Wednesday, September 14, 2011

Antara Dua Dunia


Kita biasa melihat kanak-kanak kecil. Bayi barangkali. Kita juga biasa melihat orang tua. Kanak-kanak yang kita lihat adalah lambang masa lampau kita.  Kita pernah melalui zaman-zaman itu. Anak yang tidak mengerti apa-apa. Mereka hanya tahu ketawa apabila kehendaknya dipenuhi. Menangis bila kehendaknya gagal dipenuhi. Anak yang hanya tahu menganga. Mulutnya minta disuap makanan dan air minuman. Tahunya bermain dan bermain. Leka dengan barang mainan. Lupa ibu bapa. Lupa abang dan kakak. Lupa makan dan tidur. Hidupnya hanya untuk bermain dan bermain. Jenuh dijerit. Bertalu-talu dipanggil. Berbuih ibu membujuk. Namun anak yang masih kanak-kanak kecil tetap dengan ftrah kanak-kanak. Membesar dengan belajar bermain. Jika mata  dan naluri kita peka, semasa bermain itulah kanak-kanak mempamerkan bakat pada dirinya. Mungkin bakat kepimpinan. Menggerakkan kanak-kanak yang lain untuk melakukan aktiviti yang wajar bagi kanak-kanan. Dia selalu di hadapan. Lagak pemimin di barisan hadapan. Saiz dirinya bukan penentu yang mutlak. Lagaknya memukau kanak-kanak yang lain.

Semasa kanak-kanak itulah zaman yang paling senang. Minta apa sahaja. Tidak faham erti tiada. Ketidakmampuan bukan ada dalam pemikkiran naïf kamus mereka. Tidak faham erti mampu. Ramai ibu bapa yang sendu kerana gagal memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Bertangguh dan berdalih kerana tidak mampu. Namun begitu anak-anak sepertinya menjadi sumber inspirasi kepada ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyediakan yang sepatutya untuk anak-anak mereka. Bergolok bergadai perkara biasa. Pinjam entah dari siapa. Entah berapa banyak. Entah untuk apa. Membesarkan anak-anak bukan perkara mudah. Rumah tangga yang dibina melahirkan anak-anak yang perlu diperlihara. Yang dibesarkan menurut kemampuan diri seadanya. Ada masa lebih. Ada masa kurang. Namun ramai ibu bapa yang serba kekurangan dalam memberi yang terbaik untuk anak-anak. Sangat berada dalam keterbatasan yang nyata.

Fitrah kanak-kanak melihat apa yang ada pada orang lain. Irinya menjadi-jadi. Mereka akan meminta seperti itu. Mendesak ibu bapa menyediakan apa yang dimahu. Anak remaja selalu mengalami konflik ini. Kenapa diri mereka berada dalam keluarga yang tidak berkemampuan. Kehendak mereka tidak pernah dibatas. Tidak tahu di mana batasnya. Mengapa ada keterbatasan itu. Mahunya semua ada. Disebut di mulut, tersedia di hadapan mata. Alangkah manisnya jika anak-anak mengerti apa itu kekurangan. Apa itu ketidakmampuan. Ketidakcukupan. Kemiskinan. Kefakiran. Mereka diberi keinsafan bahawa hidup ini tidak semuanya tersedia di atas dulang emas. Bahawa semuanya tidak mesti ada. Berkecukupan dengan apa yang ada. Redha dengan ketenuan Yang Maha Esa. Mereka tahu ibu bapa mereka telah berusaha. Mungkin kudrat yang ada. Yang selalu terbatas dengan kelayakan akademik yang berpada. Dengan kemahiran yang tidak seberapa. Setakat itu pendapatan yang yang tidak mengujakan.

Memang beruntung anak-anak yang semua ada. Sebut sahaja semuanya tersedia. Hingga mereka tidak tahu istilah tiada. Semuanya dianggap mudah. Taken for granted. Lupa bahawa yang di atas akan turun ke bawah. Yang di bawah akan naik ke atas. Masa senang dan masa susah silih berganti. Jika kereka terlalu merasa semuanya ada, maka mereka tidak boleh menerima apa yang tiada. Tidak boleh hidup tanpa kekurangan. Sedikit yang tiada menyulitkan mereka. Pertimbanganpun menjadi porak pranda.  Akal budi menjadi tiada. Apatah lagi jika mereka tidak pernah diajar susah. Diajar berpada dengan apa yang ada. Diajar  berkongsi dengan orang lain di sekeliling mereka. Diajar untuk tidak hanya berhibur tanpa had tanda. Akhirnya mereka membesar menjadi anak-anak yang memanjakan diri mereka. Tidak kenal yang hak. Tidak kenal batas. Tidak kenal siapa diri mereka yang sebenarnya. Malang sungguh bagi ibu bapa yang terus-terusan memelihara anak-anak yang sudah dewasa. Yang sudah berumahtangapun. Anak-anak mereka membesar tanpa kematangan fikiran. Mendewasa tanpa akal. Masih ditanggung tanpa  batas. Manja yang diberi di ruang masa yang terlampau di luar jangka.

Anak-anak yang sepatutnya menghibur setalah dewasa. Hidupnya berdikari tanpa berlebih-le bihan itulah yang diidamkan ibu bapa. Cukuplah membantu apa yang mampu. Keluarganya terlindung dari azab hidup. Cukup makan. Cukup sandang pakai. Cukup terlindung dalam rumah yang sederhana. Membina kasih sayang yang berpanjangan. Memutuskan hidup bujangnya dengan menjadi suami yang bijaksana. Bapa yang selalu mendahulukan anak-anak. Beruntunglah isteri yang mendapat suami mithali. Anak-anak mendapat bapa mithali. Bukan payah. Bukan sukar. Bukan di luar kemampuan. Jaga agama. Jaga Islam. Jaga iman. Solat mematuhi jadual. Di mana selakilpun ditunaikan tanpa  banyak berdalih. Puasa ditunaikan kerana itu adalah perintah Allah. Sedekah bila ada. Zakat bila sampai haulnya dan hisabnya. Haji bagi yang berkemampuan. Solat dulu yang diutamakan. Dalam susah atau senang solat itu wajib. Dalam sakit atau sihat solat itu wajib. Dalam suka atau duka solat itu wajib. Dalam sibuk atau senggang solat itu wajib. Jika solat dapat dijaga maka Allah akan memberi yang selayaknya. Kita ingat kepada Allah, maka Allah akan lebih lagi mengingat kita.

Ingatlah kita semua akan menjadi tua. Itulah masa hadapan kita. Masa yang langsung tidak mengujakan. Menghina orang tua takut kita menjadi pula sepertinya. Tidak menghormati orang tua takut pula kita menjadi sepertinya. Sebab itu menjadi anak-anak kita mesti menjadi yang terbaik. Mahu belajar dari tidak tahu. Mahu pandai memiliki kemahiran. Mahu bekerja untuk mebina kerjaya berjaya. Setinggi yang mungkin. Sebesar yang mungkin. Sehebat yang mungkin. Itulah bekal masa hadapan kita. Bekal masa tua kita. Bekal masa susah kita. Bekal masa daif kita. Bekal masa-masa terakhir kita. Tidak dinafikan agama memerlukan anak-anak menjaga kebajikan ibu bapa mereka yang sudah tua. Yang sudah tidak mampu apa-apa. Tetapi anak-anak sekarang besar tanggungannya. Semuanya perlukan biaya yang tinggi-tinggi belaka. Kemampuan anak-anak yang tidak seberapa. Alhamdulillah bagi anak-anak yang kerjayanya melebihi dari berpada. Dapat dikongsi dengan ahli keluarga yang lain. Ibu bapa tentu tidak dilupa.

Tidak ada yang terbaik dari bersedia sendiri. Menyediakan apa yang perlu untuk hari tua. Menjadi tua tidak semestinya hanya mengharap sahaja. Mengemis dari semua yang ada di sekeliling kita. Bersedia dari muda amat sangat perlunya. Mengumpul harta sepadanya. Ada tanah sebidang dua. Ada rumah cukup sederhana untuk dihuni bersama semua yang ada. Bersedia bahawa apabila tua tidak semua akan menghulur tangan memberi segala. Menjadi tua bukan semudah yang disangka. Terlalu ramai ibu bapa yang terlantar di rumah orang tua-tua. Anak-anak bukan tidak mampu. Adik beradik bukan tidak mampu. Saudara mara bukan tidak mampu. Zaman sudah berubah. Orang Islam sudah mabuk dengan dunia. Mereka terpanar dengan kilauan-kilauan yang menutup rasa belas. Rasa ihsan. Rasa sayang. Rasa cinta. Rasa tanggungjawab. Hidup banyak nafsu-nafsi. Melupakan yang perlu. Terlalai dengan kealpaan yang melampau. Hati menjadi beku. Kaku. Terkunci mati. Tidak mungkin terbuka lagi. Tertutup rapat dan kejap. Manusia yang bernama anak-anak menjadi kejam dan zalim. Tidak lagi menjadi harapan. Tidak lagi dapat menjadi tempat bergantungan. Malah dirinya sendiri terkulai dan terlantar dengan kemabukan diri.

Semoga kita semua menjadi orang-orang tua yang berada serba berpada. Cukup makan dan pakai. Anak cucu yang datang bertandang dalam keadaan selesa. Dapat sama-sama menikmati apa yang ada. Yang penting tua bukan untuk menyusahkan. Bukan untuk menyulitkan. Bukan untuk menyukarkan.  Bukan untuk melebarkan jurang kemiskinan. Meluaskan kepapaan. Bukan menebarkan kefakiran. Segala perancangan hidup hendaklah dipetakan sedari muda. Dirangka untuk masa hadapan yang pasti tiba. Masa tua yang memang akan sampai masanya. Ingatlah masa mudamu sudah berlalu. Sudah lama ditelan sejarah. Masa tuamu akan sampai walaupun dihalang sekuat mana. Ia pasti tiba. Dapat dijangka. Kita semua dapat mengira dari satu, dua dan  tiga. Kirtaran hidup ini tiada hentinya. Dalam perjalanan menuju alam baqa itu kita melalui hidup fana yang berbagai ronanya.  Mudah-mudahan kita dapat mewarnakannya untuk anak cucu yang ditinggalkan. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment