Saturday, February 8, 2014

Bingkjisan Dari Kaherah: Rebung Yang Lenturnya Sedari Muda










Aur dan buluh. Bertaut dengan tanah yang dicengkam membiak rumpun. Mengukuh tebing dari runtuh. Rebungnya untuk dimakan. Enak, rangup dan sedikit manis. Buluhnya pelbagai guna. Dari bakul keranjang yang tiada rupa menjadi produk hiasan yang sangat tinggi nilainya. Di negara yang banyak buluh, rumah dan perabot ada yang dihasilkan dari buluh. Hasilnya sangat indah. Dari negara Cina umpamanya banyak perkakas memasak yang dibuat dari buluh. Dijual di serata dunia. Di semua benua. Harganya tidak mahalpun. Penulis kira di semua negara Arab ada barangan dari buluh di setiap rumah. Cina dan Jepun telah lama mengkomersilkan buluh mereka sama ada dalam negara atau untuk eksport. Mendapat tukaran wang asing yang menambah Keluaran Dalam Negara mereka.  

Tiada siapa boleh menafikan bahawa buluh banyak gunanya. Hutan buluh seperti di Jepun menjadi hidangan untuk tatapan pelancong. Kebetulan buluh di negara seperti Jepun teratur tumbuhnya. Teratur rumpunnya. Hutan buluh menjadi sesuatu yang menarik untuk dilihat. Penulis tidak pasti sama ada anak-anak kita mengetahui atau tidak bahawa anak buluh namanya rebung. Ada namanya yang tersendiri. Istilah yang sudah berzaman. Ramai antara kita yang memakan sayur dari rebung. Gulai, kari, tumis atau masak campur dengan ikan kering umpamanya. Rebung hidup tidak lagi ramai orang yang melihatnya. Kita di Malaysia tidak melihat buluh sebagai tumbuhan yang komersil. Yang tinggi nilainya. Apatah lagi rebungnya. Langsung tidak masuk dalam pemikiran kita. Rasanya jika anak-anak kita menemui rumpun buluh, ada yang tidak mengenalinya. Apatah lagi rebungnya yang tidak ada rupa.

Rebung muda yang enak bukan seperti buah. Bukan cantik. Tidak bersih. Kuasa Allah rebung diselaputi kelopak yang penuh dengan miangnya. Gatal terkena kulit. Bak kata orang dahulu orang yang kayap memikul buluh. Gatal miang dan gatal kayap tiada bezanya apabila terkena peluh.  Anak buluh yang bukan rebung sudah tidak boleh dibuat makanan. Sudah keras. Mungkin boleh dilentur sebaik mungkin untuk membentuk apa sahaja lingkaran yang dihajat. Membesarlah ia menjadi buluh. Juga dinamakan bambu. Banyaklah gunanya dalam berbagai-bagai. Penulis bercerita tentang buluh kerana ada rebungnya. Rebung pula selalu dikaitkan kepada anak-anak. Maka melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Bukan buluh tidak boleh dilentur. Boleh. Tetapi prosesnya dengan teknologi. Lebih mahal kosnya. Bagi orang luar bandar buluh dilentur menggunakan haba api. Lama, payah dan merumitkan. Tiada standard yang tertentu. Hanya berpandukan pengalaman lama yang terhimpun melalui usia.

Anak-anak yang sudah besar tentulah sudah menjadi buluh. Lebih sukar membentuk peribadinya. Jatidirinya. Akhlaknya. Jika kebiasaan yang baik tidak dibentuk semasa rebungnya maka ibu dan bapa menghadapi kesukaran untuk membetulkan keadaan. Malang jika anak itu diharapkan kepada guru-guru untuk membentuknya. Guru berpandukan kepada standard nasional. Mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai. Maaf, mereka yang islamik berbeza dengan mereka yang sekular. Maka guru memenuhi keperluan nasional bukan keperluan keluarga per se. Kerana itu tujuh tahun yang pertama, seseorang anak adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Anak-anak yang seperti kain putih itu bentuklah selayaknya mengikut acuan ibu dan bapa. Sebagai Muslimin anak-anak kita hendaklah dibentuk mengikut acuan Islam. Mantapkan dahulu di rumah. Dalam keluarga. Sebelum anak itu melangkah keluar dan masuk dalam dunia pendidikan secara formal dirinya seharusnya sudah dilengkapkan dengan pertahanan diri dalam bentuk agama, budaya ada aspirasi keluarga.

Anak-anak kecil dan agama bukan suatu impian. Ianya suatu kewajipan. Ibu dan bapa yang mengasaskannya. Bukan orang lain. Guru hanya menambah dan memurnikannya jika ibu bapa bukan dari kalangan mereka yang mengerti selok belok agama. Solat, puasa adan akhlak islamiyyah sewajarnya sudah tertanam dalam diri anak-anak. Sebelum mereka keluar dari rumah. Sebelum ke sekolah. Seperti rebung, anak-anak boleh dipelbagaikan. Terpulang kepada ibu dan bapa. Apa hendak dijadikan anak itu apabila dewasanya. Guru hanya memberi input akademik. Bukan guru yang menentukan bentuk masa hadapan anak-anak itu. Ibu dan bapa 100%. Mungkin ada sumbangan guru dari segi akademiknya. Yang lainnya tanggungjawab ibu dan bapa. Kerana itu ibu dan bapa diperlukan bersedia lebih awal. Sebelum berumatangga perlu mengetahui tanggungjawab keibubapaan. Kursus p;ra-perkahwinan hanya syarat untuk boleh nikah. Ianya bukan syarat dan bekal yang cukup untuk menjadi bapa dan ibu mithali. Banyak yang perlu dipelajari.  

Anak-anak mewarisi apa sahaja yang didengar dari ibu dan bapanya. Yang dilihat. Yang dididik. Antara yang ketara ialah bahasa yang diungkapkannya. Ajarlah mereka bercakap dengan teratur. Dengan bahasa yang baik. Tidak meninggi suara. Tidak kasar. Tidak lucah atau mencarut. Tidak bersumpah. Didik supaya empati dan simpati. Perihatin dengan masalah orang lain. Tanamkan sifat kasih sayang. Berdisiplin. Mengikut sistem tertentu dalam hidup. Anak-anak adalah cerminan keluarga. Bagaimana ia dibesarkan begitulah yang dipamerkan kepada orang lain. Apabila kita melihat seseorang anak kita dapat melihat suatu lintasan tentang latarbelakang ibu dan bapanya dan bagaimana anak itu dibesarkan dalam keluarganya. Harus banyak kawalan dalam tingkah laku anak-anak dari berbagai aspek.

1                 Perlakuannya dalam beribadat. Bersegera, tekun dan istiqamah.
2                 Tutur katanya selalu dipantau kerana di luar sana anak itu terdedah dengan banyak perkara yang asing. Beri perisai supaya ia memang terdedah tetapi terhalang dari mengamalkan bahasa yang tidak elok.
3                 Jaga tingkahlaku anak-anak semasa makan. Tidak kira di mana. Sama ada di rumah, di rumah orang, di restoran atau di khalayak ramai. Antara yang perlu dididik ialah sifat bersedia berkongsi. Tidak gopoh atau gelojoh. Tidak tamak atau pelahap. Makan dengan teratur. Banyak kunyah dari hanya menelan.
4                 Anak-anak perlu dilengkapkan dengan pakaian yang bersesuaian dengan suasana. Walau bagaimanapun pakaian seharian juga perlu diawasi dari terlalu besar, terlalu ketat, kotor, koyak atau dipakai secara selekeh. Mereka mempamerkan maruah keluarga.

Antara perkara yang selalu terabai ialah disiplin mengenai sivik. Tanggungjawab dalam keluarga. Waktu-waktu sepatutnya membantu. Bekerjasama dengan adik beradik yang lain. Berkongsi kegembiraan dan kesusahan. Dididik mendahulukan orang lain. Tidak mementingkan diri. Tidak membolot apa yang ada. Jadual adalah penting dalam sesuatu perlaksaan disiplin diri.

1                 Disiplin makan yang berjadual. Pastikan mereka mematuhi jadual itu. Jadual makan adalah menjadualkan sistem tubuh badan. Tanpa disiplin tubuh badan juga tidak terkawal keadaannya. Sistem penghadaman tidak diberi rehat yang mencukupi. Membebankan.
2                 Disiplin belajar yang berjadual lebih ketat. Dipatuhi setiap masa. Tidak boleh terganggu dengan TV, permainan dalam komputer riba, permainan dalam telefon. Ada masa membaca buku cerita. Ada masa membaca buku teks. Latihan kerja rumah. Menulis. Mengarang. Melukis.
3                 Disiplin bermain. Bukan sepanjang waktu. Ada peraturannya yang perlu dijadual dan dikawal. Masanya. Tempoh masanya. Teman sepermainannya. Tempatnya. Permainannya.
4                 Disiplin membuat kerja-kerja di rumah. Menyapu. Membasuh. Membuang sampah. Membasuh rumah. Mengemop lantai. Berkemas. Menggosok pakaian. Mengemas katil. Menyidai pakaian. Melipat pakaian. Menyusun pakaian dalam almari.
5                 Peka dengan kawalan pembaziran. Mempastikan pili air ditutup setelah digunakan. Matikan kipas dan penghawa dingin apabila meninggalkan bilik dan ruang. Mematikan lampu jika tidak diperlukan.
6                 Berkemas setiap waktu. Sampah mesti dibakulsampahkan. Tidak dibuang merata-rata tanpa kawalan.  
7                 Peka dengan persediaan hendak ke sekolah. Mengemas beg sebelum tidur. Menyediakan pakaian untuk hari esok. Menyiapkan kerja rumah. Menyimpan wang saku. Menyempurnakan pesan guru.
8                 Kebersihan dalam dan luar rumah menjadi tanggungjawab semua. Jumpa sampah pungut. Kotor basuh. Bersepah kemas.
9                 Ajar anak-anak supaya pandai memasak. Kesemuanya sama ada lelaki atau perempuan. Tanpa kecuali. Ajar dari yang senang seperti menjerang air, menggoreng telur dan menanak nasi. Semakin meningjkat usianya ajer mereka memasak yang lebih rumit seperti sambal, kari, gukai lemak atau membuat acar.
10            Perkakas makan hendaklah dibasuh dengan betul dan bersih. Ajar mereka sedari awal usianya. Hilangkan kotor dan hilangkan minyaknya. Cukup sabunnya. Semua anak diajar membasuh periuk, kuali, pinggan, mangkuk, gelas, sudu, garpu, sudip, senduk dan pisau. Jangan sekali-kali dilonggokkan dalam singki. Setiap anak diberi tanggungjawab yang sama. Adil. Tanpa kecuali.


Di bawah ini penulis paparkan berbagai gambar. Rumpun buluh, pokok buluh, rebung dan berbagai makanan dari rebung. Rebung menghasilkan banyak makanan yang enak dan menyegarkan. Rebung segar tentu lebih segar apabila dimasak dan dimakan. Begitulah anak-anak yang sedari kecilnya dididik dengan betul menjadi seperti rebung yang enak dimakan. Enak dipandang. Enak dipelbagaikan. Anak itu menghidangkan pendidikan yang sedap di hati apabila dipandang. Sejuk perut ibu yang mengandung. Apabila dewasa menjadi buluh yang juga banyak gunanya. Banyak manfaatnya. Peliharalah rebung untuk mendapat bulunya yang besar manfaatnya. 



Buluh yang sudah mula dikomersilkan. Perlu diperluaskan ke desa-desa supaya orang luarbandar mempunyai alternatif dari segi pendapatan dan sumber makanan.



Rebung yang tidak seberapa rupanya. Enak dijadikan juadah makanan.



Jika begini banyaknya tebtu mnenghasilkan pendapatan yang lumayan.



Yang ini rebung jeruk.



Kecur air liur.



Makin bertambah kecurnya.



Aduhai. Kerabu rebung. Terangkat jika memakannya.



Kreativirti masing-masing. Boleh dipelbagaikan.



Gulai udang dan rebung.



Sambal rebung.


Anak-anak yang dari rebung yang tidak seberapa rupanya jika dididik menjadi berbagai rupanya. Cantik dipandang. Menyejukkan mata. Menyelera untuk dimanfaatkan khidmatnya apabila dewasa. Semuanya dari rebung. Jangan tunggu mereka menjadi buluh.

No comments:

Post a Comment