dikebalikan. Hanya Engkau yang memberi kasih sayangMu tanpa batas. Tanpa syarat. Engkau yang memberi keampunan. Ampunilah diriku. Diri isteriku. Ana-anakku. Cucu-cucuku. Semua salsilah keturunanku. Hanya padaMu aku mengharap. Berilah aku kekuatan. Berilah aku perisiaiMu bagi menghadapi segala cubaan. Hanya padaMu ya Allah aku serahkan segalanya.

Sekali kita salah langkah, surutlah ke belakang dengan banyak langkah. Betulkan semula haluan. Laut tetap terbentang luas. Terpulanglah kepada kita. Dayung atau kayuh. Renang atau ke tepian. Mudah-mudahan tidak hanyut tanpa tepi untuk dituju. Apa-apa tidak datang sekelip mata. Tiada jayanya dalam sebentar jangkamasa. Mulakan dengan tekad dan niat. Usaha dan perancangan. Orang ingin melihat apa yang kita mulakan. Ke mana arah yang kita haluankan. Kesungguhan yang dipamerkan. Pelan tindakan yang nampak kejelasannya. Menghapus keraguan yang datang. Semoga Allah merahmati dan memberkati. InsyaAllah.   

Monday, August 29, 2011

Hari Raya Menjelang Lagi

Alhamdulillah Hari Raya tiba lagi. Bukan dam dam dum yang mengusik jiwa. Takbir, tahmid dan tahlil yang dilaungkan. Menyatakan kesyukuran kerana Berjaya menyempurnakan tuntutan Ramadhan selama sebulan. Kita telah berpuasa bermula dari anak bulan Ramadhan hingga anak bulan Syawal. Esok, Selasa 1 Syawal 1342H, kita merayakan kemenangan itu. Kemenangan kerana memegang amanah Allah. Menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Suatu tuntutan besar bagi ummah. Apatah lagi dalam keadaan kita yang terlalu dikepung dengan berbagai godaan dan cabaran mendirikan agama. Serangan membina agama yang semakin kuat dan rencam. Serangan yang datang dari segenap penjuru. Hanya iman yang menebal di dada dapat menangkis kesemuanya. Puasa dan Ramadhan menjadi banteng kukuh yang kejap agam menepis segala serangan itu.

Esok kita berhari raya. Ingatlah jalan lurus yang telah kita bina selama sebulan. Jangan bengkokkan pada hari esok. Jangan terperosok ke lubang dosa pada hari esok. Sayang jika kita gagal mengawal diri di awal Syawal. Jika Ramadhan dapat kita jinakkan diri tentu kita tiada masalah menjinakkan Syawal. Tepuk dada tanya iman. Tanya hati. Tanya Islam. Bila difikirkan dalam-dalam apalah sangat hari raya idul fitri. Ia adalah hari-hari biasa yang dirayakan. Dibesar-besarkan. Disambut dengan gah.  Biar pape asalkan bergaye. Itu kata orang Peghak (Perak). Jangan. Banyak lagi agenda yang perlukan wang ringgit. Nak tambah rumah. Nak tambah tanah. Nak tambah ladang. Nak tambah saham. Nak besarkan perniagaan. Nak melabur. Nak kaya. Nak senang. Berjimatlah mang yang boleh. Elak jadi sahabat syaitan.

Orang muda barangkali kembang hatinya. Esok melaram sakan. Ke rumah bakal mak mertua. Bukan jumpa bakal bapa mertua tetai ingin sangat bertemu bakal isteri. Hari raya begini ringan kaki melangkah. Putar sahaja motor. Tekan sahaja minyak kereta. Jika tak jumpa pada hari raya pertama tidak ceria hari raya ini. Sabarlah. Hanya beberapa hari lagi. Paling lama sebulan dua. Bila sudah bersatu nanti terurailah segala simpulan hati. Tiada lagi yang perlu dipendam. Buku-buku yang terlerai. Simpulan yang terungkai. Hati yang berbunga dengan warna warni keindahannya. Segalannya amat bererti. Minta sahaja kiranya raya ini berpanjangan. Kekal panjang selama-lamanya. Akan dirayakan hati dan perasaan.

Bagi yang belum berpunya apalah nasib badan. Tercari-cari juga. Bukan senang untuk menemui yang berkenan di hati. Banyak senarai semak yang perlu diteliti. Kriteria yang berjela-jela mestilah diamati.  Tanda-tanda yang perlu diperhati. Iyarat yang perlu direnung dengan hati. Dengan makrifat yang mendalam. Mencari pasangan bukan sekadar pilih dan ambil di tepi jalan. Ia perlukan pilihan yang menjangkau zaman. Perlukan sangat sesuai dan meyakinkan. Mudah-mudahan tidak terkena yang menyakitkan. Pasangan yang diharap untuk memenangkan kasih sayang dan bukan yang menghancurkannya. Yang menjaga hati dan bukan yang menyakiti.

Bagi yang tua hari raya sibuklah dengan anak cucu. Saban tahun cucu bertambah. Menantu bertambah. Keperluannya bertambah. Semuanya tidak pernah terfikir sewaktu bercinta dahulu. Mana sampai akal memikirkan bilangan anak. Banyaknhya cucu. Ragam mereka. Perbezaan mereka. Kehendak mereka. Perangai mereka. Lazimnya kita menunggu tanpa sedar bahawa kesemuanya akan tiba juga.  Mungkin ramai yang tidak kesampaian untuk memikirkan urutan peristiwa datangnya babak-babak hidup berkeluarga. Dari seorang jadi berdua. Jadi bertiga dan berempat. Maka betambahlah ahli keluarga. Bila hari raya berhimpun kesemuanya. Kecuali seorang dua atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bila sudah berkumpul ada-ada sahaja yang perlukan perhatian. Bekalan makan mesti dicukupkan. Alat prkakas di dapur dilengkapkan. Pinggan mangkuk di susunatur. Lantai dan tingkap dibersihkan. Dimop berhari-hari. Karpet di vakum. Kain baju digosok rapi. Segala perhiasan dipasang hias. Pedek kata menjelang hari raya keadaan persekitaran perlu tip-top dalam segala hal. Lengkap, sempurna, tersusun. Budaya kita begitu. Tiada yang perlu dikhuatiri.   Cumanya perlu ada kesinambungan budaya yang tidak bercanggah dengan syariah. Yang seperti diperintahkan. Godaan syaitan terlalu banyak. Jenuh kita menepisnya. Menghalangnya

Kembalilah bertakbir. Berulang-ulang bertahlil. Berkali-kali bertahmid. Allah memerintahkan kita bersyukur dengan nikmatnya. Caranya bukan menyanyi. Bukan menari. Bukan membuat maksiat.  Banyakkanlah berdoa.  Berzikir. Mengingat Allah Yang Khaliq. Mendekatkan diri kepadaNya. Memohon keampunannya.  Hadapkan hati sesungguhnya. Besarkan hati mencintaiNya. Hanya mereka yang dekat dengan Allah mendapat rahmatNya. Mudah-mudahan kita antara mereka yang Allah perkenan. InsyaAllah.

Tuesday, August 23, 2011

The Great American Outdoor Life

Rasanya masih baru lagi. Masa yang jumlahnya 26 tahun seperti sangat baru dilalui. Tahun 1985 yang penuh dramatik. Kejutan demi kejutan di negara Uncle Sam. Sudah berlalu seksa zahir batin kerana sejuknya winter. Musim bunga juga sudah berlalu. Musim hujan sudah berkurangan. Bunga-bunga yang dahulunya tidak diketahui pokoknya kini sudah di kenalpasti jenisnya. Dahannya. Rantingnya. Daunnya. Bunga-bunga yang dahulu itu sudah berputik. Sudah membesar. Sebentar lagi akan masak pula. Kecualilah memang pokok bunga jambangan. Kekal berbunga kerana itu fitrahnya. Tidak mungkin berbuah yang boleh dimakan kenyang. Atau dikomersilkan sebagai buah. Maka pada musim summer bunga-bunga yang berbagai warna dan jenis itu ditanam cantik bersusun, berbaris, berkelompok. Bergambarlah pelancong. Abadilah semuanya dalam album yang sesekali diulang lihat. Hanya yang dalam minda susah hilangnya. Selagi kewarasan masih ada, ingatan itu kuat tertancap. Melekat.

Summer bukan seperti di Malaysia. Kita take things for granted. Summer sepanjang masa. Tidak pernah beralih musim. Matahari sentiasa memancar. Panas dan terik. Kita selalu mengelaknya. Takut hitam. Kenapa? Orang suka yang putih. Yang hitam pasti kurang komersil. Jauh bezanya pemikiran kita. Orang Barat berpanas sesuka hati. Basking. Bermandi cahaya matahari. Suatu kebangaan apabila kulit mereka jadi gelap. Yang tergambar ialah you must have comeback from the sun. Sun tanned.  Kita berpayung takutkan panas.  Mereka sengaja bersidai di bawah cahaya matahari untuk merasa menjadi hitam. Sekurang-kurangnya gelap.  Suatu kegilaan pada musim panas. Pandanglah ke mana sekalipun aka nada orang yang terlentang dan tertiarap. Di padang memang tempat mereka menghurung. Malah di laman rumah. Di atas bumbung adalah pilihan tempat mereka.

Summer adalah musim orang keluar rumah. Tidak betah mereka di rumah. Banyak yang menggamit mereka di luar sana. Lazimnya pekerja mengambil cuti panjang. Summer adalah matahari. Cahayanya mesti dinikmati sama ada di tempat sendiri atau di tempat lain yang lebih santai. Maka laut, sungai, tasik, bukit dan gunung menjadi tarikan. Pada musim summer inilah mereka merancang. Mereka keluar rumah. Mereka ingin menikmati the great American outdoor life. Memang fakta bahawa USA itu luas. Padang rerumputnya meluas melaut. Saujana mata memandang. Bukit bukaunya menarik. Yang tinggi tetap diselaputi salji. Putih melepak. Memancar-mancar disirami cahaya matahari. Mendakinya berulang-ulang. Menjejaknya berkali-kali.

Keluarlah mereka untuk memancing di sungai dan tasik. Sivik mereka tinggi. Ikan kecil dilepaskan. Yang besar sahaja yang dibakar. Dipanggang. Dimakan kerana sedap barunya. Masih manis segar. Banyaklah rancangan memancing di TV. Teknik yang mesti dipelajari. Umpan-umpan palsu  banyak dijual. Joran memang terlalu banyak. Perkakas lain cukup memeningkan jika bukan kaki pancing. Mereka memancing sebagai hobi. Ada juga yang untuk memakan ikan yang dipancing. Tetapi memancing bukan suatu aktiviti tunggal. Hanya itu sahaja yang dibuat. Bersamanya mereka camping. Belajarlah teknik-teknik survival. Berenang. Hiking. Jungle tracking. Mountain climbing. Mungkin juga mengambil  kesempatan mengkaji flora dan fauna di sekeliling mereka. Menyatu dengan alam. Pendidikan alam sekitar at its best.

Outdoor life adalah suatu kemestian kepada orang barat. Dalam konteks ini saya sebutkan Amerika Syarikat. Yang kaya melancong jauh ke negara di bawah angin. Ada yang ke Eropah. Yang biasa dalam negara sahaja. Itupun terlalu banyak untuk dinikmati. Memang di negara maju segala-galanya difikirkan. Memberi nikmat menghuni negara. Kawasan sekecil mana sekalipun dicantikkan. Dibudayakan. Dipraktikkan. Nikmat cantik itu memanjang. Nikmat bersih juga memanjang. Nikmat bahagia itu memanjang. Entahlah. Mereka boleh memikirkan semua itu. Memang kosnya tinggi tetapi pulangannya cukup lumayan. Pelancong bertali arus. Bersama mereka ekonomi bergerak pantas. Minyak tentulah mengalir mengikut deras dan jauh perjalan kenderaan. Hotel, motel, inn semuanya penuh. Itu belum lagi recreational ground. Makanan. Pakaian. Hiburan. Barang mainan.

Sebenarnya lebih ramai rakyatnya yang menikmati alam yang terbentang luas ini. Malamnya mereka menikmati simbahan cahaya bintang. Langit yang cerah dan biru. Apatah lagi jika ada cahaya bulan. Itu belum jika ada komet melintas. Siangnya pula menikmati deruan angin. Bukan sepoi-sepoi bahasa. Memang kuat. Musim summer yang menyegarkan. Kepada mereka inilah masa recharging. Memulihkan ketumpulan berfikir. Melihat gunung ganang, bukit bukau, pepohon dan dedaunan memberikan ilham yang banyak. Memberi sumber tenaga dalaman.  Mencipta rasa puas, segar dan bahagia. Alam tanpa sempadan yang dinikmati. Jauh dari hiruk pikuk kota yang melemaskan. Yang merimaskan. Yang menjerut perasaan. Kadang-kadang mencengkam-cengkam.

Pada musim summer inilah segala macam rekreasi yang bermula pada musim bunga memuncak. Sukan lasak ada di mana-mana. Makanan melambak.  Buah dituai sebanyak-banyaknya. Memang boleh mati kekenyangan. Bayangkan di Misouri labu gergasi yang berpuluh tan beratnya. Mengangkatnya menggunakan crane. Musim buah inilah menjadi pesta. Dari epal terjadilah cedar. Belum lagi epal pie. Jusnya memang lumrah. Pesta pula memijak anggur. Benar. Wine yang paling mahal mungkin dipijak asalnya. Air bekas kaki itulah yang diperam lama. Ditahunkan. Diminum sebagai kebangaan. Begitu juga buah-buahan yang lain. Oren, peach, pear. Aduh! Banyaknya. Kadang-kadang saya membeli buah untuk anak-anak makan. Mungkin sudah terlalu banyak, yang dalam peti ais tidak berusik. Bila saya makan baru mereka makan. Nikmat memakan buah tidak seperti di sini. Semua buahnya manis kerana dipetik masak. Yang kita import tidak begitu kerana dipetik semasa mengkal lagi. Belum cukup masak.

Di bandar atau di kampung sama sahaja. Festive mood.  Hatta di mana-mana sekalipun mereka menikmati summer itu. Banyaklah pameran. Malamnya dancing through the night. Itu cara mereka. Muzik menjadi sumber keidupan. Inspirasi. Hari pula lebih panjang siang dari malamnya. Seharian mereka gilakan matahari. Malam pula pendek. Untuk hilangkan letih. Paginya awal. Malamnya nantilah 17 jam dari pagi. Semuanya untuk mereka nikmati tanpa batas. Sayangnya mereka tidak beriman. Jika tidak tentu banyak manfaat global yang lebih baik dapat mereka hamburkan. Bukan komersil semata-mata. Bukan hedonism semata-mata. Buka gila memanjang.

Kita juga harus kembali menikmati outdoor life. Hidup kita sudah terlalu lama dikongkong dengan tembok konkrit. Anak-anak kita sudah tidak mengenal hutan dan belukar. Tidak kenal tasik dan danau. Tidak kenal alur air dan sungai. Kemajuan telah menjadikan mereka terlalu asing dengan kehidupan datuk dan nenek mereka. Seolah-olahnya semua yang dilalui dahulu sudah tiada nilainya. Suatu kesilapan bila kita ingin kembali kepala alam. Mereka tidak memahami perlunya menjaga alam sekitar. Bukan dunia mereka. Hidup mereka dikelilingi mesin yang pada mereka memudahkan kehidupan. Mereka lupa asal usul mereka. Tidak dapat surut ke belakang. Tidak dapat mencari induk semang yang ditinggalkan. Mereka ke hadapan tetapi tidak dapat mencari tapak baru untuk menghuni. Kampung halaman hanya tinggal nama. Jatidirinya sudah tidak ada. Yang ada hanya makna-makna tanpa warna. Yang tua tinggal tuanya. Yang muda akan tua tetapi tapaknya berbeza.

Berhari Raya Atau Berhibur Raya


Mana satu antara keduanya pilihan tuan? Orang Melayu Islam sinonim dengan hari raya.  Kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya hari raya itu. Islam itu benar. Raya itu benar. Tetapi bagaimana kita meraikannya. Hari raya sudah terlalu komersil. Para ulamak jenuh menegur di sana menegur di sini. Hari raya adalah upacara agama. Upacara Islam. Ianya bukan sebarangan upacara. Ianya bukan pesta. Bukan suka-suka. Malanglah jika kita hilang cahaya dan arah yang benar. Malang lagi jika kita memilih gelap yang diselaputi terang. Terang yang sebenarnya menggelap hati. Menghitamkan qalbu. Menumpulkan perasaan. Yang mencalar minda.

Kita masih berpuasa lagi sekarang ini. Ada beberapa hari lagi. Mengikut perkiraan falak hanya ada enam hari termasuk hari ini Rabu 24 Ogos 2011. Kita djangka berhari raya setelah berpuasa 29 hari. 29 atau 30 bukan isunya. Yang pentingnya anak bulan Syawal mungkin dilihat pada petang Isnin. Atau pada perkiraan yang disepakati benar bahawa anak bulan berada diufuk yang boleh diterima. Saiznya. Tingginya dari ufuk. Maka jika perkiraan itu benar hari Selasa kita akan berhari raya. Apa yang digambarkan dalam kepala? Makan? Tidur? Menonton wayang? Bersembang? Bertandang ke rumah saudara mara? Ke rumah kawan? Atau menonton TV selama 24 jam? Putarlah rangaian mana sekalipun akan ada hiburan, hiburan dan hiburan. Beringatlah agama bukan hiburan. Hedonism memusnahkan barakah hari raya.

Di mana kita setelah berpuasa selama sebulan? Lapar dan dahaga itu untuk apa? Ikut-ikutan? Yalah. Orang puasa kita puasa. Orang suruh puasa kita puasa. Semua orang tidak makan maka kita berpuasa. Sudahkah mencari nasnya? Sudahkah memahami dalilnya? Mana ayat al-Qurannya? Mana hadithnya? Mana rukun dan wajibnya? Mana sunat-sunatnya? Mana makruhnya? Mana haramnya?   Ibadat mestilah dengan ilmu. Tidak boleh sekadar taqlid sahaja. Ikut apa orang buat. Takut nanti sia-sia sahaja. Ibadat tanpa ilmu seperti perahu di lautan tanpa pengayuh. Tanpa kompas. Tanpa arah dan panduan. Tidak boleh berserah kepada nasib sahaja. Mesti ada usaha yang bersamanya ilmu. Itulah asas apapun perbuatan yang namanya amal. Yang namanya ibadat.

Dalam Ramadhan kita berusaha sebaiknya untuk menyempurnakan semua tuntutan yang berkaitan. Niatnya. Sahurnya. Solatnya. Tarawihnya. Witirnya. Doanya. Al-Qurannya. Sedekahnya. Zakatnya. Zakat fitrahnya. Itu belum baju baru. Kuih muih. Perhiasan rumah. Ucapan-ucapan hari raya. Setakat ini nampak syahdu juga. Hanya persediaan menjelang hari raya. Belum raya lagi. Berangan-angan lagi. Mudah-mudahan dalam doa yang panjang. Menjelanglah hendaknya hari raya. Bila tiba saatnya apa yang sebenarnya kita rungkaikan? Apa yang kita lakukan untuk merayakannya? Benar-benar berhari raya seperti istilahnya? Lupa semuanya. Lupa Islamnya. Lupa agamanya. Lupa imannya. Lupa etika dan tatasusila.

Hari raya adalah suatu menifestasi perayaan yang pada zahirnya nampak meriah. Tetapi lihatlah yang tersirat. Lihat ke dalam. Tenung jauh-jauh. Renung dalam-dalam. Buka hati dan perasaan. Kita bukan sekadar berhari raya pada zahirnya. Bukan yang zahir itu yang menjadi keutamaan. Dalam, dalam diri kita yang menjadi tumpuan. Hati kita. Iman kita. Akidah kita. Agama kita. Telah selalu dikatakan bahawa hari raya adalah anugerah Allah. Kita berhari raya kerana izin Allah. Barakah Allah. Kasih sayang Allah. Kita selalu lupa bahawa hari raya ini saat yang Allah pinjamkan kepada kita. Terlalu sekejap. Terlalu singkat. Pilihan kita ialah sama ada mencari pahala atau terbuat maksiat. Hari raya adalah ibadah jika kita mengetahui caranya. Di sinilah ilmu diperlukan. Bukan perasaan.  Bukan nafsu. Jika itu diikut tidak akan ada sudahnya.  

Kita telah berpuasa selama sebulan. Telah berlaku tazkiah an-nafs jika kita memahami erti puasa itu sendiri. Jiwa kita dibersihkan dari noda. Pemikiran kita di bersihkan. Seluruh pancaindera kita dibersihkan. Dicuci. Seluruh jiwa raga kita dilahirkan semula sebagai manusia baru yang bersih dari dosa. Bersih dari kefasikan. Bersih dari maksiat. Mana mungkin sebulan yang sukar itu dikotori dengan hal-hal yang mencemarkan. Sebulan yang dilalui hanya dikotori dengan sekelip mata. Sebulan kita menjaga batas-batas terlarang. Pada hari pertama hari raya semuanya terbuang ke gaung. Jatuh ke bawah. Luruh bersama dunia komersil. Dunia yang mencari keuntungan dengan mengorbankan kepentinga agama. Tanpa sedar kita merosakkan semua yang telah kita bina dengan bersusah payah selama sebulan.

Malam menjelang hari raya berapa ramai antara kita yang bertakbir. Yang bertahmid. Yang bertahlil.  Berapa ramai yang ke masjid. Ke surau. Berapa ramai yang berhimpun di rumah untuk melaungkan kesyukuran dengan bertakbir. Bertahmid. Bertahlil. Malam yang penuh barakah itu kita raikan dengan gelak ketawa. Dengan sembang yang tidak membawa makna. Makanan juga yang menjadi keutamaan. TV kekal melalak sepanjang malam. Terjerit-jerit tanpa erti. Bukan takbir yang boleh diikuti. Malam itu juga komersil hari raya sudah bermula. Lalai semuanya. Alpa semuanya. Lagha, lagha dan lagha. Ke mana kita sebenarnya? Tiadakah arah yang boleh ditujui?

Berapa orang yang menangis kerana Ramadhan telah tiada. Pergi membawa lallatul qadar yang nilainya 1,000 bulan. Ramadhan yang penuh barakah itu telah tiada. Tahun depan ada lagi. Siapa kata. Kita tidak tahu umur kita. Yang tinggal ini berapa hari lagi. Berapa minggu lagi. Berapa bulan lagi. Setahun? Belum tahu tuan. Esok lusa entah penamat segala-galanya. Kita patut menangis. Hari raya hanya hari meraikan kerana kita berjaya berpuasa selama sebulan. Berhari raya kerana kita berjaya memerangi nafsu kita. Berjaya memenuhi rukun dan syaratnya. Tidak lebih dan tidak kurang. Makanlah sekadarnya. Bersederhana itu lebih banyak baiknya.

Berpadalah kerana hari raya bukan penamat segala-galanya. Hanya suatu saat sementara. Esoknya hari kedua berpuasalah. Hanya enam hari yang sudah dibiasakan selama sebulan. Tidak mungkin tubuh badan kita memberontak. Tidak mungkin tubuh badan kita protes. Perasaan kita tidak mungkin liat. Tentu masih lunak dengan kebiasaan berpuasa. Lapar bukan lagi masalah besar. Bukan lagi isu utama. Kepuasan dalaman kita mengatasi segala-galanya. Keindahannya dapat kita kecapi serapinya. Kita tutup lagi pancaindera kita dari hal-hal yang mengganggu. Carilah pahala semasa ada kesempatan ini. Carilah redha Allah.  Sesungguhnya hidup kita, mati kita semuanya kerana Allah. Untuk Allah. Semoga hari raya tuan diserikan dengan cahaya iman yang memancar kemilau jauh menusuk qalbu. Merasa tidak cukup untuk dibawa sebagai bekal untuk menemui Allah Rabbul Jalil.