Seorang bekas pelajar masih menunggu posting. Jawatan GST (Guru Sandaran Terlatih) terlepas peluang kerana ada kekurangan yang belum disempurnakan. Bertugas pula sebagai GSTT (Guru Sandaran Tidak Terlatih). Sekolah memang kurang guru. Kenalah mengajar Matematik. Alahai kena pula mengajar kelas yang di hujung-hujung. Banyak konotasi bila disebut hujung-hujung. Pada satu tahap bila hujung maknanya tidak signifikan. Tidak penting. Tidak perlu susah-susah. Terima rezeki yang ada. Setakat itu sahaja. Nadanya masih menerima hakikat. Realitinya begitu.
Pada tahap yang lain reaksinya mungkin negatif. Maaf. Guru kadang-kadang pesimis juga. Hendakkan yang terbaik sahaja. Dianggap mudah menjalankan tugas mengajar. Rezeki terbaik. Bila kelas hujung-hujung dianggap nasibnya malang. Rezekinya negatif. Buntu fikiran. Melemahkan semangat. Melunturkan motivasi. Tiada persangsang langsung. Malas hendak difikirkan. Pandai engkaulah. Jika hendak belajar, belajarlah. Jika tidak, pandai-pandailah membawa diri. Bukan kerja aku hendak memandaikan pelajar. Ibu bapanyalah yang bertanggungjawab. Kenapa pula guru seperti aku yang diberi beban. Mana ada keadilan.
Guru lain celupar juga mulutnya. Tidak ada insuran. Lupa sumpah dan setia. Bahawa khidmatnya hanya untuk negara. Untuk DYMM Yang DiPertuan Agung. Untuk Malaysia. Untuk agama. Untuk nusa. Untuk bangsa. Untuk masyarakat. Untuk profesion keguruannya. Kerana Allah adalah sebagai kemuncak bakti yang hendak dicurahkannya. Maka kerana itu mendidik anak bangsa itu keutamaan. Priority. Mencelikkan mereka dari kegelapan untuk mencari cahaya ilmu. Biar mereka bertatih. Nanti mereka boleh berlari kencang memimpin bangsanya yang lain untuk ke hadapan menuju akhirat dengan penuh ganjaran. Penuh anugerah dari Allah.
Kebanyakan guru lemas dan tenggelam punca berhadapan dengan pelajar-pelajar yang agak tertinggal di belakang. Ada konotosi bahawa mereka lambat. Lemah. Tidak pandai. Tidak cerdik. Tidak arif. Tidak bestari. Tidak bijaksana. Sukar menjadikan mereka jauhari. Bukan cendiakawan. Bukan bijaklaksana. Mereka bukan intan berlian. Bukan emas tempauan. Lalu mereka disorok di hujung-hujung dunia. Dilindung dari kegemilangan. Ditutup dari menerima cahaya sebenar. Cahaya ilmu yang terang, cerah dan bergemerlapan.
Hadir mereka hanya jadi pelengkap. Hanya sekadar yang kurap pembawa buluh. Yang pekak peledak meriam. Yang buta penghembus lesung. Tidak menyibuk di rumah. Ibu bapa serah sepenuhnya kepada guru. Pandai gurulah memikirkannya. Bukan ibu bapa. Jadilah mereka bak di hadapan menghalang-halang. Duduk di belakang menolak-nolak. (Saya ambil peribahasa Jawa. Nang ngarep nyandungi. Nang buri nyarungi). Di hadapan tidak boleh. Di belakang lagilah tidak boleh. Di hadapan terlalu lambat. Di belakang jauh tertinggal. Guru hilang kesabaran. Hilang kawalan. Ibarat air yang sudah melimpah, bagaimana hendak mengempangnya. Bagaimana hendak mengalih alirannya. Ke mana pelajar itu harus dibawa.
Jika mereka keluar tanpa mengetahui apa-apa sebenarnya seluruh warga sekolah perlu rasa bersalah. Ratusan guru di sekolah itu tidak berjaya berbuat apa-apa. Malah seluruh sistem pedidikan dipersoal kerana masih ada pelajar yang tidak mencapai tahap minimum. Keluar dari sekolah pelajar semestinya tahu membaca, tahu menulis, tahu mengira. Tahu menurunkan tandatangan. Jika tidak makan gaji sekalipun mungkin boleh berniaga kecil-kecilan. Boleh hidup tanpa pendapatan lumayan.
Guru mestilah kembali ke dasarnya. Bina kasih sayang. Selami hati budi pelajar. Dapatkan maklumat tentang keluarganya. Ada beberapa perkara yang harus diketahui. Apabila anak-anak bermasalah, puncanya datang dari rumah. Dari bapa. Dari ibu. Dari keduanya. Rumahnya. Fasiliti rumahnya. Sumber makan minumnya di rumah. Kejiranannya. Pedidikan ibu dan bapanya. Cara didikan di rumah. Psikologi ibu dan bapanya. Amalan ibu dan bapanya. Berapa ramai adik beradiknya. Dia anak yang keberapa dalam keluarga. Taraf sosial ibu bapanya. Masyarakat sekelilingnya. Sikap guru-guru lain di sekolah. Gurunya di sekolah rendah dahulu. Gurunya di TADIKA. Kesihatannya sewaktu dikandung ibunya. Bagaimana pula proses kelahirannya. Sejarah sewaktu bayinya. Sejarah kanak-kanaknya. Pedagogi guru juga harus dilihat semula.
Pelajar-pelajar adalah manusia. Mereka tidak berminat kerana tiada kesedaran. Tidak mengetahui. Tidak ada rasa sayang. Tidak ada bibit cinta. Tidak nampak jalan menilai sesuatu dengan melihat keindahannya. Tidak dapat membezakan intan dengan kaca. Tidak dapat mendidik mindanya untuk mengenal yang hak. Yang guru lihat hanya symtomnya sahaja. Tanda-tanda luaran sahaja. Malas itu hanya tanda. Nakal itu tanda. Tidak membuat kerja rumah hanya tanda. Tidak memberi perhatian adalah tanda. Tidak menghormati guru juga tanda.
Penghormatan bukan boleh dipinta. Tidak boleh dipaksa. Tidak boleh dibeli. Tidak boleh didesak. Tidak boleh diragut. Apatah lagi untuk dirampas dari sesiapa. Kembalikan penghormatan kepada pelajar. Panggil mereka dengan nama sepenuhnya. Umpamanya Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin. Atau wahai anak lelaki kesayangan Haji Mohamad Kamaluddin. Atau wahai anak perempuan kesayangan Haji Mohamad kamaluddin. Atau yang saya muliakan Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin. Atau sahabat saya Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin. Atau wira harapan saya Encik Ahmad Fadli bin Haji Mohamad Kamaluddin.
Saya kira jika itu dapat guru lakukan, pelajar-pelajar tentu tersintak. Ada doa dan ada harapan dalam semua kata-kata itu. Guru memuliakan mereka. Guru menghormati mereka seadanya. Menghormati mereka sebagai mereka. Membesarkan mereka. Memartabatkan mereka. Meletakkan mereka di tempat yang tinggi. Bawa mereka terbang diawang-awangan. Sedarkan mereka bahawa itulah nanti gelaran dan panggilan yang akan mereka terima bila dewasa nanti. Mahu dipanggil sekadar encik atau tuan. Mahu dimulia atau dihina. Mahu duduk di bawah hingga tiada siapa yang kenal atau duduk di tempat tinggi. Dikenal ramai orang.
Doa tidak banyak. Pertama baca robbis rahli sodri wayasirli amri wahlul uqdatam min lisani yapqahuqouli. Keduanya 'robbi zidni ilma'. Cuba cari pada buku-buku yang mengandungi doa2 penerang hati. Doa menambah ilmu. Doa membuka minda. Doa pemudah. Pelembut hati. Boleh juga baca doa Nabi Daud. Doa melembutkan besi. Saya cadangkan setiap kali memulakan kelas, bagi salam sepenuhnya. Lepas itu selawat selengkapnya. Baca doa mana yang diingat. Boleh baca dengan memegang buku. Atau catatan. Mana yang agak malas bimbing sewaktu membuat latihan. Yang nakal buat seperti yang saya tulis dalam blog saya “menangani pelajar nakal” beberapa hari yang lalu. Yang bising beri kerja berat dan banyak lagi.
Yang hyperaktif ada cara yang pernah saya lakukan. Semasa ke kelas bawa sebahagian buku. Tingglkan yang lain. Bila sampai di kelas suruh pelajar yang hyperaktif untuk mengambil buku-buku di meja guru. Bila dia sampai, suruh dia menghantar pula buku yang guru bawa tadi ke meja guru di bilik guru. Turun naik tangga. Berjalan ke bilik guru sebanyak dua kali sudah cukup memenatkan. Cuma guru hendaklah pandai berlakon. Semasa menyuruh, maniskan muka seberapa manis yang boleh. Beri pujian melangit. Usap jiwanya. Sentuh egonya. Niat guru hanya untuk melunturkan tenaganya. Untuk memisahkan dirinya dengan hyperaktifnya. InsyaAllah dia akan lemah dan lemas. Namun pujian-pujian guru memberi kepuasan kepadanya. Penat itu diterimanya dengan senang hati. Percayalah, nanti ada pelajar lain yang cemburu. Itu kerja lain. Ada cara lain untuk meleraikan cemburu. Nanti saya fikirkan.
Bila guru bercakap hendaklah satu-satu. Terang dan jelas sebutannya. Pandang mereka lambat-lambat. Renung mereka dengan rasa biasa. Jika boleh dengan rasa kasih. Perihatin. Redupkan mata. Ukir sedikit senyum. Buat seolah-olah guru tidak kisah dengan gelagat mereka. Tidak mahu ambil pusing apa yang mereka buat. Naik dan turunkan pitching suara. Sekiranya kebisingan memuncak. Berhenti bercakap. Bila hendak mula bercakap bermula dari suara rendah. Naikkan nada perlahan-lahan. Kawal dan kekalkan pada tahap tertentu. Tahap yang manarik perhatian pelajar. Yang mereka rasa tertarik. Terpegun. Tertegun. Yang boeh memanjangkan leher mereka. Membesarkan telinga mereka.Beri tumpuan seorang demi seorang setiap kali. Mungkin hari ini seorang. Esok pelajar lain. Hingga akhirnya semua pelajar mendapat sentuhan peribadi dari guru. Jangan lokek dengan pujian. Ucapan terima kasih. Sebelum keluar kelas doakan mereka sihat dan menjadi pandai.
Yang malas sangat cuba kaunseling secara peribadi. Bawa ke bilik kaunseling atau ke bilik guru atau ke kantin kalau boleh belanja mereka. Segelas air sudah memadai. Sekali seumur hidup. Sentuh ibu bapanya. Adik beradiknya. Dirinya. Masa depannya. Situasi sekarang. Begitu juga rakan-rakannya.
Hingga setakat ini jangan stereotaip pelajar. Jangan label mereka. Jangan beri gelaran apa-apa selain namanya yang sebenar. Nama sepenuhnya. Itu cara memuliakan mereka. InsyaAllah boleh guru lakukan. Cuba dulu. Mudah-mudahan berjaya. Jika perlu solat hajat. Untuk pelajar-pelajar sendiri. Allah akan membantu. Always turn to Allah kata Maher Zain. He will be there for you. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment