Thursday, February 13, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Ilmu Di Mana Letaknya



Penulis biasa bertanyakan kepada pelajar-pelajarnya dahulu. Mengapakah mereka belajar hingga ke IPT. Melanjutkan hingga ke peringkat Sarjana. Kemudian mungkin ke peringkat PhD. Ramai yang mengatakan bahawa mereka ingin menyahut seruan negara. Ingin berkhidmat kepada negara. Ingin menabur bakti. Walau apapun jawapannya kesemuanya adalah betul. Namun jawapan-jawapan itu hanya gambaran yang ada pada kulitnya sahaja. Bukan hakiki. Ada jawapan yang tersembunyi yang tidak semua orang dapat menyatakannya dengan pasti. Jawapan-jawapan kepada soalan itu dapat dilihat secara mikro dan kemudiannya secara makro. Diri kira sendiri adalah individu penting. Sifat orang Melayu pula merendah diri. Dirinya diabaikan hingga dalam banyak hal menjadi terabai. Orang lain pula mengabaikan. Sebab itu dalam banyak hal orang Melayu selalu tertinggal. Tercicir di belakang. Ditinggalkan oleh semua orang.

Secara mikronya pendidikan membantu seseorang individu untuk meningkatkan dirinya dari tidak tahu kepada mengetahui. Ia ingin meletakkan dirinya pada aras tertentu dalam strata sosial. Semakin tinggi pendidikan atau ilmu seseorang maka ia berkemungkinan akan berada di tempat yang tinggi. Kelayakan akademik menjadi penentu jawatan yang disandang. Gaji atau pendapatan yang diterima. Kemampuan kuasa belinya. Taraf hidup yang dinikmati. Semakin htinggi semakin bagus. Begitu juga sebaliknya. Apa ertinya semua ini.

1                 Rumahnya lebih besar dan lebih selesa.
2                 Makanannya lebih berkualiti.
3                 Kesihatannya semakin terjaga.
4                 Keluarganya semakin berada dalam kedudukan lebih baik.
5                 Pendidikan anak-anaknya semakin terjamin.
6                 Persekitaran hidupnya lebih kondusif.
7                 Maka kepintaran anak-anaknya terbangun.
8                 Pendapatannya berlebihan sehingga boleh disimpan.
9                 Kenderaan yang dipandunya lebih besar dan lebih berjenama.
10            Aktiviti pelancongannya semakin jauh hingga ke luar negara.
11            Mampu makan di restoran yang lebih mewah.
12            Yang lebih penting perutnya seolah-olah terjamin kenyang selalu.
13            Barangkali tidurnya lebih nyenyak.

Kita bercakap mengenai ekonomi diri. Ekonomi keluarga. Pendidikan membawa seseorang menambahkan keupayaan ekonominya. Ia dilihat lebih berkemampuan. Dalam Islam jika sesuai penulis senaraikan, kita bertolak dari iman, Islam, amal dan akhlak. Dalam dunia nyata mereka bertolak dari mengisi perut terlebih dahulu. Mereka yang kenyang secara fizikal mampu pergi jauh.  Berbanding dengan Islam. Iman yang memandu seseorang hingga ke akhirat. Matlamat mereka bukan dunia. Tetapi akhirat yang infiniti. Kekal abadi. Namun begitu dunia dan akhirat adalah gandingan yang sinonim. Sangat bersesuaian. Iman menentukan yang mana lebih utama. Akhirat lebih utama dari dunia. Tetapi untuk ke akhirat kita melalui dunia terlebih dahulu. Kita bukan di tempat yang salah. Allah letakkan kita di dunia supaya kita mengetahui jalan ke akhirat. Maka ilmu adalah penyuluh jalan yang kita cari itu.

Orang Barat membuktikan bahawa ilmu yang tinggi menemukan mereka kepada jawapan-jawapan yang abstrak. Dari fizik mereka menemui sesuatu yang sangat besar tetapi sempurna. Dari ilmu falaq mereka menemui alam yang sangat luas. Dari matematik mereka mengira hal-hal yang sukar difahami akal. Kesimpulannya mereka akur bahawa alam in terlalu besar. Tentu ada yang mentadbirnya. Mereka menemui Allah menerusi ilmu mereka. Ramai Orientalis yang pada awalnya menentang Islam akhirnya menemui Allah melalui ilmu mereka. Mereka bersyahadah mengakui keesaan Allah. Pada suatu peringkat ilmu kita layakkan untuk menjadi alat mendapatkan pendapatan tinggi. Untuk makan dan mengenyangkan perut. Apabila ilmu itu melebar dan meninggi maka yang ditemui ialah Yang Khaliq. Pencarian mereka akhirnya menemui iman. Mereka menjadi Islam. Menjadi ilmuan Islam yang dikagumi. Kecuali mereka menipu diri mereka sendiri. Menidakkan apa yang mereka temui. Cuba lari daripadanya.

Apabila pendidikan kita rendah maka status kita hanya menjadi pelaksana. Bekerja mengikut kata ketua. Dalam pejabat menjadi pembantu pejabat. Peon kata orang tua-tua dahulu. Menjadi yang menurut perintah. Suara kita tidak didengar orang. Cadangan kita dikira tidak layak didengar. Kelayakan untuk bercakap terbatas kerana keterbatasan ilmu. Apabila kelayakan akademik meningkat atau apabila memiliki pengalaman tertentu untuk jangkamasa tertentu ada antara kita diangkat menjadi penyelia. Pada zaman British dahulu penyelia selalu dipanggil mandor. Pangakatnya diperolehi kerana pengalaman lebih lama dan dipercayai oleh majikan, kebetulan orang putih. Kelayakan akademik IPT melayakkan seseorang menjadi eksekutif. Pengurus yang banyak kerja urusnya. Tinggi kedudukannya. Besar gajinya. Elaunnya juga besar. Di peringkat yang lebih tinggi mereka menjadi pemimpin. Di dalam oraganisasi dipanggil Pengerusi dan CEO. Dalam politik hingga PM. Di sekolah Pengetua. Begitulah kedudukannya yang berbagai-bagai.

Kesemuanya dicapai melalui ilmu. Kelayakan akademik dan pengalaman. Perlu juga sifat-sifat dan kriteria diri yang berlainan. Kriterianya berubah dari sebuah organisasi ke sebuah organisasi yang kain. Namun titik pertemuannya ialah ketua yang membawa kejayaan. Mendatangkan keuntungan. Memanjangkan usia organisasi. Membahagiakan ahli-ahli organisasi. Maknanya ketua sifatnya ke hadapan. Semakin meninggikan keadaan. Membanyakkan. Meluaskan. Melebarkan. Menguasai. Kesemuanya bersandarkan kepada ilmu. Lebih banyak lebih baik. Ilmu yang namanya ilmu menjadi alat mencapai berbagai matlamat. Mungkin sekadar sandang pakai. Kemewahan hidup. Tetapi jangan lupa bahawa ilmu boleh membawa seseorang itu ke mercu yang sangat tinggi. Jika lurus jalannya ilmunya membawanya ke jalan Allah tanpa banyak masalah. Ketika orang lain sibuk dengan perut dan mengenyangkannya dia menyibukkan akalnya. Mindanya. Ilmunya diperluaskan ke lapangan yang lebih luas.

Minda kita terlalu luas. Jika tidak dipergunakan yang kita lihat ialah kegelapan. Orang Barat mengatakan bahawa sebelum kurun yang ke-14 mereka hidup dalam kegelapan. Bukan tidak ada matahari. Bukan tidak ada lampu. Yang mereka maksudkan ialah mereka tidak memiliki banyak ilmu. Sewaktu dunia Islam sudah terang melebihi 1,000 tahun barulah orang Barat menemui cahaya ilmu. Malangnya ilmu kepada orang Islam tidak diterangkan suluhannya. Cahaya ilmu diambil oleh orang Barat. Kita pula semakin suram. Allah anugerahkan kita dengan akal. Kita hendaklah belajar membuka minda kita sedikit demi sedikit. Apabila sudah terbuka, kita buka luas seluas-luasnya. Ketika itu barulah kita melihat manisnya ilmu. Lunaknya berada dalam suasana ilmu. Lapangnya fikiran kerana walaupun sudah banyak diisi masih banyak lagi ruang lain yang minta diisi.


Ilmu tidak berat sehingga boleh ditimbang. Tidak besar sehingga sukar melihat tepinya. Tidak tinggi sehingga perlu didaki. Tidak jauh sehingga perlu digagahi pergi. Ianya berat kerana kita boleh memikirkan yang besar-besar. Ianya besar kerana kita mampu berada dalam suasana yang lebih asing berbanding dengan orang lain. Kita dapat melonjakkan pemikiran kita hingga ke tahap yang dilihat sebagai tidak rasional lagi. Kreativi juga berdasarkan ilmu. Bukan datang sebagai ilham semata-mata. Kerana itu bukalah minda untuk belajar. Dari tidak tahu biar  tahu. Dari sedikit menjadi banyak. Dari yang biasa ke yang luarbiasa. Dari yang rendah ke yang tinggi. Apabila sudah dibuka minda pastinya akal budi kita bertambah baik. InsyaAllah.

Wednesday, February 12, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Antara Kotor Sampah Yang Menghidupkan



Sampah buatan manusia menjulang banyaknya. Di bandar besar banyak sampahnya. Semakin besar sesebuah bandar semakin banyaklah sampahnya. Kadang-kadang di pekan kecil kelihatan sampahnya berterbangan. Di bandar besar penghuninya lebih perihatin. Mereka lebih terpelajar. Lebih berpengalaman. Bekerjaya. Profesiaonal. Berpangkat tinggi. Sampah diurus dengan baik kerana sampah boleh mengakibatkan berbagai malapetaka. Selain membiakkan penyakit, sampah boleh membantutkan usaha pelancongan. Ramai rakyat yang akan sakit. Banyak daya produktiviti yang tersangkut. Negara keseluruhannya terjejas. Turut sakit. Menjadikan bertambahnya sampah yang busuk, kotor dan membiakkan penyakit bukan agenda yang baik. Tidak ada orang yang beragenda begitu. Namun realitinya itulah yang menjadi amalan. Buang sampah merata-rata. Tiada disiplin mengenai sampah. Tidak perihatin tentang bahayanya sampah. Tidak pernah memikirkan bahawa sampah menjadi punca pencemaran udara. Gas beracun yang berterbangan di udara. Kita sedut dalam-dalam. Bukan oksigen tetapi racun yang percuma. Ramai yang sakit kerananya.

Bolehkah sampah disimpan sebagai sampah? Di USA itulah yang menjadi amalan. Pungutan sampah hanya pada hari-hari tententu. Sebelum sampai jadual itu, sampah hendaklah disimpan di rumah. Tidak busukkah? Cuba fikirkan. Persepsi kita begitulah. Sampah tentu busuk. Amalan kita membawa kesemua barang ke dalam rumah. Kita tidak fikirkan bahawa selepas beberapa ketika ianya akan mendatangkan bau busuk atau tidak. Jangkaan kita memang benar. Segala jenis buah-buahan kita akan busuk. Sayur-sayuran akan busuk. Makanan yang terlebih dan hendak dibuang memang busuk. Itu belum lagi kotoran kerana debu yang hapak. Lembapan yang berbagai baunya. Jadinya yang busuk itu bukan benda yang berada dalam rumah. Kebanyakannya bau busuk itu kesilapan amalan kita. budaya kita yang mungkin salah. Mengapa agaknya? Di mana kesilapannya? Cuba maklumkan?

1                 Kita beli makanan laut bersama isi perut dan kepalanya. Kita tidak memakannya. Malah isi perut ikan tentulah tidak boleh dimakan. Kita siang di rumah. Apa kita buat dengan isi ikan, kulit udang, cengkerang kupang, kerang dan sebagainya?
2                 Kita siang ayam dan daging dengan membuang bahagian yang tidak kita kehendaki seperti lemaknya. Kita simpan beberapa jam. Busuknya terhidu jua. 
3                 Kita beli buah yang hakikatnya busuk. Durian, kuini, bacang, pisang dan buah-buah lain yang menyerupainya dari segi bau. Isinya kita makan. Kulitnya akan busuk tidak lama kemudian.
4                 Kita beli sayur. Enak dimakan tetapi lebihan dan sisanya akan membusuk.
5                 Kita cepat berpeluh kerana udara di negara kita lembap. Kelembapannya tinggi. Pakaian yang berlonggok dan lambat dibasuh mengeluarkan bau yang menyumbat hidung kita sendiri. Orang lain yang bertandang tentulah menahan nafas lama-lama. Datang sekejap sudah hendak balik. Hendak mencari udara bersih di luar rumah kita.
6                 Di premis makanan umpamanya sampah tidak diurus dengan kadar segera. Tiada urgency. Sepatutnya sampah dipungut setiap sejam atau dua jam.

Bagaimana mencipta budaya baru dengan sampah? Mari sama-sama kita fikirkan. Kita gunakan pemikiran inovatif dan kreatif. Ingin maju dan dinamik.

1                 Siang ikan di pasar. Keluarkan isi perutnya. Buang kepalanya. Bawa balik isinya. Jika boleh tanpa tulang dan durinya. Selepas dimasak dan dimakan tiada sisa yang boleh mengakibatkan bau busuk. Busuknya kita tinggalkan di pasar dan tidak dipindah atau diagihkan ke tempat lain.
2                 Begitu juga ayam dan daging. Siang dan potong di pasar. Ikut saiz yang kita kehendaki. Bawa balik yang sedia untuk dimasak. Tidak berbaki lagi dan tidak memungkinkan bau busuk.
3                 Makan buah di luar rumah. Di gerai menjualnya. Di dusun. Atau bawa balik isinya sahaja. Kulitnya telah dibuang terlebih dahulu. Kenapa bawa kulit buah ke rumah sedangkan kita mengetahui bahawa kulit itu bakal mencemarkan rumah kita.
4                 Beli sayur yang tidak memungkinkan menjadi busuk. Jangan banyak. Cukup untuk sekal masak. Untuk sekali makan. Tidak ada sisa yang boleh busuk.
5                 Basuh pakaian sekerap mungkin. Mungkin sehelai di bilik air dibasuh dengan tangan. Paling lama 10 minit. Rendam sekejap. Sental. Perah dan sidai. Bukan kotor sangat. Peluh sahaja. Cuma pastikan sental kuat sedikit di bahagian pergelangan tangan dan di bahagian leher. Kotornya lebih sedikit di situ.
6                 Premis makanan hendaklah diurus sampahnya berlainan dari tempat kediaman. Di premis makanan sampah dipungut lebih kerap. Jangan biarkan sampah berlonggok. Mengeram untuk disepahkan anjing dan kucing atau mungkin angin kuat. Begitu juga tikus, langau dan lalat.

Kita harus mengambikira juga manfaat dalam sampah. Dalam sampah ada sampah yang baik. Yang boleh dikitar semula untuk memelihara alam sekitar. Penulis perhatikan dalam dunia ini ramai mereka yang melangsungkan kehidupannya kerana  berurusan dengan sampah. Baik di Malaysia atau di negara lain. Mereka menyelongkar bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Usaha untuk menyambung hayat diri dan hayat keluarga. Namun begitu di serata dunia, lain masyarakat lain cara mereka mengurus sampah. Ada yang sangat professional dan ada pula yang melepas batuk di tangga sahaja. Walaupun kita lebih baik dari kebanyakan negara tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki. Prasarananya. Sistemnya. Sikapnya. Proses dan prosedurnya. Tidak lupa ialah pendidikan yang berkaitan dengan sampah.

Di Kaherah umpamanya ramai antara warganya yang betul-betul hidup kerana berurusan dengan sampah. Mereka menggunakan berbagai kenderaan atau dengan berjalan kaki. Yang berkemampuan dan skop operasinya luas menggunakan lori besar. Mengambi kontrak mengambil sampah dari pemilik bangunan yang tinggi sama ada pejabat atau rumah kediaman. Ramai yang menggunakan lori kecil. Bergerak dari jalan ke jalan yang lain. Dari bangunan ke bangunan. Ada yang menggunakan motor tiga roda. Khusus pula mencari barang rosak seperti kerusi, meja, baldi dan sebagainya. Jerit pekik mereka bersahut-sahutan antara jalan dengan jalan yang lain. Ramai juga yang menggunakan keldai. Sama ada dalam bentuk kenderaan yang ditarik atau keldai itu sahaja dibebankan dengan karung sampah yang besar di kanan dan kirinya. Pengendalinya berjalan kaki. Dalam pada itu ada yang mencari sampah berguna dengan mengendung karung sampah di bahu  mereka. Tempat sampah tidak sunyi dari kunjungan mereka. Selepas seorang, seorang yang lain akan datang. Kebetulan di tempat yang ramai penduduknya seperti Kaherah ada sahaja orang membuang sampah. Kerana itu ada sahaja orang yang memanfaatkan sampah itu.


Pekedai-pekedai di Kaherah tidak seperti di Malaysia. Kotak dan sampah mereka jual untuk menambahkan pendapatan sampingan. Di Kaherah, pemilik kedai membuang kotak dan sampah dengan teratur. Mereka letakkan di hadapan kedai mereka.  Tidak lama. Hanya beberapa minit sahaja akan ada yang mengambilnya. Siapa cepat dia dapat. Rezeki masing-masing. Satu cara juga untuk membantu golongan yang kurang berada. Biarkan mereka bekerja dan tidak meminta-minta. Bantu dengan berhemah. Bahawa mencari pendapatan sebenarnya susah kepada semua orang. Orang kaya juga berusaha keras. Orang berniaga berkerja lebih keras. Maka mereka yang memerlukan pendapatan berusahalah juga mengikut kadarnya. Akhirnya yang kita lihat ialah adanya bantu membantu antara mereka. Yang lebih membuang sampah. Yang kurang memungut sampah dan memanfaatkannya. Kehidupan diteruskan. Kerja ada mengikut tarafnya. Pendapatan cukup untuk menghidupkan suatu generasi. 

Tuesday, February 11, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Warisan Keluarga



Apa sebenarnya yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita? Kadang-kadang kita terlupa tentang apa yang perlu kita lakukan sebelum kita tinggalkan mereka untuk selama-lamanya.

1                 Anak-anak yang soleh.
2                 Ilmu yang bermanfaat.
3                 Amal jariah.

Anak cucu kita adalah warisan kita. Setakat mana harapan kita akan tercapai. Ini bukan harapan dunia. Ini adalah harapan akhirat. Ramai antara kita sudah cukup dengan harapan dunia. Harapan akhirat yang masih samar-samar lagi. Dalam negara yang pernah dijajah British dahulu banyak harapan Islam yang tercicir. Tidak ramai anak-anak kita hafal al-Quran. Tidak ramai yang menghafal al-hadith. Tidak ramai yang pakar dalam bidang agama. Pada masa yang sama kita tidak pakar dalam bidang-bidang lain sama ada fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Apabila kita lihat sekeliling, kita dapati orang kita tidak pula ramai yang menguasai dunia profesional. Tidak ramai juga yang menguasai ilmu agama. Orang kita berada di persimpangan antara dekat dengan jauh. Antara tahu dengan tidak berapa tahu. Antara terkehadapan atau berada di pertengahan jalan. Larinya tidak laju. Jalannya tidak deras. Tindakannya lambat. Lengah mengambil peluang. Selalu beranggapan bahawa sesuatunya itu tersedia di hadapan mata. Psikologi British yang sangat licin, licik, lembut dan menawan. Kita mengambil kesemuanya hingga kita tidak tahu bahawa sikap kita terbentuk untuk menjadi Yang Manurut Perintah. Yes sir. Yours truely. Kita menjadi jumud dan kaku.

Meninggalkan anak soleh dan solehah tentulah dengan pendidikan agama. Tahu agama. Boleh memimpin dalam beribadat.

1                 Boleh menjadi imam solat.
2                 Merawat ibu dan bapanya apabila mereka sampai umur tua.
3                 Memandikan jenazah ibu dan bapanya.
4                 Mengkapankan jenazah mereka.
5                 Menjadi imam solat jenazah mereka.
6                 Mendoakan mereka setiap terluang masa.

Doa anak yang soleh mudah diterima Allah. Banyak iktibar dari zaman dahulu yang boleh dijadikan iktibar. Uwais al-Qurni adalah seorang darinya. Seorang lagi ialah seorang pemuda di zaman nabi Musa a.s. juga contoh yang terbaik.  Anak-anak yang soleh ini membantu kedua ibu dan bapanya dari tidak selamat kepada selamat. Malah ada yang dari neraka akan dipindahkan ke syurga. Memanusiakan seorang anak yang soleh tidak seperti membuat kuih. Bukan kek. Bancuh ikut sukatan. Bakar. Cukup masa masak untuk dimakan. Acuan anak soleh berbeza dengan acuan membuat kuih.

1                 Rugi tidak memikirkan acuan anak soleh.
2                 Rugi tidak mendapat anak yang soleh.
3                 Betapa ruginya tidak meninggalkan anak-anak yang soleh setelah meninggal dunia.
4                 Rugi tidak mendampingi orang yang soleh.

Kita katakan bahawa untuk menjaga kedua ibu dan bapa yang sudah tua adalah tanggungjawab anak. Rasanya tidak ada kurikulum khusus untuk melahirkan anak soleh. Ibu dan bapa tidak melakukannya. Sistem pendidikan tidak menyediakannya. Kita hanya berkata tentang anak soleh. Banyak yang belum difikirkan atau tidak terfikirkannya.

1                 Acuannya tidak ada.
2                 Kurikulumnya tidak ada.
3                 Kerangkanya tidak ada.
4                 Prosesnya tidak ada.
5                 Prosedurnya tidak ada.
6                 Strateginya tidak ada.
7                 Dasarnya tidak ada.
8                 Skemanya tidak ada.
9                 Standardnya tidak ada.
10            ISOnya tida ada.
(Mereka yang pakar dalam bidang agama sahaja yang lebih mengetahui. Kita selalu lupa untuk merujuk kepada mereka.)

Semua kita hanya beranggapan bahawa kita perlu melahirkan anak-anak yang soleh. Kita toleh kanan dan toleh kita, tiada siapa yang boleh membantu. Semua orang berharap antara satu sama lain. Penulis merasakan bahawa selama ini kita hanya bercakap tentang topiknya sahaja. Kita jarang membentangkan peracangan strategik atau perancangan taktikalnya. Mungkin ramai yang tahu bahawa sistem pendidikan kebangsaan bukan acuannya untuk melahirkan anak-anak yang soleh. Terlalu banyak kes membuang orang tua. Membunuh orang tua sendiri. Menipu orang tuannya sendiri. Bergaduh dan mencederakan bukan lagi perkara yang dianggap luarbiasa. Berlaku di mana-mana. Mungkin juga pembaca perasan bahawa kebanyakan kejadian sebegitu berlaku di luarbandar. Di kalangan mereka yang berada dalam aras sosial yang rendah.

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak seperti mudah selesainya. Kesemuanya nampak mudah. Beri makan. Kenyang dan menjadi besar. Sediakan pakaian. Sekira-kiranya menutup aurat. Hantar ke sekolah. Pandai atau tidak sistem yang menentukan. Kita pusing ikut manapun kita dapati tiada kurukulum untuk melahirkan anak yang soleh. Wariasan yang hendak kita tinggalkan seperti tiada dalam perancangan. Seharusnya kita bukan sahaja memikirkannya tetapi mengusahakannya sehingga kita melahirklan kesemua anak-anak kita yang memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat soleh itu. Dari kecil lagi sudah dipamerkan wajah solehnya. Akhlaknya. Keperihatinanya. Aktif, reaktif dan yang paling penting proaktif terhadap orang tua masing-masing. Proses itu berterusan sehingga anak soleh itu benar-benar terjelma dalam setiap keluarga.

1                 Cintakan Allah. Beriman kepadaNya dan tanpa syirik. Sempurnakan semua perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.
2                 Cintakan Rasul sebagai utusan Allah. Berselawat sebanyak mungkin. Laksanakan ajarannya. Amalkan sunnahnya.
3                 Cintakan kedua ibu dan bapa tanpa sebarang halangan. Semasa tuanya mereka bergantung harap kepada anak-anak. Tanggungjawab anak-anak untuk memberikan yang terbaik untuk mereka. Mereka telah menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka setara dengan kemampuan mereka. Tidak pernah ada jemunya sama ada sakit atau sihat. Penat atau santai. Malam atau siang. Kesemuaya telah dilakukan untuk anak-anak. Doakan mereka sama ada masih hidup atau telah tiada. Tanya apa mahunya. Tanya apa sakitnya. Tanya apa masalahnya. Bicara dengan baik. Tidak mengeluh. Banyak bersabar. Hormati mereka sebaik-baiknya.
4                 Cintakan al-Quran. Baca, kaji dan huraikan maksudnya. Ambil pengajarannya. Amalkan perintah Allah. Jauhkan larangannya. Baca setiap hari. Seberapa boleh menghafalnya. Agendakan supaya anak-anak hafal al-Quran. Besar manfaatnya kepada keluarga dan kepada jiran tetangga serta masyarakat tempat tinggalnya.
5                 Cintakan sahabat-sahabat Nabi. Mereka dicintai Rasulallah. Penyambung warisan Rasulallah. Dari mereka kelangsungan agama. Mereka pula antara umat yang dijamin masuk syurga.
6                 Cinta kepada keluarga Rasulallah. Mereka adalah ahlul bait. Mencintai ahlul bait seperti mencintai Rasulallah. Kehadiran ahlul bait seperti kehadiran Rasulallah.
7                 Mencintai guru, orang tua, jiran tetangga dan manusia keseluruhannya. Cinta sesama makhluk. Begitu juga dengan haiwan dan alam sekitar.
8                 Cinta solat lima waktu. Tiang agama yang tidak boleh diabaikan. Dari berdiri boleh duduk. Dari duduk boleh baring. Dari baring boleh hanya mengedip mata. Namun meninggalkannya tidak boleh. Tidak boleh. Noktah.
9                 Cintakan masjid. Cintakan rumah Allah. Beribadat di dalamnya. Memakmurkannya. Mengimarahkannya. Munajat di dalamnya. Berdoa di dalamnya.
10            Cintakan keluarga. Dari nenek dan datuk hinggalah ke anak cucu. Utamakan keluarga. Dahulukan keluarga. Doakan kesejahteraan mereka. Beri yang terbaik untuk mereka. Kasihi mereka supaya mereka mengasihi kembali.
11            Cintakan fakir miskin. Anak-anak yang memiliki hati yang lembut. Pengasih dan penyayang. Simpati dan emati. Selalu berbudi luhur.
12            Rajin belajar untuk memperbaiki diri. Mencari nilai tambah yang diredhai agama.


Ibu dan bapa, itulah agenda kita untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Jika berat, ringankan. Jika susah, senangkan. Jika rumit, usaikan. Tanam benih kasih dahulu untuk menuai hasilnya yang indah dan berseri. Cantiknya dari dunia hingga ke akhirat. Tugas ibu dan bapa untuk membentuk anak-anak yang soleh dan solehah. Banyak belajar. Banyak bertanya. Mintalah nasehat. Belajar dari kejayaan orang lain. Bergurulah sebanyak mungkin. InsyaAllah banyak manfaatnya kepada keluarga tersayang. 

Saturday, February 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperkemas Dapur Semasa Memasak



Hari-hari kita memasak. Dapur adalah antara ruang yang  banyak aktivitinya setiap hari. Dari awal pagi hinggalah tengah malam. Tidak jemu-jemu kecuali sekali sekala. Jarang kita malas ke dapur. Ada sahaja tarikan dari dapur. Paling kurang kerana haus dan dahaga. Lazimnya apabila kita lapar kita ke dapur mencari makanan. Apa sahaja yang ada kita galas perut kita. Melegakan sedikit tuntutan perut. Yang pasti ialah jadual sarapan pagi, makan tengahari, mungkin minum petang dan makan malam. Selain dari empat peristiwa harian ini adalah keinginan tambahan untuk ke dapur. Untuk memuaskan rasa tuntutan yang tidak henti-henti. Sebenarnya ianya perlukan disiplin. Waktu makan dan ada waktu rehatnya. Akhirnya jika tidak dipatuhi tubuh badan kita juga yang merana. Tidak berhenti mengunyah makanan. Kita rasa letih walaupun tidak membuat kerja berat. Kita letih kerana makan.

Apabila ke dapur, apa yang kita buat? Makan. Minum. Atau jengah-jengah sahaja. Suka-suka. Mungkin. Tetapi apabila makan atau minum tentu sahaja menggunakan peralatan makan seperti pinggan, mangkuk, piring, sudu, garpu, sudip, senduk, gelas atau cawan. Mungkin juga penyepit, sarung tangan dan tuala. Makan dan minum tidak seberapa tetapi peralatan yang digunakan terlalu banyak. Keperluan. Walau bagaimanapun seeloknya gunakan seberapa minimum yang boleh. Seperti makan nasi campur. Sepinggan semuanya ada. Op! Nanti dulu. Anak-anak perlu dilatih supaya makan dengan sopan. Ada sistem. Ada peraturan. Gunakan peralatan secara minimum tetapi tidak sampai seperti di kedai makan. Atau gerai makan. Adalah sedikit peralatan tambahan tetapi tidak terlalu banyak hingga menyukarkan untuk membersihkannya. Untuk menyusunnya kembali. Untuk membasuhnya. Tetapi jika mematuhi jadual makan tidak mengapa. Peralatan yang sama dikongsi oleh ramai ahli keluarga.  

Apabila anda memasak dapatkah anda kawal dapur anda? Berapa banyak perkakas yang anda gunakan. Lain orang lain keadaannya. Lain pengalaman lain keadaannya. Lain kemahiran lain keadaannya. Dapur memperlihatkan siapa penggunanya. Banyak perkara yang boleh dianalisis di dapur. Antaranya:-

1                 Susunatur penggunaan ruang. Tanpa mengira saiznya, dapur hendaklah digunakan secara optimum. Gunakan seminimum ruang yang boleh supaya pergerakan orang yang memasak tidak terlalu longgar. Seeloknya toleh kanan ada benda yang dibuat. Toleh kiri ada perkakas boleh digunakan. Di hadapan, membuat kerja utama seperti memotong, mencanai, mengupas, meracik, menumbuk, menggaram dan sebagainya. Ruang kerja disempitkan supaya tidak terlalu penat di dapur. Kerana itu semua keperluan di dapur seeperti garam, gula, kunyit, halia, serai, ikan bilis, bawang dan sebagainya diletakkan berhampiran dengan ruang kerja. Seperti di restoran. Kesemuanya di hadapan mata. Sejangkau sudip yang digunakan. Di rumah tidaklah begitu. Kemas sekemasnya. Atur seaturnya. Cantik tersusun.  Perasan atau tidak selepas memasak isteri atau anak kelihatan keletihan. Selera mereka patah kerana penat memasak. Kurangkan sebab musabab yang boleh menambahkan penat mereka.
2                 Perkakas yang digunakan. Memang di dapur kita kesemuanya ada. Tentu tidak menasabah jika ke semua perkakas yang ada digunakan tanpa berhemah. Tanpa had. Gunakan apabila diperlukan. Sambil menggunakan sesuatu perkakas, basuh perkakas yang lain. Atau gunakan perkakas yang sama untuk mengisi bahan lain yang berkaitan. Sekadar contoh. Selepas menggoreng ikan minyak yang sama (kurangkan jika melebihi keperluan) gunakan untuk memasak sayur atau sambal. Mangkuk untuk mengisi sayur boleh juga digunakan untuk mengisi santan. Pinggan untuk bawang mengisi sama lengkuas, halia, serai, kunyit dan rempah tumis.
3                 Proses menggunakan ruang dan perkakas. Semasa hendak memulakan proses memasak, sediakan kesemua bahan yang diperlukan. Kesemua perkakas yang diperlukan. At one go. Buat keutamaan. Apa yang perlu dibuat dahulu. Kemudian senaraikan yang kedua, ketiga dan seterunya hingga ke akhir.  Tidak teragak-agak. Semua yang hendak dilakukan disediakan terlebih dahulu. Mengurangkan lupa. Mengurangkan penat. Mengurangkan marah dan ketegangan perasaan.
4                 Proses memasak yang berunsur saintifik (CPM, PERT). Semasa memasak ada yang didahulukan dan ada yang dikemudiankan. Selalunya orang mencari nasi dahulu. Jika masa suntuk, nasi hendaklah ditanak terlebih dahulu. Sementara nasik masak, siang sayur, ikan atau ayam atau daging. Begitu juga keperluannya yang lain. Di periuk atau kuali yang lain ikan digoreng. Di periuk yang lain sayur dimasak. Maksudnya pada suatu ketika lauk pauk boleh dimasak serentak. Cuma berbeza beberapa minit antara satu sama lain. Inilah prinsip Critical Path Method (CPM) dalam kejuruteraan dan pengurusan. Begitu juga dengan Program Evaluation and Review Technique (PERT). Dahulukan yang perlu dimasak dalam jangkamasa yang lebih lama. Nasi dilihat lebih kritikal. Maka nasi dimasak dahulu berbanding dengan lauk pauk yang diperlukan.
5                 Pengurusan lantai adalah penting. Dapur bukan tempat kotor. Sewajarnya dapur adalah tempat yang perlu dibersihkan selalu. Menjaga kebersihan makanan. Mencegah kemungkinan pencemaran kepada makanan. Lantai adalah satu antaranya. Selalu disapu. Dimop. Dibasuh. Dilap segala jenis kotoran.
6                 Pengurusan singki. Singki hendaklah sentiasa kosong. Basuh dan pindahkan peralatan yang kotor. Yang kotor bukan dilonggok dalam singki. Lemas mata yang memandang. Singki bukan tong sampah. Terlalu kerap tersumbat. Sisa makanan hendaklah dibuang terlebih dahulu sebersih-bersihnya sebelum dibasuh. Singki hanya tempat membasuh dan bukan untuk tempat membuang sampah atau sisa makanan. Apatah lagi tulang dan duri ikan.
7                 Hidangan. Susun hidangan mengikut lauk pauk dahulu. Nasi seharusnya dihidangkan kemudian untuk dimakan semasa masih panas. Kita perlukan makanan panas. Bukan separuh panas atau apabila sudah sejuk. Cukup dengan senduk, sudip, sudu, garpu, gelas dan tisu. Tidak perlu duduk dan bangun lagi. Duduk dan bangun lagi. Ada sahaja yang tidak ada. Atau tidak cukup. Memenatkan.  

Kehidupan kita semakin hendak dipermudahkan. Tetapi tidak semua orang memiliki pengalaman yang sama. Ada yang lebih dan ada yang belum mengalaminya. Sekarang ini banyak periuk belanga dan kuali tidak melekat. Periuk dan kuali non-stick. Konsepnya perlu difahami. Perkakas itu tidak menjadikan makanan melekat apabila dimasak. Namun begitu penggunanya harusnya terdidik untuk mengetahuinya.

1                 Ajar anak-anak supaya menggunakan sudip, senduk dan sudu  kayu atau plastik atau buluh. Jangan gunakan logam. Lapisan non sticknya akan tercalar. Terkoyak. Apabila itu berlaku periuk atau kuali itu hilang peranannya. Makanan akan melekat apabila dimasak. Rugi membelinya dengan harga yang mahal.
2                 Apabila ada saudara mara datang ke rumah, sediakan semua yang plastik, kayu dan buluh di dapur. Beri arahan sewajarnya supaya tidak menggunakan sebarang peralatan dari logam.
3                 Semasa membasuhnya tunggu selepas periuk atau kuali itu sejuk sendiri. Jangan dicurah air semasa masih panas. Lap perlahan-lahan dengan kain pengelap dan sabun. Jangan sental kerana perbuatan itu menipiskan lapisan non sticknya.


Penulis bukan tukang masak. Walau bagaimanapun selalu memasak dan berada di dapur. Mengetahui apa yang perlu dan apa yang tidak. Penulis kira semua orang patut begitu. Tanpa mengira siapa dirinya jadikan dapur tempat yang bukan asing. Kadang-kadang kita asah bakat di dapur. Sekurang-kurangnya memenuhi selera diri sendiri jika tidak orang lain sekalipun. Lebih baik pandai dari tidak. Menyumbang lebib baik dari hanya meminta sahaja. 

Bingkjisan Dari Kaherah: Rebung Yang Lenturnya Sedari Muda










Aur dan buluh. Bertaut dengan tanah yang dicengkam membiak rumpun. Mengukuh tebing dari runtuh. Rebungnya untuk dimakan. Enak, rangup dan sedikit manis. Buluhnya pelbagai guna. Dari bakul keranjang yang tiada rupa menjadi produk hiasan yang sangat tinggi nilainya. Di negara yang banyak buluh, rumah dan perabot ada yang dihasilkan dari buluh. Hasilnya sangat indah. Dari negara Cina umpamanya banyak perkakas memasak yang dibuat dari buluh. Dijual di serata dunia. Di semua benua. Harganya tidak mahalpun. Penulis kira di semua negara Arab ada barangan dari buluh di setiap rumah. Cina dan Jepun telah lama mengkomersilkan buluh mereka sama ada dalam negara atau untuk eksport. Mendapat tukaran wang asing yang menambah Keluaran Dalam Negara mereka.  

Tiada siapa boleh menafikan bahawa buluh banyak gunanya. Hutan buluh seperti di Jepun menjadi hidangan untuk tatapan pelancong. Kebetulan buluh di negara seperti Jepun teratur tumbuhnya. Teratur rumpunnya. Hutan buluh menjadi sesuatu yang menarik untuk dilihat. Penulis tidak pasti sama ada anak-anak kita mengetahui atau tidak bahawa anak buluh namanya rebung. Ada namanya yang tersendiri. Istilah yang sudah berzaman. Ramai antara kita yang memakan sayur dari rebung. Gulai, kari, tumis atau masak campur dengan ikan kering umpamanya. Rebung hidup tidak lagi ramai orang yang melihatnya. Kita di Malaysia tidak melihat buluh sebagai tumbuhan yang komersil. Yang tinggi nilainya. Apatah lagi rebungnya. Langsung tidak masuk dalam pemikiran kita. Rasanya jika anak-anak kita menemui rumpun buluh, ada yang tidak mengenalinya. Apatah lagi rebungnya yang tidak ada rupa.

Rebung muda yang enak bukan seperti buah. Bukan cantik. Tidak bersih. Kuasa Allah rebung diselaputi kelopak yang penuh dengan miangnya. Gatal terkena kulit. Bak kata orang dahulu orang yang kayap memikul buluh. Gatal miang dan gatal kayap tiada bezanya apabila terkena peluh.  Anak buluh yang bukan rebung sudah tidak boleh dibuat makanan. Sudah keras. Mungkin boleh dilentur sebaik mungkin untuk membentuk apa sahaja lingkaran yang dihajat. Membesarlah ia menjadi buluh. Juga dinamakan bambu. Banyaklah gunanya dalam berbagai-bagai. Penulis bercerita tentang buluh kerana ada rebungnya. Rebung pula selalu dikaitkan kepada anak-anak. Maka melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Bukan buluh tidak boleh dilentur. Boleh. Tetapi prosesnya dengan teknologi. Lebih mahal kosnya. Bagi orang luar bandar buluh dilentur menggunakan haba api. Lama, payah dan merumitkan. Tiada standard yang tertentu. Hanya berpandukan pengalaman lama yang terhimpun melalui usia.

Anak-anak yang sudah besar tentulah sudah menjadi buluh. Lebih sukar membentuk peribadinya. Jatidirinya. Akhlaknya. Jika kebiasaan yang baik tidak dibentuk semasa rebungnya maka ibu dan bapa menghadapi kesukaran untuk membetulkan keadaan. Malang jika anak itu diharapkan kepada guru-guru untuk membentuknya. Guru berpandukan kepada standard nasional. Mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai. Maaf, mereka yang islamik berbeza dengan mereka yang sekular. Maka guru memenuhi keperluan nasional bukan keperluan keluarga per se. Kerana itu tujuh tahun yang pertama, seseorang anak adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Anak-anak yang seperti kain putih itu bentuklah selayaknya mengikut acuan ibu dan bapa. Sebagai Muslimin anak-anak kita hendaklah dibentuk mengikut acuan Islam. Mantapkan dahulu di rumah. Dalam keluarga. Sebelum anak itu melangkah keluar dan masuk dalam dunia pendidikan secara formal dirinya seharusnya sudah dilengkapkan dengan pertahanan diri dalam bentuk agama, budaya ada aspirasi keluarga.

Anak-anak kecil dan agama bukan suatu impian. Ianya suatu kewajipan. Ibu dan bapa yang mengasaskannya. Bukan orang lain. Guru hanya menambah dan memurnikannya jika ibu bapa bukan dari kalangan mereka yang mengerti selok belok agama. Solat, puasa adan akhlak islamiyyah sewajarnya sudah tertanam dalam diri anak-anak. Sebelum mereka keluar dari rumah. Sebelum ke sekolah. Seperti rebung, anak-anak boleh dipelbagaikan. Terpulang kepada ibu dan bapa. Apa hendak dijadikan anak itu apabila dewasanya. Guru hanya memberi input akademik. Bukan guru yang menentukan bentuk masa hadapan anak-anak itu. Ibu dan bapa 100%. Mungkin ada sumbangan guru dari segi akademiknya. Yang lainnya tanggungjawab ibu dan bapa. Kerana itu ibu dan bapa diperlukan bersedia lebih awal. Sebelum berumatangga perlu mengetahui tanggungjawab keibubapaan. Kursus p;ra-perkahwinan hanya syarat untuk boleh nikah. Ianya bukan syarat dan bekal yang cukup untuk menjadi bapa dan ibu mithali. Banyak yang perlu dipelajari.  

Anak-anak mewarisi apa sahaja yang didengar dari ibu dan bapanya. Yang dilihat. Yang dididik. Antara yang ketara ialah bahasa yang diungkapkannya. Ajarlah mereka bercakap dengan teratur. Dengan bahasa yang baik. Tidak meninggi suara. Tidak kasar. Tidak lucah atau mencarut. Tidak bersumpah. Didik supaya empati dan simpati. Perihatin dengan masalah orang lain. Tanamkan sifat kasih sayang. Berdisiplin. Mengikut sistem tertentu dalam hidup. Anak-anak adalah cerminan keluarga. Bagaimana ia dibesarkan begitulah yang dipamerkan kepada orang lain. Apabila kita melihat seseorang anak kita dapat melihat suatu lintasan tentang latarbelakang ibu dan bapanya dan bagaimana anak itu dibesarkan dalam keluarganya. Harus banyak kawalan dalam tingkah laku anak-anak dari berbagai aspek.

1                 Perlakuannya dalam beribadat. Bersegera, tekun dan istiqamah.
2                 Tutur katanya selalu dipantau kerana di luar sana anak itu terdedah dengan banyak perkara yang asing. Beri perisai supaya ia memang terdedah tetapi terhalang dari mengamalkan bahasa yang tidak elok.
3                 Jaga tingkahlaku anak-anak semasa makan. Tidak kira di mana. Sama ada di rumah, di rumah orang, di restoran atau di khalayak ramai. Antara yang perlu dididik ialah sifat bersedia berkongsi. Tidak gopoh atau gelojoh. Tidak tamak atau pelahap. Makan dengan teratur. Banyak kunyah dari hanya menelan.
4                 Anak-anak perlu dilengkapkan dengan pakaian yang bersesuaian dengan suasana. Walau bagaimanapun pakaian seharian juga perlu diawasi dari terlalu besar, terlalu ketat, kotor, koyak atau dipakai secara selekeh. Mereka mempamerkan maruah keluarga.

Antara perkara yang selalu terabai ialah disiplin mengenai sivik. Tanggungjawab dalam keluarga. Waktu-waktu sepatutnya membantu. Bekerjasama dengan adik beradik yang lain. Berkongsi kegembiraan dan kesusahan. Dididik mendahulukan orang lain. Tidak mementingkan diri. Tidak membolot apa yang ada. Jadual adalah penting dalam sesuatu perlaksaan disiplin diri.

1                 Disiplin makan yang berjadual. Pastikan mereka mematuhi jadual itu. Jadual makan adalah menjadualkan sistem tubuh badan. Tanpa disiplin tubuh badan juga tidak terkawal keadaannya. Sistem penghadaman tidak diberi rehat yang mencukupi. Membebankan.
2                 Disiplin belajar yang berjadual lebih ketat. Dipatuhi setiap masa. Tidak boleh terganggu dengan TV, permainan dalam komputer riba, permainan dalam telefon. Ada masa membaca buku cerita. Ada masa membaca buku teks. Latihan kerja rumah. Menulis. Mengarang. Melukis.
3                 Disiplin bermain. Bukan sepanjang waktu. Ada peraturannya yang perlu dijadual dan dikawal. Masanya. Tempoh masanya. Teman sepermainannya. Tempatnya. Permainannya.
4                 Disiplin membuat kerja-kerja di rumah. Menyapu. Membasuh. Membuang sampah. Membasuh rumah. Mengemop lantai. Berkemas. Menggosok pakaian. Mengemas katil. Menyidai pakaian. Melipat pakaian. Menyusun pakaian dalam almari.
5                 Peka dengan kawalan pembaziran. Mempastikan pili air ditutup setelah digunakan. Matikan kipas dan penghawa dingin apabila meninggalkan bilik dan ruang. Mematikan lampu jika tidak diperlukan.
6                 Berkemas setiap waktu. Sampah mesti dibakulsampahkan. Tidak dibuang merata-rata tanpa kawalan.  
7                 Peka dengan persediaan hendak ke sekolah. Mengemas beg sebelum tidur. Menyediakan pakaian untuk hari esok. Menyiapkan kerja rumah. Menyimpan wang saku. Menyempurnakan pesan guru.
8                 Kebersihan dalam dan luar rumah menjadi tanggungjawab semua. Jumpa sampah pungut. Kotor basuh. Bersepah kemas.
9                 Ajar anak-anak supaya pandai memasak. Kesemuanya sama ada lelaki atau perempuan. Tanpa kecuali. Ajar dari yang senang seperti menjerang air, menggoreng telur dan menanak nasi. Semakin meningjkat usianya ajer mereka memasak yang lebih rumit seperti sambal, kari, gukai lemak atau membuat acar.
10            Perkakas makan hendaklah dibasuh dengan betul dan bersih. Ajar mereka sedari awal usianya. Hilangkan kotor dan hilangkan minyaknya. Cukup sabunnya. Semua anak diajar membasuh periuk, kuali, pinggan, mangkuk, gelas, sudu, garpu, sudip, senduk dan pisau. Jangan sekali-kali dilonggokkan dalam singki. Setiap anak diberi tanggungjawab yang sama. Adil. Tanpa kecuali.


Di bawah ini penulis paparkan berbagai gambar. Rumpun buluh, pokok buluh, rebung dan berbagai makanan dari rebung. Rebung menghasilkan banyak makanan yang enak dan menyegarkan. Rebung segar tentu lebih segar apabila dimasak dan dimakan. Begitulah anak-anak yang sedari kecilnya dididik dengan betul menjadi seperti rebung yang enak dimakan. Enak dipandang. Enak dipelbagaikan. Anak itu menghidangkan pendidikan yang sedap di hati apabila dipandang. Sejuk perut ibu yang mengandung. Apabila dewasa menjadi buluh yang juga banyak gunanya. Banyak manfaatnya. Peliharalah rebung untuk mendapat bulunya yang besar manfaatnya. 



Buluh yang sudah mula dikomersilkan. Perlu diperluaskan ke desa-desa supaya orang luarbandar mempunyai alternatif dari segi pendapatan dan sumber makanan.



Rebung yang tidak seberapa rupanya. Enak dijadikan juadah makanan.



Jika begini banyaknya tebtu mnenghasilkan pendapatan yang lumayan.



Yang ini rebung jeruk.



Kecur air liur.



Makin bertambah kecurnya.



Aduhai. Kerabu rebung. Terangkat jika memakannya.



Kreativirti masing-masing. Boleh dipelbagaikan.



Gulai udang dan rebung.



Sambal rebung.


Anak-anak yang dari rebung yang tidak seberapa rupanya jika dididik menjadi berbagai rupanya. Cantik dipandang. Menyejukkan mata. Menyelera untuk dimanfaatkan khidmatnya apabila dewasa. Semuanya dari rebung. Jangan tunggu mereka menjadi buluh.

Thursday, February 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperindah Pendidikan Agama



Agama Islam adalah agama yang keindahannya tersendiri. Disampaikan dengan pedagodinya yang tersendiri. Banyak akademiknya. Berbeza dengan disiplin ilmu lain. Dengan disiplin agama lain. Dibimbing terus oleh Allah dan RasulNya. Di luar sana ramai audien yang perlukan andragodi yang sistematik dan sistemik. Kali ini penulis ingin membicarakan pendidikan agama yang masih terlalu tradisional. Benar cara lama itu tetap berkesan. Walau bagaimanapun teknologi yang sudah dibangunkan ketika ini boleh dimanfaatkan untuk menjadikan pendidikan agama sangat mengesankan. Memberi impak yang kuat kepada mereka yang mempelajarinya. Yang mendengarnya. Yang mengikutinya. Slot TV Ustaz Don umpamanya sangat mengesankan kepada audien tanpa mengira usia dan tempat. Terutamanya kepada remaja yang selalu tergelincir dari jalan yang diredhai. Mereka belajar agama tetapi tidak dapat menghubungkait antara yang realiti secara fizikal dan maujud dengan alam ghaib yang wajib diimani. Ilmu agama perlukan nafas baru untuk disampaikan dengan lebih segar. Jawapannya ialah teknologi yang bersesuaian. Dibenarkan syariah. Ada garispanduannya. Ada sempadan yang perlu dijaga. Tertakluk kepada tapisan aqidah yang wajar supaya kesemuanya mematuhi syariah. Mereka yang bijak teknologi perlu ke hadapan berganding dengan mereka yang alim dari segi selok belok agama. Ulamak teknologi dan ulamak agama berganding untuk membantu melonjakkan tugas agama ke aras baru. Lebih tinggi. Lebih bermanfaat. Lebih bermartabat.

Kemahiran ibadah adalah asas beragama. Rukun iman yang enam direalisasikan bersama dengan rukun Islam yang lima. Yang sebelas ini dijadikan tunjang iman dan Islam. Rukum Islam lebih mudah difahami. Dihayati. Disempurnakan dengan kefahaman. Tentulah tahap kesempurnaannya berbagai bergantung kepada ilmu yang dipelajari. Yang dikaji. Yang dirujuk dari sumber-sumber yang mu’tabar. Jika sedikit dan berhenti mencari maka ilmu beribadat sangat terbatas. Jika berterusan mencari  pasti ditemui banyak nilai tambah yang berganda-ganda banyaknya. Ibarat memasak, lauk pauknya semakin lazat. Semakin menarik. Semakin mencantikkan. Ilmu yang ditambah mengindahkan ibadat. Tidak puas dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Dari satu ruang ke satu ruang lain yang semakin panjang, lebar dan meluas. Ilmu tiada ufuknya. Bukan apabila langit dan daratan atau air bertemu dilihat dari jauh. Pertemuan itu hanya pada mata yang melihat. Bukan hakiki. Apabila dihampiri ufuknya beralih menjauh pula. Begitulah ilmu. Dikejar menjauh. Kita berhenti kita yang rugi dan menjadi mati.

Fardhu ain adalah lebih kepada kewajipan yang tidak ada tukar ganti. Solat adalah diri sendiri. Tidak boleh diupahkan. Ianya tanggungan sendirian berhad. Syahadah tidak mungkin diwakilkan kepada orang lain. Lidah, bibir dan mulut yang ampunya diri sendiri yang mengungkapkannya secara lisan dengan kuat. Fardhu ain hendaklah diselesaikan sesegera mungkin supaya semua umat Islam mengetahui tanggungjawab asas mengenai dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. Namun begitu penyampaian pendidikannya perlu banyak dinamika baru. Dianjakkan paradigmanya. Bukan sekadar berbicara. Bukan sekadar membaca buku. Bukan sekadar mendengar. Kita perlu berinteraksi dengan teknologi. Pelajaran mengenai tauhid atau akidah boleh dilaksanakan dengan penggunaan teknologi. Selalunya asas untuk menyampaikan sifat Allah ialah adanya alam ini. Ramai antara kita yang tidak memahami apa sebenarnya alam ini. Berapa luasnya. Apa yang ada di angkasa. Saiz bintang dan planet. Berapa banyak cakerawala. Apa itu supernova. Bagaimana gerhana. Sekadar membaca kitab yang terhad kita tidak dapat melihat secara jauh tentang penciptaan Allah. Besar, banyak dan luasnya ciptaan Allah. Bahawa manusia adalah antara makhluk yang kecil, kerdil dan tidak signifikan kecuali yang bertaqwa. Yang dekat hatinya kepada Allah.

Pengetahuan tentang adanya alam ini cantik jika disampaikan dalam bentuk animasi. Dalam bentuk multimedia. Dalam bentu 3-D. Maaflah, banyak yang perlu dinaiktaraf tentang pengajaran dan pembelajaran agama secara rasmi. Di sekolah dan madrasah. Hatta di institusi pengajian walau apa sekalipun bentuknya. Kita sudah ada internet. Sumber ilmu berbagai. Jika dipilih yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan agama tentulah akan memberi impak yang memberangsangkan. Anak-anak kita mengetahui selepas malam tentulah siang. Siang pula diganti dengan malam. Mereka tidak mengetahui prosesnya. Bagaimana bumi berputar. Bagaimana bumi beredar. Pada ketika bumi berputar ia juga beredar mengelilingi matahari. Bagaimana bumi berada dalam sistem suria. Bagaimana untuk mengetahui jarak yang diukur dengan tahun cahaya. Bagaimana memahami betapa luasnya alam semesta ini. Bagaimana hendak memahami bahawa Allah adalah Rob al-Alamin. Tuhan semesta alam. Apabila konsep keluasan alam dapat digambarkan dengan teknologi, penulis yakin anak-anak yang belajar agama mendapat input yang kemas kini. Sains membantu dalam pendidikan agama.

Kita perlu mengangkat fikir agama. Keperluannya menegak dan mendatar. Pengertian agama itu terlalu tinggi. Terlalu luas. Terlalu dalam. Teknologi membantu menambah kefahaman ke arah itu. Penulis kadang-kadang tercari-cari juga formula terbaik untuk menyampaikan ilmu agama. Bayangkan seorang ustaz menerangkan senerio datangnya hari qiamat. Cerita dari mulut itu hanya didengar tanpa pengertian yang mendalam. Jika alam difahami luasnya. Diketahui besarnya. Katakan kepada anak-anak bahawa kesemuanya pasti akan hancur. Bukan bumi sahaja. Bahkan kesemuanya yang sangat banyak tidak terkira itu akan hancur. Allah berkuasa mencipta alam dan berkuasa memusnahkannya. Bagaimana jika teori The Big Bang dan The Big Crunch disampaikan dalam kelas agama. Suatu ledakan ilmu dari al-Quran yang kita baca setiap hari. Kita tidak memperluaskan penterjemahannya dalam bentuk yang memberi kefahaman yang menginsafkan. Kita diciptakan Allah dan akan kembali kepadaNya apabila sampai masanya.

Pelajaran pengurusan jenazah umpamanya tidak cukup hanya dengan membaca. Diterangkan satu persatu. Malangnya guru tidak membawa pelajarnya menyaksikan pengurusan jenazah secara live. Bila ada kematian bawa sebahagian pelajar untuk menyaksikan proses meletak jenazah, memandikan, mengkapankan, melakukan solat jenazah dan akhirnya menguburkan jenazah. Pertamanya untuk memahami proses. Keduanya untuk menginsafkan diri supaya mereka taatkan Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan menghindarkan mereka dari berbuat maksiat. Menjadikan mereka anak-anak yang soleh. Begitu juga matapelajaran menunaikan haji dan umrah. Dipaparkan kepada mereka perlakuan yang rukun dan wajib. Yang sunat dan harus. Menghindar dari yang haram dan makruh. Istilah tawaf tidak mungkin difahami susah dan payahnya tanpa melihat gambarannya melalui video umpamanya. Begitu juga sai. Berada di Arafah. Di Muzdalifah. Di Muasim. Termasuk peristiwa harian yang dilalui semasa menunaikan haji dan umrah.


Kitab adalah rujukan bertulis yang perlu dibaca. Diulang baca. Diingat. Dihafal. Visual melalui CD, VCD, video dan filem membantu ke arah kefahaman yang lebih meluas. Internet dan sumber dari media elektronik memperlengkap pendidikan agam ke arah yang lebih mantap. Kita perlu sama-sama fikirkan kerana pendidikan beragama memandu manusia untuk mencari jalan ke syurga. Kita yang dewasa bantu mereka ke arah itu. InsyaAllah sedikit usaha ke arah itu besar manfaatnya kepada ummah.