Thursday, February 10, 2011
Pelarian Situasi
Gawat adalah satu perkataan yang mudah menyebutnya. Pengalaman saya menunjukkan bahawa gawat itu bukan satu situasai yang terpencil. Ia adalah rentetan peristiwa-peristiwa yang gawat. Kegawatan itu pula menimbulkan kegawatan-kwgawatan yang lebih gawat. Sebab itu dalam ilmu pengurusan, tanda-tanda gawat selalu diperhatikan. Dikaji dan dipantau. Apabila terjadi gawat, baru hendak dirawat, rasanya sudah agak terlambat. Mungkin terlalu lambat. Keadaan sudah parah dan jalan sudah buntu untuk mengubahnya. Sama ada ia menjadi huru hara atau meruntuhkan segala-galanya.
Saya mendapat maklumat pada malamnya bahawa anak saya akan sampai di KLIA pada pukul 10.00 pagi hari Khamis 10.2.2011. Maklumat itu saya terima dari pegawai Amanah Raya Berhad yang menaja anak saya. Apabila saya buka laman sesawang Majlis Keselamatan Negara, penerbangan anak saya dalam dua fasa. Saudi Air yang membawanya terbang ke Jakarta dahulu. Dari Jakarta anak saya diterbangkan pula ke KLIA dengan Air Asia. Dijangka tiba pada pukul 10.00 malam 10.2.2011. Saya keliru dengan jadual itu. Saya rujuk dengan pegawai Amanah Raya. Dia sendiri tidak ada maklumat sempurna. Saya sahkan dengan Majlis Keselamatan Negara. Pegawainya mengesahkan bahawa jadual penerbangan itu adalah benar. Saya hubungi ketua pelajar kumpulan anak saya. Dia juga mengesahkan bahawa penerbangan itu akan transit di Jakarta. Dari Jeddah dengan Saudi Air penerbangan ke KLIA adalah dengan Air Asia. Isunya ialah bila kapalterbang itu mendarat di KLIA. Bila anak saya dapat dipeluk dan ditentuh kesempurnaan fizikal dan emosinya. Saya ingin melihatnya dalam one piece. Ibunya lebih-lebihlah lagi gusarnya. Saya selalu kalah dalam hal ini. Sebab itu maksud hadith Rasulullah menyimpulkan bahawa bakti kebaikan kepada ibu jauh lebih berat berbanding kepada bapa. Berganda-ganda banyaknya. Naluri ibu sangat halus. Oleh itu hargailah dia.
Saya berbelah bagi. Hendak bertolak awal pagi atau sebelah petang. Isteri saya mencadangkan supaya kami bertolak pagi. Ditakuti dalam situasi seperti itu jadual penerbangan boleh berubah atas apa sahaja alasan. Naluri seorang ibu. Rindunya. Bimbangnya. Selagi tidak melihat batang tubuh anak lelakinya tiada rasa tenteram di hatinya. Malam itu kami adakan sedikit perbincangan. Saya berpegang kepada maklumat sahih yang saya perolehi. Isteri saya mahu bertolak pada malam itu juga. Jika ada apa-apa keperluan, kami sudah berada berhampiran KL. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertolak pada awal pagi. Benarlah, pagi kami bertolak kira-kira pukul 5.00 pagi. Lewat sejam dari jadual asal. Solat Subuh di sebuah masjid menuju ke tol Tangkak.
Dalam perjalanan, pegawai dari Amanah Raya menghantar sms. Maklumat terakhir adalah benar. Anak saya akan sampai di KLIA pada pukul 10.00 malam itu. Kami sampai di Nilai pada pukul 8.20 pagi. Anak kedua saya di situ. Pagi itu hingga ke tengahari kami di situ. Menunggu petang. Pada pukul 12.30 anak saya menghubungi saya dari lapanganterbang Jakarta. Dia sudah sampai pada pukjul 10.00 pagi itu. Dijangka pula akan terbang pada pukul 2.00 petang dan sampai di LCCT pada pukul 5.00 petang. Tiga jam penerbangan. Saya yang sedang membeli makanan tengahari bergegas pulang ke rumah anak saya. Sejam kemudian anak saya membuat panggilan lagi. Maklumat terkini menyatakan penerbangannya pada pukul 3.00 petang. Ada perubahan jadual. Pelajar yang seramai 110 orang dibahagi ke dalam dua kumpulan. 10 orang dalam kumpulan pertama. Bakinya dalam kumpulan kedua. Anak saya dalam kumpulan kedua. Dalam gawat, menunggu juga gawat. Waktu berubah mengikut kesesuaiannya. Benarlah naluri isteri saya. Jadual boleh berubah.
LCCT adalah LCCT. Saya tidak dapat menghubungkan LCCT itu kos murah. Bila berada di sana barulah saya sedar bahawa murah itu ada konotasinya yang tersendiri. Mungkin saya sudah biasa dengan penerbangan antarabangsa. Hampir lupa dengan realiti yang ada di sekeliling. Di US umpamanya banyak syarikat penerbangan tambang murah. People's Air umpamanya diurus seprti bas. Penumpang berbaris untuk membeli tiket. Jika ada kekosongan, masuklah mereka ke dalam. Jika tidak tunggu kapalterbang yang berikutnya. Bayar tambang dalam kapalterbang. tempat menunggu dalam bangunan lapanganterbang yang sama. Menikmati fasiliti yang sama dengan orang lain. Istilah murah berbeza antara kita dengan dengan mereka. Murah kepada mereka adalah dengan mengurangkan fasiliti. Tiada kaunter check-in. Air Asia baru mencapai sebahagian dari ciri itu. Belum sepenuhnya.
Lebih sejam menunggu di LCCT. Fahamlah saya kenapa namanya LCCT. Parkirnya tidak berbumbung. Kereta di tengah medan yang panas. Bila hendak dipandu semula terasa panasnya setelah terdedah d bawah cahaya matahari berjam-jam lamanya. Ruang menunggunya panas. Maaf memang tiada pendingin hawa. Itu satu aspek murah yang dimaksudkan. Sama di stesen bas atau teksi. Kerusi untuk duduk menunggu juga tidak seperti di ruang penerbangan biasa di tingkat lima KLIA. Luas dan selesa. Lebih banyak lagi. Di LCCT banyak kekurangannya. Disesuaikan dengan kos murah yang dinyatakan.
Itu aspek teknikal LCCT. Saya bukan hendak menilai. Sekadar hendak memahami sahaja. Pukul 6.08 minit kapalterbang anak saya mendarat. Pukul 6.40 petang baru dia keluar di balai ketibaan. Still in one piece. Ibunya yang tidak sabar terintai-intai. Terjenguk-jenguk. Tidak senang duduk. Sebelumnya dia duduk tenang. Tetapi apabila dimaklumkan kapalterbang sudah mendarat. Resahnya mendatang. Gejolak hatinya menerpa. Ketidaksabarannya menerjah rasa. Rindunya memuncak. Sayangnya melonjak. Dirinya. Jalannya. Matanya hanya fokus ke laluan keluar di balai ketibaan itu. Orang lain sudah tidak menjadi persoalan lagi. Saya hanya memerhati keghairahannya. Dia menanti anaknya. Buah hatinya. Itu anaknya yang dinanti. Kasih seorang ibu yang membawa ke syurga. Kasih saya kasih bapa. Sayang saya tidak halus seperti isteri saya. Cuma saya boleh berkorban apa sahaja. Bak kata pujangga bapa boleh berkorban nyawa.
Bila sudah bertemu terlerailah segala kegelisahan. Terungkailah segala bukuan dalam perasaan. Debaran dan degupan menghilang. Santai datang. Damai terhidang. Sebagai pelajar-pelajar tajaan mereka dihimpunkan. Ditanya sepatah dua. Ditanya khabar berita. Pastinya pegawai yang menunggu ada tugas membuat laporan. Mesti ada bukti mereka sudah kembali. Gambar luplap diambil. Bukti teknologi. Bukti digital. Bergambar bersama ahli keluarga yang menanti. Mungkin tidak ramai yang sedar. Sebenarnya kepulangan mereka adalah atas urusan negara. Urusan menyelamatkan warganegaranya dari kesulitan dalam negara yang sedang bergolak. Ia adalah urusan rasmi. Formal. Urusan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. Ada birokrasi yang perlu dipatuhi. Ada prosedur. Ada urusan diplomatik yang perlu diselesaikan. Ambillah makluman ini supaya tidak menyamakan kepulangan mereka seperti selalunya. Sampainya mereka mesti diperiksa benar-benar selamat sejahtera. Sihat walafiat. Pengangkutan balik disediakan. Tempat menginap sebagai transit disediakan. Kebajikan dan keselamatan dijaga kesempurnaannya. Tanggungjawab negara.
Perjalanan pulang yang senang. Alhamdulillah. Syukur kepadaMu ya Allah. Segala puji bagiMu. Tuhan semesta alam.
Wednesday, February 9, 2011
Winter Yang Panas
Sesuatu yang tidak memberikan apa-apa makna kepada seseorang rupanya bernilai kepada orang yang lain. Sebaliknya sesuat yang kita berikan nila tinggi tiad gunanya kepada orang lain. Itulah kebijaksanaan Allah yang tiada tolok bandingnya. Dalam surah Ali Imran Allah berfirman:
Saya kagum dengan cara orang putih menggunakan peluang. Winter memang sejuk. Tidak ada siapa yang berani menafikannya. Hakikatnya begitu. Winter sama dengan sejuk. Tetapi, ini hebatnya orang putih. Mereka tidak berpeluk tubuh. Mereka tidak berkurung dalam rumah. Winter adalah musim yang penuh produktiviti. Musim mencambah idea. Musim untuk merancang. Musim untuk belajar. Musim untuk membina ketahanan diri. Membina kekuatan dalaman. Membina keperkasaan diri.
Entry sebelum ini saya katakan bahawa kanak-kanak sukar dilihat pada waktu winter. Mereka ada tetapi di dalam bangunan. Semasa winter kanak-kanak memang tidak kelihatan di jalanraya. Bukan masanya untuk berkeliaran. Bukan waktunya untuk bemain di luar rumah. Orang dewasa juga tidak ramai kelihatan di jalanan. Jika ada, mereka berjalan pantas kerana ada urusan yang pasti perlu disempurnakan segera. Ingat, winter sangat pendek waktu siangnya. Cahaya matahari sangat mahal ketika ini.
Tentu hairan kepada kita. Semasa winter orang putih memakai kacamata hitam. Bukan panas. Kenapa pula mata perlu dilindungi. Bukan begitu. Semasa winter, matahari tetap memancar. Terap bersinar. Tetap terang benderang. Cuma kedudukannya condong jauh dari atas kepala. Ada di kejauhan. Namun bila memancar, cahayanya amat menyilaukan apabila terbias ais yang keras membeku. Lebih sakit silaunya berbanding semasa summer. Untuk itu orang putih memakai kacamata hitam semasa winter. Ironis sungguh. Berbagai industri berkembang untuk memenuhi tuntutan musim winter. Baju tebal. Kasut snow. Muffler. Penutup telinga. Topi. Setokin. Allahuakbar. Terlalu pelbagai setokin yang dijual. Yang tebal. Yang panjang. Sebut apa sahaja. Semuanya ada dijual. Ada sahaja yang membelinya. Jangan terkejut ada pelajar Malaysia membeli baju sejuk buatan Malaysia. Entah di mana kilangnya. Tidak pernah di jual di sini. Siapapun tidak tahu ada kilang sepertinya.
Industri sukan musim winter sukar dibayangkan banyaknya. Jika dilihat dari segi orang bermain ski sahaja sudah cukup. Dari topi, baju, kasut, sarung tangan, alat skinya. Termasuk juga sarung tangan dan kacamata atau yang berbentuk goggle. Bukan sahaja yang bermain dan terlibat, orang-orang yang menonton juga begitu. Yang datang setakat untuk meramaikannya juga begitu. Peralatan yang berkaitan dengan ski sudah cukup lumayan banyaknya. Itu belum cerita sledging. Belum lagi snowmobiles. Belum lagi trekking. Belum lagi tentang tinggal di cabin di bukit. Retreat in winter. Belum lagi resort musim winter. Penuh dan padat dengan pengunjung.
Dalam kehidupan seharian, winter adalah bulan mengeram. Hibernate. Bukan maksudnya duduk diam. Bukan duduk hanya duduk. Pada masa ini semua pejabat dibuka sepenuhnya. Stafnya bekerja sekehendak mereka. Sekolah dan universiti juga dibuka sepenuhnya. Inilah masa mereka bekerja. Inilah masanya mereka belajar. Sebenarnya mereka mula mengeram dari sejak fall. Dari bulan September. Sebab itu anak-anak kita yang keluar negara pergi pada bulan September. Bulan mereka mula mengeram. Kita pula terikut-ikut mereka. Sekarang semua IPT di Malaysia memulakan pengajian pada bulan September. Orang putihpun tamat pengajian menengah mereka pada bulan April atau Mei. Menunggu September tentulah lama. Kepada mereka Jun, Julai dan Ogos adalah summer. Musim mereka santai. Chasing the sun. Busking. Getting tanned.
Pada musim winter ini mereka panas dengan aktiviti. Ada sahaja yang perlu dibuat. Semuanya indoor. Kerja-kerja outdoor dibuat pada musim summer hingga fall. Sekolah juga full steam. Semuanya belajar dan belajar. Masa sejuk inilah kepala mereka berasap. Seluruh diri mereka dipusatkan untuk diasak dengan ilmu. Kesejukan di luar tidak mengganggu proses belajar. Di semua bangunan ada alat pemanas. Di dalam bangunan mereka berpakaian biasa. Semua baju tebal dibuka. Semua kasut snow ditanggalkan. Mereka memakai pakaian rasmi. Seolah-olahnya di luar sana tiada apa yang berlaku. Di dalam bangunan semuanya adalah natural. Life must go on.
Cara hidup kita berbeza. Kita banyak santai sepanjang tahun. Kerja pula ala kadar. Memang kita bercakap tetang produktiviti. Semangatnya tidak sampai di sini.
Monday, February 7, 2011
Apa Ada Pada Winter
Terlalu syahdu mengingat masa lalu. Sejak akhir-akhir ini saya banyak membongkar album-album lama. Melihat kembali anak-anak yang sedang riang ria menjalani proses membesar mereka. Melihat gambar bayi lalu melalui zaman kecil mereka. Merentas pula era kanak-kanak hingga mereka menjadi remaja. Zaman itu berlari pantas hinggalah mereka menamatkan pengajian. Dari sembilan orang anak, tujuh telah menjadi graduan dan telah pula bekerja. Lima daripadanya sudah berumahtangga. Cucu saya sudah berderet-deret. InsyaAllah tahun ini datang yang ke 12. Hanya yang kelapan dan kesembilan masih dalam pengajian mereka. Mudah-mudahan dapat melihat sejarah mereka menjadi graduan.
Hidup mana ada yang smooth running. Nothing is plain sailing. Mesti ada ayunan naik dan turunnya. Up and down. Dalam perjalanan itu banyak kesukaran. Banyak halangan. Banyak cubaan. Banyak kepayahan. Banyak ujian. Banyak cabaran. Banyak juga kekangan. Masalah? Mana ada manusia yang bebas masalah. It is how you perceive problems that counts. How you deal with it counts. How you live it counts. How you anticipate it counts. Never say “I give up”. Sebenarnya tiada apa yang harus disesalkan. Tiada apa yang mesti dikecewakan. Tiada apa yang perlu ditangisi. Yes! Kita tidak mungkin mendapat semua yang kita hajatkan. Namun semua yang Allah beri kepada kita adalah melebihi dari yang selayaknya. Itulah kasih sayang Allah kepada kita. Begitu juga ingatan saya kepada winter dan snow yang saya alami dahulu. Masih kuat benar. Rasa dekat di hati.
Di sebalik semua itu winter bukanlah sesuatu yang indah belaka. Ia bergantung kepada persepsi. Orang Barat barangkali beruntung kerana hidup mereka tidak pernah jemu dengan iklim dan cuaca. Dengan suhu yang kerap berubah. Mereka tidak pernah terperangkap dengannya. Tidak pernah sunyi dari mengharunginya. Masih banyak olah dan olahan yang mereka lakukan. Bagi mereka teori SWOT itu sangat relevan. Strength, weaknesses, opportunities and threat. Kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman. Dilihat dengan mata kasar keempat-empatnya adalah empat perkataan yang berlainan. Berlainan makna dan konsepnya. Berlainan konotasinya. Berlainan impaknya. Berlainan guna dan signifikannya. Namun jika dilihat dengan mata hati keempat-empatnya adalah suatu spektrum situasi yang sama.
Kekuatan dalam situasai tertentu mungkin menjadi kelemahan dalam situasai yang lain. Banyak variable yang perlu dipertimbangkan. Dalam keadaan yang sama dan serupa sekalipun kita mengalami variasainya kerana akhirnya kita kembali kepada Allah. Kita merancang, Allah merancang. Sesungguynya perancangan Allah jua yang mengatasi segala-galanya. Kekuatan adalah peluang untuk menjayakan sesuatu. Pada masa yang sama kekuatan itu juga ancaman. Lihatlah orang yang hebat banyak yang hasad dengki. Banyak yang cemburu. Banyak yang iri. Banyak yang berpura-pura tidak mengiktiraf. Maka keempat-empat perkataan dalam SWOT harus dilihat sebagai satu. Interchangeable. Bergantung kepada premis perbincangan kita.
Kembali kepada winter. Dengan salji yang banyak, perjalanan memayahkan. Diperlukan pula memakai pakaian yanag tebal untuk menghangatkan badan. Kena banyak bergerak supaya darah mengalir deras. Jangan duduk diam kerana nantinya akan membeku diri dan isi dalam diri itu. Bukan sahaja fizikal, bahkan minda dan semangat mesti bergerak untuk melakukan sesuatu. Apa-apa yang lahir sebagai idea direalisasikan dalam bentuk produk yang bermanfaat atau bagi yang negatif tentu sahaja fokus mereka adalah untuk memusnah. Winter yang sejuk itu bukan menjadikan kita jumud. Bukan hanya merasa-rasakan sejuknya sahaja.
Mari kita lihat senerio ini. Di mana-manapun di negara kita ini biasa berlaku hujan lebat. Ada masanya banjir pula. Apa orang kita buat? Kunjungilah mereka. Ziarahlah mereka di pusat-pusat pemindahan. Kita melihat pemandangan yang typical. Yang stereotype. Yang lumrahnya begitu. Adakah kita harus menerima begitu sahaja? Kita tentu rasa kacau di dalam hati. Ada kerungsingan yang sukar dilahirkan. Kita banyak bercakap tanpa isi yang menasabah. Tidak dibualkan hal-hal yang membawa kepada produk dan produktiviti. Kita bercerita yang tidak ada hujungnya. Kita ketawa menghibur hati. Natijahnya. Hasilnya. Manfaatnya. Itu yang kita mahu. Itu yang kita cari. Itu yang kita fokuskan. Tetapi yang itulah yang terabai. Cara berfikir kita terlalu superficial. Kukit-kulitnya sahaja. Tidak menjunam mendalam. Mencari akarnya. Hingga ke puncanya. Hingga ke dasarnya. Sekadar ambil tahu tidak banyak membantu. Tidak menyelesaikan masalah. Tidak membina kekuatan.
Kita banyak termenung. Melihat hujan turun sekadar menginsafi turunnya. Masa yang terluang termenung itu tidak dimanfaatkan. Berlalu seperti air turun itu juga. Hilang meresap ke dalam tanah. Mengalir ke dalam parit dan sungai. Terkumpul di laut juga akhirnya. Merenung air bah apa sangatlah yang menggerakkan minda. Air tenang itu menggusarkan tetapi tidak difikirkan di sebaliknya itu. Penilaian SWOT tidak sampai ke minda orangt bayak. Mereka hanyut dengan alam mereka. Diam hanya menangisi diri. Menangisi situasi. Menangisi keadaan. Menganggap diri tidak beruntung. Mengharap bantuan bukan menyumbang. We simply brood. Indulge in selfpity. Drowning sorrows. Kita tidak seharusnya mengharapkannya begitu. Kita mestilah melihat dengan perspektif yang berbeza. Cari manfaat dari kelemahan dan ancaman yang ada di hadapan kita. Darinya bina kekuatan dan mencari peluang-peluang baru.
Dalam kelamahan itu ada kekuatan. Dalam ancaman itu ada peluang. Kekuatan yag disia-siakan tentulah menjadi kelamahan akhirnya. Peluang yang dibiarkan berlalu tentulah menjadi ancaman kepada kita akhirnya. Yang lemah boleh memusnahkan. Yang mengancam boleh meleburkan segala-galanya.
Saturday, February 5, 2011
Winter Pertama Yang Meresap Sejuk
Beberapa ketika di Pittsburgh, khususnya di Oakland, hanya sejuk sahaja dirasa. Bagi orang Malaysia seperti saya, sejuk itu amat terasa. Kita di sini waktu hujan sudah cukup terasa sejuk. Suhu barangkali tidak pernah turun di bawah 75 darjah celcius. Itupun memakai baju tebal. Tutup pendingin hawa dan kipas. Malam tidur di bawah selimut tebal. Orang sekarang menggunakan comforter. Ramai pula berkurung dalam rumah. Takut keluar dalam cuaca tidak menentu. Bila ada angin sepoi-sepoi bahasa, masing-masing memeluk tubuh. Terasa sejuk mencucuk tulang. Sampai di US sejuknya di bawah paras beku. Ada masanya negatif 20 darjah celcius. Bila ada angin, sejuknya bertambah. Mungkin menjunam hingga negatif 50 darjah. Boleh bayangkan? Gila dibuatnya. Saya kira di dalam peti aispun tidak sesejuk itu. Angin mencipta wind chill. Merendahkan lagi suhu. Berganda-ganda kesannya.
Menunggu snow agak lama juga. Tidak bermakna bila masuk winter sahaja pada bulan November secara automatik snow terus turun. Snow turun melewati bulan Disember. Saya kira di Pittsburgh snow pertama saya turun pada pertengahan Januari 1985. Pada waktu malam. Saya tidak sedar berapa suhu sebenarnya. Cuma pada waktu siang bila snow turun selalunya suhu di atas paras beku. Bukan pada 0 darjah celcius. Kadang-kadang pada suhu belasan darjah. Di udara tentulah lebih sejuk. Sebab itu cecair membeku dan turun. Pada kebanyakan masa snow itu bila menimpa baju terus cair. Tanpa meninggalkan bekas. Ia sebenarnya terlalu halus. Benar-benar seperti kapas.
Saya memilih Pittsburgh kerana pada perkiraan saya di sini ada salji. Apabila melihat peta saya melihat garisan lintang. Melihat kedudukannya saya menjangkakan ada salji turun di sini. Jauh-jauh pergi ke negara orang, teringin juga melihat snow. Bermain dengannya. Memijak dan memegangnya. Meramas dan membalingnya. Membuat snowman walaupun tidak pernah melihat orang membuatnya. Nanti snowman itu kekal sepanjang winter. Selagi suhu belum mencairkannya. Dalam seumur hidup itu mungkin kali pertama dan kali terakhir melihat snow. Banyak tempat lain yang saya pohon. Allah makbulkan juga hajat saya. Membawa isteri dan anak-anak bersama kehadiran snow. Kepada orang lain mungkin ianya hanya mimpi sahaja. Kami berpeluang menjejaknya. Hidup bersamanya. Alhamdulillah.
Pagi itu asyik benar saya menikmati kebesaran Allah. Tidak semua negara Allah timpakan salji. Hanya di negara-negara yang berhawa sederhana atau sejuk sahaja. Atau yang di tanah tinggi seperti di banjaran Himalaya. Atau Kilimanjaro di Afrika. Negara-negara lain seperti kita hnaya mendengar cerita. Memandanglah gambar. Menonton video dan filem. Dengar ulasan dan berita. Realitinya tiada siapa yang tahu jika tidak berada di lokasi. Dalam situasi itu. Apa sebenarnya snow. Yang memutih warnanya. Bersinar bila membeku kerana menjadi ais.
Mula-mula mengalami snow turun sangat mengasyikkan. Kepada kita semuanya snow. Kepada orang putih bukan begitu. Ada yang namanya flakes. Ada pula sleet. Dan banyak lagi nama lain. Semuanya berbeza bentuknya. Waktu turunnya. Sejuk dan hangatnya. Jika ribut salji (blizzard) dahsyat yang turun. Bukan snow sahaja. Campur pula dengan sleet. Kedua-duanya memberi kesan yang berbeza. Snow menyenangkan. Kadang-kadang menghibur dalam keadaan biasa. Tanpa angin. Dalam suhu yang tidak begitu sejuk. Sleet juga begitu. Cuma sleet lebih sejuk bila disentuh. Bentuknya dalam kepingan yang sangat nipis dan halus. Seperti ais diparut untuk buat ABC. Cendol mungkin.
Snow yang dinamakan flakes benar-benar seperti kapas berterbangan. Halus. Putih melepak. Ada rupa tetapi disentuh hilang. Berterbangan tanpa arah. Jika ada sedikit angin, terbangnya dibuai-buai. Meliang-liuk. Lambat baru jatuh ke tanah. Ringan dan terlalu ringan. Asyik memandangnya. Al-maklumlah kali pertama memandangnya. Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu. Dibuai-buai seperti di awang-awangan. Seronok benar. Bagi anak-anak yang bersama saya mungkin yang sulung dan yang kedua terkesan dengannya. Yang ketiga dan keempat mungkin samar-samar. Yang kelima terlalu kecil ketika itu. Baru berumur lebih setahun. Selama di US saya merasakan dua kali winter. Dua kali merasakan sejuknya. Saya kira mungkin untuk saki baki umur saya, tidak mungkin akan bertemu snow lagi. Allah Maha Besar. Tahun 1990 saya bertemu lagi snow. Di Toronta, Canada. Bulan Oktober snow sudah mula turun walaupun ketika itu belum sejuk sangat. Subhanallah. Bila Allah memberikan nikmatnya tiada diduga datangnya. Alhamdulillah.
Pada winter pertama itu saya anak beranak cuba menghargai kehadiran snow itu. Berbalut baju tebal. Jaket tebal untk memanaskan badan. Seluar berlapis-lapis. Setokin dua tiga lapis. Sarung tangan lagi. Bila sudah biasa semuanya menjadi biasa. Alah bisa tegal biasa. Dalam jaket tebal badan berpeluh. Sarung tangan sudah boleh ditanggalkan. Tahan juga dengan sejuk snow. Kami berjalan-jalan ke park. Di sana park adalah kawasan lapang. Lapang sangat. Dipenuhi dengan rerumput hijau yang melaut pada musim summer. Hangat dan damai. Ada satu ciri pada orang putih yang tidak ada pada kita. Mereka mempertahankan ruang yang lapang. Padang, bilik, dewan, bangunan dan fikiran. Berada di tempat lapang tentulah memberi kesan psikologi. Dengannya fikiran menerawang lapang. Sebab itu mungkin kreativiti mereka tinggi. Ada sahaja idea baru yang lahir. Prasarana untuk menjadi kreatif itu bermula dengan ruang yang lapang.
Puas bermain snow. Membina snowman seperti satu kemestian. Besar atau kecil hanya saiz. Yang penting, snowman itu jadi bentuknya. Kerana dari snow, jadilah snowman. Sibuklah dihias. Sibuklah bergambar bersama. Suatu islah kegembiraan. Winter bukan untuk dihindar azabnya. Sebaliknya dinikmati. Ada manfaat bagi manusia. Setiap kejadian Allah tiada yang sia-sia.
Gambar ini agak mahal juga rasanya. Di belakang saya kelihatan nama Universiti besar. University of Pittsburgh.

Gambar berlatarbelakangkan Cathedral of Learning. Tersergam dengan ruang besar yang diberi nama a place for reflective thinking.

Seluruh keluarga saya hadir di sini. Cathedral itu menjadi saksi kehadiran kami. Ia bukan gereja tetapi lambang keutuhan pendidikan.

Anak-anak saya dengan snow. Nikmat yang tidak berulang bagi setengah mereka. Hanya yang sulung dan yang kedua akhirnya menjadi graduan universiti di sana kemudiannya.

Sudah tidak takut dengan snow. Sejuk itu bukan lagi ancaman. Menjadi lumrah kerana sudah biasa. Asing pada awalnya sahaja.

Mereka bergambar di hadapan rumah. Halaman rumah penuh dengan snow.

Isteri saya jadi macam Italiano pula.

Dua yang besar menikmati sungguh snow itu. Mereka sudah besar. Yang sulung graduan dari University of Michigan sementara adiknya graduan dari University of Pennsylvania.

Ini anak keempat yang paling pendiam. Dalam snow itu dia
gembira nampaknya.

Yang kelima ketika itu bersama ibunya. Sudah tahan dengan sejuk.

Ini pada winter yang kedua. Berbaju tebal. Snownya juga tebal.

Anak beranak membuat snowman ini. Sama besar dengan anak yang ketiga. Tidak memakai baju tetapi bertopi dan memakai muffler.

Tiga beradik yang kecil bermain salji.

Bapanya yang lebih. Tetapi jika bapanya tidak mula buat, anak-anak mana tahu snowman tu apa.

Di dalam rumah. Nampak sejuk. Pakai baju tebal untuk panaskan badan.

Di park bermain salji.

Anak keampat. Sudah berani dengan kesejukan.

Anak-anak yang sama. Winter yang berlainan. Sejuknya sama di mana-mana.

Anak kedua, Dahlia. Seronok pada winter begitu.

Dua beranak merasakan winter.
Friday, February 4, 2011
Sekolah Anak-Anak
Tadika bagi yang berumur 5 tahun dikira sebagai sebahagian dari sistem sekolah rendah. Sekolah rendah berakhir dengan Gred 5 sewaktu kanak-kanak berumur 10 tahun. Berbanding dengan kita, kanak-kanak di sana memulakan sekolah secara rasmi sewaktu berumur 5 tahun. Kita pula memulakannya sewaktu kanak-kanak berumur 7 tahun. Dua tahun lebih muda. Yang bermakna dua tahun tertinggal. Dua tahun kurang matang. Dua tahun belum digilap. Dua tahun belum diperkembangkan minda dan IQnya (intelligent quotient – kecerdasan minda) . Itu tidak termasuk dari segai EQ (emotional quotient – kecerdasan emosi), SpQ (spiritual quotient – kecerdasan rohani), SQ (social quotient – kecerdasan social), AQ (adversary quotient – kecerdasan semangat). Belum cerita tentang ScQ (science quotient - kecerdasan sains). MQ (mathematical quotient – kecerdasan matematik) dan kecerdasan-kecerdasan yang lain. Anak saya yang ketiga berada dalam zon ini.
Rakan-rakannya benar-benar antarabangsa. Ada orang putih, anak orang hitam, Melayu, Arab, Cina, Latin. Termasuk juga anak dari Indonesia. Bertemulah mereka dalam kelas itu. Tentulah pada mulanya seperti ayam, itik dan angsa. Macam kambing dan lembu serta kerbau. Tetapi sekejap sahaja mereka sudah boleh berkomunikasi. Boleh berinteraksi. Boleh bercakap. Gurunya bukan calang-calang orang. Hanya mengajar kelas tadika. Dia memiliki ijazah sarjana. Masters degree in kindergarten. Tentulah lebih professional. Down to earth tetapi mengetahui serba serbi tentang tugasnya.
Anak ketiga, Nurul Najwa, nombor 2 berdiri dari kiri di barisan belakang sekali. Sekarang pensyarah di Politeknik Merlimau Melaka. Begitulah kombinasi antarabanagsa rakan-rakan sekelasnya. Gurunya Ms Kellay memiliki Sarjana Pendidikan Tadika.
Anak keempat, Nurin Naurah, memakai kemeja-T berwarna merah. Duduk nombor 5 dari kiri barisan kedua. Sekarang jurutera di sebuah syarikat swasta di KL. Rakan-rakannya juga antarabangsa. Waktu itu terlalu kecil saiznya. Hingga sekarang dia yang paling kecil antara adik beradiknya. Gurunya Ms Couch sangat sayang kepadanya. Waktu hari terakhir saya ambil Nurin sebelum pulang ke Malaysia, bukan sahaja Nurin yang dicium, Ms Couch turut mencium pipi saya. Apa nak buat. Hadiah. Hendak mengelak tidak sempat. Terima kasih dan bye-bye sahaja yang dapat diberikan.
Adiknya yang berumur tiga tahun berada dalam kelas headstart. Sekarang baru diperkenalkan di Malaysia. Program Permata Hatiku yang banyak kontroversinya itu. Middle school adalah dari gred 6 – 8. Ianya bagi kanak dari umur 11 hingga 13 tahun. Anak saya yang sulung layak ke Gred 8. Sementara adiknya di Gred 7.
Sekolah rendah dan sekolah menengah berada dalam lokasi yang bertentangan. Sekolah menengah kira-kira satu kilometer. Sekolah rendah kira-kira dua kilometer. Yang sekolah menengah boleh pergi sendiri dengan berjalan kaki. Setiap hari mereka berjalan kaki. Pergi dan balik. Tiada apa yang menyusahkan. Mereka ke sekolah dengan berlenggang kangkung sahaja. Tidak perlu membawa beg. Tidak perlu membawa buku. Kesemua buku ditingalkan di sekolah. Setiap pelajar ada pigeon-hole masing-masing. Jika winter mereka memakai baju tebal. Jika summer pakailah baju biasa sahaja.
Sistem persekolahan menengah di US bermula dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 3.00 petang. Makan tengahari di sekolah. Yang kaya membayar tetapi yang miskin (pelajar Malaysia dikira miskin kerana biasiswa yang diterima di bawah paras kemiskinan di US) percuma. Anak yang tadika balik pukul 11. Masuk pukul 8.00. Tiga jam sahaja. Tetapi dia tidak ada makanan. Kena sarapan di rumah. Atau balik ke rumah baru makan. (Ketika menulis ayat ini terbayang sangat waktu mengurus anak-anak yang dua orang ini). Terlau pantas masa berlalu. Sudah 26 tahun yang lalu.
Yang headstart agak istimewa. Datang pukul 8.00 terus makan. Setengah jam lamanya. Masa hendak balik dia makan lagi. Setengah jam juga. Hanya dua jam dia belajar. Kanak-kanak kecil ini dilatih dan diajar. Dibimbing dan diasuh cara makan dan amalan pemakanan yang sesuai dan menyihatkan. Pastinya ada susu segar. Ada jus buah. Ada sayur. Ada buah. Ada roti. Cuma saya catatkan pada profailnya yang dia no chicken and no beef. Orang putih pelik. Chicken dan beef itu penting untuk proses tumbesaran kanak-kanak. Suatu hari saya ditanya oleh pakar pemakanan sekolah. Seorang wanita yang sudah agak berumur. Dalam ramai-ramai bapa, dia masih boleh mengenal saya. Bapa anak keempat saya. Mungkin dia bertanya kepada guru.
Dia bertanya, ‘Why it is stated that your daughter is not taking chicken and beef?’ Saya jawab, ‘We’re Mouslims. We do take chicken and beef but must be slaughtered by Mouslims.’ ‘Do you have them here?’ ‘Oh yes! There are Mouslim’s store around here.’ ‘Ok.’ Dia menerima penjelasan saya. Di sana makanan atas alasan agama tidak menjadi isu. Jika ke pasar ingin menyembelih sendiri ayam yang hendak dibeli, tiada masalah langsung. Ramai pelajar Malaysia pergi ke ladang kambing atau lembu untuk membeli seekor atau dua lembu dan kambing. Sembelih sendiri. Mereka benarkan atas alasan agama. No question asked. No big deal.
Lihatlah. Di sekolah mereka ada pakar makanan. Nutritionist. Kita setakat ada penyelia asrama. Kita harapkan penyelia inilah yang berlakon menjadi pakar makanan. Menentukan khasiat makanan. Imbangan makanan. Piramid makanan. Keperluan asasi makanan pelajar sekolah menengah. Bagaimanalah penyelia ini boleh bertindak seperti pakar sedangkan dia tidak langsung dilatih untuk memahami faktor makanan. Faktor keperluan makanan untuk pelajar sekolah menengah. Bagaimana keperluan kanak-kanak sebelum baligh. Untuk tingkatan satu dan dua. Bagaimana keperluan makanan untuk yang lepas baligh. Bagaimana pula yang berada di hujung remaja. Tidak sama. Proses tumbesarn berbeza. Kematangan berbeza. Kapasiti minda mereka berbeza. Fizikal mereka berbeza. Keperluan makanan bagi pelajar juga berbeza antara pelajar perempuan dengan pelajar lelaki. Di sekolah menengah tidak ada masalah. Anak saya sudah boleh menjawabnya.
Sebenarnya ramai pelajar Malaysia yang membenarkan anak-anak mereka makan apa sahaja hidangan. Ada chicken, makan. Ada beef, makan. Tiada halangan. Tiada sekatan. Semuanya boleh. Saya masih tidak yakin bahawa kesemuannya itu boleh dimakan. Pada saya tidak boleh. Tetapi setelah kembali dari luar negara hal itu saya cari juga jawapannya yang pasti. Bertahun-tahun kemudian semasa mengikuti Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin di Universiti Malaya baru saya dapat jawapannya dengan pasti. Sembelihan ahli kitab boleh dimakan. Tetapi bukan sembelihan ahli kitab di Malaysia. Mereka baru memeluk Kristian. Di Barat mereka sudah Kristian berkurun-kurun. Orang Yahudi memang selamanya ahli kitab. Memang mereka bukan Islam. Itu bukan isu. Yang dibincangkan ialah mereka ahli kitab.
Dari headstart anak-anak mereka dilatih untuk makan makanan seimbang. Kombinasi makanan yang sesuai mengikut umur. Sayur dan buah-buahan adalah kemestian. Daging putih (chicken) dan daging merah (beef, mutton) juga dihidangkan.
Kita ada program makanan tambahan. Untuk mereka yang kurang berada. Cuba Tanya. Adakah mengikut piramid makanan. Adakah mengikut pertimbangan makanan seimbang. Berapa banyak sayurnya. Ada atau tidak buah-buahan. Susu. Jus. Bagaimana kita melaksanakan semua ini tanpa pakar pemakanan. Guru tidak tahu. Pengetua tidak tahu. Orang kantin juga tidak tahu. Yang dihidangkan ialah nasi lemak, mee kasar dan bihun goreng. Itupun banyak keracunan. Penyediaannya? Wallahu ‘alam. Susu juga melewati tarikh guna. Kanak-kanak seharusnya menjadi insuran kita pada masa hadapan. Bila mereka diracun harapan itu musnah.
Thursday, February 3, 2011
Kelas Yang Letaknya Akhir Bukan Pengakhir Usaha
Pada tahap yang lain reaksinya mungkin negatif. Maaf. Guru kadang-kadang pesimis juga. Hendakkan yang terbaik sahaja. Dianggap mudah menjalankan tugas mengajar. Rezeki terbaik. Bila kelas hujung-hujung dianggap nasibnya malang. Rezekinya negatif. Buntu fikiran. Melemahkan semangat. Melunturkan motivasi. Tiada persangsang langsung. Malas hendak difikirkan. Pandai engkaulah. Jika hendak belajar, belajarlah. Jika tidak, pandai-pandailah membawa diri. Bukan kerja aku hendak memandaikan pelajar. Ibu bapanyalah yang bertanggungjawab. Kenapa pula guru seperti aku yang diberi beban. Mana ada keadilan.
Guru lain celupar juga mulutnya. Tidak ada insuran. Lupa sumpah dan setia. Bahawa khidmatnya hanya untuk negara. Untuk DYMM Yang DiPertuan Agung. Untuk Malaysia. Untuk agama. Untuk nusa. Untuk bangsa. Untuk masyarakat. Untuk profesion keguruannya. Kerana Allah adalah sebagai kemuncak bakti yang hendak dicurahkannya. Maka kerana itu mendidik anak bangsa itu keutamaan. Priority. Mencelikkan mereka dari kegelapan untuk mencari cahaya ilmu. Biar mereka bertatih. Nanti mereka boleh berlari kencang memimpin bangsanya yang lain untuk ke hadapan menuju akhirat dengan penuh ganjaran. Penuh anugerah dari Allah.
Kebanyakan guru lemas dan tenggelam punca berhadapan dengan pelajar-pelajar yang agak tertinggal di belakang. Ada konotosi bahawa mereka lambat. Lemah. Tidak pandai. Tidak cerdik. Tidak arif. Tidak bestari. Tidak bijaksana. Sukar menjadikan mereka jauhari. Bukan cendiakawan. Bukan bijaklaksana. Mereka bukan intan berlian. Bukan emas tempauan. Lalu mereka disorok di hujung-hujung dunia. Dilindung dari kegemilangan. Ditutup dari menerima cahaya sebenar. Cahaya ilmu yang terang, cerah dan bergemerlapan.
Hadir mereka hanya jadi pelengkap. Hanya sekadar yang kurap pembawa buluh. Yang pekak peledak meriam. Yang buta penghembus lesung. Tidak menyibuk di rumah. Ibu bapa serah sepenuhnya kepada guru. Pandai gurulah memikirkannya. Bukan ibu bapa. Jadilah mereka bak di hadapan menghalang-halang. Duduk di belakang menolak-nolak. (Saya ambil peribahasa Jawa. Nang ngarep nyandungi. Nang buri nyarungi). Di hadapan tidak boleh. Di belakang lagilah tidak boleh. Di hadapan terlalu lambat. Di belakang jauh tertinggal. Guru hilang kesabaran. Hilang kawalan. Ibarat air yang sudah melimpah, bagaimana hendak mengempangnya. Bagaimana hendak mengalih alirannya. Ke mana pelajar itu harus dibawa.
Jika mereka keluar tanpa mengetahui apa-apa sebenarnya seluruh warga sekolah perlu rasa bersalah. Ratusan guru di sekolah itu tidak berjaya berbuat apa-apa. Malah seluruh sistem pedidikan dipersoal kerana masih ada pelajar yang tidak mencapai tahap minimum. Keluar dari sekolah pelajar semestinya tahu membaca, tahu menulis, tahu mengira. Tahu menurunkan tandatangan. Jika tidak makan gaji sekalipun mungkin boleh berniaga kecil-kecilan. Boleh hidup tanpa pendapatan lumayan.
Guru mestilah kembali ke dasarnya. Bina kasih sayang. Selami hati budi pelajar. Dapatkan maklumat tentang keluarganya. Ada beberapa perkara yang harus diketahui. Apabila anak-anak bermasalah, puncanya datang dari rumah. Dari bapa. Dari ibu. Dari keduanya. Rumahnya. Fasiliti rumahnya. Sumber makan minumnya di rumah. Kejiranannya. Pedidikan ibu dan bapanya. Cara didikan di rumah. Psikologi ibu dan bapanya. Amalan ibu dan bapanya. Berapa ramai adik beradiknya. Dia anak yang keberapa dalam keluarga. Taraf sosial ibu bapanya. Masyarakat sekelilingnya. Sikap guru-guru lain di sekolah. Gurunya di sekolah rendah dahulu. Gurunya di TADIKA. Kesihatannya sewaktu dikandung ibunya. Bagaimana pula proses kelahirannya. Sejarah sewaktu bayinya. Sejarah kanak-kanaknya. Pedagogi guru juga harus dilihat semula.
Pelajar-pelajar adalah manusia. Mereka tidak berminat kerana tiada kesedaran. Tidak mengetahui. Tidak ada rasa sayang. Tidak ada bibit cinta. Tidak nampak jalan menilai sesuatu dengan melihat keindahannya. Tidak dapat membezakan intan dengan kaca. Tidak dapat mendidik mindanya untuk mengenal yang hak. Yang guru lihat hanya symtomnya sahaja. Tanda-tanda luaran sahaja. Malas itu hanya tanda. Nakal itu tanda. Tidak membuat kerja rumah hanya tanda. Tidak memberi perhatian adalah tanda. Tidak menghormati guru juga tanda.
Penghormatan bukan boleh dipinta. Tidak boleh dipaksa. Tidak boleh dibeli. Tidak boleh didesak. Tidak boleh diragut. Apatah lagi untuk dirampas dari sesiapa. Kembalikan penghormatan kepada pelajar. Panggil mereka dengan nama sepenuhnya. Umpamanya Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin. Atau wahai anak lelaki kesayangan Haji Mohamad Kamaluddin. Atau wahai anak perempuan kesayangan Haji Mohamad kamaluddin. Atau yang saya muliakan Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin. Atau sahabat saya Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin. Atau wira harapan saya Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin.
Saya kira jika itu dapat guru lakukan, pelajar-pelajar tentu tersintak. Ada doa dan ada harapan dalam semua kata-kata itu. Guru memuliakan mereka. Guru menghormati mereka seadanya. Menghormati mereka sebagai mereka. Membesarkan mereka. Memartabatkan mereka. Meletakkan mereka di tempat yang tinggi. Bawa mereka terbang diawang-awangan. Sedarkan mereka bahawa itulah nanti gelaran dan panggilan yang akan mereka terima bila dewasa nanti. Mahu dipanggil sekadar encik atau tuan. Mahu dimulia atau dihina. Mahu duduk di bawah hingga tiada siapa yang kenal atau duduk di tempat tinggi. Dikenal ramai orang.
Doa tidak banyak. Pertama baca robbis rahli sodri wayasirli amri wahlul uqdatam min lisani yapqahuqouli. Keduanya 'robbi zidni ilma'. Cuba cari pada buku-buku yang mengandungi doa2 penerang hati. Doa menambah ilmu. Doa membuka minda. Doa pemudah. Pelembut hati. Boleh juga baca doa Nabi Daud. Doa melembutkan besi. Saya cadangkan setiap kali memulakan kelas, bagi salam sepenuhnya. Lepas itu selawat selengkapnya. Baca doa mana yang diingat. Boleh baca dengan memegang buku. Atau catatan. Mana yang agak malas bimbing sewaktu membuat latihan. Yang nakal buat seperti yang saya tulis dalam blog saya “menangani pelajar nakal” beberapa hari yang lalu. Yang bising beri kerja berat dan banyak lagi.
Yang hyperaktif ada cara yang pernah saya lakukan. Semasa ke kelas bawa sebahagian buku. Tingglkan yang lain. Bila sampai di kelas suruh pelajar yang hyperaktif untuk mengambil buku-buku di meja guru. Bila dia sampai, suruh dia menghantar pula buku yang guru bawa tadi ke meja guru di bilik guru. Turun naik tangga. Berjalan ke bilik guru sebanyak dua kali sudah cukup memenatkan. Cuma guru hendaklah pandai berlakon. Semasa menyuruh, maniskan muka seberapa manis yang boleh. Beri pujian melangit. Usap jiwanya. Sentuh egonya. Niat guru hanya untuk melunturkan tenaganya. Untuk memisahkan dirinya dengan hyperaktifnya. InsyaAllah dia akan lemah dan lemas. Namun pujian-pujian guru memberi kepuasan kepadanya. Penat itu diterimanya dengan senang hati. Percayalah, nanti ada pelajar lain yang cemburu. Itu kerja lain. Ada cara lain untuk meleraikan cemburu. Nanti saya fikirkan.
Bila guru bercakap hendaklah satu-satu. Terang dan jelas sebutannya. Pandang mereka lambat-lambat. Renung mereka dengan rasa biasa. Jika boleh dengan rasa kasih. Perihatin. Redupkan mata. Ukir sedikit senyum. Buat seolah-olah guru tidak kisah dengan gelagat mereka. Tidak mahu ambil pusing apa yang mereka buat. Naik dan turunkan pitching suara. Sekiranya kebisingan memuncak. Berhenti bercakap. Bila hendak mula bercakap bermula dari suara rendah. Naikkan nada perlahan-lahan. Kawal dan kekalkan pada tahap tertentu. Tahap yang manarik perhatian pelajar. Yang mereka rasa tertarik. Terpegun. Tertegun. Yang boeh memanjangkan leher mereka. Membesarkan telinga mereka.Beri tumpuan seorang demi seorang setiap kali. Mungkin hari ini seorang. Esok pelajar lain. Hingga akhirnya semua pelajar mendapat sentuhan peribadi dari guru. Jangan lokek dengan pujian. Ucapan terima kasih. Sebelum keluar kelas doakan mereka sihat dan menjadi pandai.
Yang malas sangat cuba kaunseling secara peribadi. Bawa ke bilik kaunseling atau ke bilik guru atau ke kantin kalau boleh belanja mereka. Segelas air sudah memadai. Sekali seumur hidup. Sentuh ibu bapanya. Adik beradiknya. Dirinya. Masa depannya. Situasi sekarang. Begitu juga rakan-rakannya.
Hingga setakat ini jangan stereotaip pelajar. Jangan label mereka. Jangan beri gelaran apa-apa selain namanya yang sebenar. Nama sepenuhnya. Itu cara memuliakan mereka. InsyaAllah boleh guru lakukan. Cuba dulu. Mudah-mudahan berjaya. Jika perlu solat hajat. Untuk pelajar-pelajar sendiri. Allah akan membantu. Always turn to Allah kata Maher Zain. He will be there for you. InsyaAllah.
Tuesday, February 1, 2011
Pegurusan Perpustakaan
Menelusuri perpustakaan di University of Pittsburgh adalah suatu kemestian. Dari pagi hingga ke malam. Tujuh hari seminggu. Banyak budaya belajar yang berbeza di sana berbanding dengan di sini. Sistem pendidikannya sangat terbuka. Ada kebebasan. Tiada had masa. Tiada halangan waktu. Tiada rintangan hari. Perpustakaan dibuka bukan secara birokratik. Bukan ikut waktu pejabat. Bukan ikut kebiasaan. Manusia yang memasukinya juga bukan ada sekatan.
Di US, sesiapa sahaja boleh memasuki perpustakaan. Orang tua yang sudah hampir tidak boleh berjalan kerana uzur dan tua boleh masuk ke perpustakaan pada bila-bila masa. Boleh membaca apa sahaja bahan yang ada. Boleh menggunakan semua fasiliti yang disediakan. Boleh membuat rujukan sesuka hati. Falsafahnya sangat mudah. University of Pittsburgh adalah university kerajaan. Dibina mengunakan wang rakyat. Semua pembayar cukai ada saham atas pembinaannya. Kerana itu mereka berhak menggunakannya. Menziarahinya. Dusuk di dalamnya. Menggali khazanahnya. Top-up ilmu yang mereka ada. Mengembara lagi dalam alam bacaan dan tulisan. Pengembaraan yang tidak pernah ada tepinya. Tidak ada destinasinya. Bacalah. Rujuklah. Memanglah kesemua khazanah itu begging to be read. Begging to be explored.
Pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah biasa masuk dan keluar ke perpustakaan itu. SubhanAllah! Ilmu seperti udara layaknya di US. Boleh dihirup dengan kos yang sangat murah. Mereka sangat cintakan ilmu. Dari kecil mereka dijinakkan dengan perpustakaan. Perpustakaan universiti lagi. Anak saya yang sulung membuat projek American History dan mengkhusus tentang Red Indian. Seperti biasanya rujukan ada di Uniersity of Pittsburgh. Saya yang meminjam. Anak saya yang merujuk. Memang biasapun anak saya membuat rujukan di perpustakaan itu. Ketika itu dia di Tingkatan satu jika di Malaysia. Di sana dalam Gred 8. Adiknya yang kedua dalam Gred 7 membuat projek tentang laser. Pelajar di Malaysia tidak kenal laser waktu itu. Sewaktu menonton filem Star Wars ramai yang tidak faham tentang senjata yang digunakan dalam filem itu. Betapa jauhnya sains dan teknologi mereka. Tahun 1985 anak saya sudah mengkaji laser. Maka ke universiti juga dicari rujukannya.
Begitulah advancenya pendidikan di US. Jauh sangat berbeza dengan kita. Di sini perpustakaan eksklusif untuk pelajar berdaftar dan stafnya sahaja. Orang di luar sana tiada hak langsung menghampirinya. Tentulah sesuatu yang ironis. Perpustakaan itu dibina dengan wang pembayar cukai. Dari masyarakat. Untuk masyarakat khazanahnya. Tetapi sayang. Mereka hanya menjadi penonton. Perpustakaan adalah kawasan larangan walaupun ilmunya sepatutnya dikongsi bersama. Ada kenakalan di situ. Kita menjadi selfish. Pentingkan diri sendiri. Kita tamak dengan imu sedangkan khazanah itu bukan kita yang punya. Kita hanya pinjam untuk menggunakannya. Hanya sementara kita bertugas dan berdaftar dengan universiti itu.
Di US, menggunakan fasiliti perpustakaan universiti tiada hadnya. Meminjamnya mungkin ada sekatan. Oleh itu bagi mereka yang ingin meminjam pastinya mendaftar dan membayar sejumlah yuran. Formality bukan sesuatu yang membebankan. Mereka kembali kepada hak. Semua orang berhak atas semua ilmu yang ada. Barangkali itulah lambang demokrasi sebenar. Semua orang ada hak ke atas seuatu yang asas. Ilmu. Perlu dikongsi. Diusahakan supaya boleh dikongsi. Dengan perkongsian itu ilmu menyebar. Mengembang. Natijahnya, ahli masyarakat turut berilmu. Bukan sahaja ahli akademik yang belajar. Bukan mereka sahaja yang pandai. Semua orang ada hak untuk pandai.
Pada awal-awalnya saya ada sistem yang tidak saya fahami. Lama-lama dapat juga saya melihat keindahan sistemnya. Perpustakaan dibuka dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 12.00 tengah malam. Setiap hari tanpa kecuali. Tanpa gagal. Pada hari Jumaat pula perpustakaan ditutup pada pukul 10.00 malam. Pada hari Sabtu perpustakaan ditutup pada pukul 12.00 tengahari. Pada hari Ahad perpustakaan dibuka pada pukul 12.00 tengahari dan ditutup pada pukul 12.00 tengah malam. Boleh faham saudara? Kenapa pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad waktunya berbeza dengan hari-hari biasa? Saya gagal memahaminya pada waktu mula-mulanya. Apa sebabnya? Ada falsafahnya ke? Peraturannya begitu ke? Atau apa sebenarnya? Memerhati dan mengambil iktibarlah saya. Mencari jawapan kepada sesuatu yang asing. Yang tidak pernah dialami sistemnya sebelum ini. Rupanya ada kaitan dengan budaya. Ada kaitan dengan sistem. Ada kaitan dengan kebiasaan.
Begitulah. Bila kita menemui sesuatu yang yang baru, carilah jawapannya. Tidak boleh mengkritik melulu. Tidak boleh menafikan tanpa usul periksa. Tidak boleh menolak begitu sahaja. Lihat. Amati. Terap dalam minda dan perasaan. Rupanya sistem itu ada kaitan dengan budaya akademik. Ada kaitan dengan budaya belajar. Dihubungkan pula dengan budaya hujung minggu. Di mana-mana negarapun hujung minggu adalah sesuatu yang dinanti-nanti. Yang dirancang untuk dirayakan. Direncanakan untuk membahagiakan diri masing-masing.
Perpustakaan ditutup pada pukul 10.00 malam pada hari Jumaat untuk set minda pelajar dan staf akademik bahawa isyarat hujung minggu sudah tiba. Jangan mabuk belajar hingga lupakan diri. Hingga hilang pertimbangan untuk bersosial. Bersantai melepas lelah. Santai meplepaskan minda dari keterikatan berat menggunakannya sepanjang minggu. Tidak membebankan minda hingga stress dan ditakuti pula burnout. Lemas dengan lingkungan bikinan sendiri. Sedangkan life is beautiful. Full of promises. It is to be enjoyed and not to be spent at all costs. It should be spent for its promises.
Pada hari Sabtu perpustakaan ditutup pada pukul 12.00 tengahari. Yes. This is weekend. Let’s enjoy it. Maka hujung minggu itu hiduplah malamnya. Ada jamuan di sana. Ada parti di sini. Atau mereka outdoor jika summer. Memancing barangkali. Ke gunung untuk hiking. Ke park untuk santai dan berekreasi. Dari tengahari itu berhimpunlah mereka dalam kelompok masing-masing untuk socializing. Berinteraksi dalam suasana santai bersama teman dan taulan yang seiring. Yang sejalan fikirannya. Sama-sama mencari diri masing-masing. Mencari arah hidup yang dibina bersama. Bagi yang lain itulah fraternity. Lambang kebersatuan antara mereka.
Selama 24 jam mereka enjoy sakan. Hujung minggu itu dilunaskan. Dihabiskan sementara diselang dengan waktu belajar pada minggu berikutnya. Dari petang Sabtu hingga malamnya mereka berada di kayangan. Beristirehat. Berbahagia dengan diri masing-masing. Dengan teman. Atau dengan pasangan. Pada pagi hari Ahad mereka mungkin terkejut dari keindahan ujung minggu. Mungkin ada lagi assignment yang belum siap. Esok hari Isnin. Assignment perlu disiapkan dan perlu dihantar. Itulah jawapannya mengapa perpustakaan dibuka pada pukul 12.00 tengahari pada hari Ahad. Masih sempat membuat rujukan. Masih sempat membuat assignment. Hujung minggu telah habis dengan enjoy. Minggu yang datang mesti dihadapi dengan jadual akademik. Bukan bermula pada pagi hari Isnin mingu itu. Ianya bermula pada tengahari hari Ahad. Hujung mingu sebelumnya. Renungkan keindahannya sistem belajar di sana. Tiada di sini. Tiada dan entah bila boleh berada di sini.
Seperti cantik sungguh jalan hidup mereka. Skripnya teratur. Ada sistem. Ada jalan cerita yang predicted. Sangat teratur. Setiap perinciannya diambil kira. Difikirkan. Mungkin itu sebahagian dari psikologi dan kebajikan pelajar yang disediakan oleh universiti. Belajar itu santai. Belajar itu nikmat. Belajar itu penuh dengan harapan indah. Belajar itu dijanjikan masa hadapan yang cerah. Landasannya disediakan sebanyak dan sebaik mungkin. Lapangannya dibentang bersama. Belayarlah mereka mebina tamadun mereka. Walaupun tidak kesemua tamadun mereka sesuai dengan kita tetapi kita melihat dambaannya yang sangat meluas. Banyak juga yang kita nikmati. Aduhai bila agaknya kita dapat sampai ke tahap itu.
