Sunday, May 24, 2015

Nilai Melayu Mana Tingginya



Sejak kita mencapai kemerdekaan kehidupan orang Melayu semakin terhimpit. Tanah orang Melayu semakin banyak yang terlepas dari tangan mereka ke tangan orang lain. Sewaktu orang lain membina empayar besar dalam perniagaan, orang Melayu menjadi kuli dan papa kedana. Malah kerja-kerja yang dahulunya mereka lakukan diambilalih oleh pendatang asing yang hinggap di Malaysia berduyun-duyun ramainya. Di mana silapnya? Orang Melayu suatu ketika dahulu adalah:

1                    Pahlawan-pahlawan terbilang yang setia kepada negara dan rajanya.
2                    Mereka adalah orangkaya. Bukan gelaran tetapi realiti ketika itu. Usaha dan peluang yang diberi pemerintah menjadikan mereka kaya.
3                    Mereka menyeberang lautan dan mendaki bukit-bukau untuk membina kekayaan.
4                    Mereka tidak lupa tentang agama mereka walaupun sibuk dengan dunia.

Tahun 1509 menjadi tarikh yang tragis kerana datangnya Benggali Putih ke Tanah Melaka. Tahun 1511 Benggali Putih yang sama menawan Melaka. Datang pula Belanda dan Inggeris. Perang Dunia ke-II menyaksikan Jepun mengalahkan bangsa Eropah. Membuka mata rakyat tempatan khususnya pribumi menghalau terus orang putih kembali ke Eropah. Terdengarlah laungan. Tanah ini kita yang punya. Kita daulatkan diri kita di sini. Nenek dan moyang kita bersemadi di tanah ini. Kita merdeka dan kita kongsi bersama susah dan senangnya. Sama-sama kita menuju kejayaan.

Titik darah bangsa tidak habis di situ. Banyak pengorbanan untuk membina bangsa. Setelah 59 tahun merdeka kita banyak mengelamun mengenang nasib diri. Banyak tanah kita bukan lagi milik kita. Orang kita banyak yang fikirkan perut. Untuk kenyang bukan untuk kaya. Barangkali orang kita tidak jauh wawasannya. Hanya 59 tahun hampir kesemuanya tergadai. Menjadi milik orang lain. Kita selalu memikirkan yang sementara. Asalkan perut kenyang. Atau bagi setengah yang lain alas perutpun jadilah. Pada satu pihak kerajaan memotivasi supaya orang kita membangun diri. Menerima pambangunan yang dibawa pemerintah. Menyokong segala perancangan. Terdapat satu aspek yang terlepas pandang. Orang kita yang tidak bijak tidak dibantu dari segi berfikir. Tidak diajak untuk memelihara warisan nenek dan moyang mereka. Alangkah baiknya jika 59 tahun dahulu orang kita diajak berfikir pada aras tinggi. Melihat dari kacamata wawasan yang jauh. Membina warisan turun temurun untuk anak dan cucunya.

Apabila pembangunan dilaksanakan terlalu banyak tanah orang kita yang terjual. Yang tergadai. Sifat lemah kita tentang wang ringgit dan kekayaan dieksploitasi oleh mereka yang “celek” merancang masa hadapan untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan nasib bangsanya. Di luar sana ramai jerung-jerung ekonomi yang menawarkan bungkun kertas tunai. Sekali lagi orang kita terperangkap. Mereka tidak arif tentang wang. Bagaimana memeliharanya. Bagaimana menjana kekayaan dengan wang. Mereka menyangka wang adalah segala-galanya. Hanya beberapa ketika yang singkat mereka kehilangan segala-galanya. Dari tuan tanah yang mewah mereka menjadi orang kaya baru. Kemudiannya mereka menjadi mereka yang kehilangan tanah dan kehabisan wang ringgit. Tragedi Melayu yang melayu.

Fikir dan lihat kembali. Mana tanah yang asalnya bukan milik Melayu. Dari sultan hingga rakyat marhaen. Kesemuanya memiliki tanah. Satu demi satu terlepas kepada orang lain. Pemimpin pula melihat ini sebagai peluang memajukan negara at the expense of  orang Melayu. Mungkin jika kita berfikir secara waras sejenak kita dapat menilai semula apa yang perlu kita lakukan. Kenapa mesti dijual tanah yang sangat tinggi harganya. Orang Melayu mungkin tidak mampu membina bangunan bertingkat-tingat tingginya. Tidak memiliki wang berjuta atau berbiliun. Tink-tank Melayu boleh membantu dengan membuat garispanduan ekonomi kepada mereka yang memerlukannya. Kita perlu ada penilai berwibawa untuk membantu bangsanya sendiri. Tanah orang Melayu tidak perlu dijual. Usahakan supaya dihalang dari dijual. Mereka yang bertanggungjawab di Pejabat Tanah umpamanya perlu peka dengan perkara ini. Tanah orang Melayu hanya boleh disewa. Ya, perlu disewa. Bukan untuk dijual.

Tidak kira bangunan yang hendak dibangunkan di atas tanah itu. Asalkan patuh syarie. Maksudnya untuk kegunaan yang halal. Bukan premis judi umpamanya. Maknanya tanah orang Melayu di mana sekalipun lokasinya perlu disewa dan bukan dijual. Pemiliknya boleh pindah ke tempat lain asalkan segala perjanjian dan kontrak sewanya dipantau oleh tink-tank Melayu yang sayangkan bangsanya. Aspek yang berikut perlu diambil perhatian:

1                    Nilai sewa yang menasabah mengikut lokasi.
2                    Kenaikan nilainya dari masa ke semasa.
3                    Kadar semasa yang adil kepada pemilik dna penyewa.
4                    Semakan kenaikan sewa setiap lima tahun umpamanya dengan kadar kenaikan semasa.
5                    Ada peruntukan undang-undang yang membenarkan kontrak dan sewaan itu boleh ditamatkan.


Tanah yang  disewa mendatangkan pulangan tetap yang meningkat dari masa ke semasa. Pemilik tanah tidak kehilangan hakmilik ke atas tanahnya. Tidak ada tanah yang terlepas kepada orang lain. Kita masih belum terlambat sebelum segala-galanya menjadi bubur. Sebelum orang Melayu benar-benar mengemis di negaranya sendiri. Fikirkanlah dengan seadil-adilnya. Sewaras fikiran yang ada.

No comments:

Post a Comment