Thursday, February 10, 2011

Pelarian Situasi

Semalam saya mengambil cuti kecemasan. Lazimnya biasa disebut emergency. Sudah biasa dengan lidah orang putih. Saya ke LCCT, KLIA untuk menjemput anak lelaki kelapan saya pulang dari Mesir. Kembali dalam Operasi Piramid yang dilancarkan kerajaan untuk membawa pulang warga Malaysia keluar dari kegawatan yang berlaku di sana. Saya pula tidak biasa dengan LCCT. Yang selalu kita tahu ialah KLIA. Maka tercari-carilah saya maksudnya. Cari dan cari. Rupanya Low Cost Carrier Terminal. Untuk penerbangan tambang murah. Saya pernah sampai di situ tetapi lama dahulu. Sudah lupa lokasinya. Mencarilah saya dalam peta. Carilah dalam Google. Buka GPS. Sampai jugalah dengan selamat.

Gawat adalah satu perkataan yang mudah menyebutnya. Pengalaman saya menunjukkan bahawa gawat itu bukan satu situasai yang terpencil. Ia adalah rentetan peristiwa-peristiwa yang gawat. Kegawatan itu pula menimbulkan kegawatan-kwgawatan yang lebih gawat. Sebab itu dalam ilmu pengurusan, tanda-tanda gawat selalu diperhatikan. Dikaji dan dipantau. Apabila terjadi gawat, baru hendak dirawat, rasanya sudah agak terlambat. Mungkin terlalu lambat. Keadaan sudah parah dan jalan sudah buntu untuk mengubahnya. Sama ada ia menjadi huru hara atau meruntuhkan segala-galanya.

Saya mendapat maklumat pada malamnya bahawa anak saya akan sampai di KLIA pada pukul 10.00 pagi hari Khamis 10.2.2011. Maklumat itu saya terima dari pegawai Amanah Raya Berhad yang menaja anak saya. Apabila saya buka laman sesawang Majlis Keselamatan Negara, penerbangan anak saya dalam dua fasa. Saudi Air yang membawanya terbang ke Jakarta dahulu. Dari Jakarta anak saya diterbangkan pula ke KLIA dengan Air Asia. Dijangka tiba pada pukul 10.00 malam 10.2.2011. Saya keliru dengan jadual itu. Saya rujuk dengan pegawai Amanah Raya. Dia sendiri tidak ada maklumat sempurna. Saya sahkan dengan Majlis Keselamatan Negara. Pegawainya mengesahkan bahawa jadual penerbangan itu adalah benar. Saya hubungi ketua pelajar kumpulan anak saya. Dia juga mengesahkan bahawa penerbangan itu akan transit di Jakarta. Dari Jeddah dengan Saudi Air penerbangan ke KLIA adalah dengan Air Asia. Isunya ialah bila kapalterbang itu mendarat di KLIA. Bila anak saya dapat dipeluk dan ditentuh kesempurnaan fizikal dan emosinya. Saya ingin melihatnya dalam one piece. Ibunya lebih-lebihlah lagi gusarnya. Saya selalu kalah dalam hal ini. Sebab itu maksud hadith Rasulullah menyimpulkan bahawa bakti kebaikan kepada ibu jauh lebih berat berbanding kepada bapa. Berganda-ganda banyaknya. Naluri ibu sangat halus. Oleh itu hargailah dia.

Saya berbelah bagi. Hendak bertolak awal pagi atau sebelah petang. Isteri saya mencadangkan supaya kami bertolak pagi. Ditakuti dalam situasi seperti itu jadual penerbangan boleh berubah atas apa sahaja alasan. Naluri seorang ibu. Rindunya. Bimbangnya. Selagi tidak melihat batang tubuh anak lelakinya tiada rasa tenteram di hatinya. Malam itu kami adakan sedikit perbincangan. Saya berpegang kepada maklumat sahih yang saya perolehi. Isteri saya mahu bertolak pada malam itu juga. Jika ada apa-apa keperluan, kami sudah berada berhampiran KL. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertolak pada awal pagi. Benarlah, pagi kami bertolak kira-kira pukul 5.00 pagi. Lewat sejam dari jadual asal. Solat Subuh di sebuah masjid menuju ke tol Tangkak.

Dalam perjalanan, pegawai dari Amanah Raya menghantar sms. Maklumat terakhir adalah benar. Anak saya akan sampai di KLIA pada pukul 10.00 malam itu. Kami sampai di Nilai pada pukul 8.20 pagi. Anak kedua saya di situ. Pagi itu hingga ke tengahari kami di situ. Menunggu petang. Pada pukul 12.30 anak saya menghubungi saya dari lapanganterbang Jakarta. Dia sudah sampai pada pukjul 10.00 pagi itu. Dijangka pula akan terbang pada pukul 2.00 petang dan sampai di LCCT pada pukul 5.00 petang. Tiga jam penerbangan. Saya yang sedang membeli makanan tengahari bergegas pulang ke rumah anak saya. Sejam kemudian anak saya membuat panggilan lagi. Maklumat terkini menyatakan penerbangannya pada pukul 3.00 petang. Ada perubahan jadual. Pelajar yang seramai 110 orang dibahagi ke dalam dua kumpulan. 10 orang dalam kumpulan pertama. Bakinya dalam kumpulan kedua. Anak saya dalam kumpulan kedua. Dalam gawat, menunggu juga gawat. Waktu berubah mengikut kesesuaiannya. Benarlah naluri isteri saya. Jadual boleh berubah.

LCCT adalah LCCT. Saya tidak dapat menghubungkan LCCT itu kos murah. Bila berada di sana barulah saya sedar bahawa murah itu ada konotasinya yang tersendiri. Mungkin saya sudah biasa dengan penerbangan antarabangsa. Hampir lupa dengan realiti yang ada di sekeliling. Di US umpamanya banyak syarikat penerbangan tambang murah. People's Air umpamanya diurus seprti bas. Penumpang berbaris untuk membeli tiket. Jika ada kekosongan, masuklah mereka ke dalam. Jika tidak tunggu kapalterbang yang berikutnya. Bayar tambang dalam kapalterbang. tempat menunggu dalam bangunan lapanganterbang yang sama. Menikmati fasiliti yang sama dengan orang lain. Istilah murah berbeza antara kita dengan dengan mereka. Murah kepada mereka adalah dengan mengurangkan fasiliti. Tiada kaunter check-in. Air Asia baru mencapai sebahagian dari ciri itu. Belum sepenuhnya.

Lebih sejam menunggu di LCCT. Fahamlah saya kenapa namanya LCCT. Parkirnya tidak berbumbung. Kereta di tengah medan yang panas. Bila hendak dipandu semula terasa panasnya setelah terdedah d bawah cahaya matahari berjam-jam lamanya. Ruang menunggunya panas. Maaf memang tiada pendingin hawa. Itu satu aspek murah yang dimaksudkan. Sama di stesen bas atau teksi. Kerusi untuk duduk menunggu juga tidak seperti di ruang penerbangan biasa di tingkat lima KLIA. Luas dan selesa. Lebih banyak lagi. Di LCCT banyak kekurangannya. Disesuaikan dengan kos murah yang dinyatakan.

Itu aspek teknikal LCCT. Saya bukan hendak menilai. Sekadar hendak memahami sahaja. Pukul 6.08 minit kapalterbang anak saya mendarat. Pukul 6.40 petang baru dia keluar di balai ketibaan. Still in one piece. Ibunya yang tidak sabar terintai-intai. Terjenguk-jenguk. Tidak senang duduk. Sebelumnya dia duduk tenang. Tetapi apabila dimaklumkan kapalterbang sudah mendarat. Resahnya mendatang. Gejolak hatinya menerpa. Ketidaksabarannya menerjah rasa. Rindunya memuncak. Sayangnya melonjak. Dirinya. Jalannya. Matanya hanya fokus ke laluan keluar di balai ketibaan itu. Orang lain sudah tidak menjadi persoalan lagi. Saya hanya memerhati keghairahannya. Dia menanti anaknya. Buah hatinya. Itu anaknya yang dinanti. Kasih seorang ibu yang membawa ke syurga. Kasih saya kasih bapa. Sayang saya tidak halus seperti isteri saya. Cuma saya boleh berkorban apa sahaja. Bak kata pujangga bapa boleh berkorban nyawa.

Bila sudah bertemu terlerailah segala kegelisahan. Terungkailah segala bukuan dalam perasaan. Debaran dan degupan menghilang. Santai datang. Damai terhidang. Sebagai pelajar-pelajar tajaan mereka dihimpunkan. Ditanya sepatah dua. Ditanya khabar berita. Pastinya pegawai yang menunggu ada tugas membuat laporan. Mesti ada bukti mereka sudah kembali. Gambar luplap diambil. Bukti teknologi. Bukti digital. Bergambar bersama ahli keluarga yang menanti. Mungkin tidak ramai yang sedar. Sebenarnya kepulangan mereka adalah atas urusan negara. Urusan menyelamatkan warganegaranya dari kesulitan dalam negara yang sedang bergolak. Ia adalah urusan rasmi. Formal. Urusan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. Ada birokrasi yang perlu dipatuhi. Ada prosedur. Ada urusan diplomatik yang perlu diselesaikan. Ambillah makluman ini supaya tidak menyamakan kepulangan mereka seperti selalunya. Sampainya mereka mesti diperiksa benar-benar selamat sejahtera. Sihat walafiat. Pengangkutan balik disediakan. Tempat menginap sebagai transit disediakan. Kebajikan dan keselamatan dijaga kesempurnaannya. Tanggungjawab negara.

Perjalanan pulang yang senang. Alhamdulillah. Syukur kepadaMu ya Allah. Segala puji bagiMu. Tuhan semesta alam.

No comments:

Post a Comment