Tuesday, June 2, 2015

Tidur Anak Jaga Emak



Anugerah yang sangat indah ialah anak. Tanyalah ibu baru. Ibu muda. Gembira ria mereka melekakan suasana. Ia menyempurnakan seorang wanita. Seorang isteri. Menjadi ibu yang melahirkan anak dari darah dagingnya sendiri. Pengikat kasih sayang suami. Penyeri rumahtangga. Selain dari bersyukur, tiada ungkapan lain yang selayaknya disuarakan. Terlalu indah seindah-indahnya. Saat-saat yang berlalu tiada ruang kosong dalam hati. Kembang berbunga dipenuhi rasa kasih yang menyerap dan mengindah dalam taman hati. Saat lahir anak, maka kehidupan seorang isteri berubah banyak darjahnya. Bukan sedikit tetapi terlalu banyak. Pada suatu ketika yang sama seorang wanita menjadi ibu, menjadi isteri, menjadi anak, menjadi menantu, menjadi pekerja dan menjadi ahli masyarakat. Maksudnya seorang ibu tidak berhenti hanya menjadi ibu. Bukan hanya menyusukan anaknya. Bukan hanya menyediakan makan dan minumnya. Bukan hanya mendodoi dan menidurkannya. Bukan hanya merawat sakit dan uzurnya. Tugas sebagai isteri dan wanita masih perlu diteruskan. Masih perlu digandakan. Masih perlu diberi keutamaan.

Keakraban antara ibu dan anak tiada siapapun yang dapat memisahkan. Namun begitu ibu yang juga isteri perlu lebih bertenaga. Perlu lebih ligat. Perlu lebih lincah. Tidak mungkin seorang ibu muda menjadi terlalu keletihan kerana melayan seorang atau dua anak. Take stock, kata orang putih. Tugasmu bukan hanya untuk seorang atau dua anak. Rumah perlu dikemas. Anak perlu dimandi. Perlu dipakaikan. Perlu disusu dan disuapkan. Perlu didokong dan didodoi. Pakaian perlu dibasuh. Perlu disidai. Perlu dilipat. Perlu digosok. Itu belum muntah dan najis di mana-nama. Ibu sekarang beruntung sebab ada lampin pakai-buang. Tetapi, tetapi perlu pula selalu diintai najis yang mungkin mendatang. Keraplah diurus. Kasihan anak jika lambat basuh dan bersihnya. Merah kulit paha anak. Mungkin kerana ruam banyak tangis anak. Merisaukan juga ibu dan bapa muda yang tidak biasa. Tiada kursus seumpamanya dalam kursus pra-perkahwinan sebalum bernikah kahwin dahulu.

Menjadi kebiasaan apabila anak tidur maka ibu juga turut tidur. Sangat kondusif situasinya. Anak mengantuk. Ibu juga keletihan. Mengantuk sangat natural kepada ibu. Namun begitu tahukah anda bahawa perbuatan itu menghakis peranan ibu dan isteri. Sebenarnya, sebenarnya ketika anak tidur inilah, ibu perlu memainkan peranan yang lebih besar.

1.     Ketika inilah masa yang sesuai untuk memasak, mengemas dapur, menyusun pinggan-mangkuk.
2.     Mengemas bilik tidur, pakaian dan almari.
3.     Membasuh pakaian, menyidai, mengangkat, melipatnya.
4.     Menggosok pakaian.
5.     Memvakum rumah.
6.     Mengemop lantai.
7.     Memantau lanskap di laman rumah.
8.     Menyusunatur hiasan luar dan dalaman rumah.
9.     Membaca dan menulis.
10.  Berinteraksi dengan suami. Mungkin bermanja dan bermesra.
11.  Menghubungi ibu dan bapa yang jauh.

Alangkah malangnya apabila anak tidur ibu juga tidur. Banyak peluang terbuang kerana tidak melakukan apa-apa. Apapbila anak terjaga maka ibu sibuk semula melayan anak. Tidak semestinya anak itu menjadi centre of everything kerana akhirnya ibu tidak berbuat anything. Maknanya apabila seorang isteri menjadi seorang ibu, ia perlu lebih pintar mengurus diri dan mengurus segala-gala di sekelilingnya. Menjadi ibu adalah ujian penting hebatnya seorang wanita. Mengurus anak di satu sudut penting dalam hidupnya. Seorang bayi yang luhur. Mulus kulitnya. Wangi baunya. Aroma seorang anak yang tiada tandingnya. Lebih ramai anak maka lebih banyak suasana sebegitu yang berulang-ulang dalam hidup. Kelestarian yang memanjang dan meriangkan hati dan sanubari. Suasana yang selalu indah. Fikirkan sejenak. Bukankah kehadiran anak menjana tenaga kepada seorang ibu. Walaupun seorang lelaki atauy suami kuat fizikalnya tetapi stamina seorang ibu jauh lebih gagah darai seorang ayah.

1                    Seorang ibu sangat sedikit tidurnya.
2                    Sangat sedikit rehatnya.
3                    Sangat kurang masanya.
4                    Sangat betah dari sakit dan lelah.
5                    Makannya sedikit.
6                    Hatinya banyak pada anak dan suami.

Seorang ibu muda berganda tenaganya. Gerak dan aktifnya luarbiasa. Tidurnya lewat. Jaganya sangat awal. Makannya sedikit. Khidmatnya terlalu banyak. Membantu dan membantu anak dan suami. Kata orang tidak terbayar upahnya. Tiada anak yang mampu untuk membayarnya. Hingga ke akhir hayat sekalipun tiada siapa yang mampu untuk membayarnya. Hutang hayat selama-lamanya. Hutang anak kepada ibunya. Tetapi bagi ibu, segala-galanya adalah percuma. Dengan rela hati. Dengan ikhlas hati. Dengan berlapang dada. Segala-galanya untuk anak. Zuriat dari suaminya. Hati ibu terlalu besar untuk memberi yang terbaik untuk mereka. Kerana itu ibu muda perlu banyak belajar. Banyak memgambil iktibar. Menerapkan berbagai pegajaran dari pengalaman orang terdahulu. Semuanya sebagai kitaran. Orang dahulu ramai anaknya. Berbelas-belas kebanyakannya. Segalanya beres. Tiada anak yang terbiar begitu sahaja. Sewaktu anak tidurlah ibu menunaikan tanggungjawab rumahtangganya.


Tidur anak bukan waktu tidur ibu. Tidur anak adalah waktu berharga untu ibu meluaskan segala yang perlu. Rehatnya apabila semua yang dikasihinya melelapkan mata. Apabila rumah dalam keadaaan sunyi sepi. Mungkin diselangi antara dengkur dan tangis si kecil yang keletihan kerana siangnya puas bermain. Puas berjalan. Puas berlari. Puas melompat-lompat. Melelapkan mata bukan tidur mati hingga di luar sedar. Minda ibu perlu sensitif dengan  gerak dan bunyi anak-anak. Gelisahnya di tempat tidur. Tangisnya kerana lapar susu. Nyamuk perlu ditampar. Letih anak dipicit kakinya. Didodoi resahnya. Mungkin tidur ibu sejam atau dua sudah memadai. Subuh menjelang untuk memulakan hari baru. Seawal pagi banyak yang perlu dikelola. Ianya cabaran. Ianya tanggungjawab. Seorang ibu adalah tunggak kekuatan keluarga. Pembantu kepada beratnya tanggungjawab suami dan ketua keluarga. 

2 comments:

  1. Tanggungjawab ibu makin bertambah sekiranya bapa bekerja di luar kawasan. Hanya mengharap bantuan jiran tetangga dan saudara mara terdekat sahaja. Sesekali suami pulang ke rumah, terdetik hati mengharap bantuan dihulur dengan rela, namun hanya mampu memohon pada Pencipta sang hati, agar dibukakan hati sang suami untuk turut serta menghulurkan bantuan tanpa diminta atau disuruh.

    ReplyDelete
  2. Telah banyak diperkatakan dalam entry yang terdahulu tentang perlunya suami membantu isteri. Sama ada isteri seorang profesional atau isteri sepenuh masa suami perlu membuka hati dan mata. Seorang isteri sangat berat tanggungannya apatah lagi jika is sedang hamil atau uzur. Dalam banyak hal suami yang perlu ke hadapan. Peka dan perihatian akan beban seorang isteri.

    ReplyDelete