Thursday, April 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Arab Bahasa Ke Akhirat

Agama Islam milik kira-kira 20% penduduk dunia. Tidak semua Muslim bercakap dan menulis dalam Bahasa Arab (BA). Cuma diperakui bahawa kesemua Muslim menggunakan BA untuk membaca al-Quran, membaca hadith, solat, syahadah dan berdoa. Mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan bahawa seluruh penduduk dunia menggunakan BA sama ada banyak atau sedikit. Kita biasa dengan nombor ini 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 0. Cuba cari kamus Bahasa Inggeris. Tidak kira kamus British atau American atau Australian atau Canadian. Di dalam kamus-kamus itu nombor-nombor tersebut diistilahkan sebagai nombor Arab. Yes, Arabic Numbers. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikannya. Semua sarjana walau dalam bidang apa sekalipun akan memperakui bahawa nombor itu adalah nombor Arab. Wahai manusia kesemua kamu telah menggunakan sebahagian dari BA. Wahai orang-orang yang beriman pula kamu menggunakan lebih banyak BA dalam kehidupan kamu sehari-hari. Sesungguhnya BA menyatukan kesemua Muslim tanpa mengira mazhab yang mereka anuti. Solat berjemaah boleh bersama-sama walau di mana mereka berada. Mereka membaca al-Quran yang sama. Qiraat sahaja yang mungkin berbeza. Maknanya BA bukan sahaja menyatukan kesemua Muslim bahkan ianya juga menyatukan kesemua manusia di atas muka bumi ini. Agama Islam lahir bermula dengan BA. Allah telah menyediakan BA sejak dari Syam bin Nuh alaihi salam. Jazirah Arab tempat asalnya. Cabang qabilah Arab yang istimewa BAnya ketika kemuncak keindahannya ialah Quraisy. Rasulallah S.A.W. lahir dalam keindahan BA Quraisy. Wahyu diturunkan dalam BA Quraisy. Allah menjamin bahawa al-Quran akan berkekalan. Allah yang menurunkannya dan Allah jua yang menjaganya. Selagi al-Quran terjaga bermakna BA juga terjaga dengan rapi. Apabila agama berkembang dengan baik maka BA turut sama berkembangnya. Setelah hampir 15 abad ada tanda-tanda bahawa BA tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Ramai Muslim yang tidak tahu berBA walaupun mereka solat dengan BA. Membaca al-Quran dangan BA. BA hanya keperluan untuk menunaikan ibadah yang khusus tetapi tidak dijadikan sebagai bahasa yang menjunjung ilmu. Memperkukuh kesarjanaan Islam. Banyak telah diceritakan bahawa kita boleh menterjemah berbagai bahasa ke dalam bahasa-bahasa lain. Namun begitu setiap terjemahan tidak pernah 100% sempurna menepati maksud yang hendak disampaikan. Tidak ada bahasa yang benar-benar dapat diterjemahkan dengan setepat-tepatnya. Kerana itu untuk sempurna mempelajari agama Islam, kita wajib kembali mempelajari BA. Menggunakannya. Mengamalkannya. Memperkembangkannya. Di dalam bahasa terdapat adat dan peradabahan yang khusus kepada pengguna bahasa itu sahaja. Bahasa diperlajari bersama budayanya. Tidak pernah terpisah. Kita telah terlalu lama dijajah. Minda dan semangat kita hilang bersama penjajahan. Di negara Arab BA bukan lagi satu-satunya bahasa yang mereka gunakan. Banyak yang menggunakan Bahasa Inggeris selain dari Bahasa Perancis. Bukan tidak ramai yang mempelajari BA tetapi bukan lagi sebagai bahasa yang diberi keutamaan di dunia. Kepada orang kita BA bukan bahasa komersil. Perut tidak kenyang dengan BA. Begitulah karenah manusia memperlecehkan BA. Percayalah di alam barzah dan di akhirat nanti kita akan hanya berBA. Hilang semua kebanggaan berbahasa ibunda di dunia. Sebab itu ulamak menggesa untuk kita yang Muslim mempelajari dan menggunakan BA. InsyaAllah mendapat pahala kerana mempelajarinya. Mendapat pahala kerana menggunakannya. Sertakan dengan niat yang murni bahawa kesemua usaha itu kerana Allah. Cuma kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran (P&P) BA di negara kita dilihat payah. Dirassa payah. Barangkali pedagoginya perlukan pendekatan baru. Kepada orang dewasa umpamanya, BA hendaklah dengan memperbanyakkan latihan. Latihan menulis digandingkan dengan latihan menuturkannya. Dengan lahjah dan intonasi BA yang wajar betul. Seperti ketika membaca al-Quran apa-apa teks dalam BA hendaklah dibaca dengan bunyi dan lahjah yang sama. Cuma BA tidaklah bertajwid seperti membaca al-Quran. Ganjil pula nanti jadinya. BA yang penulis pelajari di Markaz Nil di Kaherah ini menyakinkan diri penulis sendiri. Boleh diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Jangkamasanya selama 15 bulan. Atau 15 mustawa. Tingkatan. Empat minggu setiap mustawa. Setiap dua minggu ada peperiksaan. Peperiksaan pertengahan mustawa dan peperiksaan akhir mustawa. Kelas harian hanya selama dua jam. Namun begitu pengisiannya sangat padat. Setiap hari banyak kerja rumah dalam bentuk latihan. Jika hendak rajin biasalah tidur hingga lewat malam. Kadang-kadang hingga pukul satu atau dua pagi. Andainya hendak santai terpulang kepada individu. Jika hendak bermalas-malasan juga terpulang kepada individu. Konsepnya belajar tetap belajar. Perlu ada sistem. Perlu ada disiplin. Rugilah jika kegagalan untuk hadir sehingga tidka boleh mengambil peperiksaan. Bermakna menulang mustawa. Atau jika gagal dalam peperiksaan juga perlu mengulang mustawa. Belajar perlu istiqamah. Ada objektif yang jelas. 1. Niat yang betul dan kerana Allah. 2. Yakin diri dan menolak semangat mudah putus asa. 3. Usaha yang tidak mengenal penat. Disertai dengan kesabaran yang sepenuhnya. 4. Meninggalkan maksiat. Apa sahaja yang dikategorikan sia-sia perlu ditinggalkan. 5. Banyak membuat latihan. Banyak membaca, banyak mengingat dan banyak menghafal. 6. Cari ilmu, amalkannya, berdakwah dengannya dan bersabar dengan kekangan, cabaran dan tentangannya. Sepintas lalu memanglah BA sangat sukar dipelajari. Walau bagaimana sekalipun sekiranya dibina sistem yang baik ianya boleh mempermudahkan P&Pnya. Apabila sudah memulakannya terasa sangat keindahan BA. Benarlah al-Quran mu'jizat paling agung dalam sejarah manusia. BA di dalamnya sangat halus. Satu kalimah yang berbagai tafsirannya. Malah kadang-kadang huruf yang sama diberi tafsiran yang berbeza. Sebab itu membaca terjamahan dari BA tidak dapat memberi kepuasan yang mendalam seperti memahami BA itu sendiri.

Bingkisan Dari Kaherah: Suatu Analogi Serba Berkemungkinan

Kampung itu jauh di pedalaman. Aman dan damai. Warganya secukup hidup. Keperluan hidup mudah diperolehi. Walaupun di pedalaman, terdapat juga antara warganya yang dikategorikan kaya. Biasalah di negara kita mereka yang kaya diberi permit untuk memiliki senjatapi. Begitu juga Tok Ketua mungkin diberi izin untuk memiliki senjatapi. Menjaga keselamatan kampung. Bukan ancaman musuh tetapi mungkin ancaman haiwan liar yang banyak di sekelilimg kampung itu. Termasuk juga tupai dan monyet yang selalu memusnahkan buah-buahan. Tidak lupa kawanan babi yang datangnya bak gelombang pada waktu malam. Hiduplah warga kampung itu menjalani kehidupan biasa penduduk Malaysia yang tidak banyak ragamnya. Asalkan dapat makan dikira alhamdulillah. Tempat tinggal dan pakaian bukan perkara yang merumitkan. Semua penduduknya memiliki tempat tinggal. Ada yang besar dan ada yang kecil. Namun demikian mereka bahagia menjalani kehidupan biasa mereka. Suatu ketika kecohlah kampung tersebut. Senjatapi milik orang kaya dan Tok Ketua telah hilang dari simpanan mereka. Waktu itu pula bukan musim buah. Soalan besar yang berlegar ialah untuk apa senjatapi itu dicuri? Kecoh juga kampung-kampung di sekitarnya. Malah dalam dunia siber yang mengecilkan dunia ini sampai juga berita itu ke ruang yang lebih luas. Mungkin akhirnya satu dunia mengetahui akan kehilangan itu. Di negara lain kehilangan seperti itu bukan isu luarbiasa kerana senjatapi pada mereka biasa-biasa sahaja. Di benua India dan Pakistan senjatapi malah dibuat sendiri. Begitu juga di Afghanistan dan negara-negara lain yang berakhir dengan tan. Di banyak negara lain di dunia ini senjatapi sangat lumrah. Di Amerika Syarikat ramai rakyatnya yang memiliki senjatapi untuk tujuan berburu. Tetapi senjatapi tetap senjatapi. Boleh digunakan untuk mengancam nyawa. Atau untuk membunuh. Untuk melakukan berbagai jenayah yang membahayakan nyawa. Bukan lagi setakat mencederakan. Di negara kita kehilangan senjatapi merupakan suatu peristiwa besar. Ianya mengancam keselamatan negara. Sejak dari zaman British hingga sekarang larangan memiliki senjatapi terus berterusan. Hanya mereka yang terkecuali sahaja diizinkan memilikinya. Memenuhi syarat-syarat yang ditentukan. Kisah kehilangan senjatapi itu belum reda walaupun sesudah berbulan-bulan lamanya. Banyak spekulasi mengenai kehilangannya. Banyak teori amatur yang diketengahkan. Kesemuanya tidak ada jawapan. Cebisan-cebisan maklumat tidak ada yang meyakinkan. Tiba-tiba tercetus suatu berita lain bahawa di kampung tersebut ada beberapa kumpulan samseng. Terpinga-pinga warga kampung. Mereka meneropong ke sana dan ke sini. Cuba mencongak-congak siapa agaknya antara mereka yang dilabel sebagai samseng. Kepada mereka tidak ada siapa yang meragukan. Mereka selalu bersama. Berjemaah bersama. Hidup rukun dan damai. Mungkin juga berlaku perselisihan pendapat tetapi tidaklah sehingga mengeruhkan suasana. Berita dari luar yang melampaui jangkaan itu sangat-sangat menggangu pemikiran Tok Ketua. Apa yang boleh dilakukannya. Bagaimana di kampungnya yang dikenalinya sejak ia dilahirkan terdapat kumpulan samseng. Tidak ada tanda-tanda yang boleh menjurus ke arah itu. Sebagai politikus kampung Tok Ketua tidak memikirkannya secara jauh dan mendalam. Mungkin orang hanya bercakap main-main sahaja. Selang beberapa bulan kemudian berlaku hal-hal yan tidak terduga. Sebuah kampung berhampiran mengalami tragedi berdarah. Beberapa penduduknya tercedera dan mati ditembak. Pihak yang berwajib membuat siasatan rapi. Peluru yang digunakan dikesan menggunakan senjatapi yang telah dicuri di kampung lain sebelumnya. Rekod polis mengesahkan begitu. Semua mata tertumpu ke kampung yang kehilangan senjatapi. Bukankah sebelum ini telah ada cerita bahawa di kamung itu terdapat beberapa kumpulan samseng. Pastinya mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tersebut. Mereka menyerang kampung lain. Kecoh satu dunia. Kampung itu dihuni oleh kumpulan samseng yang mengamcam dunia. Mengancam dunia orang lain. Teori awal mengenai kehadiran mereka seperti disahkan dengan serangan berdarah tersebut. Pasukan perisik dihantar ke kampung itu. Kesemua warganya menjadi suspek. Tanpa mengira jantina. Tanpa mengira usia. Tetapi kerana teori yang diada-adakan samseng memang tidak ada. Mulalah proses penggeledahan dilakukan. Semua rumah diperiksa. Termasuk persekitarannya. Entah bagaimana selaras senjatapi yang hilang dahulu ditemui berhampiran dengan sebuah rumah penduduk. Warga yang berusia 45 tahun itu dituduh mencuri senjatapi dan dituduh juga menggunakannya untuk meyerang kampung lain. Warga kampung sepertinya tidak berdaya mempertahankan hujjah. Tidak pandai berhujjah. Dua cerita telah disahkan. Pertama, di kampung itu terdapat kumpulan samseng. Keduanya, mereka melakukan jenayah dengan menggunakan senjatapi yang mereka curi. Warga kampung yang naif percaya bulat-bulat kesemua cerita tersebut. Kisah ini belum tamat. Mana ahli samseng yang lain? Dipendekkan cerita banyaklah nama yang disabitkan. Dalam jemaah yang tidak dijamaahkan banyak kelonggaran perhubungan. Akhirnya kampung itu dikepung. Nama-nama yang disebut secara rambang ditangkap. Kampung itu diserang dari segenap penjuru. Yang tinggal hanya mereka yang lemah, yang sakit, yang sudah hilang upaya, yang tua dan kanak-kanak. Telah berlaku matlamat menghalalkan cara. Sesuatu yang asalnya hanya ilusi dijustifikasikan sebagai realiti. Segala tindakan diarahkan untuk justifikasi tersebut. Dalam dunia serba mungkin segala-galanya boleh dicipta dalam minda manusia. Begitu kuatnya pengaruh media. Hanya cetusan yang tidak seberapa boleh merebak tanpa kawalan. Grapevine yang dicipta menyubur untuk memusnahkan. Bukan untuk memberi manfaat. Tentu ramai yang bertanya akan sekuennya. Akan konsekuennya. Kita kembali kepada ilmu dan maklumat. Bagaimana kita menyaring yang hak dan yang batil. Bagaimana kita membezakan yang benar dan yang salah. Itulah malang warga sebuah kampung yang naif. Berpuas hati hanya dengan adanya makanan. Cukup dengan kenyang. Ancaman yang datang dalam berbagai bentuk tidak dapat dilihat. Tidak dapat diterjemah. Tidak dapat ditafsir implikasinya. Kesedaran selalunya datang apabila segala-galanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Kita terlena dengan janji yang muluk-muluk. Harapan yang rupanya hanya bersalut belon. Besar, cantik dan berwarna-warni tetapi kosong, ringan dan pecah akhirnya. Yang tinggal hanya pemegang belon yang terpana dengan bunyi tanpa isi. Terlalu banyak yang telah kita dengar. Yang telah kita baca. Yang telah kita lihat. Yang telah kita alami. Apakah ilmu tidak dicari. Apakah kebijaksanaan bukan keperluan. Apakah pengajaran tidak diibatratkan. Kita tetap menunggu harapan yang dijanjikan. Malas membaca yang tersurat dan tersirat. Apakah cerita Pak Pandir mendahului zamannya? Menang sorak kampung tergadai? Allahua’lam.

Bingkisan Dari Kaherah: Nilai Sebuah Impian

Tidak semua orang memiliki impian. Malah ada orang telah lama malas untuk bermimpi. Kepada mereka mimpi sudah bukan realiti lagi. Suatu kepayahan yang tidak perlu difikirkan lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Datang yang diterima. Mengharap tidak mampu terlalu lagi. Cuba lihat diri kita. Berapa berat mata memandang tentu berat lagi bahu yang memikul. Kehidupan sebenarnya semakin menyempit. Pendapatan yang ada mungkin cukup untuk makan tetapi bukan untuk menikmati taraf hidup yang setara tinggi. Penulis masih berada dalam zaman kanak-kanak sewaktu perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sampai di kemuncaknya. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 cukup kuat dalam ingatan. Suatu janji telah diuwar-uwarkan.Tanahair tercinta ini milik kita. Kemerdekaan bererti kita yang perintah. Kita boleh buat apa yang kita suka. Ironisnya arwah datuk penulis sendiri menyanggah usaha hendak merdeka itu. Apalah merdeka jika sebatang jarum pun kita tidak mampu untuk membuatnya. Pada hakikatnya bukan seorang dua yang berkata begitu. Namun kemerdekaan menjadi hahikat. Penulis ingin kembali ke zaman itu. Pilu juga mengingat sanggahan arwah datuk sebegitu. Cuba pembaca tanya diri masing-masing, ada atau tidak orang kita yang sudah pandai membuat jarum. Sudah mahir membuat jarum. Sebatang pun cukuplah, jika ada. Sedih barangkali. Sesudah lebih setengah abad kita merdeka kita memang masih sesungguhnya belum pandai membuat jarum! Bagaimana hal sebegini masih terabai. Apa yang kita lakukan sehingga kita mengabaikan sesuatu yang kecil dan murah. Barangkali juga mudah. Sepertinya tiada sesiapa yang memikirkannya. Baik pemimpin, baik rakyat. Apabila kita melihat sekeliling kita, yang terpapar ialah kepayahan yang masih banyak. Kepayahan baru yang bertambah. Di desa kekal dengan keberadatannya. Hidup tidak seberapa. Malangnya mereka yang tinggal di bandar juga terkapai-kapai berusaha mencukupkan apa yang ada. Di kampung masih ada yang dua kali kais untuk sekali makan. Bukan lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Di bandar mungkin peribahasanya berubah. Kejar pagi makan petang. Kejar petang makan pagi. Pergerakan yang tidak menjanjikan apa-apa kemewahan. Mungkin ramai jadi pesimis kerana kesinambungan kemerdekaan tidak merealisasikan janji awal bahawa negara ini kita yang perintah. Di atas kertas memang begitu. Legally yes. Malangnya kita lupa perut yang perlu diisi. Rumah untuk dihuni. Kenderaan untuk bergerak. Kesihatan untuk dijaga. Pendidikan untuk ditambah. Keperluan hidup yang semakin mendesak. Banyak yang di luar kemampuan orang biasa-biasa. Situasinya semakin membesar. Kerumitannya semakin banyak. Permasalahan asas dari dahulu masih banyak yang belum selesai. Paling parah ialah majoriti orang kita yang jauh tertinggal di belakang. Penulis teringat istilah ergonomic terlalu biasa di USA pada tahun 1985 tetapi di Malaysia hanya baru-baru ini disebut orang. Maknanya kita tertinggal selama kira-kira 30 tahun. Orang di kampung tertinggal lebih setengah abad. Tentulah menjadi kerisauan kerana yang tertinggal itu orang kita. Hanya sebahagian kecil sahaja orang kita yang melihat dunia. Yang keluar dari kepompong kemiskinan. Yang mindanya terbuka luas meneroka alam. yang lain kekal begitu. Peningkatan yang sangat sedikit secara relatif dengan orang lain yang bangunannya mencakar langit. Yang gedungnya melebihi beberapa padang bola. Orang kita masih terlalu ramai yang belum pandai dan tidak pandai. Mereka hanya pengguna teknologi yang patuh tanpa mengetahui. Patuh pada pemimpin hingga tidak upaya membuat perubahan diri dan keluarga. Lyndon B. Johnson pernah datang ke Malaysia. Yang ditinggalkan hanyalah FELDA Lyndon B. Johnson. Lusa datang Barrack Hussein Obama. Kita tidak tahu apa yang akan ditinggalkannya. Kedatangan khas itu tentunya membawa "keistimewaan" yang tidak dapat dijangka oleh orang di desa dan di peringkat bawah. Tidak semua orang akan memahami apa yang tersirat. Apakah benar domino theory menjengah kembali. Malaysia antara yang rebah seperti rebahnya negara Islam dalam kelompok Arab Spring. Ekonomi kit asedang sakit. Maka USA membawa ubatnya. But there is always a catch. Tidak ada yang percuma. Mesti ada cagaran. A reciprocal gain kepada USA. Kit atelah banyak kehilangan segala-galanaya kerana compromise yang terlalu banayk. Kita akan banyak kehilangan yang lebih banyak lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Untuk berfikir menjadikan penulis berasa takut. Jik akita banyak fikirkan ketakutan datang menghambat. Penulis terfikirkan anak dan cucu penulis sendiri. Apa lagi yang tinggal untuk mereka apabila sampai masanya penulis tiada nanti. Hutang memang banyak untuk ditangggung. Yang lebih menakutkan ialah mereka kehilangan tanahair tercinta. Penjajahan modern bukan lagi secara ketenteraan. Politik dan ekonomi. Dibantu dengan teknologi. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Seperti Dajjal sudah berkeliaran. Ikut aku, hidup. Tolak aku, mati. Kita berhenti di sini untuk tidak bermimpi lagi. Hiduplah dalam jaga. Curiga pada yang ada. Semoga Allah melindungi kita semua. Selamat dari fitnah dunia. InsyaAllah.

Thursday, April 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Perkongsian Pengalaman Di Rumah Johor

Minggu lalu adalah minggu yang bersusun cantiknya. Pada 2 April penulis dijemut menjadi pengadil dalam pertandingan kebudayaan di Markaz Nil. Pada 3 April pula berkongsi pengalaman dengan anak-anak Johor di Rumah Johor, di Hayyu Thamin, Kaherah. Sesuatu yang tidak terduga sama sekali. Sesuatu yang bermula mengambang dan mengembang menjadi suatu sekuen pertemuan yang berulang. Pertemuan di Sinai dilanjutkan di Hayyi Thamin. Penulis sebenarnya datang ke Mesir hanya untuk mempelajari Bahasa Arab yang diidamkan sejak sekian lama. Walau bagaimanapun Allah menemukan penulis dengan suatu ruang untuk berkongsi dengan anak-anak Johor. Waktu sesingkat dua jam tidak cukup untuk menebar ilmu yang banyak. Sekadar memberikan gambaran bak sketsa awal untuk menyingkap yang lebih padat dan banyak. Masa mungkin yang menjadi kekangan. Apapun penulis berasa girang kerana dapat memberikan yang sedikit untuk santapan minda menghadapi yang lebih besar.

Mahasiswa sebenarnya perlu banyak menghabiskan masa untuk menambahkan input dalam berbagai bentuk dan ketegori ilmu.

1     Secara formal
2     Secara tak formal
3     Secara infoprmal

Pada kebiasaannya, pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan secara formal. Ada tempat yang dinamakan universiti. Siap dengan dewan, bilik kuliah dan pejabat. Termasuk juga perpustakaan, makmal dan bengkel. Terdapat sistem perkuliahan dan ada jadual kuliah, peperiksaan, ujian dan jangkamasa yang ditentukan. Dalam hal ini mahasiswa dipertanggungjwabkan untuk menyempurnakan beberapa hal.

1     Hadir ke kuliah walaupun mungkin tidak diwajibkan. Soalnya kenapa? Untuk menghormati pensyarah yang lebih berilmu. Yang lebih banyak pengalamannya. Yang lebih arif tentang ilmu yang disampaikan. Yang lebih tua memanag untuk lebih dihormati.

2     Untuk menghormati ilmu yang hendak dipelajari. Pernah dengar bahawa mulut guru adalah masin? Mendengar butir-butir fakta dan segala-gala yang berkaitan adalah suatu kewajipan. Hadir memandang guru. Mendengar sendiri. Memasak minda dengan apa sahaja yang positif dan membuang yang negatif. Pensyarah itulah yang membuat soalan peperiksaan. Yang menandakan skrip peperiksaan. Yang menentukan lulus atau gagal seseorang pelajar dengan izin Allah.

3     Menghantar tugasan dalam apa bentuknya sekalipun apabila ianya diperlukan. Markahnya ditambahkan dalam markah himpunan hingga akhir semester.

4     Mendapatkan doa dari batu, pasir, rumput, dedaun, pepohon yang ada di sepanjang jalan pergi dan balik. Termasuk juga bangunan dan haiwan yang berkeliaran. Jika pergi dan balik kerana Allah nescaya perjalanannya diiringi malaikat yang banyak jumlahnya. InsyaAllah dilindungi pergi dan baliknya. Ingat! Menuntut ilmu adalah suatu jidah. Mudah-mudahan sekiranya Allah sayang dan nyawanya diambil dibalas dengan syurga. Mudah-mudahnya ajalnya dalam iman.

5     Amanah terhadap ibu dan bapa yang menghulur wang setiap bulan dengan keringat dan titik peluh yang tidak pernah diungkit sepanjang pengajian. Dari jauh doa mereka dititipkan. Bayangkan senario bahawa ibu dan bapa mengikat perut, kehendak dan keinginan mereka kerana inginkan anak-anak mereka  mendapat pendidikan yang lebih baik dari mereka. Atau lebih baik pada perkiraan mereka.

6     Hadir ke kuliah seperti juga menggabungkan diri dengan orang "tua". Penglibatan mereka menambahkan mudahnya perkongsian tentang apa sahaja yang pernah mereka lalui sama ada sebagai pelajar atau sebagai pendidik. Berada di hadapan mata pensyarah kadang-kadang seperti mandapat restu. Mereka redha ilmu mereka disampaikan dan diterima pelajar. Jangan juga lupa selalunya pensyarah atau sesiapa sahaja pendidik mendoakan kejayaan anak didiknya. Berungtunglah mereka yang hadir. Rugilah mereka yang tidak hadir.

7     Tidak ramai mahasiswa yang maklum. Guru sangat besar pengaruhnya dalam mentarbiahkan pelajar. Menggembirakan mereka sangat besar impaknya. Menyakitkan hati mereka padah akibatnya. Cuba bayangkan. Seorang mahasiswa yang tidak pernah hadir ke kuliah sepanjang semester. Waktu peperiksaan dia hadir. Apabila memandang kertas soalan dia tidak faham apa yang dibaca. Tidak tahu apa yang diperlukan soalan. Mengapa? Dia tidak pernah mendengar kuliah. Tidak pernah mendengar suara pensyarah. Tidak pernah tahu lenggok bahasa yang selalu digunakan oleh pensyarah. Tidak tahu panduan peperiksan yang selalu diberikan kepada pelajar yang selalu hadir.  Fikirkan.

Ilmu adalah amanah. Mencariya amanah. Mengamalkannya amanah. Menyebarkannya juga amanah. Kerana itu masa wajib dihargai. Digunakan semaksimum dan seoptimumnya. Jadikan pepatah dari buaian hingga ke liang lahad itu suatu realiti. Bukan hanya bidalan yang tiada makna. Bukan pula menangguh-nangguhkan kejayaan. Istilah kejayaan tertunda adalah ungkapan yang hanya menipu diri sendiri. Mensia-siakan  peluang yang ada. Dalam pendidikan jika kita gagal menghargai ruang dan peluang yang diberikan maka elok juga ruang itu diberikan kepada orang lain yang berkelayakan. Berikan peluang itu kepada orang lain yang berkeinginan. Apabila anda berada di hadapan hendaklah memimpin. Berikan contoh yang terbaik kepada orang lain yang mengikutinya. Bukan menghalang. Apabila anda di belakang hendaklah menjadi makmum yang baik. Pengikut yang setia. Membantu dari belakang. Dari sisi. Membantu dan tidak menikam dari belakang. Sama-sama berusaha tetapi rezeki yang diterima dari Allah mungkin dalam bentuk yang berbagai. Rezeki masing-masing.

Selain dari pembelajaran secara formal jangan lupa pembelajarn tak formal dan informal yang sangat banyak di sekeliling kita. Pelajar di Mesir umpamanya beruntung kerana banyak kuliah di masjid yang diberi secara percuma. Penyampainya adalah mereka yang diperakui memiliki ilmu yang tinggi. Mereka mungkin memang pensyarah dan guru. Kadang-kadang ramai antara mereka adalah profesional yang memang mendalami ilmu agama. Mereka menjadi pendakwah bebas. Tempat mereka di masjid. Di tiang-tiang dan ruang-ruang yang terpilih. Masjid selalunya menjadi tumpuan pelajar-pelajar Universiti al-Azhar dan sesiapa sahaja yang berminat. Tentulah malang sekiranya peluang yang tersua di hadapan mata tidak diambil untuk menggarapnya di sini. Hal yang serupa tidak terdapat di Malaysia. Tradisi itu belum wujud. Maaf. Sebab itu masjid kita sunyi dan sepi kecuali waktu solat sahaja. Konsep "jamiah" dan "jamik" tidak diterjemahkan menjadi pusat ilmu yang hebat. Dalam mencari ilmu mahasiawa tidak boleh melupakan hal-hal lain yang disebut sebagai kemahiran sosial atau soft skill.

1     Kemahiran berkomunikasi
2     Pengucapan awam
3     Asas protokol dan etiket (makan, pakaian, kerja)
4     Kepimpinan
5     Kualiti
6     Kreativiti

Banyak lagi yang diperlukan oleh mahasiswa sebelum boleh keluar menceburkan diri dalam bidang pekerjaan. Sebelum boleh membina kerjaya dalam bidang-bidang yang memerlukan. Sebelum dapat menyumbang dengan berkesan. Kerana itu minda dan kesedaran individu perlu bangun dan dibangunkan. Memandang ke hadapan dengan penuh berencana. Berusaha menggarap kejayaan sesingkat masa yang mungkin. Kejayaan secemerlang yang mungkin. Balik ke pangkuan keluarga dengan hati yang lapang kerana ada keyakinan untuk membina kerjaya yang dicita. Ada keyakinan untuk membina kehiduppan yang mencukupi. Masa lalu telah berlalu. Masa hadapan perlu diusahakan dari sekarang. Dari kenyataan apa sahaja yang anda berada sekarang. Kinilah masa untuk berubah, menjana perubahan dan mengubah paradigma. Rencanakan kejayaan segemilang yang wajar. Peluang ini hanya sekali. Dua kali untuk kejayaan lain. Carilah kejayaan yang berkali-kali. Ia memperkayakan diri. Ilmu tidak pernah memufliskan sesiapa.

Untuk berjaya harus dibina kekuatan mental. Mengukuhkan posikologi. Berkeinginan besar untuk berjaya. Diusahakan kejayaan. Banyak kekangan dan cabaran untuk berjaya. Carilah rakan-rakan yang membantu. Bukan yang merosakkan. Jangan banyakkan tidur kerana tidur anda kosong. Ada masanya anda akan tidur selama-lamanya tetapi berisi. Isinya itu ditinggalkan untuk orang-orang terkemudian. Jangan banyak bermain kerana taman-taman syurga Allah janjikan untuk bermain selama-lamanya di sana nanti. Jangan diperjudikan nasib. Semasa muda inilah sahaja ruang untuk menjadi somebody. Usah menjadi sampahbody. Elok berada lama di bumi anbia ini jika menempa kejayaan demi kejayaan. Orang lain akan turut gembira. Namun jika keberadaan di sini kerana menambah bilangan kegagalan tentulah banyak kerugian yang tertanggung. Hutang masa, budi dan wang ringgit yang semakin banyak. Bangkitlah dari tidur supaya jagamu bermanfaat. 

Tuesday, April 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Cinta Berpasang Indah



Bila kali terakhir kita bercinta? Semasa kegilaan remaja dahulu. Benar. Tetapi mungkinkah selepas itu kita jatuh cinta lagi. Dan lagi. Dan lagi. Jangan lupa bahawa ada orang lain yang tidak pernah bercinta. Tidak ada rasa cinta. Yang ada hanya kasih sayang. Dekatnya tidak dirindui. Jauhnya juga tidak dirindui. Biasa-biasa sahaja. Ada dan tidak ada serupa sahaja. Hidup diterima seadanya. Barangkali situasi sebegitu agak luar biasa. Orang dahulu kala mungkin begitu. Orang sekarang kebanyakannya bercinta. Ada yang bercinta sebelum berumahtangga dan ada pula yang bercinta selepas berumahtangga. Cinta menjadi resepi indah alam remaja sehingga ke jinjang pelamin. Atau sehingga berumahtangga.

Bagi mereka yang sudah berumahtangga, cuba pandang diri masing-masing. Lihat ke atas dan ke bawah. Pandang cermin lama-lama sedikit. Pandang pasangan yang selalu berada di hadapan mata. Masih ada rasa cinta? Bagaimana kadarnya? Semakin bertambah. Atau mendatar. Atau menurun. Atau tenggelam dan timbul ikut suasana. Anda di dalam bahtera yang melalui lautan luas. Tahu tepinya tetapi untuk sampai di tepi itu anda tidak tahu bila dan bagaimana. Atau di mana agaknya. Suami tetap menjaga kemudi. Isteri pula membantu semampunya. Lautan tenang atau bergelora sama sahaja pernannya. Masing-masing sudah ditentukan kedudukan dan natijahnya. Memahami peranan itu satu cerita. Mengerti cerita lain. Empati satu cerita yang lebih lain. Mencipta sinergi antara keduanya tentulah cerita yang lebih besar. Menjana kebahagiaan adalah dambaan keduanya.

Mungkin ramai tertanya-tanya akan cinta ini. Benarkah cinta hanya datang sekali. Yang lain hanya berahi. Semak semula siapa anda. Di kategori mana anda berada. Baik atau tidak baik atau setengah baik dan setengah tidak baik. Atau gabungan kesemuanya. Mengapa? Kita semua manusia biasa. Ada sifat-sifat tersebut. Pendidikan, kedudukan dan pengalaman memahirkan kita membuang yang buruk dan menimbulkan yang baik. Alhamdulillah. Masih jatuh cinta lagi? Alhamdulillah. Cinta itulah yang membuatkan kita hidup. Segar menjalani kehidupan. Masih besar mengharap harapan di hadapan. Kerana cinta kita bersama. Kerana cinta kita berkasih. Kerana cinta kita mendakap bersama. Kehangatan kebahagiaan yang berpanjangan sepanjang masa. Masih jatuh cinta lagi. Kenapa tidak. Kita masih memerlukannya. Kita masih mencarinya. Kita masih ingin dengan keberadaanya.

Terjemahannya berbeza. Realitinya berbeza. Agak luar biasa apabila lelaki tidak pernah bercinta lagi. Usia bukan halangan. Fitrah lelaki memang untuk jatuh cinta dan mencintai. Maaf, ini bukan cerita lelaki yang bersifat keladi. Ini realiti lelaki. Bukan juga cerita wanita yang hilang kewarasannya. Cinta singgah di setiap hati dan perasaan kita. Ia bertahta lama tetapi ada yang singgahsananya hanya sekejap waktu. Dalam hal itu cuba tinjau kembali perasaan kita sendiri. Bila kali terakhir anda jatuh cinta. Tidak mungkin zaman bercinta sudah berlalu. Allahyarham Agus Salim, seorang ulamak Indonesia yang tersohor selain dari HAMKA, masih berpimpin tangan dengan isterinya apabila berjalan. Sehingga hari tuanya. Sehingga saat-saat akhir usianya. Kepadanya ia sentiasa jatuh cinta terhadap isterinya.

Kita wajib jatuh cinta terhadap isteri sendiri. Begitu juga isteri jatuh cinta terhadap suaminya. Usia bukan penamat cinta. Rupa paras bukan dambaan cinta lagi. Sifat-sifat baru yang datang bukan menamatkan fitrah jatuh cinta. Tidak mungkin cinta hanya pada kulit yang gebu. Ketika gigi kuat memecah tulang. Ketika rambut kemas disisir. Ketika kaki kuat menendang, berjalan, mendukung dan berdiri lama kerana berkerja dan beramal. Ketika telinga masih mendengar yang seni. Ketika mata masih terlalu awas. Cinta juga menuntut usia. Tetapi cinta itu sematang usia. Seindah usia. Sebahagia masa yang dilalui bersama. Banyak kali jatuh cinta sesama pasangan adalah resepi yang memanjangkan usia itu sendiri.

Bagaimana boleh luntur rasa cinta. Bagaimana cinta boleh jatuh ke tangan orang lain. Bagaimana orang boleh mencintai orang yang beralih cintanya. Cinta itu datang dengan terpaan yang mengujakan. Ciptakan suasana sebaiknya yang boleh menggamit cinta dari pasangan masing-masing. Sayang yang tidak pernah hilang. Rindu seperti yang tidak kesampaian. Mengulit tidak mahu berpisah. Mencanda seperti memikat. Ada bisikan-bisikan berirama indah menghalwa telinga yang menunggu halusnya bahasa. Pandang matanya yang sayu merayu. Selami hatinya yang indah di dalam. Pandang rasanya cinta yang disimpan jauh di sudut hati. Yang membesar lalu tumpah mekar dalam layan dan kebersamaan. Buanglah sifat Melayu yang terlalu malu walaupun terhadap pasangan masing-masing. Buka bibir dan gerakkan lidah seberapa seringan yang boleh. Aku sayang padamu. Seperti dahulu yang diulang-ulang lagi. Dan lagi. Dan lagi. Tiada pasangan yang puas mendengarnya. Tidak kira berapa kali banyaknya.


Alangkah bahagianya jatuh cinta berulang-ulang kali. Mensyahdukan hati yang rindu. Terungkap indah bait-bait irama cinta itu sendiri. Rosaklah irama dan lagu jika cinta dilontar kepada orang lain. Jatuh kepada bukan yang wajar. Mencari kewajaran sendiri. Ada yang masih setia menunggu untuk dijatuhi cinta. Cinta yang bukan berjarak masa. Bukan berjarak jauh. Cinta, sayang dan rindu yang beriring setiap saat menghela nafas segar. Hidup dan menghidupkan. Semakin lama bersama sewajarnya semakin indah kisah cintanya. Semakin segar kebersamaannya. Lingkaran kasih itu menambat kuat. Melingkari seluruh apa yang ada. Di manapun kita berada cinta itu bertahta selamanya di hati. Dipupuk dan dibelai. Membahagiakan selalu. InsyaAllah. Berpanjangan hendaknya. 

Sunday, April 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Budaya, Bangsa dan Agama

Benarlah, banyak berjalan luas pemandangan. Kita keluar dari kotak lama kita untuk melihat kotak-kotak orang lain yang rupanya banyak perbezaan. Kedudukan geografi, iklim, suhu dan gaya hidup menyatu menjadi kebudayaan yang unik bagi setiap negara. Apabila ditemukan maka terbentuklah spektrum warna yang kemilau cantiknya. Menyerlahkan sesuatu yang indah, meriah, mesra dan santai. Sesuatu yang tentunya tidak pernah diduga. Tidak pernah diimpikan sejauh perjalanan penulis dan isteri mengembara mengisi masa berbaki dalam usia yang semakin sedikit. Alhamdulillah yang kami alami di luar jangkaan. Hasrat yang sedikit Allah anugerahkan dengan limpahan nikmat yang terlalu banyak. Berada di bumi anbia rupanya menjanjikan sesuatu yang sangat membahagiaan. Ada sahaja peristiwa yang menambahkan perbendaharaan kenangan. Suatu hari nanti banyak yang boleh diimbau. Yang boleh dijadikan pengajaran. Yang boleh dikongsikan. Kenangan di Bukit Tursina masih terimbau-imbau. Dakian yang membawa ribuan kenangan. Seorang Rasul berada di situ pada suatu ketika. Rasul ulul 'azmi. Kembara di Fayoum menemui menemui jejak seorang lagi Rasul ulul 'azmi iaitu Nabi Yusof. Minggu lalu dipertemuklan pula dengan budaya sesama Islam tetapi berbeza persembahan kehidupan masing-masing. Alhamdulillah. Syukur padamu ya Allah.

Kami ke Mesir untuk belajar Bahasa Arab. Hasrat besar tetapi tidaklah gah seperti untuk mempelajari bidang akademik yang lain. Peringkat sarjana atau kedoktoran. Ruang, kesempatan dan peluang yang Allah lorongkan melebihi dari apa yang kami usahakan. Kerana isteri penulis diperlukan menyediakan persembahan kebudayaan bersama pelajar Malaysia yang lain, rupanya penulis terheret sama terlibat membantu menyediakan material dan bahan-bahan lain yang diperlukan. Kalut juga pada awalnya. Makluman terlalu singkat. Hanya tiga hari sebelum hari jadinya persembahan itu. Ianya dipertandingkan pula. Penyertaan sahaja sudah dikira markahnya. Yang menang akan ditambah markahnya dalam peperiksaan. Persembahan pameran itu dikira sebahagian dari tugasan akademik. Namun begitu ruang pameran yang sempit itu diisi dengan padat. Yang dapat dilihat ialah suatu persembahan kebudayaan antarabangsa yang bergemerlapan. Kemilau dengan pancawarna. Adunan budaya yang berbagai. Citarasa yang berbagai. Gaya hidup yang berbagai. Kesemuanya keturunan Adam dan Hawa belaka. Menyebar dan membentuk budaya yang berbeza kerana berbeza tempat dan suasana. Dalam pameran ini kita seolah-olah berada di negara yang berbagai. Hati seperti diruntun untuk menjelajah lagi. Banyak bumi indah yang belum kita jelajahi.

Kebetulan yang terlibat ialah negara-negara di tengah Benua Asia dan di Timur. Cuba perhatikan betul-betul. Hampir kesemua mereka memiliki ciri wajah yang serupa. Penulis pernah ceritakan tentang tiga orang anak Nabi Nuh selepas redanya banjir besar pada zaman mereka. Sam berada di Timur Tengah dan ke Barat. Ham ke Afrika. Yapith ke Timur dari Turki hingga ke negara-negara Asia yang lain. Bermakna keturunan Yapith yang melaksanakan pameran kebudayaan di Markaz Nil tersebut. Sebab itu ciri-ciri wajah mereka hampir sama. Mungkin pembaca akan mengatakan ramai antara yang tergambar adalah orang Cina. Benar orang Cina adalah keturunan Yapith. Tidak hairan wajah mereka serupa. Memahami sejarah manusia ini memberikan keindahannya yang tersendiri. Kita lebih memahami bahawa kita benar-benar dari ibu dan bapa yang sama. Masa telah memisahlan kita dari segi politik dan ideologi. Barat pula telah mengagendakan supaya kita tidak maju. Sentiasa berpuas hati. Ditekan dari segenap penjuru. Mereka menjadi dajjal yang  berkeliaran. Yang lemah iman pasti terpedaya.  

Di sebalik kemeriahan dan pancaran warna di pameran antarabangsa ini penulis membuat sedikit pengamatan. Kita tidak kurang  dengan keindahannya yang tersendiri. Malangnya apabila kita keluar negara kita lupa khazanah kita. Yang kita bawa hanya diri kita sahaja. Kain baju seadanya dan makanan kegemaran kita.  Budaya kita kita tinggalkan di tanahair. Apabila diperlukan kita tenggelam punca. Rakyat Malaysia kaya dengan budaya dan hasil budayanya. Jika setiap orang berusaha membawa satu sampel budaya rasanya terhimpun suatu koleksi yang besar, gah dan mengkagumkan. Tidak perlu membina muzium tetapi koleksi yang berpadanan sudah mencukupi. Pelajar Malaysia di Mesir belasan ribu ramainya. Kita boleh membina koleksi yang sangat besar dan banyak. Bila-bila sahaja boleh dipamerkan. 

1     Sebagai koleksi.
2     Kajian budaya.
3     Perbandingan budaya.
4     Tarikan pelancongan ke Malaysia.
5     Menambah rasa syukur di hati dapat berkongsi dengan orang lain.

Warga Malaysia yang berada di Mesir, mari kita fikirkan bersama. Tambahkan lagi koleksi yang ada.



Berbanding dengan negara-negara yang lain pelajar Malaysia (rakyat Malaysia di luar negara) tidak banyak memikirkan peranannya sebagai duta negara. Mewakili negara di arena antarabangsa. Banyak hasil seni yang tidak dibawa bersama. Dalam pencarian itu dapat juga dihimpunkan beberapa item seperti songket, batik dan sebagainya. Maka terciptalah dua setanjak yang tidak sepertinya itu. Namun begitu ramai juga yang mencuba dan menyukainya. 

Dalam kedaifannya, berkibarlah juga dengan rasa syukur beberapa Jalur Gemilang sama ada yang besar atau yang kecil. Sempat mencari kompang untuk mengalu-alukan setiap kali pengadil datang pada tiap-tiap hari. Itulah acara sambutan ala Malaysia.

Yang ini gerai orang Turki. Di Kaherah (Mesir) barangan Turki sangat melimpah ruah. Rakyat Turki sangat ramai di sini.

Yang ini ruang dari negara Kazakhtan. Penuh dengan warna warni. Bermacam-macam yang berbagai dari pakaian, perkakas trumah dan makanan. Diserikan dengan cara mereka melayan tetamu.

Bertemulah dua budaya yang berbeza. Setanjak dan topi dari negara Kirghistan.

Bayangkan buai bayi ini dibawa ke Mesir oleh rakyat Turkistan.


Meja hidangan negara Kazakhtan.

Negara Kirghistan

Bidai seperti inipun ada. Dari Turki. Adunan warna mereka sangat menyerlah dan menarik. Suasana menjadi meriah.

Dapat juga mempamerkan bagaimana roti jala dibuat. Yang sedang makan ialah Pengetua Markaz Nil bahagian wanita. 

Kanak-kanak lelaki dalam pakaian tradisional negaranya, Kirghizistan.

Saturday, April 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pengadil Pertandingan Kebudayaan Antarabangsa

Dalam kehidupan kita sehari-hari ada hal-hal yang di luar jangka pemikiran kita. Ia datang menerpa tanpa petunjuk yang jelas. Nanti, esok dan akan datang adalah kerja Allah. Kita sebagai hambanya menerima ketentuan dengan redha. Penuh dengan kesyukuran yang memanjang. Selagi ada nafas dan nyawa selagi itu kit amenerima ketentuan Allah. Menjalankan tanggungjawab dengan ibadat yang berbagai. Allah berfirman, 'Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu". Benarlah menuntut ilmu itu dari buaian hingga ke liang lahad. Dalam perjalanan waktu yang panjang itu banyak yang perlu dipelajari. Yang dijadikan input dalam hidup. Yang mewarnai kehidupan yang selamanya rindukan keindahannya yang tersendiri. Yang mencari kebahagiaan di sebalik sedutan nafas yang dihela panjang kerana nikmat Allah yang tiada hentinya. Pejalanan waktu seharusnya diisi dengan berbagai persediaan. Sebagai pengembara yang berkelana kita perlu banyak menyediakan bekalan yang bentuknya berbagai. Kita tidak hanya membawa jasad dan roh. Dalam roh itu sendiri kita isi dengan berbagai sudut yang berisi dengan berbagai.

Sesungguhnya pendidikan membantu kita mengembara jauh. Pelajaran membawa kita merentasi banyak ruang dan peluang. Ilmu membawa kita ke aras yang lebih tinggi dan lebih tinggi. Namun begitu ianya perlukan suatu garapan yang bijaksana. Kita bukan bersendirian dalam dunia nyata ini. Kita bukan hidup sendiri. Antara satu sama lain perlu memerlukan. Sumbang menyumbang. Bantu membantu. Ada sesuatu yang penulis pelajari dalam hal ini. Kadang-kadang ianya menjadi penentu siapa kita di mata orang ramai. Menjadi faktor yang meletakkan kita pada aras yang menasabah. Bukan tinggi dan bukan rendah. Bukan di tepi atau di tengah. Bukan di luar atau di dalam. Pendidikan, ilmu, pelajaran dan pengalaman menghimpunkan diri seorang individu tercanai dalam wadahnya yang tersendiri. Itulah kita siapa kita dan apa yang diharap oleh orang lain dapat kita lakukan. Bukan sahaja untuk diri kita bahkan juga untuk orang lain sama ada dekat atau jauh. Sama ada kenal atau tidak. 

Mungkin sukar dilihat atau dikenalpasti kesemuanya. Bahawa apabila kita memiliki sesuatu Allah menyediakan lorong dan ruang untuk kita kongsikan dengan orang lain.  Ada sahaja laluan yang mendorong kita ke hadapan untuk  memberikan apa yang ada. Menyampaikan apa yang boleh. Menyumbang apa yang sedikit. Kita tidak mungkin tahu perancangan tentang diri kita untuk hari-hari yang mendatang. Banyak masanya apa yang Allah hadapkan kepada kita menjadi surprise kepada diri kita sendiri. Allah letakkan kita di tempat itu. Dalam suasana itu. Dalam kesempatan itu. Kita berperanan dalam sesuatu kesempatan yang tidak terduga. Tetapi apapun yang datang insyaAllah dapat kita laksanakan kerana Allah selalu datangkan apa sahaja kepada kita dalam lingkungan yang mampu kita laksanakan.  Walaupun secara kasarnya ianya seperti suatu kepayahan namun akal dan pemikiran kita mampu mencari jalan penyelesaiannya. Memberikan kita laluan yang sewajarnya untuk menjayakan sesuatu tugasan manusia dengan izin Allah. 

Begitulah suatu episod dalam diri penulis di perantauan. Walaupun seboleh mungkin penulis cuba menyembunyikan identiti diri, diketahui juga status diri. Mereka tahu juga bahawa diri ini bekas pensyarah. Pernah bertugas di IPT. Secara tiba-tiba isteri penulis memaklumkan bahawa pengetua tempatnya belajar Bahasa Arab menjemput penulis untuk menjadi antara pengadil dalam pertandingan kebudayaan antara beberapa negara pelajar-pelajar tempatnya belajar. Setelah berfikir seketika, penulis terima undangan tersebut. Pada hari Rabu 2 April 2013 penulis dan beberapa tokoh dari Turki yang bertugas di Kaherah mengjadi pengadil dalam pertandingan tersebut. Walaupun persediaannya haya dalam beberapa hari namun kesungguhan menjayakan pertandingan sangat tinggi. Masing-masing ingin memberikan yang terbaik. Peluang dan pengalaman seperti ini kadang-kadang seperti tidak disangka-sangka.  Apabila kita renungi semuanya adalah ketentuan Allah. Kita tidak tahu. Cuma kita diperlukan menjalankan amanahNya dengan sempurna. Beribadat kepadaNya dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah. 

Selalulah bersedia dalam kehidupan ini. Banyak tugas yang diamanahkan manusia ke atas bahu kita. Amanah itu juga amanah Allah. Menyempurnakannya adalah wajib. Siapa kita akan terserlah juga di mana kita berada. Sebab itu kita jadikan diri kita permata yang selalu digilap. Elakkan jadi sabut yang timbul dan tenggelam menunggu pulau hingga terdampar. Jadikan diri kita pulau yang subur untuk ditumbuhi dan dihuni. Bermanfaat kepada semua makhkuk. Kayakanlah diri dengan ilmu, pengalaman dan mengambil kesempatan yang Allah sediakan di hadapan kita. Mudah-mudahan hidup ini lebh banyak warnanya. Lebih indah iramanya. 


Peserta dari Malaysia membuat setanjak yang rupanya digemari oleh mereka yang datang dari negara lain sama ada pengadil, pengunjung atau pelajar-pelajar dari berbagai negara.

Adat pengantin melayan tetamu dalam majlis perkahwinan mereka di negara Kazakhtan.

Penulis mencuba pakaian dari negara Kirghizistan.

Suasana dan warna yang meriah di gerai negara Turki.

Pengadil makan dan minum apa-apa yang disajikan sebagai sampel makanan dan minuman dari berbagai negara. Memang kenyang.

Mendengar taklimat dari setiap gerai. 

Seorang peserta dari Malaysia menghulurkan minuman kepada pengadil.

Pengadil dari Turki ini pandai bermain seremban.

Memang makan betul-betul. Bukan cuba-cuba.