Friday, September 2, 2011

Hati Seorang Lelaki


Siapa seorang lelaki? Yang pastinya ia seorang anak kepada sepasang suami dan isteri. Bayi yang lahir itu membesar menjadi kanak-kanak. Zamannya diwarnai alam sekelilingnya. Ada yang kondusif dan ada yang tidak. Ada yang penuh warnanya dan ada yang tidak. Ada yang memancar bahagia dan ada yang tidak. Masing-masing dengan alam yang melingkungi diri masing-masing. Kanak-kanak itu membesar dengan membawa segala yang dibekalkan semasa kanak-kanaknya. Menjadi remaja yang penuh dengan cabaran pancaroba. Rona-rona menggoda yang banyak. Bertuah bagi mereka yang pertahanan dirinya kuat. Selamat bagi mereka yang lingkungan hidupnya jauh dari keterbukaan godaan maksiat. Waktu inilah keranuman untuk belajar. Menimba ilmu seluas lautan yang tidak bertepi. Malangnya tidak ramai yang sampai ke tepian. Ramai yang lemas. Tenggelam. Hilang dan hanyut dalam arus hidup yang berbagai.

Bagi yang selamat bekerja pula membina kehidupan. Berkerja. Berkerjaya. Meniti dari tahap ke tahap. Membina kedewasaan. Membina kematangan. Membina kebijaksanaan. Beruntunglah anak-anak yang terang cahaya hidupnya. Berada dalam naungan ibu bapa yang membahagiakan. Yang bimbingannya selalu menyuluh ke hadapan. Anak itu pula jalannya soleh. Lurus bak sirat al-mustaqim. Usia yang meningkat lazimnya sinonim dengan kematangan. Kedewasaan. Kebijaksanaan. Namun tidak semuanya begitu. Ada juga anak-anak yang tidak menjadi. Yang jalannya bengkok tidak mencari lurus. Diberi cahaya yang dipadamkan. Kekal meraba-raba dalam gelap. Pandangannya tertutup sentiasa. Padanya dalam gelap itu dia nampak cahaya kemilau yang kaca semata-mata. Intan yang bergemerlapan tidak pernah dinilai tinggi. Malah kadang-kadang intan itu dibuang-buang tiada gunanya.

Fitrah manusia mahunya berumahtangga. Mencari mawaddah. Keindahan berkeluarga. Membiakkan zuriat penyambung warisan keluarga.  Maka jadilah lelaki itu bernama suami. Dari anak menjadi suami bukan ada kursus professionalism. Lelaki hanya melihat dan mendengar. Memahami tetapi tanpa banyak mengerti. Lalu apabila dia menjadi suami dia hanya ingat apa yang bapanya telah berperanan. Apa yang dilihat pada jirannya. Pada keluarganya. Pada masyarakat keseluruhannya. Malangnya menjadi suami dan bapa bukan nalurinya selalu benar. Kesempatan untuk belajar menjadi suami dan bapa yang baik dan hak  jarang diambilkira. Jarang belajar dari yang arif. Yang sudah berbelas orang anak yang dijayakan hidupnya. Model-model kejayaan jarang yang dirujuk.  Ramai pula bapa yang tidak pernah mahu memahami hakikat bahawa  anak-anak mereka semakin membesar. Akal budinya perlu dibentuk. Inteleknya perlu dipupuk.

Suami peranannya besar. Bapa peranannya besar. Dua peranan ini cukup mencabar lelaki. Namun lazimnya lelaki cukup tenang menghadapi keadaan. Walaupun ramai lelaki yang selalu hilang sabar, masih ramai yang boleh diharap lagi. Yang masih menjadi suami dan bapa sejati. Bahunya sentiasa berat menanggung tanggungjawab besar amanah Allah ini. Benarkah lelaki tiada perasaan. Rasanya lelaki juga seperti manusia lain. Ada kekuatan dan kelemahannya. Mungkin egonya kuat bertahan dalam banyak hal. Wajahnya tiada riak dalam hal yang remeh temeh. Hal-hal yang tidak menggugat keselamatan keluarga atau negara. Dia lebih condong memikirkan hal yang berat. Yang serius. Yang besar impaknya. Yang konsekuennya perlu dielakkan.  Fikirnya banyak. Lambat memulakan tindakan. Bukan melengah-lengahkannya tetapi memilih alternatif terbaik.

 Benarkah lelaki buta perasaan? Tiada naluri sendu? Begitulah yang dilihat secara fizikal. Luaran yang selalu disalah tafsir. Yang selalu dipandang dengan penuh kesangsian. Kecurigaan yang sengaja dipanjang-panjangkan. Lelaki selalu disalah erti. Tanyalah suami. Hatinya selalu remuk bila dirinaya tidak dapat membahagiakan isteri yang dicintai. Jiwanya luluh bila orang kesayangannya tidak berada dalam kesejahteraan. Mampunya setakat itu. Rezekinya semampu itu. Kudratnya tercatu beku. Benteng airmatanya selalu pecah kerana sebak di dalam yang menggoncang dada sempit yang sesak menahan gelora keterbatasan diri. Gunung yang hendak didakap. Apakan daya tangan tak pernah sampai walaupun dipanjangkan kedua-duanya. Suami juga ada perasaan untuk memberi yang terbaik untuk orang-orang yang dicintainya.  Pernyataannya sahaja selalu tidak lahir dengan nyata. Isteri sahaja yang perlu bijak mentafsir apa yang dilihat dan didengar. Tidak mungkin suaminya tidak memberi riak kasih. Ombak sayang. Gelombang rindu. Angin sapaan dalaman yang halus dan penuh isyarat bermakna.

Kasih ibu katanya membawa ke syurga. Kasih bapa pula berkorban nyawa. Seluruh hidupnya hanya untuk keluarganya. Membina kebahagiaan sejagat yang lamanya malar sepanjang usia zaman. Tawa dan senyum yang meriangkan isteri dan anak-anak. Memanusiakan mereka untuk menjadi warga dunia yang berguna. Berwawasan untuk umatnya. Melihat jauh ke hadapan untuk memberikan yang terbaik untuk kemanusiaan sejagat. Tugasnya berat untuk membina warisan keluarga. Yang diinginkan ialah kebahagiaan untuk anak-anak dan cucu cicitnya. Sewaktu dia menerima nikah seorang isteri dahulu telah tergalas tanggungjawab itu.  Bahawa di bahunya itulah nilai-nilai kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan keluarganya. Ia menerima dengan penuh tanggungjawab dari bapa mertuanya. Wali isterinya yang memindahkan tanggungjawab isteri itu kepadanya.

Seorang bapa menyerahkan anak-anak perempuannya kepada lelaki yang diharapkan penuh tanggungjawabnya. Mengambil alih tugasnya untuk terus merencanakan membahagiakan puteri-puteri kesayanganya itu. Sewaktu ia menyerahkan anak-anaknya kepada seorang suami maka terputuslah haknya seketika. Ada orang lain yang mengambil alih. Doanya penuh debar. Harapannya menggunung tinggi. Semoga Allah membahagiakan anaknya di samping suami masing-masing. Ia hanya mampu melihat luarannya. Fizikalnya seperti yang dipamerkan. Jarang ia dapat menangkap yang tersirat. Namun naluri halus seorang bapa juga ada di mana-mana. Menangkap tanda-tanda kilauan yang tidak mengena. Pancaran-pancaran yang tidak menyuluh. Terang yang selalu terlindung. Jalan yang selalu nampak banyak likunya.

Lelaki juga selalu kecundang dengan perasaannya. Tangisnya tidak menyendu. Airmatanya tidak selalu membasahi. Sendunya tidak berbunyi. Namun di kala menyendiri matanya penuh sarat menggenang air. Memberat bersama sebak di dada. Membengkak dan membuku di dalam. Yang terakam mungkin keluhan dan hembusan nafas berat. Yang sarat dengan beratnya perasaaan. Lelaki itu gagah dan agam diri luarannya. Hatinya lembut juga. Perasaanya mudah tersentuh sayu mendayu bila ada yang menyentuh perasaannya. Jiwanya mudah rapuh. Cuma lelaki banyak bertahan untuk mengimbangi keadaan. Dia adalah simbul lelaki. Gagah. Kuat. Teguh. Sabar. Panjang akalnya. Maka pada kebanyakan masa  dia berlakon. Dia menyamar. Dia melakonkan watak lelaki. Watak suami. Watak bapa.

Pada kebanyakan masa seorang suami terlalu sunyi hidupmya kerana tuntutan bahwa ia perlu bersendirian. Semuanya dituntut beres. Seorang bapa lebih banyak sunyinya kerana anak-anak mengharap kebapaannya. Itulah lelaki yang selalu disalah erti. Dunianya sunyi. Dunianya sepi. Dunianya kosong. Isteri dan anak-anak yang mengerti yang dapat memenuhi  ruang-ruang kosong dalaman dirinya. Berat tanggungan hatinya bila ada di sekelilingnya yang tidak beres. Tidak membahagiakan. Tidak mencapai tahap kualiti kesejahteraan. Apakan daya, dia lelaki. Banyak keterbatasan yang selalu tidak diketahui setakat mana. Bukanlah malang menjadi lelaki. Tetapi jika pengertian ini diberi, penilaian diwajarkan, peluang dan ruang diberikan barangkali lelaki boleh menjadi lelaki yang memang lelaki.

Wednesday, August 31, 2011

Harapan Dan Kebimbangan

Hidup ini penuh dengan ketidaktentuan. Hak  yang mutlak  hanya milik Allah. Ketentuan itu sesungguhnya hanya dariNya sahaja. Manusia merancang, Allah merancang, perancangan Allah jua yang lebih baik. Selamanya lebih baik. Lebih baik itu hak Allah. Tuhan semesta alam. Yang Maha Pencipta. Yang memiliki segala sesuatu. Yang di bumi. Yang di langit. Dan yang di antara keduanya. Sesunggunya jin dan manusia diciptakan Allah semata-mata untuk beibadat kepadaNya.  Untuk mengabdikan diri kepadaNya. Untuk mencari redhaNya. Kesemuanya dilakukan keranaNya. UntukNya. Tanpa Allah mencipta kita, kita tiada. Allah mencipta kita ada misi dan visi yang mesti kita laksanakan. Yang wajib kita lakukan. Jika tidak kita hanyalah menjadi makhluk yang lebih hina dari sampah. Yang hanya layak untuk menerima azab Allah. Kita dikurniakan akal tetapi kita menzalimi diri kita sendiri dengan tidak menggunakan akal. Segala-galanya akan ditarik balik. Mungkin secara sedar. Mungkin melalui proses yang panjang. Mungkin secara mendadak. Segera. Semerta. Mungkin juga tanpa kita sedari.

Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk  kita. Keberuntungan yang besar ertinya. Yang menggunung pahala dan ganjarannya.  Jasad kita milik Allah. Minda kita milik Allah. Perasaan kita milik Allah. Hati kita milik Allah. Sesiapa yang cintakan Allah maka Allah pasti lebih mencintainya. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pasti Allah datang kepadanya  dengan cepat. Dengan pantas. Lebih mendekat dari yang kita sangka. Setalah beriman kepada Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari qiamat, qada’ dan qadar maka kita serahkan diri kita kepada Allah. Segala landasan Allah yang kita lalui. Kita gunakan landasan syariah untuk nanti kembali kepadaNya. Dan jalan itu semakin hampir setiap saat. Hampir ke penghujungnya. Dalam hal ini kita lupa hakikat. Dunia ini hanya pinjaman. Hanya untuk singgah sementara. Di hadapan sana ada perjalanan yang panjang. Ada destinasi terakhir yang akan dituju. Moga-moga nikmat itu datang di sisi Allah.

Qada’dan qadar yang Allah berikan kepada kita tentulah dengan perkiraan Allah Yang Maha Bijaksana. Sesungguhnya Allah tidak membebankan manusia dengan hal-hal yang tidak selayaknya kepada manusia pilihannya. Semuanya adalah ujian yang berat tetapi dapat ditanggung dengan faculti yang ada pada manusia itu. Mengetahui hakikat ini akan meringankan perasaan berat dan sebal. Gundah gelana. Bimbang dan ragu. Keresahan. Kerisauan. Cengkaman rasa hati yang memeritkan. Yang berbuku dan sukar diurai. Harapan selalu berbunga dalam hati kita. Menunggu keindahan-keindahan yang diimpikan. Yang dicita-citakan. Yang diidam-idamkan. Yang azamkan. Yang selalu didoakan. Diharap-harap rahmat Allah. InayahNya. Kasih sayangNya.

Harapan kita selalu pada yang baik. Yang luhur. Yang memberi kegembiraan. Yang mendamaikan hati. Menenangkan perasaan. Menstabilkan psikologi. Mengembangkan akal fikiran. Dalam kamus diri, kita selalu menyisihkan hal-hal musibah yang kadang-kadang datang. Yang selalu memberikan kebimbangan yang merawan-rawan datangnya. Harapan kita tinggi. Mengharap kebaikan warna-warni kehidupan yang bergaya. Gemerlapan dengan cahaya kebaikan. Pancawarna bersinar yang memberi kepuasan. Membina harapan tinggi yang menggunung dan menjulang awan. Semuanya diharap yang baik-baik belaka. Yang positif. Yang akhirnya memberikan cahaya kebahagiaan yang mampan. Yang memberikan keindahan kehidupan. Harapan untuk lebih cerah ke akhirat. Ke raudatul jannah.

Namun sebagai manusia kita sentiasa diuji. Ujian yang jika mampu dihadapi pasti memberi kesempatan kebahagiaan yang selalu elusif dari kita. Ujian yang diharaf dapat memartabatkan diri. Memberi kemuliaan diri. Mengangkat darjat kemanusiaan. Darjat muslim atau muslimah. Darjat khalifah yang sudah dipertanggungjawabkan kepada kita. Datang juga kekesalan yang menghiris qalbu. Kesebalan yang mendalam lautan dasar hati. Lalu membentuk kesugulan yang menikam-nikam di dalam.  Allahuakbar. Genangan mata yang mahu dihambur membasah pipi. Sesaknya di dada dengan sarang duka yang menerawang luas tanpa tepi dan haluan. Terkapai-kapai mencari tepian yang jauh dilantun ombak kehidupan yang menjauh. Hanya ada dua pilihan besar. Kita selamat kerana usaha dan diselamatkan. Atau lemas dihukum kejahilan dan kedegilan. Kesemuanya kerana gagal mengawal diri dan perasaan. Gagal menempatkan diri di persada nikmat yang selalu ada di hadapan mata. Kita tertipu dengan kilauan kaca tanpa warna. Tanpa makna. Tanpa apa-apa. Hanya kilauan yang mempesona tetapi tiada erti.

Itulah gunanya akal. Dipanjang-panjangkan. Dicanai dan diperah manfaat berfikir. Didisiplinkan supaya panjangnya bukan sejengkal. Bukan sedalam lautan. Bukan setinggi gunung. Akal yang bermanfaat tetap mensejahterakan diri dan perasaan. Minda dan  akal budi perlu diguna untuk kembali ke pangkal jalan bila sesat. Bila terlanjur. Bila terperosok ke lembah yang jauh menghina. Kembali mengkoreksi diri kerana terbabas dari landasan benar. Kerana gagal memilih yang hak dan yang terbaik. Memilih bukan dengan akal tetapi dengan nafsu. Membuat keputusan dengan jalan yang bukan syariah. Apapun pilihan yang ada di hadapan kita, nilailah dengan akal budi. Dengan minda terbuka. Banyak membaca. Banyak bertanya. Banyak memikir. Akhirnya rujuk syariah. Patuhlah kepada ketentuan syariah kerana itu sahaja pilihan yang diredhai Allah. Pilihan lain hanya ditakuti menuju kesesatan sahaja. Iblis dan syaitan ingin benar kita terjerumjus ke lembah kehinaan. Untuk nanti ditertawakan dan diperlekeh kerana kebodohan diri sendiri mengikuti saranan keduanya.

Untuk menggunakan akal budi harus banyak muasabah diri. Memohon kepada Allah jalan pemikiran yang hak. Yang menuju kebaikan. Tetapi doa mestilah diiringi dengan usaha berterusan. Perancangan yang sentiasa disemak dan dipantau. Penilaian dari tahap ke tahap untuk kebaikan. Mencari redha Allah. Barakah yang dipinta selalu. Usaha yang dirancang perlu pula disertai dengan berbagai bentuk disiplin. Peraturan yang wajar. Undang-undang. Dasar dan strategi yang mencari kebenaran. Jalan pilihan memang banyak. Yang hak hanya satu. Jalan yang berlandaskan syariat Allah. Tiada yang lain. Allah memberi ruang. Pilihlah yang lain tetapi Allah berjanji bahawa pilihan selain pilinNya adalah terbatal. Kita akan kembali kepadaNya. Dan janji Allah itu benar.  Kita kembali kepadaNya untuk menerim balasan yang setimpal. Jika pilihan yang hak pahala dan syurga ganjarannya. Pilihan yang lain adalah azab konsekuennya.

 Kita selalu mengharapkan yang terbaik. Yang terindah. Yang bergemerlapan. Yang cahayanya dinikmati oleh orang lain. Dikonsi oleh keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan teman-teman. Kebahagiaan yang dilihat dan dirasa. Yang dilimpahkan keluar. Yang disebarkan melalui angin dan iklim masa dan tempat. Biar warnanya mewarnai. Biar baunya menyegarkan. Biar segarnya membahagiakan. Biar damainya mendamaikan.  Biar amannya mengimbau-imbau perasaan. Nun jauh di sudut hati siapalah yang tidak mengharapkan kebahagiaan dan kedamaian. Doa selalu dipanjatkan agar Allah menganugerahkan keindahan kehidupan. Keindahan berkeluarga. Keindahan berkerjaya. Keindahan bermasyarakat. Keindaan hakikat hidup yang sebenarnya.  Ya Allah hanya padamu segalanya dikebalikan. Hanya Engkau yang memberi kasih sayangMu tanpa batas. Tanpa syarat. Engkau yang memberi keampunan. Ampunilah diriku. Diri isteriku. Ana-anakku. Cucu-cucuku. Semua salsilah keturunanku. Hanya padaMu aku mengharap. Berilah aku kekuatan. Berilah aku perisiaiMu bagi menghadapi segala cubaan. Hanya padaMu ya Allah aku serahkan segalanya.

Sekali kita salah langkah, surutlah ke belakang dengan banyak langkah. Betulkan semula haluan. Laut tetap terbentang luas. Terpulanglah kepada kita. Dayung atau kayuh. Renang atau ke tepian. Mudah-mudahan tidak hanyut tanpa tepi untuk dituju. Apa-apa tidak datang sekelip mata. Tiada jayanya dalam sebentar jangkamasa. Mulakan dengan tekad dan niat. Usaha dan perancangan. Orang ingin melihat apa yang kita mulakan. Ke mana arah yang kita haluankan. Kesungguhan yang dipamerkan. Pelan tindakan yang nampak kejelasannya. Menghapus keraguan yang datang. Semoga Allah merahmati dan memberkati. InsyaAllah.   

Monday, August 29, 2011

Hari Raya Menjelang Lagi

Alhamdulillah Hari Raya tiba lagi. Bukan dam dam dum yang mengusik jiwa. Takbir, tahmid dan tahlil yang dilaungkan. Menyatakan kesyukuran kerana Berjaya menyempurnakan tuntutan Ramadhan selama sebulan. Kita telah berpuasa bermula dari anak bulan Ramadhan hingga anak bulan Syawal. Esok, Selasa 1 Syawal 1342H, kita merayakan kemenangan itu. Kemenangan kerana memegang amanah Allah. Menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Suatu tuntutan besar bagi ummah. Apatah lagi dalam keadaan kita yang terlalu dikepung dengan berbagai godaan dan cabaran mendirikan agama. Serangan membina agama yang semakin kuat dan rencam. Serangan yang datang dari segenap penjuru. Hanya iman yang menebal di dada dapat menangkis kesemuanya. Puasa dan Ramadhan menjadi banteng kukuh yang kejap agam menepis segala serangan itu.

Esok kita berhari raya. Ingatlah jalan lurus yang telah kita bina selama sebulan. Jangan bengkokkan pada hari esok. Jangan terperosok ke lubang dosa pada hari esok. Sayang jika kita gagal mengawal diri di awal Syawal. Jika Ramadhan dapat kita jinakkan diri tentu kita tiada masalah menjinakkan Syawal. Tepuk dada tanya iman. Tanya hati. Tanya Islam. Bila difikirkan dalam-dalam apalah sangat hari raya idul fitri. Ia adalah hari-hari biasa yang dirayakan. Dibesar-besarkan. Disambut dengan gah.  Biar pape asalkan bergaye. Itu kata orang Peghak (Perak). Jangan. Banyak lagi agenda yang perlukan wang ringgit. Nak tambah rumah. Nak tambah tanah. Nak tambah ladang. Nak tambah saham. Nak besarkan perniagaan. Nak melabur. Nak kaya. Nak senang. Berjimatlah mang yang boleh. Elak jadi sahabat syaitan.

Orang muda barangkali kembang hatinya. Esok melaram sakan. Ke rumah bakal mak mertua. Bukan jumpa bakal bapa mertua tetai ingin sangat bertemu bakal isteri. Hari raya begini ringan kaki melangkah. Putar sahaja motor. Tekan sahaja minyak kereta. Jika tak jumpa pada hari raya pertama tidak ceria hari raya ini. Sabarlah. Hanya beberapa hari lagi. Paling lama sebulan dua. Bila sudah bersatu nanti terurailah segala simpulan hati. Tiada lagi yang perlu dipendam. Buku-buku yang terlerai. Simpulan yang terungkai. Hati yang berbunga dengan warna warni keindahannya. Segalannya amat bererti. Minta sahaja kiranya raya ini berpanjangan. Kekal panjang selama-lamanya. Akan dirayakan hati dan perasaan.

Bagi yang belum berpunya apalah nasib badan. Tercari-cari juga. Bukan senang untuk menemui yang berkenan di hati. Banyak senarai semak yang perlu diteliti. Kriteria yang berjela-jela mestilah diamati.  Tanda-tanda yang perlu diperhati. Iyarat yang perlu direnung dengan hati. Dengan makrifat yang mendalam. Mencari pasangan bukan sekadar pilih dan ambil di tepi jalan. Ia perlukan pilihan yang menjangkau zaman. Perlukan sangat sesuai dan meyakinkan. Mudah-mudahan tidak terkena yang menyakitkan. Pasangan yang diharap untuk memenangkan kasih sayang dan bukan yang menghancurkannya. Yang menjaga hati dan bukan yang menyakiti.

Bagi yang tua hari raya sibuklah dengan anak cucu. Saban tahun cucu bertambah. Menantu bertambah. Keperluannya bertambah. Semuanya tidak pernah terfikir sewaktu bercinta dahulu. Mana sampai akal memikirkan bilangan anak. Banyaknhya cucu. Ragam mereka. Perbezaan mereka. Kehendak mereka. Perangai mereka. Lazimnya kita menunggu tanpa sedar bahawa kesemuanya akan tiba juga.  Mungkin ramai yang tidak kesampaian untuk memikirkan urutan peristiwa datangnya babak-babak hidup berkeluarga. Dari seorang jadi berdua. Jadi bertiga dan berempat. Maka betambahlah ahli keluarga. Bila hari raya berhimpun kesemuanya. Kecuali seorang dua atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bila sudah berkumpul ada-ada sahaja yang perlukan perhatian. Bekalan makan mesti dicukupkan. Alat prkakas di dapur dilengkapkan. Pinggan mangkuk di susunatur. Lantai dan tingkap dibersihkan. Dimop berhari-hari. Karpet di vakum. Kain baju digosok rapi. Segala perhiasan dipasang hias. Pedek kata menjelang hari raya keadaan persekitaran perlu tip-top dalam segala hal. Lengkap, sempurna, tersusun. Budaya kita begitu. Tiada yang perlu dikhuatiri.   Cumanya perlu ada kesinambungan budaya yang tidak bercanggah dengan syariah. Yang seperti diperintahkan. Godaan syaitan terlalu banyak. Jenuh kita menepisnya. Menghalangnya

Kembalilah bertakbir. Berulang-ulang bertahlil. Berkali-kali bertahmid. Allah memerintahkan kita bersyukur dengan nikmatnya. Caranya bukan menyanyi. Bukan menari. Bukan membuat maksiat.  Banyakkanlah berdoa.  Berzikir. Mengingat Allah Yang Khaliq. Mendekatkan diri kepadaNya. Memohon keampunannya.  Hadapkan hati sesungguhnya. Besarkan hati mencintaiNya. Hanya mereka yang dekat dengan Allah mendapat rahmatNya. Mudah-mudahan kita antara mereka yang Allah perkenan. InsyaAllah.

Tuesday, August 23, 2011

The Great American Outdoor Life

Rasanya masih baru lagi. Masa yang jumlahnya 26 tahun seperti sangat baru dilalui. Tahun 1985 yang penuh dramatik. Kejutan demi kejutan di negara Uncle Sam. Sudah berlalu seksa zahir batin kerana sejuknya winter. Musim bunga juga sudah berlalu. Musim hujan sudah berkurangan. Bunga-bunga yang dahulunya tidak diketahui pokoknya kini sudah di kenalpasti jenisnya. Dahannya. Rantingnya. Daunnya. Bunga-bunga yang dahulu itu sudah berputik. Sudah membesar. Sebentar lagi akan masak pula. Kecualilah memang pokok bunga jambangan. Kekal berbunga kerana itu fitrahnya. Tidak mungkin berbuah yang boleh dimakan kenyang. Atau dikomersilkan sebagai buah. Maka pada musim summer bunga-bunga yang berbagai warna dan jenis itu ditanam cantik bersusun, berbaris, berkelompok. Bergambarlah pelancong. Abadilah semuanya dalam album yang sesekali diulang lihat. Hanya yang dalam minda susah hilangnya. Selagi kewarasan masih ada, ingatan itu kuat tertancap. Melekat.

Summer bukan seperti di Malaysia. Kita take things for granted. Summer sepanjang masa. Tidak pernah beralih musim. Matahari sentiasa memancar. Panas dan terik. Kita selalu mengelaknya. Takut hitam. Kenapa? Orang suka yang putih. Yang hitam pasti kurang komersil. Jauh bezanya pemikiran kita. Orang Barat berpanas sesuka hati. Basking. Bermandi cahaya matahari. Suatu kebangaan apabila kulit mereka jadi gelap. Yang tergambar ialah you must have comeback from the sun. Sun tanned.  Kita berpayung takutkan panas.  Mereka sengaja bersidai di bawah cahaya matahari untuk merasa menjadi hitam. Sekurang-kurangnya gelap.  Suatu kegilaan pada musim panas. Pandanglah ke mana sekalipun aka nada orang yang terlentang dan tertiarap. Di padang memang tempat mereka menghurung. Malah di laman rumah. Di atas bumbung adalah pilihan tempat mereka.

Summer adalah musim orang keluar rumah. Tidak betah mereka di rumah. Banyak yang menggamit mereka di luar sana. Lazimnya pekerja mengambil cuti panjang. Summer adalah matahari. Cahayanya mesti dinikmati sama ada di tempat sendiri atau di tempat lain yang lebih santai. Maka laut, sungai, tasik, bukit dan gunung menjadi tarikan. Pada musim summer inilah mereka merancang. Mereka keluar rumah. Mereka ingin menikmati the great American outdoor life. Memang fakta bahawa USA itu luas. Padang rerumputnya meluas melaut. Saujana mata memandang. Bukit bukaunya menarik. Yang tinggi tetap diselaputi salji. Putih melepak. Memancar-mancar disirami cahaya matahari. Mendakinya berulang-ulang. Menjejaknya berkali-kali.

Keluarlah mereka untuk memancing di sungai dan tasik. Sivik mereka tinggi. Ikan kecil dilepaskan. Yang besar sahaja yang dibakar. Dipanggang. Dimakan kerana sedap barunya. Masih manis segar. Banyaklah rancangan memancing di TV. Teknik yang mesti dipelajari. Umpan-umpan palsu  banyak dijual. Joran memang terlalu banyak. Perkakas lain cukup memeningkan jika bukan kaki pancing. Mereka memancing sebagai hobi. Ada juga yang untuk memakan ikan yang dipancing. Tetapi memancing bukan suatu aktiviti tunggal. Hanya itu sahaja yang dibuat. Bersamanya mereka camping. Belajarlah teknik-teknik survival. Berenang. Hiking. Jungle tracking. Mountain climbing. Mungkin juga mengambil  kesempatan mengkaji flora dan fauna di sekeliling mereka. Menyatu dengan alam. Pendidikan alam sekitar at its best.

Outdoor life adalah suatu kemestian kepada orang barat. Dalam konteks ini saya sebutkan Amerika Syarikat. Yang kaya melancong jauh ke negara di bawah angin. Ada yang ke Eropah. Yang biasa dalam negara sahaja. Itupun terlalu banyak untuk dinikmati. Memang di negara maju segala-galanya difikirkan. Memberi nikmat menghuni negara. Kawasan sekecil mana sekalipun dicantikkan. Dibudayakan. Dipraktikkan. Nikmat cantik itu memanjang. Nikmat bersih juga memanjang. Nikmat bahagia itu memanjang. Entahlah. Mereka boleh memikirkan semua itu. Memang kosnya tinggi tetapi pulangannya cukup lumayan. Pelancong bertali arus. Bersama mereka ekonomi bergerak pantas. Minyak tentulah mengalir mengikut deras dan jauh perjalan kenderaan. Hotel, motel, inn semuanya penuh. Itu belum lagi recreational ground. Makanan. Pakaian. Hiburan. Barang mainan.

Sebenarnya lebih ramai rakyatnya yang menikmati alam yang terbentang luas ini. Malamnya mereka menikmati simbahan cahaya bintang. Langit yang cerah dan biru. Apatah lagi jika ada cahaya bulan. Itu belum jika ada komet melintas. Siangnya pula menikmati deruan angin. Bukan sepoi-sepoi bahasa. Memang kuat. Musim summer yang menyegarkan. Kepada mereka inilah masa recharging. Memulihkan ketumpulan berfikir. Melihat gunung ganang, bukit bukau, pepohon dan dedaunan memberikan ilham yang banyak. Memberi sumber tenaga dalaman.  Mencipta rasa puas, segar dan bahagia. Alam tanpa sempadan yang dinikmati. Jauh dari hiruk pikuk kota yang melemaskan. Yang merimaskan. Yang menjerut perasaan. Kadang-kadang mencengkam-cengkam.

Pada musim summer inilah segala macam rekreasi yang bermula pada musim bunga memuncak. Sukan lasak ada di mana-mana. Makanan melambak.  Buah dituai sebanyak-banyaknya. Memang boleh mati kekenyangan. Bayangkan di Misouri labu gergasi yang berpuluh tan beratnya. Mengangkatnya menggunakan crane. Musim buah inilah menjadi pesta. Dari epal terjadilah cedar. Belum lagi epal pie. Jusnya memang lumrah. Pesta pula memijak anggur. Benar. Wine yang paling mahal mungkin dipijak asalnya. Air bekas kaki itulah yang diperam lama. Ditahunkan. Diminum sebagai kebangaan. Begitu juga buah-buahan yang lain. Oren, peach, pear. Aduh! Banyaknya. Kadang-kadang saya membeli buah untuk anak-anak makan. Mungkin sudah terlalu banyak, yang dalam peti ais tidak berusik. Bila saya makan baru mereka makan. Nikmat memakan buah tidak seperti di sini. Semua buahnya manis kerana dipetik masak. Yang kita import tidak begitu kerana dipetik semasa mengkal lagi. Belum cukup masak.

Di bandar atau di kampung sama sahaja. Festive mood.  Hatta di mana-mana sekalipun mereka menikmati summer itu. Banyaklah pameran. Malamnya dancing through the night. Itu cara mereka. Muzik menjadi sumber keidupan. Inspirasi. Hari pula lebih panjang siang dari malamnya. Seharian mereka gilakan matahari. Malam pula pendek. Untuk hilangkan letih. Paginya awal. Malamnya nantilah 17 jam dari pagi. Semuanya untuk mereka nikmati tanpa batas. Sayangnya mereka tidak beriman. Jika tidak tentu banyak manfaat global yang lebih baik dapat mereka hamburkan. Bukan komersil semata-mata. Bukan hedonism semata-mata. Buka gila memanjang.

Kita juga harus kembali menikmati outdoor life. Hidup kita sudah terlalu lama dikongkong dengan tembok konkrit. Anak-anak kita sudah tidak mengenal hutan dan belukar. Tidak kenal tasik dan danau. Tidak kenal alur air dan sungai. Kemajuan telah menjadikan mereka terlalu asing dengan kehidupan datuk dan nenek mereka. Seolah-olahnya semua yang dilalui dahulu sudah tiada nilainya. Suatu kesilapan bila kita ingin kembali kepala alam. Mereka tidak memahami perlunya menjaga alam sekitar. Bukan dunia mereka. Hidup mereka dikelilingi mesin yang pada mereka memudahkan kehidupan. Mereka lupa asal usul mereka. Tidak dapat surut ke belakang. Tidak dapat mencari induk semang yang ditinggalkan. Mereka ke hadapan tetapi tidak dapat mencari tapak baru untuk menghuni. Kampung halaman hanya tinggal nama. Jatidirinya sudah tidak ada. Yang ada hanya makna-makna tanpa warna. Yang tua tinggal tuanya. Yang muda akan tua tetapi tapaknya berbeza.

Berhari Raya Atau Berhibur Raya


Mana satu antara keduanya pilihan tuan? Orang Melayu Islam sinonim dengan hari raya.  Kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya hari raya itu. Islam itu benar. Raya itu benar. Tetapi bagaimana kita meraikannya. Hari raya sudah terlalu komersil. Para ulamak jenuh menegur di sana menegur di sini. Hari raya adalah upacara agama. Upacara Islam. Ianya bukan sebarangan upacara. Ianya bukan pesta. Bukan suka-suka. Malanglah jika kita hilang cahaya dan arah yang benar. Malang lagi jika kita memilih gelap yang diselaputi terang. Terang yang sebenarnya menggelap hati. Menghitamkan qalbu. Menumpulkan perasaan. Yang mencalar minda.

Kita masih berpuasa lagi sekarang ini. Ada beberapa hari lagi. Mengikut perkiraan falak hanya ada enam hari termasuk hari ini Rabu 24 Ogos 2011. Kita djangka berhari raya setelah berpuasa 29 hari. 29 atau 30 bukan isunya. Yang pentingnya anak bulan Syawal mungkin dilihat pada petang Isnin. Atau pada perkiraan yang disepakati benar bahawa anak bulan berada diufuk yang boleh diterima. Saiznya. Tingginya dari ufuk. Maka jika perkiraan itu benar hari Selasa kita akan berhari raya. Apa yang digambarkan dalam kepala? Makan? Tidur? Menonton wayang? Bersembang? Bertandang ke rumah saudara mara? Ke rumah kawan? Atau menonton TV selama 24 jam? Putarlah rangaian mana sekalipun akan ada hiburan, hiburan dan hiburan. Beringatlah agama bukan hiburan. Hedonism memusnahkan barakah hari raya.

Di mana kita setelah berpuasa selama sebulan? Lapar dan dahaga itu untuk apa? Ikut-ikutan? Yalah. Orang puasa kita puasa. Orang suruh puasa kita puasa. Semua orang tidak makan maka kita berpuasa. Sudahkah mencari nasnya? Sudahkah memahami dalilnya? Mana ayat al-Qurannya? Mana hadithnya? Mana rukun dan wajibnya? Mana sunat-sunatnya? Mana makruhnya? Mana haramnya?   Ibadat mestilah dengan ilmu. Tidak boleh sekadar taqlid sahaja. Ikut apa orang buat. Takut nanti sia-sia sahaja. Ibadat tanpa ilmu seperti perahu di lautan tanpa pengayuh. Tanpa kompas. Tanpa arah dan panduan. Tidak boleh berserah kepada nasib sahaja. Mesti ada usaha yang bersamanya ilmu. Itulah asas apapun perbuatan yang namanya amal. Yang namanya ibadat.

Dalam Ramadhan kita berusaha sebaiknya untuk menyempurnakan semua tuntutan yang berkaitan. Niatnya. Sahurnya. Solatnya. Tarawihnya. Witirnya. Doanya. Al-Qurannya. Sedekahnya. Zakatnya. Zakat fitrahnya. Itu belum baju baru. Kuih muih. Perhiasan rumah. Ucapan-ucapan hari raya. Setakat ini nampak syahdu juga. Hanya persediaan menjelang hari raya. Belum raya lagi. Berangan-angan lagi. Mudah-mudahan dalam doa yang panjang. Menjelanglah hendaknya hari raya. Bila tiba saatnya apa yang sebenarnya kita rungkaikan? Apa yang kita lakukan untuk merayakannya? Benar-benar berhari raya seperti istilahnya? Lupa semuanya. Lupa Islamnya. Lupa agamanya. Lupa imannya. Lupa etika dan tatasusila.

Hari raya adalah suatu menifestasi perayaan yang pada zahirnya nampak meriah. Tetapi lihatlah yang tersirat. Lihat ke dalam. Tenung jauh-jauh. Renung dalam-dalam. Buka hati dan perasaan. Kita bukan sekadar berhari raya pada zahirnya. Bukan yang zahir itu yang menjadi keutamaan. Dalam, dalam diri kita yang menjadi tumpuan. Hati kita. Iman kita. Akidah kita. Agama kita. Telah selalu dikatakan bahawa hari raya adalah anugerah Allah. Kita berhari raya kerana izin Allah. Barakah Allah. Kasih sayang Allah. Kita selalu lupa bahawa hari raya ini saat yang Allah pinjamkan kepada kita. Terlalu sekejap. Terlalu singkat. Pilihan kita ialah sama ada mencari pahala atau terbuat maksiat. Hari raya adalah ibadah jika kita mengetahui caranya. Di sinilah ilmu diperlukan. Bukan perasaan.  Bukan nafsu. Jika itu diikut tidak akan ada sudahnya.  

Kita telah berpuasa selama sebulan. Telah berlaku tazkiah an-nafs jika kita memahami erti puasa itu sendiri. Jiwa kita dibersihkan dari noda. Pemikiran kita di bersihkan. Seluruh pancaindera kita dibersihkan. Dicuci. Seluruh jiwa raga kita dilahirkan semula sebagai manusia baru yang bersih dari dosa. Bersih dari kefasikan. Bersih dari maksiat. Mana mungkin sebulan yang sukar itu dikotori dengan hal-hal yang mencemarkan. Sebulan yang dilalui hanya dikotori dengan sekelip mata. Sebulan kita menjaga batas-batas terlarang. Pada hari pertama hari raya semuanya terbuang ke gaung. Jatuh ke bawah. Luruh bersama dunia komersil. Dunia yang mencari keuntungan dengan mengorbankan kepentinga agama. Tanpa sedar kita merosakkan semua yang telah kita bina dengan bersusah payah selama sebulan.

Malam menjelang hari raya berapa ramai antara kita yang bertakbir. Yang bertahmid. Yang bertahlil.  Berapa ramai yang ke masjid. Ke surau. Berapa ramai yang berhimpun di rumah untuk melaungkan kesyukuran dengan bertakbir. Bertahmid. Bertahlil. Malam yang penuh barakah itu kita raikan dengan gelak ketawa. Dengan sembang yang tidak membawa makna. Makanan juga yang menjadi keutamaan. TV kekal melalak sepanjang malam. Terjerit-jerit tanpa erti. Bukan takbir yang boleh diikuti. Malam itu juga komersil hari raya sudah bermula. Lalai semuanya. Alpa semuanya. Lagha, lagha dan lagha. Ke mana kita sebenarnya? Tiadakah arah yang boleh ditujui?

Berapa orang yang menangis kerana Ramadhan telah tiada. Pergi membawa lallatul qadar yang nilainya 1,000 bulan. Ramadhan yang penuh barakah itu telah tiada. Tahun depan ada lagi. Siapa kata. Kita tidak tahu umur kita. Yang tinggal ini berapa hari lagi. Berapa minggu lagi. Berapa bulan lagi. Setahun? Belum tahu tuan. Esok lusa entah penamat segala-galanya. Kita patut menangis. Hari raya hanya hari meraikan kerana kita berjaya berpuasa selama sebulan. Berhari raya kerana kita berjaya memerangi nafsu kita. Berjaya memenuhi rukun dan syaratnya. Tidak lebih dan tidak kurang. Makanlah sekadarnya. Bersederhana itu lebih banyak baiknya.

Berpadalah kerana hari raya bukan penamat segala-galanya. Hanya suatu saat sementara. Esoknya hari kedua berpuasalah. Hanya enam hari yang sudah dibiasakan selama sebulan. Tidak mungkin tubuh badan kita memberontak. Tidak mungkin tubuh badan kita protes. Perasaan kita tidak mungkin liat. Tentu masih lunak dengan kebiasaan berpuasa. Lapar bukan lagi masalah besar. Bukan lagi isu utama. Kepuasan dalaman kita mengatasi segala-galanya. Keindahannya dapat kita kecapi serapinya. Kita tutup lagi pancaindera kita dari hal-hal yang mengganggu. Carilah pahala semasa ada kesempatan ini. Carilah redha Allah.  Sesungguhnya hidup kita, mati kita semuanya kerana Allah. Untuk Allah. Semoga hari raya tuan diserikan dengan cahaya iman yang memancar kemilau jauh menusuk qalbu. Merasa tidak cukup untuk dibawa sebagai bekal untuk menemui Allah Rabbul Jalil.

Saturday, August 20, 2011

Ayah dan Ibu, Kami Anak-Anakmu


Dalam keidupan di dunia ini manusia terikat dengan heirarki yang mutlak. Ada senarai keutamaan yang tidak boleh diubah. Yang teratas tentulah Allah Yang Khaliq. Yang Maha Agung. Yang Maha Besar. Pada hierarki kedua ialah Rasulullah. Allah dan Rasulullah adalah mutlak kedudukannya. Tiada langsung keraguan padanya. Kita kasih dan mencintai Allah dan mencintai Rasulullah melebihi nyawa kita sendiri. Heirarki ketiga ialah ibu bapa. Heirarki keempat pula ialah guru. Dalam mengatur kehidupan, hierarki itu sentiasa diberi keutamaan. Menderhakai mana-mana satu bermakna ada bala yang pasti datang. Mentaati Allah dan Rasulullah tiada dalih-dalihnya lagi.

Ibu bapa adalah makhluk terdekat dengan seseorang manusia. Kedua-duanya yang menjadi penyebab lahirnya manusia yang namanya anak-anak. Ada peraturan besar yang menuntut anak-anak wajib  taat sepenuhnya kepada ibu bapa. Setia berbakti kepada mereka. Memenuhi segala keperluan mereka. Segera melaksanakan tuntutan mereka. Menggembirakan hati mereka. Menyenangkan hati mereka. Allah menggariskan bahawa redha Allah adalah bersyarat. Allah redha andainya ibu bapa redha. Jika ibu  bapa tidak redha maka secara automatik Allah tidak redha. Maksud saya andainya kedua ibu bapa itu mematuhi hukum-hukum Allah. Tidak menderhakai Allah. Ketika itu anak-anak wajib mentaati kedua ibu bapanya.

Anak-anak yang berada dalam redha ibu bapa dijamin  mendapat redha Allah. Begitulah besarnya peranan ibu bapa kepada pembinaan generasi manusia. Apabila anak-anak masih kecil mereka menjadi tanggungjawab ibu bapa. Namun bila mereka menjadi dewasa tanggungjawab itu adalah timbal balik. Ibu bapa adalah tanggungjwab anak-anak yang sudah dewasa. Tidak kira apa pekerjaannya. Tidak kira apa kerjayanya. Tidak kira kedudukan ekonominya. Tidak kira kedudukan sosialnya. Ibu bapa hendaklah diberi keutamaan. Wajib memberikan yang terbaik kepada ibu bapa. Zahirnya. Batinnya. Hatinya. Perasaannya. Hidup dan matinya adalah tanggungjawab anak-anak. No question asked. Its final.

Ibu bapa adalah manausia biasa. Lahir dan dilahirkan. Kesemuanya dari keturunan Nabi Adam yang dijadikan dari tanah. Akhirnya akan pulang ke tanah juga. Maka yang namanya ibu bapa itu berbagai ragamnya. Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua anak-anak. Sepasang ibu bapa jenuh menghadapi kerenah anak-anak yang seramai 13 orang. Yang lelaki l;ain perangainya. Yang perempuan lain juga. Yang besar lain. Yang  kecil lain. Dari bayi hingga dewasa ibu bapa menanggung kesemuanya. Jangan marah jika mereka mengungkit. Mereka telah penat. Telah letih. Telah lesu. Bila anak-anak sudah dewasa mereka ingin berehat. Menikmati masa-masa yang hilang. Yang telah pergi bersama mendewasanya anak-anak. Masa yang telah menghakis keindahan semasa  muda. Masa yang perginya tanpa dinyah. Tanpa disuruh. Tanpa diminta. Masa yang telah berlalu pergi. Berlalu dan menjauh. Meninggalkan kedut dan kerut. Parut di sana sini. Ketuaan yang tidak diminta datangnya. Yang dimingta ialah anak-anak yang mengerti.

Selama bertahun-tahun anak-anak dibesarkan seadanya mengikut kemampuan. Mengikut keperluan. Mengikut layaknya keupayaan mereka. Dalam kekayaan, anak-anak tetap ada ragamnya. Yang menyakitkan. Yang menyesakkan. Yang menggundah gelanakan. Yang mencucuk di mata. Yang menghiris di hati. Yang merebus perasaan. Sebagai ibu bapa tentulah banyak sabarnya. Dari bayi hingga dewasa anak-anak diberi yang hak mengikut keupayaan mereka. Ada yang lebih. Ada yang kurang. Kita pasti tidak pernah ingat ragam kita dahulu. Rajuknya memanjang. Dengusnya memanjang. Marahnya memanjang. Mintanya yang bukan-bukan. Pernahkah kita imbau kesemua itu? Tiada siapa yang kembali ke zaman kecilnya. Ke zaman remajanya. Ke zaman bujang dan daranya. Kita sekarang tegak mempertahankan diri kita seolah-olah kita tidak pernah melalui kesemua detik-detik masa itu. Detik-detik yang menyakitkan ibu bapa. Lebih menyakitkan jika mereka orang yang kurang berada. Mereka menjadi hina kerana ketidakmampuan yang rendah nilai sosialnya.

Apakah sebenarnya kedua ibu bapa kita betah dengan semua ragam kita? Jawapannya kesemuanya terpendam di hati mereka. Ada yang mungkin berjaya diluahkan. Tetapi kebanyakannya disimpan lama. Berlalu dibawa masa. Hanya berbekas bila melihat anak-anak menjadi tua. Ada antara anak-anak yang tidak pernah hilang perangainya sejak kecil. Ada yang berubah. Maka lihatlah bahawa ibu bapa membuat pilihan di hati. Pilihan yang halus tetapi perasan dilihat. Perasan dirasa. Ada kilau-kilauan yang terpancar berbeza. Lain silaunya. Dalam usia tuanya ibu bapa memilih kasih antara anak-anaknya. Ada yang perasaannya melebih. Ada yang mengurang. Fitrah ibu bapa. Mendekat kepada yang kuat tarikannya. Menjauh kepada yang kurang tarikannya. Anak-anaklah yang perlu menterjemahkan gerak geri mereka. Mentafsir bahasa tubuh mereka. Lerek mata mereka. Bahasa pertuturan mereka. Senyum dan tawa mereka.  Memek muka mereka. Walhal seluruh tingkah lakunya dipamerkan sama ada hatinya penuh atau kurang. Mana mungkin manusia dapat menyembunyikan kesemua yang terpandam di hati. Tingkah laku menunjukkan apa yang datang dari dalam.

Anak-anak harus belajar mengenal ibu bapanya. Jadilah jauhari yang mengenal manikam. Bagi anak lelaki syurganya adalah ibu bapanya. Bagi anak perempuan tentulah syurganya suaminya. Banyak hal yang selalu disalah terjemah. Ibu bapa dilihat banyak ragam. Sesunguhnya kepada kedua ibu bapa anak-anak tidak pernah besar. Sentiasa kekal tetap menjadi anak. Kerana itu ibu bapa selalu kritikal terhadap anak-anaknya.  Bukan kepada cucu-cucunya walaupun sayangnya berlebihan. Sayang kepada cucu kerana kecil mereka. Tetapi sayangkan anak-anak kerana kecil mereka tidak pernah besar di hati kedua ibu bapa. Sebab itu tegur sapanya tetap seolah-olah anak itu mesih kecil. Nasihatnya seolah-olah anak-anak belum besar. Kedua ibu bapa tetap mahu anak mereka menjadi manusia yang terbaik. Yang menyukakan hati. Yang menyejukkan mata. Yang mendamaikan perasaan. Anak kesayangan.

Setelah menjadi dewasa ada ibu bapa yang mendapat apa yang dihajati. Mungkin hidup senang. Mungkin nanak-anak menjadi. Mungkin anak-anak perihatin dengan keperluan mereka. Mungkin anak-anak selari pemikirannya. Jika andainya ada ketidak selarian maka ibu bapa menjadi manusia yang kurang puas. Anak-anak tidak menjadi sumber ketenangan. Ada sahaja yang dilihat menyakitkan mata. Menyakitkan hati. Menyakitkan perasaan. Berlaku conflict of personality. Maka menjadi tugas anak-anak untuk menyelami semua peristiwa lalu. Sejarah keluarga. Kembali memahami siapa ibu dan bapa masing-masing sebenarnya. Apa yang kekal kukuh membentuk peribadi. Jatidiri. Apa yang telah terkurang. Apa yang minta ditambah. Ragam ibu bapa ada yang dimintanya. Malangnya permintaan itu mungkin sukar ditunaikan oleh anak-anak.

Elok dibuat analisis. Dibuat catatan. Dibuat pemerhatian. Anak-anak sangat mudah menyalahkan ibu bapa. Dirasa mereka tidak sayangkan anak-anak. Tugas anak bukan untuk menilai kedua ibu bapanya. Tugas anak ialah untuk memberikan yang terbaik untuk keduanya. Kesempurnaaan menadi anak. Berbakti tanpa syarat. Walau apapun rupa bentuk ibu bapa itu, tugas anak adalah memberi bakti. Menyempurnakan tanggungjawab. Percayalah Allah akan meminta laporan tentang itu di akhirat kelak. Jika ibu bapa tidak bersyukur, mereka yang akan menjawabnya sendiri di hadapan Allah nanti. Oleh yang demikian anak-anak hanya diperlukan berbakti. Bukan membangkang. Bukan menempelak. Bukan menahan. Bukan memperlekeh. Bukan memperkecil ibu bapa. Jangan sekali menghina. Apatah lagi mencerca. Merajuk tidak mengira masa dan tempat. Menjauhkan diri dari keduanya. Allah sangat-sangat melarang anak-anak menyakitkan hati kedua ibu bapanya walaupun dengan perkara yang dianggap kecil seperti “ah!”.

Jangan menyongsong angin ibu bapa. Jangan memasamkan muka. Jangan tidak melayani perbualannya. Jangan membantah cakapnya. Jika tidak setuju belajarlah memberi jawapan yang halus sopan lembut. Membantah tetapi dengan senyum yang meleret. Dengan tingkah laku yang senang dipandang. Banyak cara untuk ibu bapa yang berlainan ciri dan wataknya. Banyak kategori mereka. Ada yang senang dan ada yang susah. Ada yang sihat dan ada yang sakit. Ada yang berlapang dada dan ada yang jumud.  Sebagai anak kesemuanya perlu dihadapi dengan berlapang dada. Dengan rasa berbesar hati. Buka minda. Buka hati. Buka perasaan. Satu sahaja pesan saya. Perbuatan kita terhadap kedua ibu kita adalah pendidikan kepada anak-anak kita. Yang mereka lihat diambil iktibar. Yang mereka dengar diambil pengajarannya. Itulah pendidikan yang mengajar mereka untuk berbakti kepada kita. Dia belajar dari kita. Jika baik akan dikembalikan kepada kita. Jika tidak baik akan kembali juga kepada kita. Kitaran alam yang selalunya pasti.

Tindakan terhadap ibu bapa yang banyak ragam tentu berbeza mengikut kemampuan masing-masing anak yang menghadapinya. Ini cerita orang kampung saya. Bapanya sangat panas baran. Bila marah habis periuk belanga dilontar keluar rumah. Kain baju dibuang-buang. Si isteri yang taat mengarahkan anak-anak supaya mengutip semua yang sudah berselerak itu. Begitulah selama bertahun-tahun. Ceritanya berulang-ulang. Cerita itu sampai kepada arwah ibu saya. Maka dinasihati isteri tadi supaya tidak mengutip semua apa yang sudah dibuang. Apa yang sudah berselerak.  Biarkan begitu. Rupanya itu menjadi pengajaran kepada si suami. Akhirnya dia sendiri yang mengutip kesemuanya dan dikembalikan ke tempat asalnya. Si isteri tidak memasak kerana periuk belanga sudah di luar rumah. Baju suami tidak berganti kerana yang kotor tidak dibasuh. Rumah yang jadi sarang tikus tentu tidak menyenangkan mata memandang. Sejak itu barannya berkurangan. Panasnya reda.

Ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Cara mereka menterjemahkannya berbeza. Walaupun mereka Nampak ganas kasih sayang mereka tetap ada. Kita yang kena memainkan peranan. Selalulah telefon jika berlainan rumah atau dipisahkan jarak jauh. Bertanya khabar. Memberi khabar. Tanya sihatnya. Tanya susahnya. Tanya apa hendaknya. Jadualkan pula program  balik menjengah ibu bapa. Jika tidak boleh seminggu sekali mungkin setiap dua minggu atau  setiap bulan. Jananlah berbulan-bulan tidak menjenguk mereka. Setiap hari mereka menunggu anak-anak pulang. Mengubat rindu dan sayang. Ada lompang kosong yang perlu diisi. Kadhairan anak cucu pengubat kerisauan yang mencengkam ibu bapa. Terutamanya mereka yang tidak pandai mengisi masa lapang. Mereka hanya membuai rasa bosan sendiri.

Bila balik banyakkan mengadap muka mereka. Agama memberatkannya. Pahala memandang muka ibu bapa sama besarnya dengan memandang Ka’abah.  Tidak perlu gunakan banyak wang untuk tambang pergi ke Mekah. Bila ada peluang pandang ibu dan bapa. Dengar bualnya. Dengar ceritanya. Dengar celotehnya. Dengar cadangannya. Dengar mintanya. Dengar kias berkiasnya. Dulu semasa anak-anak masih kecil ibu bapa banyak bercakap. “Leter”lah agaknya. Bila anak-anak sudah dewasa, tidak ada siapa yang mendengar mereka. Oleh itu bila balik ke rumah ibu bapa, banyakkan memandang mereka. Tolong jangan mengadap TV. Jangan sibuk dengan video. Jangan kalut dengan Bluetooth. Hindarkan CD atau VCD. Kesemuanya tidak menungkin memberi pahala. Hanya wajah ibu dan ayah yang ada nikmat pahala. Ada riak-riak syurga.

Banyak mendengar. Tolong jangan banyak menyampuk. Bila mendengar pandang wajah keduanya dengan penuh minat. Jangan alihkan pandangan. Jangan pandang ke lain. Jangan buat kerja lain. Jangan sibukkan yang lain. Lebih-lebih lagi menjawab telefon atau sms. Hindarkan dulu. Sekejap sahaja. Jika ada panggilan perlu, panggilan akan datang bertalu-talu. Menjawab telefon atau sms tidak sama pentingnya dengan memandang dan mendengar percakapan ibu dan bapa. Mereka perlukan perhatian penuh. Kita balik kerana hendak memandang mereka. Hendak bersama mereka.

Cubalah menyelami pemikiran ibu bapa. Kembali kepada fitrah mereka. Sejarah hidup mereka. Lihat pengalaman mereka. Sesuaikan dengan pengalaman setempat atau mereka pernah merantau. Pernah ada pengalaman luar. Tahap kelayakan akademik mereka. Cara mereka dibesarkan. Pengalaman masa mereka muda. Semuanya menjadi sumber  untk dimengerti. Bila kita mengetahui sedalam-dalamnya tentu lebih mudah untuk mengawal tingkah laku kita. Masa telah banyak berubah. Kebaikan semakin lama semakin berkurangan. Kemuliaan juga semakin terhapus. Maklumlah bahawa apa sahaja kebaikan kepada ibu bapa diberi ganjaran yang besar oleh Allah. Kemuliaan yang dihamburkan kepada ibu bapa Allah janjikan syurga.

Berjemaahlah dengan kedua ibu bapa. Mana yang mampu jadi imam. Jika tidak minta bapa menjadi imam. Yang lain jadi makmum. Nanti bila dia menoleh ke belakang yang dilihatnya ialah isterinya, anak-anaknya dan cucu-cucunya. Sejuk hatinya kerana sebagai imam dia dapat mengawal kesemua ahli keluarganya di belakangnya. Cium tangannya selepas solat. Peluk jika terasa sayang yang teramat sangat. Minta ampun setiap waktu. Jangan tunggu raya sahaja. Biasakan mencium dan memeluk ibu dan ayah. Elektrik yang mengalir akan menyejukkan perassan. Apatah lagi yang dipeluk cium adalah cucu-cucunya. Kimia yang akan bertali arus. Tiada putus-putus.

Banyakkan berdoa untuk mereka. Sampaikan hasrat hati kepada Allah setiap kali selepas solat. Ceritakan kepada Allah akan kedudukan perkara. Akui kelemahan diri. Minta bantuan mengukuhkan tekad. Mohonlah apa yang selayaknya. Doakan kesejahteraan kedua ibu bapa. Doakan kesihatan mereka. Doakan iman mereka. Islam mereka. Mohon Allah ganti barannya atau marahnya dengan kasih sayang. Dengan kelembutan. Lebih terbuka. Lebih santun. Curahkan kepada Allah. InsyaAllah Allah akan mendengar. InsyaAllah Allah akan memberi rahmatNya.

Bila bertandang, bawalah makanan yang disukainya. Apa sahaja. Mungkin sayur. Mungkin buah. Mungkin makanan lain. Ingat hari jadinya. Hari ulang tahunnya. Hulurkan cenderamata mengikut  kemampuan masing-masing. Belilah bahan makanan. Jika mampu penuhkan peti ais. Masaklah kerana ibu bapa teringin juga merasa air tangan anak-anaknya. Elok juga begitu supaya ibu bapa dapat menilai sama ada anaknya sudah mampu atau tidak memberi yang terbaik untuk suami masing-masing. Untuk cucu-cucu. Nanti ada nasihat atau tip yang berguna untuk menambahkan lagi tambatan hati suami.

Mereka bukan perlu sangat kecuali sedikit. Bila hendak pulang hukurkanlah sekeping dua. Genggam dan cium tangan mereka. Beri sedikit ucapan terima kasih. Pandang ke belakang banyak kali. Ucaplah salam senjahtera. Beri salam. Lambaikan tangan. Sebelum masuk ke kereta  Toleh ke belakang. Bila sudah masuk pandang lagi. Lambaikan tangan berulang-ulang. Senyum biar memanjang. Toleh hingga tidak nampak lagi kelibat mereka. Terus doakan kebaikan dan kemuliaan mereka. InsyaAllah mereka akan tenang. Anak-anak yang berbuat begitu juga pasti tenang hati dan perasaannya. Tenteram psikologinya. Mencari redha Allah banyak cabarannya. Mencari redha ibu bapa banyak usahanya. Saya doakan untuk semua

Thursday, August 11, 2011

Serinya Ramadhan


Ramadhan adalah bulan barakah. Tiada bulan yang Allah besarkan melainkan Ramadhan. Malah ulamak mengatakan bahawa apa-apa ganjaran kebaikan pada bulan Ramadhan hanya Allah yang tahu. Begitulah sukanya Allah kepada hambanya yang beribadat di bulan Ramadhan. Siangnya puasa dan beribadat. Malamnya lebih-lebih lagi. Sayangnya orang Malaysia. Ramadhan hanya bulan untuk berhari raya. Yang difikirkan ialah berhari raya. Berhibur. Maaflah. Maaf banyak-banyak. Kita terlalu tidak tahu nilainya Ramadhan. Besarnya Ramadhan. Agungnya Ramadhan.

Pada awal Ramadhan masjid dan surau melimpah dengan jemaah. Mengambil sempena kedatangan Ramadhan. Mengisi tuntutan beribadat. Mengejar besarnya pahala. Usaha menolak neraka. Usaha jalan ke syurga. Dalam pada itu masih tidak pernah habis bahasan sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat. Tarawih sama sahaja. Lapan atau 20 hanya angka. Di sinilah punca kerugian. Punca terhakisnya nilai ibadat. Punca hilangnya seri Ramadhan. Bukankah Ramadhan untuk beribadat. Yang ganjarannya berganda-ganda. Sekiranya manusia memahami nilai ihsan pada dirinya tentu ramai yang tidak tidur malam. Yang tidak lekang dari beribadat. Dalam bentuk apapun asalkan ibadat.

Ingatkah hadith yang meriwayatkan datangnya malaikat Jibril menemui Rasulullah. Dia datang dengan pakaian putih yang amat bersih. Dirinya disiap rapi. Kelihatan bukan dari jauh. Tiada tanda-tanda letih atau berpeluh. Datang terus ia ke hadapan Rasulullah yang ketika itu sedang berhalaqah dengan sahabat-sahabatnya. Jibril berteleku menemukan kepala lutut kanannya dengan kepala lutut kiri Rasulullah. Kepala lutut kirinya dengan kepala lutut kanan Rasulullah. Lalu dia bertanya, “Wahai! Rasulullah, apakah itu iman?”. Rasulullah menyenaraikan enam rukun iman seperti yang kita pelajari. Bertanya lagi Jibril, “Apa pula Islam?” Rasulullah menyenaraikan pula rukan Islam. Dia bertanya lagi,”Apa itu ihsan?” Ini jawapan Rasulullah, “Andaikan semasa kamu beribadat kamu melihat Allah. Tetapi kerana kamu tidak dapat melihat Allah maka bayangkan bahawa Allah melihat kamu.”

Allah melihat setiap perbuatan kita. Malah yang tersirat di hati juga diketahui Allah. Kembali kepada tarawih. Kenapa memilih lapan jika 20 lebih baik. Malah ada mazhab yang memilih 30. 33 campur solat witir. Saya bercakap dengan seseorang yang semakin tua. Dulu dia sibuk bila sampai rakaat yang ke lapan. Tamatlah padanya. Witir di rumah. Kerana witir di surau atau di masjid tentu terganggu dengan suara imam yang lantang kerana tarawih belum tamat. Malah kadang-kadang banyak sungutannya. Lamalah. Panjanglah. Tidak sedaplah. Dan berbagai-bagai lagi kecamannya. Tetapi sekarang orang yang sama berubah. Setiap malam dia tamat hingga rakaat yang ke 23. 20 tarawih dan witir tiga. Kenapa? Bila usia meningkat akal juga meningkat. Ada nada kesal pada suaranya. Telah bertahun-tahun dia kerugian. Setiap tahun dia kerugian 12 rakaat. Bayangkan dalam usianya 60 tahun. Jika 40 tahun tentu dia telah kehilangan 480 rakaat. Itu rakaat. Bayangkan berapa huruf yang dibaca ketika solat. Sabda Rasulullah setiap huruf digandakan hingga 10 atau beberapa puluh lagi. Itu di luar solat. Itu bukan bulan Ramadhan. Jadinya berapakah jumlah kerugian yang telah ditinggalkan selama 40 tahun. Jumlahnya tentu juta-juta. Mungkin billion. Sekarang orang bercakap tentang trillion. Terlalu banyak. Terlalu besar. Kerana ganjaran sebenarnya hak Allah. Milik Allah. Allah yang berhak memberi ganjaran mengikut apa yang dilakukan. Sesuai dengan amalan yang dilaksanakan. Masihkah kita hendak mempertikai lapan atau 20. Kita semua semestinya pandai matematik. Kerugian yang tidak mungkin dapat ditebus. Tidak mungkin ada penggantinya. Yang hilang tetap hilang. Tetap pergi. Tetap bukan milik kita lagi.

Dalam pada itu kita masih lagi melihat ramai orang yang tidak berpuasa. Semakin manusia mencapai kemajuan semakin ramai pula yang melihat puasa sebagai amalan bodoh. Mereka langsung tidak mengendahkan tuntutan itu. Makan terang-terangan masih biasa kita lihat.  Minum tanpa berselindung masih banyak kita lihat. Kepada mereka tiada apa yang hendak difikirkan sangat. Mati bukan sekarang. Masih muda. Yang dewasa pula belum tua. Tiada siapa antara kita yang sangat pasti bahawa usia kita lebih panjang dari yang dijangka. Tentu lama lagi. Kita hanyut dengan perasaan kita sendiri. Mengharap kepada yang tidak pasti. Pada hakikatnya maut datang bila-bila masa. Ada pagi. Ada petang. Ada siang. Ada malam. Ada tua. Ada muda. Ada sihat. Ada sakit. Datangnya tiba-tiba tanpa amaran awal. Yang punya diri tahu. Jika kita perihatin kita juga tahu. Ada tanda-tanda yang Allah isyaratkan. Namun bagi yang sentiasa beramal salih, isyarat itu sangat jelas. Bagi yang jauh dari rahmat Allah, isayarat itu tiada siapa yang peduli. Sebab itu tingkahlaku kita mestilah selalu predictable. Boleh dibaca. Supaya bila sampai masanya orang nampak keluarbiasaannya. Orang merasa kelainannya.  Orang lain dapat bersedia untuk kemungkinan-kemungkinan yang segera.

Bagaimana al-Quran? Tadarus? Ualngkaji. Belajar? Minta tunjuk ajar? Allahuakbar. Al-Quran jadi semakin jauh. Alhamdulillah bagi yang sudah mahir membaca. Saya teringat pesanan tuan Kadhi Batu Pahat pada suatu kuliah subuh di Masjid Dato’ Bentara Luar Batu Pahat. Hanya beberapa hari menjelang Ramadhan. Bertadaruslah, katanya. Tetapi baca dengan betul. Baca bersama orang yang lebih pandai. Bila salah mesti dibetulkan. Wajib dibetulkan. Jangan kejar khatamnya sedangkan bacaannya salah belaka. Ingat, katanya. Jika al-Quran itu dibaca dengan betul, ia akan memberi syafaat di akhirat kelak. Malah di dalam kubur dia sudah menemani kita. Tetapi jika membacanya dalam keadaan salah nanti dia menuntut haknya di akhirat. Mana hak madnya. Mana hak dengungnya. Mana hak idhamnya. Mana hak makhraj hurufnya. Mana hak sifat hurufnya. Kesemuanya itu hak al-Quran. Dia akan menuntut hak itu di akhirat nanti.

Belajarlah bagi yang masih merasa kekurangan. Belajar itu fardu ain. Ada bahagian yang fardu kifayah. Walau apapun semuanya wajib. Belajar itu wajib. Maka tiada ganti bagi wajib. Tiap orang Islam wajib dan bertanggungjawab untuk belajar. Mewajibkan dirinya untuk belajar. Al-Quran bukan sebarangan buku. Banyak  peraturan dan rukun-rukun untuk membacanya. Hanya guru yang mahir sahaja boleh menunjukkan semua hal yang diperlukan. Hendaklah ianya dibaca secara bertalaqi. Belajar secara musafahah. Kena mengadap guru. Minta tunjukkan jika salah. Minta betulkan salahnya. Belajarlah hingga betul makhraj dan sifatnya. Betul fasohahnya. Membaca pula berlahjah Arab. Itu tuntutan al-Quran yang diturunkan oleh Allah dalam Bahasa Arab. Arab Quraisy. Bukan sebarang dialek Arab. Hanya Arab Quraisy pilihan Allah. Kerana dari bangsa itu lahirnya Rasulullah. Makhluk teragung yang Allah ciptakan. Kita wajib bersyukur menjadi umatnya.

Sempena Ramadhan ini kembalilah kepada yang hak. Kembali kepada jalan Allah. Jika hati sudah membulat apa lagi yang hendak didalihkan. Maut boleh datang bila-bila masa. Belilah baju baru. Pakailah baju baru. Jangan korbankan ibadat.  Buatlah kueh raya. Jangan korbankan ibadat. Hiaslah rumah. Tetapi jangan korbankan ibadat. Semuanya akan ditinggalkan. Hanya amal ibadat itu yang diambilkira. Yang menentukan pahala. Yang Allah ambilkira. Serikan Ramadhan ini. Lupakan yang lain. InsyaAllah hidup kita menjadi lebih bermakna.