Tuesday, August 23, 2011

Berhari Raya Atau Berhibur Raya


Mana satu antara keduanya pilihan tuan? Orang Melayu Islam sinonim dengan hari raya.  Kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya hari raya itu. Islam itu benar. Raya itu benar. Tetapi bagaimana kita meraikannya. Hari raya sudah terlalu komersil. Para ulamak jenuh menegur di sana menegur di sini. Hari raya adalah upacara agama. Upacara Islam. Ianya bukan sebarangan upacara. Ianya bukan pesta. Bukan suka-suka. Malanglah jika kita hilang cahaya dan arah yang benar. Malang lagi jika kita memilih gelap yang diselaputi terang. Terang yang sebenarnya menggelap hati. Menghitamkan qalbu. Menumpulkan perasaan. Yang mencalar minda.

Kita masih berpuasa lagi sekarang ini. Ada beberapa hari lagi. Mengikut perkiraan falak hanya ada enam hari termasuk hari ini Rabu 24 Ogos 2011. Kita djangka berhari raya setelah berpuasa 29 hari. 29 atau 30 bukan isunya. Yang pentingnya anak bulan Syawal mungkin dilihat pada petang Isnin. Atau pada perkiraan yang disepakati benar bahawa anak bulan berada diufuk yang boleh diterima. Saiznya. Tingginya dari ufuk. Maka jika perkiraan itu benar hari Selasa kita akan berhari raya. Apa yang digambarkan dalam kepala? Makan? Tidur? Menonton wayang? Bersembang? Bertandang ke rumah saudara mara? Ke rumah kawan? Atau menonton TV selama 24 jam? Putarlah rangaian mana sekalipun akan ada hiburan, hiburan dan hiburan. Beringatlah agama bukan hiburan. Hedonism memusnahkan barakah hari raya.

Di mana kita setelah berpuasa selama sebulan? Lapar dan dahaga itu untuk apa? Ikut-ikutan? Yalah. Orang puasa kita puasa. Orang suruh puasa kita puasa. Semua orang tidak makan maka kita berpuasa. Sudahkah mencari nasnya? Sudahkah memahami dalilnya? Mana ayat al-Qurannya? Mana hadithnya? Mana rukun dan wajibnya? Mana sunat-sunatnya? Mana makruhnya? Mana haramnya?   Ibadat mestilah dengan ilmu. Tidak boleh sekadar taqlid sahaja. Ikut apa orang buat. Takut nanti sia-sia sahaja. Ibadat tanpa ilmu seperti perahu di lautan tanpa pengayuh. Tanpa kompas. Tanpa arah dan panduan. Tidak boleh berserah kepada nasib sahaja. Mesti ada usaha yang bersamanya ilmu. Itulah asas apapun perbuatan yang namanya amal. Yang namanya ibadat.

Dalam Ramadhan kita berusaha sebaiknya untuk menyempurnakan semua tuntutan yang berkaitan. Niatnya. Sahurnya. Solatnya. Tarawihnya. Witirnya. Doanya. Al-Qurannya. Sedekahnya. Zakatnya. Zakat fitrahnya. Itu belum baju baru. Kuih muih. Perhiasan rumah. Ucapan-ucapan hari raya. Setakat ini nampak syahdu juga. Hanya persediaan menjelang hari raya. Belum raya lagi. Berangan-angan lagi. Mudah-mudahan dalam doa yang panjang. Menjelanglah hendaknya hari raya. Bila tiba saatnya apa yang sebenarnya kita rungkaikan? Apa yang kita lakukan untuk merayakannya? Benar-benar berhari raya seperti istilahnya? Lupa semuanya. Lupa Islamnya. Lupa agamanya. Lupa imannya. Lupa etika dan tatasusila.

Hari raya adalah suatu menifestasi perayaan yang pada zahirnya nampak meriah. Tetapi lihatlah yang tersirat. Lihat ke dalam. Tenung jauh-jauh. Renung dalam-dalam. Buka hati dan perasaan. Kita bukan sekadar berhari raya pada zahirnya. Bukan yang zahir itu yang menjadi keutamaan. Dalam, dalam diri kita yang menjadi tumpuan. Hati kita. Iman kita. Akidah kita. Agama kita. Telah selalu dikatakan bahawa hari raya adalah anugerah Allah. Kita berhari raya kerana izin Allah. Barakah Allah. Kasih sayang Allah. Kita selalu lupa bahawa hari raya ini saat yang Allah pinjamkan kepada kita. Terlalu sekejap. Terlalu singkat. Pilihan kita ialah sama ada mencari pahala atau terbuat maksiat. Hari raya adalah ibadah jika kita mengetahui caranya. Di sinilah ilmu diperlukan. Bukan perasaan.  Bukan nafsu. Jika itu diikut tidak akan ada sudahnya.  

Kita telah berpuasa selama sebulan. Telah berlaku tazkiah an-nafs jika kita memahami erti puasa itu sendiri. Jiwa kita dibersihkan dari noda. Pemikiran kita di bersihkan. Seluruh pancaindera kita dibersihkan. Dicuci. Seluruh jiwa raga kita dilahirkan semula sebagai manusia baru yang bersih dari dosa. Bersih dari kefasikan. Bersih dari maksiat. Mana mungkin sebulan yang sukar itu dikotori dengan hal-hal yang mencemarkan. Sebulan yang dilalui hanya dikotori dengan sekelip mata. Sebulan kita menjaga batas-batas terlarang. Pada hari pertama hari raya semuanya terbuang ke gaung. Jatuh ke bawah. Luruh bersama dunia komersil. Dunia yang mencari keuntungan dengan mengorbankan kepentinga agama. Tanpa sedar kita merosakkan semua yang telah kita bina dengan bersusah payah selama sebulan.

Malam menjelang hari raya berapa ramai antara kita yang bertakbir. Yang bertahmid. Yang bertahlil.  Berapa ramai yang ke masjid. Ke surau. Berapa ramai yang berhimpun di rumah untuk melaungkan kesyukuran dengan bertakbir. Bertahmid. Bertahlil. Malam yang penuh barakah itu kita raikan dengan gelak ketawa. Dengan sembang yang tidak membawa makna. Makanan juga yang menjadi keutamaan. TV kekal melalak sepanjang malam. Terjerit-jerit tanpa erti. Bukan takbir yang boleh diikuti. Malam itu juga komersil hari raya sudah bermula. Lalai semuanya. Alpa semuanya. Lagha, lagha dan lagha. Ke mana kita sebenarnya? Tiadakah arah yang boleh ditujui?

Berapa orang yang menangis kerana Ramadhan telah tiada. Pergi membawa lallatul qadar yang nilainya 1,000 bulan. Ramadhan yang penuh barakah itu telah tiada. Tahun depan ada lagi. Siapa kata. Kita tidak tahu umur kita. Yang tinggal ini berapa hari lagi. Berapa minggu lagi. Berapa bulan lagi. Setahun? Belum tahu tuan. Esok lusa entah penamat segala-galanya. Kita patut menangis. Hari raya hanya hari meraikan kerana kita berjaya berpuasa selama sebulan. Berhari raya kerana kita berjaya memerangi nafsu kita. Berjaya memenuhi rukun dan syaratnya. Tidak lebih dan tidak kurang. Makanlah sekadarnya. Bersederhana itu lebih banyak baiknya.

Berpadalah kerana hari raya bukan penamat segala-galanya. Hanya suatu saat sementara. Esoknya hari kedua berpuasalah. Hanya enam hari yang sudah dibiasakan selama sebulan. Tidak mungkin tubuh badan kita memberontak. Tidak mungkin tubuh badan kita protes. Perasaan kita tidak mungkin liat. Tentu masih lunak dengan kebiasaan berpuasa. Lapar bukan lagi masalah besar. Bukan lagi isu utama. Kepuasan dalaman kita mengatasi segala-galanya. Keindahannya dapat kita kecapi serapinya. Kita tutup lagi pancaindera kita dari hal-hal yang mengganggu. Carilah pahala semasa ada kesempatan ini. Carilah redha Allah.  Sesungguhnya hidup kita, mati kita semuanya kerana Allah. Untuk Allah. Semoga hari raya tuan diserikan dengan cahaya iman yang memancar kemilau jauh menusuk qalbu. Merasa tidak cukup untuk dibawa sebagai bekal untuk menemui Allah Rabbul Jalil.

No comments:

Post a Comment