Friday, September 2, 2011

Hati Seorang Lelaki


Siapa seorang lelaki? Yang pastinya ia seorang anak kepada sepasang suami dan isteri. Bayi yang lahir itu membesar menjadi kanak-kanak. Zamannya diwarnai alam sekelilingnya. Ada yang kondusif dan ada yang tidak. Ada yang penuh warnanya dan ada yang tidak. Ada yang memancar bahagia dan ada yang tidak. Masing-masing dengan alam yang melingkungi diri masing-masing. Kanak-kanak itu membesar dengan membawa segala yang dibekalkan semasa kanak-kanaknya. Menjadi remaja yang penuh dengan cabaran pancaroba. Rona-rona menggoda yang banyak. Bertuah bagi mereka yang pertahanan dirinya kuat. Selamat bagi mereka yang lingkungan hidupnya jauh dari keterbukaan godaan maksiat. Waktu inilah keranuman untuk belajar. Menimba ilmu seluas lautan yang tidak bertepi. Malangnya tidak ramai yang sampai ke tepian. Ramai yang lemas. Tenggelam. Hilang dan hanyut dalam arus hidup yang berbagai.

Bagi yang selamat bekerja pula membina kehidupan. Berkerja. Berkerjaya. Meniti dari tahap ke tahap. Membina kedewasaan. Membina kematangan. Membina kebijaksanaan. Beruntunglah anak-anak yang terang cahaya hidupnya. Berada dalam naungan ibu bapa yang membahagiakan. Yang bimbingannya selalu menyuluh ke hadapan. Anak itu pula jalannya soleh. Lurus bak sirat al-mustaqim. Usia yang meningkat lazimnya sinonim dengan kematangan. Kedewasaan. Kebijaksanaan. Namun tidak semuanya begitu. Ada juga anak-anak yang tidak menjadi. Yang jalannya bengkok tidak mencari lurus. Diberi cahaya yang dipadamkan. Kekal meraba-raba dalam gelap. Pandangannya tertutup sentiasa. Padanya dalam gelap itu dia nampak cahaya kemilau yang kaca semata-mata. Intan yang bergemerlapan tidak pernah dinilai tinggi. Malah kadang-kadang intan itu dibuang-buang tiada gunanya.

Fitrah manusia mahunya berumahtangga. Mencari mawaddah. Keindahan berkeluarga. Membiakkan zuriat penyambung warisan keluarga.  Maka jadilah lelaki itu bernama suami. Dari anak menjadi suami bukan ada kursus professionalism. Lelaki hanya melihat dan mendengar. Memahami tetapi tanpa banyak mengerti. Lalu apabila dia menjadi suami dia hanya ingat apa yang bapanya telah berperanan. Apa yang dilihat pada jirannya. Pada keluarganya. Pada masyarakat keseluruhannya. Malangnya menjadi suami dan bapa bukan nalurinya selalu benar. Kesempatan untuk belajar menjadi suami dan bapa yang baik dan hak  jarang diambilkira. Jarang belajar dari yang arif. Yang sudah berbelas orang anak yang dijayakan hidupnya. Model-model kejayaan jarang yang dirujuk.  Ramai pula bapa yang tidak pernah mahu memahami hakikat bahawa  anak-anak mereka semakin membesar. Akal budinya perlu dibentuk. Inteleknya perlu dipupuk.

Suami peranannya besar. Bapa peranannya besar. Dua peranan ini cukup mencabar lelaki. Namun lazimnya lelaki cukup tenang menghadapi keadaan. Walaupun ramai lelaki yang selalu hilang sabar, masih ramai yang boleh diharap lagi. Yang masih menjadi suami dan bapa sejati. Bahunya sentiasa berat menanggung tanggungjawab besar amanah Allah ini. Benarkah lelaki tiada perasaan. Rasanya lelaki juga seperti manusia lain. Ada kekuatan dan kelemahannya. Mungkin egonya kuat bertahan dalam banyak hal. Wajahnya tiada riak dalam hal yang remeh temeh. Hal-hal yang tidak menggugat keselamatan keluarga atau negara. Dia lebih condong memikirkan hal yang berat. Yang serius. Yang besar impaknya. Yang konsekuennya perlu dielakkan.  Fikirnya banyak. Lambat memulakan tindakan. Bukan melengah-lengahkannya tetapi memilih alternatif terbaik.

 Benarkah lelaki buta perasaan? Tiada naluri sendu? Begitulah yang dilihat secara fizikal. Luaran yang selalu disalah tafsir. Yang selalu dipandang dengan penuh kesangsian. Kecurigaan yang sengaja dipanjang-panjangkan. Lelaki selalu disalah erti. Tanyalah suami. Hatinya selalu remuk bila dirinaya tidak dapat membahagiakan isteri yang dicintai. Jiwanya luluh bila orang kesayangannya tidak berada dalam kesejahteraan. Mampunya setakat itu. Rezekinya semampu itu. Kudratnya tercatu beku. Benteng airmatanya selalu pecah kerana sebak di dalam yang menggoncang dada sempit yang sesak menahan gelora keterbatasan diri. Gunung yang hendak didakap. Apakan daya tangan tak pernah sampai walaupun dipanjangkan kedua-duanya. Suami juga ada perasaan untuk memberi yang terbaik untuk orang-orang yang dicintainya.  Pernyataannya sahaja selalu tidak lahir dengan nyata. Isteri sahaja yang perlu bijak mentafsir apa yang dilihat dan didengar. Tidak mungkin suaminya tidak memberi riak kasih. Ombak sayang. Gelombang rindu. Angin sapaan dalaman yang halus dan penuh isyarat bermakna.

Kasih ibu katanya membawa ke syurga. Kasih bapa pula berkorban nyawa. Seluruh hidupnya hanya untuk keluarganya. Membina kebahagiaan sejagat yang lamanya malar sepanjang usia zaman. Tawa dan senyum yang meriangkan isteri dan anak-anak. Memanusiakan mereka untuk menjadi warga dunia yang berguna. Berwawasan untuk umatnya. Melihat jauh ke hadapan untuk memberikan yang terbaik untuk kemanusiaan sejagat. Tugasnya berat untuk membina warisan keluarga. Yang diinginkan ialah kebahagiaan untuk anak-anak dan cucu cicitnya. Sewaktu dia menerima nikah seorang isteri dahulu telah tergalas tanggungjawab itu.  Bahawa di bahunya itulah nilai-nilai kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan keluarganya. Ia menerima dengan penuh tanggungjawab dari bapa mertuanya. Wali isterinya yang memindahkan tanggungjawab isteri itu kepadanya.

Seorang bapa menyerahkan anak-anak perempuannya kepada lelaki yang diharapkan penuh tanggungjawabnya. Mengambil alih tugasnya untuk terus merencanakan membahagiakan puteri-puteri kesayanganya itu. Sewaktu ia menyerahkan anak-anaknya kepada seorang suami maka terputuslah haknya seketika. Ada orang lain yang mengambil alih. Doanya penuh debar. Harapannya menggunung tinggi. Semoga Allah membahagiakan anaknya di samping suami masing-masing. Ia hanya mampu melihat luarannya. Fizikalnya seperti yang dipamerkan. Jarang ia dapat menangkap yang tersirat. Namun naluri halus seorang bapa juga ada di mana-mana. Menangkap tanda-tanda kilauan yang tidak mengena. Pancaran-pancaran yang tidak menyuluh. Terang yang selalu terlindung. Jalan yang selalu nampak banyak likunya.

Lelaki juga selalu kecundang dengan perasaannya. Tangisnya tidak menyendu. Airmatanya tidak selalu membasahi. Sendunya tidak berbunyi. Namun di kala menyendiri matanya penuh sarat menggenang air. Memberat bersama sebak di dada. Membengkak dan membuku di dalam. Yang terakam mungkin keluhan dan hembusan nafas berat. Yang sarat dengan beratnya perasaaan. Lelaki itu gagah dan agam diri luarannya. Hatinya lembut juga. Perasaanya mudah tersentuh sayu mendayu bila ada yang menyentuh perasaannya. Jiwanya mudah rapuh. Cuma lelaki banyak bertahan untuk mengimbangi keadaan. Dia adalah simbul lelaki. Gagah. Kuat. Teguh. Sabar. Panjang akalnya. Maka pada kebanyakan masa  dia berlakon. Dia menyamar. Dia melakonkan watak lelaki. Watak suami. Watak bapa.

Pada kebanyakan masa seorang suami terlalu sunyi hidupmya kerana tuntutan bahwa ia perlu bersendirian. Semuanya dituntut beres. Seorang bapa lebih banyak sunyinya kerana anak-anak mengharap kebapaannya. Itulah lelaki yang selalu disalah erti. Dunianya sunyi. Dunianya sepi. Dunianya kosong. Isteri dan anak-anak yang mengerti yang dapat memenuhi  ruang-ruang kosong dalaman dirinya. Berat tanggungan hatinya bila ada di sekelilingnya yang tidak beres. Tidak membahagiakan. Tidak mencapai tahap kualiti kesejahteraan. Apakan daya, dia lelaki. Banyak keterbatasan yang selalu tidak diketahui setakat mana. Bukanlah malang menjadi lelaki. Tetapi jika pengertian ini diberi, penilaian diwajarkan, peluang dan ruang diberikan barangkali lelaki boleh menjadi lelaki yang memang lelaki.

4 comments:

  1. I don't represent all men. I feel that many share the same feeling. Thank you.

    ReplyDelete
  2. Its actually represent each human being called MAN..

    ReplyDelete
  3. hmmmm....lelaki, diam penuh makna, membawa seribu persoalan, luah mu penuh emosional, mebuat kita berfikir secara rasional...?

    ReplyDelete