Tuesday, April 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Cinta Berpasang Indah



Bila kali terakhir kita bercinta? Semasa kegilaan remaja dahulu. Benar. Tetapi mungkinkah selepas itu kita jatuh cinta lagi. Dan lagi. Dan lagi. Jangan lupa bahawa ada orang lain yang tidak pernah bercinta. Tidak ada rasa cinta. Yang ada hanya kasih sayang. Dekatnya tidak dirindui. Jauhnya juga tidak dirindui. Biasa-biasa sahaja. Ada dan tidak ada serupa sahaja. Hidup diterima seadanya. Barangkali situasi sebegitu agak luar biasa. Orang dahulu kala mungkin begitu. Orang sekarang kebanyakannya bercinta. Ada yang bercinta sebelum berumahtangga dan ada pula yang bercinta selepas berumahtangga. Cinta menjadi resepi indah alam remaja sehingga ke jinjang pelamin. Atau sehingga berumahtangga.

Bagi mereka yang sudah berumahtangga, cuba pandang diri masing-masing. Lihat ke atas dan ke bawah. Pandang cermin lama-lama sedikit. Pandang pasangan yang selalu berada di hadapan mata. Masih ada rasa cinta? Bagaimana kadarnya? Semakin bertambah. Atau mendatar. Atau menurun. Atau tenggelam dan timbul ikut suasana. Anda di dalam bahtera yang melalui lautan luas. Tahu tepinya tetapi untuk sampai di tepi itu anda tidak tahu bila dan bagaimana. Atau di mana agaknya. Suami tetap menjaga kemudi. Isteri pula membantu semampunya. Lautan tenang atau bergelora sama sahaja pernannya. Masing-masing sudah ditentukan kedudukan dan natijahnya. Memahami peranan itu satu cerita. Mengerti cerita lain. Empati satu cerita yang lebih lain. Mencipta sinergi antara keduanya tentulah cerita yang lebih besar. Menjana kebahagiaan adalah dambaan keduanya.

Mungkin ramai tertanya-tanya akan cinta ini. Benarkah cinta hanya datang sekali. Yang lain hanya berahi. Semak semula siapa anda. Di kategori mana anda berada. Baik atau tidak baik atau setengah baik dan setengah tidak baik. Atau gabungan kesemuanya. Mengapa? Kita semua manusia biasa. Ada sifat-sifat tersebut. Pendidikan, kedudukan dan pengalaman memahirkan kita membuang yang buruk dan menimbulkan yang baik. Alhamdulillah. Masih jatuh cinta lagi? Alhamdulillah. Cinta itulah yang membuatkan kita hidup. Segar menjalani kehidupan. Masih besar mengharap harapan di hadapan. Kerana cinta kita bersama. Kerana cinta kita berkasih. Kerana cinta kita mendakap bersama. Kehangatan kebahagiaan yang berpanjangan sepanjang masa. Masih jatuh cinta lagi. Kenapa tidak. Kita masih memerlukannya. Kita masih mencarinya. Kita masih ingin dengan keberadaanya.

Terjemahannya berbeza. Realitinya berbeza. Agak luar biasa apabila lelaki tidak pernah bercinta lagi. Usia bukan halangan. Fitrah lelaki memang untuk jatuh cinta dan mencintai. Maaf, ini bukan cerita lelaki yang bersifat keladi. Ini realiti lelaki. Bukan juga cerita wanita yang hilang kewarasannya. Cinta singgah di setiap hati dan perasaan kita. Ia bertahta lama tetapi ada yang singgahsananya hanya sekejap waktu. Dalam hal itu cuba tinjau kembali perasaan kita sendiri. Bila kali terakhir anda jatuh cinta. Tidak mungkin zaman bercinta sudah berlalu. Allahyarham Agus Salim, seorang ulamak Indonesia yang tersohor selain dari HAMKA, masih berpimpin tangan dengan isterinya apabila berjalan. Sehingga hari tuanya. Sehingga saat-saat akhir usianya. Kepadanya ia sentiasa jatuh cinta terhadap isterinya.

Kita wajib jatuh cinta terhadap isteri sendiri. Begitu juga isteri jatuh cinta terhadap suaminya. Usia bukan penamat cinta. Rupa paras bukan dambaan cinta lagi. Sifat-sifat baru yang datang bukan menamatkan fitrah jatuh cinta. Tidak mungkin cinta hanya pada kulit yang gebu. Ketika gigi kuat memecah tulang. Ketika rambut kemas disisir. Ketika kaki kuat menendang, berjalan, mendukung dan berdiri lama kerana berkerja dan beramal. Ketika telinga masih mendengar yang seni. Ketika mata masih terlalu awas. Cinta juga menuntut usia. Tetapi cinta itu sematang usia. Seindah usia. Sebahagia masa yang dilalui bersama. Banyak kali jatuh cinta sesama pasangan adalah resepi yang memanjangkan usia itu sendiri.

Bagaimana boleh luntur rasa cinta. Bagaimana cinta boleh jatuh ke tangan orang lain. Bagaimana orang boleh mencintai orang yang beralih cintanya. Cinta itu datang dengan terpaan yang mengujakan. Ciptakan suasana sebaiknya yang boleh menggamit cinta dari pasangan masing-masing. Sayang yang tidak pernah hilang. Rindu seperti yang tidak kesampaian. Mengulit tidak mahu berpisah. Mencanda seperti memikat. Ada bisikan-bisikan berirama indah menghalwa telinga yang menunggu halusnya bahasa. Pandang matanya yang sayu merayu. Selami hatinya yang indah di dalam. Pandang rasanya cinta yang disimpan jauh di sudut hati. Yang membesar lalu tumpah mekar dalam layan dan kebersamaan. Buanglah sifat Melayu yang terlalu malu walaupun terhadap pasangan masing-masing. Buka bibir dan gerakkan lidah seberapa seringan yang boleh. Aku sayang padamu. Seperti dahulu yang diulang-ulang lagi. Dan lagi. Dan lagi. Tiada pasangan yang puas mendengarnya. Tidak kira berapa kali banyaknya.


Alangkah bahagianya jatuh cinta berulang-ulang kali. Mensyahdukan hati yang rindu. Terungkap indah bait-bait irama cinta itu sendiri. Rosaklah irama dan lagu jika cinta dilontar kepada orang lain. Jatuh kepada bukan yang wajar. Mencari kewajaran sendiri. Ada yang masih setia menunggu untuk dijatuhi cinta. Cinta yang bukan berjarak masa. Bukan berjarak jauh. Cinta, sayang dan rindu yang beriring setiap saat menghela nafas segar. Hidup dan menghidupkan. Semakin lama bersama sewajarnya semakin indah kisah cintanya. Semakin segar kebersamaannya. Lingkaran kasih itu menambat kuat. Melingkari seluruh apa yang ada. Di manapun kita berada cinta itu bertahta selamanya di hati. Dipupuk dan dibelai. Membahagiakan selalu. InsyaAllah. Berpanjangan hendaknya. 

No comments:

Post a Comment