Tuesday, August 23, 2011

The Great American Outdoor Life

Rasanya masih baru lagi. Masa yang jumlahnya 26 tahun seperti sangat baru dilalui. Tahun 1985 yang penuh dramatik. Kejutan demi kejutan di negara Uncle Sam. Sudah berlalu seksa zahir batin kerana sejuknya winter. Musim bunga juga sudah berlalu. Musim hujan sudah berkurangan. Bunga-bunga yang dahulunya tidak diketahui pokoknya kini sudah di kenalpasti jenisnya. Dahannya. Rantingnya. Daunnya. Bunga-bunga yang dahulu itu sudah berputik. Sudah membesar. Sebentar lagi akan masak pula. Kecualilah memang pokok bunga jambangan. Kekal berbunga kerana itu fitrahnya. Tidak mungkin berbuah yang boleh dimakan kenyang. Atau dikomersilkan sebagai buah. Maka pada musim summer bunga-bunga yang berbagai warna dan jenis itu ditanam cantik bersusun, berbaris, berkelompok. Bergambarlah pelancong. Abadilah semuanya dalam album yang sesekali diulang lihat. Hanya yang dalam minda susah hilangnya. Selagi kewarasan masih ada, ingatan itu kuat tertancap. Melekat.

Summer bukan seperti di Malaysia. Kita take things for granted. Summer sepanjang masa. Tidak pernah beralih musim. Matahari sentiasa memancar. Panas dan terik. Kita selalu mengelaknya. Takut hitam. Kenapa? Orang suka yang putih. Yang hitam pasti kurang komersil. Jauh bezanya pemikiran kita. Orang Barat berpanas sesuka hati. Basking. Bermandi cahaya matahari. Suatu kebangaan apabila kulit mereka jadi gelap. Yang tergambar ialah you must have comeback from the sun. Sun tanned.  Kita berpayung takutkan panas.  Mereka sengaja bersidai di bawah cahaya matahari untuk merasa menjadi hitam. Sekurang-kurangnya gelap.  Suatu kegilaan pada musim panas. Pandanglah ke mana sekalipun aka nada orang yang terlentang dan tertiarap. Di padang memang tempat mereka menghurung. Malah di laman rumah. Di atas bumbung adalah pilihan tempat mereka.

Summer adalah musim orang keluar rumah. Tidak betah mereka di rumah. Banyak yang menggamit mereka di luar sana. Lazimnya pekerja mengambil cuti panjang. Summer adalah matahari. Cahayanya mesti dinikmati sama ada di tempat sendiri atau di tempat lain yang lebih santai. Maka laut, sungai, tasik, bukit dan gunung menjadi tarikan. Pada musim summer inilah mereka merancang. Mereka keluar rumah. Mereka ingin menikmati the great American outdoor life. Memang fakta bahawa USA itu luas. Padang rerumputnya meluas melaut. Saujana mata memandang. Bukit bukaunya menarik. Yang tinggi tetap diselaputi salji. Putih melepak. Memancar-mancar disirami cahaya matahari. Mendakinya berulang-ulang. Menjejaknya berkali-kali.

Keluarlah mereka untuk memancing di sungai dan tasik. Sivik mereka tinggi. Ikan kecil dilepaskan. Yang besar sahaja yang dibakar. Dipanggang. Dimakan kerana sedap barunya. Masih manis segar. Banyaklah rancangan memancing di TV. Teknik yang mesti dipelajari. Umpan-umpan palsu  banyak dijual. Joran memang terlalu banyak. Perkakas lain cukup memeningkan jika bukan kaki pancing. Mereka memancing sebagai hobi. Ada juga yang untuk memakan ikan yang dipancing. Tetapi memancing bukan suatu aktiviti tunggal. Hanya itu sahaja yang dibuat. Bersamanya mereka camping. Belajarlah teknik-teknik survival. Berenang. Hiking. Jungle tracking. Mountain climbing. Mungkin juga mengambil  kesempatan mengkaji flora dan fauna di sekeliling mereka. Menyatu dengan alam. Pendidikan alam sekitar at its best.

Outdoor life adalah suatu kemestian kepada orang barat. Dalam konteks ini saya sebutkan Amerika Syarikat. Yang kaya melancong jauh ke negara di bawah angin. Ada yang ke Eropah. Yang biasa dalam negara sahaja. Itupun terlalu banyak untuk dinikmati. Memang di negara maju segala-galanya difikirkan. Memberi nikmat menghuni negara. Kawasan sekecil mana sekalipun dicantikkan. Dibudayakan. Dipraktikkan. Nikmat cantik itu memanjang. Nikmat bersih juga memanjang. Nikmat bahagia itu memanjang. Entahlah. Mereka boleh memikirkan semua itu. Memang kosnya tinggi tetapi pulangannya cukup lumayan. Pelancong bertali arus. Bersama mereka ekonomi bergerak pantas. Minyak tentulah mengalir mengikut deras dan jauh perjalan kenderaan. Hotel, motel, inn semuanya penuh. Itu belum lagi recreational ground. Makanan. Pakaian. Hiburan. Barang mainan.

Sebenarnya lebih ramai rakyatnya yang menikmati alam yang terbentang luas ini. Malamnya mereka menikmati simbahan cahaya bintang. Langit yang cerah dan biru. Apatah lagi jika ada cahaya bulan. Itu belum jika ada komet melintas. Siangnya pula menikmati deruan angin. Bukan sepoi-sepoi bahasa. Memang kuat. Musim summer yang menyegarkan. Kepada mereka inilah masa recharging. Memulihkan ketumpulan berfikir. Melihat gunung ganang, bukit bukau, pepohon dan dedaunan memberikan ilham yang banyak. Memberi sumber tenaga dalaman.  Mencipta rasa puas, segar dan bahagia. Alam tanpa sempadan yang dinikmati. Jauh dari hiruk pikuk kota yang melemaskan. Yang merimaskan. Yang menjerut perasaan. Kadang-kadang mencengkam-cengkam.

Pada musim summer inilah segala macam rekreasi yang bermula pada musim bunga memuncak. Sukan lasak ada di mana-mana. Makanan melambak.  Buah dituai sebanyak-banyaknya. Memang boleh mati kekenyangan. Bayangkan di Misouri labu gergasi yang berpuluh tan beratnya. Mengangkatnya menggunakan crane. Musim buah inilah menjadi pesta. Dari epal terjadilah cedar. Belum lagi epal pie. Jusnya memang lumrah. Pesta pula memijak anggur. Benar. Wine yang paling mahal mungkin dipijak asalnya. Air bekas kaki itulah yang diperam lama. Ditahunkan. Diminum sebagai kebangaan. Begitu juga buah-buahan yang lain. Oren, peach, pear. Aduh! Banyaknya. Kadang-kadang saya membeli buah untuk anak-anak makan. Mungkin sudah terlalu banyak, yang dalam peti ais tidak berusik. Bila saya makan baru mereka makan. Nikmat memakan buah tidak seperti di sini. Semua buahnya manis kerana dipetik masak. Yang kita import tidak begitu kerana dipetik semasa mengkal lagi. Belum cukup masak.

Di bandar atau di kampung sama sahaja. Festive mood.  Hatta di mana-mana sekalipun mereka menikmati summer itu. Banyaklah pameran. Malamnya dancing through the night. Itu cara mereka. Muzik menjadi sumber keidupan. Inspirasi. Hari pula lebih panjang siang dari malamnya. Seharian mereka gilakan matahari. Malam pula pendek. Untuk hilangkan letih. Paginya awal. Malamnya nantilah 17 jam dari pagi. Semuanya untuk mereka nikmati tanpa batas. Sayangnya mereka tidak beriman. Jika tidak tentu banyak manfaat global yang lebih baik dapat mereka hamburkan. Bukan komersil semata-mata. Bukan hedonism semata-mata. Buka gila memanjang.

Kita juga harus kembali menikmati outdoor life. Hidup kita sudah terlalu lama dikongkong dengan tembok konkrit. Anak-anak kita sudah tidak mengenal hutan dan belukar. Tidak kenal tasik dan danau. Tidak kenal alur air dan sungai. Kemajuan telah menjadikan mereka terlalu asing dengan kehidupan datuk dan nenek mereka. Seolah-olahnya semua yang dilalui dahulu sudah tiada nilainya. Suatu kesilapan bila kita ingin kembali kepala alam. Mereka tidak memahami perlunya menjaga alam sekitar. Bukan dunia mereka. Hidup mereka dikelilingi mesin yang pada mereka memudahkan kehidupan. Mereka lupa asal usul mereka. Tidak dapat surut ke belakang. Tidak dapat mencari induk semang yang ditinggalkan. Mereka ke hadapan tetapi tidak dapat mencari tapak baru untuk menghuni. Kampung halaman hanya tinggal nama. Jatidirinya sudah tidak ada. Yang ada hanya makna-makna tanpa warna. Yang tua tinggal tuanya. Yang muda akan tua tetapi tapaknya berbeza.

No comments:

Post a Comment