Thursday, August 11, 2011

Serinya Ramadhan


Ramadhan adalah bulan barakah. Tiada bulan yang Allah besarkan melainkan Ramadhan. Malah ulamak mengatakan bahawa apa-apa ganjaran kebaikan pada bulan Ramadhan hanya Allah yang tahu. Begitulah sukanya Allah kepada hambanya yang beribadat di bulan Ramadhan. Siangnya puasa dan beribadat. Malamnya lebih-lebih lagi. Sayangnya orang Malaysia. Ramadhan hanya bulan untuk berhari raya. Yang difikirkan ialah berhari raya. Berhibur. Maaflah. Maaf banyak-banyak. Kita terlalu tidak tahu nilainya Ramadhan. Besarnya Ramadhan. Agungnya Ramadhan.

Pada awal Ramadhan masjid dan surau melimpah dengan jemaah. Mengambil sempena kedatangan Ramadhan. Mengisi tuntutan beribadat. Mengejar besarnya pahala. Usaha menolak neraka. Usaha jalan ke syurga. Dalam pada itu masih tidak pernah habis bahasan sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat. Tarawih sama sahaja. Lapan atau 20 hanya angka. Di sinilah punca kerugian. Punca terhakisnya nilai ibadat. Punca hilangnya seri Ramadhan. Bukankah Ramadhan untuk beribadat. Yang ganjarannya berganda-ganda. Sekiranya manusia memahami nilai ihsan pada dirinya tentu ramai yang tidak tidur malam. Yang tidak lekang dari beribadat. Dalam bentuk apapun asalkan ibadat.

Ingatkah hadith yang meriwayatkan datangnya malaikat Jibril menemui Rasulullah. Dia datang dengan pakaian putih yang amat bersih. Dirinya disiap rapi. Kelihatan bukan dari jauh. Tiada tanda-tanda letih atau berpeluh. Datang terus ia ke hadapan Rasulullah yang ketika itu sedang berhalaqah dengan sahabat-sahabatnya. Jibril berteleku menemukan kepala lutut kanannya dengan kepala lutut kiri Rasulullah. Kepala lutut kirinya dengan kepala lutut kanan Rasulullah. Lalu dia bertanya, “Wahai! Rasulullah, apakah itu iman?”. Rasulullah menyenaraikan enam rukun iman seperti yang kita pelajari. Bertanya lagi Jibril, “Apa pula Islam?” Rasulullah menyenaraikan pula rukan Islam. Dia bertanya lagi,”Apa itu ihsan?” Ini jawapan Rasulullah, “Andaikan semasa kamu beribadat kamu melihat Allah. Tetapi kerana kamu tidak dapat melihat Allah maka bayangkan bahawa Allah melihat kamu.”

Allah melihat setiap perbuatan kita. Malah yang tersirat di hati juga diketahui Allah. Kembali kepada tarawih. Kenapa memilih lapan jika 20 lebih baik. Malah ada mazhab yang memilih 30. 33 campur solat witir. Saya bercakap dengan seseorang yang semakin tua. Dulu dia sibuk bila sampai rakaat yang ke lapan. Tamatlah padanya. Witir di rumah. Kerana witir di surau atau di masjid tentu terganggu dengan suara imam yang lantang kerana tarawih belum tamat. Malah kadang-kadang banyak sungutannya. Lamalah. Panjanglah. Tidak sedaplah. Dan berbagai-bagai lagi kecamannya. Tetapi sekarang orang yang sama berubah. Setiap malam dia tamat hingga rakaat yang ke 23. 20 tarawih dan witir tiga. Kenapa? Bila usia meningkat akal juga meningkat. Ada nada kesal pada suaranya. Telah bertahun-tahun dia kerugian. Setiap tahun dia kerugian 12 rakaat. Bayangkan dalam usianya 60 tahun. Jika 40 tahun tentu dia telah kehilangan 480 rakaat. Itu rakaat. Bayangkan berapa huruf yang dibaca ketika solat. Sabda Rasulullah setiap huruf digandakan hingga 10 atau beberapa puluh lagi. Itu di luar solat. Itu bukan bulan Ramadhan. Jadinya berapakah jumlah kerugian yang telah ditinggalkan selama 40 tahun. Jumlahnya tentu juta-juta. Mungkin billion. Sekarang orang bercakap tentang trillion. Terlalu banyak. Terlalu besar. Kerana ganjaran sebenarnya hak Allah. Milik Allah. Allah yang berhak memberi ganjaran mengikut apa yang dilakukan. Sesuai dengan amalan yang dilaksanakan. Masihkah kita hendak mempertikai lapan atau 20. Kita semua semestinya pandai matematik. Kerugian yang tidak mungkin dapat ditebus. Tidak mungkin ada penggantinya. Yang hilang tetap hilang. Tetap pergi. Tetap bukan milik kita lagi.

Dalam pada itu kita masih lagi melihat ramai orang yang tidak berpuasa. Semakin manusia mencapai kemajuan semakin ramai pula yang melihat puasa sebagai amalan bodoh. Mereka langsung tidak mengendahkan tuntutan itu. Makan terang-terangan masih biasa kita lihat.  Minum tanpa berselindung masih banyak kita lihat. Kepada mereka tiada apa yang hendak difikirkan sangat. Mati bukan sekarang. Masih muda. Yang dewasa pula belum tua. Tiada siapa antara kita yang sangat pasti bahawa usia kita lebih panjang dari yang dijangka. Tentu lama lagi. Kita hanyut dengan perasaan kita sendiri. Mengharap kepada yang tidak pasti. Pada hakikatnya maut datang bila-bila masa. Ada pagi. Ada petang. Ada siang. Ada malam. Ada tua. Ada muda. Ada sihat. Ada sakit. Datangnya tiba-tiba tanpa amaran awal. Yang punya diri tahu. Jika kita perihatin kita juga tahu. Ada tanda-tanda yang Allah isyaratkan. Namun bagi yang sentiasa beramal salih, isyarat itu sangat jelas. Bagi yang jauh dari rahmat Allah, isayarat itu tiada siapa yang peduli. Sebab itu tingkahlaku kita mestilah selalu predictable. Boleh dibaca. Supaya bila sampai masanya orang nampak keluarbiasaannya. Orang merasa kelainannya.  Orang lain dapat bersedia untuk kemungkinan-kemungkinan yang segera.

Bagaimana al-Quran? Tadarus? Ualngkaji. Belajar? Minta tunjuk ajar? Allahuakbar. Al-Quran jadi semakin jauh. Alhamdulillah bagi yang sudah mahir membaca. Saya teringat pesanan tuan Kadhi Batu Pahat pada suatu kuliah subuh di Masjid Dato’ Bentara Luar Batu Pahat. Hanya beberapa hari menjelang Ramadhan. Bertadaruslah, katanya. Tetapi baca dengan betul. Baca bersama orang yang lebih pandai. Bila salah mesti dibetulkan. Wajib dibetulkan. Jangan kejar khatamnya sedangkan bacaannya salah belaka. Ingat, katanya. Jika al-Quran itu dibaca dengan betul, ia akan memberi syafaat di akhirat kelak. Malah di dalam kubur dia sudah menemani kita. Tetapi jika membacanya dalam keadaan salah nanti dia menuntut haknya di akhirat. Mana hak madnya. Mana hak dengungnya. Mana hak idhamnya. Mana hak makhraj hurufnya. Mana hak sifat hurufnya. Kesemuanya itu hak al-Quran. Dia akan menuntut hak itu di akhirat nanti.

Belajarlah bagi yang masih merasa kekurangan. Belajar itu fardu ain. Ada bahagian yang fardu kifayah. Walau apapun semuanya wajib. Belajar itu wajib. Maka tiada ganti bagi wajib. Tiap orang Islam wajib dan bertanggungjawab untuk belajar. Mewajibkan dirinya untuk belajar. Al-Quran bukan sebarangan buku. Banyak  peraturan dan rukun-rukun untuk membacanya. Hanya guru yang mahir sahaja boleh menunjukkan semua hal yang diperlukan. Hendaklah ianya dibaca secara bertalaqi. Belajar secara musafahah. Kena mengadap guru. Minta tunjukkan jika salah. Minta betulkan salahnya. Belajarlah hingga betul makhraj dan sifatnya. Betul fasohahnya. Membaca pula berlahjah Arab. Itu tuntutan al-Quran yang diturunkan oleh Allah dalam Bahasa Arab. Arab Quraisy. Bukan sebarang dialek Arab. Hanya Arab Quraisy pilihan Allah. Kerana dari bangsa itu lahirnya Rasulullah. Makhluk teragung yang Allah ciptakan. Kita wajib bersyukur menjadi umatnya.

Sempena Ramadhan ini kembalilah kepada yang hak. Kembali kepada jalan Allah. Jika hati sudah membulat apa lagi yang hendak didalihkan. Maut boleh datang bila-bila masa. Belilah baju baru. Pakailah baju baru. Jangan korbankan ibadat.  Buatlah kueh raya. Jangan korbankan ibadat. Hiaslah rumah. Tetapi jangan korbankan ibadat. Semuanya akan ditinggalkan. Hanya amal ibadat itu yang diambilkira. Yang menentukan pahala. Yang Allah ambilkira. Serikan Ramadhan ini. Lupakan yang lain. InsyaAllah hidup kita menjadi lebih bermakna.

No comments:

Post a Comment