Friday, July 24, 2015

Hari Raya Yang Adat Beradat



Kita di Malaysia cukup cekal apabila merayakan hari raya. Tidak mengira penat. Tidak mengira sulit. Tidak mengira tenaga yang perlu dipergunakan. Wang dan ringgit tidak dikira juga. Melepaskan kegembiraan kerana menyudahkan puasa Ramadhan selama sebulan. Kita menjadi lupa antara tuntutan agama dengan tuntutan adat. Antara kebiasaan dengan menjadi biasa-biasa.  Apabila kita imbas kembali, hari raya eid al-fitri hanyalah sehari sahaja. Sewajarnya begitu sebab kita ada tuntutan tambahan yang sangat besar. Perlu pula disegerakan. Tetapi oleh kerana kita tenggelam dengan adat beradat maka ianya selalu terkebelakang dari segi keutamaan. Kita habiskan masa dengan makan dan makan. Siang dan malam kita makan dan makan. Seolah-olahnya pula bahawa kita seperti mendendami Ramadhan selama sebulan yang lalu. Kita terasa seperti didera untuk berpuasa. Tidak merasakan ianya tuntutan yang penuh keikhlasan. Dengan tulus kerana taat kepada Allah.

Berpuasa untuk selama enam hari dalam bulan Syawal selalu kita tangguh-tangguhkan. Kita selalu beranggapan bahawa kita ada masa sebulan. 30 hari. Suatu pemikiran yang sangat keliru. Sangat singkat akal. Fikirkan:

1                    Maut datang tiba-tiba sedangkan puasa enam masih belum tertunai.
2                    Sakit menjelma seluruh badan sedangkan puasa enam belum bermula.
3                    Semakin lama semakin banyak kenduri kendara yang perlu dihadiri sedangkan puasa enam tidak juga ada pemulanya.
4                    Itu belum lupa, belum malas, belum bertangguh, belum lagi gangguan-gangguan yang menghalang sempurnanya puasa enam.

Kita selalu lupa bahawa puasa enam:

1                    Pelengkap kepada puasa Ramadhan. Ramadhan tidak cukup? Cukup, tetapi lebih melimpah ruah dengan tambahan enam hari lagi puasa di bulan Syawal.
2                    Penebus segala kesilapan dan kehilafan di bulan Ramadhan.
3                    Bagi yang qadha’ puasa Ramadhan boleh segera melakukannya tanpa bertangguh.

Soalah cepu emas:
Kita mencari redha Allah atau lebih untuk memuaskan tuntutan adat? Tepuk dada tanya iman, kata ustaz. Bukan tanya selera kerana selera lebih untuk memenuhi tuntutan nafsu.

Orang kampung dahulu kala tidak galak berhari raya kecuali setelah mereka menyempurnakan puasa enam di bulan Syawal. Pada hari pertama bulan Syawal memang mereka berhari raya. Habiskan sehari dari pangkal kampung hingga ke hujung kampung. Kesemuanya sekali. Rumah saudara mara dan jiran sekampung yang memang rapat kerana persekitarannya begitu. Hari kedua hingga hari ketujuh mereka berpuasa. Selepas itu mereka beraya semula. Rayalah sepuas-puasnya kerana Ramadhan sudah disempurnakan. Puasa Syawal juga sudah sempurna. Tinggal hanya ziarah-menziarahi saudara-mara yang tinggal jauh. Penulis masih ingat kerepek pisang nipah dua hingga tin. Kuih bangkit hingga bertin-tin. Siapa sahaja yang datang ziarah pasti dijamu dengan kerepek pisang dan kuih bangkit. Tambah pula dengan kuih baulu khususnya baulu gulung. Kering dan rangup. Berbulan-bulan masih enak dimakan. Selera zaman itu.

Kita masih terus-terusan merayakan hari raya hingga melewati bulan ketiga. Kadang-kadang pada bulan Muharram masih ada lagi jamuan hari raya. Beriya-iya benar kita memajliskannya. Seolah-olah Ramadhan kita tidak sempurna tanpa majlis sambutan hari raya. Boleh mungkin kita membuat penilaian semula adat-beradat kita ini. Kita buat penilaian dari:

1                    Aspek agama
2                    Aspek ekonomi
3                    Aspek produktiviti
4                    Aspek sosial
5                    Aspek budaya dan tamadun.

Tanpa sedar kita membazir sumber yang terhad, mahal dan langka. Banyak makanan terbuang khususnya semasa rumah terbuka. Katerer kadang-kadang tidak memenuhi kualiti yang diharapkan. Makanan banyak yang tidak enak. Kurang rasa di sana sini. Akhirnya terbuang. Maknanya wang untuk membayarnya terbuang. Makanan yang sudah dibayar terbuang. Yang datang berkunjung belum tentu berpuashati. Pembaziran yang dilarang agama. Murka Allah tetapi syaitan gelak ketawa. Kenapa tidak disimpan wang untuk keperluan yang lebih baik. Derma dan sedekah umpamanya. Ramai yang memerlukan di luar sana.

Bagaimana dengan ekonomi. Kita semua bukan kaya. Bukan banyak wang. Bukan banyak harta melimpah ruah. Orang lain mengadakan rumah terbuka ada yang menaja, kita pula beriya-iya mengadakannya walaupun wang yang dimiliki tidak seberapa. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini kita perlu lebih beringat. Lebih menabung untuk ketidaktentuan pada masa hadapan. Mengelak dari membeli dengan harga yang tinggi. Kurang terkena cukai itu dan ini. Berjimat seberapa yang mampu. Cukuplah beraya ala kadar. Tuntutan berhari raya tidak seperti tuntutan yang lebih besar di bulan Ramadhan. Lebih baik lagi memberi makan mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Sangat besar ganjarannya.

Apabila kita berhari raya sekehendak hati, kita lupa tentang tuntutan produktiviti. Sewajarnya kita berhabis untuk Ramadhan. Pada bulan Syawal kita berhemat-cermat. Berbelanja secara prudent. Bukan membazir. Apabila kita banyak makan dan minum, kita menjadi letih. Tubuh badan kita bukan tong sampah yang tiada hadnya. Kita lupa pesana supaya berhenti makan sebelum kenyang. Prinsip orang yang beragama. Prinsip orang alim. Tuntutan agama. Amalan Rasulallah. Badan lesu kerana banyak makan. Mengantuk dan mungkin banyak tidur. Kerja banyak terbengkalai. Ramadhan yang mengajar kita menambah taqwa lebur kerana mengikut kata hati di bulan Syawal. Puasa enam yang disempurnakan awal tentu boleh mengurangkan kadar rendah produktiviti di bulan Syawal.

Kadang-kadang kita lupa aspek sosial yang seharusnya mengikut tuntutan syar’iyyah. Bayangkan kita bercampur-gaul dengan mereka yang bukan mahram. Bergurau-senda hingga tidak menjaga batas. Pakaian pula masih ada yang tidak menutup aurat. Yang jarang dan ketat tidak terkira. Bersalam-salaman dengan sesiapa sahaja yang bukan hak. Adat yang tidak mengenal halal dan haram tentulah elok dielakkan. Mereka yang memahami agama menjadi lemas dengan keadaan. Hari raya lebih banyak hal-hal yang bercanggah dengan agama. Madrasah Ramadhan ke mana perginya? Keinsafan yang seperlunya di bulan Syawal hilang entah ke mana.


Orang Melayu telah lama berbudaya Islam. Banyak yang islamik dari yang bukan. Sudah sampai masanya kita membuat penilaian semula. Bina semula tamadun Islam melalui sambutan dan majlis hari raya. Pilih adat yang selari dengan Islam. Pilih yang membina agama. Rezeki kita biarlah diberkati Allah. Kita hidup keranaNya dan mudah-mudahan mati kita keranaNya juga. In sya Allah. 

Thursday, July 23, 2015

Sayap Melayu Patah Tidak Berganti



Semenjak Merdeka pada 31 Ogos tahun 1957 negara kita sudah dewasa selama 58 tahun. Dalam uisa sebegitu bermakna sudah sangat matang. Masih ranggi. Bertenaga dan ampuh dalam banyak aspek. Malangnya negara bertuah ini tidak menjadi gah kerana keluasan kekayaannya. Atau kerana kerencaman budayanya. Atau kerencaman politiknya. Yang kita alami ialah kecelaruan penikiran untuk menegakkan kebenaran yang hakiki. Pokoknya dalam negara pasca modern ini politik menunjangi segala hal. Lebih malang lagi selalu benar the ends do not being justified by the means. Terlalu banyak teori dan amali yang kontradiktori sifatnya. Terlalu banyak paradox sedangkan paradigma kita tidak banyak berubah. Yang banyak dicipta ialah kegagalan demi kegagalan untuk membawa negara ke arah negara maju seperti yang dicita-citakan. Penjajahan minda secara politik mendasar setiap motif dan tindakan. Akhirnya ibarat menggoreng sesuatu, konsekuen yang kita dapat ialah hal-hal tidak masuk akal. Ditolak akal pemikiran yang waras tanpa bias. Mungkin ada yang merasa mual dan jijik.

Sewaktu mula Merdeka dahulu kita merangkak dan bertatih. Penulis masih ingat tarikh titiknya kita Merdeka. Sesudah bersara hampir 14 tahun penulis masih tercari-cari impian kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu. Apa yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan. Apabila kita pandai berlari, kita tidak berlari on track. Kita banyak tersasar. Landasan kita bercapah. Setiap individu bercapah dengan individu yang lain. Fokus untuk membangunkan negara dan rakyatnya tinggal slogan semata-mata. Retorik. Mata jadi rambang. Kemahuan mengatasi keperluan. Apabila nafsu mengatasi akal maka musibah jadinya. Sekarang ini banyak yang menghantui rakyat dan negara. Rakyat sewajarnya dimanjakan kerana kedewasaan negara seperti di negara maju. Tetapi hakikatnya mereka terbeban dengan kerakusan politikus kita. Terbeban untuk meneruskan kelangsungan hidup Merdeka. Walaupun peringatan sudah diberi, nasihat sudah disampaikan, malah ada yang terhukum, yang lain masih memandang remeh dengan isu-isu kebobrokan semasa. Kita diberi pembangunan fizikal. Malangnya kita tidak dididik untuk sayangkan sumber asli serta sayangkan segala sumber yang ada. Segala yang di hadapan mata dieksploitasi sewenang-wenangnya. Anak-anak kita dirosakkan minda dan pemikiran mereka dengan kemewahan tanpa menghargai kemewahan itu sendiri. Tanpa mengetahui bagaimana untuk melestarikan kemewahan itu sendiri. Tanpa skill untuk mengurus kemewahan. Kebahagiaan berada di negara Merdeka tidak tercapai. Yang kita lihat ialah eksploitasi perasaan dan psikologi sehingga kebanyakan orang berlumba-lumba untuk memiliki apa sahaja yang melebihi keperluannya. Akhirnya anak-anak kita lalai hingga tidak menghargai segala-galanya.

            Tidak menghargai masa.
          Tidak menghargai peluang untuk maju.
          Tidak menghargai harta milikan.
          Berfikiran singkat.
          Mengambil jalan singkat untuk cepat kaya.
          Mengambil risiko yang memang berisiko tinggi.
          Hanyut dalam hedonism.

Pendatang asing mewah di negara ini. Berbilion ringgit dipindahkan ke luar negara. Ke Indonesia, Nepal, Bangladesh, Filifina dan berbagai negara lain. Sekarang ini banjir negara kita dengan berbagai bangsa dari berbagai negara. Ada yang dari Afrika, negara Arab dan Amerika Selatan. Anak-anak kita jadi apa. Ramai antara mereka terus-terusan leka dengan motorsikal. Cita-cita mereka hanya ingin memiliki motorsikal. Bukan untuk memandu kapalterbang komersil. Bukan untuk memandu jet pejuang. Bukan untuk mengendalikan kapal angkasa. Cita-cita mereka berkuburan di jalan raya. Mereka cukup dengan kenderaan dua roda. Orang lain dengan empat, enam, lapan, 12, 14 dan 18 roda. Tidak memandu kenderaan-kenderaan tersebut tetapi memilikinya. Mengurusksnnya. Kaya kerananya. Ramai anak-anak kita menghabiskan kelestarian warisan bangsanya sendiri. Mereka alpa bahawa orang lain mencipta kemewahan. Mengambil alih peluang yang mereka abaikan.

Sepanjang Ramadhan yang lalu ramai anak-anak Islam yang tidak berpasak kepada Islam. Kelihatan ada yang terus-terusan berpeleseran. Ada pula yang makan dan minum tanpa segan silu dihilat orang. Yang muda merokok secara terbuka. Mereka tidak berasa malu dilihat manusia lain. Mereka lupa perbuatan mereka dilihat Allah dan dicatat oleh malaikat yang ditugaskan menjaga mereka. Sayang seribu kali sayang. Apabila kita mendongak kita melihat banyak pembangunan fizikal. Malangnya kesemuanya bukan milik kita. Bukan milik mereka yang Islam. Anak-anak kita tidak didik malu. Tidak diberi santapan aib. Malaysia masih dirujuk oleh mereka di negara-negara Arab sebagai model negara Islam yang membangun.  Mereka melihat fizikal tanpa melihat yang lebih fundamental iaitu akhlak generasi muda. Tidak dari segi adab. Tidak dari segi disiplin. Tidak dari segi tuntutan agama. Apakah kita masih tidak sedar amaran Allah yang semakin banyak diperlihatkan di negara kita?

Tsunami pernah melanda
Ribut kerap di sana sini
Banjir besar yang fatal
Gempa bumi yang menggegar

Apakah kita menunggu gunung berapi meletus? Dapatan kajian kajibumi mengesahkan bahawa terdapat lingkaran gunung berapi dormant dari Sabah hingg ke Lembah Klang.

Al-Quran diturunkan bermula dengan ﺇﻗﺮﺍﺀ. Allah memerintahkan kita membaca, mengkaji dan menyelidik. Menambah ilmu dan mengerti hakikat bahawa kita diciptakan Allah. Seharusnya kita menjadi pewaris ulul albab.  Bijak berfikir, bijak bertindak dan bijak beramal menurut tuntutan Allah dan RasulNya. Bukan tuntutan hawa nafsu. Bukan menjejak langkah-langkah syaitan. Akal kita perlu dibangunkan agar kita mengerti yang hak. Memilih yang hak. Menginsafi kelemahan diri. Mengerti bahawa kita perlukan perlindungan Allah. Kita selalu gagal memahami hakikat kekerdilan diri kita. Sebaliknya kita tenggelam dalam istidraj. Jauh dan semakin jauh dari rahmat Allah. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang sesat dan dimurkai.  

Mungkinkah kata-kata Hang Tuah hanya layak di muzium sahaja? Tidak di hati dan semangat kita. “Tidak kan Melayu hilang di dunia”. Kita tidak hilang tetapi kita kehilangan sengat. Hilang kredibiliti. Hilang integriti. Relakah kita sebagai Melayu yang layu dalam dunia yang kita cipta sendiri? Bagaimanakah jika caption ini tercipta:

M E L A Y U yang L A Y U!
Tambahan kepada igauan lama bahawa  “Melayu adalah pemalas” dan “Melayu adalah bangsa yang suka mengamuk”.  Itu belum lagi caption “Melayu suka meniru yang negatif”. Suka mengikut-ikut. Kita menjadi layu dan dalam jangkapanjang kita menjadi kering, keras hingga sukar untuk dilentur dan dibentur. Kelam dan kusam. Tenggelam bersama si Luncai dan labunya. Terhempas bersama Mat Jenin tanpa kelapanya.

Rasulallah saw pernah bersabda yang mafhumnya bahawa akan sampai suatu masa kelak apabila pemimpin bukan mereka yang hak. Maksudnya tidak layak menjadi pemimpin. Lemah wawasan, lemah berfikir, lemah agama dan selalu berfikir untuk jangkapendek sahaja. Rupanya hadith tersebut merujuk kepada zaman kita sekarang. Kepimpin yang sedia ada tidak memikirkan kesejahteraan anak cucu mereka akan datang. Yang memenuhi minda mereka ialah kepreluan sekarang. Keperluan semasa. Lebih untuk diri sendiri dan mereka yang dekat dengan mereka sahaja. Maslahah umum jarang mejadi agenda besar dan utama. Banyak slogan yang hanya penyedap telinga tetapi tanpa substance. Pemimpin selalu memikirkan hal-hal yang mudah dan percuma. Yang produktif terabai dengan sendirinya. Banyak idea pemimpin yang sifar nilainya kepada rakyat. Menjadi bahan lawak semata-mata. Apabila pemimpin membuka mulut atau menulis, yang membacanya sudah tidak dapat menerimanya. Bunyinya ganjil. Selalu out of context.

Barat semakin maju. Rakyat ikut maju. Mereka terus memajukan diri. Pemimpin yang berkaliber sahaja pilihan rakyat mereka. Pemimpin yang worldviewnya diiktiraf dunia. Kepada mereka, pemimpin datang dan pergi tetapi penggantinya tetap berwibawa. Mereka sentiasa mengatur supaya mereka melahirkan pemimpin pelapis yang hebat dan terus hebat. Mungkin sistem pendidikan kita dan sistem yang kita amalkan menjurus ke arah dead-end. Jumud. Kita tidak melahirkan pemimpin yang unggul. Bukan sahaja pemimpin dalam parti pemerintah yang lemah malah di kalangan pembangkang juga ramai yang terlihat kelemahannya. Namun begitu apa yang penting ialah bagaimana dan siapa yang sewajarnya boleh membawa kita ke tahap yang lebih baik. Memberi kesejahteraan yang sewajarnya kepada kita sebagai rakyat.


Kita sudah menjadi puncak gunung yang gondol. Puncaknya tiada apa-apa lagi. Lerengnya terhakis dan meluruh. Kaki gunung pula penuh dengan sampah sama ada yang dibuang atau terbuang. Kita terlalu sabar nenanti seseorang atau sekumpulan orang yang mampu memulihara kerosakan dan kemusnahan yang sedang melanda. 

Sunday, June 28, 2015

Luka Lama Berdarah Kembali



Kadang-kadang peribahasa mungkin hanya berbahasa. Lunak dibaca. Lunak didengar. Menyejukkan hati. Bahasa orang Melayu penuh syahdu. Ada nakal dan ada nostalgiknya. Jika kita menafikan hakikat itu kita hilang ciri-ciri Melayu yang ada pada warisan kita. Pada diri kita. Kita bukan orang dari kalangan mereka yang kasar dan keras. Pada diri kita banyak yang mendasar. Yang dilahirkan kepada umum hanya sipi-sipinya sahaja. Tidak kelihatan yang banyak disembunyikan. Namun begitu jika kita mahir berbicara dan mahir berbahasa, dalam bahasa itulah kita mengenal hati budi. Apabila usia kita berada dalam kalangan mereka yang berpengalaman barulah pengalaman itu sendiri mengungkapkan segala-galanya. Kemahiran yang ditimbun serta kecerdasan minda menggarap lintasan pada pancaindera menjadikan seseroang itu berada pada paras yang tersendiri.

Anak-anak selalunya diingatkan supaya sangat berhati-hati dalam semua hal sewaktu menjadi anak-anak. Sewaktu masih muda. Ibu bapa yang perihatin melihat segala-galanya dengan mata hati mereka. Bukan sahaja dengan mata kepala. Ada firasat. Ada harapan. Ada doa untuk anak-anak. Kepada mereka yang baru mendapat cahayamata, belajarlah untuk melihat ke hadapan dengan penuh keterujaan. Namun begitu banyak yang perlu dipelajari untuk melestarikan generasi keluarga pada masa hadapan. Kita bukan sahaja perihatin tentang keberadaan mereka di kemudian hari. Bukan sahaja faktor ekonomi. Bukan sahaja sosial. Malah ada masanya kesihatan dan kesejahteraan anggota tubuh badan menentukan masa tua yang sejahtera juga. Segala-galanya bermula darai zaman anak-anak. Dari zaman kanak-kanak. Dari zaman remaja. Dari zaman muda-muda dahulu. Perkara-perkara kesihatan yang terlepas pandang pada masa lampau memberi impak besar kepada kesihatan pada masa tua.

Pernahkah anda jatuh? Terhantuk kepala. Terseliuh kaki dan tangan. Terpatah kaki dan tangan. Retak tulang di sana sini. Ibu dan bapa perihatinlah tentang semua itu. Setiap anggota anak mesti diperiksa setiap ada kesempatan khususnya pada waktu malam. Pada waktu siangnya setiap tingkah laku anak-anak diperhatikan dengan pandangan kritikal. Mengenalpasti apa-apa kelainan daripada biasa yang kelihatan pada anak. Tangisnya diberi perhatian. Jeritnya diberi perhatian. Apabila anak-anak tidur mungkin ia mengerang. Bunyi dan kelainan tingkah laku adalah tanda-tanda masalah pada fizikal mereka. Terdapat mungkin anak-anak yang tahan fizikalnya. Tangannya patah tetapi dia tidak menunjukkan rasa sakit. Bermain sahaja sepanjang masa. Kisah benar di premis tabib Cina. Bayangkan seorang anak berusia tiga tahun tangannya patah tidak disedari oleh ibu dan bapanya. Setelah empat bulan baru mereka sedar. Itupun apabila dilihat anaknya mengaminkan doa bapanya selepas solat. Telapak angan kanannya mengadap ke atas sementara telapak tangan kirinya mengadap ke bawah. Kedudukan siku dalam keadaan normal. Tentulah gawat. Tangan kiri anaknya telah terpusing. Maksudnya telah patah dan bercantum semula tetapi tidak pada kedudukan asalnya. Untuk memperbetulkan kedudukannya perlu bertemu pakar tulang. Pembedahan yang besar. Tangan itu perlu dipatahkan semula dan diperbetulkan kedudukannya seperti asal. Berat, sakit, mahal dan penuh emosi. Pengalaman tidak terduga. Mungkin boleh mendapatkan rawatan alternatif melalui pakar urut tradisional. Yang penting usaha yang wajar.

Kita mungkin pernah jatuh sewaktu kanak-kanak. Bukan sekali. Barangkali berkali-kali. Ketika itu kita tidak terasa apa-apa. Ibu bapa tidak pula memberikan perhatian. Apabila tua kesan jatuh itu menghantui semula. Apabila kita jatuh terhentak terjadilah kesannya kepada tulang belakang. Kepada tulang selangka. Kepada tulang dada. Kepada tulang punggung. Kepada tangan. Kepada paha dan kaki. Mungkin banyak lagi. Penulis berjumpa dengan seorang tabib Cina kerana kaki selalu berasa lenguh. Diagnosisnya membenarkan apa yang penulis alami selama ini. Ada bahagian tulang yang terherot. Kesannya kepada bahagian kaki. Kerap lengoh walaupun tanpa membuat kerja berat. Kata tabib ianya kesan lama. Imbangan badan sudah lari. Pastinya kasut dan sandal atau selipar yang penulis gunakan senget di sebelah tepi. Penulis hanya mengangguk membenarkan kata-katanya. Rawatan pada kali pertama bisa-bisa juga di bahagian belakang pinggang. Alhamdulillah lengoh pada kaki terasa berkurangan. Tidak lesu dan malas bila bangkit dari tidur.

Pembaca yang membaca entry penulis pada peringkat awal-awal dahulu tentu masih ingat yang penulis pernah terjatuh dari pokok rambai sewaktu berusia kira-kira 10 tahun. Serangan lengoh kaki, penulis alami sejak muda lagi. Biasanya diurut sahaja. Lega sekejap. Kemudian datang lagi. Persistent kata orang putih. In sya Allah rawatan kali ini melegakan apa yang penulis alami selama ini. Mohon doanya.


Moral ceritanya, jagalah anak-anak seperti menatang minyak yang sangat penuh. Bukan hanya penuh tetapi yang benar-benar penuh. Sebarang kecacatan yang terlepas pandang akan menjadikan anak-anak cacat seumur hidup. Peka selalu. Perihatin selalu. Terjemahkan kasih sayang dengan tanggungjawab dan keperihatinan yang tinggi setingginya. Merekalah permata hati dan pengarang jantung. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Moga-moga anak-anak nanti segar bugar fizikal dan akhlaknya. Kesemuanya di bahu ibu dan bapa. Tidak di bahu orang lain. 

Saturday, June 6, 2015

Melestarikan Sifat-Sifat Pemimpin



Pemimpin adalah ketua. Dia juga imam. Dia di hadapan. Dialah yang tanggungjawabnya ditagih. Autoritinya diletak di atas junjungan. Benarkah segala urusan tertanggung di atas bahu pemimpin? Benar. Yang pasti pemimpin akan ditanya di akhirat nanti akan kepimpinannya. Allah yang akan bertanya dan bukan manusia. Apa bidang kuasanya. Apa tanggungjawabnya. Apa kebaikan yang diberikan kepada mereka yang dipimpinnya. Keadilan yang sewajarnya. Keikhlasan yang dipamerkan. Kebajikan yang diberikan. Kepekaan yang selalu diutamakan. Walaupun pemimpin duduknya di hadapan, mereka yang di belakang berhak menegur dan memperingatkannya. Imam yang kadang-kadang wajib ditegur oleh makmumnya. Khususnya apabila terdapat kesalahan yang besar. Begitulah pemimpin yang perlu ditegur apabila tindakannya mengakibatkan mudarat. Menyusahkan mereka yang dipimpin. Menimbulkan rasa benci. Rasa meluat. Rasa mual. Rasa geram. Bertambah pula dengan timbulnya keresahan di hati mereka yang dipimpin. Kekeliruan kerana arahan yang bersilih ganti. Arahan yang bercanggah-canggah. Arahan yang tidak menenangkan hati mereka yang dipimpin.

Pemimpin berada di tempat tinggi kerana:
1                    Dilihat berkersesuaian. Ada ciri-ciri pemimpin yang dilihat orang.
2                    Berdasarkan situasi. Tiada orang lain yang dilihat layak kecuali dirinya.
3                    Semula jadi. Menonjol, berkarisma dan diikuti orang lain.
4                    Ditentukan Allah seperti suami dan bapa.

Apabila seorang pemimpin dipilih atau dilantik ia hilang hak dirinya. Maksudnya ia tidak boleh memikirkan dirinya lebih berhak berbanding dengan mereka yang dipimpinnya. Apa-apa yang dipertimbangkan utamakan mereka dahulu dan bukan dirinya. Seorang pemimpin mendahulukan kepimpinannya dan bukan dirinya. Seorang bapa berkorban apa sahaja untuk anak-anaknya. Seorang bapa mungkin rela tidak makan asalkan anak-anaknya kenyang di hadapan matanya. Seorang bapa tidak berganti baju asalkan anak-anaknya berbaju baru. Seorang bapa tidak tidur asalkan anak-anaknya nyenyak setiap malam. Begitulah seorang ketua, dalam hatinya adalah mereka yang dipimpinnya. Rasulallah memikirkan umatnya. Kebaikan umatnya. Kesejahteraan umatnya. Dididik  supaya mereka ke syurga kesemuanya. Kerana itu seorang pemimpin hendaklah mencontohi Rasulallah. Tiada kepentingan untuk dirinya. Mati seorang pemimpin sewajarnya bukan meninggalkan kekayaan tetapi rakyat yang hidup bercukupan. Sihat dan bertenaga. Berakhlak mulia. Kemuliaan hatinya sentiasa dipupuk. Keikhlasannya diwajarkan. Sentiasa kurang dari orang-orang yang dipimpinnya.

Dalam dunia serba mencabar ini terlalu ramai pemimpin yang hanya nampak ringgit dan sen. Mereka yang dipimpin pula beranggapan wajar selalu memberi ringgit dan sen untuk memuliakan pemimpin. Sebenarnya ringgit dan sen menjadi punca hati berkaca dengan keghairahan untuk mendapat lebih dan lebih banyak. Banyak dan bertambah banyak. Tidak lagi ingin berpada. Tidak lagi memiliki sifat qanaah. Yang dilihat dan diimpikan ialah ringgit dan sen. Dalam hal seperti itu pemimpin merancangkan bagaimana ringgit dan sen dapat dilonggok. Dapat dihimpun sebanyak-banyaknya. Dapat bermewah dan berkelebihan. Dapat dipamerkan sebagai lambang kejayaan. Adakah ianya sebagai hak? Sebagai jalan yang benar dan bukan yang batil. Kadang-kadang pemimpin lupa adanya istidraj. Khayal dan lunak dalam sesuatu yang bukan hak sehinggalah Allah mencabut kemewahan yang ada di sekelilingnya. Mungkin musibah menimpa dirinya sehingga banyak wangnya yang perlu dibelanjakan. Sakit berat yang berpanjangan. Kesusahan yang bertimpa-timpa tanpa disangka. Tanpa diduga. Dirinya yang dahulunya disanjung orang merudum menjadi kebencian orang lain. Khususnya mereka yang dipimpinnya.

Seorang pemimpin perlu selalu ingatkan Allah. Mohon panduan dan petunjuk dari Allah. Apa-apa yang hendak dilakukan sandarannya ialah redha Allah. Mereka yang dipimpin juga perlu bertanggungjawab. Tidak boleh hanya redha dengan kesilapan yang dilakukan pemimpin. Tidak boleh hanya berdiam diri apabila pemimpin berbuat apa-apa yang menyalahi hukum. Yang menyalahi kebiasaan. Yang menyalahi adat. Seorang pemimpin namanya di atas tetapi dirinya sentiasa berada di bawah. Di bumi nyata. Tidak boleh berada di awang-wangan. Tidak boleh melihat orang lain dari atas sahaja tanpa turun ke bawah. Tidak boleh melihat dari jauh tanpa melihat sendiri dengan jelas kenyataan dan fakta. Sangat malang apabila pemimpin mendengar sebelah pihak sahaja. Tidak mendengar hujjah dari pihak yang sebelah lagi. Setiap perkara ada dua sisinya. Bukan satu sahaja. Setiap teguran lihat rasionalnya. Setiap nasehat dilihat dari benarnya. Setiap aduan dilihat butiran dan faktanya. Seorang pemimpin tidak boleh sekali-kali cenderung untuk menyebelahi pihak-pihak tertentu sahaja. Tidak dan tidak boleh mendengar dari orang tertentu sahaja. Sangat tidak wajar. Hilang harga dirinya jika berbuat begitu.

Mereka yang dipimpin berharap sangat bahawa pemimpinnya memberikan yang terbaik untuk mereka. Jika tidak berkesampaian hajat itu, wajarlah seorang pemimpin meletakkan dirinya jauh paling bawah berbanding dari orang-orang yang dipimpinnya. Mereka inginkan keadilan walaupun sedikit tetapi hak. Tidak wajar sangat apabila pemimpin mengugut mereka dengan berbagai-bagai ugutan. Membuat cabaran yang bukan hak. Umpamanya jika tidak setuju dengan racangannya dan keputsannya maka mereka yang dipimpinnya dicabar supaya meletak jawatan. Itu bukan sifat pemimpin. Bukan sifat orang yang bertanggungjawab. Bukan sifat pemimpin yang wajar dipatuhi. Kepada seorang pemimpin memberikan yang terbaik kepada orang-orang yang dipimpinnya adalah suatu kewajaran. Suatu tanggungjawab. Perihatin dengan apa yang diperlukan mereka. Memberikan yang terbaik mengikut kemampuan dan keupayaannya. Seorang pemimpin tidak boleh berlepas tangan dalam apa-apa perkara yang menjadi kontroversil. Yang mengakibatkan kemelut di persekitarannya. Di kalangan orang-orang di sekelilingnya.


Seorang pemimpin tidak boleh mengambil apa-apa kepentingan untuk dirinya sedangkan orang lain dinafikan apa-apa hak yang sewajarnya. Fikirkan kembali, bahawa mereka yang dipimpin hendaklah diberi seberapa banyak yang terbaik untuk mereka. Pemimpin seharusnya berasa puas apabila mereka yang dipimpin berada dalam keadaan terbaik. Jauh dari masalah. Jauh dari ketidakselesaan. Kebahagiaana kepada pemimpin ialah apabila dirinya dapat menyumbang sebanyak mungkin. Bukan mengaut sebanyak mungkin. Marilah kita tingkatkan diri kita untuk banyak memberi dan bukan banyak meminta. Pemimpin tidak boleh menagih yang bukan-bukan. Katakan tidak kepada ketidakadilan.

Tuesday, June 2, 2015

Tidur Anak Jaga Emak



Anugerah yang sangat indah ialah anak. Tanyalah ibu baru. Ibu muda. Gembira ria mereka melekakan suasana. Ia menyempurnakan seorang wanita. Seorang isteri. Menjadi ibu yang melahirkan anak dari darah dagingnya sendiri. Pengikat kasih sayang suami. Penyeri rumahtangga. Selain dari bersyukur, tiada ungkapan lain yang selayaknya disuarakan. Terlalu indah seindah-indahnya. Saat-saat yang berlalu tiada ruang kosong dalam hati. Kembang berbunga dipenuhi rasa kasih yang menyerap dan mengindah dalam taman hati. Saat lahir anak, maka kehidupan seorang isteri berubah banyak darjahnya. Bukan sedikit tetapi terlalu banyak. Pada suatu ketika yang sama seorang wanita menjadi ibu, menjadi isteri, menjadi anak, menjadi menantu, menjadi pekerja dan menjadi ahli masyarakat. Maksudnya seorang ibu tidak berhenti hanya menjadi ibu. Bukan hanya menyusukan anaknya. Bukan hanya menyediakan makan dan minumnya. Bukan hanya mendodoi dan menidurkannya. Bukan hanya merawat sakit dan uzurnya. Tugas sebagai isteri dan wanita masih perlu diteruskan. Masih perlu digandakan. Masih perlu diberi keutamaan.

Keakraban antara ibu dan anak tiada siapapun yang dapat memisahkan. Namun begitu ibu yang juga isteri perlu lebih bertenaga. Perlu lebih ligat. Perlu lebih lincah. Tidak mungkin seorang ibu muda menjadi terlalu keletihan kerana melayan seorang atau dua anak. Take stock, kata orang putih. Tugasmu bukan hanya untuk seorang atau dua anak. Rumah perlu dikemas. Anak perlu dimandi. Perlu dipakaikan. Perlu disusu dan disuapkan. Perlu didokong dan didodoi. Pakaian perlu dibasuh. Perlu disidai. Perlu dilipat. Perlu digosok. Itu belum muntah dan najis di mana-nama. Ibu sekarang beruntung sebab ada lampin pakai-buang. Tetapi, tetapi perlu pula selalu diintai najis yang mungkin mendatang. Keraplah diurus. Kasihan anak jika lambat basuh dan bersihnya. Merah kulit paha anak. Mungkin kerana ruam banyak tangis anak. Merisaukan juga ibu dan bapa muda yang tidak biasa. Tiada kursus seumpamanya dalam kursus pra-perkahwinan sebalum bernikah kahwin dahulu.

Menjadi kebiasaan apabila anak tidur maka ibu juga turut tidur. Sangat kondusif situasinya. Anak mengantuk. Ibu juga keletihan. Mengantuk sangat natural kepada ibu. Namun begitu tahukah anda bahawa perbuatan itu menghakis peranan ibu dan isteri. Sebenarnya, sebenarnya ketika anak tidur inilah, ibu perlu memainkan peranan yang lebih besar.

1.     Ketika inilah masa yang sesuai untuk memasak, mengemas dapur, menyusun pinggan-mangkuk.
2.     Mengemas bilik tidur, pakaian dan almari.
3.     Membasuh pakaian, menyidai, mengangkat, melipatnya.
4.     Menggosok pakaian.
5.     Memvakum rumah.
6.     Mengemop lantai.
7.     Memantau lanskap di laman rumah.
8.     Menyusunatur hiasan luar dan dalaman rumah.
9.     Membaca dan menulis.
10.  Berinteraksi dengan suami. Mungkin bermanja dan bermesra.
11.  Menghubungi ibu dan bapa yang jauh.

Alangkah malangnya apabila anak tidur ibu juga tidur. Banyak peluang terbuang kerana tidak melakukan apa-apa. Apapbila anak terjaga maka ibu sibuk semula melayan anak. Tidak semestinya anak itu menjadi centre of everything kerana akhirnya ibu tidak berbuat anything. Maknanya apabila seorang isteri menjadi seorang ibu, ia perlu lebih pintar mengurus diri dan mengurus segala-gala di sekelilingnya. Menjadi ibu adalah ujian penting hebatnya seorang wanita. Mengurus anak di satu sudut penting dalam hidupnya. Seorang bayi yang luhur. Mulus kulitnya. Wangi baunya. Aroma seorang anak yang tiada tandingnya. Lebih ramai anak maka lebih banyak suasana sebegitu yang berulang-ulang dalam hidup. Kelestarian yang memanjang dan meriangkan hati dan sanubari. Suasana yang selalu indah. Fikirkan sejenak. Bukankah kehadiran anak menjana tenaga kepada seorang ibu. Walaupun seorang lelaki atauy suami kuat fizikalnya tetapi stamina seorang ibu jauh lebih gagah darai seorang ayah.

1                    Seorang ibu sangat sedikit tidurnya.
2                    Sangat sedikit rehatnya.
3                    Sangat kurang masanya.
4                    Sangat betah dari sakit dan lelah.
5                    Makannya sedikit.
6                    Hatinya banyak pada anak dan suami.

Seorang ibu muda berganda tenaganya. Gerak dan aktifnya luarbiasa. Tidurnya lewat. Jaganya sangat awal. Makannya sedikit. Khidmatnya terlalu banyak. Membantu dan membantu anak dan suami. Kata orang tidak terbayar upahnya. Tiada anak yang mampu untuk membayarnya. Hingga ke akhir hayat sekalipun tiada siapa yang mampu untuk membayarnya. Hutang hayat selama-lamanya. Hutang anak kepada ibunya. Tetapi bagi ibu, segala-galanya adalah percuma. Dengan rela hati. Dengan ikhlas hati. Dengan berlapang dada. Segala-galanya untuk anak. Zuriat dari suaminya. Hati ibu terlalu besar untuk memberi yang terbaik untuk mereka. Kerana itu ibu muda perlu banyak belajar. Banyak memgambil iktibar. Menerapkan berbagai pegajaran dari pengalaman orang terdahulu. Semuanya sebagai kitaran. Orang dahulu ramai anaknya. Berbelas-belas kebanyakannya. Segalanya beres. Tiada anak yang terbiar begitu sahaja. Sewaktu anak tidurlah ibu menunaikan tanggungjawab rumahtangganya.


Tidur anak bukan waktu tidur ibu. Tidur anak adalah waktu berharga untu ibu meluaskan segala yang perlu. Rehatnya apabila semua yang dikasihinya melelapkan mata. Apabila rumah dalam keadaaan sunyi sepi. Mungkin diselangi antara dengkur dan tangis si kecil yang keletihan kerana siangnya puas bermain. Puas berjalan. Puas berlari. Puas melompat-lompat. Melelapkan mata bukan tidur mati hingga di luar sedar. Minda ibu perlu sensitif dengan  gerak dan bunyi anak-anak. Gelisahnya di tempat tidur. Tangisnya kerana lapar susu. Nyamuk perlu ditampar. Letih anak dipicit kakinya. Didodoi resahnya. Mungkin tidur ibu sejam atau dua sudah memadai. Subuh menjelang untuk memulakan hari baru. Seawal pagi banyak yang perlu dikelola. Ianya cabaran. Ianya tanggungjawab. Seorang ibu adalah tunggak kekuatan keluarga. Pembantu kepada beratnya tanggungjawab suami dan ketua keluarga. 

Sunday, May 24, 2015

Nilai Melayu Mana Tingginya



Sejak kita mencapai kemerdekaan kehidupan orang Melayu semakin terhimpit. Tanah orang Melayu semakin banyak yang terlepas dari tangan mereka ke tangan orang lain. Sewaktu orang lain membina empayar besar dalam perniagaan, orang Melayu menjadi kuli dan papa kedana. Malah kerja-kerja yang dahulunya mereka lakukan diambilalih oleh pendatang asing yang hinggap di Malaysia berduyun-duyun ramainya. Di mana silapnya? Orang Melayu suatu ketika dahulu adalah:

1                    Pahlawan-pahlawan terbilang yang setia kepada negara dan rajanya.
2                    Mereka adalah orangkaya. Bukan gelaran tetapi realiti ketika itu. Usaha dan peluang yang diberi pemerintah menjadikan mereka kaya.
3                    Mereka menyeberang lautan dan mendaki bukit-bukau untuk membina kekayaan.
4                    Mereka tidak lupa tentang agama mereka walaupun sibuk dengan dunia.

Tahun 1509 menjadi tarikh yang tragis kerana datangnya Benggali Putih ke Tanah Melaka. Tahun 1511 Benggali Putih yang sama menawan Melaka. Datang pula Belanda dan Inggeris. Perang Dunia ke-II menyaksikan Jepun mengalahkan bangsa Eropah. Membuka mata rakyat tempatan khususnya pribumi menghalau terus orang putih kembali ke Eropah. Terdengarlah laungan. Tanah ini kita yang punya. Kita daulatkan diri kita di sini. Nenek dan moyang kita bersemadi di tanah ini. Kita merdeka dan kita kongsi bersama susah dan senangnya. Sama-sama kita menuju kejayaan.

Titik darah bangsa tidak habis di situ. Banyak pengorbanan untuk membina bangsa. Setelah 59 tahun merdeka kita banyak mengelamun mengenang nasib diri. Banyak tanah kita bukan lagi milik kita. Orang kita banyak yang fikirkan perut. Untuk kenyang bukan untuk kaya. Barangkali orang kita tidak jauh wawasannya. Hanya 59 tahun hampir kesemuanya tergadai. Menjadi milik orang lain. Kita selalu memikirkan yang sementara. Asalkan perut kenyang. Atau bagi setengah yang lain alas perutpun jadilah. Pada satu pihak kerajaan memotivasi supaya orang kita membangun diri. Menerima pambangunan yang dibawa pemerintah. Menyokong segala perancangan. Terdapat satu aspek yang terlepas pandang. Orang kita yang tidak bijak tidak dibantu dari segi berfikir. Tidak diajak untuk memelihara warisan nenek dan moyang mereka. Alangkah baiknya jika 59 tahun dahulu orang kita diajak berfikir pada aras tinggi. Melihat dari kacamata wawasan yang jauh. Membina warisan turun temurun untuk anak dan cucunya.

Apabila pembangunan dilaksanakan terlalu banyak tanah orang kita yang terjual. Yang tergadai. Sifat lemah kita tentang wang ringgit dan kekayaan dieksploitasi oleh mereka yang “celek” merancang masa hadapan untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan nasib bangsanya. Di luar sana ramai jerung-jerung ekonomi yang menawarkan bungkun kertas tunai. Sekali lagi orang kita terperangkap. Mereka tidak arif tentang wang. Bagaimana memeliharanya. Bagaimana menjana kekayaan dengan wang. Mereka menyangka wang adalah segala-galanya. Hanya beberapa ketika yang singkat mereka kehilangan segala-galanya. Dari tuan tanah yang mewah mereka menjadi orang kaya baru. Kemudiannya mereka menjadi mereka yang kehilangan tanah dan kehabisan wang ringgit. Tragedi Melayu yang melayu.

Fikir dan lihat kembali. Mana tanah yang asalnya bukan milik Melayu. Dari sultan hingga rakyat marhaen. Kesemuanya memiliki tanah. Satu demi satu terlepas kepada orang lain. Pemimpin pula melihat ini sebagai peluang memajukan negara at the expense of  orang Melayu. Mungkin jika kita berfikir secara waras sejenak kita dapat menilai semula apa yang perlu kita lakukan. Kenapa mesti dijual tanah yang sangat tinggi harganya. Orang Melayu mungkin tidak mampu membina bangunan bertingkat-tingat tingginya. Tidak memiliki wang berjuta atau berbiliun. Tink-tank Melayu boleh membantu dengan membuat garispanduan ekonomi kepada mereka yang memerlukannya. Kita perlu ada penilai berwibawa untuk membantu bangsanya sendiri. Tanah orang Melayu tidak perlu dijual. Usahakan supaya dihalang dari dijual. Mereka yang bertanggungjawab di Pejabat Tanah umpamanya perlu peka dengan perkara ini. Tanah orang Melayu hanya boleh disewa. Ya, perlu disewa. Bukan untuk dijual.

Tidak kira bangunan yang hendak dibangunkan di atas tanah itu. Asalkan patuh syarie. Maksudnya untuk kegunaan yang halal. Bukan premis judi umpamanya. Maknanya tanah orang Melayu di mana sekalipun lokasinya perlu disewa dan bukan dijual. Pemiliknya boleh pindah ke tempat lain asalkan segala perjanjian dan kontrak sewanya dipantau oleh tink-tank Melayu yang sayangkan bangsanya. Aspek yang berikut perlu diambil perhatian:

1                    Nilai sewa yang menasabah mengikut lokasi.
2                    Kenaikan nilainya dari masa ke semasa.
3                    Kadar semasa yang adil kepada pemilik dna penyewa.
4                    Semakan kenaikan sewa setiap lima tahun umpamanya dengan kadar kenaikan semasa.
5                    Ada peruntukan undang-undang yang membenarkan kontrak dan sewaan itu boleh ditamatkan.


Tanah yang  disewa mendatangkan pulangan tetap yang meningkat dari masa ke semasa. Pemilik tanah tidak kehilangan hakmilik ke atas tanahnya. Tidak ada tanah yang terlepas kepada orang lain. Kita masih belum terlambat sebelum segala-galanya menjadi bubur. Sebelum orang Melayu benar-benar mengemis di negaranya sendiri. Fikirkanlah dengan seadil-adilnya. Sewaras fikiran yang ada.

Saturday, May 9, 2015

Sensitiviti Hati Seorang Tua



Berapa ramai antara kita yang merancang untuk hari-hari tuanya. Apa yang dijangka apabila usia melampaui 70 tahun umpamanya. Kita selalu terlena dan barangkali terfana kerana selalu beranggapan bahawa kita akan selamanya hidup dalam keindahan. Apabila kita tersedar dari lamunan, zaman kanak-kanak kita telah lama berlalu. Zaman remaja kita telah lama pergi. Zaman mula berumahtanga dan memulakan keluarga juga tinggal samar-samar dalam kenangan. Yang tinggal hanya tubuh yang lemah seluruhnya. Sendi-sendi yang seperti hampir bercerai. Kulit penuh dengan kedut, menggerutu dan mengeras. Daging hilang kegebuannya. Tulang dan kulit itu yang menunjukkan kita terus lanjut usia. Apa lagi yang tinggal. Ingatan dan kenangan. Harapan sudah semakin pudar. Apabila tua menjelma yang datang juga berkait dengan siapa kita semasa muda.

Benarkah orang tua banyak ragam? Itulah yang selalu dilegarkan di minda kita. Sukar menjaga orang tua. Apabila kita teliti kesemua ini adalah persepsi. Hanya orang tua yang memahami orang tua. Orang muda sukar memahaminya kerana mereka belum mencapai usia itu. Terdapat tiga perkara yang melingkari hidup tua.

1                    Fizikalnya yang semakin lemah.
2                    Ibadahnya yang perlu dijaga.
3                    Sensitivitinya yang selalu menjauh.

Apapun yang kita bincang dan fikirkan hakikatnya begitu. Semakin tua maka semakin lemah segalanya. Kekuatan fizikal yang dahulu agam dan sasa, terhakis sedikit demi sedikit. Tiba-tiba segalanya sudah di luar kudrat yang biasa. Jalannya semakin perlahan. Tangannya tidak sekuat dahulu. Staminanya luput. Semangatnya pudar. Tanpa sakit berat sekalipun, kekuatan fizikal terhakis kerana faktor usia. Malah kadang-kadang untuk bercerita sekalipun sudah banyak malasnya. Tidak ada topik yang menarik minat lagi. Namun begitu kita mengetahui bahawa bermals-malas juga mengundang musibah. Fizikal kita tidak boleh dimanjakan. Perlukan rutin untuk mengekalkan sebahagian penting dari tenaga yang ada. Untuk mengekalkan tahap kesihatan yang perlu. Untuk hidup yang namanya hidup. Maka makanan menjadi penentu. Jadual makannya dijaga. Pemakanannya disesuaikan dengan keadaan fizikal dan penyakit yang ada. Tidur dan jaganya juga penting diambilkira.

Kekemasan dan kerapian menjaga orang tua tidak ada komprominya. Mandi dan bersihnya diberi perhatian istimewa. Ia refleksi kepada yang menjaganya. Khususnya anak-anak yang terlibat. Pakaianya apatah lagi. Selalu diganti. Dibasuh mengikut keperluannya. Tempat tidurnya dirapi dan disusun. Diwangi dan diharumkan. Ianya tidak boleh diambil mudah. Mereka di sekeliling orang tua perlu mengawasi keadaan. Kekotoran atau ketidakrapian boleh memurungkan keadaan. Maksudnya suasana hendaklah menceriakan. Hiasan sedikit sebanyak boleh mengubah keadaan. Orang tua bukan bermakna harus dilayan seperti tidak berguna. Mereka perlu berada dalam keadaan istimewa. Kesukaannya diberi keutamaan. Ketidaksukaannnya dihindarkan. Ragamnya diredam di hati. Marahnya didengar. Sayunya dihibur. Ceritanya diambil iktibar.

Semakin tua semakin lemah ingatan. Jadual rutin selalu menjadi kacau. Solat lima waktu kadang-kadang tersalah kira. Malam dan siang kadang-kadang seolah-olah sama. Menjadi tanggungjawab yang merawat dan menjaga untuk mempastikan ibadah orang tua terjaga. Sebab itu perlu dipastikan bahawa mereka berada dalam keadaan bersih dan suci. Terhindar dari hadath besar dan kecil. Apabila sampai waktu solat pastikan mereka berwuduk dan siap untuk solat. Yang boleh membaca al-Quran atau kitab atau buku, sediakan bahan-bahannya untuk mereka baca dan rujuk. Tua mereka  biarlah dengan ibadah. Dengan al-Quran. Dengan kitab. Mudah-mudahan sakit mereka tidak melupakan ketiga-tiga aktiviti tersebut. Kegagalan mereka beribadat tertanggung ke atas mereka yang menjaga dan merawatnya.


Orang dahulu dan sekarang banyak bezanya. Orang dahulu anak-anak mereka di sekeliling rumah. Ada yang di sisi dan ada yang di bahagian belakang. Apabila ibu dan bapa tua dan uzur anak-anak tinggal berhampiran. Setiap masa boleh dijenguk dan membantu mereka. Sekarang ini ekonomi menjadikan anak-anak berjauhan dari ibu dan bapa. Mungkin ada anak-anak yang tinggal berhampiran tetapi tidak di premis yang sama. Tidak di kawasan perumahan yang sama. Tidak dalam kampung yang sama. Ada jarak dan masa untuk sampai di rumah orang tua. Bagi semua orang tua, mereka yang paling dekat di hati ialah anak-anak. Bukan cucu dan bukan orang lain. Apabila usia tua menjelma anak-anak yang kerap bertentang mata yang selalu diingat. Andai ada anak yang datangnya perlu dijemput maka lama-lama kelamaan orang tua letih menunggu. Datanglah rajuk panjang yang mengerikan. Gurisan hati pada orang tua sebenarnya menjadi azab yang mungkin di dunia dan mungkin di akhirat. Sepasang ibu dan bapa berkeupayaan membesarkan seberapa ramai anak-anak. Walaupun mungkin tidak sempurna namun anak-anak mendapat pembelaan ibu dan bapa. Malangnya kitaran itu tidak selalunya kembali kepada mereka. Ramai anak-anak melupakan tanggungjawab. Berkira dengan jadual dan giliran. Banyak berkira siapa hantar dan siapa yang ambil. Sewajarnya masing-masing berebut-rebut untuk memberikan khidmat yang terbaik di akhir usia mereka. Khidmat yang terbanyak. Yang teristimewa. Yang menggembirakan. Ingatlah bahawa orang tua kita perlukan yang terbaik mengikut kemampuan kita masing-masing. Berilah yang terbaik selagi peluang masih ada. Jangan sia-siakan peluang yang ada. Sesalnya seumur hidup. Impaknya sampai akhirat.