Friday, December 24, 2010

Psikologi Untuk Pelajar Menengah Rendah

Pelajar tingkatan satu, dua dan tiga adalah pelajar-pelajar yang selalu mencabar untuk dididik dan diasuh. Banyak ragamnya. Banyak keletahnya. Banyak songelnya. Banyak peningkan kepala. Banyak menimbulkan stress. Banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk mereka. Setiap masa ada sahaja hal yang perlu dibereskan. Hal disiplin banyak ceritanya. Hal akademik banyak lagi pahit maungnya. Hal sosial lagilah banyak di luar kawalan. Itu belum hal-hal yang belum sepatutnya mereka terlibat tetapi sudah terlibat pula.

Manakan guru tidka hilang punca. Dalam umur semuda itu mereka bercinta gila. Tidak kurang yang termengandung. Mana lagi yang bersalin di sana-sini. Yang buang bayi pun semakin sukar dikira. Itu belum dadah. Curi lagi. Ragut pun. Gaduh dan samsing. Mereka bukan sahaja menjahanamkan diri mereka sendiri tetapi juga kehidupan orang lain yang ada di sekeliling mereka. Kalaulah mereka boleh faham. Malangnya memang mereka tidak dapat memahami. Kaulah gurunya nanti yang perlu memberi kefahaman itu. Kau yang kena didik hati nurani mereka. Kau yang kena bimbing cara mereka berfikir. Saahsiah memanglah top priority. Rosak akhlak rosak semua yang dibina untuk kemanusiaannya.

Umur antara 13 tahun hingga 15 tahun adalah umur yang penuh cabaran. Penuh pancaroba. Pada umur ini sepatutnya ibu bapa menjadi pendisiplin yang paling baik. Paling ampuh. Paling berkesan. Paling efisien. Masalah. Ibu bapa tidak berdaya berhadapan dengan anak-anak seusia begitu. Ramai ibu bapa yang lentok. Yang layu. Yang pudar peranan keibubapaannya. Mereka menoleh kepada guru untuk mengambil peranan itu. Bagaimana ya. Itu anak orang. Bukan anak kau. Maka kenalah layan macam anak orang. Tidak mungkin jadi anak sendiri.

Ibu bapa sekarang serah anak ke sekolah bukan serah jiwa dan raga anak. Mereka hanya serah nama. Jangan sekali anak-anak mereka disentuh. Jangan dicubit. Jangan dijentik. Jangan letakkan tanganmju di pipi mereka. Di kepala mereka. Walhal kau hanya boleh mengetap gigi. Memerah telinga. Menjegil mata. Bercakap sepatah dua. Awas. Jaga mulutmu. Jaga tuturmu. Jaga bicaramu. Jangan laser. Jangan kesat. Jangan kasar. Beli insuran untuk mulut. Kau adalah guru. Maka jaga keguruanmu. Banyak batas-batas tatalaku yang mesti dipelihara. Kau hanya mampu pada batas-batas tertentu. Yang selebihnya bukan urusanmu. Ada pihak yang lebih kanan. Yang lebih atas. Yang lebih tinggi. Itu bidang kuasa mereka.

Pelajar tingkatan satu sedang memuncak kenakalannya. Mereka ini sedang dalam transisi dari sekolah kebangsaan. Yang lelaki belum ada yang baligh. Yang perempuan mungkin sudah separuh yang baligh. Namun mereka kesemuanya sedang bergolak dengan tumbesaran mereka. Ada bahagian-bahagian anggota tubuh badan mereka yang membentuk sifat-sifat kejantinaan mereka. Mereka melakukan apa sahaja. Bising yang membingitkan. Pakaian mereka yang cepat kotor. Selepas waktu rehat sukar untuk mendekati mereka. Kau pasti menahan nafas. Menahan hidung yang kembang kempis. Macam-macam ragam bau yang mereka import kembali ke kelas. Cabaran. Cabaran. Banyak bersabar.

Pelajar tingkatan dua lain pula ceritanya. Mereka sampai di puncak keanak-anakan mereka. Peralihan mereka menjejak alam remaja yang sebenarnya. Yang lelaki sudah ramai yang baligh. Yang perempuan mungkin hampir semua sudah baligh. Nakal mereka ketika di tingkatan dua ini memuncak habis. Masalah disiplin paling banyak berlaku. Calang-calang guru baru terkapar dek kelaku mereka. Ada sahaja karenah mereka. Memang menggeramkan. Menggelegak kepala memikirkan mereka. Sabar, sabarlah sahaja yang mampu kau lakukan. Anak orang. Jangan sampai ada parang sampai di sekolah. Jangan sampai ada peguam berhujjah di sekolah. Jangan sampai ada ibu yang berceramah di sekolah. Ada had yang mesti kau patuhi. Jangan langkau had itu. Padahnya tidak ada siapa mengukur tahu.

Tingkatan tiga barangkali lebih boleh ditoleransi. Kewarasnnya sudah mula mendatang. Kecerdsannya boleh dibimbing. Ketekunannya sudah boleh diharap. Ada kawalan diri yang meresap kepada mereka. Lebih mudah dikawal. Mendengar kata. Mengikut bicara. Memahami bahasa. Sementelahan pula mereka sudah diarah untuk fokus periksa. PMR mereka di hujun tahun. Mereka diletakkan di landasan untuk lebih siuman. Belajar menghargai diri. Menghargai masa. Menghargai peluang. Mereka baru mengenal cita-cita. Sudah merancang pilihan masa depan.

Pelajar-pelajar menengah rendah ini ibarat gembalaan yang liar. Sukar dilepas. Sukar ditambat. Dipegang juga menyukarkan. Guru sebagai gembalanya hendaklah mengetahui apa kehendaknya. Apa yang tersirat di sanubarinya. Psikologi mereka. Aspek sosial dan kemanusiaan mereka. Penghayatan agama yang wajib baginya. Kau ada peta. Kau ada garispandunya. Kau ada haluan untuk mereka ikut. Kau yang kena meneroka jalan, lorong dan denai. Kau yang menerobos laluan yang sukar mereka cari. Kau yang menunjuk jalan agar mereka nampak cahaya di hujung terowong.

Itulah kerjayamu sebagai guru. Di bahumu terletak satu tanggungjawab besar. Misi agung yang mesti dilaksanakan. Di bahumu tanggungjawab untuk membina insan-insan warganegara yang memberi nafas segar kepada negara. Membina kemanusiaan sarwajagat. Kau membina negara. Keberhasilan didambakan. Kejayaan dinantikan. Nanti namamu dinobat sebagai pembina bangsa.

Thursday, December 23, 2010

Kelas Pertamamu

Hari pertama ini sangat mengujakan. Semalaman tidurmu tidak begitu tenang. Teringat esok yang akan menjelang. Esok menentu jalan bagimu. Jalan panjang dan luas yang akan diteroka sepanjang kerjayamu. Esok mulanya. Awal sungguh kau bangun. Ingin cepat. Mengelak jalan sesak. Ibu bapa tentu kalut mengurus anak pada hari pertama. Selepas subuh bertali arus kenderan meninggalkan rumah masing-masing. Destinasi pertamanya tentu sekolah. Aduhai pagi yang sejuk ini. Aku ingin sampai jauh lebih awal. Malulah nanti jika lewat baru tiba. Cikgu baru yang semacam jadinya. Hari pertama inilah perlu ditunjukkan first impression. Mudah-mudahan ramai yang jatuh cinta pandang pertama.

Berebut-rebutlah kau di jalanan. Semua orang ingin sampai lebih cepat dari orang lain. Ada perhimpunan awal pagi. Perimpunan pertama untuk tahun 2011. Sejarahmu juga sebagai guru terlatih. Perhimpunan pertama yang kau hadiri. Panjanglah nanti ucapan Pengetua. Entah, seperti motivasi. Macam juga leteran. Ada juga macam tidak tentu hujung pangkal. Pelajar-pelajar cepat bosannya. Ingat tak waktu kau sekolah dulu. Itulah yang gurumu buat. Menyeksa anak-anak didik pada awal pagi. Retorik yang sama sepanjang tahun. Selama 40 kali setahun. 200 kali selama lima tahun. Nantilah bila kau jadi Pengetua, ubahlah paradigma. Jangan lepaskan geram. Hilang falsafah dan psikologi yang telah dipelajari bagai hendak gila dulu. Tradisi itu bukan warisan.

Di tangan kananmu kau sandang beg. Atau kau bimbit briefcase. Di tangan kirimu kau dakap buku persediaan mengajar. Buku persediaan itu wajib dibawa ke kelas. Wajib. Jika nazir datang dan kau tidak membawanya maka tindakan disiplin boleh dikenakan. Denda RM1,000? Atau RM2,000. Atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. Jangan main-main mengenai perkara itu. Kau bawa juga senaskhah dua buku teks. Kau langkah kaki. Kau turuni tangga. Menyusur sebuah lorong untuk naik di tangga yang lain.

Elok juga. Dapat kau kurangkan berat badan. Dekat dan dekat. Berdebar juga hati ini. Alahai hendak mengajar pelajar tingkatan duapun gelabah juga. Berapa ramai ya? Komposisinya? Cerdiknya? Kau dongak sana kau dongak sini. Ini dia kelas yang kau cari. Biasalah guru baru kenalah mengajar kelas di hujung-hujung. Kelas yang tidak berapa pandai. Tidak berapa cerdik. Tidak berapa bestari. Guru baru diberi pengalaman dulu. Biar lintang pukang mengendalikan pelajar-pelajar yang alang-alang pandai. Bukan pelajar jenis ini sahaja yang sukar dididik, malah pelajar yang teramat pandai juga menimbulkan masalah. Itu belum ibu bapanya lagi. Guru-guru lama hanya senyum. Dulu mereka sepertimu juga. Kena buli masa mula jadi guru baru.

Sederap pelajar berdiri. Kau terus ke meja untuk meletak alat perangmu pagi ini. This is crucial. A very critical moment. It augurs well for your future endeavour. Tadi langkahmu mestilah teratur dan with purpose. Cara kau meletak buku diperhati seluruh mata. Sekarang ini senjatamu yang paling ampuh ialah matamu. Ya! Matamu. Ambil masa. Tarik nafas panjang-panjang. Tarik dalam-dalam. Tenangkan perasaan. Kau hadapkan tubuh badanmu perlahan-lahan. Kau hadirkan hatimu seluruhnya. Pandang mereka dengan pandangan serius. Ingat dulu waktu microteaching. Telah ku peringatkan kepadamu semua itu. Pandangan serius ialah memandang dari atas kepala hinggap di dahi sahaja. Jangan turunkan mata ketika ini. Jangan kau pandang yang montel. Jangan kau pandang yang comel. Jangan kau pandang yang tinggi menggalah. Jangan kau pandang yang kulitnya berwarna warni itu. Jangan pandang yang ganteng. Yang gagah. Yang perkasa. Yang hidungnya mancung. Yang matanya galak. semuanya itu akan kau lakukan bila kau bersedia dengan pandangan sayang. Seluruh muka kau tatap. beran bertentang mata dengan pelajar. Lidah tidak kelu untuk berkata-kata. Ku harap kau tidak turun ke bawah melepasi dagu hingga menjadi pandangan miang.

Ucaplah salam dengan tenang. Dengan suara yang power vocalnya. Yang garaunya sengaja dibuat-buat. Awas ketika itu kau mestilah berdiri tegak di hadapan kelas. Tanganmu mungkin di hadapan. Genggam lembut antara kedua-dua jari jemari tanganmu. Nanti, nanti, nanti. Jangan senyum. Inilah masa untuk jual mahal. Senyum guru mahal harganya. Ia hanya untuk hadiah dan anugerah tertentu. Bukan murahan dan sebarangan. Ada sebabnya. Sabar dulu. Pandang dulu dahi mereka satu persatu. Jangan kalut. Jangan kepuh. Jangan, jangan. Banyak bertenang. Jadilah seperti si algojo yang ingin menjatuhi hukuman.

Perkenalkan diri dengan bersahaja. Tuliskan nama. Sedikit biodata. Yang perlu sahaja. Nama. Negeri asal. Cukup dulu. Nah ketika inilah akan ada yang mula hendak buat nakal. Inilah peluangmu untuk melaksanakan suatu tugas pemula yang tidak boleh silap. Kesilapan tindakan pertama ini akan memberi padah yang lebih parah pada masa hadapan. Akan ada nanti suara anak kecil di hadapanmu yang bertanya, ‘cikgu dah kahwin?’. Jawapanmu, jawapanmu mestilah dengan berhemah sekali. Katakan, ‘Dalam kelas ini saya tidak mahu ada soalan-soalan seperti itu. Tidak berkenaan. Kamu tidak sepatutnya bertanya mengenainya.’ Akan ada nanti yang menawarkan abangnya. ada yang menawarkan kakaknya. Aduh!

Keras bunyinya. Perlukah jadi garang. Bengis. Bengkeng. Dan kurang mesra pula. Beginilah analogi saya. Sesuatu yang hendak dibina mestilah menggunakan bahan-bahan yang berkualiti. Dibangunkan hingga tegak dahulu. Hingga kukuh dahulu. Hingga nampak bangunnya. Dari situlah nanti kau anjakkan paradigma mereka. Kau disiplinkan mereka. Mengertikan antara yang santai dengan yang serius. Yang formal. Yang rasmi. Biar mereka tahu yang mana boleh dan yang mana tidak. Kau kena ulang dan ulang. Jika tidak mereka tidak faham. Mereka tidak mengerti urgency.

Kau ada pilihan yang terhad. Hendak menjadi guru yang disukai atau guru yang dibenci atau guru yang digeruni. Tetapi percayalah, yang paling baik ialah guru yang disegani. Yang hormatnya datang sendiri. Dilihat dan difahami. Tidak perlu ditagih. Tidak perlu diminta. Tidak perlu dipaksa. Ada banyak panduan yang perlu diikuti. Yang perlu difahami dan diambil maklum. Yang membantu meningkat diri.

Ingat dulu kelas microteaching? Walau sehebat mana sekalipun seorang guru bila hilang kawalan kelas P & Pnya musnah sama sekali. Kau mesti tunjukkan keikhlsanmu. Mesti pamerkan keperihatinanmu. Ada kesungguhan. Ada komitmen. Ada usaha yang memang nampak jelas. Pelajar melihat siapa kau. Melihat semua yang kau zahirkan. Kadang-kadang mereka melihat yang tersirat. Ada antara mereka memiliki kecerdasan yang luar biasa.

Tolong ya. Tolong jangan banyak cakap. Jangan banyak bicara. Tolong jangan banyak berkata-kata. Lazimnya jika itu berlaku kau akan kelihatan mengomel. Kau dilihat membebel. Kau nampak berleter. Kau kelihatan menceceh. Pelajar tidak gemar orang-orang jenis itu. Cukuplah di rumah, ibu mereka bersikap dan bersifat begitu. Buat sebaliknya. Banyak beri panduan. Banyak tunjuk ajar. Banyak beri prosedur. Banyak beri petua. Mesti banyak bikin dan bukan banyak cakap. Cakap mesti serupa bikin. Pelajar hendak tahu, Beri mereka maklumat. Mereka banyak tanya, beri jawapannya. Banyak taklimat. Banyak ulang prosedur.

Semak kerja mereka. Pantau kerja mereka. Latih tubi, ulangkaji adalah jalan asas yang mesti diberi. Mana yang berjaya pujilah sekadarnya. Jangan berlebih-lebihan. Nanti demotivated. Jika lemah atau salah jangan pula dihina. Jangan dicemuh. Jangan diperlekah. Jangan pula dilabel. Jangan distereotype. Jangan diberi gelaran. Nanti patah semangatnya. Nanti runtuh cita-citanya. Sekolah sepatutnya menjadi syurga bukan neraka. Jangan jadikan sekolah a living hell. banyak membantu bukan mencari salah. Jangan mencari kelemahan pelajar. Bantu mereka. mereka perlukan bantuanmu.

Jadilah ayah. Jadilah ibu. Hadapi pelajarmu dengan kasih sayang. Tetapi jangan manjakan. Jangan muakan. Jangan lemakkan. Beri yang sepatutnya sahaja. Sedikit demi sedikit. Ibarat mengisi beras atau padi ke dalam guni. Masukkan sedikit kemudian hentak dulu. Tambah sedikit lagi. Hentak lagi. Begitulah berulang-ulang supaya akhirnya memang penuh. Memang padat. Memang sendat. Memang terisi dengan terisinya. Penuh sepenuhnya.

Oh ya. Mesralah dengan pelajar seadanya. Pada awal-awal ini jangan dulu bergurau senda. Jangan melawak. Jangan buat kecindan. Saya takut nanti ada yang mengatakan kau adalah badut. Pelawak. Kekalkan bersahaja. Satu lagi jangan sekali-kali menceritakan apa-apa rahsia kepada pelajar. Tidak kiralah rahsia diri ke. Rahsia sekolah ke. Rahsia apa ke. Ajar dan didik mereka seperti yang dikehendaki. Habiskan silibus.

Ada guru yang dianggap baik. Ada guru yang dianggap tidak baik. Jangan sekali-kali burukkan guru lain. Jangan burukan Pengetua. Jangan burukkan Penolong Kanan. Jangan burukkan rakan sejawatmu. Jika kau tidak menjaga maruah guru lain nanti maruahmu tiada siapa yang melindunginya. Seteruk mana sekalipun Pengetua atau GPK atau guru lain, tugasmu ialah mempertahankan mereka secara profesional. Suatu hari nanti kau akan jadi GPK juga. Ada rezeki jadi Pengetua juga. Mungkin nanti ada orang lain yang tidak sukakanmu. Mudah-mudahan nanti ada orang yang melindungi maruahmu.

Pakaianmu. Pakaianmu. Gantilah setiap hari. Kemas. Bersih. Rapi. Warnanya kena. Coraknya kena. Potongannya kena. Saiznya kena. Menarik. Anggun. Antun. Elegant. Penampilan adalah satu antara tarikan guru kepada pelajarnya. Ada yang sentiasa menarik. Dilihat memikat hati. Menyejuk mata. Bukan sebarangan. Namun jangan berlebihan. Jangan jadi pelakon wayang Cina. Maaf. Jangan pula jadi pelakon Hollywood. Jangan jadi seperti pelakon Bollywooh. Penampilanmu mestilah derlandaskan Islam. Auratmu dijaga. Ikut adatmu dulu. Adat dan adab bangsamu. Budayamu.

Buat pemerhatian. Buatlah pengamatan. Lihat. Belajar. Banyak lagi yang perlu kau ketahui. Tidak mungkin sempurna sekelip mata.

Wednesday, December 22, 2010

Kita Masih Mencari Tuankah?

Apabila seorang lelaki berumahtangga maka dia dipangguil tuan rumah. Apabila ada orang bertandang ke rumah, yang ditanya ialah tuan rumah. Bila kejiranannya ada masalah maka tuan rumah juga diminta turut sama. Bila ada bancian dijalankan, tuan rumah yang ditanya dahulu. Tuan rumah yang menjawab dahulu. Tuan rumah yang dicari dahulu. Bila berjemaah di rumah, tuan rumah yang afdal menjadi imam. Bila anak-anak menimbulkan masalah, tuan rumah yang kena jawab. Begitulah nanti di akhirat, apabila isteri membuat dosa, tuan isteri itu yang kena jawab. Jawab juga mengenai anak-anak dan tanggungannya. Yang tidak kena tuan itu yang bertanggungjawab.

Rumah tentulah ada tuan. Tuan itu duduk di rumah. Tuan itu yang membuatnya. Atau tuan itu yang membelinya. Tuan itu yang menjaganya. Tuan itu yang mengemasnya. Tuan itu yang menghiasnya. Tuan itu yang mendiaminya. Tuan itu yang menyanyanginya. Tuan itu yang menghargainya. Tuan itu yang melakukan segala-galanya. Sayangnya tidak terhingga. Tidak sepatutnya da cacat cela. Dia tuannya. Tuan itu tidak mahu kehilanngan rumah itu. Dia mahu menjadi tuan rumah itu selamanya. Andaikata rumah itu terbakar, tiada lagi gelaran tuan itu. Andaikata rumah itu runtuh, tiada lagi gelaran tuan itu. Andaikata rumah itu dijual, tiada lagi gelaran tuan itu. Apabila tergadai runtuhlah segala ketuannannya.

Rumah mungkin tiada tetapi tanahnya masih ada. Maka jadilah tuan tanah. Tuan tanah menanam di tanahnya. Tuan nanah menuainya. Tuan tanah membersihkan tanahnya. Tuan tanah mengatur segala keperluan tanahnya. Kerana banyak rumput, tuan tanah menjadi gembala. Tuan haiwan peliharaan yang dipanggil gembala. Tuan yang memelihara. Tuan yang menjual. Tuan yang meyembelihnya. Tuan yang menikmati hasilnya. Bila semuanya tiada, hilanglah gelaran tuan kepadanya. Apatah lagi jika tanah itu tergadai. Apatah lagi jika gembalaannya hilang. Hilanglah ketuanannya.

Dengan kenderaan tuan tanah mengangkut benih. Kenderaan tuan membawa hasil. Kenderaan tuan membawa baja. Kenderaan tuan membawa racun perosak. Kenderaan tuan mengangkut tuan dan surinya. Tuan mengangkut anak-anaknya. Kenderaan tuan mengangkut segala-galanya. Kepada tuan kenderaan itu segala-galanya. Tuan ke hulu. Tuan ke hilir. Sesuka tuanlah untuk melakukan yang terbaik untuk dirinya. Apabila kenderaan itu tiada, gelaran tuan kereta itu hilang begitu sahaja. Apatah lagi jika kenderaan itu juga tergadai, hilanglah ketuanannya.

Tuan adalah yang memiliki. Tuan yang ada kuasa atas harta bendanya. Tuan ada milikan peribadi. Tuan ada skop tugasnya. Tuan ada kewibawaan menentukan apa yang perlu. Tuan ada pengikut setia. Tuan melakukan semua yang terbaik untuk semua yang menjadi tanggungannya. Tuan itu yang memainkan peranannya. Tuan yang menjadi pengarahnya. Tuan yang menulis jalan ceritanya. Tuan yang melatih pelakon-pelakonnya. Tuan yang mempersermbahannya. Tuanlah yang mengatur semuanya. Apabila kesemuanya hilang ketuanan yang dibanggakan itu.

Apakah menjadi tuan itu penting? Apakah tidak hidup tanpa menjadi tuan? Tuan itu idaman atau realiti? Bertuankah kita selama ini? Sebagai tuan adakah kita melindungi? Adakah tuan mensejahterakan diri? Tuan itu hanya bertuan atau memberi nilai kepada ketuanannhya? Apakah tuan hanya pangkat? Apakah tuan hanya penghormatan? Rasanya kita seperti tidak menjadi tuan lagi. Sudah lama hilang. Sejarah kita begitu. Sudah ramai yang tidak mengiktiraf kita tuan. Realiti kita seperti bukan tuan.

Tuan banyak tanggungjawabnya. Tuan banyak tugasnya. Tuan banyak rencananya. Tuan banyak perancangannya. Tuan banyak arah tujunya. Tuan banyak wawsannya. Tuan memimpin pengikutnya. Tuan membawa ke mercu segala kebaikan. Tuan terarah perginya. Tuan terarah datangnya. Tuan berperanan untuk menempa kejayaan. Tuan menjadikan semua orang selamat. Tuan melindungi. Tuan memberi pembelaan. Tuan menjanjikan yang terbaik untuk semua orang. Tuan itu memperkasakan. Tuan itu menjana segala kejayaan dan kebaikan. Tuan membina sinergi kehebatan dan kegemilangan.

Di mana ada tuan jika tiada rumah? Di mana ada tuan jika tiada tanah? Di mana ada tuan jika tiada gembalaan? Di mana ada tuan jika tiada harta? Di mana ada tuan jika tiada kekayaan? Cukupkah menjadi tuan hanya ada pengikut? Tuan yang bertuan. Entah ia entah bukan. Hanya bayangan yang berupa hologram. Masih bukan realiti. Masih jauh untuk digamit dan digarap bererti. Fikirkanlah untuk mengerti. Takut warisanmu tidak brsisa dan berbaki lagi. Aku akan pergi. Kau yang akan menunggu mengakhiri hari.

Memerdekakan Jiwa dan Raga

Waktu Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 saya baru berusia 10 tahun 3 bulan. Di darjah 4 ketika itu. Kanak-kanak kamping seperti saya tidak banyak yang saya tahu. Yang saya tahu merdeka. Bendera Union Jack diturunkan dan bendera Tanah Melayu dinaikkan. Saya berasa sedikit keliru kenapa bendera itu menyerupai bendera Amerika Syarikat. Biar orang lain cari jawapannya. Yang pentingnya ialah saat syahdu Union Jack diturunkan. 1814 Raffles menjajah Temasik. 1957 Tanah Melayu merdeka. Ratusan tahun kita dijajah. Itu belum Portugis pada 1511 dan Belanda pada abad berikutnya. Seingat saya pada 1644. Tanah Melayu telah dijajah selama 446 tahun. Sahlah negara kita telah dijajah. Hasil mahsul kita telah dijajah. Semangat kita tekah dijajah. Pendidikan kita hasil penjajah. Tidak hairan bila budaya kita dijajah. Hidup kita dijajah. Minda kita, ya minda kita memang minda yang dijajah.

1874 Perjanjian Pangkor yang memulakan detik penjajahan British di Perak. Kemudian Selangor, Pahang dan akhir sekali Negeri Sembilan. Ini sejarah. Tidak ramai yang mengingatnya. Tidak ramai yang ambil pusing. Pada tahun 1874 Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu masih berada di bawah naungan Siam. Johor diaktakan tidak dijajah. Melaka, Pulau Pinang dan Singapura terletak langsung di bawah ketiak British. Straits Settlements. Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sebagai negeri-negeri yang bersekutu. Bersekutu dengan British. Di bwah telunjuknya. Perjanjian mengikat mereka.

Pada tahun 1909 dimetrai Perjanjian Bangkok. Yang menghairankan ialah British dan Belanda berpakat untuk membahagi-bahagikan Indonesia dan Tanah Melayu seolah-olah nusantara ini harta milik mereka. Selatan Khaltulistiwa dimiliki oleh Belanda. Yang di utara milik British. Entah macam mana pula pandainya British sehingga kerajaan Thailand menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada mereka. Jadilah keempat-keempat negeri ini bersama dengan negeri Johor dinamakan negeri-negeri tidak bersekutu. Tidak ada apa-apa perjanjian. Tiada perundangan yang mengikat. Tetapi hakikatnya British tetap menjalankan jarun penjajahannya di negeri-negeri tersebut. Saya tidak mahu menyebut Sabah dan Sarawak kerana yang itu lebih menghairankan. Sebuah keluarga boleh memerintah Sarawak. Sebuah syarikat boleh memerintah Sabah. Sejarahnya begitu.

1874 adalah titik tolak secara rasmi Tanah Melayu dijajah British. Mungkin naif pemikiran orang Melayu ketika itu. Perjanjian Pangkor itu menghalalkan pemugutan cukai oleh British. Dulunya cukai itu milik pembesar-pembesar negeri. Bila mereka sedar yang mereka kehilangan kuasa dan hak memungut cukai barulah timbul penentangan. J W W Birch hanyalah lambang penjajahan British. Maharaja Lela dan Si Putong bukankah lambang pejuang kemerdekaan? Bagaimana dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang. Bukankah mereka pejuang kemerdekaan itu juga? Apa kurangnya Abdul Rahman Limbung di Terengganu? Mat Salleh di Sabah, bukankah pejuang kemerdekaan juga?

Entahlah sejarah tidak pernah bias. Tidak condong ke mana-mana. Tidak condong kerana hal-hal yang tertentu. Sejarah itu berlaku dan berlalu. Kita hanya membaca kisahnya. Riwayatnya. Tafsirannya pula ikut selera sendiri. Seharusnya ada kewajaran untuk melihat semula sejarah. Itu warisan kita. Sejarah itu mesti benar. Lalu tafsirannya mestilah benar. Sejarah itu kebenaran. Berlakunya secara hakiki. Sebab musababnya perlu dikaji secara hakiki juga. Ia menjadi bacaan, renungan generasi mendatang. Tiada siapa yang berkepentingan. Ia sejarah negara. Sejarah bangsa. Sejarah agama.

Saya masih ingat tentang Syed Sheikh a-Hadi dengan perjuangannya menentang British melalui tulisan-tulisannya. Sebenarnya ramai pejuang pernah belajar di Mesir. Lalu mereka mendapat banyak ilham dari sana. Rakan seIslam mereka di sana dalam landasan yang sama. Menentang British. Ini bermakna perjuangan kemerdekaan itu mendapat suntikan antarabangsa. Begitulah apabila Jepun mengalahkan British. Orang kita terkejut beruk.

Orang Jepun digambarkan sebagai kecil, kerdil dan memang saiznya jauh lebih rendah dari orang Putih. Tetapi Allah menghantar mereka untuk memberikan ilham kepada orang kita bahawa besar jangan disangka bapa dan kecil jangan disangka anak. Kemenangan Jepun itu membuka mata, memberi kesedaran bahawa perjuangan itu mesti ada rencana, ada strategi ada usaha. Jepun memberikan kita isyarat, memberi kita panduan, memberi kita jalan, memberi kita fikiran bahawa untuk menang mesti ada perancangan awal. Seawal-awalnya. Dalam hal ini ilmu risikan sangat sangat sangat penting. Tanyalah datuk moyang kita bagaimana Jepun telah datang membuat risikan bertahun-tahun sebelum Perang Dunia II.

Mereka datang mebuka kedai runcit. Mereka datang menjual basikal. Mereka datang menjual aiskrim. Dan bermacam-macam lagi yang mereka buat. Setiap lorong dan ruang di Tanah Melayu dilakar, dibentang dan dizonkan supaya mudah diterobos, diserang dari segenap penjuru yang petanya dalam telapak tangan mereka. Pekedai runcit yang dulu itu rupanya seorang kolonel. Penjual basikal dulu rupanya seorang major. Dan begitulah rapinya perancangan mereka.

Sesuatu yang orang selalu lupa ialah pertahanan negara. British menjangkakan mereka datang menyerang Singapura. Itu lubuk pertahanan mereka. Kemegahan mereka. Kebangaan mereka. British lupa bahawa di sepanjang Tanah Melayu banyak lompang-lompang yang tidak dipertahankan. Bila Jepun mendarat di Kota Bharu, datang mereka seperti tsunami. Memang tsunamipun bahasa Jepun. Hanya beberapa ketika sahaja mereka sudah sampai di Johor Bahru. Singapura hanya menunggu saat sahaja untuk ditawan. Benar semuanya sudah mejadi sejarah. Sejarah kita.

Bangsa kita yang saban waktu dijajah. Seluruh jiwa raga kita selalu dijajah. Begitulah sukarnaya bangsa yang pernah dijajah. Mengikis rasa dijajah itu sangat sukar. Apa lagi British dengan diplomasinya. Dengan psikologinya. Kita lentok dan tidak bermaya. Kita kecundang dari segi berfikir. Kita menyangka British itu segala-galanya. Pada hal gula-gula yang dihulurkan itu bersalut racun berbisa. Warisan mereka kekal hingga sekarang. Mencorakkan pula pemikiran, budaya dan kehidupan kita.

Kerananya kita hilang identiti dan entiti bangsa. Jati diri kita sudah lama terbuang jauh. Baju Melayu hanya untuk majlis-majlisan. Bahasa Melayu tidak layak untuk iklan, brochure dan edaran-edaran promosi. Komunikasi kita bercaca marba. Tulisan Jawi dibuang entah ke mana. Hatta nama Melayu (Islam) juga sudah segan dipakai. Yang namanya Melayu itu dilihat meloyakan. Seperti tiada kelas. Low class, kata P Ramlee.

Kita mengejar kemajuan dan pembangunan yang mungkin tidak setara. Orang kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Tiada apa-apa lagi. Tiada apa yang tinggal lagi. Tiada yang berbaki. Tiada sisa. Tiada apa-apa yang nampak. Yang boleh dilihat. Yang boleh dipegang. Yang boleh dipunya sebagai jaminan. Kita mendongak tinggi. Melangut lama. Yang kita lihat bangunan itu bukan kita punya. Kenderaan besar di sebelah kita bukan milik kita. Kereta mahal di lorong hadapan bukan milik kita. Kereta cantik di lorong kiri bukan milik kita. Yang bergemerlapan itu bukan milik kita. Orang makan rotu, kita hanya makan hancuran keraknya sahaja.

Yang bermotorsikal itu orang kita. Yang berbonceng dari dua hingga lima itu orang kita. Yang memotong rumput di tepi jalan itu orang kita. Yang menyapu sampah di banguan tinggi itu orang kita. Yang bekerja di kilang itu orang kita. Operatornya orang kita. Yang mengawal bangunan itu orang kita. Yang jadi buruhnya itu orang kita. Yang tinggal di rumah kecil itu orang kita. Yang makan di gerai dan warung di tepi jalan itu orang kita. Yang memenuhi konsert jalanan dan dipadang-padang itu orang kita. Yang banyak kenyang dengan dadah itu orang kita. Yang banyak lari dari rumah itu orang kita. Yang banyak membuang bayi itu orang kita. Yang banyak merempit itu orang kita. Yang, yang, yang jaga tandas itu orang kita. Di mana ya, di mana maruah dan harga diri kita?

Berapa peratus orang kita yang kaya. Yang berjaya. Yang memegang kuasa. Yang menjadi tuan. Akhirnya semuanya tidak menjadi jika kita tidak menguasai ekonomi. Jika kita tidak menguasai kekayaan. Jika kita tidak menguasai harta. Jika kita tidak memegang panduan untuk berjaya. Bahasa, budaya hatta agama akan tergadai kerana lapar. Kerana miskin. Kerana papa. Kerana serba kekurangan yang ada pada kita. Ramai yang sudah murtad kerana kita tidak menjamin apa-apa. Tidak memberi harapan apa-apa. Tidak merancanakan apa. Itu belum yang sesat dan menysesatkan.

Kita tidak boleh menyalut diri kita dengan harapan palsu. Terlalu lama dijajah. Kita kena merdekakan kesemuanya. Bukan bendera sahaja yang bertukar. Hanya hiasan negara. Tetapi maruah di sebalik bendera itu kita kesampingkan. Dan maruah kita selalu benar tercabar dan dicabar.

Sunday, December 19, 2010

Terima Kasih

Malaysia 2,833
United States 190
Egypt 54
Indonesia 47
Canada 32
Singapore 23
United Kingdom 18
Australia 12
Laos 9
Russia 8

Hari ini Adad 19 Disember 2010. Tengah malamnya saya menjengah blog saya. Terkejut juga saya membaca statistik di atas. Rupanya ada pembaca yang datangya dari negara-negara yang tidak pernah ada dalam perkiraan saya. Selain dari negara-negara tersebut sebenarnya ada juga pembaca terpencil dari negara lain seperti Jerman, Austria, sweden, Slovenia, Brunei, Korea Selatan, Saudi Arabia dan Tunisia. Saya tidak tahu siapa mereka. Munkin pelajar. Mungkin para diplomat kita. Mungkin isteri-isteri mereka. Saya dapati ada sedikit misteri. Ada pembaca dari Israel. Pelik juga kan? Bimbang juga saya. Mungkin agen rejim Israel ke? Saya kenalah bersangka baik. Anggap itu audien saya yang ada di mana-mana. Mungkin yang dalam bahasa Inggeris menrentasi benua, bahasa, bangsa dan agama.

Tersentuh juga kerana ada yang berminat membaca. Saya kira ini adalah catatan peribadi. Satu biografi. Sewaktu saya mengorak langkah untuk mula menulis dahulu saya ingin bebaskan diri saya dari hal-hal yang sensitif dari segi politik, agama, kaum atau apa sahaja yang merosakkan keharmonian. Bukan tidak teringin menyentuh hal-hal yang kontroversi tetapi saya tahan gejolak hati ini supaya sentiasa pada landasan asal seperti yan telah saya niatkan dahulu. Sesekali saya sentuh juga dalam nada yang santai dan tersirat. Maafkan saya jika ada yang tersentuh.

Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada audien saya yang sabar menanti dan membaca apa sahaja yang saya nukilkan. Maaflah sebenarnya saya banyak berkomunikasi dengan bekas-bekas pelajar saya. Hati saya dekat dengan mereka khususnya yang menamatkan pengajian mereka pada tahun 2009. Mereka menjadi graduan secara rasminya pada 10.10.2010 yang lalu.

Tidak juga keseluruhan tulisan saya untuk mereka sahaja. Saya telah mulakannya dengan catatan yang benar-benar peribadi. Masa dulu-dulu yang menjadi sejarah hidup. Yang menjadi sejarah dari mana saya datang. Suatu permulaan yang daif dalam hidup saya. Suatu zaman yang telah berlalu bagi indivdu seperti saya. Malangnya masih ada orang lain yang lingkaran hidupnya mengulangi hidup saya dahulu.

Sesekali saya keluar dari kepompong saya untuk menyentuh hal-hal masyarakat yang saya perhatikan di sekeliling saya. Banyak pemerhatian tajam yang saya lakukan sangat menusuk hati saya. Rupanya masih banyak hal-hal yang tidak beres. Pada zahirnya kesemuanya nampak biasa sahaja. OK. Namun begitu bila dilihat dengan mata hati saya menjadi keliru, takut, rimas dan lemas. Masa sudah tidak banyak. Tidak mengapalah. Nanti akan saya kupas mengenai hal itu.

Catatan peribadi masih banyak dalam khaznah ingatan saya. Saya ingin memaparkannya untuk iktibar. Mudah-mudahan nanti ada yang boleh dipelajari. Ada yang diambil manfaat. Jika ada yang sudi memberi komen di sana sini saya akan berbanyak terima kasih. Kritik membinapun apa salahnya. Rasanya dalam usia setua saya, saya boleh menerima kritikan dengan senyum. Al-maklumlah dalam berbahasa tentu ada masalah semantik. Selalu terjadi bahasa yang sama difahami dengan cara berbeza.

Banyak perkara seriusn yang saya sampaikan. Cuma saya berusaha menyampaikannya dengan santai. Dengan bahasa berirama. Saya mengharapkan audien saya membacanya dengan membuat sedikit analisis. Memang kadang-kadang saya rawan dalam mengetuk kata-kata. Bukan untuk membawa semua orang untuk menangis. Bahkan yang saya maksudkan ialah kita dapat sama-sama maklum bahawa di sekeliling kita ini banyak hal-hal yanbg kita lihat tetapi jarang menjadi bahan renungan. Menjadi bahan untuk berfikir. Menjadi bahan untuk merencanakan sesuatu untuk kemanusiaan. Untuk kesejagatan kita bersama.

Kadang-kadang saya sedikit berahsia. Saya hanya menulis secara bayangan. Mungkin ada audien yang perasaan. Ada yang menangkap maksud sebenar. Terima kasih atas keperihatinan itu. Terima kasih.

Thursday, December 16, 2010

Melangkah Hari Pertama

Semua guru mesti ingat latihan untuk menyediakan diri bagi mendidik anak bangsa. Ingat dulu waktu belajar falsafah, sosiologi, psikologi, pedagogi dan microteaching. Waktu belajar dulu tentu hasratnya untuk score A. Kejar first class honours. Masa itu tidak terfikirpun apa sebenarnya yang dipelajari. Topik dan perbincangannya begitu asing. Tentu masih ingat tentang elanchos, dilactic, homo sapien, ontologi, epistimologi, aksiologi dan entah apa-apa lagi. Antara ingat dengan tidak. Percayalah apabila guru masuk ke kelas ketika itulau tercari-cari semula tempat bertapak. Mencari tempat berlindung. Mencari tempat membina jambatan baru. Adakah jambatan lama sudah dibuang? Sudah diruntuhkan? Al-maklumlah sudah meninggalkan alma mater yang dulu sangat dekat di hati. Tentu sekarang hanya kenangan yang semakin menjauh. Barang yang lepas jangan dikenang, kata P Ramlee. Bukan sudah menjadi hak orang lain tetapi sudah jadi sesuatu yang lain.

Begitulah masa menjarakkan kita dengan orang-orang yang bersama kita. Tempat-tempat yang menghadirkan kita. Suasana yang menggarap harapan kita. Namun bila sampai masanya kita dikerah kembali menelusuri semua yang telah kita lalui. Begitulah 3 Januari 2011 nanti akan menjelang tiba. Tarikh itu mestilah keramat dalam sejarah diri. Tarikh pertama masuk ke kelas yang sebenarnya. Yang mutlak. Yang menemukan seorang guru muda yang terlatih. Yang telah teruji. Yang pernah melakunkan watak-watak guru pelatih. Yang selalu dibimbing, diselia. Yang dulu dinasihat dan ditunjuk ajar. Pastinya 3 Januari itu nanti akan menemukan dirimu kembali. Secara mutlaknya kau adalah seorang guru. Kau akan mendatangi realiti yang hak. Sekolah itu hak. Kelas itu hak. Pelajar-pelajar itu hak. Apa yang akan kau ajar nanti adalah hak. You are on your own. Mati hidupmu kau akan sendiri. Senang susahmu kau akan sendiri. Aku telah bekalkan keperluanmu. Aku telah titipkan bekalanmu. Cukup untuk 40 tahun hari mukamu.

Nantinya kau akan kembali tercari-cari diri. Apa sebenarnya yang kau hadapi? Bagaimana nanti untuk berhadapan dengan anak-anak didik yang ramainya seperti ulat? Yang karenahnya melemaskan perasaan. Yang kalutnya seperti ribut taufan. Hari pertama itu akan datang dengan terpaan-terpaan bak tsunami. Pengalaman hari pertama yang mulanya mendebarkan akan bertukar dengan seribu satu macam gejolak hati. Yang zahir dan yang tersirat. Semuanya mencari dirimu yang pasti. Siapa aku? Apa perananku? Apa tanggungjawabku? Bagaimana aku harus bermula? Di mana aku harus berdiri? Apa ungkapan pertamaku nanti?

Rasa-rasanya aku yakin benar dapat mengendalikan kelas-kelas itu. Waktu Pengetua memberi amanah tidak satupun yang kau tolak. Semangat di dalam berkobar-kobar untuk menabur bakti. Nanti akan ku tunjukkan pada dunia siapa aku. Guru muda yang penuh semangat juang. Perjuangan yang tidak bertepi. Perjuangan menegakkan yang hak. Anak-anak didikku akan ku bangunkan. Akan ku dirikan. Akan ku hidupkan. Akan ku perkasakan. Akan ku angkasakan. Anak-anak dari desa ini, dari taman ini, dari keluarga ini akan nanti ku usap perasaan dan jiwa mereka. Akan ku sentuh psikologi mereka. Akan ku hembuskan semangat dalam yang melebar menyentuh ufuk. Yang meninggi mencecah awan. Yang menjunam tertancap mengejap bumi.

Biar mereka tegak berdiri gagah menjadi pelindung agamanya, bangsanya, negaranya. Biar nanti mereka berupaya mengeluarkan diri mereka dari semua yang bernama kemiskinan. Yang bernama kemunduran. Yang bernama ketidakupayaan. Yang bernama jahil, naif dan lemah. Nanti, itulah tugasmu. Tugas untuk meletakkan anak-anak didikmu di mercu yang tertinggi. Di persada dunia. Yang mengenal antara tahu dengan tidak tahu. Antara sederhana dengan cemerlang. Antara berjaya dengan kegemilangan.

3 Januari 2011 akan kau jejak kelas pertamamu. Seawal jam 7.30 pagi itu kau akan dibariskan di hadapan semua guru. Di hadapan semua pelajar. Di hadapan dunia yang menyaksikan bahawa pada pagi itu ada guru baru. Guru yang terlatih dan berwibawa. Guru yang disandarkan harapan tinggi mengawan. Guru yang pada dirinya bersalut harapan. Yang pada hatinya ada tulus. Yang pada batinnya ada semangat. Yang pada wajahnya ada kemesraan. Yang pada penampilannya ada kegagahan. Pada langkahnya ada kewajaran. Pada duduknya ada kekuatan. Pada kaki dan dirinya ada kekejapan. Pada rona-rona dirinya ada gemerlapan yang menyinari anak-anak didik. Mereka yang dahaga dan haus.

Pandanglah mereka dengan kekuatanmu. Mereka adalah modal insan yang sedang kau canai. Yang nanti menjadi modal yang kitarannya melangsungkan kitaran-kitaran lain untuk membangun agama dan bangsa. Untuk mendokong cita-cita negara dan harapannya. Langkahmu nanti mesti diatur pasti. Gerakmu adalah perjuangan. Ungkapan dan tutur bicaramu azimat. Pandanganmu membuka jalan yang membentang luas. Yang membentang laluan-laluan kejayaan masa hadapan. Hari muka yang penuh harapan.

Semua mata merenungmu. Dalam diam mereka bermonolog. Mampukah cikgu ini? Apa kelebihannya? Bolehkah diharap? Biasalah bila ada orang baru akan ada yang sceptical. Akan ada yang sangsi. Mungkin akan ada yang berperasangka. Keyakinan yang belum teruji. Mereka juga penuh debar menantikanmu. Anak-anak didik pasti berkira-kira sendiri. Inikah cikgu aku? Lawa nampak? Gagah nampak? Hebat nampak? Nanti dulu. Jangan sudah mula perasan. Masanya belum tiba. Banyak lagi proses dan langkah yang perlu diatur.

Kelas sudah dijadualkan. Subjek sudah dimaklumi. Biliknya sudah ditinjau dulu. Mungkin sebulan yang lalu. Buku persediaan sudah penuh diisi. Silibus sudah diatur rapi. Yes! This is it. Guys I am coming. You better watch out. I mean business. Let us do it. Yes again. Together we can do it. Wait for me. Watch my steps. I will create great guys amongst all of you.

Ingatlah. Kau berseorangan dan keseorangan. Maaf, tiada lagi pembimbing. Tiada lagi penyelia. Kau telah tinggalkan mereka semua. Mungkin kau telah lupakan mereka. Biasalah yang telah pergi meninggalkan semuanya di belakang. Teringat lagu Sayang Sarawak ‘ hendak dibawa perahuku sempit”. Tinggallah tuan tinggallah sayang.

Tidak mengapalah. Aku masih di sini. Gapailah bila maumu. Capailah bila perlumu. Aku selalu menanti kepulanganmu. Masih sudi untuk membantu. Kalau mahu.

Nanti kita jumpa di muka pintu kelasmu pada 3 Januari 2011. InsyaAllah.

Wednesday, December 15, 2010

Psikologi Atau Marahlogi

Pada zaman saya dahulu, hanya guru-guru lepasan maktab sahaja yang mengajar pelajar-pelajar di sekolah menengah rendah iaitu Tingkatan satu hingga Tingkatan tiga. Guru-guru berijazah sahaja yang layak mengajar Tingkatan empat hingga Tingkatan enam. Terasalah hinanya. Terasalah saya tidak setaraf dengan guru-guru tersebut. Sudahlah kedudukan lebih tinggi, gaji sudah tentu lebih besar. Jika saya mampu memandu motorsikal, mereka mampu memandu kereta. Mampu pula beristeri cantik. Berumah besar. Tapi yang penting ialah tugas mereka lebih ringan. Pelajar-pelajar mereka sudah makan saman. Boleh mendengar dan mengikut. Mereka sudah berakal. Sudah baligh kesemuanya. Psikologi ke, marahlogi ke, rotanlogi ke sudah tidak diperlukan.

Guru-guru seperti saya yang menerima beban yang lebih mencabar. Pelajar-pelajar Tingkatan satu hingga Tingkatan tiga sangatlah merungsingkan. Pelajar Tingkatan satu baru sahaja meninggalkan sekolah kebangsaan. Perangai mereka penuh dengan kenakalan, keributan dan proses transisi dari alam kanak-kanak menjadi awal remaja. Kegawatan ini adalah kerana mereka mendekati saat-saat mereka menjadi baligh dari segi usia. Pelajar-pelajar perempuan mungkin sudah lebih 75% yang sudah baligh dari segi biologi. Namun dari segi usia mereka masih kanak-kanak lagi.

Guru-guru yang mengajar mereka berhadapan dengan situasi-situasi yang dinamik tetapi chaoatic. Ada sahaja karenah mereka. Ada sahaja kejutan-kejutan yang mereka lakukan. Guru-guru yang terlatih sahaja mampu bertenang dalam situasi-situasi yang sulit. Guru-guru muda mungkin banyak kali hilang sabar. Guru-guru yang sudah berumur sudah lali dengan pelajar-pelajar ini. Apatah lagi jika mereka sudah mempunyai anak-anak yang sebaya dengan pelajar-pelajar tersebut. Pengalaman menjadi penentu keupayaan mereka menangani palajar-pelajar yang over active ini.

Saya agak beruntung mengalami sedikit keributan sekolah menengah rendah ini. Pengalaman penuh saya mengenai hal tersebut adalah sewaktu saya mengajar di SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Enam tahun lamanya dari tahun 1969 hingga tahun 1974. Di situ saya menimba pengalaman berharga untuk menangani pelajar-pelajar Cina. Pelajar Melayu di sekolah itu hanya ada dua orang sahaja. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Maka setiap hari saya belajar memahami dan merawat apa sahaja yang berkaitan dengan salahlaku mereka.

Sebagai guru kita berhadapan dengan persepsi. Adakah setiap yang pelajar lakukan kita anggap sebagai kesalahan? Melanggar disiplin. Pelajar nakal. Atau lain-lain stereotaip yang kita labelkan kepada pelajar. Harus maklum bahawa pelajar yang masih dalam zaman kanak-kanak ini sedang membuat berbagai eksperimen. Zaman ekspresi. Mencuba. Expound ideas. Tetapi jika kita lihat dari aspek kanak-kanak dan hubungannya dengan ibu bapa maka kita tentulah memberikan reaksi yang berbeza.

Saya pernah sebutkan beberapa insiden sewaktu alam persekolahan saya dahulu. Selepas peperiksaan LCE (PMR sekarang) kami banyak berlegar tanpa tujuan di sekolah. Dalam ramai-ramai kawan saya ada yang membawa cerut ke sekolah. Ketika dia sedang menghisapnya, lalulah seorang guru Bahasa Melayu. Apabila guru itu memandangnya, selamba rakan saya tadi membuat kenyataan yang tidak diminta, ‘Cerut cikgu’. Tidak ada reaksi dari guru tersebut. Tidak bermakna saya dan rakan-rakan saya tidak menghormatinya. Malah kami sangat menghormatinya. Personaltinya meyakinkan kami. Kami banyak terpengaruh dengan gayanya mengajar. Tidak ada apa-apa tindakan daripadanya. Tetapi perkara anih berlaku. Kami semua mengutuk rakan kami yang tidak menghormati guru tersebut. Bukan guru yang bertindak tetapi kami sesama rakan yang memberi reaksi.

Tingkatan empat adalah zaman remaja yang sedang banyak perasannya. Bukan perasaan tetapi perasan. Tengah naik. Baru baligh penuh. Berjinak-jinak dengan jantina yang lain sudah mula datang. Pandang sana pandang sini. Saya beruntung kerana bersekolah lelaki seluruhnya dari Tingkatan satu hingga Tingkatan lima. Perassan malu bagi introvert seperti saya tidak ada. Pandang arah manapun semuanya lelaki. Datanglah seorang guru wanita. Graduan UM. Muda dan cantik. Badannya kecil mungil. Namanya Petronela Fernandez. Bagi remaja lelaki yang usianya menjelang 15 tahun darjah kemiangannya sudah mula menaik. Membuak-buak. Seorang rakan saya yang lain mengambil peluang mencuba-cuba menggoda cikgu tadi. Dia mendatangi meja guru, ‘Teacher, I love you’.

Kami sekelas senyap sesenyapnya. Pengalaman terdahulu menunjukkan bahawa guru tidak boleh untuk dicuba-cuba. Tindakan disiplin akan diambil. Larinya nanti laju ke bilik pengetua. Rotan panjang singgah di punggung. Bayangkan guru tadi mendongak memandang rakan saya sambil berkata, ‘Thank you’. Secara automatik segala-galanya terurai. Menjadi anticlimax pula. Tiada apa-apa berlaku. Selesai. Tiada kes. Bila saya menjadi guru, pengalaman mengajar saya untuk merubah persepsi. Tidak semua perbuatan pelajar itu jahat. Hanya sedikit nakal. Sebab itu saya beranggapan bahawa mereak bukan melanggar disiplin. Sebaliknya mereka membuat salah laku. Jiwa kanak-kanak yang penuh dengan inkuiri. Inkuisitif tentang banyak perkara. Cuba sana cuba sini. Sekarang baru saya faham. Kanak-kanak perlu difahami melalui minda mereka bukan melalui minda guru dan bukan minda ibu bapa.

Satu lagi, lihatlah anak-anak didik itu dengan menggunakan kacamata kasih sayang. Mereka masih mentah. Mereka masih naif. Mereka masih kosong untuk menerima yang terbaik dari kita. Kau adalah guru mereka. Tangungjawab kau mengisi kekosongan jiwa mereka dengan segala yang mereka perlukan. Be positive. No prejudice. No stereotyping. Terima mereka seadanya. Ajar mereka seperlunya. Didik mereka semahunya. Love will prevail in the long run. They will remember you forever.

Nantikan episod berikutnya. Yang ini baru mukadimahnya sahaja.