Pemimpin adalah ketua. Dia juga imam. Dia di hadapan. Dialah
yang tanggungjawabnya ditagih. Autoritinya diletak di atas junjungan. Benarkah segala
urusan tertanggung di atas bahu pemimpin? Benar. Yang pasti pemimpin akan
ditanya di akhirat nanti akan kepimpinannya. Allah yang akan bertanya dan bukan
manusia. Apa bidang kuasanya. Apa tanggungjawabnya. Apa kebaikan yang diberikan
kepada mereka yang dipimpinnya. Keadilan yang sewajarnya. Keikhlasan yang dipamerkan.
Kebajikan yang diberikan. Kepekaan yang selalu diutamakan. Walaupun pemimpin
duduknya di hadapan, mereka yang di belakang berhak menegur dan memperingatkannya.
Imam yang kadang-kadang wajib ditegur oleh makmumnya. Khususnya apabila terdapat
kesalahan yang besar. Begitulah pemimpin yang perlu ditegur apabila tindakannya
mengakibatkan mudarat. Menyusahkan mereka yang dipimpin. Menimbulkan rasa
benci. Rasa meluat. Rasa mual. Rasa geram. Bertambah pula dengan timbulnya keresahan
di hati mereka yang dipimpin. Kekeliruan kerana arahan yang bersilih ganti. Arahan
yang bercanggah-canggah. Arahan yang tidak menenangkan hati mereka yang
dipimpin.
Pemimpin berada di tempat tinggi kerana:
1
Dilihat berkersesuaian. Ada ciri-ciri pemimpin yang
dilihat orang.
2
Berdasarkan situasi. Tiada orang lain yang dilihat
layak kecuali dirinya.
3
Semula jadi. Menonjol, berkarisma dan diikuti orang
lain.
4
Ditentukan Allah seperti suami dan bapa.
Apabila seorang pemimpin dipilih atau dilantik ia
hilang hak dirinya. Maksudnya ia tidak boleh memikirkan dirinya lebih berhak
berbanding dengan mereka yang dipimpinnya. Apa-apa yang dipertimbangkan
utamakan mereka dahulu dan bukan dirinya. Seorang pemimpin mendahulukan
kepimpinannya dan bukan dirinya. Seorang bapa berkorban apa sahaja untuk
anak-anaknya. Seorang bapa mungkin rela tidak makan asalkan anak-anaknya
kenyang di hadapan matanya. Seorang bapa tidak berganti baju asalkan anak-anaknya
berbaju baru. Seorang bapa tidak tidur asalkan anak-anaknya nyenyak setiap
malam. Begitulah seorang ketua, dalam hatinya adalah mereka yang dipimpinnya. Rasulallah
memikirkan umatnya. Kebaikan umatnya. Kesejahteraan umatnya. Dididik supaya mereka ke syurga kesemuanya. Kerana itu
seorang pemimpin hendaklah mencontohi Rasulallah. Tiada kepentingan untuk
dirinya. Mati seorang pemimpin sewajarnya bukan meninggalkan kekayaan tetapi rakyat
yang hidup bercukupan. Sihat dan bertenaga. Berakhlak mulia. Kemuliaan hatinya
sentiasa dipupuk. Keikhlasannya diwajarkan. Sentiasa kurang dari orang-orang
yang dipimpinnya.
Dalam dunia serba mencabar ini terlalu ramai pemimpin
yang hanya nampak ringgit dan sen. Mereka yang dipimpin pula beranggapan wajar
selalu memberi ringgit dan sen untuk memuliakan pemimpin. Sebenarnya ringgit
dan sen menjadi punca hati berkaca dengan keghairahan untuk mendapat lebih dan
lebih banyak. Banyak dan bertambah banyak. Tidak lagi ingin berpada. Tidak lagi
memiliki sifat qanaah. Yang dilihat dan diimpikan ialah ringgit dan sen. Dalam hal
seperti itu pemimpin merancangkan bagaimana ringgit dan sen dapat dilonggok. Dapat
dihimpun sebanyak-banyaknya. Dapat bermewah dan berkelebihan. Dapat dipamerkan
sebagai lambang kejayaan. Adakah ianya sebagai hak? Sebagai jalan yang benar
dan bukan yang batil. Kadang-kadang pemimpin lupa adanya istidraj. Khayal dan
lunak dalam sesuatu yang bukan hak sehinggalah Allah mencabut kemewahan yang
ada di sekelilingnya. Mungkin musibah menimpa dirinya sehingga banyak wangnya
yang perlu dibelanjakan. Sakit berat yang berpanjangan. Kesusahan yang
bertimpa-timpa tanpa disangka. Tanpa diduga. Dirinya yang dahulunya disanjung
orang merudum menjadi kebencian orang lain. Khususnya mereka yang dipimpinnya.
Seorang pemimpin perlu selalu ingatkan Allah. Mohon panduan
dan petunjuk dari Allah. Apa-apa yang hendak dilakukan sandarannya ialah redha
Allah. Mereka yang dipimpin juga perlu bertanggungjawab. Tidak boleh hanya
redha dengan kesilapan yang dilakukan pemimpin. Tidak boleh hanya berdiam diri
apabila pemimpin berbuat apa-apa yang menyalahi hukum. Yang menyalahi
kebiasaan. Yang menyalahi adat. Seorang pemimpin namanya di atas tetapi dirinya
sentiasa berada di bawah. Di bumi nyata. Tidak boleh berada di awang-wangan. Tidak
boleh melihat orang lain dari atas sahaja tanpa turun ke bawah. Tidak boleh
melihat dari jauh tanpa melihat sendiri dengan jelas kenyataan dan fakta. Sangat
malang apabila pemimpin mendengar sebelah pihak sahaja. Tidak mendengar hujjah
dari pihak yang sebelah lagi. Setiap perkara ada dua sisinya. Bukan satu
sahaja. Setiap teguran lihat rasionalnya. Setiap nasehat dilihat dari benarnya.
Setiap aduan dilihat butiran dan faktanya. Seorang pemimpin tidak boleh
sekali-kali cenderung untuk menyebelahi pihak-pihak tertentu sahaja. Tidak dan
tidak boleh mendengar dari orang tertentu sahaja. Sangat tidak wajar. Hilang harga
dirinya jika berbuat begitu.
Mereka yang dipimpin berharap sangat bahawa
pemimpinnya memberikan yang terbaik untuk mereka. Jika tidak berkesampaian
hajat itu, wajarlah seorang pemimpin meletakkan dirinya jauh paling bawah
berbanding dari orang-orang yang dipimpinnya. Mereka inginkan keadilan walaupun
sedikit tetapi hak. Tidak wajar sangat apabila pemimpin mengugut mereka dengan
berbagai-bagai ugutan. Membuat cabaran yang bukan hak. Umpamanya jika tidak
setuju dengan racangannya dan keputsannya maka mereka yang dipimpinnya dicabar
supaya meletak jawatan. Itu bukan sifat pemimpin. Bukan sifat orang yang bertanggungjawab.
Bukan sifat pemimpin yang wajar dipatuhi. Kepada seorang pemimpin memberikan
yang terbaik kepada orang-orang yang dipimpinnya adalah suatu kewajaran. Suatu tanggungjawab.
Perihatin dengan apa yang diperlukan mereka. Memberikan yang terbaik mengikut
kemampuan dan keupayaannya. Seorang pemimpin tidak boleh berlepas tangan dalam
apa-apa perkara yang menjadi kontroversil. Yang mengakibatkan kemelut di
persekitarannya. Di kalangan orang-orang di sekelilingnya.
Seorang pemimpin tidak boleh mengambil apa-apa
kepentingan untuk dirinya sedangkan orang lain dinafikan apa-apa hak yang
sewajarnya. Fikirkan kembali, bahawa mereka yang dipimpin hendaklah diberi
seberapa banyak yang terbaik untuk mereka. Pemimpin seharusnya berasa puas
apabila mereka yang dipimpin berada dalam keadaan terbaik. Jauh dari masalah. Jauh
dari ketidakselesaan. Kebahagiaana kepada pemimpin ialah apabila dirinya dapat
menyumbang sebanyak mungkin. Bukan mengaut sebanyak mungkin. Marilah kita tingkatkan
diri kita untuk banyak memberi dan bukan banyak meminta. Pemimpin tidak boleh
menagih yang bukan-bukan. Katakan tidak kepada ketidakadilan.
No comments:
Post a Comment