Sunday, June 28, 2015

Luka Lama Berdarah Kembali



Kadang-kadang peribahasa mungkin hanya berbahasa. Lunak dibaca. Lunak didengar. Menyejukkan hati. Bahasa orang Melayu penuh syahdu. Ada nakal dan ada nostalgiknya. Jika kita menafikan hakikat itu kita hilang ciri-ciri Melayu yang ada pada warisan kita. Pada diri kita. Kita bukan orang dari kalangan mereka yang kasar dan keras. Pada diri kita banyak yang mendasar. Yang dilahirkan kepada umum hanya sipi-sipinya sahaja. Tidak kelihatan yang banyak disembunyikan. Namun begitu jika kita mahir berbicara dan mahir berbahasa, dalam bahasa itulah kita mengenal hati budi. Apabila usia kita berada dalam kalangan mereka yang berpengalaman barulah pengalaman itu sendiri mengungkapkan segala-galanya. Kemahiran yang ditimbun serta kecerdasan minda menggarap lintasan pada pancaindera menjadikan seseroang itu berada pada paras yang tersendiri.

Anak-anak selalunya diingatkan supaya sangat berhati-hati dalam semua hal sewaktu menjadi anak-anak. Sewaktu masih muda. Ibu bapa yang perihatin melihat segala-galanya dengan mata hati mereka. Bukan sahaja dengan mata kepala. Ada firasat. Ada harapan. Ada doa untuk anak-anak. Kepada mereka yang baru mendapat cahayamata, belajarlah untuk melihat ke hadapan dengan penuh keterujaan. Namun begitu banyak yang perlu dipelajari untuk melestarikan generasi keluarga pada masa hadapan. Kita bukan sahaja perihatin tentang keberadaan mereka di kemudian hari. Bukan sahaja faktor ekonomi. Bukan sahaja sosial. Malah ada masanya kesihatan dan kesejahteraan anggota tubuh badan menentukan masa tua yang sejahtera juga. Segala-galanya bermula darai zaman anak-anak. Dari zaman kanak-kanak. Dari zaman remaja. Dari zaman muda-muda dahulu. Perkara-perkara kesihatan yang terlepas pandang pada masa lampau memberi impak besar kepada kesihatan pada masa tua.

Pernahkah anda jatuh? Terhantuk kepala. Terseliuh kaki dan tangan. Terpatah kaki dan tangan. Retak tulang di sana sini. Ibu dan bapa perihatinlah tentang semua itu. Setiap anggota anak mesti diperiksa setiap ada kesempatan khususnya pada waktu malam. Pada waktu siangnya setiap tingkah laku anak-anak diperhatikan dengan pandangan kritikal. Mengenalpasti apa-apa kelainan daripada biasa yang kelihatan pada anak. Tangisnya diberi perhatian. Jeritnya diberi perhatian. Apabila anak-anak tidur mungkin ia mengerang. Bunyi dan kelainan tingkah laku adalah tanda-tanda masalah pada fizikal mereka. Terdapat mungkin anak-anak yang tahan fizikalnya. Tangannya patah tetapi dia tidak menunjukkan rasa sakit. Bermain sahaja sepanjang masa. Kisah benar di premis tabib Cina. Bayangkan seorang anak berusia tiga tahun tangannya patah tidak disedari oleh ibu dan bapanya. Setelah empat bulan baru mereka sedar. Itupun apabila dilihat anaknya mengaminkan doa bapanya selepas solat. Telapak angan kanannya mengadap ke atas sementara telapak tangan kirinya mengadap ke bawah. Kedudukan siku dalam keadaan normal. Tentulah gawat. Tangan kiri anaknya telah terpusing. Maksudnya telah patah dan bercantum semula tetapi tidak pada kedudukan asalnya. Untuk memperbetulkan kedudukannya perlu bertemu pakar tulang. Pembedahan yang besar. Tangan itu perlu dipatahkan semula dan diperbetulkan kedudukannya seperti asal. Berat, sakit, mahal dan penuh emosi. Pengalaman tidak terduga. Mungkin boleh mendapatkan rawatan alternatif melalui pakar urut tradisional. Yang penting usaha yang wajar.

Kita mungkin pernah jatuh sewaktu kanak-kanak. Bukan sekali. Barangkali berkali-kali. Ketika itu kita tidak terasa apa-apa. Ibu bapa tidak pula memberikan perhatian. Apabila tua kesan jatuh itu menghantui semula. Apabila kita jatuh terhentak terjadilah kesannya kepada tulang belakang. Kepada tulang selangka. Kepada tulang dada. Kepada tulang punggung. Kepada tangan. Kepada paha dan kaki. Mungkin banyak lagi. Penulis berjumpa dengan seorang tabib Cina kerana kaki selalu berasa lenguh. Diagnosisnya membenarkan apa yang penulis alami selama ini. Ada bahagian tulang yang terherot. Kesannya kepada bahagian kaki. Kerap lengoh walaupun tanpa membuat kerja berat. Kata tabib ianya kesan lama. Imbangan badan sudah lari. Pastinya kasut dan sandal atau selipar yang penulis gunakan senget di sebelah tepi. Penulis hanya mengangguk membenarkan kata-katanya. Rawatan pada kali pertama bisa-bisa juga di bahagian belakang pinggang. Alhamdulillah lengoh pada kaki terasa berkurangan. Tidak lesu dan malas bila bangkit dari tidur.

Pembaca yang membaca entry penulis pada peringkat awal-awal dahulu tentu masih ingat yang penulis pernah terjatuh dari pokok rambai sewaktu berusia kira-kira 10 tahun. Serangan lengoh kaki, penulis alami sejak muda lagi. Biasanya diurut sahaja. Lega sekejap. Kemudian datang lagi. Persistent kata orang putih. In sya Allah rawatan kali ini melegakan apa yang penulis alami selama ini. Mohon doanya.


Moral ceritanya, jagalah anak-anak seperti menatang minyak yang sangat penuh. Bukan hanya penuh tetapi yang benar-benar penuh. Sebarang kecacatan yang terlepas pandang akan menjadikan anak-anak cacat seumur hidup. Peka selalu. Perihatin selalu. Terjemahkan kasih sayang dengan tanggungjawab dan keperihatinan yang tinggi setingginya. Merekalah permata hati dan pengarang jantung. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Moga-moga anak-anak nanti segar bugar fizikal dan akhlaknya. Kesemuanya di bahu ibu dan bapa. Tidak di bahu orang lain. 

No comments:

Post a Comment