Alhamdulillah Hari Raya tiba lagi. Bukan dam dam dum yang mengusik jiwa. Takbir, tahmid dan tahlil yang dilaungkan. Menyatakan kesyukuran kerana Berjaya menyempurnakan tuntutan Ramadhan selama sebulan. Kita telah berpuasa bermula dari anak bulan Ramadhan hingga anak bulan Syawal. Esok, Selasa 1 Syawal 1342H, kita merayakan kemenangan itu. Kemenangan kerana memegang amanah Allah. Menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Suatu tuntutan besar bagi ummah. Apatah lagi dalam keadaan kita yang terlalu dikepung dengan berbagai godaan dan cabaran mendirikan agama. Serangan membina agama yang semakin kuat dan rencam. Serangan yang datang dari segenap penjuru. Hanya iman yang menebal di dada dapat menangkis kesemuanya. Puasa dan Ramadhan menjadi banteng kukuh yang kejap agam menepis segala serangan itu.
Esok kita berhari raya. Ingatlah jalan lurus yang telah kita bina selama sebulan. Jangan bengkokkan pada hari esok. Jangan terperosok ke lubang dosa pada hari esok. Sayang jika kita gagal mengawal diri di awal Syawal. Jika Ramadhan dapat kita jinakkan diri tentu kita tiada masalah menjinakkan Syawal. Tepuk dada tanya iman. Tanya hati. Tanya Islam. Bila difikirkan dalam-dalam apalah sangat hari raya idul fitri. Ia adalah hari-hari biasa yang dirayakan. Dibesar-besarkan. Disambut dengan gah. Biar pape asalkan bergaye. Itu kata orang Peghak (Perak). Jangan. Banyak lagi agenda yang perlukan wang ringgit. Nak tambah rumah. Nak tambah tanah. Nak tambah ladang. Nak tambah saham. Nak besarkan perniagaan. Nak melabur. Nak kaya. Nak senang. Berjimatlah mang yang boleh. Elak jadi sahabat syaitan.
Orang muda barangkali kembang hatinya. Esok melaram sakan. Ke rumah bakal mak mertua. Bukan jumpa bakal bapa mertua tetai ingin sangat bertemu bakal isteri. Hari raya begini ringan kaki melangkah. Putar sahaja motor. Tekan sahaja minyak kereta. Jika tak jumpa pada hari raya pertama tidak ceria hari raya ini. Sabarlah. Hanya beberapa hari lagi. Paling lama sebulan dua. Bila sudah bersatu nanti terurailah segala simpulan hati. Tiada lagi yang perlu dipendam. Buku-buku yang terlerai. Simpulan yang terungkai. Hati yang berbunga dengan warna warni keindahannya. Segalannya amat bererti. Minta sahaja kiranya raya ini berpanjangan. Kekal panjang selama-lamanya. Akan dirayakan hati dan perasaan.
Bagi yang belum berpunya apalah nasib badan. Tercari-cari juga. Bukan senang untuk menemui yang berkenan di hati. Banyak senarai semak yang perlu diteliti. Kriteria yang berjela-jela mestilah diamati. Tanda-tanda yang perlu diperhati. Iyarat yang perlu direnung dengan hati. Dengan makrifat yang mendalam. Mencari pasangan bukan sekadar pilih dan ambil di tepi jalan. Ia perlukan pilihan yang menjangkau zaman. Perlukan sangat sesuai dan meyakinkan. Mudah-mudahan tidak terkena yang menyakitkan. Pasangan yang diharap untuk memenangkan kasih sayang dan bukan yang menghancurkannya. Yang menjaga hati dan bukan yang menyakiti.
Bagi yang tua hari raya sibuklah dengan anak cucu. Saban tahun cucu bertambah. Menantu bertambah. Keperluannya bertambah. Semuanya tidak pernah terfikir sewaktu bercinta dahulu. Mana sampai akal memikirkan bilangan anak. Banyaknhya cucu. Ragam mereka. Perbezaan mereka. Kehendak mereka. Perangai mereka. Lazimnya kita menunggu tanpa sedar bahawa kesemuanya akan tiba juga. Mungkin ramai yang tidak kesampaian untuk memikirkan urutan peristiwa datangnya babak-babak hidup berkeluarga. Dari seorang jadi berdua. Jadi bertiga dan berempat. Maka betambahlah ahli keluarga. Bila hari raya berhimpun kesemuanya. Kecuali seorang dua atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Bila sudah berkumpul ada-ada sahaja yang perlukan perhatian. Bekalan makan mesti dicukupkan. Alat prkakas di dapur dilengkapkan. Pinggan mangkuk di susunatur. Lantai dan tingkap dibersihkan. Dimop berhari-hari. Karpet di vakum. Kain baju digosok rapi. Segala perhiasan dipasang hias. Pedek kata menjelang hari raya keadaan persekitaran perlu tip-top dalam segala hal. Lengkap, sempurna, tersusun. Budaya kita begitu. Tiada yang perlu dikhuatiri. Cumanya perlu ada kesinambungan budaya yang tidak bercanggah dengan syariah. Yang seperti diperintahkan. Godaan syaitan terlalu banyak. Jenuh kita menepisnya. Menghalangnya
Kembalilah bertakbir. Berulang-ulang bertahlil. Berkali-kali bertahmid. Allah memerintahkan kita bersyukur dengan nikmatnya. Caranya bukan menyanyi. Bukan menari. Bukan membuat maksiat. Banyakkanlah berdoa. Berzikir. Mengingat Allah Yang Khaliq. Mendekatkan diri kepadaNya. Memohon keampunannya. Hadapkan hati sesungguhnya. Besarkan hati mencintaiNya. Hanya mereka yang dekat dengan Allah mendapat rahmatNya. Mudah-mudahan kita antara mereka yang Allah perkenan. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment