Tuesday, February 1, 2011

Pegurusan Perpustakaan

Di mana-mana IPT, perpustakaan adalah pusat tumpuan pelajar dan staf ademiknya. Di situlah terhimpun segala khazanah ilmu. Carilah apa yang diingini, pastinya ada di sana. Jika tidak secara fizikal tentunya secara maya. Banyak akses untuk mendapatkan apa sahaja yang terlintas di hati. Apa sahaja yang diperlukan jawapannya. Di luar sana ramai orang yang menjadi sumber ilmu. Sama ada ilmu naqli atau ilmu aqli. Allah memberi ruang kepada manusia untuk membantu manusia lain. Berkongsi apa yang mereka ada. Akhirnya kita semua dapat hidup beriringan sesama manusia. Untuk melestarikan kemanusiaan kita bersama. Kesimbungan yang namanya manusia. Fitrahnya ingin mengetahui. Lalu mencari. Lalu meneroka. Lalu mengeksperimen. Lalu menemui apa yang dicari. Tidak kira di Timur atau di Barat. Di Utara atau di Selatan. Mencari itu sunnah. Menambah dan menghimpun khazanah yang diperlukan manusia. Untuk anak cucu yang akan ditinggalkan.

Menelusuri perpustakaan di University of Pittsburgh adalah suatu kemestian. Dari pagi hingga ke malam. Tujuh hari seminggu. Banyak budaya belajar yang berbeza di sana berbanding dengan di sini. Sistem pendidikannya sangat terbuka. Ada kebebasan. Tiada had masa. Tiada halangan waktu. Tiada rintangan hari. Perpustakaan dibuka bukan secara birokratik. Bukan ikut waktu pejabat. Bukan ikut kebiasaan. Manusia yang memasukinya juga bukan ada sekatan.

Di US, sesiapa sahaja boleh memasuki perpustakaan. Orang tua yang sudah hampir tidak boleh berjalan kerana uzur dan tua boleh masuk ke perpustakaan pada bila-bila masa. Boleh membaca apa sahaja bahan yang ada. Boleh menggunakan semua fasiliti yang disediakan. Boleh membuat rujukan sesuka hati. Falsafahnya sangat mudah. University of Pittsburgh adalah university kerajaan. Dibina mengunakan wang rakyat. Semua pembayar cukai ada saham atas pembinaannya. Kerana itu mereka berhak menggunakannya. Menziarahinya. Dusuk di dalamnya. Menggali khazanahnya. Top-up ilmu yang mereka ada. Mengembara lagi dalam alam bacaan dan tulisan. Pengembaraan yang tidak pernah ada tepinya. Tidak ada destinasinya. Bacalah. Rujuklah. Memanglah kesemua khazanah itu begging to be read. Begging to be explored.

Pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah biasa masuk dan keluar ke perpustakaan itu. SubhanAllah! Ilmu seperti udara layaknya di US. Boleh dihirup dengan kos yang sangat murah. Mereka sangat cintakan ilmu. Dari kecil mereka dijinakkan dengan perpustakaan. Perpustakaan universiti lagi. Anak saya yang sulung membuat projek American History dan mengkhusus tentang Red Indian. Seperti biasanya rujukan ada di Uniersity of Pittsburgh. Saya yang meminjam. Anak saya yang merujuk. Memang biasapun anak saya membuat rujukan di perpustakaan itu. Ketika itu dia di Tingkatan satu jika di Malaysia. Di sana dalam Gred 8. Adiknya yang kedua dalam Gred 7 membuat projek tentang laser. Pelajar di Malaysia tidak kenal laser waktu itu. Sewaktu menonton filem Star Wars ramai yang tidak faham tentang senjata yang digunakan dalam filem itu. Betapa jauhnya sains dan teknologi mereka. Tahun 1985 anak saya sudah mengkaji laser. Maka ke universiti juga dicari rujukannya.

Begitulah advancenya pendidikan di US. Jauh sangat berbeza dengan kita. Di sini perpustakaan eksklusif untuk pelajar berdaftar dan stafnya sahaja. Orang di luar sana tiada hak langsung menghampirinya. Tentulah sesuatu yang ironis. Perpustakaan itu dibina dengan wang pembayar cukai. Dari masyarakat. Untuk masyarakat khazanahnya. Tetapi sayang. Mereka hanya menjadi penonton. Perpustakaan adalah kawasan larangan walaupun ilmunya sepatutnya dikongsi bersama. Ada kenakalan di situ. Kita menjadi selfish. Pentingkan diri sendiri. Kita tamak dengan imu sedangkan khazanah itu bukan kita yang punya. Kita hanya pinjam untuk menggunakannya. Hanya sementara kita bertugas dan berdaftar dengan universiti itu.

Di US, menggunakan fasiliti perpustakaan universiti tiada hadnya. Meminjamnya mungkin ada sekatan. Oleh itu bagi mereka yang ingin meminjam pastinya mendaftar dan membayar sejumlah yuran. Formality bukan sesuatu yang membebankan. Mereka kembali kepada hak. Semua orang berhak atas semua ilmu yang ada. Barangkali itulah lambang demokrasi sebenar. Semua orang ada hak ke atas seuatu yang asas. Ilmu. Perlu dikongsi. Diusahakan supaya boleh dikongsi. Dengan perkongsian itu ilmu menyebar. Mengembang. Natijahnya, ahli masyarakat turut berilmu. Bukan sahaja ahli akademik yang belajar. Bukan mereka sahaja yang pandai. Semua orang ada hak untuk pandai.

Pada awal-awalnya saya ada sistem yang tidak saya fahami. Lama-lama dapat juga saya melihat keindahan sistemnya. Perpustakaan dibuka dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 12.00 tengah malam. Setiap hari tanpa kecuali. Tanpa gagal. Pada hari Jumaat pula perpustakaan ditutup pada pukul 10.00 malam. Pada hari Sabtu perpustakaan ditutup pada pukul 12.00 tengahari. Pada hari Ahad perpustakaan dibuka pada pukul 12.00 tengahari dan ditutup pada pukul 12.00 tengah malam. Boleh faham saudara? Kenapa pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad waktunya berbeza dengan hari-hari biasa? Saya gagal memahaminya pada waktu mula-mulanya. Apa sebabnya? Ada falsafahnya ke? Peraturannya begitu ke? Atau apa sebenarnya? Memerhati dan mengambil iktibarlah saya. Mencari jawapan kepada sesuatu yang asing. Yang tidak pernah dialami sistemnya sebelum ini. Rupanya ada kaitan dengan budaya. Ada kaitan dengan sistem. Ada kaitan dengan kebiasaan.


Begitulah. Bila kita menemui sesuatu yang yang baru, carilah jawapannya. Tidak boleh mengkritik melulu. Tidak boleh menafikan tanpa usul periksa. Tidak boleh menolak begitu sahaja. Lihat. Amati. Terap dalam minda dan perasaan. Rupanya sistem itu ada kaitan dengan budaya akademik. Ada kaitan dengan budaya belajar. Dihubungkan pula dengan budaya hujung minggu. Di mana-mana negarapun hujung minggu adalah sesuatu yang dinanti-nanti. Yang dirancang untuk dirayakan. Direncanakan untuk membahagiakan diri masing-masing.

Perpustakaan ditutup pada pukul 10.00 malam pada hari Jumaat untuk set minda pelajar dan staf akademik bahawa isyarat hujung minggu sudah tiba. Jangan mabuk belajar hingga lupakan diri. Hingga hilang pertimbangan untuk bersosial. Bersantai melepas lelah. Santai meplepaskan minda dari keterikatan berat menggunakannya sepanjang minggu. Tidak membebankan minda hingga stress dan ditakuti pula burnout. Lemas dengan lingkungan bikinan sendiri. Sedangkan life is beautiful. Full of promises. It is to be enjoyed and not to be spent at all costs. It should be spent for its promises.

Pada hari Sabtu perpustakaan ditutup pada pukul 12.00 tengahari. Yes. This is weekend. Let’s enjoy it. Maka hujung minggu itu hiduplah malamnya. Ada jamuan di sana. Ada parti di sini. Atau mereka outdoor jika summer. Memancing barangkali. Ke gunung untuk hiking. Ke park untuk santai dan berekreasi. Dari tengahari itu berhimpunlah mereka dalam kelompok masing-masing untuk socializing. Berinteraksi dalam suasana santai bersama teman dan taulan yang seiring. Yang sejalan fikirannya. Sama-sama mencari diri masing-masing. Mencari arah hidup yang dibina bersama. Bagi yang lain itulah fraternity. Lambang kebersatuan antara mereka.

Selama 24 jam mereka enjoy sakan. Hujung minggu itu dilunaskan. Dihabiskan sementara diselang dengan waktu belajar pada minggu berikutnya. Dari petang Sabtu hingga malamnya mereka berada di kayangan. Beristirehat. Berbahagia dengan diri masing-masing. Dengan teman. Atau dengan pasangan. Pada pagi hari Ahad mereka mungkin terkejut dari keindahan ujung minggu. Mungkin ada lagi assignment yang belum siap. Esok hari Isnin. Assignment perlu disiapkan dan perlu dihantar. Itulah jawapannya mengapa perpustakaan dibuka pada pukul 12.00 tengahari pada hari Ahad. Masih sempat membuat rujukan. Masih sempat membuat assignment. Hujung minggu telah habis dengan enjoy. Minggu yang datang mesti dihadapi dengan jadual akademik. Bukan bermula pada pagi hari Isnin mingu itu. Ianya bermula pada tengahari hari Ahad. Hujung mingu sebelumnya. Renungkan keindahannya sistem belajar di sana. Tiada di sini. Tiada dan entah bila boleh berada di sini.

Seperti cantik sungguh jalan hidup mereka. Skripnya teratur. Ada sistem. Ada jalan cerita yang predicted. Sangat teratur. Setiap perinciannya diambil kira. Difikirkan. Mungkin itu sebahagian dari psikologi dan kebajikan pelajar yang disediakan oleh universiti. Belajar itu santai. Belajar itu nikmat. Belajar itu penuh dengan harapan indah. Belajar itu dijanjikan masa hadapan yang cerah. Landasannya disediakan sebanyak dan sebaik mungkin. Lapangannya dibentang bersama. Belayarlah mereka mebina tamadun mereka. Walaupun tidak kesemua tamadun mereka sesuai dengan kita tetapi kita melihat dambaannya yang sangat meluas. Banyak juga yang kita nikmati. Aduhai bila agaknya kita dapat sampai ke tahap itu.

2 comments:

  1. bilalah agaknya sistem di sini akan beubah??? bilalah agaknya tiada keterbatasan dalam mencari ilmu di perpustakaan kita.. natijahnya masyarakat kita amat ketinggalan dalam menerokai ilmu yang tiada sempadan.. tiada peluang selain untuk staf dan pelajar.. sangat terbatas.. pengisian di sini membuka mata pembaca tentang realiti yang lama telah berlaku tanpa disedari..sedih sekali rasanya..

    ReplyDelete
  2. kita perlu membuka minda. maslahah umum diberi keutamaan berbanding dengan kepentingan diri. jika falsafah kita ialah mendemokrasikan ilmu maka semua orang berhak atas ilmu itu. tiada siapa yang ada hak istimewa.

    ReplyDelete